Isnin, 27 Jun 2011

SIASAH

SIASAH


Umno bimbang kurang dapat sokongan selebriti?

Posted: 27 Jun 2011 09:01 AM PDT


Walaupun kurang dibincangkan secara mendalam, selebriti merupakan golongan yang mahu dilibatkan dan dilihat sebagai penyokong oleh pemain-pemain politik.

Dalam permainan simbol yang penting dalam dunia politik, populariti mendapat penilaian sangat penting, dan ini menjadikan tokoh-tokoh dalam dunia budaya popular dan lapangan seni lain penting kepada pemain politik.

Seperti juga endorsement produk melalui iklan, sokongan yang ditunjukkan oleh selebriti atau seniman terhadap kumpulan politik tertentu juga memberi kesan sama.

Budaya popular ialah ruang paling mudah untuk menyampaikan sebarang mesej yang mudah dan ringkas, berbanding ucapan politikus, ceramah agamawan dan pelbagai cara lain.

Budaya popular lebih mudah didekati tanpa sebarang rasa negatif oleh pelbagai golongan, disebabkan sebahagian besarnya merit popularitinya. Selebriti pula memiliki lebih kuasa memujuk berbanding ramai ahli politik.

Selebriti, penggiat budaya popular dan seniman hanya perlu meminjamkan populariti kepada parti-parti politik untuk meraih sokongan, ada kalanya tanpa perlu sebarang penjelasan berhubung dasar-dasar parti terbabit.

Dalam dunia politik tanah air, interaksi politik dengan budaya popular menjadi semakin hangat sejak kebelakangan ini, dan menjadi satu isu yang ditangani dengan serius oleh parti-parti politik.

Pada awal kemunculan Mawi, PKR dan kemudian PAS segera mendekatkan diri dengan anak muda itu, dan mendapat respons segera Umno yang kemudian bergegas menariknya melalui beberapa program. Sebelum itu, penyanyi terkenal Siti Nurhaliza cuba dilibatkan dalam Puteri Umno.

Terbaru, penyertaan Bob Lokman bersama PAS mencetuskan reaksi kurang senang pihak dalam parti pemerintah.

Suasana yang semakin demokratik kini membolehkan penggiat seni budaya menunjukkan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik tanpa takut kepada sekatan seperti satu masa dahulu, walaupun tidak dinafikan masih wujud cabaran ini.

Malah, dalam aliran seni tertentu, seperti sesetengah muzik yang bukan arus perdana, ciri anti-establishment menjadi ciri penting, walaupun tidak semestinya bermakna sokongan untuk parti-parti pembangkang.

Pada masa sama, sokongan yang ditunjukkan Sasterawan Negara A Samad Said kepada pembangkang sejak beberapa tahun lalu juga memberi tamparan kepada Umno.

Sebelum ini, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengejutkan dunia seni dan politik tanah air dengan kemunculan novel satira politik Shit.

Tentangan oleh sasterawan, yang melibatkan bukan sahaja hal politik tetapi juga isu bahasa Melayu mendatangkan isu yang sukar dijawab oleh Umno.

Wardina tambah senarai selebriti sokong Pakatan Rakyat

Posted: 26 Jun 2011 09:53 PM PDT

Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot, pengacara terkenal di TV3 menambahkan lagi senarai selebriti yang menyertai atau menunjukkan sokongan terbuka kepada parti-parti Pakatan Rakyat.

Selepas Bob Lokman, Wardina yang mula popular selepas kemunculan dalam rancangan sitkom Spanar Jaya akan menjadi satu lagi wajah popular yang bakal memeriahkan dunia politik Malaysia.

Parti-parti pembangkang dan Barisan Nasional kini dilihat berlumba-lumba untuk menarik selebriti menyertai parti mereka secara terbuka untuk membina imej popular dan menarik pengundi.

Beberapa tahun lalu, peserta rancangan realiti, Mawi menjadi rebutan Umno dan PAS untuk ditonjolkan sebagai penyokong parti terbabit.

Perkembangan melibatkan Wardina ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sedia diketahui mempunyai pandangan-pandangan politik yang jelas dan mempunyai hubungan rapat dengan individu-individu dari PKR.

Wardina telah disebut-sebut bakal menyertai parti pembangkang secara terbuka bersama beberapa orang lagi selebriti, termasuk bekas peserta program realiti.

Wardina telah menunjukkan kecenderungan politiknya melalui mesej-mesej di Facebook dan Twitter sekurang-kurangnya sejak beberapa bulan lalu, walaupun mengacarai sebuah rancangan popular di stesen televisyen paling pro-Umno, TV3.

Beberapa bulan lalu, ekoran satu balasan mesej Twitter kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau dispekulasi akan bertanding di kerusi Lembah Pantai menentang menteri wanita itu.

Wardina baru-baru ini muncul dalam program kerajaan negeri Selangor, yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai program mempromosi perhimpunan Bersih kedua 9 Julai nanti.

Beberapa blog pro-Umno telah mula menerbitkan tulisan-tulisan berbentuk serangan peribadi terhadap beliau melibatkan gaya hidupnya sebelum bertudung dan pada masa sama menggesa Media Prima mengambil tindakan terhadap pengacara itu.

Bob turut menerima nasib yang sama apabila beberapa kenyataannya dilihat sebagai penghinaan kepada dunia hiburan tempatan dan dikecam di ruangan seni akhbar tempatan, terutama halaman hiburan Mingguan Malaysia.

Sesetengah blog pro-Umno ketika Bob baru menyertai PAS secara terbuka cuba membalas dengan memperbesarkan laporan pelakon dan pengacara AC Mizal bersama Umno. AC walau bagaimanapun berdepan imej agak negatif berhubung beberapa isu termasuk perniagaannya.

Perkembangan ini bakal menyumbang imej lebih positif kepada pembangkang ekoran populariti selebriti terbabit yang rata-rata dilihat mempunyai imej yang baik.

Tiada ulasan: