Isnin, 25 Julai 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Rais Yatim ketinggalan zaman

Posted: 25 Jul 2011 05:29 AM PDT

Kenyataan media oleh Idris Ahmad selaku Ahli Jawatankuasa PAS

Geli hati apabila membaca seruan Rais Yatim supaya rakyat hanya melihat video BERSIH 2.0 yang ditayang oleh Polis Diraja Malaysia.

Selepas ini mungkin Menteri Penerangan ini akan mencadangkan rakyat Malaysia hanya membaca Utusan Malaysia sahaja, kerana akhbar lain semunya tidak benar.

Saranan beliau di zaman ini untuk memaksa rakyat hanya mempercayai apa yang disiarkan oleh PDRM dan media kerajaan, sama seperti pepatah Arab "kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air".


Macam mana beliau yang memegang Kementerian ini tidak menyedari zaman revolusi maklumat.

Sekarang bukan zaman media yang wujud ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46. Sekarang ialah zaman lebuhraya maklumat yang begitu pantas.

Tentu beliau masih ingat ketika isu tengkolok Tengku Razaleigh yang diputar belit oleh media mengatakan Tengku Razaleigh telah murtad kerana memakai lambang salib, sehingga pengundi Melayu telah menolak Parti Semangat 46 beberapa hari dalam pilihanraya tahun 1990.

Zaman penipuan media yang dimonopoli oleh kerajaan BN sudah berlalu. Kita mengharapkan Rais Yatim juga bergerak sealiran dengan zaman sesuai dengan kementerian yang beliau ketuai.

Jangan dikatakan orang menteri yang jaga mengenai komunikasi tidak bergerak mengikut peredaran zaman.

Kos Sara Hidup Menigkat, Sokonglah UMNO/BN lagi..

Posted: 25 Jul 2011 04:54 AM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Peningkatan kos hidup dilihat akan menyulitkan Barisan Nasional (BN) dalam menarik sokongan pada pilihan raya umum ke-13 khususnya di kalangan pengundi kawasan bandar yang berhadapan dengan kesan pendapatan kekal tidak berubah sedangkan paras inflasi pula mengalami kenaikan.

Pugutan suara di kalangan 100 warga kota oleh The Malaysian Insider baru-baru ini menunjukkan 44 peratus menuding jari ke arah kerajaan berhubung kenaikan kos berbanding 41 peratus mengaitkan dengan faktor global dan hanya lima peratus mempersalahkan golongan peniaga.


Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kadar inflasi Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kadar inflasi pada Mei 2011 adalah 3.3 peratus, masih rendah daripada paras lima peratus yang boleh diterima oleh kerajaan.

Pentadbiran Najib tidak mengatakan bila akan memanggil pilihan raya umum tergempar, tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu ahli-ahli Umno agar bersedia memandangkan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

Daripada 86 orang, yang merupakan pengundi berdaftar, seramai 40 responden berkata kos sara hidup kemungkinan akan memberi kesan ke atas pendirian sokongan mereka dalam pilihan raya umum manakala 31 yang lain mengatakan tidak mungkin ada kesan ke atas mereka. Seramai 15 pemilih berkata kos sara hidup akan memainkan peranan berkecuali dalam menentukan siapa yang mereka akan mengundi kelak.

Seorang pesara Rohani Saad, 57, memberitahu The Malaysian Insider, dia percaya undi ketika pilihan raya umum merupakan satu-satunya cara boleh melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenaikan kos sara hidup.

"Jika kerajaan mengatakan harga tak naik, harga tentu naik," kata Rohani yang kini bergantung pada simpanannya.

Meskipun Rohani berjimat cermat, membelanjakan sekitar RM100 seminggu untuk barang-barang runcit bagi suami dan dirinya, dia merasakan kedudukan kewangan semakin buruk tahun ini.

Malah mereka yang agak berada pun merasakan mereka "miskin" sekarang ekoran peningkatan inflasi.

Seorang pengurus pejabat yang hanya mahu dikenali sebagai Anne berkata, kerajaan seharusnya memantau harga barang khususnya harga barang-barang keperluan seharian seperti makanan bagi membolehkan kos sara hidup dapat dikawal.

Meskipun pendapatan Anne dan suaminya mencecah RM10,000 sebulan tetapi dia terpaksa memotong bajet membeli ikan sebab ia terlalu mahal sekarang.

"Kami suka makan ikan, tetapi kami juga rasa perit (kenaikan harga)," katanya lagi.

Meskipun pentadbiran Najib menggerakkan program-program transformasi ekonomi tetapi kesannya belum dirasai rakyat memandangkan mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga barangan khususnya di kawasan-kawasan bandar berbanding kadar pendapatan.

Perkara ini juga dikesan menerusi pungutan suara yang diadakan.

Kira-kira 34 peratus responden berkata mereka merasakan kedudukan kewangan mereka lebih buruk berbanding setahun lalu manakala 43 peratus merasakan tiada sebarang perubahan dan 23 peratus mengatakan keadaan mereka lebih baik.

"Kehidupan di sini semakin buruk sekarang," kata Choong, 40, seorang pemilik restoran di Subang Jaya.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, rakyat Malaysia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk memiliki barangan keperluan berbanding negara-negara lain seperti England.

Selain perbelanjaan isu rumah yang semakin meningkat, katanya, bisnes restorannya merasai kesan memandangkan ramai pelanggan sudah kurang makan di luar ekoran kenaikan kos.

Bagaimanapun beberapa orang yang ditemui tidak bersetuju dengan Choong dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih baik berbanding mereka yang tinggal di luar negara.

"Rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di luar negara tidak tahu yang mereka sebenarnya bernasib baik kerana semuanya ada di sini," kata Muhammad Zafran Kadir, seorang pengurus komunikasi dari Subang Jaya.

"Berbanding kepercayaan popular, Malaysia merupakan salah satu bandar raya paling rendah kos hidup. Ketika saya berada di Australia, saya mengeluarkan A$400 (RM1,280) seminggu untuk sewa. Jika bukan kerana pinjaman kerajaan, saya tidak boleh hidup," katanya lagi.

Pun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara akan menjadi isu utama pilihan raya.

"Kos hidup sentiasa menjadi isu serius bagi kerajaan apabila berhadapan dengan pilihan raya," kata James Chin, penganalisis politik dari Monash Univeristy kampus Malaysia.

"Ketika keadaan ekonomi tidak baik, kerajaan berhadapan dengan kesukaran," katanya.

Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs, Wan Saiful Wan Jan berkata kos sara hidup merupakan isu paling ketara di kalangan orang ramai.

"Sejauh mana baiknya keadaan ekonomi, ia memainkan peranan signifikan dalam arah aliran pengundian," katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan pilihan sukar memandangkan beliau terperangkap dalam dilema sama ada wajar memotong subsidi, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal bagi mengimbangkan bajet kerajaan, tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan situasi tekanan kenaikan harga barang.

Menurutnya, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada 1970 telah membawa kepada pergantungan ke atas campur tangan kerajaan dan subsidi, sekali gus mewujudkan budaya subsidi yang sukar bagi Najib untuk keluar.

"Bagaimana Najib boleh memberitahu publik bahawa subsidi tidak boleh berkekalan?" kata Wan Saiful.

"Beliau tidak boleh kata bapanya salah apabila melaksanakan DEB," katanya lagi sambil menambah, "sesuatu yang malang bagi kerajaan buat masa sekarang."

Wan Saiful berkata, Pakatan Rakyat memperoleh kelebihan politik daripada tindakan Putrajaya memotong subsidi dan impaknya ke atas kos sara hidup tetapi menurutnya, ia pendekatan popular dan tidak bertanggungjawab.

Malah kata beliau, sebagaimana kerajaan semasa, Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan subsidi untuk jangka masa yang panjang.

Kata Wan Saiful, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya lebih mengetahui perkara ini berbanding menentang pelarasan subsidi.

Sementara parti-parti politik berusaha memikat undi, pengundi sendiri kelihatan sinis dengan mendakwa bahawa sokongan mereka hanya dikira ketika pilihan raya tetapi bukan dalam persekitaran realiti.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, meskipun dia sudah banyak kali mengundi tetapi tidak merasakan undinya ada membawa sebarang perubahan.

Lee yang berusia 70 tahun berkata, dia kecewa kerana harapannya agar kehidupan akan bertambah baik tidak mendapat perhatian ahli-ahli politik.

Katanya, bilangan mereka yang mengunjungi gerainya semakin menurun memandangkan ramai mahu makan di rumah.

"Saya tidak tahu ke mana pergi mereka semua," katanya dengan nada kesal.


The Malaysian Insider

Percayakah Anda? Hantar pulang peguam Perancis tiada kaitan politik

Posted: 25 Jul 2011 02:13 AM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Putrajaya menegaskan keputusan menghantar pulang seorang peguam Perancis William Bourdon sehari selepas dia berucap di Pulau Pinang berhubung kontroversi pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion bukan satu tindakan berbaur politik.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein berkata Bourdon (gambar), yang sedang menguruskan kes berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah dihantar pulang ke Paris kerana melanggar peraturan visa pelancong.


"Dia telah melanggar syarat-syarat visanya. Oleh kerana ia kes berprofil tinggi, orang ramai memilih untuk mengatakan ia berbaur politik. Ramai yang dihantar balik setiap hari," katanya.

Ketika ditanya dia dihantar pulang kerana ucapannya yang dia sepatutnya bercakap pada dua majlis mengutip dana hujung minggu lalu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, "saya tidak tahu apa itu, tetapi yang pasti dia tidak boleh ucapan."

Sabtu lalu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan Putrajaya menghantar balik peguam Bourdon sebagai tindakan berkaitan politik.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata, tindakan menghantar pulang peguam itu menunjukkan pentadbiran Najib masih mahu menyembunyikan fakta mengenai urusan pembelian kapal selam.

"Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam)," kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, tindakan Malaysia menghantar balik Bourdon dengan cara tidak hormat telah membantu memperkukukan usaha pihaknya dalam isu skandal pembelian kapal selam.

Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi Jumaat lalu.

Malah, Nurul Izzah berkata, tindakan ke atas Bourdon dan kekerasan Barisan Nasional ke atas perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil menimbulkan persoalan mengenai pembaharuan politik dan ekonomi yang dijanjikan oleh Najib.

Pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002 dibuat ketika Najib menerajui Kementerian Pertahanan dan sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima komisen lebih RM500 juta atas urusan tersebut.

Parti-parti politik pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia juga mengaitkan kematian wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dengan isu tersebut.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta kebenaran akses ke atas maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh syarikat Abdul Razak, Perimekar Sdn Bhd dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima permintaan itu untuk menyoal siasat dakwaan membayar sogokan RM500 juta oleh DCNS kepada Perimekar.


The Malaysian Insider

Ohh.. memang ada Pengundi Hantu rupanya..

Posted: 25 Jul 2011 12:21 AM PDT

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung 'klon' dalam daftar pemilih secara tidak langsung merupakan pengakuan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud, dakwa Pemuda PAS.

"Ini merupakan kenyataan 'u-turn' (pusingan-u) SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui, malah menuduh Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita untuk melunturkan kayakinan rakyat kepadanya," kata pengerusi pemulihan demokrasi dan mobilisasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.


Suhaizan (kanan) juga berkata, pengakuan itu dianggap kejayaan kepada BERSIH 2.0 apabila pembersihan daftar pemilih termasuk antara lapan tuntutannya.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah menafikan kewujudan 'klon' dalam daftar pemilih.

Sehubungan itu, jelasnya, SPR sentiasa menggesa pengundi untuk tampil memeriksa pendaftaran mereka selain mengharapkan kerjasama parti politik untuk membersihkannya.

Beliau menjawab persolaan yang ditimbulkan Suhaizan sebelum itu berhubung dakwaan pendaftaran berganda di Baling dan Kuala Nerang.

Boleh batal kemenangan

Wan Ahmad juga berkata, SPR tidak dapat mengeluarkan nama terbabit tanpa pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, lapor The Star.

Dalam kenyataan hari ini, Suhaizan juga mengkritik proses pembatalan data bertindan yang didakwa memerlukan proses rumit.

Ini kerana Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan daftar yang sedia berkuatkuasa menjadi keterangan prima facie bagi menentukan sama ada seseorang berhak mengundi.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, jika pilihan raya diadakan pada waktu terdekat, ia akan menggunakan daftar pemilih yang diragui.

"Mana-mana parti yang menang dalam pilihanraya ke-13 tetapi mempunyai data-data pemilih yang meragukan mungkin boleh dibatalkan kemenangannya. Ini merupakan sesuatu yang serius bakal akan berlaku.

"Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu suruhanjaya diraja mengkaji sistem perjalanan pilihan raya dalam negara kita yang dilihat bermasalah," katanya yang juga ketua Pemuda PAS Johor.


Malaysiakini

Alasan Ibrahim Ali bila perhimpunan PERKASA gagal pada 9 Julai

Posted: 24 Jul 2011 08:59 PM PDT

SHAH ALAM: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali melahirkan kekecewaan kerana kehadiran anggotanya ketika perhimpunan di Tasik Titiwangsa pada 9 Julai lalu adalah kurang menggalakkan.

"Kemuncak 9 Julai saya pergi ke daerah Selangor dan bertemu jawatankuasa Perkasa peringkat Wilayah Persekutuan. Walaupun notis singkat dalam pertemuan pertama tidak sampai 60 peratus hadir.


"Pusingan kedua juga sama dan ketika itu kita harap dapat pamerkan Perkasa berlegar di Tasik Titiwangsa.

"Malangnya keadaan tidak menggalakkan. Kemungkinan sebab sekatan jalan raya," katanya katanya dalam majlis penutup Mesyuarat Khas Tahunan Perkasa Negeri Selangor 2010 di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Pada perhimpunan 9 Julai lalu Perkasa memutuskan untuk bersiar-siar di Tasik Titiwangsa setelah permit mereka ditolak pihak polis.

Menyentuh mengenai kegagalan itu Ibrahim Ali berkata sekiranya perkara tersebut masih berterusan di kalangan anggota Perkasa tidak hairan sekiranya dua negeri iaitu Perak dan Selangor akan kekal di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Politik Melayu

Menurut beliau kehadiran anggota Perkasa bagi kedua-dua negeri itu memberi makna besar kepada kelestarian kuasa politik Melayu.

"Kita tidak pandai putar belit seperti mereka…sampai akhirnya polis kena tayang video. Dulu mereka minta Suruhanjaya Diraja untuk kes Teoh Beng Hock, tapi bila dah tubuh mereka kata Suruhanjaya tidak betul.

"Jika dilihatlah peringkat bawahan keadaan seperti ini saya tidak taruh harapan terhadap Selangor.

"Kehadiran anggota di Perak dan Selangor memberi makna..tidak perlu saya ulas kerana Perak dan Selangor kita perlu kuat untuk mendukung kuasa politik kekal terhadap orang Melayu.

"Tetapi jika ini keadaannya..saya tidak menaruh harapan malah Selangor akan jadi seperti Pulau Pinang dalam proses.

"Kalau Selangor gagal kita ambil alih, satu penggal lagi ia akan jadi pintu masuk kepada Pakatan…pada masa itu 23 tahun pun belum tentu kita dapat tawan maka memekiklah kita," katanya kepada kira-kira 500 anggota yang hadir.


Free Malaysia Today

Sistem Biometrik SPR kebal dari manipulasi?

Posted: 24 Jul 2011 08:12 PM PDT

Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya.

Apa yang dimaksudkan dengan kebal tu entahlah.. cuba korang tengok video diakhir entry, betapa mudahnya pintu bilik kebal yang menggunakan sistem biometrik dibuka.. dibuka hanya dengan menggunakan imej cap jari yang diphotostat..


baca berita ini dulu..

Pakatan kekal pendirian tolak SPR guna biometrik

SHAH ALAM, 25 Julai — Pakatan Rakyat terus dengan pendiriannya menolak sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 dan masih mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana tidak menjamin elemen satu orang satu undi semasa pilihan raya.

"Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran slogan Selangorku di sini malam tadi.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.

"Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini," katanya.

Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini ialah menggunakan dakwat kekal, yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik.

Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian.

"Kita bekerjasama dengan pakar yang terlibat bagi memastikan keupayaan sistem ini berkesan apabila dilaksanakan kelak.

"Sistem biometrik yang digunakan imigresen berlainan dengan SPR kerana penggunaan kami adalah untuk pilihan raya," kata beliau lagi.

Wan Ahmad berkata, sistem tersebut telah dikaji sejak 2010 oleh pakar yang dilantik bagi memastikan keupayaan dan tempoh yang dapat digunakan.

Akhbar yang sama memetik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sistem biometrik mampu membuktikan pilihan raya negara ini telus dan adil.

Seiring dengan pendapat Dr Wan Azizah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sistem biometrik lebih berisiko untuk dimanipulasi pihak berkepentingan walaupun ia boleh melakukan proses pengesahan pengundi secara elektronik.

Katanya, perkara ini lebih ketara memandangkan pemberian kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa kebelakangan ini.

Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya.- The Malaysian Insider

Tiada ulasan: