Isnin, 13 Jun 2011

SIASAH

SIASAH


Tentang Bersih, Konsensus Bebas buat kerja BN

Posted: 13 Jun 2011 05:16 AM PDT

Zulkifli Noordin dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dari kumpulan ahli Parlimen dikenali Konsensus Bebas bertindak mewakili suara Barisan Nasional apabila menentang dengan keras demonstrasi Bersih kedua.

Keprihatinan terhadap impak negatif perhimpunan besar seperti dirancang pada awal Julai nanti terlalu mengambil kira senario-senario terburuk dan mewakili sentimen pemerintah semata-mata.

Senario buruk kelihatan terlalu diperbesarkan dan dihalakan semata-mata kepada pembangkang sedangkan banyak pihak lain boleh bertanggungjawab dalam mencetus insiden tidak diingini.

Kebimbangan pihak tertentu, seperti peniaga dan pemandu teksi bukan tidak berasas tetapi tindakan berdemonstrasi tidak dapat dielakkan daripada dijalankan sebagai sebahagian proses demokratik.

Apa yang disuarakan seorang ahli Parlimen terbabit, mengaitkan demonstrasi dirancang dengan pemilihan parti PKR tidak mempunyai kaitan yang kuat, kerana tuntutan pilihan raya Bersih bukan semata-mata insiatif parti itu dan telah dituntut jauh lebih lama.

Kepincangan dalam sistem pilihan raya di negara ini memang sesuatu isu yang jelas, dan tidak sepatutnya dilihat sebagai hanya mewakili kumpulan tertentu, malah perlu menjadi tuntutan pihak pemerintah juga.

Tuntutan membersihkan sistem pilihan raya perlu menjadi agenda semua. Pihak yang menuntut hari ini tidak mustahil akan menjadi pemerintah pada masa depan, dan tiada jaminan mereka tidak akan mengeksploit kelemahan sedia ada itu.

Pihak pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang tidak sepenuhnya bebas daripada sebarang penilaian, dan perlu dituntut bertanggungjawab seboleh-bolehnya memelihara aksi massa mereka itu agar tidak dieksploit untuk mencapai sebarang tujuan yang bertentangan dengan kepentingan negara.

Tiada ulasan: