Briged Al-Akhdor LR2 |
Apakata khalid samad tentang bersih 2.0 Posted: 04 Jul 2011 09:46 AM PDT Oleh Khalid Samad Kelam-kabut dan gundah-gulana merupakan dua perkataan yang barangkali boleh menggambarkan serba sedikit keadaan UMNO/BN dalam usaha mereka menangani perhimpunan BERSIH 2.0 sebagai Pembuka Jalan Politik Baharu pada 9 Julai ini.Berbagai propaganda telah dilancarkan untuk menghalang perhimpunan tersebut dari terus berlaku. Berdasarkan ucapan, tingkah laku dan riak wajah mereka, 1mesej jelas terpampang, iaitu 'BERSIH' akan mengakibatkan UMNO/BN tersungkur dalam pilihan raya ke-13. Maka mesej inilah yang ingin mereka sampaikan kepada para penyokong atau golongan CARMA supaya BERSIH dihalang dengan sedaya upaya. Walhal segenap lapisan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan semasa memahami bahawa BERSIH hanya sekadar menuntut pilihan-raya yang bebas dan adil. BERSIH mengemukakan hanya 8 tuntutan yang kesemuanya selari dengan prinsip-prinsip demokrasi. Melalui pilihan-raya yang bersih, maka pilihan rakyat yang sebenar akan dimartabatkan dan kerajaan yang terbentuk akan benar-benar merupakan kerajaan pilihan rakyat. Oleh yang demikian, BERSIH tidak bertujuan menjatuhkan BN mahupun PR, atau menaikkan BN atau PR. Ia bertujuan untuk menentukan rakyat dengan sepenuhnya diberi kuasa untuk memilih kerajaan yang diinginkan mereka dengan menjamin tiadanya penipuan dan penyelewengan semasa pilihan-raya. BN TERSUNGKUR KALAU PILIHAN RAYA BERSIH DARI PENIPUAN! BN memahami hakikat sebenar usaha BERSIH. Namun mereka tetap berusaha keras untuk menfitnah usaha BERSIH dengan bermacam-macam tohmahan dan dakwaan palsu. Mengapa? Jawapannya mudah sahaja. BN sedar bahawa pada hakikatnya rakyat sudah tidak bersama mereka dan pilihan-raya yang bersih, tanpa penipuan undi pos, kad pengenalan palsu, monopoli media dan sebagainya, akan menghasilkan kekalahan bagi BN! Dalam erti-kata yang lain, pilihan-raya bersih = BN kalah! Maka itulah sebabnya perhimpunan BERSIH telah difitnah dengan dakwaan kononnya BERSIH ingin menjatuhkan kerajaan melalui huru-hara dan keganasan. Oleh itu ianya diharamkan. Sedangkan himpunan BERSIH adalah himpunan aman yang bertujuan untuk menzahirkan sokongan rakyat terhadap tuntutan supaya pilihan-raya bersih dari penipuan. Ianya bertujuan untuk menganjurkan perarakan aman dari SOGO ke Istana Negara demi menyerahkan memorandum BERSIH kepada DYMM Yang Di Pertuan Agung. Sebenarnya perarakan sebegini amat mudah untuk dikawal, sekiranya pihak berkuasa menghormati hak rakyat berkumpul dan berhimpun secara aman. Apa yang perlu dilakukan hanya sekadar menjaga lalu-lintas dan laluan kenderaan sepanjang perjalanan dari SOGO ke Istana Negara. Dalam masa tidak lebih dari 2 jam, semuanya akan selesai. Malangnya, UMNO/BN meyakini bahawa pilihan raya yang bersih dari penipuan akan menyebabkan mereka tersungkur. Oleh itu mereka akan terus berpegang teguh kepada kekuasaan dan bertindak untuk menundukkan rakyat. TINDAKAN UMNO/BN LEBIH DAHSYAT DARI TINDAKAN ISRAEL Tindakan kerajaan BN memfitnah BERSIH boleh disamakan dengan tindakan kerajaan Israel memfitnah Flotilla LL4G sebagai Flotilla perang yang membawa senjata. Ini sebenarnya tidak menghairankan kerana Tok Guru mereka adalah sama. APCO penasihat kepada kedua-dua kerajaan. Malahan, tindakan UMNO/BN lebih dahsyat dari tindakan kerajaan Israel dalam dua aspek seperti berikut: a) Mencemar Kesucian Agama Islam Tindakan UMNO/BN mengatasi tindakan kerajaan Israel apabila pada hari Jumaat yang lalu, khutbah di Masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan mengharamkan ummat Islam dari melibatkan diri dalam perhimpunan ini. Hujjah untuk mengharamkannya adalah berdasarkan fitnah UMNO/BN bahawa perhimpunan ini bertujuan untuk melakukan huru-hara, tumpah darah, membawa kerosakan dan berniat untuk menjadikan keadaan Negara lebih teruk dari yang sedia ada. Amat malang apabila mimbar masjid digunakan untuk menyebar fitnah dan tohmahan kerana pada hakikatnya BERSIH inginkan suatu pembaikkan kepada yang sediada melalui satu perarakan yang aman. Kalau ada yang inginkan huru-hara, ianya bukan BERSIH. Kalau ada yang inginkan tumpah darah, ianya bukan BERSIH. Amatlah sedih apabila khutbah dipergunakan sebegini rupa. Amat sedih melihat mimbar digunakan untuk menabur fitnah dan dakyah demi kepentingan politik UMNO/BN. Sebenarnya ummat Islam sepatutnya yang pertama bangun untuk menjadi pejuang keadilan dan kebenaran, penentang penipuan dan kezaliman. Tetapi oleh kerana UMNO/BN berkuasa, maka ummat Islam didorong untuk menjadi pembela penipuan dan kezaliman. Merosakkan agama sehingga diperalatkan untuk membela sesuatu yang jelas songsang dan bercanggah tidak dilakukan oleh mana-mana kerajaan walaupun oleh kerajaan Israel terhadap agama Yahudi. Pilihan raya Israel dilakukan secara telus dan adakalanya parti Likud menang, adakalanya parti yang lain membentuk kerajaan. Tetapi UMNO/BN ingin terus memerintah dan mereka pada awalnya memutar-belitkan undang-undang pilihan-raya. Sekarang mereka sudah mula memutar-belit ajaran agama Islam untuk membela penipuan dan penyelewengan. b) Mengasari Rakyat Sendiri Tindakan kerajaan UMNO/BN mengatasi tindakan kerajaan Israel dari satu aspek lagi. Dalam isu Flottila, kerajaan Israel berjanji tidak akan melakukan tumpah darah. Walaupun anggota Flottila terdiri dari warga Negara asing, mereka tidak akan dikasari, menurut Israel. Percaya atau tidak itu soal kedua. Paling kurang Israel mengakui anggota Flottila ada hak dan tidak boleh dikasari atau ditembak sewenang-wenangnya. Kerajaan UMNO/BN sebaliknya. Melalui polis dan samseng yang bertopengkan NGO, mereka secara terang-terangan mengugut untuk melakukan tumpah darah dan kegansan terhadap rakyat sendiri! Di sini APCO sendiri mungkin terkejut dengan 'kehebatan' UMNO/BN. Kesediaan mereka untuk mengasari rakyat sendiri mungkin tidak disangka tetapi pasti merupakan sesuatu yang menggembirakan APCO. KESIMPULAN Ini semua merupakan bukti akan betapa terdesaknya UMNO/BN. Mereka tahu rakyat tidak bersama mereka tetapi mereka akan mempertahankan kedudukan mereka walau apa sekalipun yang akan berlaku. Inilah jenis pemimpin yang mementingkan kedudukan dan jawatan mereka lebih dari nyawa rakyat sendiri. Inilah jenis pemimpin yang perlu kita jatuhkan melalui PRU ke-13 kelak. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Briged Al-Akhdor LR2 To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan