Isnin, 4 Julai 2011

Addin

Addin


Azmin Dan 2 Lagi ADUN PKR Di Panggil Polis Untuk Soal Siasat

Posted: 04 Jul 2011 05:00 PM PDT

Azmin ketika di soal siasat oleh polis
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan dua lagi pimpinan Pakatan Rakyat, disoal siasat polis berhubung Perhimpunan Bersih yang dijadual 9 Julai ini. Selain Azmin, Adun Sekinchan, Ng Swee Lim dan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei turut dipanggil memberi keterangan kerana didakwa mempromosikan perhimpunan aman itu. Azmin didatangi anggota polis dari ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di ibu pejabat KEADILAN pada jam 2 petang tadi.


Beliau yang ditemani peguam, N Surendran disoalsiasat selama 30 minit berhubung kandungan ceramah di Desa Mentari pada 25 Jun lalu. Sementara Shuhaimi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor pula dipanggil untuk disiasat kali kedua di Balai Polis Klang, kira-kira jam 2 petang tadi.

Ia berhubung kandungan ceramah di Dewan MPK Taman Klang Jaya, 26 Jun lepas. Menurut Shuhaimi, beliau kesal kerana polis lebih berminat menyiasat isu 'Bersih' berbanding video lucah yang lebih memudaratkan masyarakat dan jelas satu perbuatan jenayah.

"Agaknya polis hari ini memilih kes tertentu sahaja untuk di siasat dan seakan patuh pada arahan UMNO BN, bukan pada aduan yang dibuat," katanya pada satu kenyataan media.

"Peliknya, kenapa aduan saya dan rakan Angkatan Muda Kota Raja kepada akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat pada Januari 2011 kerana menghasut tidak disiasat," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tiada tindakan yang diambil terhadap laporan dan aduan beliau bersama lima Ketua Kampung berhubung pengedaran VCD lucah berunsur fitnah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berhubung isu Bersih yang berat sebelah pula menyemarakkan lagi kebencian rakyat pada pasukan keselamatan, katanya./KD


Pakatan Rakyat Mengadap Agong, Mesyuarat Tergempar Rabu

Posted: 04 Jul 2011 08:33 AM PDT

Pakatan Rakyat akan mengadap Yang di Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memohon campurtangan baginda berhubung kepincangan dalam sistem pilihan raya di negara ini.Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali hari ini memberitahu satu mesyuarat tergempar akan diadakan pada hari Rabu ini untuk memperincikan perkara tersebut. "Datuk Seri Anwar dah bercakap dengan (Presiden Pas) Haji Hadi dan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dari London dan ketiga-tiga parti bersetuju mengadakan mesyuarat tergempar Rabu ini dan kita bincangkannya secara terperinci.

"Kita pastinya akan memohon mengadap Yang Di Pertuan Agong sebelum 9 Julai ini supaya kita boleh mempersembahkan kes kita kepada Yang Di Pertuan Agong dan juga membawa bukti akan wujudnya penipuan dan kecacatan dalam proses pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," kata Azmin ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Sementara itu, PAS akan menghantar wakil dalam Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang akan turut mengadap baginda. Bagaimana pun, menurut Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, perhimpunan itu akan tetap diteruskan dan isu untuk membatalkannya tidak berbangkit.

"(Batalkan perhimpunan) itu tidak berbangkit sebab Bersih tidak batalkan," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini. Mohamad Sabu berkata, Pas berpendirian parti itu akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat NGO itu.

Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar kerajaan mengadakan rundingan dengan Bersih 2.0, yang mahu menganjurkan himpunan pada 9 Julai bagi memastikan kerajaan melaksanakan kpilihan raya bebas dan adil./KD


Inkues Sarbani : Balu Beritahu Suami Di Aniaya

Posted: 04 Jul 2011 03:32 AM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Balu Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mendedahkan bahawa suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal April lalu kerana telah dianiayai oleh ejen berhubung baucer bernilai RM100. Bercakap pada inkues yang bermula hari ini, Maziah Manap, 50, menceritakan peristiwa yang berlaku antara 1 dan 6 April lalu. Dia menceritakan peristiwa itu apabila disoal Abazafree Abas yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues. "Pada 1 April (sebelah pagi) saya mendapat panggilan daripada anak mengatakan abah nak cakap kerana kawan abah ada tapi saya tak sempat cakap, panggilan terputus. "Ketika saya pulang ke rumah pada pukul 9 malam anak beritahu saya abah tidur di SPRM, saya cuba hubungi dia tapi tak dapat," kata Maziah.

Kata Maziah, pada keesokan hari dia cuba untuk menghubungi suaminya pada sebelah pagi namun gagal. Sebaliknya, Maziah berkata dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya yang berbunyi "kalau kita di pihak benar Allah akan bantu, kalau boleh baliklah sebab esok kita ada kursus haji."

"Kemudian pada pukul 11 pagi suami hubungi minta ambil dia di pejabat SPRM, suruh datang naik teksi sahaja. "Ketika tiba di sana, saya disoal oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Ghani berkenaan harta saya dan saya ceritakan semua sekali tapi saya dipersoalkan berkenaan dengan wang KWSP.

"Pegawai itu tanya dari mana datang duit dan saya beritahu ia adalah duit KWSP dan saya keluarkan sebahagian sebab dah berumur 50 tahun. "Tapi saya terus dipersoalkan oleh pegawai itu dan saya minta senaraikan dokumen yang diperlukan agar saya boleh sediakan," katanya.

Kemudian kata Maziah, dia akhirnya dibenarkan untuk menemui suamninya di tingkat atas pejabat SPRM. Dia bertanya kepada suaminya mengenai tindakan SPRM itu. "Dia kata ejen aniaya dia, saya tanya macam mana dan dia kata pasal baucer berharga RM100.


"Ejen sudah mengaku RM70 ejen ambil dan RM30 suami saya... suami kata dia tak ambil dan tidak terima baucer itu," katanya. Pada 4 April, Maziah berkata suaminya memberitahunya akan ke pejabat SPRM kerana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.

"Pada sebelah malam suami bercakap kepada 'apalah orang SPRM ini, saya ada tiga kereta tapi suruh kata empat kereta'. "Saya tanya mana datang lagi sebuah, suami kata masuk kereta yang sudah dijual," katanya./TMI


Pelajar Mati Tergantung Selepas Terima Saman Trafik

Posted: 04 Jul 2011 01:22 AM PDT

JASIN - Seorang pelajar berusia 15 tahun dijumpai mati tergantung di rumahnya di Taman Bemban Utama, Jasin, Melaka petang kelmarin, selepas menerima saman polis kerana kesalahan trafik. Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mayat M. Rajathurai, pelajar Sekolah Menengah Seri Bemban ditemui ibunya ketika membuka pintu bilik yang tidak berkunci. S. Chinammah, 49, berkata dia terkejut dengan kejadian itu selepas beberapa jam anaknya menerima saman daripada polis atas kesalahan trafik yang dilakukannya.


"Semuanya bermula apabila saya meminta dia (Rajathurai) ke kedai untuk membeli barang tetapi menyuruhnya berjalan kaki atau berbasikal.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka anak saya menaiki motosikal milik rakan abangnya secara senyap untuk ke kedai," katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Chinammah berkata dia hanya mengetahui anaknya itu disaman polis selepas kereta peronda datang ke rumahnya untuk mengambil Mykad.

Katanya, polis yang membawa anaknya itu turut memaklumkan Rajathurai ditahan di persimpangan taman perumahan kerana tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu.

"Selepas memberikan Mykad, polis membawa anak saya ke balai berhampiran, kira-kira dua kilometer dari rumah dan di sana mereka mengeluarkan saman kepada anak saya.

"Saya menegur kesalahannya dan sepanjang perjalanan membawa dia pulang ke rumah dengan berjalan kaki, Rajathurai kelihatan seperti ketakutan dan hanya diam sehingga sampai di rumah," katanya.

Katanya, kali terakhir dia melihat anaknya itu ketika sedang makan nasi sebelum masuk ke biliknya untuk tidur kira-kira pukul 3 petang.

"Saya menjenguknya dua kali dan lihat dia sedang tidur, namun kira-kira pukul 5 petang ketika masuk semula ke biliknya untuk meminta pertolongan membeli kelapa, Rajathurai kelihatan tergantung di siling dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi," katanya./TMI


BERSIH : Polis Panggil Azmin Ali Beri Keterangan Petang Ini

Posted: 03 Jul 2011 09:59 PM PDT

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, berhubung isu Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Beliau dijangka memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Seksyen 8, Petaling Jaya pada pukul 2.30 petang. Ia merupakan kali kedua beliau diminta berbuat demikian dalam tempoh seminggu. Ahli Parlimen Gombak itu dirakamkan kenyataannya oleh pihak polis di lobi parlimen pada 28 Julai lalu, bersama seorang lagi Ahli Parlimen Padang Jerai, Mohd Firdaus Jaafar. Menurut Azmin, pada masa itu, mereka disiasat atas "dakwaan mengundang" orang ramai menyertai Perhimpunan Bersih dalam satu ceramah yang dihadirinya./KD


Prof. Aziz Bari - Kerajaan Lawan Perlembagaan Bererti Menentang Agong

Posted: 03 Jul 2011 08:46 PM PDT

KUALA LUMPUR - Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan boleh didakwa menentang Yang Dipertuan Agong, sekiranya gagal melaksanakan perlembagaan yang antara lain menjamin pilihan raya bebas dan kebebasan berhimpun. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah khas Tuanku Mizan Zainal Abidin, berhubung perhimpunan aman Bersih, malam tadi. "Kerajaan tidak boleh gunakan titah ini untuk kepentingan mereka. Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 


Kalau mereka gagal lakukan apa yang dikehendaki perlembagaan, mereka boleh dituduh menentang Agong," Ujar Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu. Menurut Aziz, Titah baginda yang menyeru kedua pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian perlu difahami dalam konteks yang terkandung dalam perlembagaan. 

"Agong tidak menggelar himpunan Bersih haram, baginda cuma titah demo tidak semestinya cara terbaik. "Dan saya fikir baginda juga mengingatkan kerajaan," Ujarnya dalam kenyataan khas kepada Keadilandaily.com. Menurutnya, rakyat perlu akur bahawa baginda bertitah sebagai ketua negara dan dalam peranan itu, baginda tidak boleh menunjukkan sikap emosional. 

"Mungkin ada bahagian titah itu yang kita tidak selesa tetapi kita harus letakkan diri kita di tempat baginda supaya faham kedudukan dan sensitiviti yang baginda perlu ambilkira. "Perlu disedari apa yang dituntut bukan kepentingan Bersih tetapi kehendak dan semangat perlembagaan," ujarnya lagi. 

Ketika ditanya kemungkinan berlakunya darurat, ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan hal itu kepada polis minggu lalu, Aziz yakin perkara itu tidak akan berlaku. "Darurat diisytihar oleh Agong selalunya atas nasihat kerajaan tetapi dalam senario sekarang, saya tak fikir kerajaan berani menasihatkan Agong isytihar darurat. 

"Saya fikir ini peluang untuk Bersih mendesak tahanan dibebaskan serta merta. Begitu juga rampasan yang dibuat. Jika polis enggan mereka bukan sahaja melanggar perlembagaan malah engkar titah Agong," kata merujuk enam individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini. Kata Aziz, tindakan polis yang sewenangnya menangkap mereka, tidak selaras dengan kehendak perlembagaan.

"Alasan yang mereka berikan tidak masuk akal. Mereka kata mereka ikut undang-undang. Soalnya apakah semangat dan tujuan asal undang-undang itu mereka pertimbangkan? "Ramai yang terpinga-pinga dengan penggunaan ordinan darurat, tuduhan komunis dan lain lain. 

"Apalagi tahun lalu Hishamuddin sendiri mengatakan yang Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan darurat. "Pendeknya menteri dan polis tidak konsisten dalam hujah dan tindakan mereka," katanya./KD


17 Di Tahan, Polis Serbu Kompleks PAS Jasin Tanpa Waran

Posted: 03 Jul 2011 08:22 PM PDT

Gambar Hiasan
JASIN - Ketakutan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap gelombang kuning mendorong polis menahan seramai 17 pemimpin dan ahli PAS yang mengikuti seminar 'PAS Ganti Umno' di Kompleks PAS Jasin di sini, petang tadi. Tangkapan dibuat berikutan penemuan lebih 100 baju-T Bersih 2.0 di satu meja di kompleks berkenaan, walaupun tiada seorangpun peserta seminar memakainya. Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Jasin, Hasbullah Pit berkata, polis tidak menunjukkan sebarang waran geledah ketika membuat serbuan kira-kira jam 2 petang itu.



Bercakap kepada KeadilanDaily, beliau berkata, kumpulan polis yang tentunya diperalat pimpinan Umno BN, kemudian merampas semua t-shirt Bersih itu.

Antara yang ditahan ialah Ali Mahadi Rashidi (Setiausaha Kerja PAS Melaka), Azizan Anuar (Setiausaha Pemuda Jasin), Yuhaizad Abdullah (Ketua Pemuda PAS Melaka) dan Fauzi Maelah (Ketua Penerangan PAS Jasin).

Beberapa Ahli Jawatankuasa PAS kawasan turut ditangkap, antaranya Abdul Hannan, Haji Samsudin, Adnan Abu, selain beberapa ahli lain termasuk peserta dari Kesang dan Simpang Kerayong. Sehingga jam 8.30 malam ini, mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Tindakan polis itu mendorong penyokong parti itu berkumpul depan balai polis berkenaan bagi mendesak pihak berkuasa segera membebaskan semua 17 orang itu./KD

Kenapa Polis Terlalu Bacul?

Posted: 03 Jul 2011 07:00 PM PDT

Terpanggil saya sebagai mahasiswa yang melihat perkembangan politik tanah air sekarang apabila melihat sendiri polis yang laungkan "kami berintigeriti" "kami adil telus dan amanah" sudah lari dari motifnya. maaf saya katakan sedemikian, sebagai anak muda yang melihat sendiri malah berfikir dengan perkembangan suasana Malaysia sekarang amatlah jauh berbeza dengan negara demokrasi yang lain.Malah boleh dikatakan polis Malaysia sama saja dengan pihak polis semasa pemerintahan Husni Mubarak di mesir sebelum terjadinya rusuhan.

Dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis bukan sahaja mengisytiharkan perhimpunan 9 Julai itu adalah haram tetapi juga melarang penggunaan kemeja kuning dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH. 

Dukacitanya, ramai dari pengikut Pakatan Rakyat yang memakai baju Kuning telah ditahan oleh pihak polis namun dalam akhbar hari ini yang dipetik dari Malaysikini atas tajuk "LOKMAN MAHU SAMAN SAIFUDDIN RM 500,000.99" terpampang gambar pemuda UMNO ini memasuki balai polis dengan pakaian rasmi perhimpunan 9 Julai akan datang yang tidak di kenakan sebarang tindakan atas pemaikaian mereka itu. adakah ini ADIL? 

Sepekara lagi,mari kita rujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri dalam akhbar Malaysiakini bertarikh 29 Jun atas tajuk "HISYAM: HARAM PAKAI BAJU BERSIH, BOLEH DITANGKAP." Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju yang berkaitan dengan aktiviti haram. 

Jadi amatlah tidak berakhlak boleh saya katakan kepada pihak yang hanya menyerang sebelah pihak tanpa melihat pihak yang lai,n dalam masa yang sama menghukum mereka dan membebaskan yang lain.Contohnya pengikut Pakatan hanya memasuki pasar dengan pakaian Kuning telah ditangkap, tapi satu lagi pihak masuk kedalam balai polis dengan pakaian Merah PATRIOT. Sedangkan kenyataan polis mana-mana perhimpunan 9 Julai adalah HARAM./hrkh

Addin :

Polis semakin bacul kerana ramai golongan 'carma' bak kata Dato' A. Samad Said dalam pasukan ini..

Tiada ulasan: