Selasa, 14 Jun 2011

SIASAH

SIASAH


Makna kemenangan AKP dan beberapa pengajaran demokratik

Posted: 14 Jun 2011 11:31 AM PDT

Oleh HARIS ZALKAPLI

Parti Keadilan dan Pembangunan Turki, dikenali dengan singkatan popularnya AKP, memenangi pilihan raya parlimen negara itu dengan majoriti 49.9 peratus, mengatasi peratusan tahun 2007 dan 2002.

Kemenangan tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding 46 peratus pada 2007 dan 34 peratus pada 2002, walaupun dengan jumlah kerusi yang semakin merosot disebabkan perubahan dilakukan pihak berkuasa pilihan raya.

Dalam era demokratik republik itu, Recep Tayyip Erdogan dan AKP kini menjadi pemimpin dan parti politik paling berjaya, dari segi memenangi pilihan raya dan rekod membawa perubahan, terutama dalam ekonomi.

Peratusan itu menyumbang kepada 326 kerusi - daripada parlimen dengan 550 kerusi - jauh daripada sasaran 367 untuk membolehkannya meminda perlembagaan secara unilateral, projek utama yang dibayangkan parti yang semakin dinilai dengan kritikal itu.

Rekod cemerlang AKP itu walau bagaimanapun disertai dengan cabaran-cabaran besar mengemudi sebuah negara yang kompleks, di sebuah rantau yang semakin berubah dan pada masa yang kritikal dalam pembinaan kedudukan dalam pentas dunia.

Walaupun mengekalkan kemenangan kali ketiga dengan peratusan undi yang meningkat, pencabar terdekat, Parti Rakyat Republikan (CHP) memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 30 tahun, mendapat 25.9 peratus undi.

Parti berhaluan kanan yang dilanda skandal video seks, Parti Tindakan Nasionalis (MHP), mendapat 13 peratus undi.

Calon-calon Kurdis sebahagian besarnya disokong Parti Keamanan dan Demokratik (BDP) yang bertanding sebagai bebas berjaya mendapat 36 kerusi di parlimen.

Dalam politik domestik Turki, AKP kini berdepan cabaran dalam membuktikan kredibilitinya sebagai sebuah kumpulan demokrat, walaupun kelayakan dari segi haluan sederhana dan ekonomi pasaran bebas tidak dipertikaikan.

Pemerintahan AKP terpaksa mengimbangi pelbagai tuntutan dalaman masyarakat Turki yang pelbagai, meliputi kumpulan berhaluan kanan yang tegar memperjuangkan identiti Kamalis Turki yang sekular dan nasionalistik hingga kepada Kurdis yang menuntut hak kebebasan dan pengiktirafan dalam negara Turki.

Sebagai parti yang telah berkuasa selama sedekad, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan AKP tidak dapat mengelak daripada menjadi semakin asertif dan keras, sehingga menghampiri kecenderungan autoritarian.

Erdogan semakin dikritik sebagai kurang sabar dengan kritikan, dan kerajaan Turki kini tidak menunjukkan ciri demokrat yang diharapkan ramai pihak apabila memenjarakan 60 orang wartawan tanpa tuduhan yang jelas, jumlah yang lebih berbanding di China dan Iran, rujukan popular Barat dan demokrat untuk menjelaskan autoritarianisme.

Namun, ucapan kemenangan Erdogan yang mengajak konsensus mungkin memperlihatkan satu kesedaran pemimpin itu akan keperluan kerjasama dengan pelbagai parti, berbeza dengan pendirianya sebelum itu.

Keputusan yang tidak memberikan parti pasca-Islamis itu majoriti sehingga boleh bertindak sendirian dalam banyak perkara boleh meredakan sedikit kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai kecenderungan autoritarian AKP.

Isu Kurdis juga menjadi cabaran besar dalam politik Turki kini, dengan usaha memulihkan hubungan dan mengiktiraf kumpulan etnik itu kelihatan tersekat-sekat dan tidak tertunai.

Isu Kurdis turut dipergunakan oleh AKP untuk tujuan-tujuan politik tempatan dan antarabangsa. Menggunakan populariti selepas memenangi pilihan raya pada 2007, AKP melancarkan operasi tentera terhadap kedudukan pemberontak Kurdis di sempadan Turki-Iraq.

Nasionalis terus menuntut tindakan yang lebih tegas terhadap Kurdis, dengan tidak berkompromi dalam sebarang hal melibatkan identiti negara Turki.

Tetapi, dunia politik yang semakin liberal pada masa ini menjadikan sebarang usaha seperti itu tidak popular, atau bertentangan dengan norma yang dipersetujui masyarakat antarabangsa, sesuatu yang disedari AKP.

Isu-isu hak asasi seperti itu penting bagi Turki untuk imej antarabangsanya, termasuk dalam usaha menyertai Kesatuan Eropah yang kini tersekat.

Dengan ekonomi yang terus meningkat, mencapai 8 peratus pada masa ini, Erdogan dan AKP mempunyai sandaran yang baik untuk mengekalkan populariti.

Sebahagian kempen AKP kali ini ialah projek mega termasuk terusan laluan air baharu menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Marmara, sebagai laluan kedua selain Selat Bosphorus yang sesak.

Projek ini dilihat sebagai satu usaha membina legasi oleh Erdogan. Ini terkait dengan dakwaan beliau mahu melakukan perubahan ke arah sistem presiden, jawatan yang dikatakan menjadi matlamatnya selepas ini.

Untuk meletakkannya dalam konteks, Turki akan menyambut ulangtahun republik itu yang ke-100 pada 2023. Erdogan dikatakan mahu masih berada dalam kepimpinan negara pada masa itu, untuk meraikan kejayaan-kejayaannya.

Di peringkat antarabangsa, peranan Turki di Asia Barat sebagai kuasa diplomasi menerima respons yang pelbagai, yang terkait dengan populariti dan penerimaan rakyat terhadapnya.

Satu bahan kempen AKP ialah pertengkaran Erdogan dengan Shimon Peres, pemimpin Israel di Davos, Switzerland pada Januari 2009.

Tindakan populis itu walau bagaimanapun tidak dapat dielakkan daripada menjadi salah satu bahan kempen untuk pilihan raya kerajaan tempatan pada Mac tahun itu, masa yang menyaksikan kemerosotan sokongan untuk calon-calon AKP.

AKP memenangi 38.8 peratus undi dalam pilihan raya itu, merosot berbanding 41.7 pada pilihan raya sebelumnya tahun 2004.

Insiden debat di Davos itu walau bagaimanapun kini terpahat dalam memori kedua-dua rakyat Turki dan masyarakat Muslim dunia terutamanya, dan membina imej positif untuk AKP melaksanakan dasar luarnya.

Dalam agenda yang disebut neo-Uthmaniyah dalam dasar luar Turki, aksi mewakili pembelaan terhadap umat Muslim Palestin itu menduduki satu tempat yang istimewa.

Neo-Uthmaniyah yang mempunyai kaitan dengan masa silam Turki sebagai pelindung umat Muslim kini kelihatan dihidupkan kembali melalui satu agenda dalam dasar luar Turki.

Aksi Erdogan itu menegaskan kedudukan Turki sebagai pembela umat, aksi yang hanya diatasi kemudian oleh serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara awal 2010.

Hasilnya, Turki muncul di dunia Islam sebagai pembela utama Palestin, imej yang terus diperkukuhkan melalui pelbagai kenyataan dan tindakan.

Kemenangan kali ketiga AKP ini memberikannya mandat untuk meneruskan dasar luar yang telah dimulakan dengan agresif di bawah menteri luar lantikan Erdogan, Ahmet Davutoglu.

Kedudukan yang agak selesa ini terus membenarkan Turki memberi tumpuan kepada agenda dasar luarnya membina pengaruh di Asia Barat, untuk muncul sebagai kuasa dominan rantau itu dan mengulangi kegemilangan era Uthmaniyah.

Perkembangan di Asia Barat dan Afrika Utara telah menjadikan Turki sebagai model di wilayah itu, disebabkan keupayaannya melaksanakan demokrasi dengan lebih matang, walaupun dengan keterbatasan tertentu.

Rejim-rejim dunia Arab yang semakin tidak popular dan dijadikan rujukan autoritarian sejak bermula kebangkitan telah menonjolkan Turki, sama ada benar atau salah, sebagai model terbaik.

Walaupun komentar-komentar Barat semakin kritikal dengan Erdogan dan parti pimpinannya disebabkan dasar luar yang semakin bebas dan beberapa isu dalaman lain, Barat terus memberi sokongan kepada Turki sebagai model di wilayah terbabit.

Dalam wacana media popular Barat, Turki terus disebut sebagai model politik untuk negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara yang sedang menyaksikan perubahan, walaupun tindakannya berhubung Israel semakin dikecam.

AKP kini terus popular berdasarkan keputusan pilihan raya parlimen terbaharu, tetapi kejayaannya kekal popular turut mengundang reaksi bertentangan yang agak setara.

Kes AKP telah menunjukkan dalam politik yang mempunyai pelbagai polar – nasionalis kanan sekular, Islamis dan kumpulan etnik Kurdis – sesebuah parti, walaupun popular tetap mampu menjadi divisif dalam beberapa isu.

Tuntutan pelbagai kumpulan mudah untuk menghambat sesebuah kerajaan, tidak kira di kedudukan mana ia berada dalam spektrum ideologi politik.

Dalam kes AKP, isu Kurdis menjadi satu isu yang terbukti sangat mencabar, sehingga menjejaskan kredibiliti parti itu sebagai demokrat.

Hal ini juga memperlihatkan tidak ada satu parti yang mampu memonopoli semua nilai-nilai baik yang menjadi tuntutan.

Usaha membina perlembagaan baharu yang lebih memenuhi tuntutan zaman juga memperlihatkan cabaran besar yang terpaksa dilalui AKP, yang kini dituntut membina konsensus untuk mencapai apa yang menjadi matlamat ramai pada masa ini.

Harapan-harapan dan retorik populis mudah untuk disuarakan semasa kempen tetapi akan segera berdepan halangan dalam politik dan pentadbiran yang jauh lebih kompleks.

Zul Noordin terus kritik Bersih, persoal niat berdemo

Posted: 14 Jun 2011 06:38 AM PDT

Ahli Parlimen bebas, Zulfikli Noordin meneruskan kritikan terhadap perhimpunan Bersih kedua dijadual 9 Julai nanti, mempersoal niat penganjur yang dilihat mahu menjatuhkan kerajaan dengan meniru demonstrasi di dunia Arab.

"Niatnya jelas. Cuba baca twitter, facebook dan laman web kaum pelampau ini. 'Mari kita tumbangkan kerajaan 9 Julai ini.' 'Jom sapu-bersih Be End 09 Julai'. 'Dataran Merdeka Dataran Tahrir.' 'Basahkan bumi KL dengan warna merah.' 'Kalau rakyat Mesir berjaya, kita juga akan berjaya.'"

"Dan banyak lagi kenyataan-kenyataan yang membawa kepada satu sahaja rumusan, mereka berniat mahu menjadikan 09 Julai sebagai hari rusuhan, kekacauan sebagaimana berlakunya dinegara-negara 'Arab. Dengan niat supaya Kerajaan yang dipilih rakyat ini tumbang secara ganas, kasar dan haram," tulis Zulkifli di blognya.

Beliau turut mempertikaikan penganjur yang dikait dengan sikap "anti-Islam," mengingatkan PAS tentang hal itu dan menggesa umat Muslim tidak dipengaruhi dan diperalatkan.

"Teman cukup yakin dalang-dalang disebalik himpunan haram ini mempunyai agenda mereka sendiri. Ambeega Sreenavasan, bekas Pengerusi Majlis Peguam, badan yang terkenal anti Islam, sudah pasti mahukan kerajaan yang ada pada hari ini tumbang kerana 'terlalu Islamik.' Yang ini takkan rakan-rakan dalam PAS dah lupa."

"Dengar kata manusia yang ditabal bininya sendiri dah pukul kompang nak turun. Apa niat Majlis Peguam, terutamanya Ambiga Sreenavasan yang dilantik menjadi Pengerusi Himpunan Haram ini? Apa niat dan agenda Anwar dan kaum Anwarinas untuk mengadakan himpunan haram ini. Insyallah akan teman kupas dalam masa terdekat ini," tulisnya lagi.

Tiada ulasan: