Rabu, 20 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Juham kaji tindakan keganasan polis pada Tiong Huat

Posted: 20 Jul 2011 07:24 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengkaji setiap sudut berkaitan keganasan pihak polis terhadap seorang lelaki berketurunan Cina dari Sarawak, Hii Tiong Huat, 59, yang ditahan polis sempena perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Sepanjang berada dalam tahanan polis, Hii Tiong Huat didakwa telah dikasari oleh pihak polis dengan pelbagai perlakuan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan beliau pengsan.

Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, kajian tersebut akan dibuat bersama laporan-laporan lain bagi membolehkan Juham mengambil tindakan lebih lanjut berhubung keganasan pihak polis.

Menurut beliau, ia juga adalah lanjutan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyarankan agar setiap pihak yang menjadi mangsa keganasan polis tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan masing-masing.

Katanya, kes yang berlaku ke atas Tiong Huat ternyata merupakan sebahagian daripada keganasan polis terhadap orang awam, khususnya para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

"Tindakan keganasan polis terhadap Tiong Huat sememangnya tidak boleh dinafikan lagi oleh setiap pihak, malah Tiong Huat sendiri telah pun membuat laporan polis akibat keganasan polis yang berlaku ke atas beliau," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tiong Huat, menurut beliau, bukan ditahan pada hari perhimpunan, malah sehari sebelum perhimpunan itu diadakan hanya disebabkan beliau memakai baju kuning, tetapi bukan baju kuning Bersih 2.0.

"Beliau ditahan di Balai Polis Dang Wangi. Ketika ditahan di Dang Wangi, beliau telah dipukul oleh pihak polis. Selepas itu, beliau ditahan reman pula selama 4 hari di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Semasa ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil, Tiong Huat dipukul lagi sehingga pengsan, manakala wangnya pula turut hilang ketika berada dalam tahanan polis," katanya.

Akibatnya, jelasnya, Tiong Huat terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

"KDN kata polis tak ganas dalam menangani perhimpunan itu. Tapi kes yang berlaku ke atas Tiong Huat itu, belum berhimpun pun dah ditangkap dan dikasari pula oleh pihak polis.

"Pada hal sebelum itu, pihak polis juga berkata, tidak salah pakai baju kuning, tetapi yang salah hanya pakai baju kuning Bersih 2.0. Tiong Huat pula tak pakai baju kuning Bersih 2.0. Dia hanya memakai baju kuning. Kenapa dia ditangkap?

"Selain itu, Tiong Huat ternyata dikasari oleh pihak polis semasa berada dalam tahanan polis. Dia dipukul, ditampar di muka, ditendang, malah sehingga pengsan. Tidakkah semua yang berlaku ke atas Tiong Huat itu antara bukti nyata keganasan pihak polis?" katanya.

Sementara itu, Hii Tiong Huat ketika ditemui menjelaskan, laporan berhubung keganasan pihak polis terhadap beliau telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Cheras pada 13 Julai lalu jam 1.28 tengah hari.

Dalam laporan itu, beliau berkata, pada jam 3.00 petang 9 Julai lalu, beliau telah dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana memakai baju kuning, setelah ditangkap pada 8 Julai di Petaling Street, di sini.

Menurutnya, semasa proses tukar baju di Pusat Tahanan Bukit Jalil, seorang anggota polis dengan kasar telah menyuruh beliau memasukkan seluar dan barang-barangnya ke dalam beg plastik yang dibekalkan kepadanya.

Katanya, beliau ingin senarai barang-barangnya direkodkan, tetapi anggota polis yang bertugas dengan marah mengatakan kepada beliau supaya jangan bising dan telah menampar mukanya beberapa kali sehingga cermin matanya rosak dan beliau tidak sedarkan diri.

"Kemudian saya telah memasukkan seluar saya yang berisi duit lebih kurang RM300.00, jam tangan, rantai jed, buku kecil dan seluar dalam ke tempat simpanan.

"Selepas itu, saya dimasukkan ke blok A Pusat Tahanan Bukit Jalil, tetapi saya tidak dapat tidur semasa berada di Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana ada orang yang ditempatkan dalam sel lokap saya 15 orang, manakala kelulasan sel lokap pada andaian saya hanya 18 kaki panjang," katanya.

Ketika dalam tahanan di pusat tahanan itu, dakwanya, beliau tidak dibekalkan dengan berus gigi, kain tuala, makan tidak cukup dan tiada sabun badan.

"Pada jam 11.00 pagi 12 Julai, saya dibawa ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan pada jam 6.00 petang 12 Julai. Pada jam 11.00 pagi 13 Julai, saya datang semula ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk mendapatkan kembali barang-barang saya.

"Tetapi saya dapati wang yang disimpan di dalam poket seluar saya hanya tinggal RM172.00 bersama barang-barang saya yang lain yang berada di dalam beg plastik yang disimpan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Saya percaya duit saya telah diambil oleh anggota polis yang menampar saya pada hari saya dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana anggota polis tersebut tidak merekodkan duit dan barang-barang saya yang disimpan dan saya cam anggota polis tersebut.

"Dengan ini, saya tidak puas hati dan mahu pihak polis menjalankan siasatan," katanya.

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya

Posted: 20 Jul 2011 07:16 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

"Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih," kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu.

Pengguna Touch ‘n’ Go boleh tebus rebat tol dua kali sebulan

Posted: 20 Jul 2011 07:15 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Pengguna-pengguna kad Touch 'n' Go boleh menebus rebat tol sebanyak dua kali sebulan iaitu setiap 5 hingga 15 haribulan dan dari 23 haribulan hingga hujung bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch and Go Sdn Bhd Hasni Zarina Mohamed Khan berkata melalui Program Pengguna Kerap 1Malaysia itu, pengguna lebuh raya yang membayar tol menggunakan kad Touch 'n' Go layak mendapat penebusan rebat tol sebanyak 20 peratus dengan penggunaan minimum 80 kali sebulan.

"Langkah penjadualan semula ini bertujuan memudahkan fasa pemprosesan sejumlah besar data transaksi Touch 'n' Go yang diterima, bagi mengira jumlah rebat yang layak dituntut oleh pengguna.

"Ini penting bagi memastikan peningkatan dalam jumlah transaksi tidak mengganggu proses penebusan rebat oleh para pengguna," katanya dipetik laporan Bernama Online.

Beliau berkata semua jenis kad Touch 'n' Go yang memenuhi syarat penggunaan minimum layak untuk menerima rebat tersebut termasuk kad kredit Zing Touch 'n' Go, namun pengguna kad Biz Xs dan Fleet Xs tidak layak berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor mengumumkan seramai 163,000 pengguna kad Touch 'n' Go yang berdaftar layak untuk menuntut rebat tol sejumlah RM111 juta melalui program itu.

Pengguna yang layak boleh menebus rebat mereka di Pusat Khidmat Pelanggan Touch 'n' Go di plaza tol terpilih di seluruh Malaysia, Hub-hub Touch 'n Go dan juga kaunter Touch 'n Go SPOT.

Pengguna boleh menghubungi Touch 'n' Go Careline di 03-7628 5115 atau layari laman sesawang www.touchngo.com.my untuk maklumat lanjut.

Tiga saman kerajaan Kelantan haramkan judi

Posted: 20 Jul 2011 07:10 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ─ Dua ahli perniagaan dan seorang individu menyaman kerajaan PAS Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) berhubung pengharaman aktiviti perjudian di negeri itu yang berkuat kuasa Februari lalu.

Saman pemula itu difailkan oleh Wong Meng Yit, 47, dan Lee Khim Haw@Lee Khim Hwa, 58, kedua-duanya ahli perniagaan serta Gan Han Chuan, 44, di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Jun lepas.

Menurut laporan Bernama Online, ketiga-tiga plaintif diwakili peguam Lee Kien Han dan peguam Rueben Mathiavaranam manakala kerajaan negeri Kelantan diwakili Penasihat Undang-undang Negeri dan MPKB diwakili oleh sebuah firma guaman.

Dalam saman pemula itu, ketiga-tiga plaintif memohon satu deklarasi bahawa kerajaan negeri Kelantan, tidak berkuasa untuk mengeluarkan arahan atau polisi bagi meluluskan atau menggubal apa-apa enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri di negeri itu.

Mereka juga memohon satu deklarasi bahawa perkara-perkara mengenai perjudian dan loteri adalah dalam bidang kuasa eksklusif Parlimen yang mengecualikan badan perundangan negeri Kelantan.

Plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan atau menggubal apa-apa undang-undang serta undang-undang kecil, peraturan, arahan atau polisi yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.

Mereka menuntut ganti rugi am, kos bagi tindakan dan perintah lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Lee, yang ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini berkata bahawa mahkamah telah menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas 1 di sini, katanya.

Simulasi PRU-13 Umno juga kenal pasti nama calon, kata SU Agung

Posted: 20 Jul 2011 07:02 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Simulasi pilihan raya yang dijalankan di semua bahagian Umno berjalan lancar, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Simulasi pilihan raya diadakan atas arahan Majlis Tertinggi Umno pada 27 Mei, yang memutuskan ia hendaklah diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Tidak ada simulasi di peringkat pusat atau di ibu pejabat Umno, kita cuma adakan di bahagian-bahagian," katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Menurut Tengku Adnan, dalam proses simulasi itu, bahagian-bahagian telah memilih, mengenal pasti nama-nama pengundi, nama-nama calon dan jawatankuasa pilihan raya parti supaya proses berkenaan dapat diadakan selancarnya.

Beliau juga berkata semua 191 bahagian Umno juga sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.

Tengku Adnan berkata ibu pejabat Umno sedang membuat persediaan bagi Perhimpunan Agung Umno yang dijangka diadakan pada 29 atau 30 Oktober hingga 3 November.

Umno sebelum ini memutuskan supaya pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan diadakan pada tahun ini ditangguhkan selama 18 bulan.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik yang bertujuan memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Pengarah Ikim: Kalimah Allah Islam, ‘allah’ Kristian tidak sama

Posted: 20 Jul 2011 07:01 AM PDT



KUALA LUMPUR — Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Mohd Sani Badron menegaskan penyalahgunaan kalimah "Allah" dalam kitab Injil Bahasa Melayu harus digugurkan kerana ia menggambarkan "Allah" dalam pelbagai bentuk.

Kata Mohd Sani, penterjemahan kitab Injil itu atau Alkitab turut menggunakan istilah "Allah" sebagai "allah" sebagai terjemahan yang salah dan boleh mengelirukan.

Polemik isu penggunaan istilah "Allah" kembali ekoran tindakan Putrajaya menahan mengeluarkan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Kuching dan Pelabuhan Klang, sejak 2009.

Bagaimanapun Alkitab dilepaskan selepas pelbagai pihak mendesak Putrajaya berbuat demikian.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Pope Benedict XVI.

"Terjemahan itu ('God' kepada Allah) sangat tidak betul, ia sepatutnya perlu diterjemahkan dengan betul... kita terjemahkan bukan terjemah perkataan, tapi maknanya dan kalau maknanya tidak tepat ia salah.

"Maknanya, istilah yang tepat kepada perkataan 'God' itu adalah Tuhan dan perkataan 'Lord' juga adalah Tuhan, bukan Allah," katanya kepada The Malaysian Insider selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Kontroversi Nama Khas Allah Dalam Konteks Pluralisme Agama" pada Seminar al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan.

Terdahulu dalam membentangkan kertas kerjanya, Mohd Sani menegaskan istilah "allah" dalam Alkitab telah digunakan "dalam bentuk jamak" dan "kepada banyak perkara".

Jelas beliau, tindakan Kristian menggunakan kalimah "Allah" dalam bentuk jamak dan kepada banyak perkara telah mencemarkan perkataan yang ekslusif bagi Tuhan Yang Maha Esa.

"Dalam Alkitab, pertamanya 'allah' digunakan dalam bentuk ramai iaitu 'para allah' yang digunakan kepada makhluk-makhluk syurga seperti yang tertulis dalam kitab itu 'Allah berdiri di sidang ilahi di antara para allah Ia menghakimi'.

"Kedua 'Allah' digunakan kepada ramai manusia seperti ayat 'Aku sendiri telah berfirman: Kamu adalah allah dan anak-anak Yang Maha Tinggi kamu sekalian.'

"Ketiga 'allah' digunakan dalam bentuk banyak untuk berhala seperti 'Sebab segala allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi Tuhanlah yang menjadikan langit'," kata Mohd Sani yang turut mengkaji contoh-contoh ayat berkenaan dalam terjemahan Alkitab.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata "keempat, 'allah' dan 'Allah' digunakan kepada patung berhala lembu."

"Istilah sama digunakan kepada Tuhan dan bukan Tuhan seperti 'Bersyukurlah kepada Allah segala allah', 'Sebab Tuhan, Allahmulah Allah segala allah dan Tuhan segala tuhan.'

"Selain itu istilah Allah juga disamakan dengan Yesus (Jesus) yang juga seorang manusia seperti 'Yesus Kristus, yaitu Allah Mahabesar', 'Yesus Kristus: pada dasarnya Ia sama dengan Allah'.

"Ketujuh 'Allah' digunakan tidak lebih daripada sekadar sebagai sifat yang mencirikan seseorang dan kelapan 'allah' digunakan kepada semua benda yang dipuja," katanya.

Menurut Mohd Sani, penggunaan istilah "Allah" dalam Alkitab telah digunakan secara "berbelit-belit" dengan maknanya yang bertentangan.

"Kesan, akibat dan pengaruh dari keadaan ini wajib diambil kira dengan cermat sebelum kerajaan dan masyarakat memperhitungkan langkah seterusnya.

"Membuka ruang kepada penyalahgunaan istilah 'Allah' merupakan satu kebiadaban yang amat sangat terhadap makna kalimah 'Allah' dan satu perkosaan kepada bahasa Melayu, alasan bahawa ada dua ejaan iaitu 'allah' dan 'Allah' adalah alasan yang tidak memadai," katanya.

Justeru beliau percaya isu yang berlarutan sehingga sekarang merupakan isu provokatif yang terancang untuk membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Istilah 'Allah' adalah istilah yang dihormati oleh orang Islam dan dengan tindakan membawanya ke mahkamah dan menyebarkan persepsi Islam suka menindas, ia sudah tentu akan membangkitkan kemarahan masyarakat Islam.

Pakatan selesai pembahagian kerusi hujung bulan

Posted: 20 Jul 2011 07:00 AM PDT


KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pakatan Rakyat yakin pembahagian kerusi pilihan raya - kedua-dua peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara PKR, PAS dan DAP akan dimuktamadkan hujung bulan ini sebagai persiapan pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu telah dibincangkan dalam sesi pemukiman kepimpinan parti perikatan itu semalam - di mana pemimpin Pakatan Rakyat mengatakan peruntukan kerusi akan dibuat secara rundingan secepat mungkin bagi mengelakkan konflik antara mereka.

"Peruntukan kerusi dibincangkan secara umum, tidak secara terperinci... kami mahu selesaikan ia hujung bulan ini. Sebaiknya kami mahu ia (rundingan kerusi) diselesaikan di peringkat negeri," kata pemimpin DAP Zairil Khir Johari kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ini berkata pemimpin Pakatan Rakyat semalam telah bersetuju peruntukan kerusi itu akan dibuat dengan elok bagi mengelakkan konflik yang berlaku dalam isu pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu.

"Jika kami mampu menyelesaikan rundingan kerusi, kami boleh elakkan situasi seperti di Sarawak," kata Zairil.

Sebelum ini kelihatan PKR dan DAP cuba mendapatkan beberapa kerusi penting yang menyebabkan perbalahan antara kedua-dua pemimpin parti itu,

"Saya rasa dalam soal kerusi Parlimen ia tidak banyak masalah tapi kerusi negeri berbeza. Kepimpinan negeri sering mempunyai pandangan yang berbeza tentang kawasan mana parti harus bertanding.

"Jadi jika pembahagian kerusi selesai, kemudian kami boleh putuskan siapa calon yang akan bertanding," tambah Zairil.

Difahamkan PAS mahu bertanding di kerusi Parlimen "lompat" yang dimenangi PKR sejak pilihan raya umum 2008.

Umno juga telah mengumumkan akan menawan kembali kerusi PKR yang dilihat lemah dalam Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR mendapat kemenangan terbesar di Parlimen dengan 31 kerusi, yang mana Pakatan Rakyat menang di lima negeri dan 82 kerusi Parlimen. PAS 23 kerusi Parlimen.

Tarikh baharui lesen ikut hari jadi belum muktamad

Posted: 20 Jul 2011 06:57 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA– Pembaharuan lesen memandu mengikut tarikh lahir pemegang lesen dijangka dapat dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Kong (gambar), yang tidak meletakkan sebarang tarikh tertentu bagi pelaksanaannya, berkata bahagian teknologi maklumat kementerian itu sedang giat melakukan beberapa penyelarasan.

Mengikut laporan Bernama Online, beliau meminta orang ramai tidak berebut-rebut untuk memperbaharui lesen memandu mereka apabila tarikh tamat lesen diselaraskan dengan tarikh lahir mereka kelak.

"Mereka hanya perlu memperbaharui lesen memandu mereka apabila lesen memandu tamat tempoh dan bukannya apabila tarikh lahir mereka tiba," katanya.

Sebagai contoh, katanya, mereka yang akan menyambut hari lahir pada Mei tahun depan tetapi lesen memandu akan tamat tempoh sah laku pada Januari, mereka perlu memperbaharui lesen pada Januari tetapi tarikh tamat lesen akan diletakkan pada Mei.

"Tempoh empat bulan yang diberikan itu adalah percuma. Bayaran hanya dikenakan RM30 jika ingin memperbaharui lesen untuk tempoh setahun," katanya.

Bagi mereka yang tarikh lahirnya melebihi enam bulan dari tarikh lesen memandu tamat tempoh pula mereka akan dikenakan bayaran tambahan 50 peratus iaitu RM15.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, terdapat 2.2 juta daripada 11.8 juta pemegang lesen tidak aktif atau tidak memperbaharui lesen memandu mereka.

"Kebanyakan pemandu memberikan alasan sukar mengingati tarikh tamat tempoh lesen memandu masing-masing khususnya yang memperbaharui bagi tempoh yang panjang iaitu tiga hingga lima tahun.

"Pemegang lesen memandu dalam cip MyKad yang tidak dipaparkan maklumat tarikh tamat pada permukaan MyKad turut menyebabkan pemandu sering memandu semasa lesen sudah tamat tempoh dan akhirnya dikenakan tindakan saman," katanya.

Kong berkata langkah itu tidak akan memberi orang ramai alasan untuk tidak mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu mereka.

"Anda pasti tidak akan lupa tarikh lahir anda sendiri," katanya.

Rekod JPJ juga menunjukkan, trend memperbaharui lesen memandu ialah 47 peratus (2.7 juta orang) memperbaharui untuk tempoh setahun; 31 peratus (1.8 juta orang) tempoh dua tahun; 18 peratus (1.1 juta) bagi tempoh tiga tahun, dan lima peratus atau 265,264 orang bagi tempoh lima tahun.

Kes Sarbaini: Peguam mahu buat laporan polis, dakwa tulisan Raja Petra ada asas

Posted: 20 Jul 2011 06:51 AM PDT


KUALA LUMPUR– Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini (gambar) membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

"Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

"Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

"Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian," kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

"Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

"Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku," tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

"Di sana, Sarbaini telah 'didera' secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

"Mohd Fauzi juga mengatakan 'orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain', terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

"Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia," dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Saring Maklumat Bukti Malaysia Masih Mundur, Terkebelakang-IDEAS

Posted: 20 Jul 2011 06:48 AM PDT

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan membidas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melakukan tapisan ke atas artikel dari majalah antarabangsa The Enonomist berhubung himpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Menyifatkan ia sebagai tindakan terkebelakang dalam dunia moden pada hari ini, Wan Saiful berkata adalah tidak masuk akal sama sekali untuk KDN menghitamkan beberapa ayat dalam laporan itu meskipun KDN meminta kebenaran dari majalah itu sekali pun.

"Saya rasa sama ada The Economist setuju atau tidak bagi saya itu tak relevan. Saya rasa amat malang dalam keadaan dunia yang makin maju sekarang ini, kita masih lagi guna cara untuk sunting pandangan atau laporan yang disiarkan, lebih-lebih lagi dalam dunia internet sekarang,"kata beliau kepada Tv Selangor.

The Enonomist hari ini memberitahu pihaknya akan menyiasat tapisan yang dilakukan oleh KDN.

Kementerian itu telah menghitamkan beberapa bahagian dalam laporan majalah antarabangsa yang berpangkalan di London itu pada edisi 16 Julai berhubung perhimpunan Bersih 2.0.

Laporan, 'Political affray in Malaysia: Taken to the cleaners',menunjukkan beberapa ayat dihitamkan dengan pen penanda berdakwat kekal, namun keratan itu masih boleh didapati di internet.

Antara maklumat yang dipadamkan ialah mengenai kematian seorang peserta himpunan Bersih, Baharuddin Ahmad akibat sakit jantung.

Melihat kepada senario itu, Wan Saiful berkata, akta penapisan sudah tidak munasabah dan terpakai lagi memandangkan artikel berkenaan tidak mengandungi unsur yang memudaratkan ketenteraman awam, mengancam keselamatan negara dan menggugat kesejahteraan rakyat.

"Perbuatan penapisan, awal-awal lagi saya rasa memang satu perkara yang tak patut berlaku. Akta penapisan seperti ini perlu dihentikan.

"Dari segi moral dengan dunia sudah maju sekarang ini, walaupun undang-undang membolehkan perkara tersebut tetapi perkara itu (penapisan) tidak patut dipertahankan lagi dalam situasi ini,"tambah beliau lagi.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN Abd Aziz Md Nor sebelum ini mendakwa tindakan kerajaan menapis sebahagian daripada artikel itu adalah kerana laporan itu tidak tepat dan mengelirukan.

Namun ayat-ayat yang dihitamkan lebih menjurus ke arah salah laku dan keganasan polis pada hari kejadian.

Antara ayat-ayat yang dihitamkan itu adalah:

* 'seorang lelaki mati akibat sakit jantung' (and one man died of a heart attack), pada perenggan pertama.

* 'Perarakan itu kemudiannya diharamkan, meskipun pihak berkuasa menawarkan sebuah stadium untuk berhimpun - tetapi menarik balik tawaran itu' (The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in - and then withdrew the offer') pada perenggan kedua.

* 'Taktik polis mencetuskan kemarahan; kerajaan akur menjalankan siasatan rasmi berhubung dakwaan keganasan polis. Dalam satu kejadian (sempat dirakamkan dalam filem) polis seolah-olah dilihat menembak gas pemedih mata dan memancutkan meriam air ke arah peserta himpunan yang berlindung daripada serangan belantan' (The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality. In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge), pada perenggan keempat.

Keganasan Polis : Pengawal Peribadi Anwar Buat Laporan

Posted: 20 Jul 2011 06:47 AM PDT

Ditulis oleh Naeem Raffie


KUALA LUMPUR : Tindakan polis menghalakan tembakan gas pemedih mata tepat menuju ke arah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah cubaan terbaru untuk membunuh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, ia merujuk kepada tindakan polis menyerang menggunakan tembakan gas pemedih mata secara terus ke terowong dekat KL Sentral 9 Julai lalu.

Menurut beliau, insiden itu sudah dirancang lebih awal oleh pasukan polis untuk mencederakan Anwar, termasuk mendatangkan kematian.

"Tembakan kanister itu memang sengaja dihalakan ke arah Anwar dan tindakan pantas Fayyadh (Afiq Al Bakqry) menarik tangan Anwar di terowong itu berjaya menyelamatkan ketua umum itu. Namun malangnya, Fayyadh pula yang cedera," katanya.

Surendran menjelaskan hal itu pada sidang media selepas bersama-sama pengawal peribadi Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berikutan kecederaan serius yang dialami beliau dalam cubaan polis menyuraikan orang awam pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Menurut peguam hak asasi manusia itu, cubaan membunuh itu susulan dari beberapa insiden seperti sabotaj kereta yang dinaiki isteri pemimpin pembangkang itu, ancaman terhadap cucu beliau dan kes cubaan membunuh membabitkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor pada 1998.

"Apa sudah jadi dengan semua laporan polis yang kita buat? Sebab itu kita percaya insiden ini satu lagi cubaan membunuh Anwar dan kita menuntut siasatan segera," tegasnya.

Turut hadir ketika laporan polis dibuat peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman Keadilan, Latheefa koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, polis harus menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes ini memandangkan ia adalah bentuk salah guna kuasa yang serius.

" Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam,"kata beliau.

Pada hari kejadian, Fayyadh cedera teruk di muka apabila hampir keseluruhan tulang pipi kirinya retak akibat tembakan kanister yang dilepaskan menghala ke arah Ketua Pembangkang.

Beliau yang bertindak mahu menyelamatkan ahli parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun terkena kanister itu.

Akibat dari itu, lima plat titanium dimasukkan ke dalam tulang pipi beliau.

Oleh itu, pihaknya menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

" Polis langgar prosuder ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam,dan tembak
tanpa memberi arahan,"kata beliau.

" Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam,"tambah beliau lagi.

Ku Li : Kerajaan Wajar Timbang Tuntutan Bersih 2.0

Posted: 20 Jul 2011 06:46 AM PDT

TVS NEWS


SHAH ALAM : Tokoh Umno Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi "melawan arus" pendirian kepimpinan Umno, apabila menzahirkan sokongannya terhadap tuntutan Bersih 2.0 mahukan pilihanraya adil dan telus.
Bekas Menteri Kewangan itu menyifatkan desakan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai sesuatu yang harus diberi pertimbangan wajar demi menyuburkan demokrasi.
"Sebagai seorang demokrat yang melihat kepada keadaan ini dan UMNO sendiri juga menjanjikan supaya demokrasi dipertahankan dalam negara kita, wajar kita timbang semua tuntutan yang dibuat (oleh Bersih)," kata Tengku Razaleigh kepada pemberita.

Pendirian Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu dijangka menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno, khususnya di peringkat Majlis Tertinggi parti.

Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno mengisyhtiarkan Bersih sebuah pertubuhan haram.

Lebih 1,600 orang yang menyertai perhimpunan aman itu pada 9 Julai lalu ditangkap manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan air berkimia.

Ku Li berkata lapan tuntutan Bersih yang termasuk kempen minima pilihanraya selama 21 hari bukanlah keterlaluan.

"Tujuan (Bersih) supaya perjalanan pilihan raya dilakukan secara adil dan bersih, terbuka, supaya rakyat turun mengundi mana-mana calon pilihan mereka, dapat berbuat demikian tanpa ugutan, tanpa sebarang perasaan tak puas hati selepas itu," kata beliau.
"Tuntutan yang dibuat oleh mereka ini…ialah supaya kempen pilihan raya dilanjutkan sedikit, bukan 7 hari. kalau 7-8 hari tak sempat orang-orang nak berkempen.
"Saya boleh menerima pendapat ini. Misalnya kalau kita datang dari Kelantan nak tolong kempen di Sabah ataupun di pedalaman Sarawak, tak sempat nak balik, apatah lagi perjalanan sukar ke tempat-tempat yang dihajati untuk melawat," tambah beliau yang juga bekas naib presiden Umno.
"Jadi untuk berlaku adil supaya rakyat yang berada di kawasan seumpama itu mendengar penerangan daripada pihak yang menawar khidmat dalam pilihan raya berkesempatan mendengar penerangan penerangan mereka dengan memberi masa yang lebih lanjut. Kalau 7 hari tak sempat, macam mana nak kata adil?," ujar beliau.
Ku Li berkata pemerintah harus mengakui kekangan-kekangan yang dihadapi oleh parti pembangkang ketika pilihanraya.
"Mereka (pembangkang) tidak berhak bercakap menerusi TV, radio. Sebab itu mereka buat juga tuntutan semua pihak dibenar masa yang sama untuk menyampai pandangan dan pendapatan mereka mengenai sesuatu hal kepada rakyat menerusi TV, media masa yang dikawal oleh kerajaan," jelas beliau.
"Dulu zaman Tengku dulu, samada pemerintah ataupun parti lawan, bergantung kepada jumlah kerusi yang kita bertanding dan jumlah undi yang diperolehi sebelum ini, jadi kita diberi masa untuk bercakap," tambahnya. .
Ku Li berkata peredaran masa dan perubahan teknoloji memerlukan Umno-Barisan Nasional lebih peka kepada realiti politik semasa.
Beliau berkata tindakan menafikan parti pembangkang ruang di media arus perdana akan hanya memakan diri pemerintah.
"Dulu zaman Tunku Abdul Rahman, samada pemerintah ataupun parti lawan, bergantung kepada jumlah kerusi yang kita bertanding dan jumlah undi yang diperolehi sebelum ini, kita diberi masa untuk bercakap," di dalam media, kata beliau.
"Saya tak boleh cari sebab mengapa (pembangkang) tak boleh dibenarkan sekarang, sebab kalau tak dibenar pun mereka boleh guna internet, emel, facebook macam-macam," kata Ku Li.
"Keadaan sudah berubah. Namun untuk nak berlaku adil kepada semua pihak, saya rasa elok diberi layanan yang sama kepada semua pihak yang menawar diri untuk bertanding dalam pilihan raya," tegas beliau.

Amizudin: Saya tetap lawan, tak terkejut arah bayar Rais RM400,000

Posted: 19 Jul 2011 11:41 PM PDT


KUALA LUMPUR— Amizudin Ahmat yang semalam diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu, sebaliknya menegaskan akan "terus lawan."

"Saya akan terus lawan. Saya akan meneruskan perjuangan... akan membuat rayuan," kata Amizudin ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

"Sebenarnya saya tidak terkejut dengan keputusan ini... jumlah RM400,000 yang diarah dibayar pak menteri (kepada Rais)," kata beliau.

Pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com ini menambah, keputusan mahkamah mengarahkannya membayar RM400,000 juga tidak akan menghalangnya daripada terus menyiarkan tulisan-tulisan kritikal mengenai pemimpin-pemimpin kerajaan.

"Saya akan terus menulis. Tindakan pak menteri hanya mahu menakut-nakutkan blogger Pakatan Rakyat, saya tidak akan patah semangat," katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan beliau sudah berbincang dengan peguamnya untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah semalam.

Rayuan dijangka difailka hari ini ataupun esok.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Amizudin membayar ganti rugi RM300,000 kepada Rais. Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada atau sekitar 28 Disember lalu.

Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala Amizudin diwakili peguam William Leong.

Dalam komen disiarkan di blognya, Amizudin berkata, "sebenarnya kalah sebab gagal bawa saksi Migrant Care dan Robengah ke mahkamah dan semua tahu bahawa laporan yang menuduh pak menteri rogol itu adalah laporan tiga muka surat Migrant Care."

"'Sharpshooter' diberi pilihan sebelum perbicaraan pada Isnin 4 Julai 2011 lalu untuk mohon maaf secara terbuka kepada Rais Yatim, namun 'sharpshooter' tolak pilihan tersebut kerana sudah pasti jika 'sharpshooter' mohon maaf secara terbuka... akan ada tuduhan 'berapa ribu sharpshooter terima duit daripada Rais Yatim untuk minta maaf'."

"Walau bagaimanapun 'sharpshooter' akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat setelah berbincang dengan peguam di Pulau Pinang. Lawan tetap lawan," katanya.

Menurut laporan media semalam, dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof berkata, setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Katanya, fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan sahaja reputasi Rais akan terjejas di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga.

Zabariah berkata bahawa dalam menetapkan jumlah ganti rugi itu, mahkamah mendapati tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan.

"Apa yang jelas ialah defendan ini berada dalam kem politik yang berlainan," katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata fitnah itu melibatkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini merupakan satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

Malah menurut Zabariah, tuduhan itu juga tidak sihat daripada segi hubungan diplomatik dan ia menambah lagi kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes warga negara berkenaan didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Katanya artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja termasuk di luar negara.

Zabariah berkata bahawa daripada keterangan yang ada, perbuatan Amizudin mengeluarkan artikel itu dahulu sebelum memastikan kesahihannya, merupakan satu tindakan yang cuai.

"Ini jelas daripada keterangannya bahawa dia telah pergi ke Jakarta untuk menyiasat hanya selepas dia mengeluarkan artikel itu dalam blognya. Dia berada di sana selama tiga hari dan gagal mendapatkan pengesahan terhadap dakwaannya itu daripada wanita yang dikatakan mangsa," katanya.

Selepas itu Amizudin tidak lagi mengambil apa-apa tindakan dan ini menunjukkan bahawa dia tidak kisah tentang kesahihan artikelnya terhadap Rais, kata Zabariah lagi.

Tukar jantina: Ashraf ‘rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik’

Posted: 19 Jul 2011 11:39 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Gambar fail, Mohd Ashraf Hafiz (kanan) menutup mukanya sebaik menyedari kehadiran media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mei lalu. — Foto ihsan Sinar Harian


KUALA LUMPUR — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang gagal menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana selepas ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya.

Bagaimanapun kata Ashraf, 25, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hasratnya itu.

Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak, Ashraf yang lebih mesra dipanggil "Aleesha" berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, dia rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik.

"Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi.

"Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman," katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Ashraf, yang ditemui di Kuala Terengganu, membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Menceritakan punca permohonannya ditolak, dia mengakui tidak mendapat bantuan perundangan yang kukuh ketika mengemukakan permohonan.

Malah katanya, ketika peguam Horley Isaacs menawarkan diri membantu, pendengaran kes itu sudah sampai penghujung.

Berkongsi kesedihan ditanggung anaknya itu, menurut laporan Berita Harian juga, ibu Ashraf yang mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata masyarakat mudah melemparkan cacian kepada keluarganya tanpa memahami perasaan mereka.

Mak Yah dari Kampung Telaga Daing di sini, berkata sejak kes anaknya dilaporkan media, dia dan suami, Abdul Aziz mendapat kritikan dan cemuhan masyarakat yang melabelkan mereka ibu bapa tidak bertanggungjawab.

"Hinaan itu sangat pedih, seolah-olah kami membelakangkan Allah dengan menyokong keputusan Ashraf membuat pembedahan menukar jantina," katanya sambil mengesat air mata dengan kain tudungnya.

Mak Yah berkata, walaupun ciri kewanitaan Ashraf dikesan sejak bayi, mereka tetap terkejut apabila mengetahui anak lelaki sulungnya itu membuat pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009.

"Ketika pembedahan itu, kami menunaikan haji di Mekah. Dia tidak pernah memberitahu ujian perubatan dan penilaian paras hormon yang dibuatnya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur dua tahun sebelum itu.

"Disebabkan marah dan sedih dengan perbuatannya itu, kami menghalaunya dari rumah dan membakar semua baju perempuan, tetapi kami tahu dia yang bertukar menjadi perempuan selalu pulang ke rumah dan hanya tidur dalam kereta," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas anggota tentera berkata, beliau selalu menekankan aspek disiplin kepada anaknya, tetapi buntu mencari jawapan masalah dihadapi Ashraf.

"Akhirnya, kami sekeluarga menerima hakikat dialami Ashraf dan tidak lagi hidup dalam penafian, tetapi kami disisihkan masyarakat," kata Abdul Aziz.

"Mungkin masalah itu tidak serumit sekarang jika dari awal kami mendapatkan pandangan pakar berhubung keadaan Ashraf.

"Jika cara didikan dikatakan punca dia begini, kenapa dua anak angkat kami dan dua adik kandungnya tidak sedemikian," katanya.

Razali Abd Rahim Johan Bakat TV 2011

Posted: 19 Jul 2011 11:37 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Razali Abd Rahim, 26, dinobatkan juara, sekali gus melayakkan dia dianugerah Bakat Baru Paling Popular, selepas menumpaskan tujuh peserta lain pada Malam Kemuncak Inspirasi Bakat TV 2011.

Mempertaruhkan bakat bermain perkusi daripada barangan terpakai, anak kelahiran Sabah itu menggondol hadiah wang tunai RM30,000 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Menurut laporan Berita Online, kumpulan vokal berkumpulan, Putera, pula diumumkan sebagai naib johan untuk membawa pulang wang tunai RM15,000 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Kumpulan tarian Warisan Seni Negeri Sembilan meraih tempat ketiga untuk menerima wang tunai RM10,00 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Seramai lapan peserta berentap pada persembahan terakhir malam ini selepas bersiaran selama enam minggu menerusi siaran langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri di saluran RTM2.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu bakat tarian solo atau berkumpulan, nyanyian berkumpulan, silap mata, 'ventriloquism', komedi berdiri dan bakat alatan muzik.

Peserta lain termasuk Mustar-E (vokal), No Noise (kumpulan muzik), Stop Reverse Crew (kumpulan muzik), Christopher Aban (solo muzik) dan Fariz Hilmi (silap mata).

Bakat TV, program realiti terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM)bermatlamat mencungkil bakat baru di kalangan rakyat Malaysia berumur lima tahun ke atas.

Tanpa UPU: Tak perlu terburu-buru buat keputusan, kata Khaled

Posted: 19 Jul 2011 11:33 PM PDT


KUALA LUMPUR— Keputusan untuk memutuskan sama ada universiti-universiti lain akan membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU) tidak perlu dilakukan secara terburu-buru, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata keputusan tidak perlu terburu-buru disebabkan pengambilan penuntut ke institusi pengajian tinggi awam tahun depan akan dibuat pada September 2012.

"Kemasukan seterusnya setahun lagi. Jadi tak perlu terburu-buru buat keputusan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, ketika ditanya sama ada Universiti Malaya (UM) akan mengikut langkah Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berkata, "belum ada keputusan."

Khaled mengulas laporan media semalam bahawa UM dijangka akan mengikuti langkah USM untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui UPU.

UM dilaporkan sedang menunggu lampu hijau Kementerian Pengajian Tinggi manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon dipetik berkata, sistem pengambilan terus akan memberikan hak autonomi kepada UM dalam menentukan pelajar yang layak bagi mengikuti pengajian mereka di universiti tersebut.

"Saya melihat proses pemilihan pelajar tanpa melalui UPU ini akan menjadi lebih fleksibel kerana calon-calon yang layak akan melalui sesi temu duga sebelum terpilih untuk menyambung pengajian di sini," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada penggunaan UPU masih lagi relevan atau tidak memandangkan ada dakwaan mengatakan pemilihan terus dapat memperoleh pelajar yang menepati standard, Khaled berkata, "tidak semestinya."

"Semua universiti inginkan calon yang terbaik. Oleh sebab itu, mereka memohon untuk memilih sendiri," kata beliau.

Justeru, Khaled berkata, jika universiti lain ingin mengikut langkah USM untuk memilih calon sendiri, mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Jelas beliau kriteria tersebut masih belum diputuskan.

SPR — Ambiga muncul pentas sama, personaliti bukan isu kata Wan Ahmad

Posted: 19 Jul 2011 11:32 PM PDT




KUALA LUMPUR — Kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 akan bertemu di pentas yang sama minggu depan sementara Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata isunya bukan personaliti, tetapi peluang menerangkan kepada rakyat isu yang menjadi fokus sekarang.

"Kita akan hadir, saya akan hadir pada forum itu," kata timbalan pengerusi SPR itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Ini bukan soal... SPR merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan, ini bukan soal personaliti atau soal organisasi, kami merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan," kata beliau ketika ditanya pendirian suruhanjaya mengenai platform yang sama akan digunakan Selasa depan.

Wan Ahmad (gambar) bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga akan muncul pada wacana "Apa Selepas 9 Julai?" anjuran akhbar Kumpulan Media Karangkraf, penerbit akhbar Sinar Harian, di Shah Alam Selasa depan.

Pertemuan kepimpinan SPR dan Bersih 2.0 itu merupakan kali pertama selepas perhimpunan 9 Julai yang memfokus kepada lapan tuntutan berkaitan pembaharuan pilihan raya.

Turut menyertai mereka ialah Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Wacana itu dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai perkara menyentuh pilihan raya negara ini.

"Kami sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan di mana-mana forum sahaja... kalau diberi ruang kami akan gunakan untuk memberi penjelasan... itulah ruang yang diberikan, dan kami akan menggunakan ruang itu," kata beliau lagi.

Penganjuran wacana ini dilihat mendapat reaksi berbelah bahagi.

Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya memilih isu tuntutan Bersih 2.0 sebagai tajuk kerana ia masih menjadi bahan perbincangan walaupun dua minggu sudah berlalu.

"Kami menyediakan ruang perbincangan secara intelek kepada orang ramai, membincangkan isu ini secara terbuka... khalayak boleh tanya soalan kepada panel," kata beliau.

"Ya, ini kali pertama kedua-dua kepimpinan SPR dan Bersih bertemu secara rasmi selepas perhimpunan 9 Julai, peluang bagi mengetahui isu ini secara mendalam," kata Abdul Jalil yang turut mengesahkan kesemua ahli panel sudah pun mengesahkan kehadiran mereka.

Menurut Abdul Jalil, wacana merupakan program bulanan pihaknya membincangkan isu-isu semasa.

"Sebelum ini, wacana kami menyentuh isu rasuah, isu fitnah dan kali ini kami merasakan isu tuntutan pembaharuan pilihan raya... ini bukan soal politik, tetapi lebih kepada perbincangan akademik, secara intelek... kita menyediakan peluang kepada tokoh-tokoh dan juga orang ramai berbincang dengan waras dan intelek," kata beliau.

Beliau juga mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengan wacana kali ini membincangkan isu perhimpunan 9 Julai.

"Tentu ada pihak yang menentang, mereka yang tidak berpuas hati tetapi kita tidak terikat... kita hanya buka medan perbincangan," kata Abdul Jalil.

Beberapa tulisan blog pro-Umno didakwa mengecam penganjuran wacana ini yang menemukan SPR dan kepimpinan Ambiga.

Usaha mendapatkan Ambiga belum berhasil dan difahamkan berada di luar negara.

Bersih 2.0, yang menurut Putrahaya telah diharamkan sejak 1 Julai lalu, mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai, dengan mendakwa disertai sekitar 50,000 orang, di sebalik sekatan ketat pihak polis.

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu mengemukakan lapan tuntutan iaitu mrminta SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

BN Lebih Kejam Dari Israel?

Posted: 19 Jul 2011 05:18 PM PDT

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : FRANCISCA CHEW (sabahkini)

KERAJAAN Barisan Nasional Sabah disifatkan lebih kejam daripada Israel kerana bertindak merampas tanah adat Anak Negeri Sabah untuk diluluskan kepada konglomerat perladangan sehingga rakyat Sabah menjadi pelarian di negeri sendiri.

Rampasan tanah khususnya di kawasan Pedalaman Sabah yang dilakukan Konglomerat berkenaan dengan subahat Jabatan Tanah dan Ukur semakin menjadi-jadi; tanpa rasa belas kasihan dan perikemanusian terhadap sesama insan.

Senario ini banyak berlaku di kawasan Keningau, Pensiangan, Tongod, Ranau dan di tempat-tempat lain; termasuk di Kampung Bawang dan Kampung Tangkarason di Beluran.


RAMPASAN .... Tayan sedih kerana penduduk kampung rugi besar apabila tanaman kelapa sawit yang ditebang oleh penceroboh tajaan kerajaan.

Seorang penduduk pedalaman dihimpit masalah ini, Jakiy Tayan Taja (gambar sisipan) menghubungi Sabahkini.Net meminta agar isu rampasan tanah di kampungnya didedahkan untuk pengetahuan umum dan menagih simpati rakyat Sabah.

Menurut Tayan, Kampung Bawang diasaskan oleh O.T Linotupan Santopo pada 1946 lagi sebagai penempatan perkampungan untuk orang Sungai di Sugut agar tidak merempat di tanah air mereka sendiri.

Manakala Kampung Tangkarason pula diterokai sebagai penempatan perkampungan pada 1977 oleh Majupi OT Linotupan.

"Tindakan kejam Jabatan Tanah dan Ukur merampas tanah adat yang diusahakan Anak Negeri sejak sekian lama tanpa sebarang pampasan adalah terlalu kejam, seiras dengan Yahudi yang merampas tanah penduduk Palestine di Semenanjung Gaza," kata Tayan yang meyakini Wakil Rakyat turut bersubahat dengan Jabatan Tanah dan Ukur, meluluskan tanah adat kepada syarikat besar daripada Semenanjung.

Tegas Tayan, Kerajaan dan Wakil Rakyat BN sekarang terlalu mengagung-agungkan dan memelihara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada membela kepentingan Orang Asal Sabah sehingga bukan sahaja hak mereka dirampas; malah terpinggir serba serbi.


PROTES.... Hanya inilah yang mampu dilakukan Anak Negeri Sabah sebagai membantah kekejaman kerajaan merampas tanah mereka.

Dengan pemilikan lebih 90 % kawasan ladang kelapa sawit oleh Konglomerat daripada Semenanjung Malaysia, kata Tayan, maka hak Anak Negeri semakin terhakis dan sukar ditebus semula; terutama apabila Kerajaan BN membenarkan penggunaan Sijil Anak negeri Palsu.

Katanya Tayan lagi, rakyat Sabah marah kerana sehingga kini seluas 2,465 ekar tanah adat di Kampung Tangkarason telah dirampas oleh syarikat luar dengan izin Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur; namun kerajaan BN mendiamkan isu penting ini.

"Sekarang pemimpin kerajaan BN/UMNO sombong dan bongkak terhadap para penduduk asli tempatan sejak BN/UMNO mempunyai Fixed Deposit 1.2 Juta PATI yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana PATI adalah sebagai penentu kemenangan UMNO/BN pada pilihanraya umum ke 13 nanti (PRU-13)," ujar Tayan yang kesal kerana tidak ada pemimpin BN yang berani membela Anak Negeri yang ditindas.


Iklan anugerah 'Dinasour Melayu' sudah ditutup kerana terlalu ramai penyertaan atau memalukan universiti

Posted: 19 Jul 2011 05:13 PM PDT

PASPB

SEMALAM Website Rasmi UiTM ada menyiarkan iklan berkenaan anugerah Ibrahim Ali (RM5,000) yang ditaja sendiri oleh Bapak Katak itu kepada mana-mana pelajar yang boleh menunjukkan sikap rasis yang keterlaluan seperti dirinya [Anugerah Katak].



Akibat dikecam dan dibidas teruk oleh pelbagai pihak berhubung anugerah lawak dan menjadi antara berita paling kelakar bulan ini [Malaysiakini], laman sesawang yang menggunakan sub domain impak.uitm.edu.my itu telah memadam iklan anugerah lucu tersebut [Impak UiTM].


Semalam ada [Google Cache] hari ni dah hilang [Impak UiTM]. Elok Ibrahim Katak bagi anugerah tu kepada ahli-ahli Perkasa sahaja, tak pun bagi jelah kat diri sendiri.

ReJaM© "Universiti bukan tempat mendidik pelajar menjadi katak yang rasis"

Kerajaan bersih, rakyat selesa

Posted: 19 Jul 2011 05:11 PM PDT

Roketkini.com

Wawancara Roketkini dengan Jenice Lee

Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai Jenice Lee merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan Selangor dan juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor selain memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda DAP Selangor dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan.

Dilahirkan di kawasan setinggan berhampiran Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, anak bongsu dari tiga beradik ini mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pengkhususan dalam bidang Ekonomi Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa, di Unversiti Sydney, Australia pada 2004.

Kenali beliau melalui wawancara oleh wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir.


Bagaimana saudari boleh terlibat aktif dalam arena politik?

Seingat saya, saya membabitkan diri dalam politik pada tahun 1998 sewaktu menuntut di New Era College. Dalam penggal pertama, saya yang tubuhkan persatuan pelajar dan kita yang pimpin pelajar-pelajar di sana.

Dalam masa sama, banyak kes yang berlaku di sekeliling saya, termasuk penangkapan Lim Guan Eng yang didakwa atas Akta Hasutan hanya kerana menolong seorang gadis Melayu yang dikatakan dirogol oleh seorang pemimpin politik. Kemudian Guan Eng masuk penjara dan tak lama selepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dipecat dari Timbalan Perdana Menteri dan turut ditangkap di bawah ISA.

Waktu itu, kita sebagai pelajar, kita lihat perlakuan penguasa itu tidak menghormati hak asasi dan kebebasan.

Ketika itu juga, saya kerap menghadiri ceramah-ceramah, program-program nyala lilin bersama masyarakat dan sebagai orang muda saya rasa adalah harus mengambil bahagian dalam semua aktiviti kemasyarakatan sebab itulah tanggungjawab kita.

Kalau semua orang duduk di rumah dan tonton televisyen sahaja, tidak akan berlaku apa-apa perubahan. Jadi, kita kena keluar dan jadi pemimpin untuk masyarakat atau pun sekurang-kurangnya pemimpin dalam kumpulan kecil kita sendiri.

Kenapa saudari memilih DAP?

Saya sertai DAP dalam tahun 2000 walau pun sebelum itu saya sudah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Selepas Pilihan Raya Umum 1999, saya pernah tolong seorang calon bertanding di Bukit Gasing tapi kalah, dan masa itulah saya sedar pembangkang agak lemah dan perlukan bantuan dari semua pihak termasuk bantuan kewangan dan kakitangan.

Jadi saya sendiri pergi daftar…sebenarnya tiada siapa paksa saya pergi. Saya sendiri pergi ke pejabat Yang Berhormat Fong Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang), pada masa itu pejabatnya di Pudu, sebab dekat dengan rumah saya di Loke Yew. Maka, itulah saya daftar sendiri dan jadi ahli DAP.

Saya juga percaya dengan prinsip demokrasi sosial, yang mana kita perjuangkan kesaksamaan, keadilan, demokrasi dan kebebasan rakyat. Sementara itu, budaya DAP juga berlainan kerana pangkat bukan yang utama. Sebab itu dalam pergaulan, sama ada pemimpin atau tidak, kita sebut saudara dan saudari, jadi kita adalah sama.

Prinsip-prinsip yang diamalkan ini memang saya setuju kerana kita harus tolong yang lemah seperti OKU, wanita, atau pun masyarakat yang teraniaya dan ditindas, yang menuntut keadilan dalam masyarakat dari segi ekonomi dan pentadbiran.

Dan sekarang saudari memegang jawatan Pembantu Exco Belia dan Sukan Selangor.

Ya, tetapi saya lebih fokus kepada seni, budaya dan keusahawanan.

Setakat ini, sebagai Pembantu Exco, apa pandangan saudari terhdap golongan muda di Selangor secara keseluruhannya?

Anak muda di Selangor agak ramai. Saya pernah buat kajian iaitu lebih 40 peratus rakyat Selangor adalah golongan bawah 40 tahun. Ini golongan yang besar dan masalahnya, anak muda ikut kategori umur sahaja.

Tetapi dalam umur ini ada yang berbakat menjadi usahawan, ada yang masih cari jalan – walau pun mungkin sesat jalan tak tahu mana pergi mana, ada yang kerja dalam pejabat sahaja, maksud saya yang cari rezeki lah.

Jadi anak muda yang berpangkat itu saya tak perlu sebutlah sebab mereka boleh jaga diri. Tetapi yang berada di tengah-tengah itu, saya rasa mungkin mereka mengalami masalah dengan keluarga dan cara mencari peluang dalam bisnes tetapi itu kita tak boleh bantu banyak kerana usahawan perlu usaha sendiri, itu lah maksud usahawan.

Jadi kita hendak bantu yang dipinggir, atau yang sesat jalan, maksud saya dipinggir yang hisap dadah, atau yang tidak tahu hendak buat apa. Golongan anak muda inilah yang kita cuba fokuskan. Itu sebab kenapa kita wujudkan Penggerak Belia Tempatan (PEBT) iaitu platform untuk mereka yang belum tahu lagi mana hala tuju mereka. Kita hendak beri peluang untuk mereka mencari keistimewaan diri mereka sendiri; tahu manakah hala tuju hidup mereka. Kemungkinan mereka boleh jadi pemimpin PEBT atau pun pengikut dalam zon mereka.

Sebelum kita ada konsep ini, sudah ada majlis belia tetapi fungsinya tidak berapa berkesan kerana ahlinya adalah dari persatuan-persatuan tertentu sahaja.

Bagaimana pun, konsep majlis anak muda kita masalahnya ialah dari segi logistik. Ini kerana Selangor negeri yang agak besar. Kalau mereka datang sini (Shah Alam) bermesyuarat dan buat perbincangan boleh kata leceh sedikit kerana jaraknya memakan masa. Contohnya dari perjalanan dari Sabak Bernam ke sini memakan masa hampir dua jam, dari Nilai ke sini sejam setengah.

Jadi, kita rasa kita perlu buat cara yang lain, iaitu menurunkan kuasa kepada PEBT. Jadi, setiap PEBT akan ada 24 zon, semacam pihak berkuasa tempatan, tetapi PEBT khas untuk anak muda sahaja yang berkait dengan isu-isu anak muda sahaja, tak ada lain.

Dan kita juga berikan peruntukan untuk mereka adakan program menggunakan kreativiti mereka sendiri. Bagaimana pun, kita hanya bagi beberapa peruntukan terhad sahaja dan tak boleh bagi sumbangan tunai, sukaneka tidak digalakkan atau melawat sambil belajar.

Sebagai Pembantu Exco yang menumpukan kepada kesenian dan kebudayaan, apa yang telah saudari buat sepanjang tiga tahun ini?


Sebenarnya, seni dan kebudayaan itu adalah satu bidang yang dicicirkan, tiada siapa yang ambil peduli. Tahun lepas, saya telah mulakan SEYTA iaitu Anugerah Bakat Muda Selangor, iaitu kita nak tumpukan kepada anak-anak muda yang berbakat dalam seni dan kebudayaan. Bagaimana pun, kita tak mahu hadkan hanya kepada anak Selangor sahaja. Kita tidak mahu syok sendiri. Jadi, kita biarkan terbuka kepada seluruh Malaysia.

Terbuka kepada sesiapa yang berumur 18 hingga 35 boleh menyertai dari seluruh Malaysia. Jadi kita boleh tengok tahap kita berbanding orang lain. Dari segi nyanyian, mungkin bagi kita sangat bagus, "Wah sedap dengar," tetapi mungkin orang lain dari Pahang contohnya, yang lebih sedap suaranya macam Siti Nurhaliza boleh sertai…

Tujuannya, kita hendak menggalakkan anak muda meluaskan pandangan dan minda mereka, supaya tidak tertutup… Hanya cakap hal seperti "Hah, ini kampung saya, saya johan." (ketawa)

Selain itu, kita galakkan mereka mengembangkan juga budaya, ia sama ada boleh moden dan tradisional sebab bila ada anugerah, ia akan jadi semacam penggerak untuk mereka mencapai sesuatu. Jadi dia akan berusaha buat lebih bagus. Mungkin tahun lepas dia tak dapat, dia akan berusaha lebih lagi. Kita seolah berikan dia lampu, sekurangnya dia nampak hendak pergi ke mana.

Bagaimana pun, mungkin ada yang bijak sedikit. Dia tahu bagaimana hendak cari jalan untuk kembangkan bakatnya: pergi jumpa dengan syarikat-syarikat produksi muzik contohnya.

Tetapi bukan semua anak muda ada jalan yang sebegitu, dan oleh itu kita bagi mereka jalan atau platform untuk persembahkan karya mereka.

Kemungkinan dia bermain seni hanya sebagai sambilan sahaja, contohnya tarian… Jadi ini juga satu ruang untuk mereka persembahkan kepada orang lain…

Selepas itu, baru orang ramai nampak kewujudan mereka. Sebab itu kita hendak tunjukkan keikhlasan kerajaan untuk memupuk atau mencungkil bakat-bakat dalam bidang ini.

Setakat ini, sambutan dan hasil selepas Seyta bagaimana?

Sambutan memang hangat sebab selepas itu, ada ramai yang sudah cakap dengan kawan-kawan mereka dan sebarkan maklumat tentang program ini, dan mereka tahu ini boleh dijadikan ruang untuk mereka. Mereka tahu mereka di mana. Mungkin mereka boleh tercalon, dan jadi dia tahu, dia kena usaha sendirilah. Walau pun tidak menang, tidak dapat anugerah, bagaimana pun mereka akan berbangga kerana terdapat satu tempat yang mereka boleh sembahkan karya mereka.

Bagaimana dengan kawasan saudari sendiri, dan penerimaan masyarakat di sana?

Boleh kata begitu tinggi dan mendalam juga. Tiap-tiap kali saya jumpa mereka, saya bukan pergi cakap "Hai" dan balik sahaja, tetapi saya jumpa dan bincang dengan mereka, dengar rintihan dan pandangan mereka.

Semua kaum… Sebab saya dalam tiga tahun ini, kerap menganjurkan program dan selalu pastikan semua program saya bersifat mesra kaum, kecualilah seminar untuk sesi Mandarin, atau sesi Tamil atau Melayu. Tetapi yang lain, semua program saya, pasti akan melibatkan semua kaum.

Contohnya seperti program sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali… Sambutannya memang sangat-sangat memberangsangkan sebab setiap kali saya pergi, memang ramai orang.

Maksudnya keharmonian itu sudah wujud, atau baru wujud?

Sekarang memang harmonilah. Tetapi, pada mulanya memang agak susah sikit. Dulu mereka nampak, kalau ada Cina saja mesti program untuk Cina saja. Kalau Melayu, untuk Melayu saja. Jarang ada program untuk semua kaum datang sekali. Dan sekarang ini, perlahan-lahan bertukar pemikiran mereka supaya tak kisah sama ada Adun PAS yang di sebelah kawasan saya, kita juga buat program untuk semua. Jadi lama kelamaan, semua kaum boleh terima. Sudah tidak ada isu atau tension. Ianya sudah jadi bersatu padu, mereka sudah sedar tanah air ini kepunyaan bersama, bukan rasa terasing lagi.

Bagaimana DAP boleh menarik golongan melayu? Dan bagaimana mahu ubah persepsi buruk bahawa DAP itu parti kaum Cina?

Yang pertama sekali kita mesti bertutur dalam bahasa Malaysia lah. Sebab budaya dulu, belajar di sekolah koloni British, jadi mereka bercakap dalam bahasa Inggeris, Walau pun begitu tak semua orang Cina faham dan fasih. Jadi sekarang kita ubah, macam cara yang kita anjurkan, dalam Pemuda DAP kita berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia supaya semua orang boleh faham, sebab kalau kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ada sekumpulan yang tak faham.

Dan kita besarkan pengaruh kepada setiap program yang kita anjurkan dengan memastikan sekurang-kurangnya ada dua bahasa… Bagaimana pun, ada program yang kita anjur yang mengunakan tiga bahasa. Ini terpulang kepada kumpulan sasaranlah. Dan bila mereka faham apa yang kita lakukan dalam setiap program, kita akan pastikan penganjur mengormati agama dan kebudayaan kaum lain juga.

Contohnya di semua program kita, mesti adakan masakan Melayu, yang semua halal. Dan kita pastikan tiada daging lembu, sebab penganut Hindu tak makan daging lembu. Tetapi daging kambing ok la.

Bagaimana dengan kerjasama sayap pemuda dari Angkatan Muda Keadilan, Pemuda PAS dan Pemuda DAP sendiri?

Hubungan kita agak OK sebab mungkin kita bukan selalu bermesyuarat berbincang tentang isu mengenai masyarakat atau politik yang ada. Sebab gabungan di atas parti juga ada, jadi kita nampak ada pertindihan dalam gerak kerja kadang kala, tetapi tak mengapalah kerana kita dalam Pakatan sentiasa saling menyokong.

Tiada konflik langsung?

Tak ada konflik lah, memang mesra. Sebab kita jarang mesyuarat, mengenai isu tertentu saja… kita cuma ada mesyuarat dua tiga kali sahaja kita untuk usaha bersama. Tapi memang selalu kita adakan program bersama di peringkat kawasan.

Apa hasil kerjasama itu?

Kita ada rancangan buat satu latihan untuk Pemuda Pakatan Rakyat tetapi sebab ada pilihan raya kecil, kita tangguhkan sehingga tahun ini. Tetapi tarikh tepat itu, saya belum pastikan lagi lah.

Macam baru-baru ini, Majlis Pemuafakatan Pakatan Rakyat, kita hantar protes dan memorandum bersama ke Putrajaya. Tetapi kalau program lain-lain, biasanya, mereka balik ke kawasan masing-masing.

Jadi bagaimana untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada?

Kita semua pemimpin Pemuda Pakatan, kebanyakan kita juga ada jawatan dalam parti di peringkat negeri atau pun kebangsaan. Jadi, macam bertindihlah, buat yang sama di sini, buat yang sama di sana. Jadi sebahagian isu dianjurkan Pemuda, dan sebahagian oleh parti sendiri. Tetapi macam perhimpunan Bersih itu, tidak kiralah. Semua pergi sendiri.

Pandangan saudari tentang kerjasama Pakatan Rakyat dalam tiga tahun ini?

Dari segi hubungan, kita semakin rapat. Dan sampai satu tahap, kita sudah tak kira parti mana, asal kamu Pakatan Rakyat, OK, mari sekali.

Baru-baru ini ketika isu Bersih, ada seorang ahli PAS di kawasan saya ditahan di balai polis sebab dia menghadiri satu majlis dialog oleh pihak saya. Selepas itu saya pergi dan dijamin dia keluar. Saya juga nak bayar jamin untuk dia keluar, sebab kita dalam perjuangan yang sama dengan matlamat yang sama. Tak perlu tanyalah sama ada dia PAS, DAP atau PKR.

Tetapi itu ikut kawasanlah, sebab ada kawasan yang mungkin belum lagi ada hubungan rapat akar umbi Pakatan. Macam di Sepang, yang saya jaga, baru tubuh satu Majlis Pakatan Rakyat.

Harapan saudari mengenai Malaysia?

Saya harap Malaysia boleh bersih dengan kurangkan atau mansuhkan rasuah. Semua pemimpin boleh adakan dasar yang bagus supaya rakyat boleh rasa selesa. Yang selesa adalah keutamaan.

Tetapi keselesaan ini termasuk tahap pendapatan, adakah seimbang atau tidak? Selain itu, gaji minimum, sebab kalau ada gaji minimum, kehidupan seharian seseorang itu memang tak payah risau dan dia memang akan selesa.

Juga, pencemaran alam sekitar harus dikurangkan. Selain itu dari segi penilaian dan pengadilan untuk semua agensi, contohnya pihak berkuasa tempatan dan university, haruslah dibebaskan tanpa mengikut kuota perkauman sebab kita kena rasa adil dan selesa di negara ini.

Sebab itu saya selalu kata, keselesaan rakyat diutamakan.

Ini bunyi seperti slogan (Perdana Menteri) Najib?

Itu dia seorang saja yang selesa, kita rakyat masih tak selesa (ketawa)…

Walau berbeza pendapat, Pakatan tetap kukuh

Posted: 19 Jul 2011 05:02 PM PDT

Oleh Abdul Manan Abd Razak


Setelah sekian lama perjuangan parti pembangkang diasaskan di negara ini, PAS bersama dengan DAP dan PKR telah berjaya mewujudkan gandingan mantap Pakatan Rakyat. Ketiga-tiga parti ini aktif dengan sokongan rakyat serta masih bertahan walau pun pelbagai rintangan dihadapi oleh mereka.

Deraan, seksaan, pengaiban, malah penjara sekali pun gagal mematahkan semangat perjuangan ketiga-tiga parti dan pengikut setia mereka.

Pemimpin yang gugur digantikan dengan yang baru manakala pemimpin yang telah berumur tetapi masih kental akal fikiran serta kepakaran strategi terus dikekalkan oleh ahli-ahli parti demi mencapai matlamat perjuangan.

Inilah semangat yang tidak ada di kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Bagi pemimpin UMNO-BN, apabila kuasa telah tercabut, tamatlah perjuangan mereka kecuali sekiranya kepentingan peribadi terancam. Hanya itu menjadi sebab mereka cuba menongkat langit.

Oleh itu apabila hak rakyat terabai, pelbagai pemasalahan ciptaan dan peninggalan BN telah mengkucar-kacirkan ekonomi negara serta mencabar sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Inilah masa yang paling sesuai untuk rakyat bersama dengan Pakatan Rakyat menumbangkan BN sebagai salah satu kerajaan tertua di dunia yang angkuh dan bersikap kuku besi.

Usahlah diremehkan dengan perkara-perkara kecil seperti penutupan premis berunsur judi, larangan pekerja Islam bekerja di premis yang dikatakan haram serta penutupan premis hiburan pada bulan Ramadan akan datang.

Begitu juga tidak perlu diremehkan keadaan dengan keengganan memakai songkok jika ia sudah menjadi sebahagian daripada perpaturan pakaian seragam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Malah, tidak usah diremehkan dengan perebutan kawasan dan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang. Semuanya boleh diselesaikan secara musyawarah asalkan niat suci dan ikhlas.

Kita harus sedar perjuangan PR merangkumi semua bangsa dan etnik di negara ini. Oleh itu sebarang unsur yang dilihat oleh rakyat sebagai ekstrem mahu pun radikal akan gagal mensasarkan harapan PR ke Putrajaya. Inilah realitinya antara yang tersurat dan tersirat.

Selepas PRU 2008, sikap tolak-ansur DAP sebagai parti yang memenangi kerusi paling banyak di Perak yang melantik Menteri Besar dari PAS yang paling sedikit kerusi di negeri itu, membuktikan keikhlasan DAP terhadap sahabat-sahabat dalam PR.

Inilah yang patut dihayati oleh semua komponen dalam PR. Di sinilah perlunya gandingan PAS-DAP-PKR secara ikhlas demi merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat, terutamanya di negeri-negeri yang kini ditadbir oleh Pakatan.

Negeri-negeri PR memerlukan pembelaan daripada pemimpin-pemimpin berkaliber dan bukannya merebut-rebut untuk menguasai pimpinan negeri yang akan membantutkan usaha pembangunan ekonomi serta membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kita yakin, perpaduan jitu di kalangan negeri-negeri Pakatan, termasuk Kedah dan Kelantan yang rata-ratanya dikuasai oleh PAS, dapat membuka ruang untuk menerima idea-idea dan cadangan dari sahabat-sahabat DAP dan PKR serta mana-mana individu yang seangkatan pemikiran mereka dengan PR.

Jika perkara-perkara kecil gagal diselesaikan dengan baik, ia hanya memberi peluang kepada BN merampas kembali mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada PR pada PRU akan datang.

Video BERSIH akan ditayang pada media

Posted: 19 Jul 2011 04:59 PM PDT

Kuek Ser Kuang Keng

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung dakwaan keganasan polis semasa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Rakaman pada 9 Julai itu kemudiannya, menurut Ismail, akan ditayangkan kepada pihak media.

NONE"Saya sangat yakin dapat laporan dalam masa terdekat.

"Akan ada sesi melihat video bersama-sama media dan menjawab persoalan," kata Ismail dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Ismail bagaimanapun enggan menerima seoalan daripada pihak media dalam sesi hari ini.

Beliau sebaliknya menggesa media dan orang awam supaya bersabar dan mengelak daripada membuat sebarang andaian sebelum siasatan tamat.

Menegaskan bahawa pihak polis tidak menyembunyikan sesuatu, Ismail meminta orang ramai menyerahkan gambar dan buktu video bagi membantu siasatan polis.

Ia boleh dilakukan dengan menyerahkan kepada pusat media polis atau menghubungi talian 03-2266 8321/8320. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, polis memerlukan masa untuk selesai melakukan penilaian dan penelitian oleh enam jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan itu.

bersih rally 090711 police kick protestor story image"Kita perlukan masa. Kita perlu tahu jumlah sebenar orang ramai yang hadir semasa perhimpunan itu. Kami juga terpaksa temu bual anggota kami sendiri dan memanggil orang awam bagi mendapatkan fakta," katanya.

Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram itu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.

Ismail berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu akan meneliti dan menyiasat kesemua bukti sama ada daripada polis sendiri mahupun daripada Internet bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

NONE"Akhir-akhir ini, melalui pemerhatian saya (ke atas gambar dan video di Internet), saya dapati ada yang tidak tepat. Oleh itu, saya minta orang ramai bantu kami dengan serahkan bukti untuk membantu siasatan.

"Fakta ini penting supaya kita dapat kaji segala bukti yang ada dan dapat gambaran jelas," katanya kepada agensi berita nasional itu.

Ketika menjelaskan mengenai jawatankuasa khas itu, Ismail berkata ia terdiri daripada pegawai yang berwibawa dan berpengalaman dan jawatankuasa ini telah ditubuhkan minggu lepas yang bekerja 24 jam sehari bagi menyelesaikan siasatan.

DAP: ADUN Umno bina banglo tanpa kelulusan

Posted: 19 Jul 2011 04:57 PM PDT

MALAYSIA KINI


Ketua Pembangkang Johor Dr Boo Cheng Hau hari ini mempersoalkan integriti pengerusi Jawatankuasa Kira-kira (PAC) negeri itu Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman yang didakwa membina sebuah banglo di Simpang Renggam tanpa kelulusan pihak majlis tempatan.

datuk abdul hamid abdul rahman, Adun Machap 081206Bagaimananpun Abdul Hamid yang juga ADUN Machap dalam kenyataannya menafikan dakwaan itu dan berkata Boo yang juga ADUN Skudai itu cuba menepis isu sebenar yang dirinya diperintah keluar dari dewan undangan negeri baru-baru ini kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Hamid mengakui tapak tanah di mana banglonya didirikan itu adalah tanah miliknya yang diklasifikasikan sebagai tanah pertanian.

"Saya telah memohon untuk permit sebelum pilihan raya 2008 tetapi pihak majlis tempatan belum meluluskannya. Oleh kerana belum ada kelulusan, maka saya menghentikan projek itu," kata Abdul Hamid.
Boo, yang juga pemimpin DAP Johor pada sidang akhbarnya hari ini mahu ADUN Machap itu dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor supaya tindakan diambil berhubung integritinya.

NONE"Integriti beliau perlu disiasat sebab gagal mematuhi undang-undang di mana pelan bangunan rumah kediaman baru beliau perlu diluluskan oleh PBT sebelum pembinaan dimulakan," kata Boo.

"Saya juga mencabar Menteri Besar Johor menjelaskan pendirian beliau sama ada Abdul Hamid masih memperolehi integriti dan keyakinan awam untuk memegang jawatan Pengerusi PAC selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Boo mendakwa rumah Abdul Hamid terletak di lot tanah seluas 2.16 hektar yang bernilai RM280,000 dan menjangkakan bangunan banglo itu apabila siap kelak akan menelan belanja bernilai di antara RM1.5 juta hingga RM2.5 juta.

Anugerah Ibrahim Ali dibidas pelbagai pihak

Posted: 19 Jul 2011 04:50 PM PDT

Kuek Ser Kuang Keng


Tindakan UiTM membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu dibidas pelbagai pihak.

Penubuhan anugerah itu datang daripada Datuk Ibrahim Ali sendiri dan hadiahnya juga ditaja oleh presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA itu. Ia dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak)

Ahli parlimen Pasir Mas itu juga adalah bekas pelajar UiTM dan menuntut dari tahun 1971 hingga 1974.

NONEMenurut Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang pernah menjadi pensyarah di UiTM terdapat ramai lagi pemimpin yang jasa mereka lebih besar.

"Nama pemimpin lain lebih berhak. Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Dr Awang Had Salleh, dan (bekas naib canselor UiTM) Ibrahim Abu Shah akan tersenyum bila mengetahui ada anugerah dinamakan atas nama Ibrahim Ali!" kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily semalam.

Ketua Penerangan PAS itu berkata anugerah berkenaan akan terkubur kerana Ibrahim bukan orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Penerima anugerah mesti berbangga dengan anugerah mereka. Jika sesuatu anugerah itu hanya mendatangkan cemuhan dan menjadi stigma kepada penerimanya, saya pasti anugerah itu akan gagal," katanya.

NONEBerkongsi pendapat yang sama adalah setiausaha agung Pemuda MCA Chai Kim Sen yang kecewa dengan keputusan UiTM.

Katanya, Ibrahim tidak layak mendapat pengiktirafan seumpama itu.

"Ibrahim adalah individu kontroversi. Tindakannya dan kenyataannya gagal menyatukan masyarakat. Sebaliknya menjejaskan pembangunan negara dan perpaduan dan tidak harus dijadikan teladan bagi orang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Pensyarah Kias ikuti program cuti penyelidikan

Posted: 19 Jul 2011 04:49 PM PDT

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) memperkenalkan cuti penyelidikan sempena cuti semester bagi memantapkan lagi kecemerlangan akademik di kalangan pensyarah.

Program itu dimulakan pada semester lepas membabitkan sebahagian daripada 50 pesnyarah kolej berkenaan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cuti penyelidikan selama tiga bulan membolehkan pensyarah menambah ilmu pengetahuan ketika pelajar bercuti.

"Ilmu perlu sentiasa dicari khususnya pada zaman serba mencabar sekarang Dengan adanya ilmu yang mantap ia dapat dimanfaatkan kepada masyarakat serta boleh berinteraksi dengan baik dalam bidang tertentu.

"Tidak nanti pensyarah hanya digelar robot akademik semata-mata," katanya sempena Istiadat Konvokesyen Kias kali ke-13, di sini semalam.

Teks ucapannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Dewan Besar Balai Islam Lundang. Hadir sama Ketua Eksekutif Kias, Datuk Dr Johari Mat dan para pensyarah.

Seramai 180 graduan Kias menerima ijazah dan diploma. Mereka merupakan graduan Sarjana Muda Al-Syariah, Sarjana Muda Usuluddin, Diploma Usuluddin, Diploma Al-Syariah dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah dan Diploma Bahasa Arab.

Sementara itu Nur Amalina Fauzi dinobatkan pelajar cemerlang dan menerima Anugerah Tok Kenali 2011 pada konvokensyen berkenaan.

Amalina yang masih dalam pantang menerima anugerah tersebut daripada Mohd Amar.

Manakala Zaida Norasikin Mohd Nasir dan Norhayati Mohmad Nor pula masing-masing menerima anugerah Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: