Rabu, 13 Julai 2011

Kelab Greenboc

KELAB GREENBOC

Kelab Greenboc


Najib Tiba Di Britain Hari Ini Tanpa Hamparan Permaidani Merah?

Posted: 13 Jul 2011 01:15 AM PDT

Ramai memberikan perhatian ketibaan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Britain hari ini yang tidak disambut dengan hamparan permaidini merah seperti lazim diberikan kepada tetamu-tetamu istimewa negara tersebut.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh Bernama hari ini lansung tidak menunjukkan keadaan tapak lapangan terbang, malah foto-foto itu diambil tanpa menunjukkan kaki-kaki Perdana Menteri dan lain-lain menjejaki tanah mungkin bagi mengelakkan ternampaknya ketiadaan permaidani merah berkenaan.

Dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri terbang ke London selepas menamatkan lawatannya ke Turkmenistan.

Najib tiba di lapangan terbang Farnborough pada 3.45 petang waktu tempatan (10.45 mlm Malaysia) dan hanya disambut oleh Wakil Khas kepada Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel John Mcdonald, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong.

Perdana Menteri dijadual bertemu pemimpin kerajaan UK dan tokoh-tokoh industri semasa lawatan itu yang dibuat atas jemputan Perdana Menteri Britain David Cameron. Najib juga dijadual menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.

Semalam, Amnesty International telah mendesak Britain supaya memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, yang didakwa menyaksikan tindakan keras kerajaan Malaysia ke atas peserta perhimpunan.

Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest berkata, selain menahan peserta perhimpunan pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka.

Dalam kenyataannya, Guest berkata ramai peserta perhimpunan telah dikasari oleh pihak keselamatan.

"Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat.

"Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan," katanya.

Justeru kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

"Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia.


"David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima," katanya.

Sebelum itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membidas kerajaan Malaysia dan telah menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah "menghadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan."

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam kelmarin.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Frank La Rue, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi.

Rakyat Indonesia Turut Sokong BERS✔H, Adakan Protes Di Kedutaan Malaysia

Posted: 12 Jul 2011 11:30 PM PDT

Warga Indonesia protes di Kedutaan Malaysia, sokong Bersih

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Dilihat tindakan membantah langkah kerajaan Malaysia menghalang perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu, kira-kira 20 warga Indonesia mengadakan demonstrasi di pekarangan Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.

Sekumpulan rakyat Indonesia pernah mengadakan demonstrasi di pekarangan Kedutaan Malaysia sebelum ini berhubung isu membabitkan Malaysia dan Indonesia.

Usaha Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya bersih dan adil turut disambut rakyat Malaysia di beberapa negara lain.

Menurut laporan Jakarta Globe hari ini, mereka yang menyertai perhimpunan di depan Kedutaan Malaysia semalam melaungkan "bersih", malah peserta yang mewakili pertubuhan Gabungan Pertubuhan Sivil Untuk Malaysia Bersih turut membawa sepanduk tertulis "Bersih Malaysia Bersih Indonesia".

Malah menurut laporan itu, peserta perhimpunan seolah-olah bertindak membersihkan pintu pagar kedutaan dengan pencuci lantai dan berus.

Selain itu, ada peserta yang turut memakai topeng daripada animasi kanak-kanak popular Malaysia iaitu "Upin & Ipin".

Salah seorang peserta berkata perhimpunan itu tidak bermaksud mahu kerajaan Indonesia bercampur tangan tetapi ingin mengingatkan pentadbiran Susilo agar memenuhi janji-janji yang telah dibuat sejak 10 tahun lalu diikuti kejatuhan presiden Suharto.

"Indonesia juga harus mendesak sistem demokrasi di Malaysia kerana ia boleh menjejaskan ramai rakyat Indonesia di Malaysia dan ini satu peringatan kepada Indonesia supaya tidak kembali seperti dahulu," kata Haris Azhar, pengerusi Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras), dengan merujuk kepada ribuan warga negara itu yang bekerja di Malaysia.

Kontras, satu pertubuhan yang terdiri daripada Lembaga Studi dan Advokasi Masyarakat (Elsam), Pemerhati Rasuah Indonesia (ICW), Lembaga Bantuan Hukum (LBH) dan Kumpulan Hak Asasi Manusia serta beberapa pertubuhan lain.

Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan ahli-ahli politik kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ditahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Wakil Elsam, Wahyudi menuntut pihak berkuasa Malaysia membebaskan semua tahanan yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Aktivis itu berkata perhimpunan hujung minggu lalu mengingatkan tentang reformasi di Indonesia pada 1998.

"Sebagai negara berjiran, Indonesia perlu menjadi contoh kepada Malaysia," katanya.

Sementara itu, Nurkholis Hidayat dari LBH berkata, gabungan tersebut berkemungkinan akan mengadakan satu perhimpunan walaupun tidak mempunyai sebarang kerjasama rasmi dengan Bersih 2.0.

"Kami lakukan ini sebagai menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, kami membantah penahanan aktivis Malaysia yang berhimpun secara aman di atas prinsip itu," katanya. -TMI


Demos are fine by Asean, say Jakarta protesters


A group demonstrates outside the Malaysian embassy to make the point that freedom of expression is not alien to Southeast Asian culture.

In another sign of international support for Bersih 2.0, a group of Indonesians today demonstrated outside the Malaysian embassy in Jakarta and refused an invitation to go inside, preferring to "express freedom of expression" in public view.

"We wanted to make the point that freedom of expression is not alien to Southeast Asian culture and guaranteed under the Asean Charter," Haris Azhar, the leader of the group, told FMT by phone.

Haris is a coordinator for Indonesia's Federation of Commissions for the Disappeared and Victims of Violence (KontraS). He said today's demonstrators represented several Indonesian civic groups.

"When we reached the place, there were already 60 to 80 policemen waiting," he said. "They told us a few representatives could enter to meet with the officials, but we refused.

"We refused because we wanted to express of freedom of expression. We wanted to show that it is totally fine for Southeast Asians to assemble and voice their views."

He said Indonesian civil society was "a hundred percent" in solidarity with Malaysians demanding for their rights.

He described the Malaysian authorities' handling of last Saturday's Bersih rally as a violation of human rights and "totally nonsensical".

"The Asean Charter clearly states that fundamental freedoms and human rights are recognised," he said. "The way the Malaysian government acted, they have broken this law."

All ten members of Asean adopted the charter in 2007 to serve as a constitution for the association. -FMT


Polis Dipermainkan Dengan Panggilan Bom Palsu Di Komtar

Posted: 12 Jul 2011 10:40 PM PDT

Bukan bom tapi beg berisi babi, biawak, itik

Panggilan telefon mendakwa ada bom di Komtar, di Georgetown, petang semalam, yang memaksa polis mengosongkan bangunan itu membawa kepada penemuan tiga beg yang masing-masing mengandungi seekor anak babi, biawak dan itik hitam.

Beg berwarna biru, hitam dan merah itu ditemui ditinggalkan di depan pintu lif di tingkat tiga bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan termasuk Pejabat Ketua Menteri.

Marah dengan perkara berkenaan, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayob Yaakob berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

"Ini kerja gila dan kita akan siasat. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang padah. Saya bagi amaran kepada semua, jangan main-main. Ini sudah melampau," katanya ketika dihubungi.

Mengulas kejadian itu, Ayub berkata polis menerima panggilan ancaman bom kira-kira pukul 4 petang.

Susulan itu polis mengosongkan Komtar dan sepasukan Unit Pengesan Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 dihantar ke situ.

Polis menemui tiga beg yang dalam keadaan mencurigakan, namun apabila dibuka masing-masing mengandungi tiga ekor anak haiwan terbabit.

Ayub berkata usaha mengesan pelaku sedang dibuat termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup.

Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pemimpin kerajaan negeri berdasarkan tag nama mereka yang diikat pada beg terbabit. - Bernama

Ulasan GB

Akhirnya polis tertipu. Ditipu oleh puak pelampau berdasarkan kenyataan polis bahawa:

Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pemimpin kerajaan negeri berdasarkan tag nama mereka yang diikat pada beg terbabit.

Rakyat sedia maklum siapa mereka itu yang selama ini berhiruk-pikuk di bangunan Komtar.

Pada 2 Julai lalu, kumpulan inilah yang dipercayai melakukan demo di Pulau Pinang. Baca: [Bergambar] Dunia Saksikan, Bukan BERSIH Tetapi UMNO Pencetus & Peneraju Keganasan.

Belum ada sebarang tindakan untuk mendakwa mereka yang terlibat di dalam "perhimpunan haram" di atas.

Malah sebelum ini pun kumpulan ini jugalah dalang kepada beberapa siri demo di depan KOMTAR dan di negeri Pulau Mutiara itu.

Dan tiada tindakan polis polis ke atas mereka menyebabkan mereka menjadi bertambah lemak untuk MENIPU polis dengan panggilan palsu wujudnya bom di Komtar semalam. Mereka merasakan polis di pihak mereka, maka sebab itu mereka seolah-olah bebas untuk melakukan apa saja.

Selama ini polis hanya bertindak tegas kepada golongan Pakatan Rakyat dan mereka yang tidak menyokong UMNO BN. Akhirnya kini Polis sendiri sedar siapa sebenarnya pengacau keselamatan dan keamananan negara. Polis ditipu dan dihina oleh mereka.

Apa lagi polis? Kasi hantam mereka secukupnya, jika tidak mahu dipermainkan lagi oleh mereka ini.


Sokong BERS✔H Dengan Pakai Kuning Setiap Sabtu

Posted: 12 Jul 2011 09:10 PM PDT

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 hari ini mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memakai pakaian berwarna kuning setiap Sabtu untuk menunjukkan sokongan secara berterusan dalam usaha mereformasikan proses pilihan raya di negara ini.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan pada satu sidang media di ibu negara hari ini.

"Sehingga reformasi pilihan raya dilakukan, kita meminta rakyat memakai warna kuning setiap hari Sabtu. Tak kiralah baju, atau sarung tangan atau apa-apapun yang berwarna kuning," kata beliau.

Sabtu lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia hadir berhimpun untuk menyokong tuntutan reformasi pilihan raya tersebut di pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kerajaan pusat dan polis bertindak ganas dalam menyuraikan mereka dan seolah-olah cuba 'melenyapkan' perkara tersebut di media arus perdana.

Lapan tuntutan tersebut adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.

Ambiga turut menyambut baik tawaran untuk berbincang dengan Pemuda Umno mengenai sistem pilihan raya di Malaysia.

Menurut Ambiga, ia satu perkara yang sihat dan menyatakan Bersih bersedia menjemput sesiapa sahaja untuk mengadakan perbincangan terbuka termasuk Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mengenai tuntutan mereka.

"Kami bersedia untuk berbincang dan berdebat secara terbuka dengan sesiapa pun. Saya rasa ia perkara yang sihat," kata beliau.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam twitternya menjemput Bersih untuk berdebat mengenai tuntutan tersebut.

Khairy turut menyatakan beliau dijadualkan mengadakan dialog bersama SPR dalam masa dua minggu dan menyatakan ianya lebih berkesan dari apa yang dilakukan Bersih.

Khairy pada hari sama dengan Bersih, memimpin 500 pemuda Umno yang dinamakan Patriot berarak sejauh 200 meter di Bukit Bintang bagi membantah himpunan Bersih 2.0. -tvsnews







Polis Tembak Gas Pemedih Mata Dalam Jarak Dekat Sebabkan Kecederaan

Posted: 12 Jul 2011 07:30 PM PDT

Polis tindak melampau ke atas peserta Bersih, kata Majlis Peguam

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Polis telah bertindak secara "rambang, sembarangan dan melampau" dengan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata dalam jarak yang dekat serta di bawah aras mata terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, kata laporan pemerhatian Majlis Peguam.

Laporan itu mengatakan polis melepaskan gas pemedih mata dengan tujuan mahu menyebabkan kecederaan.

Pada Sabtu lalu, Majlis Peguam telah meletakkan anggotanya di beberapa lokasi untuk memantau perhimpunan itu.

Ia mendedahkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berjalan dalam suasana aman sekiranya polis tidak melepaskan gas pemedih mata ke atas peserta.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata, pihaknya akan membentangkan hasil laporan itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada pertemuan yang dijangka akan diadakan minggu ini.

Pasukan pemantauan itu, kata Lim, melaporkan beberapa insiden kecil di mana peserta berkelakuan liar dengan melempar botol air mineral ke atas wartawan stesen televisyen.

Mereka lakukan dengan aman, kata Lim sambil menambah, peserta perhimpunan melaungkan "Hidup Rakyat", "Bersih" dan "Reformasi" selain turut menyanyikan lagu "Negara Ku" semasa dalam perjalanan ke Stadium Merdeka sebelum dihalang polis.

Bagaimanapun polis, menurut Lim, telah menggunakan senjata seperti gas pemedih mata dan meriam air secara "rambang, sembarangan dan melampau" untuk menghuraikan peserta.

"Ada beberapa pegawai yang menyatakan polis telah memberi amaran sebelum menggunakan gas pemedih mata dan meriam air. Bagaimanapun ia begitu sukar untuk kumpulan yang besar mendengar apa yang dikatakan,"
katanya semasa menyampaikan kesimpulan laporan perhimpunan itu.

Lim menambah ada satu insiden yang menyaksikan peserta berkumpul beramai-ramai di belakang Kompleks Dayabumi kerana tiada jalan untuk melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

"Ia juga berlaku di kawasan Puduraya. Anda melepaskan tembakan di kedua-dua arah tanpa ada jalan melarikan diri. Anda sepatutnya menembak untuk menyuraikan peserta ... semua strategi ini tidak perlu dilakukan,"
katanya.

Lim berkata berdasarkan dua laporan Suhakam, polis telah melakukan kesilapan pada Sabtu lalu kerana gagal mengawal perhimpunan itu.

"Anda tidak perlu menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ... anda boleh gunakan pendekatan memujuk dengan peserta. Polis sepatutnya mengurangkan menggunakan senjata.

"Pegawai polis yang ditugaskan untuk menangani perhimpunan perlu mencari pemimpin dan tarik perhatian mereka. Jika mereka tetap mahu bergerak dan mengganggu ketenteraman awam, sepatutnya beritahu kepada mereka agar tidak bergerak, kemudian tanya kepada mereka berapa lama masa diperlukan untuk berucap dan selepas selesai, mereka akan bersurai," katanya.

Lim berkata terdapat seorang pegawai polis bernama "Suhaimi" telah menunjukkan toleransi sementara ramai di kalangan mereka sikap yang tidak sepatutnya.

"Ada pelbagai sikap di kalangan mereka. Seperti — saya mahu lawan anda kerana anda mahu lawan dengan saya ... saya mahu tangkap anda dan pukul anda sehingga jatuh dan menangkap anda. Pemikiran seperti ini perlu diubah. Polis sepatutnya bertindak melindungi kita, membantu menjayakan perhimpunan bukan bertindak menindas," katanya.

Lim juga menambah cara polis menangani peserta perhimpunan dengan menggunakan gas pemedih mata dalam jarak yang dekat dan di bawah paras mata seolah-olah mahu mencederakan bukan menyuraikan.

"Jika menggunakan dengan cara tertentu, ia boleh menjadi senjata membunuh. Kami juga menyaksikan sendiri bagaimana polis menyerang peserta," katanya tetapi menambah, pihaknya tidak memperoleh sebarang rakaman video berhubung keganasan polis.

Beliau menambah Ismail bersetuju untuk mengadakan pertemuan dan pihaknya akan menggesa polis agar menjalankan siasatan secara komprehensif berhubung perhimpunan Sabtu lalu dan melibatkan Suhakam. -TMI


Majlis Peguam: Hospital Tung Shin Jadi Sasaran


Walaupun Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bertegas menafikan polis melepaskan gas pemedih mata dan memancutkan air berkimia ke Hospital Tung Shin dalam perhimpunan Sabtu lalu, pasukan pemantau Majlis Peguam hari ini tampil dengan pengakuan lebih ramai saksi berhubung apa yang sebenarnya terjadi.

Hasil kompilasi daripada 100 pemerhatinya sepanjang perhimpunan itu, presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata polis didapati melepaskan gas pemedih mata dan meriam air secara sembarangan dan berlebihan ke atas rakyat yang berhimpun dengan aman.

Air berkimia yang dipancutkan oleh polis, kata Lim pada sidang medianya di pejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur turut dihalakan ke perkarangan Hospital Tung Shin, dan menurut beberapa saksi, kanister gas pemedih juga dilemparkan ke kawasan hospital.

Beliau juga menayangkan visual yang dirakamkan oleh seorang pemerhati yang menunjukkan hospital itu dijadikan sasaran tembakan meriam air semasa perhimpunan berkenaan. -mk


BERS✔H Gesa Tubuh Suruhanjaya Diraja & Sedia Cabar Arahan Menteri KDN

Posted: 12 Jul 2011 05:35 PM PDT

Pilihanraya Bersih: Tubuh Suruhanjaya DiRaja, kata Ambiga

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mahukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menambah baik proses pilihanraya secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Presidennya Ambiga Sreenevasan berkata penubuhan RCI itu akan menjadi agenda utama Bersih setelah gabungan itu berjaya menghimpunkan puluhan ribu orang di Kuala Lumour Sabtu lalu untuk menuntut pilihanraya yang adil dan telus.

"Kami percaya langkah terbaik untuk terus maju ke hadapan adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana ahli-ahlinya dipilih dan diterima rakyat," kata beliau dalam satu sidang media di sini.

Beliau merujuk kepada laporan Berita Harian hari ini bahawa sebarang perubahan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dibuat atas inisiatif badan itu sendiri dan bukan kerana akur kepada tuntutan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Ambiga berkata SPR harus membuktikan kesungguhan mereka untuk merealisasikan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya adil dan bebas.

"Kami menyeru supaya perkara berikut dilaksanakan. Pindaan ke atas proses pilihan raya yang telah dicadangkan oleh SPR kepada pihak kerajaan yang tidak dilulus harus diumumkan kepada orang ramai. Dan dialog umum dengan SPR berkenaan dengan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0," perlu dilakukan kata Ambiga.

Beliau juga kesal dengan tindakan polis yang secara terus-menerus membuat gangguan terhadap mereka yang menyokong Bersih atas alasan ia sebuah organisasi haram.

Semalam, beberapa orang di Johor Bharu dan Sandakan telah ditangkap kerana memakai baju kuning berlogo Bersih.

Ambiga menyatakan Bersih kini sedang meminta campur tangan mahkamah bagi mencabar arahan Menteri Dalam Negeri itu.

"Mereka melakukan tangkapan atas arahan KDN kerana mendakwa kami tidak sah. Oleh itu kami failkan permohonan di mahkamah untuk cabar arahan menteri,"
katanya. -tvsnews




BERS✔H 3.0 Menyusul Jika SPR Berdolak-Dalik

Posted: 12 Jul 2011 04:20 PM PDT

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan Bersih jika tidak mahu berhadapan dengan Bersih 3.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, empat daripada tuntutan yang dikemukan Bersih kepada SPR itu hakikatnya boleh dilaksanakan oleh agensi itu pada bila-bila masa sahaja.

"SPR mestilah membuat perubahan segera. Jikalau tidak ada apa-apa perubahan menjelang pilihan raya akan datang, PAS akan mencadangkan kepada Bersih untuk membuat himpunan sekali lagi,"kata beliau.

Menurut Mat Sabu SPR, tidak harus berdolak-dalik dalam menunaikan tuntutan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

"Terutama dalam tutuntutan lapan perkara, empat perkara boleh dilakukan oleh SPRM.. jangan berdolak dalik. Kemudian kalau pilihan raya adil, kalau BN nak memang menanglah. Kita terima. Supaya undi pos dapat dibuat reformasi, celup jari, daftar pemilih yang bersih, media yang adil.. tapi selepas itu kalau BN nak menang-menanglah.Sebab kami tak ada masalah, (kami) menerima kekalahan. Yang kami tak mahu ialah ketidakadilan berlaku,"
tegas Mat Sabu lagi.

Empat tuntutan yang boleh dilaksanakan oleh SPR dengan kadar segera ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh kempen minimum 21 hari.

Manakala yang lain seperti akses media yang bebas dan adil, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor tertakluk kepada kerajaan pusat.

Menurut Mat Sabu, PAS juga telah mencadangkan kepada Bersih agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari memakai baju Bersih dan berwarna kuning sebagai menunjukkan kehendak rakyat yang berterusan terhadap perubahan sistem pilihan raya di negara ini.

Beliau pada masa sama menyelar sikap hipokrit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mempermain-mainkan pihak yang memperjuangkan Himpunan Bersih 2.0.

"Saya juga merasa kesal yang amat sangat kepada Perdana Menteri yang suka berbohong. Semalam dalam ucapan di Pulau Pinang saya isytihar Perdana menteri Najib Tun Razak sebagai Perdana menteri yang pembohong.

"Beliau mengisytiharkan di peringkat awal minta mana-mana stadium, kamu melalaklah sampai ke pagi kita akan beri. Bila minta stadium tak beri.. kemudian selepas tutup pintu rundingan yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, tiba-tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuka pintu rundingan,

Najib (kemudian cakap) beliau sanggup berunding tetapi sampai akhir, beliau dikatakan menghilangkan diri dan tiada rundingan apa-apa," kata beliau.




BERS✔H 2.0 : Hishamuddin & PDRM Nak Keluarkan Video Ala Video Seks Datuk T?

Posted: 12 Jul 2011 09:40 AM PDT

PDRM Rakam Sepanjang Perhimpunan Haram Berlangsung Sebagai Bukti - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai fakta dan bukti yang kukuh yang akan digunakan bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mensensasikan pelbagai isu yang berlaku dalam perhimpunan haram Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu melalui pelbagai saluran, termasuk media asing dan tempatan akan disiasat melalui rakaman yang diambil PDRM sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

"Bilik operasi kita (PDRM) mempunyai rakaman semua yang berlaku pada Sabtu lepas. Jadi apa-apa yang telah pun didakwa atau dituduh oleh pihak-pihak tertentu, perkara ini akan disiasat dengan bukti yang kukuh," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, Isnin.

Beliau berkata semua rakaman berkenaan sedang diteliti oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"PDRM tak ada perkara yang hendak disembunyikan. Apa sahaja yang ada dalam tangan kita, kita akan gunakan ia untuk menjawab segala tuduhan-tuduhan itu dan akan dipanjangkan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Oleh itu, tindakan akan diambil sama ada terhadap pihak di dalam internet atau media-media asing atau media tempatan sekalipun yang membuat tuduhan yang tidak berasas.

"Sebab itulah pihak media khususnya media asing yang sekarang ini dengan semudah-mudahnya percaya dengan apa yang dikatakan oleh pihak tertentu, saya nak ingatkan pada mereka, bila fakta sebenar dikeluarkan nanti, mereka harus bertanggungjawab,"
katanya.

Hishammuddin berkata semua rakaman yang diambil dari mula hingga akhir perhimpunan itu berlangsung akan didedahkan bagi membuktikan kebenaran, termasuk dakwaan salah guna kuasa polis dalam menjalankan tugas dan fakta mengenai jumlah sebenar peserta perhimpunan itu.

"Ada dakwaan kata jumlah terlibat adalah seramai 50,000...30,000...padahal kita rasa tak mungkin sampai 10,000 pun. Bagaimanapun, kita akan umumkan berdasarkan fakta dan rakaman yang kita ada. Kita boleh buktikannya. Tunggulah bila kita umumkan nanti.

"Mengenai bila rakaman itu akan dikeluarkan, ia banyak bergantung kepada empat pihak iaitu SKMM, PDRM, CyberSecurity Malaysia, dan Peguam Negara, mungkin ia akan mengambil masa," katanya.

Beliau berkata tindakan juga tidak terkecuali kepada anggota dan pegawai PDRM sendiri sekiranya melakukan kesalahan undang-undang.

Hishammuddin berkata rakaman itu juga akan digunakan sebagai membuktikan layanan baik telah diberi kepada semua tahanan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini.

"Tuduhan bahawa mereka itu tidak dilayan dengan baik, akan dibuktikan melalui rakaman itu. Kita mendapat tahu, ramai yang ditahan di Pulapol, agak terkejut kerana persiapan yang lebih awal telah dilakukan bagi menjaga kebajikan mereka," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata PDRM jelas tidak 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang melanggar undang-undang.

"Nak kata kita hanya menumpukan pada satu pihak sahaja, tidak, kerana jelas bahawa semua pihak yang melanggar undang-undang, tindakan telah diambil."

Katanya semua yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara sedang meneliti beberapa kes tertentu bagi menentukan sama ada akan didakwa atau tidak.

"Sama ada di antara mereka akan didakwa mengikut Akta Darurat atau apa sahaja yang ada hubung kait dengan undang-undang, itu kena tanya pada pihak peguam negara kerana ia berada di dalam bidang kuasanya," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Sudah banyak bukti bergambar dan video dikeluarkan secara spontan tanpa diedit sepanjang insiden Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 9 Julai 2011.

Kini PDRM dilaporkan akan mengeluarkan video versi mereka yang kononnya merupakan fakta sebenar apa yang berlaku.

Sehingga hari ini (11 Julai 2011) video PDRM belum dikeluarkan. Banyak sangat nak diedit agaknya untuk menunjukkan polis bertindak betul sekalipun seluruh dunia mengetahui polislah yang menyebabkan semua kejaidan kekacauan dan huru hara di perhimpunan aman BERSIH.

Siapa percaya video PDRM yang mengambil masa berhari-hari untuk dikeluarkan?

Apakah ia perlu dihantar ke Thailand?

Apakah ia perlu pengeditan yang begitu banyak supaya hanya yang cantik-cantik dan baik-baik saja mengenai polis yang akan disiarkan?

Dan seperkara lagi, Hishamuddin, Menteri KDN memberi amaran:

"Oleh itu, tindakan akan diambil sama ada terhadap pihak di dalam internet atau media-media asing atau media tempatan sekalipun yang membuat tuduhan yang tidak berasas.

"Sebab itulah pihak media khususnya media asing yang sekarang ini dengan semudah-mudahnya percaya dengan apa yang dikatakan oleh pihak tertentu, saya nak ingatkan pada mereka, bila fakta sebenar dikeluarkan nanti, mereka harus bertanggungjawab,"


Kita cabar Hishamuddin ambil tindakan ke atas PBB yang menyatakan kerajaan Malaysia memperlekehkan demokrasi dan juga Amnesty Internation yang mendesak Britain memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu.

Ada berani?

KISAH BENAR: Catatan Seorang Peserta Cina: Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS

Posted: 12 Jul 2011 07:50 AM PDT

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.

Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.

Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.


Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!


Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.


Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.
-MerdekaReview

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

BERS✔H 2.0 : SUHAKAM Kecam Tindakan Ganas Polis & Jamin Siasatan Dilakukan

Posted: 12 Jul 2011 05:55 AM PDT

Bersih 2.0: Suhakam dakwa tindakan polis cabuli hak asasi

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha'ani Abdullah mengencam kekerasan dilakukan polis semasa bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia.

"Ini adalah isu yang besar, semua mangsa harus tampil ke depan dan kemukakan aduan secara terus supaya kita boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperoleh.

"Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia," katanya pada sesi dialog dengan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengemukakan empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan pada Sabtu lalu.

Sha'ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

"Tahan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pulapol juga merupakan satu pencabulan, mereka (polis) telah merancang untuk tahan mereka, ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

"Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,"
katanya dengan nada kesal.

Tambah Sha'ani, beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai "orang yang tiada pelajaran."


"Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana... mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun
.

"Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani," tegasnya.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu. -TMI


Suhakam jamin siasat dakwaan 'pesta pukul rakyat'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memberi jaminan akan menyiasat aduan dakwaan mengenai tindakan polis menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan Bersih 2.0 di sini Sabtu lalu.

Naib Presidennya, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata pihaknya mengambil serius terhadap isu ini dan akan mengkaji aduan yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Kami akan ambil perhatian dan akan mengkaji bukti (aduan) sebelum mengumumkan tindakan susulan yang akan kami ambil selepas berbincang dengan pesuruhjaya Suhakam yang lain," katanya dalam sesi dialog di pejabat Suhakam di sini petang tadi.

Pemuda PAS sebelum ini mengemukakan aduan mengenai empat perkara mengenai penggunaan kekerasan tidak munasabah dan penafian akses orang awam kepada peguam semasa Bersih.

Aduan setebal tujuh muka surat itu membangkitkan mengenai tindakan polis dan pasukan simpanan persekutuan (FRU) mengasari orang awam yang berhimpun secara aman tanpa senjata yang jelas melanggar Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan hak untuk berhimpun.

Menurut aduan itu, orang awam ditahan, ditendang dan dipukul dengan belantan sebelum digari, selain tindakan polis yang menggunakan meriam air dan gas pemedih mata sehingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Selain itu, aduan itu juga membangkitkan mengenai hak penafian peguam oleh peserta yang ditahan polis, hak kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang dinafikan polis apabila Masjid Negara dan Masjid Jamek ditutup sehingga orang awam terpaksa bersembahyang dikaki lima jalan.

"Kami mahu Suhakam menubuhkan panel penyiasat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 12(1) Akta Suhakam 1999 bagi menyiasat penggunaan kekerasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), layanan buruk terhadap tahanan dan penafian akses kepada peguam semasa dalam tahanan.

"Kami juga mahu Suhakam mengisytiharkan tindakan PDRM itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan dan mahu polis memohon maaf secara terbuka kepada tahanan yang dikasari," kata ketika mengemukakan aduan itu.

Polis tidak bertanggungjawab

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakan Muhammad Sha'ani Abdullah berkata tindakan polis yang menahan orang awam tanpa tujuan dan dakwaan yang khusus dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mahu seramai mungkin saksi tampil mengemukakan aduan bagi menguatkan lagi penubuhan inkuiri itu.

"Kalau pihak lain soal pun kami ada bukti yang tidak boleh dinafikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi berkata pihaknya mengecam tindakan polis yang dianggapnya sebagai 'pesta' apabila memukul dan menahan rakyat yang berhimpun tanpa belas kasihan seperti melayan penjenayah yang telah melakukan kesalahan berat.

"Kami akan berbincang untuk mengemukakan saman terhadap PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan," katanya.

Sementara dalam sesi dialog kira-kira sejam antara Pemuda dengan Suhakan turut mendengar keluhan beberapa peserta Bersih yang mempunyai pengalaman sendiri dikasari polis semasa menyertai perhimpunan itu. -FMT

Putera Azamuddin Mohon Bondanya Dipenjarakan

Posted: 12 Jul 2011 04:30 AM PDT

Mahkamah Tinggi di sini memberi kebenaran kepada Putera Azamuddin Shah Abdul Shah, anak saudara Sultan Selangor, memfailkan permohonan komital untuk memenjarakan bondanya sendiri kerana didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Peguam Datuk Rajan Navaratnam yang mewakili Putera Azamuddin Shah memberitahu pemberita bahawa hakim menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes itu disebabkan peguam yang mewakili, Tengku Putri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz (gambar) yang merupakan adinda Sultan Selangor, tidak hadir ke mahkamah.

Kebenaran itu diberikan pada 23 Jun lepas dan permohonan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah.

Pada 8 Jun lepas, Putera Azamuddin Shah memohon perintah komital itu kerana bondanya itu gagal menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd berjumlah RM2 juta.

Mengikut notis usul, Putera Azamuddin Shah berkata mahkamah telah membenarkan permohonannya untuk perintah pelaksanaan spesifik pada 19 April lalu dan bondanya dikehendaki menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham itu dalam tempoh lima hari selepas itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bondanya sehingga kini dengan sengaja tidak berbuat demikian dan ia jelas mengingkari perintah mahkamah.

Afidavit sokongan Putera Azamuddin Shah menyatakan bahawa bondanya telah bersetuju untuk membeli kesemua 100,000 unit saham miliknya dalam syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd. -BERNAMA

Ulasan GB

Tajuk dan kisah yang mengerikan. Berlakunya hal ini di negara kita.

Kerana wang & dunia, anak sanggup mohon bondanya dipenjarakan.

Betapa benarnya sekarang ini apa yang dikatakan "akhir zaman" itu.


Berita Harian Biadab Tuduh Mohd Sabu Berkerusi Roda Raih Simpati.

Posted: 12 Jul 2011 02:58 AM PDT

Mat Sabu berkerusi roda raih simpati

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semalam cuba menarik perhatian pemberita dan simpati orang ramai apabila hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan memakai kain pelikat dan berkerusi roda.

GAMBAR: MOHAMAD cuba menarik perhatian ramai hadir sidang DUN dengan berkain pelikat dan berkerusi roda, semalam. -BH

Beliau yang ditemani Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya, Khalid Abdul Samad hadir jam 1.30 tengah hari sebelum memanggil pemberita untuk sidang media di lobi DUN.

Pada sidang media yang turut ditemani beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang lain, Mohamad sempat ketawa di depan pemberita sebelum mendakwa cedera ligamen kaki kanan apabila dirempuh kenderaan ketika menunggang motosikal, Sabtu lalu.

"Pasukan keselamatan merempuh dengan kenderaan ketika menunggang motosikal ketika saya menyertai (perhimpunan haram) BERSIH Sabtu lalu.

"Polis bertindak kasar dalam perhimpunan itu sehingga saya cedera. Polis sudah jadi samseng bukan menjaga keamanan dan apa yang berlaku menunjukkan tahap keselamatan paling memalukan," katanya.

Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan mendapatkan rawatan lanjut dengan menjalani pembedahan untuk memasukkan plat besi pada kakinya.

Mohamad antara pemimpin pakatan pembangkang yang ditahan ketika menyertai perhimpunan haram BERSIH di ibu negara Sabtu lalu. -BH

Ulasan GB

Sungguh bidab wartawan dan editor Berita Harian itu.

Hari ini hari Mohd Sabu, siapa tahu esok hari kamu?

Satu hari ditakdirkan wartawan dan editor itu hilang kakinya pada masa itu apakah jika kamu berkerusi roda ke pejabat kamu nanti maka kamu meraih simpati?

Ingat, tulis berita biar berdab, jangan biadab. Tuhan Maha Menilai apa saja yang kamu tulis untuk tatapan rakyat.

Baca juga:

Mereka Boleh Rosakkan Lutut Saya, Tetapi Mereka Tidak Boleh Rosakkan Perjuang Saya

"Mereka Boleh Rosakkan Lutut Saya, Tetapi Tidak Boleh Rosakkan Perjuangan Saya" - Mat Sabu

Posted: 12 Jul 2011 02:00 AM PDT

Seberang Jaya: "Umno dan pihak keselamatan boleh rosakkan kepala lutut saya tetapi mereka tidak sekali-kali berjaya merosakan pemikiran saya untuk terus berjuang sehingga matlamat memartabatkan kembali maruah negara yang telah musnah akibat permainan jahat Barisan Nasional (BN)," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) di hadapan puluhan ribu rakyat Pulau Pinang di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, malam tadi.

Beliau yang datang dengan kerusi roda akibat rempuhan kereta polis ketika membonceng motosikal untuk ke Masjid Negara pada 9 Julai lalu turut mengingatkan pihak keselamatan supaya segera mengubah sikap menjadi lebih profesional tidak mengikut telunjuk BN yang memerintah.

Katanya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 tidak akan berhenti di situ malahan berjanji akan mengadakan lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta kerajaan tidak memperdulikan lapan tuntutan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Tambahnya, seperti mana kata Presiden PAS, Bersih 2.0 merupakan 'mukadimah' kebangkitan rakyat dan seandainya SPR dan Kerajaan Malaysia masih berdegil, tidak mustahil Bersih 3.0 akan bangkit dengan lebih ramai rakyat yang rela bersama ke Kuala Lumpur berarak secara aman.

"Kali ni Najib rasa tertekan maka disuruhnya pihak polis bertindak. Akhirnya polis juga yang kena marah.

"Bagi menghilangkan perasaan yang bergelora Najib terus tinggalkan Malaysia buat seketika," jelasnya sambil melaungkan 'Najib penipu' beberapa kali semasa berucap.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sedar polis bertindak berdasarkan arahan Najib yang tidak senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

Ini, katanya kerana anak muda secara terang-terangan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat sejak berkuasa di lima buah negeri selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Tambahnya lagi, kehadiran kaum Tionghua dan India ke himpunan Bersih 2.0 cukup membimbangkan pemimpin kerajaan Malaysia berbanding Bersih pertama dahulu.

Jelasnya, paling membingungkan pemimpin Umno BN adalah masih ramai lagi rakyat yang keluar bersama Bersih 2.0 walhal semua jalan ditutup dan sekatan dikenakan.

Tambahnya, ini tentunya ada yang tidak kena terhadap arahan tersebut atau rakyat sudah cerdik datang awal memasuki Kuala Lumpur secara diam-diam semata-mata menjayakan Bersih 2.0.

"Saya pun hairan di mana munculnya ratusan ribu manusia bersedia berhimpun secara aman sedangkan berbagai sekatan dikenakan.

"Saya ucapkan syabas kepada anak-anak murid yang sanggup mengepalai kumpulan besar dan kecil sehingga mencapai matlamat sebab semua kepimpinan PAS, KeAdiLan dan badan Bukan Kerajaan (NGO) ditangkap lebih awal,"
tegasnya pada program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Pemidato utama yang berucap pada majlis pertama kali diadakan selepas himpunan Bersih 2.0 itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -HD


Ribuan banjiri ceramah 'BERSIH 3.0' di P Pinang

Tidak kurang 5,000 orang hadir memberi sambut hangat kepada dua wira BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di tapak Ekspo Seberang Jaya malam semalam.
Ramai yang melabelkan perhimpunan itu sebagai BERSIH 3.0.

Anwar tiba dengan memakai pemaut leher dan terpaksa dibantu ketika menuju ke pentas utama sambil diberi tepukan gemuruh manakala pemimpin PAS yang popular dengan panggilan Mat Sabu itu pula terpaksa menggunakan kerusi roda dan dibantu oleh petugas untuk naik ke pentas.

Jurugambar sibuk merakamkan gambar mereka manakala wartawan dan orang ramai yang hadir semua menanti kedua-dua mereka menceritakan pengalaman pada 9 Julai lalu.

Namun, pihak penganjur secara lembut meminta jurugambar dan orang ramai supaya bertenang agar kedua-dua pemimpin itu tidak tercedera lagi.

Pada ucapan ringkasnya, Anwar yang jelas kelihatan lesu dan kurang bertenaga daripada biasa, dipercayai akibat kesakitan yang dialaminya akibat diserang gas pemedih mata di KL Sentral menganggap tindakan pihak berkuasa pada Sabtu lalu sebagai satu jenayah.

"Najib kamu boleh pukul, dera tapi tidak boleh tahan hati rakyat. Hati yang luka itu akan bangkit," katanya.

Anwar turut mengecam tindakan polis yang melakukan kekerasan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada perhimpunan di Kuala Lumpur itu.

Jelasnya, beliau berpegang teguh kepada nasihat Hadi yang tidak keberatan untuk turun sekali lagi bersama rakyat menentang kezaliman kerajaan Umno-BN.

Dakwaan mengatakan kaum Cina tidak menyertai perhimpunan itu adalah meleset menurut beliau berikutan respon daripada kaum itu amat mengalakkan terutama di kalangan generasi muda.

Hadirin di Seberang Jaya ini yang majoritinya orang Melayu diberitahu bagaimana perdana menteri selepas mendalangi apa yang terjadi pada Sabtu lalu tergamak mendakwa beliau menipu tentang kecederaannya.

"Saya terpaksa pakai paut leher - ini arahan doktor selepas merawat dan melihat seteruk mana kecederaan di leher dan tulang belakang saya... bukan saya yang mintanya," katanya.

"Najib mahu semua orang fikir saya sengaja buat pembedahan (tulang belakang) di Munich supaya saya boleh kembali dan tunjuk kepada semua orang," katanya sambil membidas perdana menteri itu.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. -mk

Tiada ulasan: