Selasa, 26 Julai 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Lelaki Kerat Zakar dan Bunuh Lelaki yang Didakwa Kekasih Gelap Isterinya

Posted: 26 Jul 2011 05:00 AM PDT

Sekadar hiasan.

Menurut berita Agensi, seorang lelaki Jordon mengaku membunuh lelaki yang didakwa sebagai kekasih "gelap" isterinya.  Lelaki itu juga dilaporkan memotong zakar kekasih isterinya sebelum meletakkannya di dalam sebuah beg dan menyerahkan bungkusan itu kepada pihak polis," kata seorang pegawai kehakiman semalam.

Suspek yang  berusia 35 tahun telah "menjerat" mangsa ke bilik sebuah hotel di pusat bandar Amman dengan alasan mahu menyelesaikan isu kecurangan isterinya secara "senyap-senyap" pada hari Sabtu lalu, kata pegawai itu kepada AFP.

Suspek kemudian mengikat mangsa sebelum meliwat, mengelar leher, dan memotong zakarnya.

"Suspek menyerah diri kepada pihak polis pada hari pembunuhan dan mengaku melakukan pembunuhan tersebut sambil menyerahkan bungkusan yang mengandungi zakar lelaki tersebut," kata pegawai itu lagi.

Isteri suspek yang berusia 27 tahun dan kekasihnya telah ditahan selepas suspek yang mempunyai rekod jenayah, menyaman mereka kerana melakukan zina beberapa bulan lalu, namun kedua-duanya dibebaskan baru-baru ini selepas pengampunan umum.

"Suspek yang berang selepas mendapat tahu kedua-duanya dibebaskan telah membuat keputusan untuk melakukan jenayah tersebut. Dia didakwa dengan jenayah pembunuhan terancang," kata pegawai itu lagi.


P/s: Sila ambil ikhtibar!

[Wajib Baca] Dr Asri: Wahai Saudaraku Polis

Posted: 26 Jul 2011 04:00 AM PDT


Saya petik:
Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.

Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.

Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.

Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): "Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. 

Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda: "Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya" (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasaSaudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. 

Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.

Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.

Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.

Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.

Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Doa orang dizalimi
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.

Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.

Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.

Tunggu balasan
 Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. 

Firman Allah (maksudnya): "Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)". (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.

Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.

Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).

Arahan atasan
Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.

Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.
Kata 'Umar bin Hubairah: "Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?

Kata Hasan al-Basri: "Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.

Tanggungjawab kepada Allah
Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.

Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta". Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah". (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: "Benar adalah amanah, bohong adalah khianat". Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.

Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.

Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas! - Prof Madya Dr Asri

P/s: Kalau TM, sudah menggigil kaki dan tangan!


Debat Ambiga-SPR, Wakil SPR Kena "Boo"

Posted: 26 Jul 2011 03:00 AM PDT


Menurut Malaysia Kini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berdepan dengan hadirin yang mencemuhnya dalam debat dengan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau juga kena 'boo' beberapa kali sehingga terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan dalam debat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf, sebuah pertubuhan media yang menerbitkan Sinar Harian dan beberapa majalah popular yang lain.

Wan Ahmad bertegas menjelaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasa dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Pejabat Peguam Negara.

"Jangan anggap SPR sebagai musuh," rayunya.

Dalam tindak balasnya, Ambiga membidas SPR kerana tidak mengambil langkah pro-aktif meminda undang-undang yang lapuk.

"Awak yang menganggap orang ramai sebagai musuh. Jika SPR bertindak terhadap cadangan pembaharuan, kami akan sokong anda. Kami akan berjuang bersama anda," katanya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Panel itu turut dianggotai oleh profesor dari UKM Datuk Shamsul Amri Baharuddin.


P/s: Apa media pencacai "spin" dalam berita nanti? Tunggu video.

Najib dan Taib Mahmud Guna Khidmat Jurublog Pro-Israel & Hina Nabi/Islam?

Posted: 26 Jul 2011 01:50 AM PDT

Caleb Howe

Selepas beberapa portal berita dan blog memperkatakan penglibatan jurblog pro-Israel dengan Najib dan Taib Mahmud, Keadilan Daily hari ini melaporkan hal yang sama.

Menurut portal itu, belum pun reda isu kerajaan menggunakan khidmat Apco dengan bayaran RM77 juta setahun, terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didedah menggunakan khidmat sekumpulan jurublog Amerika pro-Israel.

Selain Najib, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga dikatakan menggunakan khidmat jurublog yang sama bagi tujuan meningkatkan imej, seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam, Free Malaysia Today.

Lebih memalukan, salah seorang jurublog itu, Caleb Howe, dikesan memburuk Islam pada laman twitternya 23 April tahun lepas dengan menghina junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad.

"Saya melukis gambar (nabi) Muhammad hari ini. Saya menunjukkan beliau mengahwini kanak-kanak sebelum sunti.

Pada mesej twitter yang sama selepas itu, beliau menulis "Boleh kah saya berkahwin dengan pra-sunti? Maaf…itu kesalahan ejaan saya. Maksud saya merogol".

Howe dan jurblog lain dilihat bukan kali pertama telah membuat kenyataan yang menghina dan memburukkan Islam secara keterlaluan terutama di laman twitter.

Beliau juga dikaitkan dengan Josh Trevino, penulis blog berhaluan kanan di belakang blog Amerika 'Red State' dan 'New Ledger' dan juga syarikat yang dipanggil Rogue Strategic Services.

Rogue Services dilapor menyediakan perkhidmatan untuk Barisan Nasional sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Howe juga penyumbang tetap kepada laman web utama Trevino 'Red State', juga pembantu akaun Twitter 'Malaysia Matters' yang berkait dengan laman sesawang Malaysia Matters - satu daripada projek Trevino untuk mempromosikan pemimpin BN.

Laman web Malaysia Matters telah dimulakan dalam 2008 oleh Trevino dan seorang rakan sekerja Jerome Amstrong.

Armsrong, yang juga profesional 'jurublog upahan', ditugaskan oleh kerajaan Malaysia untuk khidmat berkenaan - beliau menyenaraikan Malaysia sebagai pelanggan di laman web syarikatnya, Webstrong.

Trevino sendiri bukan lagi menjadi rahsia dengan pandangannya yang pro-Israel sehingga dia berbalas cicipan twitter sesama rakan Amerika yang berasa kasihan akan rakyat Palestin dan isu kapal Flotilla yang diserang tentera Israel.






Di blog Pulakdah ada disiarkan artikel terjemahan dari MC yang memaparkan isu ini dengan lebih terperinci. Sila klik di sini.


P/s:Dahulu APCO, kini jurblog pro-Israel yang menghina nabi dan Islam!



[Gambar] Mafrel Persoal Keengganan SPR Guna Dakwat Kekal yang Digunakan di Serata Dunia

Posted: 25 Jul 2011 11:10 PM PDT


Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR: Badan Malaysia Untuk Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel), mempersoal kengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksana penggunaan dakwat kekal, sebaliknya memperkenal kaedah biometrik.

Telus, praktikal, murah. Mengapa SPR tolak?

Pengerusi nya, Syed Ibrahim Syed Noh mengulas cadangan SPR memperkenalkan sistem itu kononnya bagi memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.

"Cadangan dahulu pun masih belum dilaksana iaitu penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berulang. Sistem ini digunakan di banyak negara kerana ia mudah, cepat dan murah.

"Sekarang mahu dilaksana pula sistem biometrik yang belum pernah diuji ketelusannya. Tanpa sebarang perbincangan dan perdebatan, SPR mahu melaksanakan sistem yang sangat mahal kosnya.

"Bagi Mafrel, SPR mencipta satu masalah baru, sedangkan masalah lama masih belum diselesaikan," kata Syed merujuk isu berbangkit itu setiap kali pilihan raya.

Sebelum ini Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menjadikan isu dakwat kekal sebagai salah satu dari lapan tuntutan untuk pembersihan pilihan raya.

Dalam pada itu Syed Ibrahim turut ditanya kesediaan diplomat Kesatuan Eropah (EU) yang mempertimbangkan cadangan untuk menghantar kumpulan pemerhati ke Malaysia pada pilihan raya umum ke-13.

Katanya, tidak ada sebab SPR perlu menolak kerana suruhanjaya itu sendiri diundang sebagai pemerhati di luar negara seperti di Thailand, apabila Timbalan Pengerusi SPR, Dato Wan Ahmad Wan Omar diundang sebagai pemerhati.

"Hanya kerajaan yang memanipulasi sistem pilihan raya mereka sahaja yang takut kepada pemerhati luar," kata Syed Ibrahim kepada Keadilandaily.

"Tiada masalah sebenarnya. Sekiranya Malaysia memanggil pemantau pilihan raya antarabangsa sudah tentu, pegawai tersebut akan disaring, berdaftar dengan kedutaan negara mereka dan Wisma Putra,"

"Apa yang penting ialah keyakinan 'pelanggan' SPR iaitu parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini," ujarnya.

P/s: Penggunaan dakwat kekal di seluruh dunia.

Kashmir, India

Nepal

Iran

Afghanistan

Iraq

Afrika
 Mengikut data di Wikipedia, antara negara yang menggunakan dakwat kekal termasuklah Afghanistan, Benin, Burkina Faso, Democratic Republic of the Congo, Mesir, Gambia, India, Indonesia, Iraq, Lubnan, Mauritania, Peru, Philippines, South Africa, Sri Lanka, Suriname, Tchad,Uganda, dan Zimbabwe.

Mengapa SPR enggan menggunakan pendekatan yang murah, terbukti efisien, diguna pakai di seluruh dunia, telus, dan paling penting penggunaan dakwat kekal mudah dipantau oleh parti yang bertanding? Adakah kerana penggunaan dakwat kekal sukar dimanipulasi? Kantoi di situ!



Penculik Hantar SMS Ancam Sembelih Nazar, Apa Tindakan Kerajaan?

Posted: 25 Jul 2011 09:20 PM PDT


Saya petik:
Keluarga makin buntu kumpulan desak bayar segera wang tebusan

[BH] KUALA LUMPUR: Keluarga Mohd Nazarrudin Saidin, 38, yang masih dalam tahanan kumpulan penculik di selatan Filipina, trauma selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kumpulan itu mengancam akan menyembelih mangsa jika wang tebusan tidak dibayar secepat mungkin.

Terdesak dengan perkembangan terbaru itu, bapa Mohd Nazarrudin, Saidin Aziz bersama isteri, Siti Hamdah Ahmad dan seorang lagi anak mereka, Mohd Lukman Saidin bergegas ke pejabat Kelab Putera 1Malaysia merayu bantuan Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu menyelamatkan Nazaruddin.

"Saya sudah hilang punca, tidak tahu ke mana hendak meminta tolong. Saya sudah ke sana ke mari menagih simpati tetapi tiada pihak yang benar-benar membantu.

"Kini hanya kelab ini harapan saya... bantulah kami. Saya merayu kepada Datuk (Abdul Azeez)," kata Siti Hamdah menahan sebak ketika ditemui di di pejabat kelab di sini, semalam.

Mohd Lukman pula berkata, dia sempat bercakap beberapa patah dengan Nazarrudin, Jumaat lalu sewaktu mangsa menghubunginya.
"Saya mendapat panggilan daripada kumpulan itu pada sebelah pagi tetapi saya berkata, saya mahu bercakap dengan abang saya untuk mengesahkan ia panggilan daripada kumpulan penculik.

"Pada sebelah petang, abang menghubungi saya - 'Man, kau telefon abang balik'. Hanya itu saja perbualan kami dan apabila saya menghubungi semula nombor itu, seorang lelaki yang bercakap dialek Sabah menjawab dan enggan membenarkan saya bercakap dengan abang, sebaliknya meminta kami segera menyediakan wang tebusan.

"Saya memberitahu kami tidak mampu, kami bukan dari keluarga kaya. Lelaki itu berkata, wang tebusan perlu dirundingkan dengan komander mereka. Keesokannya, saya menerima SMS mengancam mahu menyembelih abang jika gagal membayar tebusan seperti diminta," katanya.

Mohd Nazarrudin ditahan kumpulan penculik sejak 8 Mei lalu ketika berada di Jolo, selatan Filipina untuk mendapatkan cicak tokek.

Sementara itu, Abdul Azeez, berkata beliau amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan keluarga mangsa dan akan segera menghubungi semua pihak yang berkaitan bagi memudahkan urusannya berlepas ke Filipina bagi merundingkan pembebasan Nazarrudin.
P/s: Situasi mungkin berbeza jika orang yang menjadi tebusan ini anak pak menteri atau orang penting dalam UMCO. Mereka boleh menghabiskan berbilion duit rakyat untuk tembolok diri dan kroni, namun sukar mengeluarkan wang untuk menyelamatkan nyawa rakyat marhaen.



Tiada ulasan: