SIASAH |
| Najib dan kelab diktator Asia Tengah Posted: 09 Jun 2011 12:10 PM PDT Malaysia sedang menyaksikan peningkatan hubungan dengan Kazakhstan, negara bekas Soviet kaya minyak dan gas di Asia Tengah.Hubungan Malaysia dengan Kazakhstan, dan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev bakal memasuki satu era baharu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Hubungan rapat yang bakal bermula ini memberi implikasi yang besar kepada Najib dan Malaysia, dari pelbagai sudut terutama perniagaan dan politik. Kedua-dua Malaysia dan Kazakhstan ialah negara membangun yang terpandang dalam dunia Islam, dengan kekuatan masing-masing. Kedua-duanya akan mendapat manfaat daripada hubungan ini. Malaysia bakal mendapat peluang perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk minyak dan gas dan pembangunan infrastruktur yang luas di Kazakhstan, negara yang menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia dari sudut ekonomi dan politik. Kazakhstan ialah salah sebuah negara bersempadan Laut Kaspia, medan minyak dan gas yang menjadi tumpuan dunia. Negara terbesar di Asia Tengah ini mempunyai tiga telaga minyak dan gas besar yang menjadikannya tumpuan syarikat multinasional; Tengiz, Kashagan dan Karachaganak. Kashagan terletak dalam wilayah Kazakhstan di Laut Kaspia, dan dianggar menyimpan 6 hingga 9 bilion tong minyak. Sumber minyak dan gas Kazakhstan menjadikannya negara yang dapat membina hubungan baik dengan Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan China, yang syarikat tenaga mereka terlibat dalam perdagangan dengan Kazakhstan. Kedudukan Asia Tengah yang tidak mempunyai laut (Laut Kaspia terkepung oleh daratan dan definisinya, sebagai laut atau tasik, masih dipertikai) menjadikan saluran paip sebagai pengangkutan minyak dan gas menjadi pilihan utama. Sebagai negara yang pesat membangun, dan dengan pendapatan minyak yang besar, pelbagai projek pembangunan diperlukan di Kazakhstan, projek yang skalanya dapat menyaingi apa yang diperolehi syarikat Malaysia di dunia Arab. Hubungan peribadi Najib dengan keluarga Nazarbayev dijangka dapat membantu dalam hal ini. Malaysia sebelum ini telah sedia menjadi salah satu pemain dalam industri minyak dan gas di Asia Tengah, sebahagiannya disebabkan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri. Tetapi, Kazakhstan dan seluruh Asia Tengah ialah sebuah wilayah yang dikuasai rejim-rejim kuku besi yang merupakan antara terburuk di dunia. Perkembangan ini juga bermakna Najib membina hubungan rapat dengan salah satu ahli kelab diktator paling dikenali di Asia Tengah dan dunia. Nazarbayev, pemimpin tertinggi Kazakhstan kini menempatkan dirinya di kedudukan utama yang tidak boleh dicabar di negara itu. Dalam satu perkembangan terbaharu, Kazakhstan dikecam kerana menghantar pulang sekumpulan penuntut suaka politik dari Uzbekistan, yang dibimbangi berdepan ancaman penyiksaan oleh pihak berkuasa negara itu, satu lagi negara diktator Asia Tengah yang dikenali. Hubungan ini mendedahkan Najib kepada implikasi negatif dari sudut politik, di kedua-dua peringkat antarabangsa dan tempatan. |
| PAS ganti Umno, Umno ganti PAS Posted: 09 Jun 2011 07:13 AM PDT PAS kini dilihat semakin bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, berubah menjadi semakin liberal dan inklusif.Walaupun kenyataan ini masih tertakluk kepada perjalanan sejarah yang panjang, ia satu akibat yang semakin boleh dibayangkan dan difikirkan. Agamawan dalam PAS masih mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi, dan dijangka akan memberikan respons kepada hasil pemilihan yang baru berlangsung. Walau bagaimanapun, dalam sejarah panjang kedua-dua PAS dan Umno, dapat diperhatikan perubahan pendekatan dan haluan parti-parti mewakili Melayu-Muslim utama di negara ini. Berbanding tahun-tahun 1980-an, PAS kini sudah jauh berubah daripada garis keras dan sikap kurang menerima realiti plural masyarakat dan pengundi negara ini. Dari satu sudut, PAS dilihat semakin berhikmah dalam menyampaikan mesej Islam, tetapi pada sudut lain, PAS dilihat semakin tunduk kepada keperluan politik pragmatik, terutama melibatkan sokongan dalam pilihan raya. Kenyataan ini juga masih boleh diperdebatkan, tetapi semakin mudah diakui oleh ahli-ahli dan pemerhati parti Islam ini. Di seberang lain, Umno kini, sama ada benar atau salah, semakin mengambil isu-isu Islam sebagai bahan kempen, dan semakin mengambil berat hal ehwal berkaitan masyarakat Melayu-Muslim yang sebelum ini dikuasai PAS dan diabaikan parti etnonasionalis itu. Sebagai bahan kempen untuk pilihan raya umum akan datang, keprihatinan ditunjukkan oleh Umno dalam hal Melayu-Muslim berpotensi memberi manfaat kepadanya. Sama ada berdasarkan sebab pragmatisme atau kesedaran sebenar, Umno semakin dekat dengan isu-isu yang sebelum ini berada dalam domain eksklusif PAS. Walaupun berdepan cabaran komponen yang lebih asertif dan kuat menentang elemen Islam, Umno dilihat semakin terdorong untuk mengambil haluan yang lebih dekat dengan beberapa isu dasar Islam. Akibatnya, PAS berpotensi menjadi lebih pragmatik, manakala Umno menjadi lebih lantang bersuara dalam beberapa hal ehwal Islam. Pilihan-pilihan yang dibuat berdasarkan keperluan semasa itu, akhirnya, berpotensi pula menjadi antara ciri penting parti-parti terbabit, dan mengubah kedudukan kedua-dua parti itu dalam lanskap politik tempatan. |
| You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan