Kelab Greenboc |
- Pengerusi SPR Berdalih Petikaikan Pula Kenapa PR Sertai Demo BERS✔H
- Najib Masih Tenggelam Dengan Sindrom Penafian Dan Sindrom Penipuannya
- Apabila Melihat Islam Dari Aspek Boleh Membawa Keuntungan Duniawi Semata-mata....
- Keluarga Baharudin Tuntut KPN Mohon Maaf, Abangnya Umum Sertai Pakatan Rakyat
- BERS✔H 2.0: Rais Tuduh Peserta Himpunan Dapat Imbuhan Macam UMNO
- Pasca BERS✔H: Keadilan Untuk Baharuddin - Generasi 709 Berarak Di KLCC
- Gema "SHAME ON YOU" Di London Bakal Akhiri Pemerintahan Najib Sebagai PM Malaysia
- Larangan Baju BERS✔H, Helah Polis Untuk Jawab Kegagalan Beri Permit & Keganasan Polis
- Propaganda Murahan Burukkan BERS✔H Tidak Laku
- Adalah Menjijikkan Polis Tanpa Rasa Malu Menafikan Perbuatan Menembak Ke Arah Hospital
- Ultimatum BERS✔H: Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya
Pengerusi SPR Berdalih Petikaikan Pula Kenapa PR Sertai Demo BERS✔H Posted: 17 Jul 2011 01:30 AM PDT Pengerusi SPR terus dakwa Bersih tak jujur, didalangi Pakatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terus menyerang kepimpinan Bersih 2.0 dengan mendakwa mereka didalangi parti politik dan "tidak benar-benar ikhlas." "Saya sebenarnya tidak pasti adakah penganjur perhimpunan haram Bersih benar-benar ikhlas atau mempunyai maksud lain di sebalik perhimpunan itu," kata Aziz dalam tulisannya disiarkan Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan hari ini. Aziz juga mendakwa beliau berpandangan sedemikian kerana dalam perjumpaan pertamanya dengan Bersih 2.0 akhir tahun lalu, pihaknya memaklumkan bahawa ia adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan parti politik. Bersih 2.0 dianggotai oleh sebanyak 62 NGO dan mengemukakan tuntutan lapan perkara dalam membawa pembaharuan sistem pilihan raya. "Penganjur Bersih mendakwa mereka berkecuali. Tetapi daripada apa yang dilihat sama ada gambar-gambar dan kenyataan parti-parti politik pembangkang, penganjur Bersih sudah memihak dengan jelasnya kepada pembangkang," kata beliau. Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga berulang kali menekankan bahawa pihaknya telah mengundang kesemua parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyertai usaha mereka menuntut pembaharuan pilihan raya, tetapi ia hanya disambut oleh komponen Pakatan Rakyat. Sebaliknya, BN dan pihak-pihak yang pro-BN mendakwa Bersih 2.0 bersekongkol dengan komponen Pakatan Rakyat. "Kita semua nampak mereka turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin parti politik seperti Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan banyak lagi. "Wakil-wakil NGO yang datang berjumpa dan berunding dengan saya dulu tidak kelihatan kecuali Marina Mahathir dan dua tiga orang lagi," kata Aziz sambil menambah, "jadi kenyataan Ambiga kepada saya bahawa Bersih tidak langsung memihak kepada parti politik adalah tidak benar sama sekali." Tambahan pula tulis Aziz, baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi. "Kenapa pula sebelum ini Bersih dan tiba-tiba sekarang parti politik PAS menyuarakan perkara itu? "Jadi, sekarang sudah jelas Bersih didalangi atau diperalatkan. Mereka bersekongkol dengan parti politik," kata Aziz lagi. Aziz menambah, Bersih 2.0 tidak lagi sebuah badan yang berkecuali, sebaliknya "seolah-olah sudah menjadi parti politik." Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu di ibu negara meskipun dihalang dan disekat oleh pihak berkuasa termasuk Putrajaya mengisytiharkannya sebagai sebuah badan haram. Sehubungan itu, Aziz juga berkata bagi diri beliau demonstrasi jalan raya tidak menyelesaikan masalah dan lebih malang lagi difahamkan memorandum berkaitan tuntutan mereka belum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong lagi. "Kalau mereka betul-betul jujur sepatutnya sewaktu berjumpa Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini mereka boleh menyerahkan memorandum itu. "Bukan sahaja boleh menyerahkan, malah menerangkan kenapa mereka membuat tuntutan itu. Kenapa mereka tidak melakukan itu dan memilih demonstrasi haram di jalanan?" katanya. Dalam tulisannya Aziz juga menyentuh mengenai tuntutan dihentikan amalan politik kotor. Aziz berkata, sebenarnya semua orang tidak suka orang main politik kotor dan sebab itu "kita adakan undang undang supaya orang politik ini jangan bermain politik kotor." "Tetapi politik kotor ini dilakukan oleh ahli ahli politik, sepatutnya mereka sendiri yang menghalang politik kotor misalnya dengan tidak menipu, amanah, tidak kata lain buat lain," kata beliau lagi. -TMI Ulasan GB Kempen BERSIH 2.0 adalah dari badan berkecuali. Itu sahih. Yang menyokong kempen berkenaan adalah mereka dari pelbagai parti - dan di dalam konteks BERSIH 2.0 - didapati parti komponen Pakatan Rakyat menyertainya. Ia tidak sepatutnya menjadi isu. Jika komponen BN tidak menyertainya, ia bukan salah badan NGO yang menganjurkan kempen berkenaan. Sepatutnya SPR melihat kepada isu apa yang dituntut oleh BERSIH, bukan menelek kepada siapa yang menyokong kempen berkenaan. SPR hanya mengemukakan daleh untuk berdolak-dalik sepanjang masa mengenai tuntutan yang dikemukakan BERSIH. Kedua soal Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi. Ia memang wajar. Jika tuntutan badan NGO sendiri tidak dihormati dan didengari oleh SPR, parti politik BERHAK untuk mendesak SPR supaya melaksanakan tuntutan itu>. Apatah lagi PAS sebagai badan politik yang sah di sisi perlembagaan adalah pihak yang terkena penganiayaan secara lansung hasil dari kepincangan dan sikap senget sebelah SPR selama ini. Jadi tidak salah jika PAS pula yang menjadi penggerak kepada tuntutan BERSIH yang SPR pekakkan telinga itu. Dimana salahnya? Ketiga, Pengerusi SPR mempersoalkan mengapa Ambiga tidak menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong sewaktu menemui baginda. Dengar sini Tan Sri. Jika Agong sendiri tidak mempersoalkan hal tersebut kepada Ambiga, siapa Tan Sri yang nak berlagak lebih tinggi daripada Yang Dipertuan Agong menyoal Ambiga? Jika Agong sendiri sudah bersetuju supaya perhimpunan diteruskan cuma baginda meminta ia dibuat di stadium, mengapa PM dan kabinetnya menghalang stadium merdeka digunakan dan mengapa polis menutup semua jalan menuju ke stadium berkenaan. Jika Agong sendiri sudah bersedia untuk menerima watikah tuntutan sewaktu wakil BERSIH tiba di pintu pagar istana, tiba-tiba dihalang oleh polis, binatang apakah mereka-mereka ini yang sanggup menentang titah baginda? Apa yang jelas pihak yang menentang titah Agong itu adalah pihak yang takut dengan tuntutan BERSIH kerana mereka tahu jika SPR sudah terlepas dari cengkaman mereka, harapan untuk mereka pertahankan Putrajaya terlalu tipis. Kami menyatakan dengan jelas bahawa pilihanraya perlu diadakan dengan telus, bersih dan adil. Jika SPR sudah dilihat tidak melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya secara telus dan adil, maka itu sebab mengapa rakyat menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Agong. Dan jika itu masih dihalang dan dituduh mengadakan perhimpunan haram di jalanan (sedangkan kamu-kamulah yang menghalang kami berhimpun di stadium) maka kami tiada pilihan lain selain mengadu kepada Allah s.w.t. Apabila kami merayu di "sana", bersiap sedialah kamu-kamu untuk menerima hukumanNya. Dan jika takdirnya PR memerintah selepas ini, kami tuntut SPR dibersihkan dan jika terbukti wujud salahlaku serta penipuan oleh SPR selama ini, Pengerusi dan timbalannya boleh dipenjarakan! |
Najib Masih Tenggelam Dengan Sindrom Penafian Dan Sindrom Penipuannya Posted: 17 Jul 2011 12:10 AM PDT Najib: Demonstrasi jalanan bukan jawapan, mari selesai masa PRU LONDON, 16 Julai – Datuk Seri Najib Razak berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda. "Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan," katanya dipetik Bernama Online. "Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Perdana Menteri (gambar) ketika berucap pada perhimpunan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini malam tadi. Kata Najib: "Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi)." "Apa yang kita mahu ialah sebuah negara Malaysia yang ditransformasikan, sebuah negara Malaysia yang boleh menjadi kebanggaan dan kesayangan kita," katanya lagi. "Kita mahukan sebuah negara yang boleh berdiri sama tinggi dengan negara yang maju sepenuhnya, yang boleh menjadi contoh ketara sebagai sebuah negara maju. Inilah harapan kita untuk Malaysia. "Kalau pun kami hendak dianggap membuat kesilapan, kesilapan itu semata-mata bertujuan untuk memastikan ketenteraman, keselamatan awam dan keharmonian awam sentiasa terpelihara kerana apabila berlaku sesuatu kesilapan, ia akan merebak dengan amat pantas dan sukar untuk dibayangkan apa yang akan terjadi selepas itu kerana keganasan pasti akan membuahkan keganasan juga," katanya. Merujuk kepada beberapa perkara, termasuk pencapaian pembangkang pada pilihan raya umum lepas, Najib berkata itu menunjukkan wujudnya demokrasi di Malaysia. "Dan pilihan raya di Malaysia diadakan secara bersih. Kalau anda rasa itupun belum memadai, kami akan lakukannya dengan lebih baik lagi – kami akan perkenalkan sistem biometrik, contohnya, untuk memastikan tidak wujud pengundi hantu," kata beliau. -TMI Ulasan GB Dia sudah biasa menipu, kini terus ingin menipu rakyat lagi. Dia sudah tahu bahawa fokus utama BERSIH ialah penipuan yang berlaku di dalam pilihanraya, tiba-tiba kita diajak selesaikan masalah dengan pilihanraya! Bukankah itu sikap jelek seorang PM yang masih di dalam sidrom penafian dan sindrom penipuan? Kononnya "biometrik" hendak digunakan bai membenteras pengundi hantu sedangkan ia (penggunaan bmetrik) adalah satu grand design SPR & Kerajaan bagi "membolehkan pengklonan" dilakukan dimana seorang pengundi boleh mengundi banyak kali. Bimonetrik bukan penyelesaian sekalipun ianya teknologi baru. Rakyat tidak mudah tertipu dengan idea ini. Bersih tetap menuntut supaya: 1. Bersihkan senarai undi • Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan 'pengundi hantu' seperti orang yang telah meninggal. • Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang. 2. Mereformasikan undi pos • SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi. • Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi. • Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos. 3. Gunakan dakwat kekal • Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali. 4. Masa kempen minima 21 hari • Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja. • Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja. 5. Akses media yang bebas dan adil • RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding. • Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan. • Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka. 6. Kukuhkan institusi awam Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia. Contohnya : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil. Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak. Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa. Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang. 7. Hentikan rasuah Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin. Pembelian undi harus dihentikan! Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan. 8. Hentikan politik kotor BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor. |
Apabila Melihat Islam Dari Aspek Boleh Membawa Keuntungan Duniawi Semata-mata.... Posted: 16 Jul 2011 10:50 PM PDT Rosmah: Fesyen islamik bidang menguntungkan Datin Seri Rosmah Mansor berharap Festival Fesyen Islam (IIF) akan terus menjadi pentas bagi pereka fesyen mempamerkan rekaan mereka selain menggalakkan lebih ramai menghasilkan pakaian yang menutup aurat. Isteri perdana menteri itu berkata ini akan menggalakkan kelahiran lebih ramai pereka fesyen islamik yang penting dalam memastikan kerancakan industri tersebut. "Satu masa kelak fesyen islamik juga boleh menjadi ciri kekal semasa minggu fesyen di kota-kota fesyen dunia," katanya pada jamuan tengah hari 'IFF Eastern Treasures', di London pada Jumaat. Rosmah yang juga penaung IFF berkata fesyen islamik kini menjadi bidang keusahawanan yang menguntungkan. Walaupun tidak ada data perdagangan rasmi untuk industri fesyen Muslim dunia, unjuran menunjukkan angka yang positif, katanya. Rosmah berkata bagi membolehkan industri itu berkembang pesat, pertumbuhan dan pembangunan mesti meliputi semua aspek iaitu daripada fesyen mewah kepada yang mampu dimiliki semua. Katanya beliau teruja mendengar pusat membeli-belah mewah seperti Harrods di London dan Saks di Arab Saudi telah mula menjual pakaian berunsur islamik. "Ini satu permulaan yang sangat bagus, tetapi menjadi impian saya untuk melihat lebih banyak pusat membeli-belah seperti Bloomingdales, Macy's Debenhams dan lain-lain menawarkan pakaian dan aksesori islamik sebagai sebahagian fesyen arus perdana dunia. "Pada masa itu barulah kita dapat menyatakan fesyen islamik benar-benar mendapat tempat," katanya. --Bernama Ulasan GB Demikianlah, apabila seseorang itu hanya melihat Islam dari aspek yang boleh memberikan keuntungan duniawi semata-mata, bukan kerana syariat yang mengkehendaki seseorang itu menutup aurat. Akhirnya lahirlah istilah "fesyen Islam" - tetapi masih memperagakan tubuh badan di khalayak ramai - sama sekali bertentangan dengan tuntutan syariat. Ia adalah kesan dari kejahilan, kesan dari kemunafikan - munafik kerana empunya tubuh badan sendiri tidak menutupi aurat. Akhir zamannnn.... |
Keluarga Baharudin Tuntut KPN Mohon Maaf, Abangnya Umum Sertai Pakatan Rakyat Posted: 16 Jul 2011 08:50 PM PDT Kuala Lumpur 16 JULAI : Anggota keluarga Baharudin Ahmad hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara ekoran kematian Allahyarham selepas menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu, sekali gus menuntut Tan Sri Ismail Omar memohon maaf kepada keluarganya serta seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak secara melulu ketika menyuraikan perhimpunan 9 Julai lalu. Tuntutan itu terkandung bersama empat lagi tuntutan lain dalam memorandum yang diserahkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. Keluarga Allahyarham yang hadir bersama peguam Pakatan Rakyat mahu kesemua pegawai polis termasuk pegawai tertinggi yang memerintah operasi di kawasan tersebut digantung tugas sehingga penyiasatan kes ini diselesaikan dan penyiasatan yang komprehensif tanpa sebarang percubaan untuk melindungi mana-mana pihak dijalankan dengan segera. Selain itu, turut dituntut agar laporan penuh penyiasatan ini dicetak dan disiarkan kepada orang awam serta tindakan pendakwaan dibawa ke atas semua pegawai polis tanpa mengira ketinggian pangkat yang bertanggungjawab di atas kematian arwah. Peguam N. Surendran berkata, pihak polis secara tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak bersalah dalam insiden tersebut sebelum siasatan menyeluruh dibuat. Surendran yang juga naib presiden PKR berkata, polis tidak boleh berdolak dalik dalam perkara ini kerana pihak peguam sedang mengumpulkan bukti bergambar yang menunjukkan polis menggunakan gas pemedih mata secara berlebihan. "Kami berada di sini hari ini kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan polis. Tanpa siasatan menyeluruh, percubaan melindungi kesalahan mereka telah bermula," katanya. "Ini merupakan satu jenayah. Tulang rusuk arwah patah, gigi patah, luka di bibir, apa penjelasan polis? "Kita lihat ada 'footage' kekasaran polis dan saksi sendiri nyatakan sewaktu allahyarham bergelut dalam kesakitan,tiada polis datang membantu," katanya. Memorandum tersebut diterima oleh ASP Shafiei Mohamad dan kemudiaanya dipanjangkan kepada pegawai atasan, Ramly Mohamed Yusuf atas permintaan mereka. Sementara itu, abang Allahyarham, Kasim Ahmad berkata, beliau akan terus menuntut pihak polis bertanggungjawab di atas kekejaman mereka. Beliau yang merupakan pesara tentera juga berkata, rakyat termasuk allahyarham cuma pencinta demokrasi dan polis tidak wajar bertindak kasar ke atas mereka. "Rakyat cuma keluar menuntut pilihan raya yang bersih dan adil tapi polis khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein jadikan Kuala Lumpur seperti Gaza, penuh huru-hara, jalan semua ditutup, menyusahkan orang ramai," katanya. Turut bersama dalam penyerahan tersebut ialah seorang lagi naib presiden PKR, peguam R. Sivarasa dan ketua penerangan PKR, Latheefa Koya yang juga seorang peguam bersama kira-kira 20 aktivis Bersih 2.0. -tvsnews
|
BERS✔H 2.0: Rais Tuduh Peserta Himpunan Dapat Imbuhan Macam UMNO Posted: 16 Jul 2011 08:00 PM PDT Rais mahu kaji motif sertai perhimpunan 9 Julai July 16, 2011KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang menjalankan kaji selidik untuk mengenal pasti motif mereka yang menyertai perhimpunan pada 9 Julai lalu. Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kaji selidik oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu melibatkan tiga perkara penting iaitu mengapa mereka hadir pada perhimpunan itu, imbuhan yang diterima dan perasaan mereka apabila tidak faham mengapa mereka menghadiri perhimpunan itu. "Jadi ketiga-tiga soalan itu sedang kita ajukan tetapi tidaklah dapat disusul kepada semua, sekiranya dapat kita kumpulkan sekitar 2,000 sampel, maka ia akan memberi satu pola yang kita akan umumkan kemudian. "Ini supaya kita jangan rugi dari segi perjuangan dan Gagasan 1Malaysia itu sebenarnya adalah sesuatu yang setiap individu harus menilai dan menerimanya kerana ia mempunyai tujuan murni untuk menyatu padukan rakyat," katanya dipetik Bernama Online. Rais berkata kaji selidik itu penting kerana orang Melayu kini didapati mudah tertarik dengan isu-isu politik dan terikut-ikut untuk menyertai politik jalanan tanpa mengetahui masalah dan punca mereka melakukannya. "Misalnya pada 9 Julai lalu, sedemikian ramai mereka yang terlibat tidak tahu kenapa mereka berada di Kuala Lumpur, mereka kata diberi sedikit imbuhan dan bila ditanya apa sebab datang, mereka kata sebab kawan-kawan ramai, kami pun datang, kami dapat imbuhan, jadi kami pun mengambil bahagian," katanya. Rais berkata pendirian sebegitu sebenarnya merugikan semua pihak dan perkara itu harus dan hanya boleh dijawab oleh mereka yang merencana dan menyokong perhimpunan 9 Julai. "Bukan kerajaan tidak mengiktiraf hak kita untuk berkumpul tetapi cuma setiap individu harus tahu apa sebab mereka datang dan membuat sesuatu tindakan sama ada untuk perjuangan atau untuk tujuan tertentu pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, Rais mengingatkan orang Melayu supaya tidak terkeliru dengan perkara yang berlaku pada perhimpunan haram itu kerana apa yang terjadi sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang tidak sanggup melihat kejayaan masyarakat 1Malaysia malah menganggapnya sebagai satu ancaman terhadap kelangsungan politik mereka. Rais berkata sebagai orang yang telah lama berjuang di dalam politik dan kemasyarakatan, beliau tidak mahu melihat ada orang yang bertepuk tangan melihat Melayu sesama Melayu bergaduh sedangkan perkara itu tidak membawa sebarang keuntungan. "Sampai mana kita hendak bergelut, bergaduh di politik jalanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di Dataran Merdeka atau di stadium, apa yang kita nak capai. "Orang Melayu khasnya, saya ingin memberi pandangan, kita jangan lagi bermuslihat atas perkara-perkara yang berlaku pada 9 Julai lepas, tak ada untungnya bagi kita," katanya. -TMI Ulasan GB Alahai menteri yang rendah mentaliti tetapi kuat nafsunya ini kini menuduh peserta perhimpunan BERSIH menerima imbuhan. Kita tersangatlah ingin tahu dan cabar menteri berkenaan untuk membuktikan tuduhannya itu. Beiau ingat pendemo BERSIH macam ahli-ahli UMNO BN yang jika berhimpun perlukan imbuhan, nasi bungkus dan wang upah pergi balik. Beliau masih lagi mendendangkan 1Malaysia sedangkan perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu adalah manifestasi sebenar slogan 1Malaysia dimana masing-masing melihat rakyat berbilang kaum di negara ini "bersatu hati" memperjuangkan kebenaran dan keadilan di dalam negara ini. Masa sudah sampai untuk menteri ini dibersarakan walaupun terlepas daripada dipenjarakan. Tetapi saya yakin kes beliau akan dibuka semula nanti selepas PR berjaya mengambil-alih Putrajaya. |
Pasca BERS✔H: Keadilan Untuk Baharuddin - Generasi 709 Berarak Di KLCC Posted: 16 Jul 2011 05:00 PM PDT Sekumpulan orang awam yang menggelar diri mereka sebagai Generasi 709 hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi memperingati kematian seorang peserta perhimpunan Bersih 2.0, Allahyarham Baharuddin Ahmad pada 9 Julai lalu. Kira-kira kurang 60 orang peserta perhimpunan berkenaan yang memakai pakaian bewarna kuning berarak secara aman dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menuju ke Avenue K pada jam 2.00 petang tadi. Jurucakap kumpulan berkenaan yang juga Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon menyatakan kesedihan diatas kematian Baharuddin dan menggesa polis menyiasat mengenai kejadian berkenaan. 01:30-02:18 "Kami amat prihatin terhadap kematian Baharudin dan mangsa lain semasa perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di sini. Anak saudara mangsa, Azhar Kassim, 53, berkata perhimpunan itu bertujuan bagi mendapatkan keadilan di atas kematian bapa saudaranya. 02:49-03:40 "Kami percaya pihak berkuasa gagal bertindak terutamanya dalam memberi rawatan dengan cepat kepada mangsa," katanya. Sebelum ini dilaporkan bahawa Baharuddin iaitu suami kepada Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa yang dipercayai turut serta dalam perhimpunan berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung. Polis juga telah menafikan dakwaan yang dibuat menerusi beberapa laman web yang mendakwa Baharuddin meninggal dunia selepas terkena gas pemedih mata. -tvsnews
|
Gema "SHAME ON YOU" Di London Bakal Akhiri Pemerintahan Najib Sebagai PM Malaysia Posted: 16 Jul 2011 03:20 PM PDT Berdasarkan kepada perkembangan mutakhir, nampaknya kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri semakin goyah. Perlekehan beliau terhadap BERSIH 2.0 serta penipuan yang dibuat terhadap rakyat di dalam soal penyediaan stadium memakan dirinya sendiri. Kini rata-rata sokongan rakyat terhadap BERSIH semakin meningkat. Jika perhimpunan 50,000 pada 9 Julai lalu diperlekehkan oleh polis dan Najib sebagai hanya 5,000, kini Tuhan membukakan mata semua untuk melihat bahawa bilangan rakyat yang menyertai BERSIH sebenarnya lebih daripada 50,000 - mungkin 500,000, munkin 5 juta mungkin 15 juta, hanya kerana ramai diantara mereka adalah majoriti senyap yang tidak dapat hadir ke perhimpunan kerana telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Jika tidak sepastinyalah hari ini juga kemungkinan Najib sudah terbongkang dari kerusi "menteri perdana"nya. Pertama kali di dalam sejarah BERSIH, ia tersebar dan disambut di seluruh pelusuk dunia (bukan sekadar di Malaysia). Jika di dalam negara sambutan Bersih di kekang oleh Polis & FRU, tetapi di luarnegara mereka bebas. Dan GB percaya bilangan mereka yang menentang Najib (setidak-tidaknya di dalam isu BERSIH) semakin membuak dan membesar. Dan satu ciri yang menarik pada BERSIH kali ini ialah ia disertai oleh rakyat yang multi-racial bukan lagi terhad kepada kelompok etnik Melayu seperti di dalam BERSIH 1.0. Apa yang berlaku itu menunjukkan juga pemerintahan Najib sudah berada di penghujung jalan. Jika sebelum ini diketahui, dahulu, Najib begitu beriya-iya ingin mengambil-alih tampuk pemerintahan dari tangan Pak Lah, kini, Najib akan merasakan hal yang sama malah mungkin lebih dasyat. GB difahamkan, pelbagai tekanan dilakukan oleh pihak Najib ke atas pentadbiran Pak Lah supaya Pak Lah berundur dan terpaksa melambaikan tangan mengucapkan sayonara kepada Jabatan Perdana Menteri lebih awal... tidak dapat memenuhi hasratnya menjadi PM selama dua penggal (Tempoh Pak Lah sebagai PM ialah 31 Oktober 2003 – 3 April 2009). Kini hukum alam mengambil tempatnya. Roda berputar dan Najib perlu merasai bagaimana beliau kini ditekan oleh rakyat supaya berundur kerana kekejaman itu tidak akan dapat mengatasi kebenaran. Dan terdapat juga kemungkinan Najib bakal mengakhiri pemerintahan sebagai PM lebih awal daripada Pak Lah. Di bawah ini sebuah sketsa dari London. Dipetik dari sebuah blog bernama Jalanpulang1978. Menyaksikan detik bagaimana seorang PM Malaysia menerima penghinaan yang amat sangat dari rakyatnya sendiri di luarnegara sehingga rakyat sudah tidak lagi menaruh simpati kepadanya: SHAME ON YOU NAJIB!
|
Larangan Baju BERS✔H, Helah Polis Untuk Jawab Kegagalan Beri Permit & Keganasan Polis Posted: 16 Jul 2011 08:30 AM PDT Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa larangan pemakaian baju-T Bersih adalah percubaan Menteri Dalam Negeri untuk mengelak dari kegagalan menjawab dua isu utama, iaitu pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis ketika cuba menyuraikan peserta Himpunan Bersih 2.0, pada 9 Julai lalu secara profesional. Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, pihaknya mendakwa larangan oleh Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob itu didorong oleh laporan pihak berkepentingan berikutan kejayaan gerak kerja Biro Penerangan AMK Malaysia pada 9 Julai lalu. "Walau apapun yang cuba dipolitikkan oleh polis dan Perdana Menteri, Najib Razak nyata larangan ini seakan untuk lari daripada kegagalan menjawab isu utama. "Keengganan dan dolak dalik pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis semasa mengawal perhimpunan hingga menyebabkan kematian, mendatangkan beratus kecederaan selain kemudaratan pada bangunan akses awam seperti Hospital Tung Shin yang terletak berhampiran Stesen Puduraya, KL," Razon berkata demkian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkanya lewat petang semalam. Rabu lalu, media alternatif melaporkan aktiviti jualan tali leher kuning Bersih 2.0 mendapat sambutan mengalakkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ketika persidangan Dewan Undangan Negeri itu berlangsung. Sehubungan itu Ketua Polis Shah Alam, ACP Ahmad Zahedi Ayob mengeluarkan arahan larangan penjualan barangan tersebut termasuk baju-T yang mempunyai logo dan tulisan Bersih 2.0. "Tindakan menahan, melarang dan cubaan menakutkan rakyat daripada memakai barangan yang menyatakan sokongan kepada Bersih 2.0 mahu pun pakaian berwarna kuning seperti baju kemeja-T, tali leher atau pengedaran risalah tidak harus menjadi isu. "Penahanan untuk disoal siasat tidak sepatutnya menjadi isu kerana perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai telah selesai. Pihak polis perlulah bersikap profesional dengan tidak mengekang atau menghalang kebebasan rakyat. Katanya, penjualan barangan seperti baju T dan tali leher yang mempunyai logo Bersih 2.0 tidak mendatangkan sebarang mudarat mahupun isu konflik kepatuhan perundangan. Justeru, AMK bersedia untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri sekiranya memerlukan penjelasan bagi memastikan rakyat tidak ditekan dengan isu hak dan akses maklumat asas. Dalam pada itu, AMK memaklumkan suatu program bagi memperingati kematian peserta himpunan aman Bersih 2.0, Allahyarham Baharudin Ahmad akan diadakan di Avenue K, Jalan Ampang (hadapan KLCC) pada 16 Julai, jam 5 petang ini. -tvsnews |
Propaganda Murahan Burukkan BERS✔H Tidak Laku Posted: 16 Jul 2011 06:45 AM PDT Catatan 709: Propaganda murahan tidak laku Demokrasi mempunyai dua aspek. Pertama-tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih daripada sekadar sebuah agama ritual (ed -GB). Di Eropah pula, ide demokrasi dikembangkan melalui sekularisme (Niccolo Machiavelli), Negara Kontrak (Thomas Hobbes), pengasingan kuasa (John Locke) yang disempurnakan (Baron de Montesquieu), kedaulatan rakyat dan kontrak sosial (Jean-Jacques Rousseau). Doughlas Lummis kemudian datang dengan ide demokrasi radikal tentang perlunya meredefinisi demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog. Katanya, "Democracy doesn't means 'feeling' powerful. It means holding real power… Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom". Proses inilah yang berlaku pada 9 Julai 2011/ 7 Sya'aban 1432. Perhimpunan aman BERSIH juga diadakan di 18 buah bandar, mungkin lebih, yang melibatkan New Zealand, Korea dan lain-lain. "Anwar Dalang Perhimpunan Haram", "BN Tak takut", "Proses demokrasi salah" dijadikan tajuk berita media perdana agar perhimpunan dipandang serong. Stadium Merdeka mula dicanang mempunyai simbol negara. Walhal pada suatu ketika, stadium itulah yang mengalu-alukan Justin Bieber dan bakal dirobohkan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat. Ramai masih dalam bebalisme-nya itu, tidak terkecuali para cendekiawan, yang "ter"pelajar dan penganut agama rasis- masih kukuh pendirian "orang Melayu itu seperti boneka yang dimainkan 'bangsa' lain". Perhimpunan 9 Julai antaranya melibatkan wakil rakyat seperti Saifudin Nasution dan Liew Chin Tong dan ramai lagi, basah dengan rahmat rabbal alamin. Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan "boneka" Melayu sahaja, tetapi etnik Cina dan India. Inilah Malaysia yang rakyat perlukan. Tiada sempadan kelas, etnik, agama, gender yang menghalang hasrat rakyat yang inginkan keadilan (atau dengan "K" besar). Tiada siapa-siapa yang mampu untuk berkompromi dengan penindasan. PM iaitu Perdana Menteri yang tercinta turun padang hanya selepas 24 jam perhimpunan diadakan semalam. Tidak cukup berani untuk berdepan dengan massa semalam. Hari ini (10 Julai 2011), kelihatannya yang beramai-ramai bersama beliau itu hidungnya terletak, orang luar, mungkin orang yang sama dalam "perhimpunan" Patriot. Malah, orang awam mengatakan baju Patriot disebarkan dengan percuma kepada mamat-mamat Bangladesh di KL. NGO terus mengutuk perhimpunan ini seperti pengerusi silat gayong - meminjam kata Hishamudin Rais, taktik persilatan ghaib amat berkesan semalam. "Baru kena sikit tear gas, muka dahi berkerut, macam dah kena belasah je…lepas tu dah terlentang di hospital."- PM Benarlah kata Rosmah sebelum ini yang ditemubual akan hal suaminya, PM kita ini pandai bergurau! Jika lihat di berita TV3 jam 8 malam semalam, orang yang dimaksudkannya itu mungkin Khairi Jamaludin! Malah, kodok besar yang selama ini menyanyikan lagu sumbang, juga tidak ada semalam. Kodok yang satu ini tidak lebih tidak kurang seperti Encik Ghaffar. Rakyat masih ingat kata-kata Ibrahim Ali yang lancang menyuruh Cina duduk rumah. Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang berani dan pihak yang kecut. BERSIH 2.0 dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multi etnik. Mereka berganding bahu melindungi satu sama lain, menghulur tangan bagi mereka yang tersungkur di jalan dan memberi air mineral dan garam kepada yang lain. Mereka yang merupakan "bangsa pendatang", "kafir", dan entah apa lagi tohmahan ini melindungi pakcik-pakcik tua dan anak muda tampan yang sedang solat dalam hujan tetapi diserang atas arahan parti yang dikatakan membela "bangsa" dan agama. Di situ, hari itu, cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, "bangsa". Mereka berkongsi agama Cinta, rentas agama, etnik/ kaum, gender; mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri. Perempuan juga sehebat bilangan lelaki turun ke jalan, lagaknya tidak seperti Maria Sunari dan Musa Elba. OKU juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan "Hidup Rakyat", "Daulat Tuanku", dan nyanyian lagu Negaraku. Unit amal terus mengawal lalu lintas, mereka yang hadir walaupun tidak cukup jari yang mengira, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah gerangan yang senang-senang dibodohkan dengan "BERSIH 2.0 tidak mendapat sokongan"? Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7 dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas. Sekejap kerugian peniaga mencecah RM1 juta, sekejap RM100 juta? Setelah kerajaan mengarahkan peniaga-peniaga menutup kedai, kini melalui presiden Ikhlas dengan tag 1Malaysia di dadanya menawarkan khidmat percuma peguam kepada peniaga-peniaga?? Berita Harian juga tidak terlepas mempamerkan gambar pemuda memegang senjata berupa pisau semasa "perhimpunan haram". Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan satu. Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih untuk disampaikan pada anjing-anjing penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning dengan mesej "balloons not bombs". Namun, semua itu dibalas dengan tuba. Media sebagai aparatus politik terus mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan menipu orang ramai. Solidariti yang ditunjuk semalam itu tidak mampu dibeli dengan harga RM200, mungkin hanya dalam perhimpunan Belia di Putrajaya. 907 itu ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami. Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja turun. Tambah lucu, penganjur dan pengikut perhimpunan ini dikatakan "menderhaka/ mengkhianati perintah YDP Agong". Orang ramai ada di Brickfields, ada di Hospital Tung Shin, dan ada juga yang memenuhkan jalan-jalan di hadapan KLCC, tertera "Daulat Tuanku" di situ. Mereka duduk. Sambil mendengar ucapan. Helikopter berlegar-legar di langit pun tidak mampu menutup suara dan telinga yang ingin mendengar. Ada juga yang sanggup keluar dari BMW untuk duduk mendengar bersama. Membuat stadium mereka sendiri. Semua ini gara-gara stadium tidak diberi, permit tidak dikeluarkan, "pertubuhan" BERSIH diharamkan kerana yang di atas itu tidak mampu atau mahu mengabulkan tuntutan berkehendakkan pilihan raya bersih. Hari itu di sekitar Kuala Lumpur diakhiri dengan "tren rakyat". Di KL central pada malam harinya, kelihatan ramai yang melabuhkan punggung di lantai menantikan pembohongan tepat jam 8 malam. Berita Utama TV3 hanya menjadi hiburan bukannya alat hegemoni. Dalam tren, ramai yang masih melaungkan "Hidup hidup, hidup Rakyat!" sambil memberi laluan pada yang lain. Kata mereka ini tren rakyat, dan dengan senangnya perempuan masuk ke dalam gerabak bukan-perempuan. Budak- budak muda semuanya mendengar kata-kata nasihat dan komen orang tua yang juga penumpang. Gelak tawa seolah difahami pelancong luar yang ada. Sesudah tiga orang tua itu turun di Bandar Tasik Selatan, kedengaran takbir dilaung berkali-kali. Beberapa minit kemudian, tren berhenti di UKM. "FRU dan kereta black Maria telah menjadikan UKM sebagai tempat mereka keluar masuk." Universiti yang didirikan atas usaha rakyat, kini menjadi balaci penguasa yang zalim! Itulah mesej yang tertera di media baru seperti Tweeter, Facebook, WhatsApp. Walaupun tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk bersuara. Penguasa bukan sahaja menggunakan berpuluh trak FRU tetapi polis dengan anjing buruan, polis yang berkuda di sekitar KL dan telah memberi amaran awal jika keadaan tidak terkawal, tembakan dengan peluru juga akan dibenarkan. "dispersed or we'll shoot" itu tidak lagi hanya tembakan gas pemedih mata. Penguasa harusnya menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat bukan melindungi tembolok diri dan anak cucu cicitnya. -[Aisyah] MR Nota: i. Encik Ghaffar ialah watak dalam cerpen Tamrin Gil karya A. Samad Said. ii. Maria Sunari dan Musa Elba ialah watak dalam karya A. Samad Said berjudul Malam Merangkak ke hujungnya. |
Adalah Menjijikkan Polis Tanpa Rasa Malu Menafikan Perbuatan Menembak Ke Arah Hospital Posted: 16 Jul 2011 03:50 AM PDT Badan induk doktor swasta mahu 'kemuliaan' hospital dijaga Badan mewakili pengamal-pengamal perubatan mempertahankan pendirian 11 doktor Hospital Tung Shin berhubung insiden 9 Julai sambil menegaskan, hospital wajar dilindungi pihak berkuasa sepanjang masa. "Ini sebahagian daripada tugas moral kerjaya perubatan (contohnya kesemua doktor) untuk memaklumkan kepada mereka yang secara tidak sengaja ataupun sebaliknya telah melanggar kemuliaan hospital ketika keadaan tidak terkawal dan tidak diingini," kata Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) Dr Steven K W Chow dalam satu kenyataan malam tadi. Badan itu mengeluarkan kenyataannya dua hari selepas pendirian 11 doktor hospital berkenaan bahawa pihak polis telah menggunakan langkah melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke arah pekarangan hospital semasa hendak menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 2.0. Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina di Jalan Pudu di sini Sabtu lalu. Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor. Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian. Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong. "Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali," kata mereka dalam kenyataan itu. Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin ketika cuba meleraikan perhimpunan Bersih 2.0. Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman Md Isa. Dalam kenyataannya Chow juga berkata, pihaknya faham bahawa menjadi pendirian kerajaan Malaysia bersama dengan hospital-hospital lain apabila menjadi sasaran sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya di mana-mana bahagian di dunia. "Ia juga tanda aras masyarakat madani," kata beliau lagi. Justeru jelas Chow, keputusan 11 doktor kelmarin bertujuan menekankan semula sokongan konsisten pengamal perubatan yang selari dengan pendirian moral "kerajaan kita dalam isu ini." Malah kata Chow, tindakan doktor-doktor berkenaan seharusnya diterima dalam semangat yang baik memandangkan menjadi tugas mereka bagi memastikan bahawa pesakit-pesakit, yang tiada kaitan langsung dengan perhimpunan Sabtu, tidak didedahkan kepada bahaya atau kesulitan yang tidak sewajarnya. "Tindakan tidak membuat apa-apa adalah satu kelalaian dalam kerjaya mereka," katanya yang sekali lagi menekankan, FPMPAM menyokong tindakan doktor-doktor kanan berkenaan. Kata Chow, pihaknya pasti bahawa kesemua doktor, sama ada swasta dan awam, akan merasakan begitu apabila kemuliaan hospital dan pesakit mereka berhadapan dengan situasi sedemikian. -TMI |
Ultimatum BERS✔H: Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya Posted: 16 Jul 2011 02:00 AM PDT Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya." Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera. Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu. Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu. "Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya. Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih. Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan. Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja. "Dalam perbincangan antara Bersih 2.0 dan SPR, kita sudah jelaskan mereka ada kuasa untuk merubah undang-undang dan mengemukakan kepada kabinet. Tapi mereka menghadkan peranan dengan mengatakan mereka hanya pentadbiran. "Jadi inilah (sebenarnya) empat tuntutan yang utama (dalam aspek) pentadbiran. Membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Ini tidak perlu ubah undang-undang. Jadi saya rasa sekarang mereka tidak ada alasan (untuk tidak) melakukan dalam tempoh tiga bulan," kata beliau. Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini mengakui kelemahan aspek komunikasi suruhanjaya itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan kepada rakyat tentang langkah penambahbaikan sistem pilihan raya. Beliau turut berdalih tentang ruang yang terhad berikutan terikat dengan Akta Pilihan Raya 1957 selain mendakwa Bersih 2.0 membuat andaian tanpa sebarang bukti. Beliau juga mendakwa pembangkang memanipulasi isu ketelusan pilihan raya sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan pada 9 Julai lalu. Mengulas perkara itu, Maria menyahut baik tindakan SPR untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat namun katanya, tuduhan bahawa Bersih tampil tanpa sebarang bukti ternyata meleset. "Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Semalam, ada individu yang daftar dua kali menggunakan kad pengenalan yang sama dan dia telah mengundi dua kali tetapi dua tempat berasingan. "Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ianya akan memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang," ujar beliau lagi. Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di internet. Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal. Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal. Jelasnya lagi, dakwat kekal telah digunapakai di kebanyakkan negara termasuk India di mana perlaksanaannya memberangsangkan. Maka menurut Maria tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian. Sehubungan dengan itu kata beliau, Bersih bersedia untuk mengadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan. -tvsnews |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan