Kelab Greenboc |
- BERSIH Di Stadium. Polis Perlu Pulangkan Semua Baju & Lepaskan Semua Tahanan
- Bongkar: "Pengundi Klon" Trend Baru Dalam Daftar Pemilih Ganti "Pengundi Hantu"
- Usaha Kotorkan BERSIH: "Ada Bom Dan Parang Dengan Baju Bersih Ditemui", Kata Polis
- Bukti SPR Tidak Bersih: 125 Bantahan Kota Raja Diakui Sah
- Astora Jabat Tewas Dalam Pilihanraya Di Thailand
- Mayat Nurrahayu Ditemui Dikerat Dan Dibakar Di Tanah Perkuburan Hindu
- Mengapa Unit Forensik Selalunya Akan Memberi Keterangan Berpihak Kepada SPRM Sahaja?
- Bersih 2.0 : Tindakan Zalim Kerajaaan Tak Mampu Kekang Kemaraan Rakyat
- Marina Mahathir Selar Tindakan Kerajaan Sekat BERSIH 2.0
- Kes Sosilawati Dimulakan: 76 Saksi Akan Dipanggil
- Prosiding Inkues Sarbani Dimulakan. Balu Saksi Pertama Beri Keterangan
BERSIH Di Stadium. Polis Perlu Pulangkan Semua Baju & Lepaskan Semua Tahanan Posted: 05 Jul 2011 01:25 AM PDT Setelah mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong hari ini, BERSIH 2.0 bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium. Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan tetapi tarikh pada 9 Julai ini tidak berubah. Jawatankuasa itu yang terdiri daripada pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang tadi. Menurut Ambiga, pada sidang media selepas pertemuan itu, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Ditanya wartawan sama ada tindakan itu satu bentuk tolak ansur, Ambiga menjawap 'Ya". Sebelum ini, sumber yang rapat dengan pihak penganjur, memberitahu Malaysiakini tidak ada ahli politik yang menyertai pertemuan berkenaan. Sejak jam 1.30 petang, ketiga-tiga pemimpin itu menunggu di pondok pengawal menanti untuk masuk sebelum dibenarkan berbuat demikian pada jam 1.55 petang tadi. Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara. Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara. Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana. Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun. Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka. -mk Ulasan GB Akhirnya cadangan GB yang GB kemukakan semalam menjadi kenyataan sekalipun belum diketahui stadium mana yang akan dipilih. Di dalam ulasan GB semalam, GB menyatakan: Oleh kerana sudah ada titah Agong mengenai perhimpunan BERSIH 2.0 ini, maka GB berpendapat bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 tidaklah wajar dibatalkan lantarannya, tetapi diteruskan dengan diubah perancangannya supaya diadakan di Dewan/ Stadium. Ia adalah bagi mempastikan tuntutan BERSIH 2.0 tetap berjalan, dalam masa yang sama menghormati dan menjunjung tinggi titah Yang Dipertuan Agong. Ia juga untuk mengelakkan provokasi yang telah dirancang oleh UMNO dan PERKASA. Dan kita akan buktikan jumlah yang hadir benar-benar boleh mencecah 1 juta orang, bukan macam Himpunan Belia Najib yang 5,000 dikatanya 1 juta. Dan jika kita berhimpun di stadium, dengan sendirinya tiada lagi tangkapan gila, sekatan dan penahanan yang disebabkan baju BERSIH. Kita tidak berundur, tetapi kita ingin menutup pintu fitnah menyatakan kita hendak tumbangkan kerajaan melalui jalanraya bukan pilihanraya. Kini, pihak Polis perlu kembalikan semua baju-baju yang dirampas dan lepaskan semua orang-orang yang ditahan. Tiada perhimpunan di jalanraya hanya di stadium, dan Perdana Menteri dan Agong sendiri mengizinkan perhimpunan Bersih di stadium. Jadi polis tidak perlu sibuk-sibuk untuk menahan dan menangkap orang pakai baju BERSIH dan menahan kenderaan yang akan menuju ke stadium. Tidak perlu ada provokasi lagi samada oleh Patriot, PERKASA, PESAKA atau dari polis sendiri. Tidak perlu kata ada unsur kominis, ada molotov coctail, ada parang, ada kepala bapak bom dan seumpamanya lagi. Pakatan Rakyat kini berhak untuk berhimpun seberapa ramai yang kami mahu. Agong merestuinya. Kita kuningkan (BERSIHkan) seluruh negara hari Sabtu ini nanti! |
Bongkar: "Pengundi Klon" Trend Baru Dalam Daftar Pemilih Ganti "Pengundi Hantu" Posted: 05 Jul 2011 12:45 AM PDT Kuantan – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) didakwa gagal mengesan berlakunya penipuan dalam daftar pemilih sehingga mewujudkan fenomena seorang individu yang mempunyai dua identiti berbeza. Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, trend pengundi hantu menjelang pilihan raya kini dilihat sudah berubah apabila muncul trend baru yang juga dikenal pasti sebagai pengundi klon. Beliau juga mendakwa dalam semakannya di laman web SPR berjaya mengesan perkara itu. "Semakan hampir satu jam yang dibuat semalam berjaya menemukan lebih 60 data mewakili seorang pengundi yang mempunyai dua identiti berbeza, berdaftar dalam daftar pemilih SPR. "Saya yakin, jika terus melakukan semakan, masih banyak lagi pengundi klon yang berjaya dikesan. "Justeru, saya mengambil keputusan untuk tampil menunjukkan bukti terdapat penipuan dalam daftar pemilih," katanya ketika ditemui semalam. Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata, taktik ini merupakan satu perkara baru yang diketahui serta SPR kini terpaksa berdepan dengan isu yang lebih mencabar. "Dari segi kelayakan, mereka memang layak untuk mengundi kerana mempunyai butiran diri lengkap yang telah didaftarkan. "Saya tidak terkejut mengapa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) masih diteruskan biarpun mendapat tentangan daripada parti pemerintah. Bersih dijalankan bukan untuk tuntutan politik, sebaliknya untuk mencari kebenaran," katanya. Beliau mahu SPR tampil membuat pengakuan bahawa wujudnya penipuan dalam daftar pemilih serta mahu pihak berkenaan membersihkan data-data pengundi klon bagi memastikan pilihan raya akan datang berjalan secara adil. "SPR perlu melakukan sesuatu kerana saya bimbang jika perkara ini tiada penyelesaian segera, ia akan mengelirukan rakyat dan pengundi. Hanya SPR sahaja yang mempunyai hak untuk membersihkan pendaftaran pengundi klon. "Sekiranya pihak SPR mengesahkan perkara tersebut dengan segera dan mendedahkan kepada masyarakat, ia adalah peluang keemasan untuk redakan ketegangan berikutan perhimpunan Bersih yang semakin hebat diperkatakan. "Jika tidak, saya yakin pasti ada pihak yang akan terus mempertikai perhimpunan Bersih," katanya. -SH |
Usaha Kotorkan BERSIH: "Ada Bom Dan Parang Dengan Baju Bersih Ditemui", Kata Polis Posted: 04 Jul 2011 11:30 PM PDT Polis kesan pihak cuba cetus huru-hara ketika perhimpunan haram 9 Julai KUALA LUMPUR: Polis menemui empat bahan letupan molotov coktail yang diletakkan dalam plastik hitam di Jalan Raja Laut, awal pagi semalam, dipercayai akan digunakan ketika perhimpunan haram BERSIH berlangsung Sabtu ini. Bahan letupan itu ditemui bersama beberapa senjata tajam seperti pisau dan parang serta 15 mercun bola dan T-shirt tertera perkataan BERSIH yang dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan dalam pasu bunga di belakang pusat beli-belah Sogo, di sini. Hasil siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi mendapati bahan letupan berkenaan diletakkan tiga suspek lelaki menaiki sebuah kereta Proton Waja yang didaftarkan di Negeri Sembilan. Suspek dilapor dalam keadaan mencurigakan selepas dilihat keluar dari kereta dengan memakai penutup muka dan sarung tangan sambil memerhatikan keadaan sekeliling, ketika menyembunyikan bahan letupan itu. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata polis tidak menolak kemungkinan bahan letupan itu akan digunakan ketika perhimpunan haram, tetapi siasatan lanjut sedang dilakukan secara terperinci. "Polis kini mengesan suspek berkenaan bagi mengetahui sama ada wujud bahan letupan turut diletakkan di beberapa lokasi lain yang kita percaya akan digunakan pada hari perhimpunan haram itu Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau berkata, orang ramai diminta tidak panik menghadapi situasi berkenaan kerana polis sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cubaan beberapa pihak mengganggu-gugat ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur. Katanya, polis berusaha mengesan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan dan Kakisan. Difahamkan, ini adalah penemuan pertama polis ke atas bahan letupan berbahaya yang dipercayai akan digunakan ketika perhimpunan haram itu. Sementara itu, sebuah kumpulan anti-BERSIH membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh dan diancam akan diserang dengan kumpulan bersenjata jika kumpulan berkenaan cuba menghalang perhimpunan BERSIH. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kumpulan anti-BERSIH itu menerima SMS berbunyi 'Lu Melayu Mau Mati ka, masa 13 Mei kami belum sedia, tapi 9 Julai sapa yang mati.. jadi jangan cuba mengganggu Perhimpunan BERSIH, kami yang akan bersenjata tidak akan teragak-agak menyerang anda seperti 13 Mei 1969.' Sementara itu, Polis Selangor menemui satu beg berisi molotov coktail, dua plastik hitam mengandungi puluhan baju kuning BERSIH dan dua beg berisi parang serta bebola besi di Batu 12, Jalan Lama Gombak di tepi jalan kawasan hutan petang semalam. Penemuan itu berdasarkan maklumat beberapa Orang Asli yang terlihat barang berkenaan ketika sedang mencari rotan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut kes itu. -BH Gambar dari China Press. P/s: BERSIH disabotaj? Tuduhan yang dilemparkan ini sangat-sangat berniat jahat. Penggunaan kata "dipercayai" dalam kenyataan polis itu memberikan implikasi kepada nama baik BERSIH. Apa justifikasi polis mengaitkan penemuan senjata dan bahan letupan itu dengan BERSIH? Hanya kerana ada baju BERSIH bersama-sama senjata atau bom itu? Siapalah bangang mahu letak bahan letupan dan senjata sekali dengan baju BERSIH? Siapalah yang bangang bunuh orang kemudian letak ICnya di tepi mayat?? Penemuan itu boleh jadi angkara orang yang mahu mensabotaj BERSIH! Boleh juga angkara... -PASPB |
Bukti SPR Tidak Bersih: 125 Bantahan Kota Raja Diakui Sah Posted: 04 Jul 2011 09:50 PM PDT Siasatan Awam SPR : Parlimen Kota Raja Menang Besar Kesemua 125 bantahan yang dikemukakan oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja diterima oleh SPR semlam yang merupakan hari terakhir bagi siasatan awam SPR untuk suku tahun pertama tahun 2011. Seramai 15 orang pembantah telah hadir termasuk YB Dr Siti Mariah yang menjadi pembantah terakhir dan menang 100% dari bantahan yang dibuat oleh beliau. Blog Parlimen Kota Raja melaporkan dari jumlah 140 bantahan yang dibuat, sejumlah 125 kes kita menang dan hanya 15 kes sahaja ditolak iaitu 3 dari DUN Sri Muda dan 12 dari DUN Sri Andalas. PAS Kawasan Kota Raja mengucapkan tahniah kepada Tn Hj Hakim Kari yang juga Pengarah JPrD Sri Muda yang mengetuai operasi bantahan ini dan telah berjaya membuktikan kepada SPR bahawa OKB memang bukan pemastautin di Daerah Mengundi yang di daftarkan. Turut hadir memberi sokongan moral pagi tadi ialah ADUN Sri Muda YB Shuhaimi Shafiee. Berdasarkan pengalaman ini, kepada semua PAS Kawasan sila bersedia dengan RDPT suku tahun 2/2011 yang dijangka akan dikeluar pada minggu ketiga bulan ini (takut-takut dimasukkan balik atau dipindahkan pula ketempat lain dan sebagainya) Inilah bantuan PAS Kota Raja dan Selangor kepada SPR supaya pilihanraya menjadi BERSIH. Kita WAJIB meneruskan usaha ini walau pun dipandang sinis oleh SPR. |
Astora Jabat Tewas Dalam Pilihanraya Di Thailand Posted: 04 Jul 2011 08:15 PM PDT Astora Jabat sudah jangka kalah KOTA BHARU - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau lebih dikenali sebagai Astora Jabat kalah dalam pilihan raya umum Thailand yang menyaksikan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tumbang. Beliau sudah menjangkakan kekalahan tersebut kerana pencalonannya bagi kawasan Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand hanyalah satu permulaan baginya menceburi dunia politik. "Saya sudah jangka akan kalah kerana menjadi orang terakhir mendaftar sehari sebelum tamat pencalonan. "Tetapi saya tidak anggap kalah kerana saya seorang yang tidak akan mengalah dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Beliau yang mewakili Parti Harapan Baru (NAP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud, tewas dalam pertembungan tujuh penjuru. Astora menjelaskan, banyak faktor menyebabkan kekalahan antaranya kerana beliau tidak dapat berkempen lebih lama. Beliau yang berasal dari Ruso masih belum cukup dikenali masyarakat tempatan. "Masyarakat belum cukup mengenali saya kerana selama 35 tahun saya berada di luar negara seperti Mesir, Maghribi dan Malaysia. "Saya anggap ini pengalaman baharu yang bagus dan ia percubaan saya untuk mengenali dunia politik di sini,'' katanya. -kosmo |
Mayat Nurrahayu Ditemui Dikerat Dan Dibakar Di Tanah Perkuburan Hindu Posted: 04 Jul 2011 06:20 PM PDT Johor Bharu: Misteri kehilangan pelajar tingkatan empat, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badannya yang dikerat dan dibakar di dua lokasi termasuk di tanah perkuburan Hindu di Masai dan di ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, kira-kira 5 petang kelmarin. Polis turut menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di pekan Seri Alam di Masai, selepas dihantar pulang teman lelakinya jam 2 pagi pada 14 Jun lalu. Ibu angkat Nurrahayu atau dikenali sebagai Ayu, Juliana Jumail, 35, berkata, dia tidak sangka anak kesayangan keluarganya itu ditimpa nasib malang apabila ditemui dalam keadaan menyayat hati, petang kelmarin. "Ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk membuat pengecaman mayat selepas dihubungi polis, kami bukan saja bimbang, malah sebak mengenangkan nasib Ayu. "Saya yakin mayat yang ditemui itu milik Ayu berdasarkan keadaan fizikalnya selain penyepit rambut bercorak bunga yang gemar dipakainya dijumpai di tempat kejadian," katanya. Juliana berkata, dia tidak sangka jenazah yang terbaring kaku di depan matanya adalah Ayu di mana pengecaman itu dilakukan berdasarkan keadaan fizikal gadis bertubuh kecil dan gemar memakai penyepit rambut. Gambar: UJI...bapa Ayu, Qomarodin Bajuri (berkopiah) hadir di HSA untuk ujian DNA. Malah, menurutnya, keluarga kandung Ayu juga diminta ke hospital untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan mayat itu. "Sebelum kejadian, Ayu yang tinggal bersama saya di Taman Universiti di Skudai, berkelakuan pelik apabila menggosok baju sekolah dan mencuci kasut seolah-olah beria-ia hendak ke sekolah. "Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertindak kejam membunuh Ayu," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai dibunuh dengan kesan kerat di badan dan dibakar di dua lokasi berbeza iaitu di Tanah Perkuburan Hindu Masai serta di ladang sawit berhampiran Sungai Tiram, Ulu Tiram. "Polis menjumpai serpihan tulang terbakar dan beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut jam 5 petang kelmarin. "Hasil ujian DNA mendapati ia sepadan dengan mangsa. "Berikutan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun selama tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya yang enggan mengulas sama ada gadis itu mangsa rogol. Pada 2 Julai lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hilang di satu tapak pembinaan di pekan Seri Alam, 14 Jun lalu, selepas dihantar pulang oleh teman lelakinya. Nurrahayu pada mulanya menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit. Ketika mendedahkan perkara itu, kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, berkata teman lelaki adiknya itu tidak mengendahkan rayuan Ayu supaya mengambilnya semula selepas meninggalkannya berhampiran tapak pembinaan. "Teman lelaki adik menurunkannya di depan pondok pengawal keselamatan tapak pembinaan terbabit," katanya. -HM |
Mengapa Unit Forensik Selalunya Akan Memberi Keterangan Berpihak Kepada SPRM Sahaja? Posted: 04 Jul 2011 04:25 PM PDT Ahmad 'cuba keluar bangunan melalui tingkap' DSP Sharul Othman Mansor yang bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa beliau berpendapat penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed terjatuh dari tingkap di Bilik Pantri di Aras 3, bangunan SPRM itu ketika dia ingin keluar dari pejabat berkenaan melalui tingkap itu. "Saya percaya si mati (Ahmad Sarbani) cuba melompat ke bumbung di bangunan SPRM yang berhampiran dengan tingkap tersebut tetapi tidak sampai dan terjatuh di gelanggang badminton di aras satu bangunan itu," katanya ketika disoal timbalan pendakwa raya Hanim Mohd Rashid dalam inkues kematian Ahmad Sarbani. DSP Sharul Othman berkata apabila seseorang berada di bilik pantri itu, dia boleh nampak bumbung berkenaan dekat dengan tingkap di Aras Tiga, namun apabila dibuat ukuran, jaraknya agak jauh iaitu sembilan kaki 11 inci. Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu. Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam. Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok. - Bernama
Ulasan GB Rakyat tertanya-tanya, mengapa setiap kali inkues diadakan maka kita mendapati jawapan yang hampir serupa dari unit forensik yang rata-rata akan menyebelahi SPRM dan lansung tidak memberikan pandangan yang berlaku kemungkinan penganiayaan kepada mangsa? Apakah tugas forensik dalam negara hanya untuk membersihkan nama SPRM dan bukan untuk mencari kebenaran yang hakiki? Atau apakah mereka "dipaksa" membuat laporan sedemikian untuk menunjukkan sememangnya mangsa "membunuh diri" dengan perlakuan terjun dari bangunan? Kes Ahmad Sarbani mengulangi kes Teoh Beng Hock dan jawapan dari unit forensik nampaknya tidak jauh berbeza. Tidak takut kepada Allah yang Al-Haq (Maha Benar) kah semuanya? Dan kemudiannya di dalam Siasatan Diraja Teoh Beng Hock tiba-tiba terbukti wujudnya beberapa pegawai SPRM yang lansung tidak mahu membuka mulut seperti sudah diajar untuk berperlakuan demikian berkemungkinan agar tidak menimbulkan percanggahan dengan maklumat forensik. Sehinggalah di satu ketika penyiasat persendirian membuktikan terdapatnya pegawai-pegawai SPRM yang bersifat syaitaniah menyimpan dan menonton gambar/video lucah di dalam komputer di pejabat sewaktu soal siasat berjalan. Itupun yang anehnya pegawai-pegawai berkenaan ada yang dikurniakan pangkat kebesaran negeri dan ditukarkan ke pejabat SPRM yang lain. Apa yang nyata teori-teori terjun membunuh diri hanyalah andaian-andaian yang begitu lemah tetapi diwarwarkan seolah-olah itulah kebenaran hakiki. Sungguh pelik. Itulah pentingnya untuk kita berdoa dan mengharap kepadaNya seperti yang pernah GB tuliskan di dalam tulisan-tulisan yang lalu: 1) Allahumma arinal haqqan haqqa, warzuqnattiba'ah, wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya. 2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. |
Bersih 2.0 : Tindakan Zalim Kerajaaan Tak Mampu Kekang Kemaraan Rakyat Posted: 04 Jul 2011 08:30 AM PDT Tindakan zalim Umno-Barisan Nasional yang bersekongkol dengan polis untuk membatalkan Bersih 2.0 adalah didorong kesedaran jangka hayat politik parti itu akan berakhir sekiranya perhimpunan aman pada 9 Julai itu berjaya menjamin proses pilihan raya yang adil dan telus. Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, segala kezaliman itu bagaimanapun tidak akan mengekang gelombang kemaraan rakyat menuntut pilihan raya yang bersih supaya kerajaan yang terbaik dipilih. "Berdasarkan ucapan, tingkah laku dan riak wajah mereka(kerajaan), satu mesej jelas terpampang, iaitu 'Bersih' akan mengakibatkan Umno/BN tersungkur dalam pilihan raya ke-13. "Maka mesej inilah yang ingin mereka sampaikan kepada para penyokong atau golongan CARMA (Cari Makan) supaya Bersih dihalang dengan sedaya upaya,"tulis Khalid dalam blog beliau. Malah ujar Khalid, BN hakikatnya memahami niat dan usaha sebenar Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), namun mereka terus-terusan memfitnah dan mencaci usaha murni ini kerana mereka sedar kejayaan Bersih hanya akan menumbangkan mereka pada pilihan raya umum akan datang. "BN sedar bahawa pada hakikatnya rakyat sudah tidak bersama mereka dan pilihan-raya yang bersih, tanpa penipuan undi pos, kad pengenalan palsu, monopoli media dan sebagainya, akan menghasilkan kekalahan bagi BN! "Maka itulah sebabnya perhimpunan Bersih telah difitnah dengan dakwaan kononnya Bersih ingin menjatuhkan kerajaan melalui huru-hara dan keganasan. Oleh itu ianya diharamkan. Sedangkan himpunan Bersih adalah himpunan aman yang bertujuan untuk menzahirkan sokongan rakyat terhadap tuntutan supaya pilihan-raya bersih dari penipuan. Ianya bertujuan untuk menganjurkan perarakan aman dari SOGO ke Istana Negara demi menyerahkan memorandum Bersih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agung," tulis Khalid lagi. Tuanku Mizan semalam bertitah, betapa pentingnya kerajaan menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan adil dan bijaksana dan dalam konteks ini ialah melaksanakan sebuah pilihan raya yang adil. Malah Tuanku juga mengingatkan bahawa Baginda tidak mahu wujud sebarang persengketaan sesama rakyat dan timbul permusuhan dengan kerajaan pemerintah. Baginda juga mengingatkan supaya satu rundingan diadakan di antara kerajaan dan Bersih. Oleh itu, terpulang kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk membuat keputusan dalam hal ini. Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam satu kenyataan berkata, keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lapan tuntutan Bersih yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dalam memastikan pilihan raya yang adil, hanya akan menyebabkan kegagalan Umno-BN pada pilihan raya akan datang. Terdahulu, kerajaan telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang perhimpunan aman Bersih termasuk menahan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat. Lebih 150 aktivis dan pemimpin pembangkang turut ditahan dalam usaha mengekang sebarang kempen Bersih diadakan di serata Malaysia bermula minggu lalu. Tidak cukup dengan itu, institusi masjid turut digunakan untuk menyampaikan mesej kononnya Bersih ini dipelopori oleh kumpulan pelampau dan akan bertindak ganas termasuk mencederakan pasukan keselamatan. Pada hari sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula mengisytiharkan Bersih sebuah pergerakan haram dan polis dikerah untuk mengenakan tindakan tegas kepada sesiapa yang menyertai himpunan tersebut. -tvsnews |
Marina Mahathir Selar Tindakan Kerajaan Sekat BERSIH 2.0 Posted: 04 Jul 2011 06:45 AM PDT Marina Mahathir, anak perempuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - bernada toleransi - dan mengkritik sekatan ke atas penyokong Bersih 2.0. Bercakap bagi pihak Sisters In Islam, salah satu daripada 62 NGO yang membentuk gabungan Bersih, beliau berkata tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah sama seperti yang digunakan oleh diktator dunia ketiga. "Hanya mereka yang takut akan mengambil jalan keluar dengan perkara-perkara itu ... dan kita berkelakuan seperti negara dunia ketiga atau kurang," katanya pada sidang akhbar di sini yang penuh sesak sambil diapit oleh beberapa wakil dari Bersih. Lebih daripada 150 orang ditahan, kebanyakannya kerana memakai kuning kemeja-T dengan perkataan "Bersih" yang berkaitan dengan perhimpunan yang dirancang pihak pemantau pilihan raya itu pada 9 Julai. Pemimpin pembangkang dan beberapa orang telah ditahan untuk disoal siasat kerana menyokong Bersih yang berhimpun untuk menuntut reformasi pilihan raya. Beliau berkata tangkapan besar-besaran adalah satu daripada tindakan paling keras dalam sejarah politik negara. Marina berkata tindakan keras kerajaan tidak mencerminkan usaha-usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. "Kami sebuah negara membangun, kita perlu bertindak sepertinya dan bangkit di atas (semua ini) dan yakin dengan rakyat," katanya. Marina juga mengutuk serangan peribadi ke atas Pengerusi Bersih S Ambiga, yang dipujinya kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam memperjuangkan hak asasi manusia. "Serangan peribadi adalah tidak wajar. Mereka sepatutnya menggunakan hujah-hujah yang lebih baik untuk menyelesaikan isu itu dan tidak mengambil jalan keluar dengan serangan peribadi," katanya. Najib telah memanggil Ambiga, bekas Presiden Majlis Peguam dan penyokong daripada Pakatan Rakyat. Pendirian Marina mengenai isu ini bertentangan dengan kedudukan ayahnya. Yang kali terakhir menyokong pendirian Najib bahawa perhimpunan yang dirancang ini sebenarnya bukan untuk menuntut reformasi pilihan raya tetapi untuk mewujudkan satu lagi "tsunami politik" untuk merampas kuasa. Pada sidang akhbar hari ini, wakil-wakil Bersih menafikan bahawa perhimpunan tersebut mempunyai sebarang agenda tersembunyi politik dan mengulangi bahawa ia adalah aman. Mereka juga menggesa pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian secara baik tanpa membatalkan perhimpunan tersebut. -FMT terjemahan PakKaramu
|
Kes Sosilawati Dimulakan: 76 Saksi Akan Dipanggil Posted: 04 Jul 2011 04:45 AM PDT Kes Sosilawati: Pendakwa akan buktikan pembunuhan dilakukan 4 tertuduh Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berdasarkan penemuan DNA milik mangsa pada barang-barang kes. Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad pada kayu kriket dan DNA peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa. Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di sini hari ini. Saksi juga akan memberikan keterangan mengenai penemuan sebilah pisau berkarat hulu besi, gelung dawai, serpihan tulang dipercayai tulang manusia, dua buah telefon bimbit jenama Blackberry, seutas jam tangan dan sebatang anak kunci tertulis BMW, katanya. Selain itu, Ishak berkata dua pekerja ladang, U.Suresh dan T.Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R.Kathavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan oleh setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T.Thilaiyagan membunuh setiap mangsa. Suresh dan Sarawanan sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. "Saksi-saksi juga akan mengesahkan bahawa Sosilawati ada urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan tertuduh pertama (Pathmanabhan), urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh tertuduh pertama dan tertuduh pertama yang uruskan pembelian tanah dari Southern Symphony kepada Ample Quality di mana sebanyak RM2.9 juta telah dibayar sebagai 10 peratus harga belian tanah tersebut iaitu RM29 juta," katanya. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Ishak yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihaknya juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi di tempat kejadian yang melihat api marak dari rumah mereka. Beliau berkata pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang mengesahkan jam tangan jenis Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, jam tangan Seiko milik Kamaruddin serta penerimaan jam tangan ''Longines'' daripada Suresh. -BH
|
Prosiding Inkues Sarbani Dimulakan. Balu Saksi Pertama Beri Keterangan Posted: 04 Jul 2011 03:25 AM PDT Selepas Beng Hock, focus beralih kepada inkues Sarbaini KUALA LUMPUR, 4 Julai — Sejak dua tahun lalu, kes kematian Teoh Beng Hock menjadi bahan perbualan ramai dan kini punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang meninggal dunia semasa berada di premis SPRM akan diketahui dalam inkues yang bermula hari ini. Inkues ini dijadual akan berlangsung sehingga 15 Julai. Dan, jika diperlukan kemungkinan dilanjutkan tempoh sebagaimana disaksikan dalam beberapa inkues sebelum ini. Selepas Suruhanjaya Diraja Siasatan menyiasat punca kematian Teoh, bekas setiausaha politik pemimpin DAP selesai, semua mata tertumpu kepada inkues Sarbaini. Laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini dinantikan sama ada ia akan didedahkan kepada orang ramai ataupun sebaliknya. Dua kematian dalam tempoh dua tahun ini telah menjadi ujian kepada imej dan kredibiliti SPRM yang dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya tiga tahun lalu. Teoh, 30, setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan. Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu setelah dikatakan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam. Dalam tempoh tiga bulan ini, banyak tanggapan dan adaian dilemparkan terhadap Sarbaini, malah ada juga yang mendakwa bapa kepada lima anak itu telah membunuh diri. Inkues akan diadakan di Mahkamah Majistret 3 , Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ia akan didengar oleh koroner Aizatul Akmal Maharani. "Sudah tentu kami harapkan agar inkues ini dapat membongkarkan perkara yang sebenar dan mencari punca kematian arwah tapi itu masih belum pasti kerana kami bimbang sekiranya ada usaha-usaha untuk melindungi sesuatu perkara," kata anak sulung Sarbaini, Shahril, 27, kepada The Malaysian Insider. Kata Shahril, harapan keluarga kini adalah mendapat keadilan selain membersihkan nama bapanya yang dicemari dengan pelbagai tuduhan. "Itu harapan kita. Kita mahu tahu punca kematian dan keputusan inkues ini akan kita jadikan panduan untuk menentukan tindakan selanjutnya... kita tengok dulu sama ada ia memihak kepada kami atau tidak. "Mak juga mahu tahu perkara sebenar dan dia akan menjadi saksi dalam prosiding inkues ini... apa yang kita nak tahu perlu dibongkarkan dalam inkues dan kita tidak mahu inkues ini dijadikan tempat untuk mencemarkan imej ayah dan keluarga," katanya. Sementara itu, peguam keluarga Sarbaini, Ghazali Mohd Ramli berkata pihaknya akan menghantar dua peguam pemerhati untuk memantau perjalanan ikues itu. "Saya akan dipanggil sebagai saksi dalam inkues, jadi bagi pihak keluarga dua peguam pemerhati akan hadir dan memantau perjalanan inkues sejak mula sampai tamat. "Kita harap supaya inkues ini akan memberi jawapan tentang apa yang berlaku sebab keputusan inkues bergantung kepada keterangan saksi yang akan dipanggil termasuk daripada pihak keluarga," katanya. Lebih 40 orang telah diambil keterangan oleh polis dalam siasatan mereka. Putrajaya memutuskan untuk memanggil suruhanjaya diraja selepas inkues kes Teoh berakhir dengan keputusan terbuka awal tahun ini. Beberapa pihak meminta agar kerajaan mengadakan terus suruhanjaya berbanding inkues, tetapi pentadbiran Najib menegaskan bahawa undang-undang tidak memberi ruang kepada langkah itu. -TMI
|
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan