Kelab Greenboc |
- Amnesty International Gesa Britain Jangan Bagi Hamparan Permaidani Merah Kepada Najib
- PBB Bersuara, Kecam Kerajaan Malaysia Perlekehkan Demokrasi [updated]
- Menteri Kesihatan Suruh Rakyat Salahkan Angin, Bukan Polis
- Kes Sosilawati: Tulang Hangus Jadi Bahan Bukti
- Isu Tembakan Gas Ke Hospital: Menteri Bodek Kata Polis Tak Bidik
- BONGKAR: Surat Rahsia Arahan Pejabat Perdana Menteri Kepada PDRM Tangani Bersih 2.0
- UMNO Masih Kuno Tabur Fitnah Kepada Rakyat
- Salehuddin & Mahfuz Tidak Akan Lepaskan Polis Yang Menahannya Secara Salah
- Kaki Mat Sabu Perlu Dibedah Dan Dimasukkan Besi Jumaat Ini
- Tembakan Ke Hospital: Hishamuddin Dan Polis Usah Berdalih Lagi. Ini Buktinya!
- Tindakan Tidak Bertamadun Polis, PAS Desak KPN & Timbalan Letak Jawatan
- Najib Tertekan Dengan Tuntutan BERSIH, Tuduh Anwar Dalang Perhimpunan
Amnesty International Gesa Britain Jangan Bagi Hamparan Permaidani Merah Kepada Najib Posted: 12 Jul 2011 12:10 AM PDT Amnesty International mendesak Britain memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, didakwa menyaksikan tindakan keras pihak berkuasa ke atas peserta perhimpunan. Najib memulakan lawatan rasmi sulung ke Britain sejak menjadi perdana menteri hari ini. Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest berkata, selain menahan peserta perhimpunan pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka. Dalam kenyataannya, Guest berkata ramai peserta perhimpunan telah dikasari oleh pihak keselamatan. "Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat. "Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan," katanya. Justeru kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0. "Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia. "David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima," katanya. Selain itu, kata Guest, beliau juga berharap Vatican dapat memberi tekanan kepada Najib supaya menghormati hak asasi manusia ketika pemimpin nombor satu Malaysia itu melawat ke Rom minggu ini. Selain itu, kata beliau, disebabkan tindakan pihak keselamatan seorang peserta Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia selepas terhidu gas pemedih mata dan disahkan meninggal dunia di hospital. "Kerajaan Perdana Menteri Najib telah bertindak ke atas ribuan rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk berkumpul secarta aman. "Keganasan yang dilakukan pihak berkuasa bertentangan dengan hak asasi manusia dan ia tidak boled dibiarkan. Mana-mana perhimpunan selepas ini patut dibenarkan dan pihak berkuasa harus menghormatinya," katanya dalam satu kenyataan. Justeru tegas Guest, pihaknya menuntut pentadbiran Najib menyiasat kegagalan pihak keselamatan memberi bantuan segera kepada Baharuddin sebelum dia menemui meninggal dunia. "Ia termasuk dakwaan mengatakan ambulans tiba di tempat kejadian satu setengah jam selepas Baharuddin jatuh pengsan," katanya. Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan. Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka. "Penggunaan keganasan oleh pihak keselamatan secara berlebihan ini sepatutnya tidak perlu kerana ia akan menakutkan rakyat," kata Guest lagi. Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu. Ekoran keganasan pihak keselamatan, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan itu. Hari ini, Dewan Pemuda PAS pusat akan membuat satu laporan rasmi kepada Suhakam berhubung tindakan keras pihak berkuasa semasa menangani peserta Himpunan Bersih 2.0. Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung kekerasan yang digunakan pihak keselamatan semasa perhimpunan itu. -TMI
|
PBB Bersuara, Kecam Kerajaan Malaysia Perlekehkan Demokrasi [updated] Posted: 11 Jul 2011 11:00 PM PDT Malaysia perlekeh demokrasi, kata PBB KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi. Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah "mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan." Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi. Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013. Frank La Rue, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi. Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakan polis. Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis akan menggunakan rakaman video sebagai bukti untuk mendakwa di mahkamah pihak-pihak tertentu khususnya media asing yang membuat tuduhan tidak beasas terhadap pasukan keselamatan. Meskipun polis telah mengatakan bahawa pihaknya sudah membebskan kesemua 1,700 tahanan pada hari yang sama Sabtu lalu, PBB berkata tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj belum lagi dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat. La Rue berkata tindakan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai gerakan haram tanpa bukti kukuh juga satu lagi halangan tidak munasabah ke atas hak sivil dan politik. Bersih mendakwa telah dapat menghimpunkan kira-kira 50,000 orang di ibu negara tetapi dinafikan oleh pihak polis. -TMI
Ulasan GB Tepat sepertimana yg GB suarakan sebelum ini. Petikan: GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku: 1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini. 2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata. Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional! |
Menteri Kesihatan Suruh Rakyat Salahkan Angin, Bukan Polis Posted: 11 Jul 2011 09:30 PM PDT Bersih - Salahkan Angin Bukan Polis, Kata Menteri Kesihatan SHAH ALAM 11 JULAI : "Salahkan angin, polis tak tembak ke arah hospital." Itu penjelasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bersabit bukti gambar dan video yang memaparkan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu. Katanya, dakwaan yang berlegar di internet berhubung tembakan ke arah hospital tersebut adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan dengan hospital berkenaan. Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan. "Tetapi mereka tidak membidik ke arah hospital," katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan lembaga pengarah Hospital Tung Shin hari ini. Ditanya mengenai video dan gambar-gambar yang dimuatkan oleh pengguna web di internet, Liow meminta wartawan supaya jangan menunjukkan bahan berkenaan untuk mempertikaikan penjelasannya. Dalam sidang media sama, pengerusi lembaga pengarah Tung Shin, Ng Beh Tong turut berkongsi pandangan menteri berkenaan. Katanya, pentadbiran hospital itu telah memberikan taklimat kepada lembaga hospital pagi ini berhubung insiden yang berlaku pada hari perhimpunan tersebut. Seorang kakitangan yang mengendalikan pengurusan ambulans berkata polis menembak gas pemedih mata sebanyak tiga kali, Malaysiakini melaporkan Sabtu lalu. Tambahnya tembakan meriam air tidak sampai ke bangunan utama hospital, tetapi terkena bangunan yang terletak dalam perkarangan hospital berkenaan. Seorang lelaki berusia yang tidak mahu namanya disebut berkata polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata ka arah satu kumpulan yang berkumpul di depan hospital itu dan asrama kakitangan lelaki yang terletak di sebelah bangunan utama. Anggota polis kemudiannya masuk ke dalam perkarangan dan mula membuat tangkapan, dan ada peserta perarakan itu yang lari ke arah bukit kecil bersebelahan Hospital Tung Sin bagi mengelak daripada di tangkap, katanya. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh, telah menafikan polis anti-rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke premis hospital Tung Shin hospital. Bagaimanapun, Malaysiakini telah menerima banyak gambar daripada orang ramai yang menunjukkan polis menyembur air dan menembak gas pemedih mata ke dalam perkarangan hospital tersebut. Kakitangan Tung Shin berkata penunjuk perasaan terperangkap apabila anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menutup kedua-dua hujung jalan tersebut. Katanya merea terpaksa lari masuk ke dalam kawasan hospital Tung Shin kerana mereka tidak dapat masuk ke tapak projek Plaza Rakyat yang terbengkalai yang terletak betul-betul bertentangan dengan hospital tersebut. -tvsnews Ulasan GB Salahkan angin sedangkan amat nyata polis menembak ke kawasan hospital? Baru sebentar tadi GB sudah ulas. Petikan: Terlalu mendukacitakan dan memalukan seorang menteri kesihatan mengambil sikap mempertahankan tindakan polis tetapi membelakangkan keselamatan pesakit di hospital. Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan. Bukankah polis mengetahui kawasan itu adalah kawasan sebuah hospital dan jika sekalipun benar ia tak membidik hospital tetapi jalan besar ia tetap merupakan satu kesalahn serius. Seperti orangramai tidak boleh membunyikan hon kenderaan di jalanraya di hadapan sekolah kerana menganggu para pelajar, apatah lagi menembak gas pemedih mata di jalanraya di hadapan sebuah hospital. Alasan menteri berkenaan hanyalah bertujuan politik. Mempertahankan tindakan polis yang ternyata jelas bersalah sedangkan sudah sedia maklumkan asap tembakan sudah pasti merebak ke kawasan di sekelilingnya. Namun yang jelas dan nyata, tembakan yang dilakukan sebenarnya memang ke arah hospital. Gambar dan video (lihat di bawah)yang dirakam membuktikannya tetapi menteri berkenaan masih dengan sikap membodek agar jawatan menterinya tidak terlepas. Dasar menteri kabinet BN memang kaki pendusta! |
Kes Sosilawati: Tulang Hangus Jadi Bahan Bukti Posted: 11 Jul 2011 07:00 PM PDT Cebisan tulang yang sudah hangus, dua telefon bimbit dan dua jam tangan antara barangan ditemui pasukan penyelam polis ketika mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di sekitar Banting dekat sini, tahun lalu. Koperal Merzuki Shahrim dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berkata, cebisan tulang hangus itu ditemui ketika dia melakukan selaman di lokasi pertama iaitu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 12 September tahun lalu. Menurutnya, dua telefon bimbit yang ditemui ialah jenis BlackBerry berwarna putih dan hitam dipercayai milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad. Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, pasukannya dengan lima anggota menjumpai jam tangan jenama Seiko milik pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, jam tangan Bell & Ross milik Ahmad Kamil, pisau, dawai dan enam keping zink dikatakan digunakan melapik mayat semua mangsa. Merzuki berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; Ahmad Kamil, 32; Noorhisham, 38 dan Kamaruddin, 44, di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. -hm
|
Isu Tembakan Gas Ke Hospital: Menteri Bodek Kata Polis Tak Bidik Posted: 11 Jul 2011 06:30 PM PDT Menteri: Polis tak bidik Hospital Tung Shin Menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu lalu. Katanya, dakwaan yang berlegar di internet berhubung tembakan ke arah hospital tersebut adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan dengan hospital berkenaan. Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan. "Tetapi mereka tidak membidik ke arah hospital," katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan lembaga pengarah Hospital Tung Shin hari ini. Katanya lagi, polis juga membidik tembakan meriam air pada arah 45 darjah dari jalan utama. Ditanya mengenai video dan gambar-gambar yang dimuatkan oleh pengguna web di internet, Liow meminta wartawan supaya jangan menunjukkan bahan berkenaan untuk menyoalnya semula. "Apa yang paling penting, individu yang bertanggung jawab ke atas hospital telah mengesahkan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata atau meriam air ke dalam (perkarangan) hospital," kata timbalan presiden MCA itu lagi. Dalam sidang media sama, pengerusi lembaga pengarah Tung Shin, Ng Beh Tong turut berkongsi pandangan menteri berkenaan. Katanya, pentadbiran hospital itu telah memberikan taklimat kepada lembaga hospital pagi ini berhubung insiden yang berlaku pada hari perhimpunan tersebut. -mk Ulasan GB Terlalu mendukacitakan dan memalukan seorang menteri kesihatan mengambil sikap mempertahankan tindakan polis tetapi membelakangkan keselamatan pesakit dan orang awam di hospital. Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan. Bukankah polis mengetahui kawasan itu adalah kawasan sebuah hospital dan jika sekalipun benar ia tak membidik hospital tetapi jalan besar ia tetap merupakan satu kesalahn serius. Seperti orangramai tidak boleh membunyikan hon kenderaan di jalanraya di hadapan sekolah kerana menganggu para pelajar, apatah lagi menembak gas pemedih mata di jalanraya di hadapan sebuah hospital. Alasan menteri berkenaan hanyalah bertujuan politik. Mempertahankan tindakan polis yang ternyata jelas bersalah sedangkan sudah sedia maklumkan asap tembakan sudah pasti merebak ke kawasan di sekelilingnya. Namun yang jelas dan nyata, tembakan yang dilakukan sebenarnya memang ke arah hospital. Gambar dan video (lihat di bawah)yang dirakam membuktikannya tetapi menteri berkenaan masih dengan sikap membodek agar jawatan menterinya tidak terlepas. Dasar menteri kabinet BN memang kaki pendusta! |
BONGKAR: Surat Rahsia Arahan Pejabat Perdana Menteri Kepada PDRM Tangani Bersih 2.0 Posted: 11 Jul 2011 04:40 PM PDT Kuala Lumpur, 11 Julai - Laman web popular Malaysia Today hari ini membocorkan apa yang dilihat sebagai surat dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan garis panduan mengenai cara untuk menangani perhimpunan Bersih Sabtu lalu. Surat tersebut, kononnya dikeluarkan pada 17 Jun dan ditandatangani oleh Ketua Komunikasi Negara Jalil Hamid, berkata kaedah itu perlu kerana perhimpunan tersebut "pasti akan melampaui isu-isu pilihan raya yang adil dan bebas" seperti inflasi, Teoh Beng Hock dan juga kontroversi loji Lynas. Percubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi Jalil dan lain-lain pegawai kanan akhbar Jabatan Perdana Menteri tidak berjaya. "Bantahan, jika tidak ditangani, boleh melemahkan kerajaan, ekonomi dan keselamatan negara. Nota ini menggariskan panduan dasar apa yang patut dilakukan dan larangan-larangan dalam menguruskan isu ini, "garis panduan yang dikeluarkan oleh Malaysia Today pagi ini menyebut. Dalam nota panduan itu, ia menyatakan ia telah ditulis selepas mesyuarat biro politik Umno untuk membincangkan isu Bersih dan juga diedarkan kepada ahli-ahli biro, kata surat tersebut. Di dalamnya, PMO mengingatkan para media untuk menjatuhkan Bersih dan pemimpinnya sebagai "kumpulan ahli-ahli politik dan individu-individu yang cenderung kepada politik yang tiada kredibiliti" dan menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah "perhimpunan haram". Bersih juga dilabelkan sebagai satu barisan untuk pembangkang atau ejen asing serta satu cubaan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari 'jalan pintas ke Putrajaya' secara yang tidak demokratik dan tidak mengikut perlembagaan. Media telah diberitahu untuk mengetengahkan cerita-cerita bagaimana perniagaan, pelancong dan rakyat biasa akan terjejas; mengutarakan soalan mengenai pembiayaan Bersih itu; mensasarkan Anwar, Datuk Ambiga Sreenevasan dan "budak suruhan DSAI dan tali Barut DAP" (Anwar dan DAP) Mohamad Sabu; dan menggunakan fail gambar Ambiga dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyerlahkan hubungan rapat mereka. Akhbar juga diarahkan untuk menggunakan beberapa muka lama seperti Datuk Zulkifli Nordin dan Datuk Ibrahim Ali sebagai "anjing serangan" bagi memihak kepada pimpinan belia Barisan Nasional (BN Youth) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO); menggerakkan para bloggers; dan memainkan imej daripada demonstrasi jalanan yang hodoh di negara-negara lain. Yang perlu dilakukan dan larangan-larangan terperinci: * [Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua] dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam akan memberikan taklimat ringkas kepada editor-editor media di KDN (Kementerian Dalam Negeri). Mesyuarat itu adalah untuk mengukuhkan penjenamaan sebagai "Perhimpunan haram" (illegal assembly), dan Bersih itu adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan yang melakukannya adalah untuk mewujudkan keadaan huru-hara. * KDN, yang mempunyai bidang kuasa ke atas semua media cetak, perlu memastikan semua media mengikut garis panduan. * Membataskan ahli-ahli politik hanya membuat kenyataan politik. Biarkan polis melaksanakan tugas mereka. * PDRM boleh mula memanggil penganjur Bersih berdasarkan beratus-ratus laporan polis yang telah dibuat setakat ini. * Menggalakkan penggunaan pengesahan pihak ketiga. * Menyediakan perasaan huru-hara dan gangguan (fear paradigm). "Menunjukkan kekerasan" oleh pihak Umno atau kumpulan silat menjelang dan sebelum 9 Julai mungkin berkesan untuk menghalang penunjuk perasaan. * Suara yang memihak kepada kita MESTI datang dari seluruh negara dan merentasi garis etnik. Suara-suara itu perlu bukan sahaja terhad kepada orang Melayu atau mereka yang tinggal di Lembah Klang. * Kita tidak boleh membenarkan perhimpunan tersebut dieksploitasi oleh unsur-unsur antarabangsa. * Sebagai langkah pre-emptive, pihak berkuasa perlu menghentikan pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 19 Jun di Dewan Perhimpunan Cina. Begitu juga, satu acara Perkasa yang dikenali sebagai "Lawan Persahabatan Bersih" di Kelab Sultan Sulaiman pada hari yang sama juga perlu dihentikan. * [EC] SPR perlu membalas tuntutan Bersih untuk pilihanraya yang bebas dan adil dengan menonjolkan pelbagai inisiatif yang telah diambil setakat ini. Gunakan PRN Sarawak yang sangat berjaya sebagai model. SPR juga tidak harus bertemu dengan orang-orang daripada Bersih. Surat itu berkata matlamat panduan tersebut adalah untuk meneutralkan suara pembangkang, mengukuhkan pandangan bahawa sentimen orang awam tidak bersama dengan Bersih dan pembangkang, menghantar mesej yang kuat bahawa kerajaan mengawal keadaan sepenuhnya dan mengelakkan kesan buruk ke atas keyakinan pelabur dalam Malaysia. Bersih mendakwa kehadiran sebanyak 50,000 untuk demonstrasi jalanan pada hari Sabtu, yang berjalan tanpa kebenaran polis selepas rundingan berlarutan dengan pihak berkuasa. Gabungan 62 NGO itu meneruskan perhimpunan dijalanan walaupun sebelum ini menerima tawaran Najib untuk menggerakkan perhimpunan ke stadium, selepas kerajaan enggan membenarkan perhimpunan itu berlangsung di Stadium Merdeka. sumber: TheMalaysianInsider Nota: Terima kasih kepada penterjemah. By most accounts, the Bersih 2.0 protest on July 9 could turn out to be massive and will certainly go beyond issues of fair and free elections. With over 100 political, NGO and right groups could be joining the "March for Democracy", we expect them to champion a slew of issues ranging from inflation to Teoh Beng Hock and Lynas. The protest, if not countered, could undermine the government, the economy and national security. This note sets out the policy guidance and the do's and don'ts in managing the issue. |
UMNO Masih Kuno Tabur Fitnah Kepada Rakyat Posted: 11 Jul 2011 02:00 PM PDT Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menggunakan cara lama hanya untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang tinggal di kampung- kampung tanpa menyedari beliau hakikatnya memalukan diri sendiri ke seantero dunia. Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, meskipun mengetahui akan keganasan yang dilakukan polis pada perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga mengakibatkan kecederaan dan seorang meninggal dunia, namun masih berkeras menidakkan hal itu demi memastikan mereka yang tiada akses kepada media baru terus memihak kepada kerajaan. Namun malang sekali, taktik Najib itu kata Khalid, tidak terpakai kepada masyarakat metropolitan yang jauh lebih ke depan sehingga menyebabkan reputasi Najib terus merudum. "Dia ingat dia masih boleh gunakan taktik lama untuk menipu rakyat tapi rakyat sudah tahu. Hari ini berlaku, hari ini juga keluar berita di Youtube, Facebook, Malaysiakini, TV Selangor dan semua media alternatif apa sebenarnya yang berlaku . "Dia tak sedar dia kini dalam penafian dan hidup dalam satu zaman yang sudah berlalu samalah dengan zaman BN, zaman media dikuasai,dimonopoli oleh kerajaan pun sudah berakhir. Sekarang ini dengan Twitter, Facebook, rakyat boleh dapat maklumat.Ini yang akan membuat kejatuhan mereka," kata Khalid kepada Tv Selangor. Khalid antara puluhan yang turut mengalami kecederaan di kepala akibat tindakan ganas polis menembak gas pemedih mata secara semberono pada Sabtu lalu. Dalam insiden yang berlaku di Stesen Sentral Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang dan pengawal peribadi beliau turut dikejarkan ke hospital. Manakala seorang ahli PAS disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hsopital Kuala Lumpur selepas pengsan di perkarangan KLCC akibat lari menyelamatkan diri dari serangan polis. "Dia cukup tahu apa yang berlaku. Hakikatnya dia nak menafikan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi gambaran kepada rakyat Malaysia yang tidak mendapat berita daripada sumber alternatif seolah-olah semua yang hendak dilakukan oleh Bersih gagal, nak dapatkan orang ramai pun tak ramai hanya 6 ribu orang... selepas itu polis layan dengan baik macam kenduri kahwin dan sebagainya. Ini semua boleh dikatakan sebagai penafian tapi hakikatnya semua orang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku,"kata Khalid. Tambah beliau, tindakan polis menyembur air kimia dan melepaskan ledakan gas pemedih mata secara membabi buta jelas membuktikan keganasan polis ketika menjalankan tugas. "Keganasan itu memang berlaku kerana bila disembur dengan air kimia, ditembak dengan gas pemedih mata dan sebagainya itu semua adalah keganasan. Kalau dia tak percaya, waktu dia masuk ke pejabat, kita minta FRU sembur, nak tengok ganas tak ganasnya bila ditembak dengan gas dan sebagainya," selar Khalid kepada kenyataan sinis Najib yang memperlekehkan kecederaaan yang dialami termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas Khalid, penipuan yang dilakukan oleh Najib adalah kaedah lama Umno-Barisan Nasional bagi menutup kelemahan kerajaan dan cuba memikat hati rakyat yang kurang berpengetahuan, sedangkan bagi orang ramai yang terdedah dengan teknologi terkini, fakta itu hanya di hujung jari mereka. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya berani dan bersedia memberi peluang kepada pihak pembangkang mengadakan himpunan secara sah dan berpermit bagi mendengar suara rakyat. "Saya sebenarnya mengharapkan bahawa kerajaan ini akan mempunyai keberanian untuk membenarkan sekali saja satu himpunan diadakan secara halal, berpermit anjuran pihak yang selain daripda kerajaan dan Barisan Nasional. Buat satu himpunan dan kita tengok bagaimana sokongan rakyat terhadap program-program yang bukan daripada Barisan Nasional," katanya. -tvsnews Ulasan GB Apa yang YB Shah Alam nyatakan itu bertepatan dengan apa yang telah GB ulas sebelum ini. GB menyatakan hal yang sama di SINI. Petikan: Pemerintahan kuno rejim Najib bersama polis yang lebih kuno menganggap rakyat bodoh wajar ditentang habis-habisan. Mengapa GB katakan mereka kuno? Kerana mereka masih mahu mengekalkan kuasa dengan cara kekerasan, dengan cara ugutan, dengan cara memanipulasi SPR, dengan cara penipuan, dengan cara tekanan, dengan cara tangkapan, dengan cara yang jijik seperti mewujudkan kisah-kisah dongeng seperti terjumpanya parang dan bom molotov coktail untuk memburukkan BERSIH, malah tanpa segan silu menggunakan mimbar jumaat cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci BERSIH. Kita merasa hairan di zaman era internet ini, di zaman digital ini, mentaliti pemimpin negara dan polis masih terjajah dengan pemikiran lapuk sedemikian sedangkan rakyat sedunia sudah mara ke depan menghormati kebebasan rakyat berhimpun dan bersuara. Didokong pula oleh media massa yang juga bermentaliti kuno sama seperti menteri-menteri kabinet Malaysia yang diterajui UMNO BN. Tidak hairan di satu ketika baru-baru ini, pemimpin Papua New Guinea menyifat negaranya saling tak banyak beza dengan Malaysia! |
Salehuddin & Mahfuz Tidak Akan Lepaskan Polis Yang Menahannya Secara Salah Posted: 11 Jul 2011 08:40 AM PDT Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub masing-masing membuat laporan polis hari ini berhubung penahanan tanpa sebab ke atas mereka di Setesen Sentral Kuala Lumpur pada tengahari 9 Julai lalu. Gambar: (Salahudin dan Mahfuz bersama peguam masing-masing menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat) Mahfuz yang hadir berbaju kuning bercetak "Bersih 2.0" bersama Salahudin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Sri Petaling kira-kira jam 10.40 pagi ini. Kedua-duanya diiringi peguam masing-masing. Bercakap kepada pemberita selepas itu, kedua-duanya sekali lagi mempersoal berhubung penangkapan tanpa dinyatakan alasan kepada mereka pada hari tersebut. "Saya tanya apa alasan saya ditahan. Seorang anggota polis bertanya pula kepada saya adakah saya tak tahu hari ini (9 Julai) saya tidak dibenarkan masuk KL," kata Mahfuz. "Saya kata, KL sentral tidak termasuk dalam kawasan yang disebut dalam perintah larangan itu," tambahnya yang juga ahli parlimen Pokok Sena. Tidak mengindahkan penjelasan itu, polis kemudiaan dakwanya terus menangkap mereka. Dalam kejadian Sabtu lalu, Mahfuz dan Salahudin antara pemimpin terawal Pakatan Rakyat ditahan dalam usaha pihak polis menggagalkan himpunan Bersih 2.0. Mereka ditahan kira-kira jam 11.45pg ketika berada di Stesen Sentral KL. Kedua-duanya juga adalah antara 91 nama yang dilarang mahkamah berada di beberapa kawasan di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut. Bagaimanapun, dalam perintah larangan yang diperolehi polis dari mahkamah Majistret itu, KL Sentral adalah tidak termasuk. "Saya tidak buat apa-apa kesalahan. Saya ditahan ketika berada di pintu masuk KL Sentral, bukan di mana-mana himpunan," katanya. Selain tidak diberitahu alasan ditahan, mereka juga memberitahu, polis tidak membenarkan mereka menghubungi keluarga dan peguam. Tindakan tersebut ujarnya bertentangan dengan seksyen 28 A (2) Kanun Prosedur Jenayah. Sehubungan itu, beliau dan Salahudin akan memfailkan saman sivil untuk menuntut gantirugi berhubung tangkapan itu. "Kami akan failkan saman malu menuntut ganti rugi terhadap penangkapan saya, keresahan isteri, anak dan keluarga saya, serta memalukan imej saya kepada pengundi kawasan saya dan masyarakat antarabangsa,"jelasnya. Tubuh suruhanjaya pembaikan SPR Sementara itu, Salahudin ayub berkata, perjuangan menuntut reformasi pilihan raya akan diteruskan biarpun berdepan halangan dari pihak berkuasa. Tuntutan itu akan ditumpukan kepada reformasi dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri dahulu selaku penyelia proses pilihan raya di negara ini. "Perjuangan ini akan diteruskan oleh parti-parti politik. Kita akan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pembaikan SPR secepat mungkin,"katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian. -HD |
Kaki Mat Sabu Perlu Dibedah Dan Dimasukkan Besi Jumaat Ini Posted: 11 Jul 2011 07:25 AM PDT Mat Sabu: Polis dah macam gangster SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan tindakan polis sebagai 'gangster' ketika perhimpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu. Menceritakan detik cemas itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata motosikal yang dinaikinya dirempuh Land Rover polis sehingga menyebabkan beliau tergolek di jalanan. Beliau yang cedera kemudian dibawa oleh pegawai polis ke Balai Polis Jinjang dan dirujuk ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. "Saya dibebaskan selepas membuat pemeriksaan di klinik. Tapi disebabkan kaki kanan saya tidak pulih hari ini saya buat pemeriksaan di Selangor Medical Centre. Doktor kata ligamen saya koyak dan pembedahan untuk memasukkan besi akan dibuat pada Jumaat ini. "Ini hanyalah pengalaman peribadi tapi paling mustahak polis jadi gangster. Bukan jaga keamanan negara tetapi jaga pemerintahan kerajaan dan Umno," katanya yang berkerusi roda dan cedera di lutut kanan dalam sidang media di Dewan Annex ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat. Mat Sabu menyifatkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan regim yang zalim. Beliau berkata , NGO Bersih akan bermesyuarat untuk mengambil tindakan selanjutnya. Najib berbohong "Kami minta stadium dia (Najib) tak bagi. Najib berbohong…Beliau tidak layak memimpin rakyat, dia hanya layak jadi suami Rosmah. "Bersih akan bermesyuarat untuk tindakan undang-undang. Esok saya akan buat laporan dan serah kepada peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi. Seorang lagi mangsa yang juga ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut cedera di kepala dan menerima enam jahitan akibat insiden itu mendakwa wujud skrip untuk menggambarkan orang Melayu dan PAS adalah bodoh. "Yang ditahan pemimpin-pemimpin PAS-Ustaz Hadi, Mahfuz, Salahuddin… sedangkan Lim Kit Siang di depan. Tapi mereka buta dan tidak tangkap. Ada rancangan yang menggambarkan orang Melayu bodoh dan digunakan DAP. "Rasa pihak polis seolah-olah memainkan peranan yang ditetapkan Umno," dakwa beliau. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula menggesa mangsa-mangsa untuk tampil bertemu sekretariat Bersih mahupun pihak Pakatan untuk mengumpul bukti keganasan polis pada perhimpunan Bersih tersebut. Azmin mendakwa ramai yang dipukul dan diseksa polis, malah Pakatan katanya akan menghubungi media antarabangsa seperti Al-Jazeera untuk mengumpul bukti keganasan polis.
|
Tembakan Ke Hospital: Hishamuddin Dan Polis Usah Berdalih Lagi. Ini Buktinya! Posted: 11 Jul 2011 06:00 AM PDT Sama ada gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital, ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, kini menjadi pertikaian. Tidak kurang gambar dan video dimuatnaik ke laman internet, untuk menyanggah "penafian" kerajaan dan polis. Amaran keras diulangi dari bibir Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pada hari ini, bahawa tindakan akan diambil ke atas media yang membuat tuduhan tanpa asas. Seorang pembaca MerdekaReview memuatnaikkan satu klip video yang panjang 41 saat, untuk membuktikan bahawa gas pemedih mata sememangnya ditembak ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina. Pembaca ini menyedari bahawa terdapat gambar dan klip video yang telah dimuatnaik ke laman internet, menunjukkan bagaimana gas pemedih mata itu ditembak ke dalam perkarangan hospital. Beliau pada ketika itu berada di tempat yang agak tinggi, dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina, yang bersebelahan dengan Hospital Tung Shin. Beliau sempat merakamkan secara jelas bagaimana gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina, dan mengambil keputusan untuk berkongsi klip video ini, agar membuktikan kerajaan dan polis berbohong dalam hal ini. Selain ini, beberapa gambar telah dimuatnaik ke laman internet untuk membuktikan bahawa meriam air ditembak ke arah Hospital Tung Shin. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar kerajaan semalam kerana hospital tidak akan menjadi sasaran serangan, walaupun ketika dalam peperangan. Ketua Polis Negara Ismail Omar menafikan bahawa polis menembak gas pemedih mata ke dalam hospital, mendakwa bahawa ia sekadar "khabar angin", dalam satu sidang media yang diadakan pada petang 9 Julai, selepas perhimpunan BERSIH 2.0 bersurai. -MR |
Tindakan Tidak Bertamadun Polis, PAS Desak KPN & Timbalan Letak Jawatan Posted: 11 Jul 2011 04:30 AM PDT PAS hari ini mendesak Ketua Polis Negara dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dan Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan ekoran kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta Bersih 2.0 kelmarin sehinggakan seorang terkorban dan puluhan lagi tercedera. "PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta Saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku. "PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini. Tindakan ganas dan melampau polis, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah. "Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja. "Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat," tambah beliau. Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai yang lalu dicemari oleh tindakan polis yang agresif dengan serangan gas pemedih mata bertubi-tubi dan water cannon barangkali atas arahan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional telah menyebakan seorang mangsa terkorban dan puluhan tercedera. Mangsa terkorban ialah Allahyarham Baharudin Ahmad, 58. Antara yang cedera termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Di samping itu, polis juga telah menahan 1,667 orang sebelum melepaskan kesemuanya pada jam 9.30 malam hari Sabtu yang lalu. Bagaikan spring yang melantun akibat ditekan, seramai 50,000 telah menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 walaupun bermacam-macam cara yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menghalangnya. Angka tersebut mungkin lebih kerana ada kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya bergabung dengan kumpulan utama. Ironisnya, ia merupakan satu senario yang kerajaan cuba nak elakkan dengan melancarkan pelbagai tangkapan awal dan satu serbuan terhadap segala yang berwarna kuning. Tuduhan kerajaan dan polis bahawa Bersih 2.0 mungkin cuba membuat huru-hara di sekitar Kuala Lumpur juga dibuktikan palsu apabila ketegangan diwujudkan polis sendiri setelah menjadikan kawasan sekitar Kuala Lumpur bagaikan medan perang sebelum perhimpunan bermula. "Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini. "Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya," bidas Tuan Ibrahim yang juga menyertai perhimpunan tersebut kelmarin. Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kenyataan Ismail yang kononnya mendakwa bahawa polis hanya bertindak ganas sedemikian selepas diprovokasi para peserta Bersih 2.0. Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, Tuan Ibrahim berkata kenyataan songsang Ismail and timbalannya sebaliknya hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan mereka sendiri. Kepada para peserta Bersih 2.0, beliau mengucapkan syabas bagi pihak PAS dan mengingatkan mereka kuasa menentukan masa depan negara sudah berada di tangan mereka sekarang. "Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas. "Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka," terang beliau. Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan mereka kepada pakatan pembangkang negara. "Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di'offset'kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa. "8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa," terang beliau. Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. "Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara," kata beliau. PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau. "Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini," tambahnya. -hd |
Najib Tertekan Dengan Tuntutan BERSIH, Tuduh Anwar Dalang Perhimpunan Posted: 11 Jul 2011 03:00 AM PDT Setelah dunia kelmarin menyaksikan kebangkitan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menuntut sebuah pilihan raya yang adil, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaliknya melemparkan tuduhan fitnah bahawa Ketua Pembangkang yang menjadi dalang supaya rakyat bersuara menuntut keadilan. Malah terdesak untuk menutup tuntutan rakyat, Najib mendakwa ia adalah usaha terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan hasrat menjadi Perdana Menteri Malaysia. Najib yang juga Presiden Umno turut berkata, Anwar tergugat dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap kerajaan sehingga sanggup menganjurkan himpunan besar-besaran demi menjatuhkan imej negara di mata dunia. Walau bagaimanapun hujah Najib itu mudah dipatahkan oleh Anwar yang ditemui media selepas menghadiri Dialog Ekonomi Profesional Muda di Hotel Crsytal Crown, di sini semalam. "Itu memang strategi Najib dan Rosmah, mereka tidak lihat pada isu pokok, yang mereka tahu mahu salahkan saya, dan saya adalah orang yang paling awal diserang dan sudah tentu saya orang yang paling awal yang terpaksa berundur, saya sebelum pukul 3 petang terpaksa dibawa ke hospital," jelas Anwar yang ditembak polis menggunakan gas pemedih mata ketika mahu memulakan perarakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur. Jelas Anwar, kenyataan Najib itu jelas satu reaksi terdesak oleh seorang pemimpin yang merasakan kedudukannya terancam oleh kebangkitan rakyat. Paling penting, perhimpunan Bersih 2.0 sudah dijelaskan dari awal lagi dianjurkan oleh 62 badan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat hanya bertindak menyokong inisiatif Bersih. Dalam insiden kelmarin, Anwar mengalami kecederaan di kepala dan lutut akibat tindakan anggota polis menembak gas pemedih mata tepat ke arah muka Ketua Pembangkang itu. Tindakan pantas daripada pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri bagaimanapun telah menyelamatkan Anwar daripada kecederaan lebih teruk. Akibat melindungi Anwar, Fayad patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Anwar turut dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai untuk rawatan lanjut. Tidak cukup dengan cubaan mengaitkan Anwar sebagai dalang perhimpunan, media arus perdana termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut membohongi rakyat dengan fakta dan berita tidak telus demi kepentingan pemerintah. "Penipuan angka peserta himpunan yang dilaporkan kononnya hanya 6,000 sahaja, ramai yang sudah tahu, dan pembohongan yang lain ialah laporan tidak ada yang tercedera, saya sendiri ditembak dari jarak dekat dan pengawal saya cuba bantu yang akhirnya mukanya pecah dan kini dia di hospital untuk jalani pembedahan besar,"kata Anwar. Lebih malang dari itu, seorang daripada peserta himpunan Bersih 2.0 juga meninggal dunia ketika polis mengepung laluan perhimpunan berkenaan. Dalam pada itu, Anwar turut mencabar Najib membubarkan parlimen disebalik keangkuhan pemimpin kerajaan itu kononnya boleh menang mudah pada pilihan raya umum ke-13. "Saya mencabar Najib untuk sama-sama bertanding dalam satu pilihanraya yang adil, dan Najib perlu pastikan ianya dijalankan dengan adil dan bersih, jangan menipu dalam pilihan raya,"tegas Anwar. Najib hari ini selain meremehkan kuasa rakyat, dengan penuh keyakinan berkata pihaknya akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja parti pimpinannya sudah bersedia. Ironinya, kenyataan Najib itu umpama membuka pekung di dada bahawa gagasan itu masih belum bersedia manakala Pakatan Rakyat pula sedari awal lagi bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. -tvsnews |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan