Kelab Greenboc |
- Polis Malaysia Perlakukan Demonstran Seperti Binatang
- [Video] Insiden Tembak Gas Di KL Sentral Satu Perbuatan Jenayah
- Polis Punca Himpunan Bersih Bertukar Kecoh - Khalid Ibrahim
- Ibu Persoal Sebab Kematian Anaknya, Mahu Lantik Peguam Untuk Tindakan
- Salahuddin, Mahfuz Mahu Dakwa Polis Di Mahkamah
- Gesaan Najib Makan Diri, Masyarakat Siber Minta Najib Berundur
- [Video] Rakaman Sambutan BERSIH 2.0 Di Seluruh Dunia
- SUHAKAM Timbang Siasat Keganasan Polis Di Perhimpunan Aman BERSIH
- Lebih 70 Isteri Wakil Rakyat BN Kena Keracunan Makanan
- Sindrom Penipuan - Polis Tak Mengaku Lepaskan Tembakan Ke Hospital Tung Shin
- Tembelang Pecah Juga Akhirnya: Tangkapan Khairy Hanya Sandiwara
- Marina Mahathir Sertai Himpunan Bersih Semalam
Polis Malaysia Perlakukan Demonstran Seperti Binatang Posted: 11 Jul 2011 12:30 AM PDT Polis Malaysia dilihat terlalu ganas dalam memperlakukan para peserta perhimpunan aman pada Sabtu lalu (9/7/2011). Amnesty International menilai Malaysia sedang berada di jalur penindasan. "Mereka menembak gas pemedih mata tepat ke muka kami. Saya nyaris tak dapat bernafas, bahkan untuk berdiri pun susah," ujar pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia mengutuk tindakan polis tersebut. Dalam komentarnya di blog-blog dan lamanweb berita Malaysia, rakyat meluahkan kekesalan mereka terhadap tindakan ganas polis tersebut. "Binatang liar yang ganas di hutan pun tidak akan memperlakukan sesama mereka seperti itu. Namun, polis Malaysia melakukannya, ia terlihat di foto-foto ketika srangan dilakukan," ujar seorang warga menulis di Malaysia Today, Ahad (10/7/2011). Lembaga perlindungan hak asasi manusia internasional, Amnesty International mengkritik keras tindakan polis tersebut. "Tindakan ganas terhadap perhimpunan aman terjadi di Malaysia. Pemerintahan Najib telah memilih jalur penindasan, bukannya reformasi," ujar Amnesty International sebagaimana dipetik BBC. Polis dinilai lebih banyak melakukan intimidasi terhadap para peserta himpunan yang mendeklarasikan diri "Bersih 2.0" itu. "Mereka salah di dalam memilih cara yang tepat untuk menjaga keselamatan," ujar pejuang hak asasi Malik Imtiaz Sarwar. Pada aksi itu, sekitar 1.600 peserta ditangkap dan kebanyakan di antaranya yang diperlakukan buruk. Akibat perlakuan buruk polis itu, Anwar Ibrahim menderita luka di kepala dan kaki. Banyak peserta lain mengalami hal yang serupa. -inilah.com
|
[Video] Insiden Tembak Gas Di KL Sentral Satu Perbuatan Jenayah Posted: 10 Jul 2011 11:45 PM PDT Parti Keadilan Rakyat menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan yang dilakukan pegawai senior polis termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana mengarahkan polis melakukan kekejaman dan perbuatan jenayah dalam usaha menghalang hak mutlak rakyat untuk berhimpun secara aman. Naib Presiden PKR N. Surendren menyatakan perbuatan jenayah tersebut merujuk kepada perbuatan melepaskan tembakan gas pemedih mata kepada orang awam di tempat tertutup dan sempit di laluan bawah berhampiran KL Sentral semalam dan ianya berlaku 'tanpa sebarang provokasi'. Atas kesalahan itu, pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kata Surendran dalam satu kenyataan media. "Tindakan polis amat melanggari undang-undang dan standard polis antarabangsa. Tindakan itu sengaja dilakukan untuk membunuh, mencacat dan mencederakan mereka yang berarak dengan aman. Secara spesifiknya, tembakan gas pemedih mata di ruang tertutup di laluan bawah ialah perbuatan jenayah, yang akan menyebabbkan kecederaan serius atau kematian dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," kata beliau. Antara mangsa yang terkena serangan tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan di jalan bawah (underpass) KL Sentral ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Malah pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri mengalami kecederaan di bahagian mukanya ketika menyelamatkan pemimpin itu. Ironinya, walaupun dirakam lensa kamera media seluruh negara termasuk Reuters akan kejadian di Stesen Sentral Kuala Lumpur itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan bahawa Anwar cedera dan menyatakan tembakan gas pemedih mata hanya dilepaskan di sekitar Pudu dan tidak di tempat lain. Jawatankuasa Penggerak Bersih dan Pakatan Rakyat menganggap Bersih 2.0 semalam sebagai "satu kejayaan besar" dengan lebih 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong. "Setelah kumpulan kami yang aman memasuki laluan bawah itu, kami berhadapan dengan sepasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang berbaris dan menghalang laluan di hadapan dan bersenjatakan gas pemedih mata. Naib Presiden Tian Chua kemudian pergi ke barisan polis tersebut untuk berunding tetapi polis terus bereaksi dengan menjerit, mengetuk perisai mereka dan menghalakan senapang pemedih mata ke arah kami," terang Surendren. Selain Anwar, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut mengalami kecederaaan ekoran insiden itu. -tvsnews |
Polis Punca Himpunan Bersih Bertukar Kecoh - Khalid Ibrahim Posted: 10 Jul 2011 10:20 PM PDT Polis di-Raja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan bertindak ganas bagi meleraikan sebuah demonstrasi aman seperti yang berlaku kelmarin. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebaliknya berkata, polis seharusnya menggunakan budi bicara dan memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan supaya perhimpunan yang diadakan berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi memandangkan para demonstran tidak bersenjata mahupun mendatangkan bahaya. Justeru Khalid mempersoalkan mengapa PDRM tidak berupaya mengawal sesebuah perhimpunan supaya ia berlangsung dengan aman sama seperti di negara maju lain yang turut mengamalkan sistem demokrasi. "Perhimpunan Bersih hari ini (semalam) sepatutnya berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden tetapi kerana keegoaan polis yang bertindak melampaui batas telah menyebabkan perhimpunan ini berlaku sebaliknya. "Ramai orang awam termasuk pemimpin parti politik yang mahukan keadilan dalam sistem pilihan raya di negara ini, telah cedera dan dirawat di hospital," ujar Khalid dalam satu kenyataan media. Khalid seterusnya meminta pihak berkuasa supaya membebaskan individu yang ditangkap dengan segera. Ini kerana katanya, para peserta demonstrasi hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi di mana rakyat bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jelasnya lagi, ancaman dan kekerasan oleh pihak polis tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Beliau juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia sewaktu perhimpunan aman tersebut berlangsung. -tvsnews |
Ibu Persoal Sebab Kematian Anaknya, Mahu Lantik Peguam Untuk Tindakan Posted: 10 Jul 2011 08:44 PM PDT Terkejut lihat anak bergari, tak sedar diri KUALA TERENGGANU: "Hanya Allah yang tahu sedihnya perasaan apabila melihat Mohd Azizul tidak sedarkan diri dalam keadaan bergari ketika ditahan di lokap Balai Polis Gong Badak, bersama abangnya pada malam Rabu lalu. Gambar: ZAINUN menunjukkan gambar Mohd Azizul ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam. "Saya juga kecewa apabila bertanya kepada anggota polis bertugas mengapa anak saya begitu, tetapi dijawab anak saya hanya berpura-pura tidak sedarkan diri dan akan sedar setengah jam lagi," kata Zainun Mamat, 52, dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam di sini, semalam. Zainun yang juga suri rumah, mempertikaikan kelewatan polis menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hingga menyebabkan kematian Mohd Azizul Muda, 24, yang didakwa meninggal dunia kerana kecederaan akibat jatuh motosikal di Taman Semarak. Beliau berkata, Allahyarham dan abangnya, Mohd Suhaimi, 38, keluar menaiki motosikal ke kedai makan di Taman Semarak, untuk menikmati roti canai selepas menonton siaran langsung perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Taiwan jam 11.30 malam Rabu lalu. Katanya, kira-kira setengah jam kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya supaya datang ke Balai Polis Gong Badak kerana dua anak lelakinya itu ditahan polis dan Mohd Azizul cedera di kepala kerana dikatakan jatuh motosikal. "Saya lihat Mohd Azizul kritikal akibat kecederaan di kepala, malah saya juga tidak mengetahui punca sebenar dia dan abangnya ditahan polis. Selepas berbincang dengan anggota polis di situ, seorang daripadanya memberi jaminan Mohd Azizul akan pulih dan saya diminta pulang tidak lama selepas itu," katanya. Zainun berkata, dia datang semula ke balai polis itu kira-kira jam 9 pagi keesokannya untuk melihat keadaan anaknya, tetapi terkejut apabila mendapat tahu Mohd Azizul sudah dihantar ke HSNZ pagi itu tanpa pengetahuannya. "Saya bergegas ke HSNZ dan terkejut apabila mendapati kepala anak sudah dibedah dan doktor memaklumkan Mohd Azizul meninggal akibat terjatuh motosikal. Saya hairan kerana sebelum ini anggota polis memberi jaminan anak saya tiada sebarang masalah. "Saya kesal kerana permintaan supaya Mohd Azizul dibawa ke hospital tidak diendahkan polis, sebaliknya berbuat demikian apabila dia sudah nazak dan ini menimbulkan keraguan berhubung punca kematiannya," katanya. Zainun berkata, keluarganya bercadang melantik peguam untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya dan mengambil tindakan lanjut. -BH |
Salahuddin, Mahfuz Mahu Dakwa Polis Di Mahkamah Posted: 10 Jul 2011 08:00 PM PDT Sambil menyifatkan tanggal 9 Julai sebagai hari pembunuhan dan pengebumian demokrasi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan rakannya Salahuddin Ayub mahu membuat laporan polis mengenai tindakan polis menahan mereka di ibu negara, kelmarin. Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa selain pembunuhan demokrasi, semalam juga merupakan hari kematian seorang pejuang demokrasi, Allahyarham Baharuddin Ahmad. "Dia mati sebagai seorang pejuang yang ingin hidupkan demokrasi di Malaysia. Saya juga percaya, setiap kegelapan yang berlaku, pasti akan ada cahaya kebahagiaan untuk masa depan Malaysia," katanya selepas berarak mengiringi jenazah Baharuddin ke tanah perkuburan Islam Lembah Keramat AU4 tengah hari semalam. Mahfuz turut melahirkan rasa kecewanya terhadap tampuk pimpinan kerajaan yang tidak menunjukkan sikap keterbukaan ke atas Himpunan Bersih 2.0. Mahfuz dan Salahuddin merupakan antara 1,401 orang yang ditahan semalam kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0. Malah mereka juga merupakan sebahagian daripada 91 individu yang dilarang memasuki ibu negara kelmarin. Semalam, Bersih juga mengisytiharkan seramai 50,000 orang menyertai Himpunan Bersih 2.0. "Mereka (pentadbiran Najib) tidak menunjukkan sikap keterbukaan mereka dan berjaya memperalatkan pihak keselamatan demi untuk memenuhi nafsu pemimpin Umno dan BN," tegasnya. Tamba Mahfuz, kejadian yang menimpa Himpunan Bersih 2.0 semalam harus dinilai sewajarnya oleh masyarakat untuk menamatkan penguasaan kerajaan yang membunuh demokrasi dan pejuang demokrasi di Malaysia. Mahfuz juga berkata, esok beliau bersama Salahuddin akan membuat laporan polis berhubung tangkapan yang dibuat kelmarin. Jelas beliau, "laporan polis yang akan dibuat adalah untuk menuntut ganti rugi malu dan kesusahan hati saya, anak-anak saya dan isteri saya." "Selepas laporan dibuat, saya akan serah kepada peguam untuk memulakan proses tuntutan," katanya sambil menambah, beliau akan membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini. Semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) ditangkap polis di KL Sentral. Selain mereka turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu. Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan mahu Suhakam mengadakan siasatan segera berhubung kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan anjuran pihaknnya. -TMI |
Gesaan Najib Makan Diri, Masyarakat Siber Minta Najib Berundur Posted: 10 Jul 2011 06:30 PM PDT Ramai pemerhati berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sedang berada di dalam keadaan tertekan dengan kejayaan penganjur BERSIH mengadakan perhimpunan aman di tengah bandar Kuala Lumpur. Najib semalam menggesa "majoriti senyap" di kalangan rakyat Malaysia, yang beliau dakwa menentang perhimpunan BERSIH 2.0 semalam, supaya menyatakan pendirian jelas mereka di ruang siber. Katanya, sudah tiba masanya bagi mereka berhenti menjadi majoriti senyap, dan mengambil kesempatan daripada kemudahan di talian yang sedia ada seperti laman rangkaian sosial untuk menyuarakan pandangan mereka. Tiba-tiba gesaan beliau disambut dengan satu laman facebook bertajuk "100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation" (100,000 orang meminta Najib Tun Razak Letak Jawatan). Didalam masa tidak sampai 10 jam, angka 100,000 itu dicapai dan lawatan pagi ke laman facebook tersebut mendapati angkanya sudah melepas 100K, iaitu 101,093 Gesaan Najib menjadi kenyataan tetapi malangnya kini ia bertentangan dengan apa yang dihajatkan. Tindakan Najib mengumpul hampir 6,000 orang ahli Umno dan NGO di PWTC pagi semalam di PWTC dilihat adalah semata-mata untuk "memulihkan semangatnya" kembali apabila polis dilihat GAGAL menghalang perhimpunan BERSIH daripada berlaku. Walaupun penganjur BERSIH telah ditipu oleh Najib dengan menyatakaan kesediaan kerajaan untuk menyediakan stadium jika penganjur BERSIH ingin meneruskan perhimpunan, tetapi kemudian apabila penganjur BERSIH bersetuju setelah menerima nasihat Agong, Najib kemudiannya gagal menyempurnakan janjinya, menyebabkan peserta-peserta tiada pilihan lain kecuali ke stadium juga. Pun mereka dihalang, dengan polis menutup sekalian laluan masuk ke ibu kota. Keadaan ibu kota di pagi 9 Julai lengang selengang-lengangnya seolah-olah KL di ambang perang, KL seperti dalam keadaan darurat. Seolah-olah perhimpunan aman BERSIH tidak lansung akan berlaku di ibu kota. Tiba-tiba selepas sahaja waktu zohor, muncul peserta BERSIH ini entah dari mana datangnya dan di mana mereka menyorok sebelumnya. Polis tiba-tiba tersentak. Akhbar BERITA HARIAN di dalam satu tulisan utamanya menyatakan semalam: Penyokong perhimpunan haram BERSIH 2.0 muncul dari pelbagai arah sekitar ibu negara semalam tanpa diketahui lokasi sebenar mereka bersembunyi, sekali gus menyebabkan keadaan sekitar kawasan utama menjadi tegang. Demikianlah episod BERSIH bermula. Rakyat walau dikekang bagaimanapun, mereka akan tetap bersatu di dalam satu arus akhirnya. Perhimpunan rakyat yang pada mulanya senyap-senyap dan berjalan dengan tenang dan aman, tiba-tiba dihuru-harakan oleh polis FRU yang megejar, membelasah, menembak, mengganas, menangkap peserta perhimpunan aman. Maka hancur semua ketenangan dan keamanan, yang timbul ialah kekecohan dan kekacauan. Yang paling menghodohkan keadaan ialah tembakan gas pemedih mata, apa tah lagi di kawasan perkarangan sebuah hospital swasta. Dan tangkapan ke atas beberapa pemimpin BERSIH dan Pakatan Rakyat, sekaligus menconteng arang kepada nama baik Malaysia di mata antarabangsa. Seperti yang GB tuliskan sebelum ini, siapa menduga, setelah diancam dan diugut berkali-kali oleh pihak berkuasa yang semuanya bertujuan untuk menggagal missi perhimpunan tersebut, ianya tidak mampu untuk membendung gelora kebangkitan rakyat. Tepat sekali kata-kata TG Nik Abdul Aziz, Mentri Besar Kelantan : "Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti." |
[Video] Rakaman Sambutan BERSIH 2.0 Di Seluruh Dunia Posted: 10 Jul 2011 03:10 PM PDT Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Perhimpunan Aman Bersih 2.0 telah disambut meriah di seluruh bahagian dunia. "Di mana pun berada, kita hendaklah memakai baju-T kuning serta membawa sepanduk, belon dan plakad kuning bersama slogan menyokong pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia," kata wakil gerakan global itu. Di Bangkok, berpuluh aktivis hak asasi manusia mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Malaysia sebagai menyokong perhimpunan haram Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Patcharee Sae-Eaw, pegawai undang-undang People's Empowerment Foundation, kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Bangkok, berkata kehadiran kumpulan itu bagi menunjukkan permuafakatan dengan pergerakan yang mendesak bagi pilihan raya lebih adil dan bersih di Malaysia. Katanya pergerakan hak asasi manusia yang lain dari Jepun, Malaysia dan Sweden yang berpangkalan di ibu negara itu turut menyertai demonstrasi kira-kira sejam bermula 1.30 tengah hari waktu tempatan. Demonstrasi di Bangkok diselaraskan antara kumpulan hak asasi manusia di Malaysia dan Thailand serta Parti Sosialis Malaysia, katanya. Di Singapura, dilaporkan kira-kira 100 penyokong Bersih 2.0 berkumpul di Hong Lim Park pada tengah hari dengan memakai pakaian kuning dan mengagihkan ros kuning kepada orang ramai di kawasan itu. Sementara itu agensi berita AFP melaporkan di Hong Kong, warga Malaysia yang memakai kemeja T kuning berkumpul di depan Pejabat Konsulat Malaysia dan menyerahkan memorandum yang menyatakan rakyat Malaysia yang tinggal di Hong Kong, menyokong desakan Bersih 2.0 bagi pilihan raya bebas dan adil. Di Seoul, rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar dan mereka yang bekerja di ibu negara Korea Selatan itu berkumpul sambil membawa sepanduk dan bergilir-gilir menyampaikan ucapan menggesa bagi pembaharuan pilihan raya di Malaysia. Di Melbourne, Australia, rakyat Nalaysia dilaporkan berkumpul di Federation Square manakala di New Zealand, mereka berkumpul di Christchurch. Di negara-negara berkenaan, tiada pasukan polis yang datang mengejar para demonstrans dengan gas pemedih mata dan seumpamanya. Tiada pembelasahan, tiada provokasi, tiada keganasan. Semuanya berjalan aman tidak seperti di Malaysia di mana polis menghuru-harakan negara dengan pelbagai tindakan kurang akal untuk mencetuskan keganasan di perhimpunan aman BERSIH. |
SUHAKAM Timbang Siasat Keganasan Polis Di Perhimpunan Aman BERSIH Posted: 10 Jul 2011 08:25 AM PDT Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersedia menimbang untuk mengadakan siasatan awam terhadap isu kekerasan polis dalam membanteras perhimpunan aman Bersih semalam yang berakhir dengan seorang mati dan puluhan lagi yang cedera. Pesuruhjaya Suhakam Mohamad Sha'ani Abdullah menggesa semua pihak yang mendakwa dikasari polis membuat aduan rasmi kepada badan itu bagi membolehkan badan itu mengambil tindakan susulan. Sebuah siasatan awam akan menwajibkan pegawai-pegawai polis untuk tampil memberi keterangan dan penjelasan kepada Suhakam mengenai tindak-tanduk mereka dalam membanteras Bersih 2.0. Sha'ani berkata polis tidak harus menggunakan kekerasan selagi tidak ada risiko keselamatan atau ancaman nyawa. "Sebarang tindakan pihak berkuasa tidak boleh membelakangkan keselamatan dan risiko kepada kesihatan mana-mana pihak," beliau memberitahu TvSelangor. "Perkara ini perlu menjadi pengajaran bahawa tindakan (polis) harus secocok dengan risiko ataupun ancaman. Kalau tiada ancaman tidak perlu tembak gas pemedih mata dan pihak berkuasa perlu prihatian kepada keadaan bukan menunjuk kuasa. Itu bukan penyelesaian," tegasnya. Sha'ani berkata pihaknya sudah pun menerima aduan daripada peserta Bersih dan akan mengambil tindakan yang berpatutan demi menegakkan kebenaran. "Kami telah menerima aduan-aduan daripada peserta perhimpunan dan kami juga mempelawa sekiranya ada pihak-pihak lain nak memajukan aduan berkaitan sebarang tindakan pihak berkuasa yang dianggap tidak berpatutan boleh diajukan kepada Suhakam, " kata beliau. "Ini akan membantu kami menyediakan satu laporan dan juga untuk mempertimbangkan semua aduan. Jika difikirkan perlu ada satu inkuiri awam, suruhanjaya akan putuskan. Saya tak dapat nyatakan akan ada atau perlu, tetapi itu akan dipertimbangkan oleh pihak suruhanjaya," kata beliau. Sha'ani berkata buat masa ini, Suhakam akan memberi laporan kepada kerajaan dengan mencadangkan pendekatan yang harus diutamakan bagi menangani keadaan seperti perhimpunan aman semalam. "Kami akan memberi laporan kepada kerajaan dan mengesyorkan kepada mereka supaya tindakan berbentuk kasar atau mengancam keselamatan dan kesihatan umum tidak digunakan pada bila-bila masa yang tiada risiko keselamatan. Ini perlu diambil perhatian oleh kerajaan," tambah beliau. Pemimpin pembangkang dan penganjur Bersih hari ini menggesa badan itu mengadakan siasatan awam terhadap kekejaman polis ke atas perhimpunan Bersih itu. Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata pihaknya amat terkilan dengan kekerasan polis yang menyaksikan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia dilepaskan bertubi-tubi ke atas peserta perhimpunan aman itu. Sha'ani dan Ambiga pagi tadi menziarahi keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad, seorang ahli PAS, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika cuba mengelak daripada ditangkap polis semasa perhimpunan aman itu. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, di Taman Seri Keramat Kuala Lumpur tengah hari tadi. Lebih 1,600 orang termasuk pimpinan kanan Pakatan Rakyat ditangkap oleh polis semalam. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Shah Alam adalah antara mereka yang mengalami kecederaan akibat di tembak dengan gas pemedih mata. Meskipun ribuan anggota polis di kerah untuk "menutup" Kuala Lumpur kepada peserta Bersih semalam, puluhan ribu orang menongkah arus pancutan air kimia dan tembakan gas pemedih mata serta belantan Polis Simpanan Persekutuan untuk menyertai perhimpunan aman itu. Mereka berjalan secara aman menuju ke Stadium Merdeka untuk menuntut pilihanraya adil dan telus namun menghadapi kekangan dan kekerasan polis di sepanjang perjalanan. Ambiga mempersoalkan sama ada tindakan polis mensasarkan Anwar dan pemimpin lain adalah dengan niat mencederakan mereka. "Pada masa saya di terowong KL Sentral, saya mendapati ada 4 palet gas pemedih mata (ditembak) dalam terowong tersebut. Bila kami lari, ada satu lagi palet (ditembak). Apa tujuan mereka? Adakah mereka sasar Datuk Seri Anwar Ibrahim (dan) Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Saya mahu tau apa tujuan mereka!," kata bekas Pengerusi Majlis Peguam itu. Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang turut hadir di rumah Allahyarham Baharuddin, menyokong gesaan supaya Suhakam menjalankan siasatan awam. "Tindakan kasar dan zalim yang dibuat polis terhadap rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, Apakah itu merupakan satu kesalahan kepada rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil?," kata Azmin. "Cara polis bertindak menunjukkan bahawa rakyat seolah-olah pengganas walhal mereka sebenarnya langsung tidak mencetuskan apa-apa masalah ketika itu," kata beliau yang turut ditahan oleh polis semalam. -tvsnews |
Lebih 70 Isteri Wakil Rakyat BN Kena Keracunan Makanan Posted: 10 Jul 2011 06:30 AM PDT Kuala terengganu: Lebih 70 isteri wakil rakyat yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 di sini, semalam mengalami keracunan makanan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kejadian bermula pada kira-kira 11 pagi apabila beberapa daripada mereka mengalami muntah dan cirit birit dan dirujuk ke klinik statik di hotel penginapan mereka di sini. Katanya, daripada lebih 70 yang mengalami simptom itu, 18 terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). "Hanya 15 yang ditahan di wad kerana simptom yang dialami mereka lebih serius namun keadaan mereka stabil dan tidak membimbangkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat para isteri wakil rakyat berkenaan di HSNZ di sini hari ini. Katanya, punca kejadian masih disiasat namun beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam sebelum itu. "Semua sampel makanan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut, katanya. Sementara itu, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Selangor, Datin Norliah Mohd Nazir, ketika ditemui di HSNZ memberitahu beliau mengalami muntah-muntah selepas majlis makan malam yang dihadiri bersama isteri wakil rakyat lain. "Selepas muntah-muntah saya cuba dapatkan rawatan di Klinik Statik di Hotel Permai tapi keadaan saya tidak bertambah baik dan saya dihantar ke sini (HSNZ) untuk dapatkan rawatan lanjut," katanya. Namun, katanya, beliau menganggap peristiwa tersebut sebagai insiden tidak dijangka dan tidak menyalahkan pihak penganjur atas kejadian tersebut. -Bernama |
Sindrom Penipuan - Polis Tak Mengaku Lepaskan Tembakan Ke Hospital Tung Shin Posted: 10 Jul 2011 05:30 AM PDT Tiada gas pemedih mata dilemparkan di Tung Sin, kata polis Pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh hari ini menafikan dakwaan bahawa polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam perkarangan Hospital Tung Sin di sepanjang Jalan Pudu, walaupun terdapat bukti yang menunjukkan sebaliknya. Beliau juga mempertahankan tindakan pegawainya dalam menggunakan "kekerasan yang munasabah" untuk menyuraikan penunjuk perasaan, sambil berkata orang ramai melakukan memprovokasi terhadap polis. "... Tidak ada gas pemedih mata yang dilemparkan. Saya nampak semuanya, saya ada di sana," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Kuala Lumpur. Terdapat banyak dakwaan di rangkaian sosial dengan dengan para saksi dan ahli parti pembangkang menyiarkan banyak gambar dan video menunjukkan anggota polis anti-rusuhan didakwa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan hospital swasta itu. Beratus-ratus penunjuk perasaan berada di dalam kawasan tersebut untuk mendapatkan perlindungan. Apabila ditanya sama ada pihak polis mengetahui mengenai bukti gambar dan video yang menyokong dakwaan tersebut, Amar kelihatan tergamam dan hanya menjawab beliau akan memeriksanya. Beliau berulangkali menegaskan bahawa gas pemedih mata tidak digunakan ke atas penunjuk perasaan yang berada di hospital Tung Sin, tetapi berkata, beliau tidak ingat sama ada meriam air digunakan. Ulasan GB Kalau tak menipu tidak sah. Sedangkan bukti bergambar begitu jelas dan nyata telah berlaku tembakan gas pemedih mata ke arah perkarangan hospital Tun Shin. Kerja yang seperti binatang dan tidak berperi kemanusiaan. Amar Singh yang menipu rakyat Malaysia ini perlu dipecat dari jawatannya. Petikan laporan semalam:
|
Tembelang Pecah Juga Akhirnya: Tangkapan Khairy Hanya Sandiwara Posted: 10 Jul 2011 04:30 AM PDT PPerkecil perhimpunan Bersih, Najib kata Umno tak takut pilihan raya adil KUALA LUMPUR, 10 Julai — Datuk Seri Najib Razak pagi ini memperlekeh dan mengetepikan impak Himpunan Bersih 2.0 yang diadakan semalam dengan menegaskan, Umno pimpinannya tidak bimbang untuk mengadakan pilihan raya bersih. Dalam ucapannya yang berkobar-kobar dan lantang di hadapan 6,000 ahli Umno, badan bukan kerajaan dan pertubuhan silat, Perdana Menteri (gambar) memperkecilkan kehadiran penyokong Bersih 2.0 semalam sambil mengatakan bahawa Umno sebenarnya boleh mengatasi Bersih 2.0 sekiranya mereka meneruskan perhimpunan jalanan. Bersih 2.0 membatalkan perhimpunan jalanan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu dan janji Najib bahawa mereka boleh mengadakan perhimpunan di stadium jika mahu. "Jangan ragui kekuatan kami. Umno ada tiga juta ahli. Jika kami dapat himpunkan sejuta ahli, ia lebih daripada cukup, kami boleh menawan Kuala Lumpur. "Jika kami hendak mencetuskan huru-hara, kami boleh. Tetapi kami mahu mempertahankan undang-undang Malaysia, kami mahukan keamanan," kata Presiden Umno pada perhimpunan yang diadakan di Dewan Merdeka, PWTC sehari selepas Himpunan Bersih 2.0, kempen yang dilihat menjadi ujian kepada pentadbiran beliau. Ucapan Najib, yang menjadi perdana menteri dan presiden 27 bulan yang lalu, berkisar pada perhimpunan Bersih 2.0 dan tuntutan gabungan itu agar diadakan satu pembaharuan pilihan raya yang adil dan bersih. Semalam, Pergerakan Pemuda Umno juga mengadakan perhimpunan balas memprotes Bersih 2.0 atas nama gerakan "Patriot". Najib berkata meskipun Bersih 2.0 menjanjikan kehadiran 500,000 orang tetapi tidak sampai 10,000 orang yang menyertai perhimpunan semalam. Seperti semalam, beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang tidak menyertai perhimpunan itu dengan menyifatkan pihak berkenaan sebagai "majoriti senyap." "Ini sebahagian daripada kekuatan Umno, kami menghimpunkan 6,000 ahli di sini hari ini dalam tempoh yang singkat . . . mereka menunggu isyarat, mereka bersedia untuk melakukan apa sahaja," kata Najib kepada pemberita selepas itu. Dalam ucapannya, Najib juga mengucapkan terima kasih kepada setiap yang hadir pada majlis yang dikenali sebagai "Majlis Penerangan Perdana" dengan berkata pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk pertubuhan silat bersedia untuk mempertahankan negara sehingga titisan akhir darah. "Jika anda sebut atau persoal mengenai Islam, mereka akan bangkit," katanya. "Jangan (menyebabkan) kami memulakan demonstrasi jalanan. Semalam, kami hanya menghantar sayap Pemuda Umno, diketuai oleh Khairy Jamaluddin untuk mewakili (kami)," kata Najib dengan disusuli laungan sokongan kepada ketua sayap itu. Kesemua pemimpin kanan Umno termasuk timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir. "Anda tidak mahu Wanita Umno pergi ke jalanan, jika tidak kami juga telah bertindak begitu," kata Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada Najib pada sidang media yang diadakan itu. Najib juga berkata, kerajaan sangat serius untuk memperbaiki proses pilihan raya semasa dan salah satu bukti ialah memperkenalkan sistem biometrik. Juster kata Najib, pentadbirannya mengamalkan demokrasi tulen. "Umno tidak bimbang (mengadapi) pilihan raya adil," kata Najib. -TMI Ulasan GB Ternyata kini, dari ucapan Najib sendiri bahawa Khairy yang sebelum ini dilaporkan membatalkan penyertaan untuk berdemonstrasi mengubah keputusan di saat akhir, menyertai protes terhadap Himpunan BERSIH 2.0 semalam. Rupa-rupanya ada ada perencanaan licik dan didedahkan sendiri oleh Najib hari ini: Semalam, kami hanya menghantar sayap Pemuda Umno, diketuai oleh Khairy Jamaluddin untuk mewakili (kami)," Patutlah masing-masing dari kalangan Patriot termasuk Khairy seperti "berlakon" ditahan. Berposing lagi untuk sesi penggambaran. Akulah wira jalanan! Najib bertempik hari ini, konon tak takut pilihanraya adil. Jika demikian kenapa takut dengan tuntutan BERSIH? Semua tidak lupa, pada tahun 1999, Najib Tun Razak cuma mampu menang kerusi Pekan dengan majoriti 241 undi. Itupun, dalam keadaan ada 2400 undi POS yang 95% pergi pada BN. Ertinya, selepas 1999, Najib lebih layak dikenali sebagai "Wakil Pos" berbanding "Wakil Rakyat". Selepas kemenangan tipis beliau, secara tiba-tiba Kem Batu 6 Jalan Gambang dipindah dari Parlimen Kuantan kepada Parlimen Pekan tanpa apa-apa sebab yang munasabah. Hasilnya Najib menang gemilang selepas 1999 dengan majoriti 26464 undi (2004) dan 22922 undi(2008)bagi kerusi Parlimen Pekan (P85). Cumanya, Allah SWT Maha Berkuasa. Dengan berpindahnya Kem Batu Enam Gambang, PR berjaya menang di Parlimen Kuantan. Antara tuntutan BERSIH adalah "PENGHAPUSAN UNDI POS SAMA SEKALI." Jadi, tidak hairanlah Najib Tun Razak sangat takut dengan gerakan BERSIH. Kalau dihapuskan undi pos, nescaya Najib akan kembali balik kepada zaman kegelapan 1999 di mana beliau hanya mampu menang tipis 241. Jelasnya, tanpa undi pos, harapan Najib mengekalkan kerusi PEKAN adalah tipis. Atas sebab itu, Najib Tun Razak habis-habisan menentang BERSIH. BERSIH bakal membersihkan beliau dari kerusi Parlimen Pekan (P85) p/s Eh itu kes campur-adukkan lawatan rasmi ke Kazashtan dengan urusan peribadi untuk merisik perkahwinan anaknya, Najib dan Putrajaya belum jawab lagi. Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya untuk merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan yang salah dan amat menjelekkan nampak Najib mendiamkan diri. |
Marina Mahathir Sertai Himpunan Bersih Semalam Posted: 10 Jul 2011 03:00 AM PDT Beberapa hari sebelum Himpunan Bersih yang berlansung semalam, blog ini ada menyiarkan kecaman Marina Mahathir yang menyatakan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah sama seperti yang digunakan oleh diktator dunia ketiga. "Hanya mereka yang takut akan mengambil jalan keluar dengan perkara-perkara itu ... dan kita berkelakuan seperti negara dunia ketiga atau kurang," katanya pada sidang akhbar yang penuh sesak ketika itu sambil diapit oleh beberapa wakil dari Bersih. Pemimpin pembangkang dan beberapa orang telah ditahan untuk disoal siasat kerana menyokong Bersih yang berhimpun untuk menuntut reformasi pilihan raya. Beliau berkata tangkapan besar-besaran adalah satu daripada tindakan paling keras dalam sejarah politik negara. Marina berkata tindakan keras kerajaan tidak mencerminkan usaha-usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. "Kami sebuah negara membangun, kita perlu bertindak sepertinya dan bangkit di atas (semua ini) dan yakin dengan rakyat," katanya. Marina juga mengutuk serangan peribadi ke atas Pengerusi Bersih S Ambiga, yang dipujinya kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam memperjuangkan hak asasi manusia. "Serangan peribadi adalah tidak wajar. Mereka sepatutnya menggunakan hujah-hujah yang lebih baik untuk menyelesaikan isu itu dan tidak mengambil jalan keluar dengan serangan peribadi," katanya. Semalam, Marina ditemui di perhimpunan Bersih. Tahniah dan syabas! |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan