WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Unggun Bersih. A Samad Said
- TAK BANGANG KE GITU???
- Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis
- Anwar: Najib, saya tahu apa kamu buat di PD
- Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr Nasir
- SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0, Kata Dr Haron Din
- Arutchelvan: Tohmahan KDN dan polis terhadap PSM adalah tindakan terdesak
- Bersih 2.0: Siapa pengkhianat
- PR Mahu Ambil Alih Teraju Negara, Bersihkan 'Kekotoran' Sedia Ada
- PAKAI BAJU KENA TAHAN.BAIK JANGAN PAKAI BAJU
- Siapa Perlu Tonjolkan Diri Sebagai Anak Jantan?
- Najib Lemah, Peluang Sasar 11 Negeri PRU-13 Cerah-Kit Siang
- Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih
- Pakai T-Shirt Bersih Tulis Jawi, Pemuda PAS Ditahan Polis
- Bersih 2.0 : Polis Siasat MP Sg Siput, 29 Lain Mahu Perangi Agong
Posted: 26 Jun 2011 08:04 PM PDT Unggun Bersih A Samad Said Semakin lara kita didera bara - kita laungkan juga pesan merdeka: Demokrasi sebenderang mentari sehasrat hajat semurni harga diri. Lama resah kita - demokrasi luka; lama duka kita - demokrasi lara. Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi; suara bebas yang utuh, kita idami! Dua abad lalu Sam Adams berseru: (di Boston dijirus teh ke laut biru): Tak diperlu gempita sorak yang gebu, diperlu hanya unggun api yang syahdu. Kini menyalalah unggun sakti itu; kini merebaklah nyala unggun itu. 24—25, 6.11. | ||
Posted: 26 Jun 2011 07:43 PM PDT Dihalau keluar masjid kerana pakai baju Bersih
| ||
Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis Posted: 26 Jun 2011 07:25 PM PDT Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis June 27, 2011 KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini. The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu. Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul "Unggun Bersih". Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat "Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/". Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau. Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi. Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini. Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini. Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno. "Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini)," kata beliau dalam mesej Twitternya. Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis. "Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!," kata beliau dalam mesej Twitternya. Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa "murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini." "Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan," kata beliau. Beliau seterusnya berkata, "kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?" "Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela? "Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni," kata Samad lagi.
| ||
Anwar: Najib, saya tahu apa kamu buat di PD Posted: 26 Jun 2011 07:20 PM PDT Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak perdana menteri ekoran kenyataanya bahawa "mencari kebenaran" adalah paling penting untuk menentukan sama ada lelaki dalam video seks adalah Anwar. Memandangkan pakar asing dilaporkan berkata video - yang menunjukkan pasangan melakukan aksi seks dalam sebuah bilik - 99.99 peratus menyerupai Anwar, maka Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata rakyat boleh menghakimi sendiri ketulenan video tersebut. Anwar berkata Najib dan isterinya, Rosmah Mansor tidak layak bercakap tentang moral, walaupun ketua umum PKR itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya. Katanya, beliau telah dicabar untuk mendedahkan apa yang beliau tahu tentang Port Dickson. Anwar merujuk kepada satu skandal yang didakwa berlaku pada pertengahan tahun 1980-an, ketika berucap dalam ceramah di Pokok Sena, Kedah malam tadi. Bagaimanapun, kata Anwar, bukan cara beliau untuk mencerca atau memfitnah hanya untuk menang. Sebaliknya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau mahu menang dengan moral yang mantap. Berucap kepada kira-kira 700 hadirin, Anwar berkata kerajaan Najib tidak memberi respons sewajarnya terhadap semua isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. | ||
Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr Nasir Posted: 26 Jun 2011 07:12 PM PDT SHAH ALAM 27 JUN : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu ada keberanian terlebih dahulu untuk menunaikan segala tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0, jika mahu mencabar Pakatan Rakyat bersaing di arena itu pada pilihan raya umum akan datang. Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim yang juga bekas tahanan Bersih 1 pada 2007, Najib sepatutnya hanya mencabar Pakatan Rakyat bertanding selepas beliau melaksanakan gesaan rakyat di bawah gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan di negara ini yang mahukan pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini. " Kalau kita lihat semua tuntutan Bersih, ia adalah tuntutan yang memang semua orang mahukan untuk dapatkan pilihan raya yang adil. " Kalau ini dapat kita laksanakan, lepas itu kita boleh berlawan (secara adil). Sekarang ini kalau pilihan raya memang berat sebelah. Cuba kita lihat tuntutan Bersih itu, boleh mereka kata tidak mahu.. Kalau mereka tak mahu, maknanya mereka tak mahu pilihan raya yang bersih," kata Dr Nasir merujuk kepada pendirian Najib dan rakan-rakannya dalam Umno-Barisan Nasional(BN). Semalam Najib mencabar Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 sebagai "anak jantan" dan bukan turun di jalanan untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Dakwa Najib, himpunan Bersih 2.0 bukan bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bertujuan mahu menimbulkan huru-hara dalam negara. "Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang," Najib dipetik sebagai berkata ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di Kuala Lumpur, semalam. Najib juga turut memberi amaran bahawa beliau akan mempertanggungjawabkan segala insiden pada hari berkenaan kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan menerima "akibat" dari perbuatan itu. Melihat kepada pendirian Najib dan tindakan polis mutakhir ini menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning terutamanya yang mempunyai logo Bersih jelas mencerminkan ketakutan yang begitu memuncak dalam jiwa pemimpin negara itu. " Najib sekarang ini memang paranoid, takut pada bayang-bayang sendiri. Nampak orang baju kuning pun tak boleh. " Oleh kerana 2008, rakyat sudah berubah. Ramai orang yang mengundi kita... tetapi oleh kerana penyelewengan, kemenangan kita itu nampak kecil kita menang (majoriti undi)," katanya. Oleh itu katanya, segala bentuk perundangan hatta nama Yang di-Pertuan Agong akan digunakan bagi mengekang kemaraan rakyat kerana mereka tahu tuntutan yang dibawakan oleh Bersih 2.0 akan meranapkan impian mereka mempertahankan Putrajaya. " Sekarang ini kalau kita berentap, memang berat sebelah kepada dia (Umno-BN). Sebab itu mereka tak mahu ikut Bersih, mereka akan bermasalah, mungkin mereka akan jatuh. " (Trend pengundian) ini yang mereka takutkan sebab kalau tidak ada penyelewengan, mereka tidak akan lepas (menang pilihan raya). Sebab itu tuntutan Bersih yang sememangnya adil, tidak ada satu pun yang boleh dipertikaikan kepada sesiapa yang mahukan pilihan raya adil, inilah yang harus diikuti.. tetapi mereka tak mahu itu. Jadi kalau kata nak bertanding secara saksama, tapi tak mahu ikut cara yang betul macam mana?," kata Dr Nasir. | ||
SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0, Kata Dr Haron Din Posted: 26 Jun 2011 07:12 PM PDT KUBANG PASU 27 JUN : Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini. Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka. Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak. "Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya. "Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin. Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam. Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini. Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini. Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu. Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau. Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat. "Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau | ||
Arutchelvan: Tohmahan KDN dan polis terhadap PSM adalah tindakan terdesak Posted: 26 Jun 2011 07:09 PM PDT Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkutuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahim Jaafar dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein yang cuba melabel PSM sebagai mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM). Pembohongan besar ini turut digunakan ke atas 30 orang peserta yang terlibat dalam Kempen Udahlah- Bersaralah - sebuah kempen kesedaran Nasional PSM yang berjalan dari 24 sehingga 26 Jun 2011. Mereka yang sepatutnya dibebaskan kini direman selama tujuh hari ekoran cubaan polis mengukir satu cerita fantasi di mana seksyen yang digunakan ke atas mereka adalah seksyen 122 Kanun Kesiksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agung. Kenyataan pihak Berkuasa dan dakwaan keatas Aktivis PSM adalah tidak berasas, tidak masuk akal, pembohongan, bermotifkan politik dan sandiwara dan oleh yang demikian, PSM meminta kesemua mereka yang direman dibebaskan serta merta dan pihak Kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini. PSM merasa lucu bahawa Pemerintah cuba mengaitkan PSM dengan Komunis dengan terjumpanya beberapa baju T-shirt dan bahan-bahan yang mempunyai imej pemimpin komunis. Untuk makluman Polis, ini adalah skrip zaman perang dingin di mana hari ini, semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, Kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunsi Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain. Selain daripada itu, kerajaan Malaysia juga telah menandatangani perjanjian damai dengan PKM pada tahun 1989 dan pemimpin-pemimpin komunis kanan seperti Rashid Maidin, Suriani dan Abdullah CD juga telah diperkenan dengan DYMM Sultan Azlan Shah. Oleh yang demikian, cubaan terdesak polis membawa balik bogey "Komunis" dalam zaman pasca perang dingin adalah satu cubaan terdesak rejim UMNO-BN untuk terus berkuasa dengan cara menakutkan rakyat dan sekali gus mencari peluang untuk menggunakan ISA. PSM adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan ini memang diketahui umum. PSM juga mengiktiraf sumbangan parti-parti kiri sebelumnya yang telah menyumbang kepada kemerdekaan Negara seperti PKMM, API, AWAS, dan PKM. Cubaan polis yang sering melabel parti-parti lain sebagai agen PKM adalah satu taktik lama dan sudah basi. Pihak Media kawalan UMNO-BN telah menghebohkan tohmahan dan pembohongan ini untuk menakutkan orang ramai menjelang perhimpunan BERSIH 2.0. PSM menyokong penuh perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun Kempen Udahlah Bersaralah PSM tidak ada kena mengena dengan BERSIH 2.0, tetapi pihak polis cuba mengaitkan dua aktiviti tersebut untuk menyekat perhimpunan BERSIH 2.0. PSM sesunguhnya percaya dan sedar bahawa tuduhan keatas PSM hanyalah tindakan terancang pihak polis untuk mengujudkan musuh bayangan dengan niat untuk mengujudkan satu suasana "darurat" untuk membolehkan pemerintah melakukan penahanan besar-besaran "crackdown" untuk mengagalkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang telah mendapat sokongan yang begitu memberangsangkan dari rakyat. Tindakan polis terkini ke atas PSM tidak akan menghalang PSM untuk terus berjuang dan memperjuangkan hak rakyat Malaysia. Hidup Rakyat! Hidup Sosialis! *Kenyataan media oleh S. Arutchelvan (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung PSM.
| ||
Posted: 26 Jun 2011 06:10 AM PDT
| ||
PR Mahu Ambil Alih Teraju Negara, Bersihkan 'Kekotoran' Sedia Ada Posted: 26 Jun 2011 06:06 AM PDT LENGGONG 25 JUN : Pakatan Rakyat (PR) perlu terus bergerak dengan yakin demi meraih sokongan rakyat dan seterusnya menyingkirkan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan mengambilalih teraju kepimpinan negara. Tindakan sebegitu perlu dilakukan demi memperbetulkan segala kepincangan yang dilakukan selama ini oleh Umno-BN yang telah berkuasa lebih 53 tahun lamanya. Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PR perlu memantapkan strategi di samping mendengar suara rakyat yang dahagakan perubahan. "Saya menaruh harapan yang cukup besar.. jangan kita anggap susah. Selain Cina dan India, orang Melayu ada cabarannya. Kita kena buat kerja sikit bawa perubahan untuk kebaikan kita. Kena buat... jangan kita pertahankan yang ada (Umno-BN) dan kalau Allah takdirkan berlaku (menang PRU)…Insya-Allah,"kata Anwar ketika berucap dalam Ceramah Pakatan Rakyat di hadapan kira-kira 4,000 hadirin di sini malam tadi. Menurut beliau, PR semakin hampir dengan sasaran yang ditetapkan bagi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan sekiranya sokongan rakyat terus kepada gagasan itu, tidak mustahil kerajaan pemerintah akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang. Keyakinan itu sebelum ini disuarakan Anwar pada Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa PR hanya memerlukan lima peratus sahaja lagi sokongan rakyat untuk menakluk Putrajaya. Namun katanya, beliau juga yakin, Umno-BN akan menggunakan seluruh kekuatan dan cara untuk memberi gambaran yang buruk terhadap Pakatan Rakyat. Jabatan kerajaan yang berada di bawah kawalannya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan sebaiknya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti pemerintah. "Tok Guru Nik Aziz misalnya sudah 20 tahun Menteri Besar, tanah dia tak ambil, balak tak ambil, kontrak tak ambil. Itu pun mereka (Umno) kata dia rasuah. "Yang makan (rasuah) banyak-banyak ni… lepas semua. Yang komisyen kapal selam RM500 juta tak nampak," katanya. Menurut Anwar, PR sudah menunjukkan perubahan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dengan memberikan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat. Nasib dan ekonomi rakyat kian terbela dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gusar dengan perubahan dan perkembangan ekonomi negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, Umno-BN katanya terus menyerang dari pelbagai sudut termasuk mengaitkan keperibadian beliau dengan perbuatan tidak bermoral. "Sebut pasal ambil tanah orang… tidak, ambil saham bumiputera…tidak, ambil balak…tidak.. maka dia selak kain. Ini politik selak kain kerana mereka tidak ada cara lain," katanya. Oleh yang demikian kata Anwar, rakyat perlu memberikan sokongan kepada PR bagi mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-BN kerana apa yang berlaku ketika ini ialah yang kaya terus kaya apabila kerajaan mengambil sikap mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka sahaja. Ekoran daripada itu katanya, masalah rasuah semakin berleluasa dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak menjadi semakin parah. | ||
PAKAI BAJU KENA TAHAN.BAIK JANGAN PAKAI BAJU Posted: 26 Jun 2011 05:53 AM PDT Lapan lelaki pakai kemeja-T kuning Bersih 2.0 ditahan June 26, 2011 KUALA LUMPUR, 26 Jun — Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan 9 Julai ini. "Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal," katanya dipetik Bernama Online. Amiruddin berkata kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka. Kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi. | ||
Siapa Perlu Tonjolkan Diri Sebagai Anak Jantan? Posted: 26 Jun 2011 04:24 AM PDT KOMENTAR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat kenyataan mengelirukan apabila mencabar Pakatan Rakyat supaya berdepan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai "anak jantan" dan bukan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Najib mendakwa matlamat utama Himpunan Bersih 2.0 adalah mahu menimbulkan huru-hara dalam negara. "Pada pembangkang (Pakatan Rakyat) bila mereka melihat kita terus bergerak ditambah pula kemenangan pada pilihan raya kecil yang lalu dan pilihan raya negeri Sarawak, jadi bagaimana mereka mahu merampas momentum ini sebab momentum ini ada pada kita. "Mereka buat kesimpulan untuk mendapatkan kuasa dengan mengadakan Himpunan Bersih 2.0, bukan untuk serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atau mahu sistem pilihan raya yang adil tapi nak buat huru-hara. "Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di sini. Kenyataan Perdana Menteri itu tersasar kerana Pakatan Rakyat sememangnya akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, malah itulah nadi utama segala aktiviti parti politik. Namun pada masa sama, Pakatan, sebagai sebuah gagasan "anak jantan", mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil, justeru, ia memberi sokongan bulat kepada Perhimpunan Bersih 2.0. Bersih 2.0 adalah anjuran pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk gabungan pelajar Islam dan Abim. Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan beberapa kali mengundang parti komponen BN untuk bersama-sama dalam gerakan bagi memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun ia mendapat sambutan dingin. Oleh kerana itu, amat mudah untuk pemimpin seperti Najib menyerang Bersih sebagai kononnya alat pembangkang untuk mencetuskan huru hara. Dalam ucapannya hari ini, Najib juga merujuk kepada kemenangan BN di Sarawak sebagai bukti "momentum" atau rentak memenangi pilihanraya ada ditangan BN. Sebenarnya Pakatan Rakyat melipatgandakan kemenangannya dari tujuh kerusi kepada 15 kerusi pada PRN Sarawak April lalu. Pilihan raya itu juga memaksa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan tempoh persaraan beliau selepas pemerintahan 30 tahun yang dibelit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa. Jangan lupa kemenangan Pakatan itu diraih walaupun Barisan Nasional menguasai segala jentera kerajaan, media arus perdana dan menabur wang yang dikatakan berjumlah kira-kira RM500 juta ringgit untuk mengekalkan majoriti dua pertiganya. Walaupun menang, jumlah undi untuk BN di Sarawak merosot kepada 54.5 peratus berbanding 62.9 peratus pada pilihan raya negeri sebelumnya. Justeru, janganlah dibanggakan sangat kemenangan BN di Sarawak. Najib juga mendakwa BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya seperti mana yang didakwa Pakatan Rakyat. "Kalau kata pilihan raya ini tidak adil kenapa kita nak serah Selangor, kenapa nak serah Pulau Pinang, kenapa PAS boleh perintah 20 tahun di Kelantan. "Kalau kata kita manipulasi pilihan raya sudah tentu semua negeri akan jadi milik BN, kita tidak manipulasi pilihan raya tapi kita didokong rakyat," kata Najib. Alasan lapuk yang diguna pakai sejak zaman Tun Dr Mahathir ini mudah dijawab. Tsunami politik yang melanda Malaysia tahun 2008 menyebabkan segala undi pos, pengundi hantu dan amalan-amalan lain tidak cukup untuk menongkah arus sokongan luar biasa rakyat terhadap PR. Kotak-kotak undi pos dan pengundi hantu hanya memadai untuk mengurangkan jurang sokongan yang diperolehi oleh calon-calon PR di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan namun tidak cukup untuk menafikan mereka kemenangan. Namun begitu, di Perak, majoriti tipis Pakatan Rakyat membolehkan Umno cepat-cepat merampas semula negeri itu kerana tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP sanggup lompat keluar diselubungi dakwaan mereka menerima ganjaran lumayan. Oleh itu penguasaan PR di beberapa negeri tidak harus dijadikan contoh untuk menghalalkan SPR sebagai sebuah badan yang bersih dan berkecuali atau pun BN tidak memanipulasi proses pilihanraya. Hakikat ialah pilihanraya di negara ini sentiasa dibayangi oleh masalah ketelusan undi pos dan pengundi hantu. Pada zaman Mahathir, fenomena itu diburukkan lagi dengan pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN di Sabah. Kini projek IC Sabah dikatakan menular di Semenanjung selain masalah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain. Berlatarbelakangkan semua ini, tidak harus timbul keraguan dalam tekad pembangkang mahukan sebuah SPR yang berwibawa. Pada masa sama "kejantanan" Pakatan untuk menghadapi Umno-BN pada PRU akan datang tidak juga perlu diragukan. Persoalannya adakah Najib dan Umno anak jantan yang sanggup bertanding secara adil, tanpa menguasai media arus perdana, dan tanpa menggunakan kemudahan awam serta dana rakyat untuk menyogok pengundi. Jika jawapan adalah YA, saya yakin penganjur Bersih tidak akan keberatan untuk membatal gerakan mereka. | ||
Najib Lemah, Peluang Sasar 11 Negeri PRU-13 Cerah-Kit Siang Posted: 26 Jun 2011 04:21 AM PDT KUALA LUMPUR 26 JUN : Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menguasai 11 negeri pada pilihan raya umum ke-13, iaitu tambahan enam lagi daripada yang dimenangi gagasan itu pada PRU-12 yang lalu. Menurut penasihat DAP, Lim Kit Siang, selain mempertahankan negeri-negeri yang berjaya diperintah seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, parti itu juga berhasrat untuk menawan kembali Perak Darul Ridzuan. Manakala lima yang lain ialah Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Terengganu dan Perlis daripada tangan Barisan Nasional (BN). "Pakatan Rakyat ada tiga sasaran di peringkat negeri dalam pilihan raya umum akan datang. "Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pertempuran abad ini memandangkan sasarannya bukan sahaja 11 negeri di Semenanjung, tetapi juga kuasa persekutuan di Putrajaya," kata Kit Siang pada satu majlis di Teluk Intan, Perak malam tadi. Teks ucapannya diedarkan kepada media pagi ini. Semalam Najib ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Selayang mengingatkan ahlinya bahawa dalam sesebuah pilihan raya tiada istilah naib johan atau tempat kedua. "Dalam pertandingan biasa, naib johan masih ada hadiah, tetapi dalam politik, kita akan terima padah. Kita sudah tahu nasib menjadi parti yang kalah, bagaimana pahitnya bila kalah. Maruah, imej semua terjejas dan kita perlu sentiasa muhasabah diri. "Kita perlu sedar, sejarah silam kegemilangan parti bukan jaminan untuk kekalkan kekuasaan. Semuanya berlaku kerana perubahan landskap politik serta pemikiran masyarakat yang sudah berubah, berbanding sebelumnya," kata Najib. Malah terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Najib menggesa seluruh kepimpinannya untuk menjadikan pilihan raya negeri Sarawak sebagai panduan dan iktibar menjelang pilihan raya umum berdasarkan post mortem yang dibuat. Mengulas hal itu, Kit Siang yang dihubungi Tv Selangor berkata, barisan kepimpinan Najib nampaknya semakin lemah dan tidak progresif dalam mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum kerana lambat bertindak. " Pilihan raya negeri Sarawak diadakan pada 16 April, ianya sudah berlalu lebih dari dua bulan.Nampaknya kalau Najib kata itu benar (baru habis post mortem), pergerakan mereka sangat perlahan. Mereka sudah hilang dinamik dan nampaknya tidak siap sedia untuk mengatasi masalah-masalah yang boleh dilihat dalam pilihan raya Sarawak,"katanya. Malah katanya, ingatan keras Najib yang merujuk kepada pilihan raya negeri Sarawak adalah ekoran kegagalan jentera Umno-Barisan Nasional yang turut dilambak dengan masalah dalaman untuk memberi kemenangan besar kepada parti itu. " Kalau di Sarawak kita lihat bagaimana kempen raksaksa yang dijalankan oleh BN di mana RM1.2 bilion digunakan untuk projek-projek Sarawak dan diumumkan ketika kempen berlangsung ditambah pula dengan perbelanjaan RM500 juta ringgit untuk kempen itu, namun ia tidak cukup berkesan. " Walaupun BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi trend ini tidak begitu positif kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13, ada kemungkinan Pakatan Rakyat boleh menang lebih kerusi,"kata Kit Siang lagi. Untuk rekod, pada pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan menang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus mengukuhkan kedudukannya di Bumi Kenyalang itu. | ||
Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih Posted: 26 Jun 2011 04:18 AM PDT SHAH ALAM 26 JUN : Pihak berkuasa akan menggunakan apa sahaja ruang dan segala bentuk undang-undang untuk menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0 termasuk menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong. Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, senario seperti itu memang berlaku di Malaysia apabila suara rakyat mengatasi suara kerajaan, Beliau yang juga Adun Kota Damasara berkata, penahanan 30 anggota parti itu yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, jelas membuktikan usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak mereka. " Dalam hal ini senang sahaja. Kalau kerajaan beri arahan, kita tidak ikut, dan Agong restu ikut Perlembagaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau apa sahaja. Jadi mereka boleh katakan begitu. Semua undang-undang, kalau anda pertikai, mereka boleh kata anda melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong,"katanya. Portal The Malaysian Insider melaporkan, 30 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Kesemuanya aktivis PSM ini ditahan semalam di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang. Selain itu beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PAS juga turut ditahan kerana memakai pakaian berwarna kuning di beberapa tempat seperti Kapar dan Ampang Roadshow Bersih 2.0 di Uptown Shah Alam turut dikepung polis dan Timbalan sayap pemuda parti itu ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran manakala satu lagi roadshow di Assam Jawa, Kuala Selangor turut diganggu Polis. Menurut Dr Nasir, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak mustahil provokasi polis akan menjadi lebih keras demi menakutkan rakyat dari menyertai himpunan aman ini. Walau bagaimanapun katanya kepada Tv Selangor, apa jua cara yang digunakan kerajaan, ia tidak akan mampu menghalang kuasa dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini. " Memang cukup terdesak mereka ini. Tak makan akal. Tapi ini yang mereka lakukan sekarang ini. " Kita jangkakan akan ada perkara yang lebih teruk akan berlaku tetapi rakyat mereka tidak dapat lawan,"katanya. | ||
Pakai T-Shirt Bersih Tulis Jawi, Pemuda PAS Ditahan Polis Posted: 26 Jun 2011 04:16 AM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Ampang, Fadzlul Rahimi bersama empat anggotanya ditangkap polis di Masjid Taman Kosas kira-kira 11 pagi tadi, kerana memakai t-shirt Bersih 2.0 dalam tulisan jawi. Bercakap kepada KeadilanDaily, ahli Unit Amal PAS Ampang, Israq Ismail berkata, tangkapan dibuat ketika Fadzlul bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz sedang mengadakan program sempena Konvoi Belia DUN Lembah Jaya. "Turut ditahan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ampang, Shahril Suhaimi, Setiausaha Pemuda PAS Ampang, Engku Faizan Engku Husin dan dua Unit amal iaitu Satullah Azam dan Adha Yusof. "Mereka kini berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang. Alasan tangkapan ialah kelima-limanya berpakaian kuning dan tertera perkataan Bersih dalam tulisan Jawi," katanya. Tangkapan itu menggambarkan ketakutan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Gelombang Kuning melalui Himpunan Bersih 2.0, dengan memperalatkan polis. Sebelum ini, Beberapa pemimpin dan ahli Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut ditahan atas alasan sama.-Keadilan Daily | ||
Bersih 2.0 : Polis Siasat MP Sg Siput, 29 Lain Mahu Perangi Agong Posted: 26 Jun 2011 04:15 AM PDT GEORGE TOWN 26 JUN: Seramai 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar Devaraj akan dihadapkan di mahkamah sekitar 3 petang ini untuk perintah tahanan reman. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, kata polis. Semalam, polis menahan 31 orang termasuk wakil rakyat itu, kesemuanya aktivis PSM di plaza Tol Sungai Dua. Menurut laporan media semalam, kesemua mereka menaiki sebuah bas persiaran sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri majlis di Pulau Pinang yang berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0, yang dijadualkan akan diadakan 9 Julai. Mereka terdiri daripada 14 wanita dan 17 lelaki dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam percakapan. Bagaimanapun seorang yang ditahan telah dibebaskan kerana bawah umur. Pada sidang media di sini hari ini, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar yang dipetik saluran Astro Awani berkata, perintah tahanan reman dipohon bagi siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan. "Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122," kata beliau. Seksyen yang sama pernah digunakan dalam kes rampasan senjata oleh kumpulan pelampau Al-Maunah. Polis mendapati perhimpunan yang dirancang itu juga cuba membawa semula fahaman komunis kerana pihaknya menemui bahan berkaitan dengan pertubuhan yang telah diharamkan itu. Ketika ditahan semalam, polis turut merampas beberapa sepanduk, risalah dan kemeja-T yang didakwa menghasut. Penganjur Bersih 2.0 sejak kelmarin mengadakan program jelajah di beberapa bandar utama di seluruh negara. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan