Khamis, 28 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PANAS! Dalam diam-diam Muhyiddin berusaha untuk jadi PM?

Posted: 28 Jul 2011 01:15 AM PDT

WarkahDaily


Wah!, makin rancak nampaknya warna politik Malaysia sekarang ini. Dalam diam-diam, ada pihak tertentu cuba untuk berkempen menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sambil meletakkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengganti.

Tinjauan WarkahDaily Online hari ini ke satu 'page' Facebook yang memulakan kempen 'Kami Sokong Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Malaysia' dilihat cuba bersaing dengan 'page' yang bertajuk '3,000,000 People Want Najib To Stay', iaitu kumpulan yang menyokong Najib sebagai PM.

Ada penyokong Muhyiddin dalam laman berkenaan yang cuba menggambarkan Muhyiddin sebagai calon PM yang tepat. Ada yang cuba membandingkan isteri PM semenjak 53 tahun dahulu yang tidak menutup aurat.

"Isteri bakal Perdana Menteri Malaysia (Muhyiddin) (seorang yang menutup aurat).

"Tak mahukah anda isteri PM kita (Muhyiddin) seorang yang bertudung!.

"Berapa lama mau tunggu daa...53 tahun dah berlalu...", kempen seorang pengikut laman sokong Muhyiddin sebagai PM.

Walaupun pada awalnya dilihat kumpulan yang membina 'page' menyokong Najib ini cuba menandingi kumpulan rakyat yang mendesak Najib meletak jawatan di laman '100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation' yang disukai (disokong) ratusan ribu pengguna Facebook (rakyat Malaysia).

Tetapi kini, wujud satu lagi kumpulan yang cuba menjadi pendesak kepada Najib yang mungkin sudah tidak yakin dengan reputasinya sebagai Perdana Menteri kerana banyak terpalit dengan skandal yang menyelubunginya dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Apa yang panasnya, mereka ini mungkin dari dalaman Umno-BN yang cuba membuat kempen menukar Najib dengan Muhyiddin sebagai PM.

Berdasarkan laman yang menyokong Muhyiddin itu, 328 orang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan ianya hampir sama ramai pengguna Facebook yang menyokong Najib setakat 27 Julai jam 2.30 petang.

Sebelum ini penulis WarkahDaily Online ada melaporkan Najib telah dimalukan rakyat Malaysia apabila hanya 363 sahaja pengguna Facebook yang menyokong Najib sebagai PM, tetapi 210,669 orang pula yang mahu Najib meletak jawatan sebagai PM. Baca laporan di sini.

Sekarang, Najib bukan sahaja berhadapan dengan tekanan daripada Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedudukannya sebagai PM, namun kini ianya sudah berubah apabila ada kumpulan tertentu dalaman Umno-BN yang cuba menjatuhkan beliau sebagai PM dan cuba menaikkan timbalannya sebagai pengganti.

Berdasarkan laman yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, dilihat akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia dan Kelab Penyokong Umno menjadi penyokong kuat kempen berkenaan.

Apa yang dapat dinilai oleh penulis WarkahDaily Online, mungkin berita karut, lucah dan fitnah dalam akhbar Utusan Malaysia selama ini adalah satu usaha secara diam untuk menjatuhkan Najib sebagai PM.

Sengaja atau tidak, Utusan dilihat banyak membuat liputan menyerang Pakatan Rakyat secara 'brutal' dan banyak berita fitnah, lucah dan provok telah menjadi 'makanan rutin' Utusan Malaysia.

Ini semua mungkin sebagai satu helah untuk memburuk-burukkan reputasi Najib sebagai Perdana Menteri. Mungkin mereka ini mahu menggambarkan akhbar berkenaan menjadi semakin 'brutal' dan jahat ketika zaman Najib memerintah.

Dengan kata lain, ini adalah usaha untuk rakyat membenci cara Najib menjadi PM akibat laporan tidak bermoral akhbar berkenaan dan tidak disukai masyarakat. Dalam masa yang sama, sudah tentu Najib akan menerima tempias dan kesannya kerana Najib adalah 'arkiteknya' (bos).


Kerana BERSIH, TV9 Hentikan Program "Adik & Al-Quran"

Posted: 28 Jul 2011 01:12 AM PDT

SABAH DAILY


Mungkin ramai yang terkejut apabila program keagamaan, Adik & al-Quran yang disiarkan di TV9, telah dihentikan siarannya sejak seminggu lalu.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar hosnya, Ustaz Haji Mohd Zamri Haji Mohd Zainuldin (gambar) atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Zamri, ketika terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy, yang dihubungi berkata, arahan menghentikan program itu dikeluarkan oleh pihak atasan Prime Works atas sebab tertentu. Namun beliau tidak pula menafikan atau mengesahkan ia berpunca dari penyebaran gambar hosnya dalam perhimpunan Bersih itu.

"Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.

"Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, memandangkan program tersebut telah mencapai satu rating yang baik, namun ia sedikit terjejas berikutan timbulnya perkara sebegini.

"Pada pandangan peribadi saya, seseorang yang bergelar ikon harus lebih berwaspada agar tidak terjadinya kejadian yang tidak diingini.

"Adalah wajar menjaga personaliti diri dan imej agar ia tidak memberikan sebarang perspektif tidak baik," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, program itu akan disiarkan semula cuma masih tidak mendapat tarikh yang baru.

"Berehat itu ada kalanya tidak mengambil masa. Namun, ia bergantung pada keputusan pihak atasan. Kadang-kadang cuma seminggu, ada juga yang tiga minggu. Semua itu bergantung pada keputusan mereka.

"Sebagai menggantikan program itu, ia digantikan dengan program Mari Bertarranum," katanya.

Terima apa saja keputusan Ustaz Zamri

Sementara, Ustaz Zamri, berkata, dia sudah pun berbincang dengan pihak TV9 dan mengharapkan agar perkara itu tidak berlarutan.

"Saya telah dipanggil untuk berbincang dengan pihak TV9 beberapa hari selepas gambar itu tersebar. Alhamdulillah, kami berbincang secara mahabbah (aman). Apa sebenarnya yang berlaku pada 9 Julai itu sudah saya terangkan kepada mereka dan tidak perlu saya ceritakan kepada umum.

"Saya faham situasi ini. Mungkin ia nampak lebih berat apabila ia mendapat komen yang agak mendalam menerusi Facebook, saya sendiri tidak pasti mengenai hal ini dan terima apa sahaja keputusan," katanya yang kini sedang menuntut pengajian dalam bidang tafsir Ulumul Quran di Universiti Antarabangsa Madinah, Malaysia. -GB

Video hari Bersih 2.0 di RTM

Posted: 28 Jul 2011 01:09 AM PDT

Oleh Subky Latif


HARI Bersih 2.0 sudah berlalu dan masuk ke minggu ketiga, tetapi polis dan sekutu perang sarafnya terus bertungkus lumus bagi menegakkan yang ia benar dalam tindakannya menghalang unjuk rasa Bersih 2.0 dan bagi meyakinkan orang ramai yang ia benar serta berbuat betul.

Hingga polis seolah-olah tidak ada kerja lain melainkan menghadapi dan menangani isu Bersih 2.0 dan kesan-kesannya yang dihadapinya.

Macam-macam ikhtiarnya bagi meredakan gema unjuk rasa sepetang itu dan tindakannya bagi membendung tsunami kebangkitan dan kebanjiran rakyat ke Kuala Lumpur hari itu.

Yang pertamanya polis hendak membetulkan pandangannya dan perkiraan RTM bahawa hadir hari itu kurang dari 10 ribu. Ertinya unjuk rasa itu gagal. Yang ganjilnya kehadiran tidak sampai 10 ribu tetapi yang ditahan antara seribu dan dua ribu. Nisbah tahanannya tinggi dari kehadiran.

Manakala Bersih pula mewarwarkan kehadiran berpuluh bahkan beratus ribu. Sasterawan Negara Samad Said saja menganggarkan lebih 50 ribu. Al-Jazeera yang melihat semua sudu Kuala Lumpur melalui pancaran satelitnya dari langit menyebut ratus-ratus ribu. Anak-anak muda yang bertelifon tangan berhubung sesama sendiri di seluruh Kuala Lumpur pun menganggarkan r atus ribu juga.

Maka inilah yang RTM dan polis hendak tangkis.

Kemudian polis hendak menangkis ia dikata ganas oleh banyak pihak. Kononnya pihak pro Bersih memiliki banyak video sebagai bukti gara-gara lebih laku polis. Para pemilik video itu ada yang mahu menyerahkan kepada polis dan ada yang tak mahu.

Maka tampillah RTM untuk menolong polis. RTM ada unit perang sarafnya membantu polis mengeluarkan video bagi membenarkan dirinya dan bagi membuktikan Bersih hanya berkata tidak benar dan berdakyah.

Disalurkannyalah video klip melalui RTM. Tidaklah ditunjukkan ramainya orang. Adalah gerakan kenderaan dan motosikal yang dibonceng yang tidak. Hanya kata latar yang mengatakan kenderaan polis tidak melanggar Mat Sabu sebaliknya Mat yang membonceng motorsikal jatuh terlanggar bahu jalan. Tiadalah Mat Sabu cedera teruk bah dilayan sebagai pesakit luar.

Tidak diketahui ramai mana yang percaya dan puas hati dengan video yang pertama. Kata Tok Menteri RTM, banyak lagi video yang akan ditayangkan.

Adakah RTM dan polis mencapai sasaran matlamat pembikinan dan tayang video itu? Sudah terjawabkah segala yang hendak dijelaskannya pada tahap video yang pertama itu.

Saya sendiri tidak banyak dari tayangan itu bahkan terasa ikhtiar polis dan RTM itu seperti bangsat saja. Saya harap orang lain tidak selemah saya bagi menangkap isi dan penjelasan video itu. Dan saya harap polis ddan RTM tidak jadi macam saya yang tidak dapat apa-apa yang berguna daripadanya. Moga- moga polis dan RTM dapat apa yang dihajatinya.

Video yang pertama saya rasa amat bangsat. Tidak apa yang ia dapat bantu polis. Dan saya tidak ada keyakinan video yang berikutnya dapat membantunya lagi.

Yang saya dapat katakan, RTM terkial-kial yang meyakinkan penonton dan polis pun terkial-kial yang hendak membetulkan tindakannya.

Polis menyangka kebanyakan video milik pro Bersih tidak asli sebaliknya telah diedit dan ditokok tambah bagi menjadikan ia dipercayai orang. Nampaknya polis pula hendak menjadi seperti pembangkang yang tidak menerima video lucah yang dikatakan pembabit Anwar Ibrahim sebagai tidak asli.

Bagi mengatakan video lucah tulen dan jenuin didapatkan pengesahan pakar filem dari barat. Agaknya RTM dan polis juga sudah mendapatkan pandangan pakar filem barat yang sama tentang video milik pro Bersih itu.

Apa pun dan sebaik mana pun isi video yang RTM salurkan itu, wajarlah difahami RTM itu alat dan saluran propaganda negara dan kerajaan. Ia tidak dikira sebagai agensi maklumat yang bebas.

Sebagai media kerajaan, TV dan radionya bertanggungjawab menyampaikan maklumat dan menegakkan kebenaran. Tetapi dunia umumnya mengira peranan menyampaikan maklumat sangat kerdil dibandingkan cap propagandanya.

Apa lagi kalau demokrasi yang dipegang oleh kerajaan itu satu demokrasi tiga suku. Maka peranan propagandalah yang lebih terserlah. Berhempas pulaslah polis dan TV hendak menegakkan yang tidak kering, sakit orang hendak mendengarnya apa lagi hendak mempercayainya.

Selama 20 hari ini Bersih sudah mulai rehat. Ia mula menilai kekuatan dan kelemahannya. Ia sudah boleh selesa dengan pandangan dan reaksi banyak pihak tentang peranannya. Yang masih tidak dapat rehat ialah polis dan RTM gagal bagi membelnya.

Kalau polis memilih memberi kerjasama kepada Bersih, sudah tentu ia boleh rehat sebagai saja unjuk rasa itu selesai selepas Asar 9 Julai itu juga.

Sepatah kata puteri Dr. Mahathir yang hadir bersama anaknya di tengah unjuk rasa Bersih itu, macam-macam orang kata tentang pentadbiran bapanya, tetapi pentadbiran hari ini amat teruk.

Makna dan tanda 9 Julai

Posted: 28 Jul 2011 01:00 AM PDT

Oleh Hishamuddin Rais


Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum Zionis.

Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari 'malapetaka' pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.

Tetapi apa sangkut pautnya malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.

Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.

Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot - diambil daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis Maginot.

Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua kapal yang membawa bala tenteranya.

Tariq ibni Ziyad telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan - iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih dari ini.

Sekarang mari kita sama-sama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai yang ambil pot.

Lawak menjadi seram

Ada komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.

Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.

Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu, presiden atau perdana menteri, semua menggunakan 'takut' sebagai alat. Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.

Apa yang telah dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja orang suruhan.

Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.

Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.

Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.

Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.

Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh 'desas bin desus'. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan

Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000 warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?

Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi 'Garis Takut'. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.

Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.

Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.

Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda - anak semua bangsa - tidak ambil pot langsung terhadap Pekasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.

Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua - para penyokong Bersih - telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.

Pasti ada yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang lalu?

Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah 'Kapal Kerajaan Perpaduan'. Seperti Tariq ibni Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan di Menara Maybank.

Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.

Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak 31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.M/Kini

Khairi bergelut untuk kembali popular tapi popular - popular

Posted: 28 Jul 2011 12:50 AM PDT

Oleh: TopengMerah


"Kenyataan Ketua Pemuda Umno menerusi Utusan Online hari ini yang mengatakan demonstrasi jalanan bukanlah perkara biasa bagi masyarakat kota besar negara lain adalah mengelirukan. Ini adalah kerana beliau kemudiannya mengakui yang fakta berdemonstrasi di U.S memerlukan permit. Ini secara tidak langsung menunjukkan yang demonstrasi sebenarnya adalah satu kebiasaan di Amerika dan bukanlah satu kesalahan. Malah kerajaan negara Uncle Sam itu sendiri pun tidak mempunyai masalah untuk meluluskan permit, tidak seperti negara kita.

Namun KJ dalam kenyataannya menokok tambah yang peserta demonstrasi di Malaysia lebih bersifat provokatif terhadap pihak berkuasa terutamanya PDRM, suatu kenyataan yang pada pandangan saya tidak berasas dan lebih bersifat emosional semata-mata.

Saya tidak faham kenapa baru hari ini KJ mengungkitkan isu dan tuduhan ini. Sekiranya demonstrasi itu adalah satu perkara yang tidak baik dan salah, kenapa KJ dan Patriot menyibukkan diri turut sama berdemonstrasi? Tindakan ini tak ubah seperti budak-budak yang tidak matang. Malah tujuan Patriot menyertai demonstrasi itu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan tindak balas mereka terhadap pihak yang lain itu adalah merupakan satu ancaman dan lebih merbahaya. Dia dan Patriot dilihat penuh bersedia bagi membenteras kononnya "penyangak-penyangak jalanan" bagi mempertahankan kestabilan negara. Ini tiada lain melainkan, KJ sebenarnya mahu dirinya dilihat sebagai hero dalam drama ini.

Sekiranya kerajaan Malaysia betul-betul telus dan bersih dan bersifat terbuka dan bukannya autoritarian, sepatutnya permit dapat diluluskan. Dan selepas permit diluluskan, pantaulah aktiviti demonstrasi itu dengan baik. Sekiranya pihak yang telah diberikan permit berdemonstrasi itu gagal mematuhi undang-undang, barulah tindakan keras diambil ke atas mereka.

Sebaiknya KJ harus memberikan kenyataan yang lebih menunjukkan kematangannya sebagai seorang pemimpin pemuda dan bukannya mengeluarkan tuduhan yang tidak berpaksikan kepada fakta.

Saya melihat "kokokan" ini tidak lebih dari satu muslihat beliau untuk mengembalikan populariti nya yang semakin suram dari arus politik perdana."

Tunaikan 8 tuntutan Bersih, tak perlu belanja ratusan juta untuk sistem biometrik

Posted: 28 Jul 2011 12:49 AM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem biometrik bagi pilihan raya akan datang membuktikan kenyataan Pakatan Rakyat selama ini memang benar dan betul bahawa memang wujud pengundi hantu serta amalan jahat mengundi berulang kali.

Menurut Sekretariat Pakatan Rakyat, langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang bertujuan mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali juga membuktikan suara rakyat melalui perhimpunan aman Bersih 2.0 terpaksa diterima oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini.

"Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud," kata sekretariat berkenaan melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak sekretariat oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Rami; Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, Sekretariat Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kemampuan sistem biometrik untuk menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini di samping kosnya yang menelan belanja ratusan juta ringgit yang akan membebankan rakyat.

"Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.

"Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan," kata kenyataan itu.

Lebih penting lagi, menurut para pemimpin Pakatan berkenaan, adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana asasnya sudah salah – iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.

Jika kad pengenalan sahaja menjadi asas, ia akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.

Justeru, para pemimpin Pakatan tersebut mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu kerana sudah ada penyelesaian yang lebih baik melalui penggunaan dakwat kekal yang lebih mudah, murah dan berkesan.

"Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderungan pengundi keluar mengundi," kata mereka.

Menurut kenyataan itu juga, sistem biometrik bakal menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada.

Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi, tambah kenyataan itu.

"Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0," kata para pemimpin Pakatan berkenaan.

Dengan itu, mereka mendesak SPR supaya kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, serta memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.

Buka semula kes TBH, keputusan RCI banyak keganjilan

Posted: 28 Jul 2011 12:47 AM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Polis perlu membuka semula siasatan untuk memastikan siapa yang sebenarnya menyebabkan kematioan Teoh Beng Hock (TBH), kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, empat petunjuk terbaru dari laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TBH boleh membantu polis untuk mencari pemangsa yang bertanggungjawab.

Menurutnya, empat petunjuk yang dapat membantu polis melakukan siasatan itu ialah berkaitan 'dalang' penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Hishamuddin Hashim (HH), 'siasatan keempat', penyalahgunaan kuasa HH dan 'kotak hitam'.

Dalam petunjuk pertama, Kit Siang menyatakan bahawa perenggan 176, 336, dan 337 laporan RCI TBH, mendedahkan pegawai SPRM Anuar Ismail yang sedia berkorban termasuk menipu bagi pihak HH.

"Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan menangkap dan mendakwa Hishammuddin atas sumpah dustanya hanya dengan bersandarkan perenggan 336?" soal beliau.

Justeru itu, jelas Kit Siang, polis telah ditipu melalui keterangan yang diberikan Hishammuddin dan pegawai SPRM Selangor tertentu mengenai apa yang berlaku terhadap TBH dalam tiga soal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai 2008.

Oleh itu tambahnya, memandangkan keterangan yang diberikan itu tidak bernilai dan harus ditolak, maka polis harus mengadakan kembali siasatan.

Dalam petunjuk kedua, Kit Siang berkata bahawa pada perenggan 229 laporan itu, di mana setelah soal siasat keempat dan yang terakhir selesai, TBH telah mengalami kesihatan fizikal atau mental yang sangat teruk.

"Siasatan polis mengenai kematian TBH tidak pernah sebut mengenai 'soal siasat keempat' yang berlaku sekitar jam 3.30 pagi hingga 7 pagi pada 16 Julai.

"(Inilah) petunjuk kedua dari laporan RCI TBH dan sebab kenapa polis perlu membuka semula siasatan mereka. Malah, adalah perlu bagi polis untuk menyiasat sama ada terdapat 'soal siasat kelima' diantara 7 pagi hingga 11 pagi – bergantung pada waktu kematian TBH," katanya.

Dalam petunjuk ketiga, Kit Siang berkata bahawa dalam perenggan 23, dijelaskan bahawa Hishamuddin mempunyai kuasa mutlak menyiasat sesiapa yang disyaki terlibat dalam apa-apa amalan rasuah di Selangor tanpa perlu mendapat persetujuan pegawai atasannya di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

"Hishamuddin ternyata menyalahgunakan kuasanya apabila mengarahkan 33 pegawai operasi yang mana membawa kepada kematian TBH hanya berdasarkan rasa percaya dan panggilan telefon, bukan dengan sokongan fakta kukuh," katanya.

Justeru itu, beliau mahu polis membuka kembali siasatan kematian TBH, siapa yang memberikan Hishamuddin imuniti dan dengan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang serta melakukan jenayah.

Dalam petunjuk keempat, Kit Siang menegaskan selepas beberapa hari kematian TBH, telah muncul 'kotak hitam' yang mendakwa DAP sebagai punca kematian TBH, untuk mengganggu tumpuan rakyat dari punca sebenar kematian mendiang

"Tambahan pula, 'kotak hitam' itu mempunyai kesan jari pegawai SPRM yang mana ianya mengandungi dokumen berkaitan soal siasat TBH.

"Ini adalah petunjuk keempat yang mewajarkan lagi agar pembukaan semula siasatan polis untuk memastikan siapa yang berada di sebalik 'kotak hitam' itu mungkin telah menemui orang yang menyebabkan kematian TBH juga," katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, RCI yang dikendalikan Hakim Tan Sri James Foong itu sangat mengecewakan memandangkan ia merumuskan TBH telah didorong membunuh diri akibat soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan tidak bertanggungjawab oleh pegawai-pegawai SPRM.

"(Rumusan itu) telah ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang berfikiran wajar," katanya dalam forum anjuran DAP bertajuk Laporan Siasatan Diraja Teoh Beng Hock – Di Mana Kebenaran yang Dijanjikan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini semalam.

Pada 24 Julai lalu Kit Siang telah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya menjelaskan mengapa Nazri menganggap SPRM dan pegawai-pegawainya telah 'dibebaskan' dari sebarang tanggungjawab berhubung kematian TBH.

"Laporan RCI TBH tidak menyebut secara spesifik nama pegawai-pegawai SPRM yang bertanggungjawab, walau pun identiti mereka sangat jelas kepada sesiapa yang membaca laporan itu.

"Tetapi, bagaimana pula Nazri boleh mendakwa SPRM sudah dibebaskan dari tanggungjawab kematian TBH sedangkan laporan itu terang-terang menyebut 'pegawai SPRM' sebagai yang bertanggungjawab terhadap kematiannya?" katanya dalam satu ceramah beliau di Ipoh pada 24 Julai lalu.

Kit Siang berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Nazri dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Ahad lalu yang menyebut beliau sebagai berkata "sudah jelas SPRM bebas daripada tuduhan ini."

Dalam wawancara dengan lidah UMNO itu, Nazri berkata kes TBH telah ditutup dan tidak perlu untuk mewujudkan sebuah lagi RCI kerana keluarga TBH dan pihak pembangkang telah menolak keputusan bunuh diri oleh RCI.

Menurut Kit Siang, Majlis Peguam juga menolak laporan RCI TBH dan menuntut supaya pihak berkuasa menyiasat pegawai SPRM untuk didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut seksyen 304 dan 304a.

Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dalam sidang media beliau pada Isnin lalu berkata, percubaan RCI memutarbelitkan kematian TBH hanya akan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak berminat mencari keadilan, sebaliknya menutup kebenaran.

"Laporan RCI sepatutnya menjelaskan punca kematian mendiang, bukan menambahkan lagi tanda tanya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Seri Kembangan dan bekas majikan kepada TBH menjelaskan bahawa rakyat Malaysia berkongsi perasaan tidak percaya dan marah bila RCI melaporkan fikiran mendiang, hanya dalam beberapa jam sahaja boleh berubah.

Tambah Ean Yong, beliau bersama Wong Hong Chae dan Lee Wye Wing sudah menjelaskan ketika perbicaraan RCI bahawa tiada bayaran pendahuluan dari DAP Serdang Aman untuk membiayai projek kecil (infrastruktur) yang berada di kawasannya.

"Bagaimana pun, RCI tidak lihat fakta ini tetapi sebaliknya mengeluarkan kenyataan berbeza dalam laporan tersebut," katanya.

Justeru itu, beliau menjelaskan perenggan 108, 109 dan110 laporan RCI itu di mana bertentangan fakta antara satu sama lain dan pada perenggan 110 menjelaskan "tiada satu resit pun yang amaunnya sama dengan yang dibayar kepada DAP."

"Di dalam testimoni bertulis semasa perbicaraan RCI, pemangku Penguasa Kanan SPRM Ahmad Shafik Abdul Rahman memberitahu RCI bahawa keputusan siasatannya menunjukkan bahawa pembayaran balik dan resit itu sepadan dan projek-projek telah dijalankan.

"Kenapa tidak konsisten bukti-bukti di antara prosiding dan laporan RCI ini?" soalnya.

Forum Bersih 2.0: EO ialah satu lagi ISA di Pulau Pinang, 27 Julai ini

Posted: 28 Jul 2011 12:45 AM PDT

KEADILAN DAILY



Suara Rakyat Malaysia (Suaram Pulau Pinang) menganjurkan forum 'EO satu lagi ISA' pada hari Rabu 27 Julai di Kompleks Masyarakat Penyayang bermula jam 8.30 malam

Ia dianjurkan dengan kerjasama Gerakan Mansuhkan ISA (Pulau Pinang) Amnesty International, Pewaju, Aliran, DEMA, Sembang-sembang Forum, The People's Green Coalition dan Gabungan Bagi Pentadbiran Kerajaan Baik Pulau Pinang.

'Selepas puluhan sidang akhbar dan program solidariti nyalaan lilin oleh pelbagai pertubuhan, 6 rakyat Malaysia atau dikenali dengan nama 'EO6′ masih belum dibebaskan pemerintah dan ditahan polis.

"Tujuan program ini bagi memberitahu masyarakat tentang latar belakang dan fakta penahanan mereka. Forum juga akan membincangkan langkah dan yang akan diambil bagi memberi tekanan kepada pemerintah untuk membebaskan tahanan," kata Suaram Pulau Pinang dalam pemakluman program berkenaan.

Sebarang maklum balas dan penerangan berkaitan, digalakkan untuk menghubungi penyelaras Suaram Pulau Pinang melalui Ong Jing Cheng di talian 016-4015052.

Jurulatih Bola Sepak, hadiri Pelancaran Jentera PRU KEADILAN

Posted: 28 Jul 2011 12:44 AM PDT

KEADILAN DAILY



Timbalan Presiden KEADILAN merangkap Pengarah Pilihanraya parti, Azmin Ali sebentar tadi melancarkan jentera pilihan raya Cabang Tuaran.

Bercakap kepada Keadilandaily.com, Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Natassia Sarah Mohd Danny berkata, pelancaran itu diadakan di perkarangan pejabat cabang itu yang turut dihadiri Ketuanya, Ansari Abdullah.

Menariknya, majlis itu turut dihadiri bekas Jurulatih Bola Sepak Sabah, Kelly Tham dan bekas anggota Cabang itu yang keluar parti sebelum ini, Pajuddin Nordin.

Kelly Tham pernah membimbing pasukan bola sepak Sabah menjuarai Naib Juara Liga Perdana (kini Liga Super) pada 1994 serta memimpin pasukan itu dinobatkan selaku Juara Piala FA buat pertama kali untuk negeri itu pada 1995.

Lain-lain pimpinan yang turut hadir termasuklah Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah, Tamrin Jaini, Ketua Cabang Kota Belud, Saidil Simon, Ketua Cabang Kota Marudu, Anthony Mandiau, Ketua Wanita Cabang Tuaran, Begum Abdullah serta kira-kira 130 anggota parti dan masyarakat pelbagai kaum dari sekitar kawasan itu.

"Cabang Tuaran terdiri daripada 40 daerah mengundi dan sudah mengatur strategi dan cukup bersedia pada bila-bila masa dari sekarang untuk menumbangkan kerajaan Umno Barisan Nasional di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang kian hampir," kata Natassia yang juga anggota parti di Cabang itu.

Parlimen Tuaran memiliki kompoisi kaum pengundi Bumiputera Islam sebanyak 43.8 peratus, Bumiputera Bukan Islam (48%), Cina (7.2%) dan lain-lain sebanyak (0.23%).

Singkir peneroka: Mahkamah tolak penyingkiran Felda

Posted: 28 Jul 2011 12:41 AM PDT

Darwish Zainal


SEREMBAN: Penderitaan seorang peneroka dari Felda Palong 9 sejak 13 April tahun lalu berakhir apabila Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Zulkifli Bakar memutuskan saman pemula yang dikemukakan oleh Felda untuk menyingkirkan seorang peneroka Che Hashim Che Long ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.

Menurut peguam T. Kumar yang juga Naib Ketua Keadilan Jempol yang mewakili Che Hashim, alasan Felda untuk menyingkirkan Che Hashim ialah kerana anak Che Hashim telah mencederakan Pengurus Felda Palong 9 dalam satu pertengkaran di dalam kebun Che Hashim berhubung penjualan hasil getah di kebun tersebut.


"Justeru itu Felda menguatkuasakan perintah tersebut dimahkamah.Walau bagaimanapun hakim memutuskan untuk menolak saman pemula dengan kos RM5,000 atas alasan perintah yang dikeluarkan untuk menyingkir Che Hashim tidak mematuhi seksyen 22 Akta GSA 1960 dan Felda tidak boleh menggunakan Aku Janji sebagai asas pengusiran.

"Selain daripada itu Felda juga gagal mengemukakan notis kepada defendan (Che Hashim) sebelum perintah pengusiran dikeluarkan dan ini menafikan hak-hak defendan di bawah prinsip Undang-Undang Semulajadi", kata Kumar yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan.

Sementara itu suasana hiba menyelubungi di luar mahkamah selepas hakim mengumumkan keputusan tersebut apabila Che Hashim yang tidak dapat menahan perasaan beliau apabila menangis secara terbuka dan memeluk isteri beliau Mazilah Mahat dan sahabat yang datang menyokong beliau. Beberapa sahabat Che Hashim juga kelihatan tidak mampu menahan kesedihan dan kelihatan turut menangis dan sebak.

Apabila ditemui Suara Keadilan, Che Hashim berkata sebenarnya penderitaan beliau bermula sejak Oktober 2000 apabila pengurusan Felda Palong 9 enggan menerima hasil getah beliau dan pada ketika itu sendiri pengurusan Felda cuba mengusir beliau atas alasan beliau tidak menetap di Felda Palong 9.

"Tetapi sebenarnya saya bekerja di luar Felda dan berulang alik ke rumah di Felda Palong 9 dan pada awal 2007 barulah mereka (Felda) menerima balik hasil saya.

"Selepas itu sedia maklum pada 13 April tahun lalu, Felda mengeluarkan perintah mengusir dan saya melalui kesukaran hidup dan trauma yang amat sangat kerana tindakan Felda ini. Alhamdullillah penderitaan saya dan isteri bersama anak-anak kami berkahir pada hari ini. Saya amat berterima kasih kepada barisan peguam yang mempertahankan hak saya pada hari ini", kata Che Hashim sambil mengesat air mata.

Polis tanya soalan tidak masuk akal pada Surendran

Posted: 28 Jul 2011 12:39 AM PDT

KEADILAN DAILY


Surendran menuntut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara memjawab isu keganasan terhadap peserta himpunan Bersih 2.0


KUALA LUMPUR: Polis mengemukakan soalan tidak masuk akal kepada peguam, N Surendran termasuk bertanya samada beliau merupakan seorang pakar gas pemedih mata.

Soalan itu ditanya pihak berkuasa itu ketika mengambil keterangan Surendran di Balai Polis Jalan Travers, petang semalam.

Lebih melucukan soalan bertanyakan sama ada lima plat titanium yang dimasukkan ke rahang pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakri dilakukan oleh manusia, kata peguam Latheefa Koya.

"Memang tak masuk akal. Apa relevannya soalan ini? Apakah kita perlu menjadi pakar gas pemedih mata untuk membuat laporan polis? Kenapa menyoal peguam sedangkan tugas sebenar mereka ialah membuat siasatan?," soal Latheefa.

Surendran, yang juga Naib Presiden KEADILAN dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Acara Jenayah berdasarkan satu laporan yang dibuat berhubung kenyataannya kepada media yang didakwa 'mengancam ketenteraman awam'

Ia difailkan seorang anggota polis yang tidak dinamakan pada hari yang sama Fayyadh membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, 20 Julai lalu.

Keterangannya dirakamkan oleh ASP Sabri Yanteng, di balai polis Jalan Travers.

Menganggap proses itu sebagai gangguan, Surendran yang ketika itu sedang menemani anak guamnya Fayyadh Al-Bakri, namun terpaksa pula ditemani Latheefa untuk memberi keterangan.

"Begitu juga soalan – 'apakah kamu tahu apa itu Bersih, 'siapakah MP Khalid Samad seperti yang dimaksudkan' dan 'apakah itu kanister? Memang tak masuk akal. Mereka sepatutnya menyiasat laporan yang dibuat Fayyadh," tegas Latheefa.

Surendran dalam reaksinya menuntut pentadbiran tertinggi Polis dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein menjawab tindakan ganas ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0.

"Ini sikap dan mentaliti apabila polis membiarkan institusi mereka diperkudakan kerajaan. Mereka tak membuat siasatan, tetapi menyiasat orang yang membuat laporan.

"Saya bertegas dengan kenyataan sebelum ini bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan polis, iaitu mengacu dan mengarahkan muncung senapang gas pemedih mata ke arah peserta himpunan Bersih di KL Sentral adalah salah kerana ia akan menyebabkan kecederaan serius.

"Jangan berdalih atau cuba mengalih isu. Kami takkan berhenti untuk mendesak siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan," kata Surendran.

Selangor keluar peruntukan pembangunan untuk semua daerah

Posted: 28 Jul 2011 12:37 AM PDT

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengeluarkan peruntukan untuk pembangunan kepada semua daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lama lagi tetapi setiap projek akan disenarai mengikut kepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Pegawai Daerah dan Datuk Bandar serta Yang Dipertua PBT perlu mengetahui nilai kos sebenar projek bagi mengelakkan pembaziran.

Untuk tujuan itu, Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang mempunyai aset berjumlah RM800 juta akan menyalurkan sebahagian dari dana untuk pembangunan ini.

Justeru Khalid berkata, semua pejabat tanah dan daerah serta PBT diarahkan supaya menyelenggara dengan baik semua aset milik negeri terutama yang melibatkan tanah.

Ini bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai harta untuk meneruskan pembangunan dan pembinaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pejabat tanah dan daerah serta PBT melantik pegawai yang bertanggungjawab memantau, melawat dan mengemas kini semua tanah-tanah kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah ini untuk mengelak kerajaan negeri menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada pihak tertentu yang menduduki tanah milik kerajaan negeri secara haram.

Tambahnya, kaedah merekodkan semua aset milik kerajaan negeri khususnya tanah dalam fail tidak lagi pratikal diamalkan kerana berlaku perubahan persekitaran yang menyebabkan tanah-tanah kerajaan negeri diceroboh.

"Negeri Selangor memerlukan dana untuk menjana pembangunan tetapi pada masa yang sama kita juga perlu menyelenggara dengan baik harta milik kita supaya kita mempunyai dana untuk meneruskan pembangunan," katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menutup Program Temu Rapat bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT, pentadbir tanah dan daerah seluruh Selangor di Genting Highland yang berakhir hari ini.

Program dua hari ini bertujuan mempertingkatkan persefahaman dan kerja sama antara pembuat dasar dan anggota pelaksana di peringkat daerah serta PBT selain memastikan dasar kerajaan negeri difahami serta dilaksanakan dengan berkesan.

Kanister Israel: Polis panggil Suara Keadilan untuk ambil keterangan

Posted: 28 Jul 2011 12:31 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Selepas Himpunan Bersih 2.0 mendapat sambutan segenap lapisan rakyat, polis bertindak memanggil editorial Suara Keadilan lantaran laporan berita itu tidak memenuhi selera parti pemerintah, Umno Barisan Nasional (BN).

Ia berikutan pejabat Suara Keadilan menerima panggilan telefon daripada polis dari balai Dang Wangi untuk mengambil keterangan berhubung berita bertajuk 'FRU guna kanister Israel sahkan kezaliman BN – Shuhaimi Shafiei.'

Panggilan telefon itu diterima kira-kira jam 12.15 tengah hari ini.

Berita itu pula diterbitkan pada 19 Julai oleh Keadilan Daily, portal berita versi Suara Keadilan, sebuah akhbar rasmi KEADILAN.

Suara Keadilan tetap mempertahankan kredibiliti berita dan sedia memberi keterangan kepada polis. Bagaimana, tarikh untuk berbuat demikian belum diputuskan lagi.

Rani Rasiah: Jeyakumar mogok lapar mulai hari ini

Posted: 28 Jul 2011 12:28 AM PDT

MerdekaReview


Ahli parlimen Sungai Siput, Micheal Jeyakumar Deveraj melancarkan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap penahanan polis ke atas dirinya bersama lima orang rakan seperjuangannya di bawah Ordinan Darurat, menurut ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, Rani Rasiah.

Rani Rasiah adalah isteri Jeyakumar Deveraj. Rani berkata keputusan ini dimaklumkan kepada dirinya ketika beliau melawat Jeyakumar Deveraj semalam.

Jeyakumar meluahkan kekecewaan dirinya terhadap polis, dan menyatakan tekadnya untuk mogok lapar mulai 28 Julai 2011, sehingga enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan.

Berita penuh menyusul kemudian


BERSIH 2.0: Di antara menghempuk dan menjentik

Posted: 28 Jul 2011 12:22 AM PDT

Khalid Samad


Najib Abd Razak, selaku Perdana Menteri telah ditanya pemberita di London mengenai tindakan keras pihak Polis terhadap Perhimpunan Bersih tempoh hari. Beliau menjawab ianya tindakan yang "ringan" yang bertujuan menjaga keselamatan Negara. Mereka yang ditahan, jelas beliau lagi, dibebaskan malam itu juga dan tiada yang ditahan lebih dari 12 jam.

Membaca jawapan beliau seperti di atas, ramai yang terus menuduh bahawa Najib adalah Perdana Menteri penipu. Hakikatnya kata mereka dan saya bersetuju dengan kenyataan ini, tindakan polis jauh lebih keras dari apa yang diperlukan. Kalau dalam Bahasa Inggeris ianya boleh dikatakan sebagai "disproportionate use of force".

Namun demikian, walaupun saya bersetuju bahawa kenyataan Najib adalah tidak benar, secara peribadi saya merasakan bahawa yakin bahawa Najib tidak "menipu". Baiklah, sebelum tuan-tuan semua marahkan saya, biar saya jelaskan. Untuk dikatakan menipu, ianya membawa erti bahawa beliau mengetahui dan memahami bahawa tindakan yang diambil sebenarnya adalah terlalu ganas dan lebih keras dari apa yang diperlukan. Beliau juga perlu memahami bahawa pihak polis, yang bertindak di bawah arahannya dan sepupunya, Hishamuddin, telah melakukan satu kesalahan kerana peranan polis adalah untuk menjaga dan bukannya memukul rakyat. Malangnya, saya merasa yakin Najib dan sepupunya tidak memahami perkara ini.

Apabila perkara asas sebegini tidak difahami dan kerajaan dianggap berhak untuk "menghempuk rakyat" maka arahan supaya polis hanya "menjentik rakyat" dianggap mereka sebagai satu arahan yang patut dihargai. Dan inilah apa yang ingin disampaikan kepada pemberita di London. Najib pasti hairan mengapa pihak pemberita tidak memahami dan menyanjung tindakan beliau. Bagi dirinya, tindakan yang diambil amat berkasihan-belas dan penyayang sifatnya!

Oleh itu, secara teknikalnya, beliau tidak "menipu". Dan inilah masalahnya. Satu masalah yang jauh lebih besar apabila dibandingkan dengan masalah sekiranya sekadar menipu. Iaitu, beliau tidak faham bahawa sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk membela hak dan nasib rakyat, bukan menindasnya; bahawa rakyat mempunyai hak dan hak ini perlu dihormati; bahawa polis ditugaskan untuk menjaga hak rakyat, bukan memijak kepala rakyat. Perkara inilah yang tidak dapat difahami olehnya.

Sekiranya Najib faham apa yang dilakukan adalah salah, beliau akan merasa malu dan berusaha menutup kesalahan dirinya. Maka ada sedikit harapan bahawa beliau akan kesal dan berusaha untuk tidak melakukannya lagi. Tetapi, apabila beliau tidak faham bahawa apa yang dilakukan adalah salah, maka tindakan ini akan diteruskan lagi, malahan ditingkatkan lagi, sampai ke tahap yang dianggap beliau berhak bertindak, iaitu menghempuk rakyat, bukan sekadar menjentik.

Maka itulah sebabnya Najib, Hishamuddin dan keseluruhan kerajaan BN perlu ditukar.

SEMUA MENIPU KECUALI NAJIB?

Apabila berbincang berhubung isu menipu, selepas peristiwa BERSIH 2.0, amat jelas bahawa pihak media dan polis ingin menuduh semua yang terlibat dan cedera sebagai penipu. Anwar Ibrahim menipu apabila beliau dimasukkan ke hospital dan dipakaikan sokongan di lehernya serta terlentang di atas katil dan siap dipasang alat penafasan. Mungkin media dan polis menganggap semua berlakon termasuk para doktor dan jururawat di Hospital Pantai. Mungkin juga semua di situ adalah pelakon dan hospital Pantai adalah sebuah cawangan institusi Yahudi Nasrani tajaan bersama Hindu sedunia yang mendapat sokongan pertubuhan Komunis untuk menjatuhkan BN!

Begitu juga dengan Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS. Beliau menipu juga! Dan Hospital KPJ di Seksyen 20 Shah Alam juga sarang pelakon dan penipu di mana mereka berpura-pura membedah lutut Mat Sabu dan menghasilkan X-Ray palsu yang menunjukkan skru sepanjang 2 ½ inci dilututnya! Mungkin hospital tersebut juga merupakan sarang Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis antarabangsa yang mendapat pembiayaan dari pihak Amerika yang bersekongkol dengan golongan Wahabi!

Seorang lagi yang menipu semestinya Fayat, pengawal peribadi DS Anwar Ibrahim yang remuk tulang pipinya dan retak batang hidungnya sehingga terpaksa dibedah dan diletakkan kepingan Titanium di pipinya. Di sini juga sudah pasti mereka akan berkata, Hospital telah dibayar pihak Yahudi Nasrani, Hindu serta Komunis sedunia dan mereka telah berkomplot untuk menjatuhkan BN!

Jangan lupa pula kepada saudara Sharwadi yang telah kejang dan sesak nafas sehingga terpitam serta pemuda yang sawan, patah kaki dan lain-lain yang kesemuanya pelakon tambahan upahan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis!

Maka bertanya pula kita mengapakan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis sedunia ingin menjatuhkan Najib? BN akan menjawab bahawa ianya adalah kerana beliau merupakan seorang pejuang Islam yang sejati! Sambil si Rosmah mengemaskan sanggulnya serta memasangkan gelang dan cincinnya setiap pagi dengan niat yang tulus ikhlas untuk memperjuangkan ummat Islam dan rakyat jelata, ulas mereka lagi!

Adakah mereka anggap rakyat bodoh? BN boleh terus berusaha memperbodohkan rakyat tetapi saya yakin rakyat tidak bodoh! Dan harinya semakin pantas menjelang tiba apabila kebijaksanaan rakyat Malaysia akan jelas terbukti!

GUGURNYA BAHARUDDIN SEBAGAI SEORANG SYUHADA INSYAALLAH

Kalau boleh, Al-Marhum Baharuddin pun BN ingin tuduh berlakon! Semuanya satu sandiwara pakatan pembangkang menurut mereka lagi. Sehingga hari ini tiada ucapan Takziyyah atau kekesalan dari pihak Polis atau BN. Mereka mahu letakkan kesilapan atas semua pihak kecuali mereka sendiri, tetapi rakyat tahu siapa yang bertanggungjawab di atas gugurnya allahyarham.

Yang paling tinggi daya imiginasi ialah tuduhan bahawa tulang rusuk Al-Marhum dipatahkan doktor yang melakukan CPR. Bibirnya berdarah dan giginya patah juga mungkin kesalahan doktor! Semua tidak pandai buat kerja, termasuk doktor. Lain kali kalau ada yang tenat dan memerlukan CPR, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk jangan hantar ke doktor, hantar sahaja ke pihak polis!

Adakah mereka ingat rakyat benar-benar banggang?

RAHSIA KEGANASAN POLIS

Hakikatnya mereka semua yang di atas menjadi mangsa kezaliman politik BN. WALAUPUN POLIS YANG BERTINDAK SEDEMIKIAN, perlu diingat Polis telah diapi-apikan sehingga membenci rakyat yang turun secara damai dengan tuduhan pengkhianat, penderhaka dan perusuh. Tukang adu domba, tidak lain dan tidak bukan, adalah BN.

Sekiranya polis diberitahu, "rakyat ingin turun secara aman untuk berhimpun, menuntut sesuatu yang merupakan hak mereka iaitu pilihan raya bersih, sila jaga keselamatan mereka", sudah pasti berbeza kesudahannya. Sudah pasti polis akan menjaga supaya semua berjalan dengan aman dan teratur dan tidak mengucar-kacirkan suasana dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.

Malangnya BN adalah batu api, tukang adu-domba yang ingin memperkudakan polis untuk kepentingan mereka. Maka apa yang terjadi telah pun terjadi.

Ada yang mengatakan, dalam perlembagaan, hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata dijamin TETAPI Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan ke atas hak tersebut. Dari ayat ini jelas bahawa sekatan tidak bertujuan untuk menghapuskan atau menafikan hak berhimpun. Hanya boleh dikenakan sekatan-sekatan tertentu melalui undang-undang seperti kena ikut arahan polis semasa berhimpun, ikut jalan ini dan itu, pada waktu ini hingga waktu itu dan sebagainya. Bukan menafikannya sama sekali!

Lagipun sekatan undang-undang adalah untuk bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam, keselamatan Persekutuan dan mana-mana bahagiannya, BUKAN ketenteraman dan keselamatan BN! Tiada makna diberi hak yang dijamin Perlembagaan tetapi boleh dinafikan kembali sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang memerintah.

Apa yang jelas BN dalam ketakutan. Dan orang yang takut akan melakukan kesilapan. Kesilapan akan menjadikan apa yang mereka takutkan menjadi satu kenyataan, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad (gambar kanan), ahli parlimen Shah Alam.

"Saya Bukan Mangsa SUARAM" - Bourdon

Posted: 28 Jul 2011 12:19 AM PDT

Ditulis oleh zeanaaima


SHAH ALAM : Peguam Hak Asasi Perancis, William Bourdon tidak melihat pengusirannya dari Malaysia sebagai 'dipergunakan atau dijadikan mangsa' oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Kenyataan Bourdon itu menolak alasan rapuh yang dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini kononnya Bourdon adalah mangsa politik SUARAM.

Bourdon berkata, beliau datang ke Malaysia adalah sebagai seorang peguam dan tindakan kerajaan Malaysia menghalangnya berjumpa dengan anak guamnya adalah suatu tindakan penafian perundangan.

Bourdon Jumaat lalu, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar pulang ke Perancis pada sebelah malamnya, tanpa sebarang alasan daripada kerajaan Malaysia.

"Pihak berkuasa cuba menjadikan Suaram sebagai 'hantu' dalam usaha mengusir saya," katanya.

Bourdon diusir selepas beliau menghadiri majlis makan malam di Pulau Pinang, 21 Julai lalu, apabila beliau memberi taklimat mengenai perkembangan siasatan kehakiman Perancis berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion ($2.8 bilion) oleh kerajaan Malaysia.

Kerajaan didakwa menerima komisen sebanyak RM540 juta dari firma pertahanan Perancis DCNS pada tahun 2002, melalui syarikat Perimekar iaitu subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda.

Razak Baginda adalah rakan rapat Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. Razak Baginda didakwa terbabit dalam pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shariibuu.

Namun mahkamah membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Pada Disember 2009, SUARAM memfailkan aduan kepada mahkamah Perancis mengenai hal itu dan mendapatkan khidmat Bourdon.

Langgar Peraturan SPRM-Laporan 24 Ogos

Posted: 28 Jul 2011 12:18 AM PDT

TVS NEWS

KUALA LUMPUR : Laporan mengenai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melanggar peraturan ketika menguruskan kes membabitkan pembantu politik Teoh Beng Hock akan dibentangkan di Mesyuarat Khas Jawatankuasa Aduan pada 24 Ogos depan.

SPRM dalam kenyataan media berkata laporan tersebut dikehendaki disiapkan dalam tempoh sebulan oleh pegawai-pegawai daripada Pasukan Siasatan Khas,lapor Bernama Online.

Menurut kenyataan tersebut pasukan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaffar telah mengadakan mesyuarat pertama pada 25 Julai lalu.

Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian Beng Hock, memutuskan bahawa mendiang membunuh diri akibat mengalami rasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM.

Dr Uthman Diundang Bincang Wahabi, Terorisme

Posted: 28 Jul 2011 12:16 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya hari ini mengeluarkan undangan rasmi berdialog kepada penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Menurut mufti negeri Dr Juanda Jaya, undangan rasmi bertulis dihantar kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan anggota jawatankuasanya semalam.

"Kita harap majlis itu dapat diadakan pada bulan puasa ini supaya kurang sedikit unsur syaitannya. Jika tuduhan itu tidak benar, ia dianggap memecahbelahkan orang ramai, mengikut perangai syaitan dan mengancam negara," katanya.

Dalam tradisi Islam, Ramadan dikatakan bulan berkat kerana syaitan dikatakan dirantai.

Menurut Malaysiakini, dalam taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Dikatakan juga taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.

Bagaimanapun, semalam, Dr Juanda mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar" dalam majlis di mana Dr Uthman terlibat sebagai seorang pembentang kepada mufti dan wakil majlis agama Islam negeri yang hadir.

Libatkan haji ke Mekah

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Juanda berkata, Dr Uthman boleh memilih tarikh di mana beliau mempunyai kelapangan untuk membentangkan semula idea-ideanya kepada anggota jawatankuasa fatwa negeri dan ahli akademik yang akan dijemput.

"Majlis ini juga terbuka kepada orang awam dan pihak media supaya setiap pihak dapat menilainya," kata Dr Juanda yang juga felo pelawat di Universiti Oxford.

Menurut Dr Juanda, Dr Uthman perlu membuat penjelasan itu kerana implikasi dakwaan dalam taklimat itu melibatkan amalan penting umat Islam seperti mengerjakan umrah dan haji umat Islam di Mekah - wilayah yang ditadbir Arab Saudi.

"Menjelang Ramadan juga, ramai imam daripada Mekah dijemput mengimani solat Tarawikh di negara ini, kita bimbang amalan mereka tidak sah pula nanti," katanya.

Arab Saudi merupakan negara yang paling dikaitkan dengan fahaman Wahabisme, terutamanya oleh golongan Orientalis. Di Malaysia pula, Perlis satu-satunya negeri yang dikaitkan dengan amalan itu walaupun pemimpin dan ulamanya sering menafikannya.

Usaha Malaysiakini mendapat komen Dr Uthman dan MKN setakat ini belum berhasil.

Dr Uthman merupakan tokoh maal hijrah kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang ijazah doktor persuratan kehormat (D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu terkenal kerana kajiannya dalam bidang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pemuda Umno Akur Tuntutan Bersih 2.0 Relevan

Posted: 28 Jul 2011 12:15 AM PDT

Ditulis oleh Radzi Razak


PUTRAJAYA : Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu terus memberi impak kepada seluruh rakyat Malaysia dengan pelbagai pihak yang sebelum ini seolah-olah tidak mengakui tuntutan gabungan NGO itu, kini bersedia menimbang dan memperhalusinya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Putrajaya, Datuk Zaki Zahid mengakui penambahbaikan perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan dengan telus dan adil.

Beliau turut bersedia bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dan pihak Bersih dalam dialog umum dan terbuka serta diskusi melibatkan pihak lain dalam menuju ke arah matlamat itu.

"Ramai pengundi berdaftar di Putrajaya sendiri ada alamat sama. Kita mahu jumpa SPR mengenai hal ini.

"Pemuda Umno juga mahu daftar pemilih disemak. Malah saya setuju pendapat Saifudin (Abdullah) agar struktur SPR perlu dikaji. Hakikatnya kami mahu tapi semua ini boleh dilakukan tanpa protes jalanan," kata beliau dalam Debat Kematangan Demokrasi Malaysia anjuran Pemuda Umno Putrajaya di sini, semalam.

Selain Zaki, panelis lain ialah Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Umum Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Dr Nawwar Ariffin.

Forum ini adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan oleh Pemuda Umno yang membincangkan tentang himpunan Bersih dan tuntutan terhadap sistem demokrasi di Malaysia.

Lebih 100 hadirin dari pelbagai latar belakang hadir termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifudin Abdullah dan bersama mengikuti debat ini tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Malah Zaki turut menyatakan betapa platform seperti ini merupakan peluang bagi rakyat yang tidak berpihak kepada parti tertentu untuk menilai hujah masing-masing.

"Apa kita cuba buat malam ini ialah percambahan minda supaya boleh lihat pendapat terbaik. Ini yang penting dalam demokrasi. Penyokong Pembangkang juga boleh tengok pimpinan BN berani jawab dan berdepan," kata beliau.

Nik Nazmi yang juga ADUN Seri Setia menyambut baik program ini dan menganggap wacana dan diskusi sebegini harus diteruskan kerana mampu memberi hasil yang baik.

Malah beliau menganggap ia merupakan hikmah Himpunan Bersih 9 Julai lalu yang menunjukkan betapa rakyat Malaysia semakin matang dalam soal demokrasi.

"Rakyat sudah matang. Orang luar kata bergaduh pasal bola di luar negara lebih ganas dari himpunan Bersih. Kita tak melawan walaupun ditangkap Polis. Kita pun tahu siapa yang rempuh polis pada hari itu, bukan Bersih. Umno Putrajaya pun sudah matang, tapi pemimpin ramai yang belum matang," kata beliau.

Bukan Lagi Mustahil Tawan Putrajaya-Kit Siang

Posted: 28 Jul 2011 12:13 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Setelah menempuhi liku sepanjang kariernya sebagai ahli politik pembangkang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini berani menyatakan bahawa gagasan itu kini berada di kemuncaknya dan berada di Putrajaya bukan lagi satu perkara mustahil.

"... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Menurut Kit Siang, himpunan rakyat pada 9 Julai lalu menunjukkan bukti jelas bahawa rakyat mahukan perubahan ditambah pula dengan kepincangan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi.

"Boleh kita capainya (mengubah kerajaan)? Saya benar-benar tidak tahu tetapi dengan setiap detik masa yang berlalu, saya bertambah lebih optimistik. Sama ada mampu bagi kami melaksanakannya, adalah soalan yang berasingan tetapi (kita) menjadi lebih optimistik," kata Kit Siang.

Kit Siang merupakan seorang tokoh terkenal yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai pemimpin pembangkang.

Karier beliau bermula sebagai setiausaha agung DAP pada 1969, ketika ketegangan kaum memuncak semasa peristiwa berdarah 13 Mei yang menyaksikan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kali kedua beliau ditahan mengikut ISA adalah semasa Ops Lalang pada 1987.

Perjalanan dunia politik Kit Siang sebenarnya penuh berliku. Beliau juga didapati bersalah membocorkan rahsia rasmi kerajaan berhubung perjanjian pembelian senjata yang mencurigakan dengan sebuah firma Swistzerland.

Bagaimanapun sepanjang 70 tahun kehidupannya itu, Lim berpendapat pembangkang telah sampai kepada kemuncaknya dan perubahaan bukan satu lagi impian seperti sebelum ini.

MCA Tak Ada Pendirian, Kata DAP

Posted: 27 Jul 2011 11:39 PM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz


PETALING JAYA : DAP hari ini menggesa MCA menjelaskan pendirian mereka berhubung kerjasama parti itu dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ini berikutan protes anjuran MCA minggu lalu bersabit cadangan kerajaan Selangor membina penempatan pekerja asing di Petaling Jaya turut disertai bekas Ketua Pemuda Perkasa, Arman Azhar Abu Hanifah.

Bercakap pada sidang media hari ini, Sekretari DAP Selangor, Lau Weng San menyifatkan MCA Selangor seolah-olah hilang arah untuk membangkitkan isu bagi menentang kerajaan negeri.

Malah parti itu terpaksa menjemput sebuah organisasi ekstrimis Melayu yang sering dikritik sebelum ini untuk menghamburkan kata-kata kesat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Mereka perlu menilai semula apa yang mereka lakukan. Dalam demostrasi seperti ini mereka menjemput orang daripada pertubuhan yang mereka sendiri mengkritik. Jadi wujud percanggahan dalam pendirian mereka," kata beliau.

Lau sebelum itu menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Biro Aduan MCA Selangor, Theng Book berhubung rancangan penempatan semula warga asing di Sungai Way yang disifatkan mampu menjejaskan perniagaan rakyat tempatan di kawasan itu.

Ini kerana penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan di kawasan itu bergantung sepenuhnya kepada kuasa membeli oleh warga asing yang dianggarkan berjumlah hampir sepuluh ribu orang.

Beliau berkata projek tersebut kini hanya di peringkat cadangan dan belum dibentangkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Saya tidak faham mengapa MCA Selangor cuba menjadikan ianya isu. Mungkin mereka cuba mendapatkan sokongan politik," kata beliau.

Lau menjelaskan cadangan tersebut amat praktikal dari aspek pelaburan antarabangsa yang memerlukan tenaga kerja secukupnya bagi menjalankan aktiviti pengilangan seharian di kawasan Petaling Jaya.

Oleh yang demikian katanya, penempatan semula bagi pekerja asing mampu meningkatkan efisien dan menambahbaik produktiviti kilang dan pembinaan.

Justeru beliau menyifatkan cadangan tersebut adalah relevan disamping mampu menyelesaikan masalah penempatan haram, insfrastruktur, sampah dan lalu lintas khususnya di Sungai Way.

Lau mengambil contoh aplikasi yang sama pada cadangan pembinaan hostel di Wilayah Pembangunan Iskandar oleh Barisan Nasional (BN) yang akan menempatkan lebih daripada 200 ribu pekerja asing.

Sehubungan dengan itu Lau menggesa agar MCA mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri Selangor sebelum melemparkan sebarang tuduhan.

Video Kempen 'Udahlah Tu...Bersaralah', Sangkal Dakwaan Polis, Kerajaan

Posted: 27 Jul 2011 11:37 PM PDT

Ditulis oleh Naeem Raffie


KUALA LUMPUR : Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menayangkan video kempen "Udahlah, Bersaralah" kepada media sebagai bukti bahawa pertubuhan itu hanya menjalankan kempen kepartian dan bukannya seperti yang didakwa kerajaan sehingga menahan enam ahlinya di bawah Ordinan Darurat.

Presidennya, Dr Nasir Hashim berkata, penayangan video ini adalah satu gambaran jelas bahawa tiada isu mahupun unsur untuk mengaitkan kempen nasional anjuran parti itu dengan anasir asing mahu pun komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Ini adalah gambaran jelas bahawa kami hanya menjalankan kempen, menyebarkan risalah kepada rakyat.

"Ini juga adalah amalan biasa mana-mana parti berkempen, menyebar risalah adalah hak kami,"kata beliau.

Bercakap di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor hari ini, Nasir yang juga Adun Kota Damansara mempersoalkan kenapa kesemua tahanan masih lagi tidak dibebaskan sedangkan perkara ini jelas.

"Saya mempertikaikan kenapa tahanan tidak dibebaskan, mereka disyaki dan didakwa ada kaitan dengan Bersih dan himpunan itu telah pun berakhir, tetapi kenapa sehingga kini mereka masih lagi tidak dilepaskan,"kata beliau.

Turut hadir, Setiausaha Agungnya, S. Arutchelvan dan wakil ahli keluarga tahanan.

Pada 25 Jun lalu, polis Pulau Pinang menahan 31 anggota PSM, termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D. Jeyakumar Devaraj di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu dakwaan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Mereka kemudian ditahan semula di bawah Ordinan Darurat (EO) atas tuduhan aktiviti subversif iaitu cubaan menghidupkan semula fahaman Komunis sebelum menukar tuduhan itu kepada cuba menggerakkan fahaman itu menerusi penganjuran himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Namun, setelah peguam yang mewakili keenam- enam mereka memohon Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, alasan penahanan itu sekali lagi bertukar iaitu mereka terbabit dalam merancang himpunan aman Bersih 2.0.

Selain, Dr D Jeyakumar, mereka yang ditahan di bawah EO ialah M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu.

Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan individu ditahan tanpa bicara selama 60 hari.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata, penahanan enam ahli PSM bukan sahaja satu perkara yang tidak masuk akal malah ia secara tidak langsung memarakkan kemarahan rakyat terhadap sistem demokrasi yang disekat kerajaan pemerintah.

"Tahanan dikatakan sebagai penggerak utama himpunan Bersih, sedangkan pada sidang akhbar Bersih lalu, jelas menafikan PSM terlibat dengan pergerakan tersebut,"kata beliau.

Video selama 5 minit itu menayangkan siri perjalanan kempen "Udahlah tu.. Bersaralah" untuk fasa pertama yang bermula pada 24 hingga 26 Jun.

Kempen tersebut mensasarkan matlamat mendedahkan kepada rakyat tentang amalan rasuah yang semakin parah, jurang golongan kaya dan miskin semakin melebar, ketegangan kaum semakin teruk dan amalan demokrasi semakin tenat.

Ia juga adalah satu kempen kesedaran peringkat nasional bertujuan meminta rakyat berani bangkit membawa perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

Anwar: Dolak dalik k'jaan alasan bebaskan PSM6

Posted: 27 Jul 2011 05:00 PM PDT

MALAYSIA KINI


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap tidak konsisten dan dolak dalik kerajaan berhubung tahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat adalah alasan utama bagi membebaskan mereka.

NONEDalam satu kenyataan di blognya, alasan keenam-enam mereka yang ditahan kerana didakwa terbabit dengan aktiviti subversif sebelum bertukar pula kepada terbabit merancang perhimpunan BERSIH 2.0 adalah tidak berasas sama sekali.

"Ternyata itu merupakan helah pemerintah untuk memburuk burukkan BERSIH 2.0. semata-mata," kata Anwar.

Keenam-enam mereka adalah ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu yang ditahan mengikut EO sejak 2 Julai lalu.

Mereka yang kini dikenali sebagai PSM6 - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

NONEPermohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.

Sambil menuntut pembebasan segera keenam-enam individu yang dipercayainya mangsa "manipulasi politik", Anwar berkata perkara itu penting kerana ada kemungkinannya mereka yang ditahan itu dikasari pihak polis semasa disoal siasat.Manipulasi politik

"Kita prihatin dengan perkembangan mutakhir ini, apabila ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu hatta dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

"Adalah tidak munasabah buat polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin itu semenjak dari 15hb Julai lagi.

NONE"Tidak ada sebab untuk menghalang mereka dari bertemu kecualilah kebimbangan kita bahawa tahanan tersebut dianiaya punya asasnya," katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata sewajarnya Menteri Dalam Negeri prihatin dengan gesaan rakyat yang kini menuntut kerajaan supaya tidak bertindak sewenang wenangnya dan menyalahguna kuasa.

"Ketika perhimpunan BERSIH 2.0 itu rakyat menyaksikan ada sesegelintir dari pihak polis bertindak keterlaluan dan melampaui batas.

"Kita tidak mahu tugas pasukan polis, iaitu untuk melindungi keselamatan orang awam terjejas akibat manipulasi politik pemerintah," katanya.

NONEJusteru, kata Anwar yang juga ketua umum PKR, Pakatan Rakyat beriltizam meningkatkan kempen di seluruh negara, demi menerangkan kepada rakyat, kezaliman kerajaan yang bukan sahaja terhadap enam individu itu tetapi juga terhadap seluruh mangsa tahanan tanpa bicara seumpama yang terkandung dalam Ordinan Darurat.

"Undang-undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah," katanya.

Zaid Ibrahim: Amanah mesti jelas niatnya

Posted: 27 Jul 2011 04:49 PM PDT



MALAYSIA KINI

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim memohon kepada ahli parlimen Gua Musang supaya jelas dengan rancangan dan niat penubuhan NGO barunya, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

"Saya lebih suka Tengku Razaleigh lebih tegas dan berterus terang mengenai rancangannya. Di negara ini, tidak ada jalan tengah dan pada masa yang sama mengharapkan impak pada pilihan raya," kata Zaid yang mengulas pelancaran Amanah Jumaat lalu.

"Ini perlu, khususnya jika kita melihat dari segi transformasi politik. Seseorang itu sama ada bersama BN atau Pakatan Rakyat," kata Zaid yang pernah berada di kedua-dua pihak.

NONEAmanah dilancarkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 22 Julai.

Meskipun terdapat spekulasi bahawa Amanah akan menjadi platform Tengku Razaleigh untuk menjadi perdana menteri yang akan datang dan memastikan dirinya terus relevan berikutan pengaruhnya di Umno yang semakin merosot, Zaid berpendapat tindakan Amanah adalah "setulus hati".

"Saya lebih condong melihat tindakan Amanah sebagai penganjur adalah luhur, mulia dan ikhlas. Mereka mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak mengketepikan prinsip-prinsip di mana negara ini diasaskan," katanya.

Ambiga-Wan Ahmad bersemuka lagi Jumaat ini

Posted: 27 Jul 2011 04:36 PM PDT

MALAYSIA KINI


Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar akan bersemuka sekali lagi Jumaat ini untuk berhujah sama ada sistem pilihan raya Malaysia perlukan pembaharuan.

Kedua-dua mereka telah mengesahkan kehadiran masing-masing di forum "undang-undang pilihan raya, SPR & reformasi pilihan raya" anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) di Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Ahli jawatankuasa Proham, Datuk Dennison Jayasooria memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-duanya telah memaklumkan kepada beliau mengenai kehadiran mereka di forum tersebut.

"Bagaimanapun, kita akan memfokuskan kepada topik yang berlainan daripada ceramah semalam,' katanya.

NONEAmbiga dan Wan Ahmad bertembung dalam ceramah di Shah
Alam semalam anjuran Kumpulan Karangkraf, kumpulan media yang menerbitkan akhbar harian bahasa Melayu, Sinar Harian dan kumpulan majalah popular.

Bagaimanapun, Jayasooria berkata, hadirin di ceramah Jumaat ini adalah "berbeza sama sekali" dan ahli panelnya termasuk peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean. Moderatornya ialah Tan Sri Ramon Navaratnam dari Proham.

Tiada ulasan: