BERSIH 2.0: “Hanya mereka yang takut akan menangkap orang yang memakai kemeja T" - Marina Mahathir Posted: 04 Jul 2011 06:20 AM PDT
Saya petik:
[TVS] PETALING JAYA 4 JULAI : Datin Paduka Marina Mahathir hari ini membidas penangkapan hampir 200 penyokong perhimpunan Bersih 2.0 sebagai tindakan pihak yang takut tanpa bersebab. "Hanya mereka yang takut akan menangkap orang yang memakai kemeja T," beliau memberitahu sidang akhir bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan Bersih. Sejak minggu lalu, polis menangkap sesiapa sahaja yang memakai kemeja T dengan logo Bersih atas alas an ia memudaratkan keselamatan negara. Tangkapan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.
Enam daripada mereka termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jeyakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.
Marina, anak sulung mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan polis melancarkan penangkapan beramai-ramai itu.
"Saya ingin bertanya kepada orang ramai, jika terserempak dengan sesiapa memakai kemeja -T yang tertera dengan perkataan Bersih, adakah mereka akan terdorong untuk keluar dan menimbulkan kacau bilau," kata Marina. "Kita pernah melihat perkataan yang jauh lebih teruk dicetak pada baju-baju di seluruh negara tetapi ia tidak pula mempengaruhi kita untuk menghisap ganja," tambah beliau.
Marina ditanya mengenai rekod Tun Mahathir yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap puluhan orang dalam Operasi Lalang tahun 80an.
Marina mengaku ayahnya menggunakan ISA tetapi menegaskan Mahathir tidak menggunakan undang-undang zalim itu untuk menangkap orang semata-mata kerana memakai baju tertentu. P/s: Bab ini, saya sokong Marina! |
Logikkah Ahmad Sarbini Mahu Meninggalkan Bangunan SPRM Guna Tingkap? Posted: 04 Jul 2011 04:15 AM PDT Pelik-pelik.
Menurut kenyataan SPRM, Ahmad Sarbani pada hari kejadian dikatakan datang ke SPRM secara sukarela, tanpa dipanggil. Namun orang ramai termasuk pegawai tinggi Kastam tidak percaya Ahmad Sarbani ke SPRM tanpa dipanggil oleh SPRM.
Hari ini TMI melaporkan saksi kedua inkues kematian Ahmad Sarbaini Mohamed percaya penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane ketika cuba meninggalkan premis itu melalui tingkap.
Aikk! Jika datang secara sukarela, mengapa perlu meninggalkan SPRM dengan menggunakan tingkap?
DSP Sharul Othman Mansur dari Cawangan Forensik Bukit Aman yang dipanggil untuk memberikan keterangan selepas balu Sarbaini berkata demikian ketika diminta mengulas kesimpulan bagaimana pegawai itu jatuh berdasarkan kedudukan mayat yang ditemukan di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu.
Soalan itu ditanyakan pegawai pengendali inkues Hanim Mohd Rashid.
"Saya percaya si mati (Sarbaini-gambar) terjatuh dari tingkap aras tiga (bilik pantri) berkemungkinan si mati nak keluar dari bilik SPRM melalui tingkap," kata beliau.
"Kalau lihat dari arah bumbung (berdekatan dengan bilik pantri) ukuran jarak adalah sembilan kaki tujuh inci, jarak tingkap dan bumbung cukup dekat.
"Si mati cuba melompat ke bumbung yang berhampiran tapi tidak sampai dan jatuh ke lantai (gelanggang badminton)," katanya.
|
Awek Cun Ini Semakin Fasih Berbahasa Malaysia, Tamparan untuk Rakyat Malaysia yang Mengabaikan Bahasa Sendiri Posted: 03 Jul 2011 11:12 PM PDT Saya petik: [Bernama] "SELAMAT pagi. Nama saya Ali Haidar. Saya dari Baghdad, Iraq. Saya ada dua adik perempuan, dua adik lelaki."
Kata-kata sapaan ini kedengarannya seperti ayat yang ditutur murid sekolah rendah tetapi bagi seorang pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini tanpa kenal sedikitpun pada bahasa Melayu, tentunya itu suatu pencapaian besar.
Ali, 21, yang mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dalam bidang Sistem Maklumat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mula menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2009.
Bekas pelajar Sekolah Tinggi Al-Kwarzme, Baghdad itu juga langsung tidak boleh berbahasa Inggeris dan terpaksa mengikuti pengajian bahasa Inggeris selama satu semester di Kolej Pengajian Asas dan Umum.
Seperti diwajibkan ke atas pelajar antarabangsa Uniten, Ali mengikuti pengajian bahasa Melayu selama satu semester dan memperoleh gred A.
"Boleh faham dan cakap. Tak susah, senang, sebab saya suka. Senang untuk orang Arab cakap bahasa Melayu sebab ada 1,000 istilah Arab dalam bahasa Melayu," spontan Ali menjawab dalam wawancara di kampus Uniten, Putrajaya baru-baru ini.
Dia mengikuti kelas bahasa Melayu Uniten semasa membuat Kursus Persediaan yang keseluruhannya membabitkan tempoh tiga semester.
Turut difahamkan, sebelum dia mengikuti kursus pengajian bahasa Melayu, dia sudah boleh bertutur bahasa kebangsaan meskipun bukan bahasa Melayu rasmi.
"Saya cakap guna 'aku' dalam kelas dan pensyarah betulkan saya. Pensyarah cakap bukan macam ini," katanya yang mudah ketawa.
Menurut Ali yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri, dia juga mempunyai ramai kawan Melayu.
"Kalau cuti, saya ikut mereka balik kampung. Dah pergi Terengganu, Melaka, Kelantan, Johor Bahru, Kuala Perlis, Langkawi dan Pulau Pinang. Makanan yang paling saya suka di Kelantan ialah budu," ujarnya.
Tambahnya, jika penuntut antarabangsa mempunyai lebih ramai kawan Malaysia, mereka lebih mudah untuk melatih diri bertutur dalam bahasa Melayu. Tambahnya, bercakap bahasa Melayu juga banyak kelebihan.
"Kalau ke pasar borong, pasar malam, murah. Kalau awak cakap bahasa Melayu, murah lagi," katanya sambil ketawa besar.
Perlu berlatih
| Banyak pelajar asing berminat untuk mendalami bahasa Melayu. – Gambar hiasan |
Digotetso Matema atau Dee, 21, yang berasal dari Mathabhane, Botswana menghadapi kesukaran pada awal sesi pembelajaran.
"Saya tak tahu bahasa Melayu, tak banyak praktis. Selepas masuk jadi Exco Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saya banyak bercakap bahasa Melayu," katanya.
Dee ditaja kerajaan Botswana untuk melanjutkan pelajaran ke Uniten. Dia juga mempunyai ramai kawan yang sudah menamatkan pengajian di Malaysia dan apabila pulang ke Botswana, mereka masih bercakap bahasa Melayu walaupun hanya setakat membilang nombor.
Sementara itu, Omar al-Kaf yang berasal dari Hadhramaut, Oman tetapi tinggal di Riyadh, Arab Saudi menghadapi situasi yang sama seperti Dee.
"Tak susah belajar bahasa Melayu tetapi perlu praktis. Saya tak praktis. Pertama datang sini, saya seorang pelajar antarabangsa dalam kelas asas. Lain semua pelajar Melayu. Saya boleh faham dan cakap sikit-sikit," kata Omar yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Seperti Ali, dia sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan pengkhususan dalam bidang Sistem Maklumat.
Pada awal sesi pembelajaran, para pelajar antarabangsa itu diajar cara memperkenal diri dalam bahasa Melayu serta ucapan-ucapan sapaan seperti 'selamat pagi', 'selamat malam', 'selamat tinggal' dan 'selamat jalan'.
Walaupun sudah habis mengikuti kelas, mereka masih berminat untuk terus belajar bahasa Melayu. Omar berkata, dia terus berkawan dengan pelajar-pelajar Melayu. Sewaktu bercuti semester yang lalu, dia mengikuti Ali ke Kelantan. Dia juga suka bercuti ke Pulau Pinang.
"Bapa saya ada kawan tinggal di Pulau Pinang. Kampung saya sekarang Pulau Pinang," katanya dalam ayat ringkas.
Dee pula masih membawa kamus ke mana sahaja dia pergi untuk memudahkan dia bercakap dengan orang tempatan terutamanya apabila berkunjung ke restoran atau menggunakan perkhidmatan teksi.
Dia juga mempunyai perisian terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu yang dimuat turun dalam telefon bimbitnya.
Dee yang mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik ini juga mengambil inisiatif menjadikan hari Isnin sebagai hari untuk bercakap bahasa Melayu meskipun setakat menyapa 'selamat pagi' atau 'jumpa lagi' kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Bertutur bahasa Inggeris
| Para pelajar dari negara Asia Barat mengakui mudah mengingati daftar kata bahasa Melayu kerana banyak perkataannya berasal daripada bahasa Arab. |
Idriss Moussa Ali dan Abdoulaye Abakar, kedua-duanya dari Chad memberitahu bahawa mereka memang mahu belajar bahasa Melayu.
"Masa belajar okay. Senang belajar, dapat A masa periksa," kata Idriss, anak ketiga daripada lima beradik dan fasih berbahasa Arab.
Masalahnya, kata Idriss yang datang ke Uniten atas perbelanjaan sendiri, kebanyakan kawan Melayunya lebih senang berbahasa Inggeris.
Pelajar pengajian kejuruteraan awam itu memberitahu, dalam keadaan yang demikian, dia akan terus juga bercakap bahasa Melayu walaupun tidak pandai.
Idriss berkata dia juga mempraktikan bahasa Melayu terutama ketika berkunjung ke kedai atau restoran.
Dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kawan tempatannya pulang ke kampung semasa cuti semester kerana di kampung, katanya, dia dapat lebih peluang berbahasa Melayu.
Setakat ini Idriss yang berbaki dua tahun lagi untuk menamatkan pengajiannya sudah pun melawat Melaka, Batu Pahat, Johor Bahru dan Ipoh.
Cakap perlahan
Bagi Abdoulaye yang boleh berbahasa Perancis, Arab dan Urdu, dia lebih faham bahasa Melayu jika orang yang berlawan cakap dengannya bertutur secara perlahan.
"Saya suka belajar bahasa Melayu dan cakap bahasa Melayu, kalau cakap perlahan-lahan, faham. Satu semester belajar tak cukup," kata Abdoulaye yang mengambil pengajian kejuruteraan am di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Abdoulaye yang datang ke Malaysia pada tahun 2009 dan mengikuti pengajian asas kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertukar ke Uniten tahun ini kerana UIAM tidak menawarkan kursus kejuruteraan awam.
Katanya, dia merancang untuk mengikuti kawan-kawannya balik ke kampung mereka supaya lebih dapat belajar bahasa Melayu.
Walau dia akur susah untuk bergerak ke mana-mana jika tidak mahir berbahasa Melayu tetapi katanya dia suka berada di Malaysia.
"Orangnya baik-baik. Tapi pergi makan luar kampus, pergi membeli-belah, susah," katanya sambil menambah dia akan dapat harga yang lebih murah jika bercakap bahasa Melayu di restoran.
Mudah mesra
Abdoulaye berkata, daripada pengamatannya, orang tempatan akan lebih mudah mesra jika orang asing bercakap bahasa Melayu.
Pengalaman bercuti ke Langkawi cuti semester lalu turut menguatkan semangat Abdoulaye untuk memahirkan dirinya lagi bercakap bahasa Melayu.
Katanya, kebanyakan penduduk pulau yang ditemuinya tidak boleh berbahasa Inggeris. Dia turut berasa kesal kerana tidak dapat berkomunikasi dengan seseorang yang diibaratkan sebagai 'ibu' yang begitu baik hati kepadanya.
"Jumpa tahun depan. Saya akan lebih pandai bahasa Melayu," kata Abdoulaye yakin.
Ternyata bagi Ali, Dee, Omar, Idriss dan Abdoulaye, belajar bahasa Melayu bukan setakat memenuhi keperluan belajar di Uniten. Mereka menghargai kepentingan bahasa kebangsaan untuk kelangsungan hidup selagi bergelar pelajar di negara ini.
Dee sempat memberi pandangan agar generasi muda terutamanya perlu mengambil berat terhadap bahasa ibunda.
Bagi anak muda dari suku kaum Babirwa itu, bahasa adalah akar umbi kepada pembentukan budaya dan banyak menyumbang kepada perkembangan budaya satu-satu bangsa. P/s: Saya pernah mengulas isu ketidakfasihan warga Malaysia bertutur dalam bahasa kebangsaan dalam beberapa kiriman sebelum ini. Saya pernah kata, Mat Bangla dan Mat Pakistan yang tinggal di sini sekitar 2-4 tahun sudah fasih berbahasa Malaysia berbanding warga Malaysia yang dilahirkan di negara sejak belasan atau puluhan tahun. Jadi, tidak perlulah saya mengulas lanjut. Cuma, saya mahu menegaskan di sini agar warganegara Malaysia yang gagal bertutur bahasa Malaysia dengan fasih agar mencerminkan diri masing-masing dan bertanya: "Layakkah aku digelar rakyat Malaysia?" |
Umur Baru 29 Tahun, Tetapi Sudah 7 Kali Berkahwin untuk Kaut Jutaan RM Posted: 03 Jul 2011 08:33 PM PDT Saya petik: | KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya. |
[HM] KUALA LUMPUR: Menggunakan taktik tipu, kahwin, curi dan menghilangkan diri, seorang wanita dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada beberapa 'suaminya' dengan mangsa terbaru seorang ahli perniagaan Palestin yang mendakwa kerugian hampir RM1 juta.
Alaa A M Aldunna, 32, berkata perkahwinannya dengan wanita tempatan berusia 29 tahun itu berlangsung November tahun lalu selepas berkenalan dengannya di sebuah hotel, di sini.
"Selepas ditipu dan wang saya dicuri, saya dimaklumkan pihak tertentu, rupa-rupanya saya suaminya yang ketujuh. Enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu," katanya ketika ditemui Harian Metro.
Alaa berkata, ketika berkenalan, wanita itu memperkenalkan diri Datuk Nazatul, malah turut mendakwa dia seorang kerabat diraja. "Saya percaya dia menggunakan ilmu hitam kerana selepas berkenalan saya mengikut segala kata-katanya. Perkahwinan saya dengannya juga dilakukan tergesa-gesa dan segala-galanya diuruskannya.
"Kami berkahwin di bilik hotel. Jurunikah dan saksi semuanya dibawa Nazatul, malah ibu dan abangnya bersubahat untuk menipu saya," katanya.
P/s: Kalau dibaca lanjut laporan HM, wanita yang dikatakan kaki kelentong ini telah mencuri cek dan mengeluarkan kira-kira RM1 juta duit suaminya. Malah si suami telah difitnah memiliki pistol dan ditahan oleh pihak berkuasa, serta diugut oleh anggota keluarga wanita ini agar tidak mencari isterinya itu.
|
Sukar Menjadi Mukmin Sejati dalam Dunia Artis - Azmil Mustafa Posted: 03 Jul 2011 07:43 PM PDT Saya petik: [Mstar] PETALING JAYA: Pelakon Azmil Mustafa mendakwa sukar bagi seseorang itu untuk menjadi mukmin sejati sekiranya mereka bergelar artis.
Dia berkata selama bergelar artis dia mengakui banyak dosa yang telah dilakukan.
"Saya rasa agak susah untuk menjadi seorang mukmin apabila hidup sebagai seorang artis kerana seperti yang kita tahu kehidupan artis lebih terdedah kepada keseronokan.
"Saya akui pelbagai dosa yang telah saya lakui sepanjang menjadi artis. Sehingga sekarang, ada yang masih menganggap saya sebagai artis dan mengenali saya dengan nama Ali Setan," ujarnya dalam satu temubual di Hotel De Palma, Ampang ketika meraikan mangsa Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat.
Tambahnya: "Saya menganggap situasi ini sebagai lumrah hidup. Jadi, saya perlu berhati-hati dalam menjaga tingkah laku.
"Saya juga gemar bergaul dengan rakan artis yang suka berkongsi tentang kehebatan Rasulullah seperti kumpulan Rabbani."
Bagaimanapun, Azmil belum bersedia untuk berdakwah kepada rakan artis lain kerana bimbang sekiranya timbul konflik pada masa hadapan.
"Saya sudah faham dan lalui pengalaman menjadi artis, jadi saya takut untuk berdakwah di kalangan mereka.
"Lagipun saya belum cukup kuat untuk bergaul dengan mereka semula. Saya rasa halangannya terlalu berat dan bimbang andai saya gagal untuk berdakwah kepada mereka," ujarnya lagi.
Sejak berubah, dia membawa diri ke Syria dan menetap di sana bersama-sama keluarga selama lima tahun.
Menyentuh tentang perancangan masa depan, Azmil yang kembali ke negara ini sejak lima bulan lalu memilih untuk menetap di sini selama-lamanya.
"Saya akan melakukan kerja yang menjurus ke arah kebaikan dan terlibat dengan pertubuhan yang bergerak secara bebas.
"Saya merancang untuk melakukan sebuah majlis dengan media untuk menceritakan tentang pengalaman saya selama berada di Syria," ujarnya yang turut mengakui hilang punca pendapatan sepanjang lima bulan kembali ke negara ini.
Dia yang baru menjalani pembedahan jantung akui sering menghadapi masalah kesihatan.
"Saya tetap bersyukur dengan kurniaan Allah dan setelah menjalani pembedahan jantung, doktor menasihatkan saya agar tidak terlalu aktif dan banyak berehat di rumah.
"Bagaimanapun, saya akan meluangkan masa jika dijemput memberikan usrah dan berkongsi pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya akan cuba bawakan perspektif yang kontemporari seiring dengan dunia sekarang," jelasnya. P/s: Peringatan untuk artis. |
Peringatan untuk BN: Pembangkang Menang di Thailand Posted: 03 Jul 2011 07:00 PM PDT
Saya petik: Puea Thai rampas 260 daripada 500 kerusi Parlimen dipertandingkan [BH] BANGKOK: Parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra, adik bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, memenangi pilihan raya umum Thailand semalam dengan majoriti kerusi di Parlimen, membuka jalan kepada kemungkinan kembalinya Thaksin yang digulingkan tentera pada 2006.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada Yingluck, 44 yang akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama negaranya.Selepas 92 peratus undi dikira, Puea Thai memenangi 260 kerusi daripada 500 yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum semalam.
Parti Demokrat pimpinan Abhisit memenangi 163 kerusi, menurut suruhanjaya pilihan raya.
"Keputusan pilihan raya adalah jelas, Puea Thai memenangi pilihan raya dan Demokrat kalah, kita perlu hormati keputusan yang dibuat dalam pilihan raya," Abhisit memberitahu penyokongnya di ibu pejabat parti kerajaan itu di sini malam semalam.
Pilihan raya umum berkenaan adalah ujian pertama bagi kerajaan Abhisit yang disokong tentera selepas bantahan rakyat tahun lalu menyaksikan penunjuk perasaan yang menyokong Thaksin melumpuhkan ibu negara sehingga tentera menyuraikan mereka dengan tindakan ganas yang menyebabkan lebih 90 orang terbunuh.
Yingluck memberitahu penyokongnya di ibu pejabat Puea Thai di sini: "Saya mempunyai tugas yang berat pada masa depan."
"Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi," kata Yingluck yang baru menceburi diri dalam politik dan digelar Thaksin sebagai klon beliau.
Di sebalik kebimbangan kemenangan Puea Thai akan mencetuskan huru hara atau rampasan kuasa baru, Thaksin menyeru semua pihak menghormati keputusan pilihan raya.
"Semua pihak mesti menghormati keputusan ini sekiranya rakyat mahu menyaksikan Thailand mengecap keamanan," kata hartawan yang memilih untuk hidup dalam buangan di Dubai berikutan didapati bersalah atas kesalahan rasuah.
Thaksin disokong kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar kebanyakannya rakyat miskin berikutan dasar kerajaannya yang popular seperti penyediaan perkhidmatan kesihatan yang murah serta memperkenalkan skim kredit mikro.
Bagaimanapun beliau dibenci golongan elit yang melihatnya sebagai pemimpin yang korup, kuku besi dan menjadi ancaman kepada institusi raja di negara berkenaan. – AFP |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan