Isnin, 18 Julai 2011

Addin

Addin


Hinanya Anak Negeri, Istimewanya Pendatang Asing

Posted: 18 Jul 2011 09:28 AM PDT

Betapa hinanya Anak Negeri Sabah kerana Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tanpa teragak-agak menghantar jentolak untuk meranapkan rumah mereka di beberapa kampung di Likas, Inanam dan Sepanggar atas alasan rumah mereka adalah Setinggan; sinonim dengan pepatah Melayu, hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat. Tetapi bagi PATI yang berasal daripada Pulau Gaya setelah mendapat kad pengenalan projek, Haji Sidek, dengan bantuan Datu Akjan Datu Ali Muhammad yang mengangkat sumpah sebagai Sultan Sulu, Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Sultan Shariful-Hashim II; begitu bermegah dengan Istana yang dibina secara haram di atas tanah simpanan milik kerajaan di Kampung Likas, Kota Kinabalu. 
 

Haji Sidek membeli lot tanah berkenaan seluas 900 kaki persegi tetapi telah menceroboh tanah simpanan kerajaan dengan membina dua buah rumah di satu lot kosong dengan keluasan yang sama tetapi direzabkan untuk kegunaan kerajaan (open space). Walaupun isu ini telah hangat di Facebook sejak jun tahun lalu, namun DBKK seolah-olah tidak mempedulikan keluhan rakyat, sekalipun Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai turut memberi respon sambil lewa. 

Yeo Boon Hai memberi komen dengan mengatakan bangunan tersebut adalah dalam tanah persendirian, cuma tidak ikut syarat DBKK maka OC tidak di luluskan. "Tadi pagi saya sudah arah architectnya waktu memenuhi syarat DBKK". Namun setelah didesak, Yeo Boon Hai akhirnya mencatatkan, "According to my officer, both are in their land. One has to go. We are waiting for their architect to respone..." Namun seorang Forumer, Ansari Abdullah menyatakan bahawa rumah tersebut bukan dalam geran hak milik tetapi dalam tanah simpanan jalan awam yang sekarang ini dipagar secara haram. 

Ini menghalang penglihatan pengguna jalan raya dan sudahpun menyebabkan beberapa kemalangan Jalan Raya. Bagaimanapun Yeo Boon Hai tidak lagi memberikan sebarang respon sehingga kini dan tidak ada sebarang tindakan daripada DBKK. Dalam pada itu, seorang Anak Negeri Sabah, Hossin Bayani Omar berkata, beliau masih ingat bila DBKK beri surat amaran robohkan rumah orang kampung Tanjung Aru yang didirikan di tanah kerajaan sejak berpuluh tahun sebelum kelahiran beliau iaitu 42 tahun lalu, tanpa sebarang pampasan. 

Tindakan kejam kerajaan tersebut kata Hossin hanya dipandang sebelah mata oleh Wakil Rakyat dan penduduk terpaksa akur robohkan rumah mereka untuk pembangunan jalan dan projek keindahan kampung. Tetapi sampai ke hari ini, janji tinggal janji. Sabahkini.net akan mendapatkan penjelasan daripada Datuk Bandar, Datuk Abidin Madingkir dalam masa terdekat./sabahkini


Foto Anak Dan Pelangi Gempar Di Internet

Posted: 18 Jul 2011 06:11 AM PDT


Tak diragukan lagi, ini mengharukan bagi seorang ibu yang mencintai anaknya. Nampak pelangi menghiasi seorang anak muda yang tengah berdiri di atas batu dan memandang laut. Avena Singh menyedari bahawa dirinya hanya memiliki waktu beberapa detik untuk merakam gambar anaknya yang berusia tiga tahun di kawasan Shore Acres State Park, Oregon, Amerika Syarikat. 


Meskipun anaknya sedang membelakangi Singh, foto itu tetap tidak kehilangan keindahannya. Singh, 35, bekerja di perguruan tinggi dan fotografer amatur dari Oregon sangat senang melihat gambar itu. "Taman ini hanya beberapa km dari rumah kami dan laporan cuaca menyebutkan adanya gelombang tinggi di kawasan itu. Saya sempat melihat sisa-sisa pelangi," kata Singh.

Setelah melihat foto itu, banyak teman Singh memintanya mengunggah ke internet untuk mempamerkan keindahan itu. "Ini sangat luar biasa. Anak-anak merupakan segalanya bagi dunia saya," tegas Singh./bk


Melaka Lanjutkan Operasi Pusat Hiburan Sehingga Jam 3 Pagi

Posted: 18 Jul 2011 12:20 AM PDT

Di sebalik usaha kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan PAS mahu menutup bar, disko dan kelab karaoke pada bulan Ramadan yang akan datang, lain pula yang berlaku di negeri Melaka. Negeri Melaka di bawah kerajaan BN, baru-baru ini pada mesyuarat Exco telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.Malaysiakini difahamkan, tindakan itu seiring dengan kepesatan pembangunan sektor pelancongan Melaka di samping mendapat permintaan daripada pengusaha pusat hiburan terbabit.Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditanya berkata, lanjutan masa hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad. Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis, pusat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.



"Ini adalah atas permintaan pengusaha pusat hiburan dan pelaksanaan ini hanya dibenarkan untuk 15 premis sahaja di Melaka Raya. "Bagaimanapun, sekiranya mereka ingkar melanjutkan waktu operasi dalam tempoh diberikan, kebenaran itu akan ditarik balik," katanya.

Ditentang pelbagai pihak

Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.Sementara itu, keputusan yang dibuat kerajaan negeri Melaka itu ditentang banyak pihak termasuk dari kalangan ahli Umno sendiri.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tangga Batu, Muhammad Ahyad Abdullah yang merasakan keputusan itu mengambarkan keseronokan sesetengah pihak yang berkepentingan.

"Mereka lupa keadaan ini akan membiarkan lebih banyak perkara tidak senonoh berlaku di negeri Melaka. Sudahlah pusat hiburan muncul bagaikan cendawan tumbuh ditambahkan pula tempohnya dilanjutkan hingga ke jam 3 pagi."Cukuplah, keruntuhan akhlak yang berlaku kini di kalangan warga muda dan peningkatan kadar jenayah disebabkan pusat hiburan dan keseronokan yang tidak ada batasnya," katanya.

Ketua Pembangkang dari DAP, Goh Leong San berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapat maklum balas dari semua pihak dan bukannya semata-mata meminta pandangan daripada pengusaha pusat hiburan sahaja.

"Tindakan ini menampakkan kerajaan negeri mengenepikan kepentingan rakyat hanya semata-mata mahu mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan daripada tindakan itu," katanya./mk


Dr. Lo Lo, Perginya Permata Mahal

Posted: 17 Jul 2011 10:29 PM PDT

Nama Dr Lo'Lo' agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun sebutannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang benama Lo'Lo' beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. Sifat ramah dan tamahnya sesekali sebagai ibu, kakak dan kawan membuatkan kita amat selesa berada dalam persahabatannya.Lo'Lo' tidak pernah mengecewakan permintaan rakan seperjuangannya dan selalu mendahulukan urusan parti dari kepentingan dirinya malah keluarganya sendiri. Selalu beliau bergurau dengan saya, tatkala saya membuat komplen terlalu sibuk dengan parti.

Dr Lo'Lo' menjawab awak takpalah muslimin (lelaki), saya muslimat terpaksa tinggalkan suami di rumah untuk urusan parti. Mendengar gurauan itu, ia benar-benar menyusup ke dada saya tentang kecekalan seorang sahabat dan seorang yang saya anggap kakak saya. Berita pemergiannya menyentap hati dan sanubari kerana suka duka kenangan seorang muslimat Pas yang bernama Dr Lo'Lo' Ghazali. Saya mula mengenali Dr Lo'Lo' semasa dalam kepimpinan pemuda dalam beberapa program parti. 

Kakak saya Aida Binti Haji Yusof Rawa seorang aktivis muslimat memperkenalkan saya dengan Dr Lo'Lo, malah Dr Lo'Lo' pernah menghadiri perhimpunan keluarga kami bagi meraikan keluarga besar Haji Yusof Rawa. Beliau diberi ruang berucap dan memuju Haji Yusof Rawa sebagai mempunyai keluarga yang besar dan anak-anaknya mampu menghimpunkan seluruh keluarga. Kehadiran Dr Lo'Lo' dalam majlis kami hari itu cukup menyerikan dan saya masih terkenang itulah pertama kali saya mengenali beliau dengan cara dekat.

Mulai itu saya menjadi rakan seperjuangannya apatah lagi semasa berada bersama dlam AJK Pas Pusat. Banyak masa bersama Dr Lo'Lo' ialah semasa kempen PRK. Beliau akan senantiasa aktif berkempen secara agresif dan kadang-kadang tak terdaya saya mengejarnya. Selalu beliau akan mengejek saya secara berseloroh: "Macamana ni muslimin (lelaki) dah tak larat, kami muslimat boleh jalan lagi ni" kecuali PRK Bagan Pinang, langkahnya perlahan malah dilihat tercungap-cungap keletihan. 

Walaupun saya dah biasa dengan Dr Lo'Lo' dalam siri-siri kempen, kali ini saya merasai Dr Lo'Lo' agak keletihan. Beliau menjawab, dia tak berapa sihat, malah dia cuma mampu berada sehari dua sahaja di Bagan Pinang. Saya merasa kekok bila Dr Lo'Lo' tidak hadir malah pernah menaliponnya, lalu dia menjawab tak berapa sihat. 

Saya pernah bersama Dr Lo'Lo' bermusafir ke luar negara dalam rombongan ahli Parlimen ke Gaza sejurus setelah Gaza di tawan Israel. Semangatnya yang cekal untuk bersama 10 orang ahli Parlimen PAS memang mengkagumkan. Sepanjang perjalanan beliau nampak bersemangat walaupun kami terpaksa beberapa hari di perbatasan Mesir dalam kesejukan. Begitu juga terpaksa melalui jalan darat ke Jordan, Syria, Dr Lo'Lo' tetap bersemangat.
Sememangnya semangat Dr Lo'Lo' terhadap perjuangan Palestine memang kental, malah dalam perjalanan beliau membeli mafla bersimbolkan Palestine itu dan memberikannya setiap seorang. Selebihnya saya membeli 10 mafla Palestine untuk saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sambil dia mengemaskan saya mafla Palestine dia berseloroh lagi "tak dapat pergi Gaza pun, promosi mafla Hamas pun dah kira pahala tu".

Ada juga peristiwa lucu ketika kami tersadai di Lapangan Terbang Damaskus gara-gara imigresen yang melambat-lambatkan kami. Dr Hatta yang terkenal kerana gurauannya yang tak kira tempat, berseloroh dengan kami sambil kami duduk di lantai dewan ketibaan.

Kata Dr Hatta sambil menunjukkan tangannya: "Ini orang-orang gaji yang tak ada tuan yang nak ambil depa, yang ini (tunjuk kepada Dr Lo'Lo') mahal sikit sebab dia putih yang ini (tunjuk kepada Dr Maria) murah sikit sebab hitam . . ." Kami tertawa dengan gelagat Dr Hatta dan Dr Lo'Lo' menampakkan wajahnya kemerahan nak tergelak dan marah pun ada. Itulah telatah bersama Dr Lo'Lo' dalam bermusafir ke Mesir, Syria dan Jordan.

Dalam Parlimen Dr Lo'Lo' sebagai Ahli Dewan Rakyat Titiwangsa, sememangnya lantang dalam Parlimen khususnya dalam soal-soal menegakkan keadilan dan membela isu Kampong Baru yang hendak
diperbadankan.

Saya masih ingat semasa kempen GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA, Dr Lo'Lo' dilihat mengedar badge GMI di Parlimen termasuk kepada wakil rakyat BN. Apa lagi, marahlah mereka dalam dewan kerana sikap "persuasive" Dr Lo'Lo' berkempen. Termasuk ketegasan Dr Lo'Lo' ialah tentang rokok, saya masih ingat perdebatan hangat di dewan tentang penajaan syarikat tembakau dalam sukan bolasepak.
Dr Lo'Lo' bertegang leher dengan Ahli Dewan Rakyat Arau, Yb Ismail Kassim yang bertegas bahawa jika tidak ada penajaan syarikat tembakau maka sukan bolasepak khususnya akan bungkus. Dr Lo'Lo' tetap bertegas bahawa tidak ada bezanya penajaan sukan dan bahaya merokok. 

Saya turut menyokong soal rokok ini di mana saya pernah mencadangkan supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Dr Lo'Lo' menyokong penuh saranan ini dan telah menjadi berita yang dipetik dalam hampir semua akhbar termasuk akhbar Cina.

Semasa sesi Parlimen terakhir baru-baru ini saya terkejut kerana diminta bertukar tempat dengan Dr Lo'Lo' yang asalnya berada di blok hadapan dan saya di blok belakang berjiranan dengan konsensus bebas. Kerana keuzuran, ADR Titiwangsa itu terpaksa berkerusi roda dan kerana itu perlu berada di blok belakang dan tempat saya menjadi pilihan menukar. 

Saya dan saya yakin, ramai dari kalangan wakil rakyat Pakatan dan BN akan merindui suara lantang Dr Lo'Lo'. Saya yakin pengundi beliau juga akan merindui Dr Lo'Lo' khususnya kebajikan yang diusahakan.

Dalam parti Dr Lo'Lo' sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline Kami Prihatin adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo'Lo' ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo'Lo' juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan Pas dan sikap keterbukaan Dr Lo'Lo' amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya.

Saya menulis ketika berita Dr Lo'Lo' meninggal dunia tersebar luas dan saya mahu menjadi orang yang pertama mendapat penghargaan menulis tentang Serikandi ini. Mungkin saya tidak mengenali Dr Lo'Lo' sepenuhnya tetapi saya yakin tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jikalau saya mengatakan Dr Lo'Lo' adalah permata dari lautan yang mahal nilainya untuk perjuangan ini. Ramai yang mempunyai nama yang hebat tapi tak ramai yang boleh hidup atas nama masing-masing.

Al Fatihah buat Dr Lo'Lo'.

Dr. Mujahid

TGHH - Malaysia Sahaja yang Halang Demokrasi

Posted: 17 Jul 2011 08:00 PM PDT

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan semua negara demokrasi kecuali Malaysia sahaja yang tidak membenarkan demonstrasi diadakan walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Jelas Ahli Parlimen Marang ini, mana-mana negara demokrasi membenarkan rakyat mengadakan demonstrasi untuk menyatakan hasrat dan rasa hati kepada pemimpin negara. Tegas Hadi, hanya negara komunis tidak membenarkan rakyat meluahkan perasaan mereka.



"Semua negara demokrasi moden mengizinkan rakyat meluahkan perasaan bukan sahaja melalui ahli Parlimen, (malah) melalui demonstrasi yang dibenarkan oleh kerajaan.

"Di mana kerajaan membenarkan demonstrasi (diadakan) dan polis bertindak mengawal keselamatan, yang tidak benarkan untuk demonstrasi hanya negara komunis," katanya pada sidang media di sini.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan.

"Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Najib.Kata Najib: "Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi).

Mengulas lanjut mengenai Himpunan Bersih 2.0 minggu lalu, Hadi berkata perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendapat respons yang menggalakkan daripada rakyat walaupun dihalang pihak keselamatan.

"Himpunan Bersih 2.0 yang kita sertai mendapat respons yang positif (daripada rakyat) dengan jumlah yang begitu besar yang datang," katanya yang terlebih dahulu mempengeruskan mesyuarat bulan parti Islam itu.

Minggu lalu ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya. Lebih 1,600 orang ditahan kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Tiada ulasan: