Isnin, 25 Julai 2011

bumiperak

bumiperak


Nazrin: Jangan Cari Raja Bila Panas Terlalu Terik

Posted: 25 Jul 2011 08:02 AM PDT

Raja Dr Nazrin Shah secara sinis mengingatkan bahawa raja-raja Melayu jangan hanya dicari apabila sesuatu pihak berada dalam keadaan terdesak atau tiada pilihan lain."Raja jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah pun turun.
Shah Alam 25 Julai. "Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan," tegas Raja Muda Perak itu ketika menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Wacana Ilmu bertajuk 'Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Negara' di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM di sini pada Isnin.


Baginda bertitah, institusi raja wajib memberi naungan yang saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum seperti yang tersurat dalam salah satu daripada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Raja Nazrin menegaskan bahawa raja bukan monumen hiasan yang kaku tanpa nyawa atau sekadar hadir memenuhi acara dan istiadat sebaliknya apa yang berlaku akan diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi.

"Dalam setiap perbalahan, tidak mungkin satu pihak yang betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua; tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, adat, moral dan agama.
"Jika suhu politik semakin panas, dikhuatirkan impian untuk membina perpaduan mungkin menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan," titah baginda. Raja Nazrin turut mengingatkan rakyat dan pemimpin di negara ini bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang.

"Perlu ada penerimaan kepada realiti, perlu ada fahaman bahawa tuntutan untuk melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. Perlu ada kematangan dalam menyampaikan teguran, perlu ada etika ketika menyuarakan kritikan.  "Teguran dan kritikan untuk penambahbaikan positif nadanya akan berikan kesan yang positif; tetapi teguran dan kritikan dengan tujuan mendatangkan keaiban peribadi dan merendahkan lawan politik, akan memberikan hasil yang negatif," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, perpaduan memerlukan kesediaan untuk melakukan pengorbanan dan semua pihak perlu menerima hakikat menang atau kalah dalam konsep demokrasi adalah lumrah. Dalam pada, titah baginda, institusi diraja perlu terus berkecuali yang berupaya menurunkan suhu politik negara yang semakin panas selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Titah baginda, untuk itu raja perlu kekal dalam disiplin yang berada di atas segala polemik politik. "Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup scara rukun damai. "Raja perlu menggunakan kebijaksanaan akal bicara, memilih sebaik ketika dalam ruang kuasa yang diperuntukkan untuk menenangkan situasi.

"Namun raja tidak ada 'lampu ajaib' yang mengupayakan raja memupuk perpaduan sekelip mata," titah baginda.

Tiada ulasan: