Khamis, 23 Jun 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


SMS Ugut : Pengirim Cuba Bangkit Sentimen Perkauman

Posted: 23 Jun 2011 08:50 PM PDT






KUALA LUMPUR 23 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan rasa kesal berhubung tindakan individu tertentu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh ke atas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan di samping cubaan mencetuskan ketegangan kaum.

Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin atau lebih dikenali sebagai Jonah berkata, SMS yang dikirim itu jelas mengandungi unsur-unsur menghina bangsa seseorang dengan kata-kata kesat.

Katanya, perbuatan itu adalah di luar jangkaan dan tidak boleh diterima sama sekali bagi masyarakat negara ini yang berbilang bangsa terutama generasi muda.

"Mesej seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Ambiga tadi yang berunsur ugutandan juga ancaman bunuh. Kami bagi Angkatan Muda Keadilan kita berasa kesal.

"Mesej yang disampaikan berunsur rasis "keling paria cina sial dan sebagainya" satu perkara yang tidak boleh kita terima khususnya kepada orang-orang muda generasi baru sekarang ini," katanya.

Jonah berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media selepas membuar laporan polis di Balai Polis Bukit Travers di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap pihak polis dapat menyiasat perkara itu dengan segera sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein.

Katanya, AMK akan tetap bersama dan akan turut serta dalam perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

"Apa pun ancaman apa pun ugutan kita tetap turun ke jalan," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pula mengutuk keras perbuatan penghantar SMS misteri tersebut yang berbaur perkauman.

"Apa yang ingin kita lakukan dalam Bersih 2.0 adalah jelas untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya kerana kita mempunyai bukti akan ketidakadilan itu. Jadi mari berbincang dengan kita,"ujar beliau.

Tambah beliau , tindakan menghantar SMS seperti ini adalah amat tidak tepat kerana apa yang ingin dilakukan oleh Bersih 2.0 bukan mahu mewujudkan keadaan yang berunsur keganasan.

"Perhimpunan (Bersih 2.0) ini bukan berunsurkan keganasan dan kita tidak akan memberi respon terhadap keganasan juga," katanya.

Video Seks : Trio Datuk T Mengaku Bersalah

Posted: 23 Jun 2011 08:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 JUN : Ketiga-tiga individu yang menggelarkan diri mereka trio "Datuk T" mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka terhadap kesalahan menayangkan video lucah dan bersubahat berbuat demikian pada 21 Mac lalu.

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Shuib Lazim yang didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama seksyen 34 mengaku bersalah atas tuduhan secara terbuka menayangkan rakaman video lucah di Carsosa Seri Negara 21 Mac lalu.

Manakala bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang dituduh di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan juga mengaku telah berbuat demikian di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa proses perundangan yang dikenakan ke atas Datuk T hanya akan melibatkan hukuman seminima mungkin.

Terdahulu seawal jam lapan pagi tadi, kira-kira 50 penyokong Datuk T hadir untuk memberi sokongan.

Trio Datuk T terdiri daripada ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas benhari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menayangkan video lucah secara terbuka kepada wartawan terpilih di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka kemungkinan akan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman video 21 minit itu dan telah membuat laporan polis.

Najib Umum PRIMA Ekoran Tekanan PR

Posted: 23 Jun 2011 08:39 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 JUN : ProjeK perumahan Rakyat 1 Malaysia atau singkatannya PRIMA yang diumumkan Perdana Menteri semalam hanya reaksi terdesak pimpinan itu apabila pembangkang mendedahkan berlakunya kepincangan dalam urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khuatir terus diasak, Najib bertindak mengumumkan bahawa sebahagian daripada tapak seluas 196.6 hektar itu akan dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik, kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Hakikatnya ujar Yusmadi, Najib tidak jujur mahu membela nasib rakyat bawahan dan apa yang dinyatakan hanyalah reaksi terdesak daripada serangan pembangkang di Dewan Rakyat.

" Ianya merupakan satu reaksi daripada tekanan Pakatan Rakyat yang nampak lebih mengariskan rancangan dan agenda rakyat.

" Jadi bagi saya projek ini (PRIMA) tidak pernah ada dalam perancangan pun, sebab itu saya mempertikaikan dari segi keseriusan kerajaan dalam merencana program rakyat seperti PRIMA rakyat ini,"kata Yusmadi.

Najib semalam berkata, pihaknya telah berbincang dengan syarikat seperti SP Setia, Sime darby dan Perbadanan Putrajaya untuk membangunkan PRIMA.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual di konti Radio One FM di Sri Pentas.

"Ia merupakan satu kawasan yang selesa, besar dan mampu memberi impak yang penuh.

"Bayangkanlah... satu kawasan ini (yang bernilai tinggi) dijadikan kawasan perumahan mampu dimiliki oleh rakyat," ujar Najib.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa pangkalan TUDM Sungai Besi akan dipindahkan ke Sendayan di Negeri Sembilan.

Justeru tapak seluas 196.6 hektar di situ dipindahkan kepada 1MDB yang akan memajukannya menjadi Bandar Malaysia, yang merupakan satu pembangunan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang yang antaranya akan memuatkan projek perumahan mampu milik seperti dicanang Najib.

Namun menurut Yusmadi,di sebalik kenyataan Najib itu, beliau bimbang projek di Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi itu sekali lagi menyisihkan rakyat bawahan seperti projek-projek mega pemerintah sebelum ini.

"Cadangan Datuk Seri Najib itu sebenarnya menggambarkan agenda pembangunan sebenar Umno-BN, pada pandangan saya ianya bukan untuk rakyat bawahan, agenda projek Sungai Besi dan yang lain-lain di bawah Greater Kuala Lumpur itu, sekali lagi akan meminggirkan golongan rakyat bawahan ini." jelas Yusmadi.

Terdahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Dewan Rakyat, Perdana Menteri dan Jabatan Audit Negara mendedahkan kerugian yang ditangung oleh 1MDB.

Difahamkan, dana melalui jaminan bon kerajaan persekutuan ditambah sebanyak RM10 bilion sehingga 2013, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 bilion untuk syarikat pembangunan strategik itu.

Namun penyata kewangan enam bulan pertama sehingga 30 September 2010, menunjukkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta dengan kos operasi untuk 6 bulan yang berjumlah RM 20.5 juta.

Ia bercanggah dengan kenyataan Najib yang sebelum itu mendakwa 1MDB memperoleh keuntungan.

SPR Bukan Berkecuali Tetapi Perkakas Umno-BN

Posted: 23 Jun 2011 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan sahaja gagal mempamerkan kredibiliti sebagai agensi berkecuali malah dilihat semakin cenderung menjadi perkakas kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana menurut beliau cadangan yang diajukan Pakatan Rakyat bagi merombak beberapa polisi dalam pilihan raya ditolak sepenuhnya dengan alasan luar bidang kuasa agensi itu.

Justeru Anwar mengulangi pendirian bahawa perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung pada 9 Julai nanti sebagai insiatif badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpuan secara aman.

Katanya program itu memberi ruang kepada rakyat untuk menyedari bahawasanya perubahan perlu dilakukan dalam sistem pilihan raya sepertimana yang berlaku pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

"Kempen negeri Sarawak, SPR diam walaupun diakui kerajaan Barisan Nasional membelanjakan RM1.18 bilion daripada kerajaan Persekutuan. Katakan, setengah bilion kerajaan negeri dan setengah bilion kerajaan BN.

"Mana SPR, mana kebebasan media, mana laporan penipuan dari segi pendaftaran pengundi yang pernah kita bangkitkan dahulu melalui memorandum yang dibangkitkan oleh PR dan Bersih?" soal beliau selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 yang diketuai oleh bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevesan termasuk gabungan beberapa buah NGO seluruh negara.

Pada hari yang sama Pemuda Umno dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) turut akan mengadakan demostrasi jalanan bagi menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Umno-BN.

Anwar kemudian berkata, sehingga kini Pakatan Rakyat masih tidak yakin akan kewibawaan SPR setelah beberapa siri pendedahan dan rasuah dikenalpasti namun agensi itu gagal bertindak.

"Ini SPR kata bukan bidang kuasa mereka. Bidang kuasa dia hanya untuk ikut arahan pimpinan Umno-BN.

"Ugutan yang dibuat pelbagai pihak termasuk polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Perkasa menghina usaha murni tersebut dan menghina etnik Cina. Ini kita anggap keterlaluan dan jelas pentadbiran Najib nampak membiarkan perkara ini tanpa sebarang teguran," ujar beliau lagi.

Terbaru Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga ahli parlimen Gombak mendedahkan bahawa daftar pemilih SPR menunjukkan wujudnya pengundi hantu di rumah yang didiami ibunya sendiri.

Dalam perkembangan lain Anwar berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan ekonomi lebih serius dengan wakil-wakil syarikat, badan bukan kerajaan dan pakar ekonomi pada bulan hadapan bagi membincangkan isu kesan gaji minima kepada paras gaji dan masalah tenaga kerja berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barang.

Perkara lain yang turut dimuatkan termasuk kekangan kos tenaga kepada ekonomi Malaysia, langkah praktikal berdepan dengan prospek harga minyak yang tinggi serta reformasi pendidikan tinggi dan ekonomi dan merungkai permasalah tenaga kerja dan mutu.

PR Bimbang Program 6P Bawa Mudarat Keselamatan Negara

Posted: 23 Jun 2011 02:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyifatkan program pengampunan dan pemutihan pendatang tanpa izin yang bermula 11 Julai ini seperti 'melantik perompak menjaga bank' ekoran agen-agen yang dilantik untuk melaksanakan tugas itu dilihat mencurigakan dan meragukan.

Menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, keadaan ini dikhuatiri boleh memberi ruang kepada agen lantikan tersebut mengambil kesempatan untuk kepentingan tertentu.

"saya telah difahamkan bahawa antara agen-agen pendaftar ini ialah dari agen pekerja asing sendiri yang dilantik sebagai agen pendaftar dalam proses pemutihan 6P ini termasuk pertubuhan majikan yang dilantik sebagai agen,"kata Mahfuz.

"Agen-agen seperti inilah yang akan mengambil kesempatan untuk memutihkan mangsa-mangsa PATI, agen ini yang membawa masuk dan agen inilah yang akan memutihkan sedangkan pendatang yang dibawa masuk ini tidak melalui proses pemeriksaan kesihatan, pendatang ini mungkin juga ada rekod-rekod jenayah di negara asal mereka. Ini yang saya katakan kementerian cuba untuk mangkayakan agen-agen lantikan ini,"tambah Mahfuz lagi pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya juga difahamkan agen ini bukan sahaja memberi pengampunan dan menjalankan pemutihan kepada pendatang tanpa izin (PATI) yang ada di Malaysia, malah PATI yang berada di sempadan Malaysia yang bercita-cita mahu masuk ke dalam negara ini diberi ruang berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, pengampunan dan pemutihan berkenaan bertujuan untuk mengurangkan bilangan mereka di negara ini.

Program yang dinamakan '6P iaitu pendaftaran, pemutěhan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran akan mengambil masa enam bulan untuk dilaksanakan.

Ia akan dilaksana melalui gerakan pendaftaran merangkumi pengambilan biometrik semua pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Program itu bertujuan mengumpul data mengenai pendatang asing tanpa izin di negara ini seperti, di mana mereka bekerja, dengan siapa dan berapa gaji yang diterima serta beberapa maklumat lain yang diharap dapat membantu ke arah mengatasi isu sosial dan jenayah yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu.

Muhyiddin berkata proses pendaftaran itu juga bertujuan mengenal pasti keperluan guna tenaga industri dan sektor tertentu di negara ini, dan untuk itu, kerajaan telah mengarahkan semua kementerian yang mengetuai sektor perladangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan serta sub sektor di bawahnya, mengumpul fakta berhubung jumlah guna tenaga yang diperlukan supaya keperluan itu dapat dipenuhi setelah sesi pendaftaran selesai.

"Saya bersetuju proses pemutihan ini dibuat tetapi ianya perlu melalui prosedur yang betul dan perlu ada pengawasan yang cekap dan NGO-NGO yang terlibat seperti Migrant Care seumpamanya harus dilantik supaya mereka ini memastikan bentuk perdagangan manusia ini tidak terus berlaku," tegas Mahfuz.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang didaftarkan di negara ini.

Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0

Posted: 23 Jun 2011 02:44 AM PDT

Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.

"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya.

Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.

"Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya.

Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini.

Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara.

"Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.

"Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri.

"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga.

"Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu.

"Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita.

"Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau.

Bukti Daftar Pemilih Bersih : Timb, Pengerusi SPR Lari Dari Isu Pokok

Posted: 23 Jun 2011 12:20 AM PDT





KUALA LUMPUR 23 JUN : Kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengheret cabaran Azmin Ali supaya beliau meletakkan jawatan dengan institusi raja, adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Malahan menurut ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, tindakan Wan Ahmad cuba mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara tersebut seolah-olah lari dari persoalan pokok yang dibangkitkan.

"Isu yang dibangkitkan oleh Azmin Ali memang sangat penting sebab beliau persoalkan tentang kesahihan daftar undi. Ini satu isu yang pokok dan beliau beri keterangan yang cukup kuat dan terperinci berdasarkan kedudukan

rumah ibunya sendiri," katanya kepada TV Selangor ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pada Konvensyen Pilihan Raya PKR yang lalu, mencabar Wan Ahmad supaya membuktikan bahawa daftar pemilih induk adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu, dan jika gagal, beliau harus meletakkan jawatannya.

Beliau memberikan tempoh 48 jam kepada Wan Ahmad berbuat demikian kerana Wan Ahmad menuduhnya berbohong berhubung maklumat daftar pemilih di kawasan Parlimen Gombak yang diwakilinya.

Azmin mendakwa, rumah yang didiami ibunya di Kampung Klang Gate Baru mempunyai 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina.

Menurut Sivarasa, isu pengundi Cina yang didaftarkan di rumah ibu Azmin hakikatnya perlu dijelaskan oleh pihak SPR dan bukan mempertikaikan apa diperkatakan.

Jelas beliau, kenyataan Wan Ahmad yang menyatakan Azmin tidak menghormati pelantikan oleh Yang Dipertuan Agung ke atas dirinya bagi jawatan Timbalan Pengerusi SPR adalah menyimpang dari isu sebenar.

"Pelantikan hampir semua jawatan besar dalam negara ini dibuat oleh Yang Dipertuan Agong tetapi itu tidak bermaksud nama Yang Dipertuan Agong boleh dibangkitkan bila kita kritikkan nama-nama jawatan besar ini, sama ada dia Ketua Polis Negara atau Peguam Negara atau Ketua Audit Negara. Mereka ada tanggungjawab kalau mereka salah, kita akan tegur," katanya.

Tegasnya, SPR seharusnya menjalankan siasatan dan membetulkan keadaan yang tidak betul supaya tidak timbul sebarang isu hingga menyebabkan berlakunya tindakan mengadakan perhimpunan aman seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

"Sebab itulah tuntutan Bersih 2.0 ini sangat wajar dan tepat pada waktunya. Rakyat Malaysia harus menyokong penuh usaha ini untuk jaminan masa depan bagi demokrasi kita," katanya lagi.

Tiada ulasan: