Sabtu, 2 Julai 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


BERSIH 2.0 : Media dilarang siar Kekejaman Polis.

Posted: 02 Jul 2011 08:34 AM PDT

Pengamal media stesen radio dan televisyen diminta untuk menonjolkan adegan "kerosakan yang dilakukan peserta demonstrasi" dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, dan mengelakkan adegan "keganasan polis ketika menyuraikan peserta demonstrasi".

Adegan "kerosakan" yang dimaksudkan termasuklah pembakaran kereta, kedai, kesesakan lalu lintas dan sebagainya; sementara adegan "keganasan polis" termasuklah adegan polis atau FRU memukul peserta ketika menyuraikan perhimpunan.


Demikianlah panduan yang diberikan oleh seorang pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada pengamal media elektronik, dalam Seminar Kawal Selia Kandungan 2011 yang diadakan di auditorium SKMM, hari ini. Sebanyak 22 kumpulan syarikat media elektronik dijemput untuk menyertai seminar ini.

Seminar ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, mengandungi tujuh sesi taklimat, "bertujuan untuk mewujudkan platform perbincangan rasmi antara SKMM dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan badan-badan penyiar swasta mengenai pematuhan kepada syarat-syarat lesen serta lain-lain peruntukan yang relevan agar mutu dan kualiti kandungan penyiaran dapat diterjemahkan oleh badan-badan penyiar dalam idea yang segar, kreatif serta berkesan."

Seorang pengamal media yang menyertai seminar tersebut memberitahu MerdekaReview, bahawa panduan di atas diberikan oleh pegawai SKMM setelah salah seorang pengamal media membangkitkan soalan ini. Malah, pegawai SKMM yang memberi panduan itu meminta agar kata-katanya tidak didedahkan kepada umum (off the record).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bakal mengadakan satu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, menuntut agar sistem pilihan raya direformasikan. Kerajaan dan polis telah memberi amaran sekeras-kerasnya, malah mengambil tindakan untuk menangkap dan menahan pemimpin yang terlibat, sebagai langkah untuk memastikan agar perhimpunan ini digagalkan.


MerdekaReview

Perhimpunan Haram diKomtar : UMNO tak terlibat?

Posted: 02 Jul 2011 06:22 AM PDT

Tersedak aku bila membaca kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman ini.."Kita sedia maklum anggota Umno di Pulau Pinang berjumlah 150,000 orang. Kalau Umno yang buat demonstrasi, jumlahnya bukan 1,000 orang seperti semalam tetapi jumlahnya akan jadi berpuluh ribu orang..

Patutlah selama ini bila ada demonstrasi di Pulau Pinang oleh UMNO beratus ribu yang hadir..


Umno PP nafi terbabit demonstrasi Komtar

GEORGE TOWN: Umno Pulau Pinang menafikan penglibatannya dalam demonstrasi di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Umno negeri itu tidak pernah mengarahkan demonstrasi berkenaan diadakan.

"Saya mendapat banyak panggilan daripada rakan-rakan semalam berhubung perkara ini. Ingin saya maklumkan bahawa Umno negeri langsung tidak terlibat dalam demonstrasi di Komtar atau mana-mana tempat.

"Kita sedia maklum anggota Umno di Pulau Pinang berjumlah 150,000 orang. Kalau Umno yang buat demonstrasi, jumlahnya bukan 1,000 orang seperti semalam tetapi jumlahnya akan jadi berpuluh ribu orang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam 1,500 orang termasuk anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan tunjuk perasaan anti Ketua Menteri Lim Guan Eng. Mereka berarak hampir sejam dari Masjid Melayu Lebuh Aceh ke Komtar.

Bagaimanapun Zainal Abidin berkata terdapat anggota parti itu yang menyertai pelbagai NGO di negeri ini.

"Memandangkan parti ini rapat dengan rakyat, banyak anggota kita terlibat dengan NGO. Mereka pergi (demonstrasi) atas nama NGO sendiri," katanya.

Beliau berkata sebagai parti yang bertanggungjawab, Umno tidak akan mengadakan demonstrasi seumpama itu.

"Saya mendapat banyak rungutan daripada masyarakat Pulau Pinang bahawa keadaan lalu lintas sesak teruk sehingga menyebabkan aktiviti mereka terganggu.

"Sama juga yang akan berlaku pada 9 Julai, kalau mereka buat juga demonstrasi, lalu lintas akan sesak dan kita tak dapat menjalankan kerja seperti biasa," katanya.

Free Malaysia Today

Lawatan Najib ke Kelantan : Kakitangan Awam mengadu dipaksa..

Posted: 02 Jul 2011 05:41 AM PDT

PAS Kawasan Pasir Puteh, Kelantan telah mendapat aduan dan rungutan daripada kakitangan awam berkenaan jemputan pada majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di kawasan itu pada 2 Julai.

Perkara yang membebankan mereka ialah setiap kakitangan awam termasuk guru mesti melaporkan diri mereka pada meja pendaftaran bagi memastikan kehadiran mereka.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Halim Mohamad menjelaskan, lebih membimbangkan mereka, jika mereka tidak hadir, tindakan akan dikenakan.

Menurut beliau, begitulah antara rungutan awam terhadap majlis yang bakal berlangsung pada Sabtu nanti yang turut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Katanya, PAS Kawasan Pasir Puteh cukup kesal dengan cara perangkap yang digunakan oleh Umno untuk memastikan kehadiran yang ramai pada majlis berkenaan.

"Kita tidak bimbang dengan himpunan berkenaan kerana kita terbukti dan mampu membuat himpunan yang lebih besar tampa perlu kerahan dan lapor diri peserta dalam setiap program yang diadakan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, beliau mencabar Umno agar memberi peluang kepada kakitangan awam untuk mereka tidak hadir pada program berkenaan dan jangan dibuat kaunter lapor diri yang merupakan suatu amalan politik lama yang digunakan.

"Sebaliknya, Umno perlu meninggal politik tipu dan beralih kepada budaya politik ilmu bagi menjadikan rakyat bebas menentukan keputusan mereka tanpa lagi terkongkong dengan budaya politik tipu," katanya.

Mengulas lanjut berkaitan kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri pada majlis itu nanti, beliau berkata, kedatangan Perdana Menteri ke majlis itu jelas menunjukkan bahawa Umno Pasir Puteh sedang mencari semangat di sebalik masalah dalaman yang berlaku dan gagal menjawab isu sekitar yang menyebabkan ahlinya hilang tumpuan.

Katanya, majlis pemimpin bersama rakyat yang kononnya bakal dihadiri ribuan ahli Umno itu jelas menunjukkan himpunan gelombang merah yang diadakan baru-baru ini gagal dan tidak diterima rakyat, sehingga mereka terpaksa membawa presiden parti ke dalam kawasan Pasir Puteh.

PAS Pasir Puteh juga, katanya, ingin menasihatkan Perdana Menteri agar menunaikan segala janji yang ditaburkan terlebih dahulu sebelum hadir ke Pasir Puteh atas dakwaan sebagai tanda beliau menghormati rakyat Kelantan seperti yang didakwa oleh Umno.

"Antara janji yang belum ditunaikan itu termasuk menyiapkan projek Kerajaan Pusat yang banyak terbengkalai dan termasuk juga memberikan royalti Petroleum kepada rakyat Kelantan," ujar beliau


Harakahdaily

Dr D Jeyakumar dan lima lagi ditahan mengikut Ordinans Darurat

Posted: 02 Jul 2011 01:34 AM PDT

Ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula mengikut Ordinans Darurat (EO) sebaik mereka dibebaskan pada jam 2 petang tadi.

Menurut peguam mereka, antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput A Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.

Menurut tweet PSM sebelum ini, mereka akan dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur.


Bendahari PSM Siva Rajan pada sidang media di luar mahkamah Butterworth berkata kumpulan itu dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang ini.

Namun, kata Siva mereka ditangkap semula oleh anggota polis dari Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan.

Ordinans Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai lalu ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini.

Kebanyakan aktivis hak asasi manusia menganggap Ordinans Darurat lebih kejam daripada ISA. Seperti ISA, tidak perlu perintah reman daripada mahkamah untuk tangkapan seumpama ini.

Lazimnya, sejak beberapa tahun lalu, EO digunakan oleh polis bagi mengehadkan pergerakan mereka yang disyaki sebagai samseng dan terbabit dengan aktiviti haram dan kongsi gelap.


Malaysiakini

BERSIH 2.0: 14 lagi ditangkap di Alor Setar

Posted: 01 Jul 2011 10:46 PM PDT



Polis Kedah hari ini menahan 14 orang yang sebahagian besar mereka ahli PKR kerana didakwa bersubahat untuk cuba menghasut orang ramai menyertai perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.

Semua mereka ditahan pada kira-kira jam 9.20 pagi ketika cuba mengadakan sidang media bagi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu dan membantah tindakan polis menahan aktivits BERSIH di sebuah restoran di Pekan Koboi di Alor Setar.


Antara yang ditahan ialah, Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah, Suraya Hashim; Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Gooi Hsiao Leung dan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud.

kedah pkr arrested by police bersih 020711 02Mereka juga didakwa cuba menjual kemeja T kuning dengan logo BERSIH.

Sebelum sidang media mereka sempat bermula , polis terus menyerbu dan mengheret beberapa pemimpin PKR itu yang dijadual berucap ke tepi sehingga mencetuskan kekecohan.

Gooi menjerit: "Beritahu kami apa dakwaannya sebelum tangkap kami.

"Ini tidak demokratik," katanya.

Namun, rayuannya tidak dihiraukan oleh pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Adzman yang terus mengheretnya tanpa memberitahu apa dakwaanya.

Hampir 100 anggota polis berkawal di tempat aktivis berkenaan dijadual berucap.

Amaran polis

Ketika dihubungi Gooi berkata mereka kini ditahan Pusat Latihan Mentalon, Anak Bukit tetapi belum dimaklumkan mengenai dakwaan yang bakal dikenakan itu.

Katanya, ahli PKR lain yang ditangkap termasuk Fazil Shari, K Naidu, Suraya Hashim, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan ahli majlis Leslie Daniel.

kedah pkr arrested by police bersih 020711 gooi hsiao leung"Kami baru hendak mula sidang akhbar tetapi polis terus serbu. Ini amat memeranjatkan dan mengarut," katanya.

Sementara itu ketua polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa bersubahat untuk mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau mana-mana majlis yang berkaitan BERSIH yang tidak mempunyai permit.

"Kita juga sedang memantau semua ceramah di negeri ini. Kita memang bersiap sedia," katanya kepada wartawan.

"Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak untuk menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.

"Jika ada yang degil dan berkeras mahu menyertai majlis-majlis ini, berfikirlah dua kali dahulu," tegasnya lagi.

Malaysiakini

Perhimpunan Haram di Komtar : Ezam ditahan Polis.

Posted: 01 Jul 2011 09:08 PM PDT

GEORGETOWN - Polis semalam menahan lapan individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Ezam Mohd Nor kerana menyertai satu demonstrasi di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, tujuh ditahan semasa demonstrasi manakala Ezam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berumur antara 27 tahun dan 46 tahun.


"Mereka ditahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan berdegil kerana tidak mahu bersurai ketika diarahkan berbuat demikian manakala Ezam turut memberi ucapan pada perhimpunan itu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Ayub berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menganjurkan perhimpunan tanpa permit.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan tanpa permit.

Terdahulu, seramai kira-kira 1,500 orang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman dengan berarak dari Masjid Melayu Lebuh Aceh ke Komplek Tun Abdul Razak (Komtar), di sini semalam.

Perarakan sejauh kira-kira enam kilometer yang bermula 2.45 petang itu bagi membantah perhimpunan Bersih 2.0 dan pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa menyokong perhimpunan itu.


Sinar Harian

Tiada ulasan: