Ajijoi |
- Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
- Bersih mahu menghadap Agong, sedia batalkan himpunan Sabtu ini
- Bersih boleh jika distadium, kata Najib. Persoalannya, muat dan selamatkah?
- Bersih 2.0: Cabar Mufti keluarkan hujah dan dalil perhimpunan itu haram - Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak
- Bersih 2.0: Agong minta berunding, tidak mengharamkan
Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Posted: 04 Jul 2011 02:35 AM PDT Parti Islam SeMalaysia (PAS) menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keperihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini. Titah Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini. Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan parti politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa. PAS percaya bahawa asas penyebab bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihan raya umum diadakan. Sejak sekian lama ini, kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) 4 Julai 2011 / 2 Syaaban 1432 H |
Bersih mahu menghadap Agong, sedia batalkan himpunan Sabtu ini Posted: 04 Jul 2011 12:18 AM PDT PETALING JAYA, 4 Julai — Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, Bersih 2.0 akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sambil berkata gabungan itu berhasrat untuk menghadap baginda sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian. Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) yang baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mengumumkan pendirian itu pada sidang media di sini tengah hari ini. Ambiga berkata keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat yang diadakan malam tadi ekoran titah Yang di-Pertuan Agong. "Bersih 2.0 menjunjung penghargaan yang tinggi ke atas Yang di-Pertuan Agong atas sokongan baginda berhubung aspirasi melakukan pembaharuan sistem pilihan raya. "Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia," kata beliau dengan membacakan kenyataannya di sini hari ini. Ambiga menambah Bersih 2.0 akan menulis kepada Istana Negara hari ini untuk meminta perkenan diadakan satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong. Beliau enggan menyatakan apabila ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi telah dibatalkan memandangkan baginda menekankan bahawa demonstrasi jalanan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sebaliknya kata Ambiga, satu pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja pertemuan itu menjadi kenyataan. Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Ambiga berkata: "Ya." Semalam, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya." "Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah baginda dalam satu kenyataan. Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. "Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora," titah baginda. "Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara," titah baginda lagi. Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat. Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan. Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat. |
Bersih boleh jika distadium, kata Najib. Persoalannya, muat dan selamatkah? Posted: 03 Jul 2011 09:14 PM PDT Cukup ke stadium nak menampung kebanjiran orang ramai yang dah tak sabar nak berhimpun untuk kempen Bersih 2.0 nanti? Selamatkah jika terkepung didalamnya? Stadium Bukit Jalil hanya mampu menampung 100,000 orang sahaja berbanding dengan lebih 500,000 yang telah bersedia untuk turun berhimpun. Kalau hanya peserta Bersih yang memenuhi stadium, mungkin keamanan dan tiada kejadian yang tak diingini dapat dijanji serta direalisasikan. Tetapi bagaimana pula jika terdapat puak-puak Patriot dan Perkasa yang memang sejak awal-awal lagi beriya- iya ingin menggagalkan perhimpunan Bersih dan menimbulkan provokasi pada hari tersebut. Ternyata saranan pihak penganjur Bersih 2.0 agar pihak Polis memainkan peranan mereka secara saksama dan professional, menetapkan laluan yang sesuai serta mengawal keadaan tanpa memilih warna dan dari pihak mana, pasti perhimpunan aman yang dijanjikan sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia menentang ketidakadilan dan pilihanraya yang bersih mencapai sasarannya. Penganjur telah menjanjikan AMAN, tetapi sehingga ke hari ini, pihak lain pula yang tidak berasa aman. Mengapa ketidakadilan perlu dipertahankan? Negara kita perlukan BERSIH. Najib: Kami sedia benarkan Himpunan Bersih di stadiumKUALA LUMPUR, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia untuk membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium. "Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa. "Kami bersedia menyediakan mereka satu stadium bagi mereka untuk berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes. Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara," kata beliau. |
Posted: 03 Jul 2011 08:23 PM PDT IPOH, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Norazli Musa mencabar Mufti Perak menyemak Perlembagaan Negara sebelum mengeluarkan kenyataan yang dangkal serta mengklasifikasikan Himpunan Bersih itu haram. "Himpunan Bersih itu bukan haram.. kerana tujuannya adalah jelas untuk menuntut keadilan, tetapi media dan kerajaan yang mengklasifikasi sebaliknya, dan ia sama sekali tidak menyanggahi Perlembagaan Negara," jelas Ustaz Norazli Musa Beliau berkata Tan Sri Harussani Zakaria sepatutnya bukan sekadar mendengar pandangan dan khabaran dari media sebelum menjatuhkan hukum halal haram. "Seseorang itu mesti berada di lokasi bekenaan, melihat dan mendengar apa yang diperjuangkan dan barulah boleh mengeluarkan dalil mengenai hukum halal atau haram terutama dalam Himpunan Bersih itu," tegas ustaz Norazli Harussani menyifatkan Himpunan berkenaan (yang belum diadakan) sebagai haram dan usaha menjatuhkan imej negara pada mata dunia. Beliau juga berkata himpunan itu tidak mendatangkan faedah. Ustaz Norazli berkata yang peliknya, Harussani tidak sedikitpun memberi ulasan daripada sudut agama bersesuaian dengan kedudukannya tetapi lebih berminat mengulas daripada sudut pengaruh politik. Oleh itu seeloknya, kata beliau, sudah sampai waktunya Umno memberi peluang kepada Harussani yang berminat berpolitik untuk bertanding pada pilihan raya Umum nanti untuk melihat kemampuan dan keadilan yang boleh dilaksanakannya dalam UMNO. Umno juga wajar melantik Harussani sebagai ketua Majlis Ulama Umno agar dapat memberi nasihat dan fatwa langsung kepada Umno yang sehingga ini belum berbuat demikian, tegas beliau. Harussani dilihat tidak konsisten dan tetap dalam memberi pandangan kerana sebelum ini dalam isu perarakan kepala Lembu di Shah Alam dan rampasan kuasa di Perak, beliau sekadar mendiamkan diri. Ustaz Norazli berkata, benarlah Ulama akhir zaman ini terbahagi kepada dua golongan iaitu yang bersuara atau bercakap berasaskan agama, manakala sebahagian lagi bercakap untuk kepentingan dirinya. "Ada Ulama yang memperjuangkan kebenaran ilmunya, manakala sebahagian lagi ulama menjual ilmunya," kata Ustaz Norazli. |
Bersih 2.0: Agong minta berunding, tidak mengharamkan Posted: 03 Jul 2011 04:22 PM PDT Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini. Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut: Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat. Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin. Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara. Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan. Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun. Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran". Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik. Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. |
You are subscribed to email updates from Ajijoi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan