SIASAH |
Menilai pandangan Roketkini tentang Islam Posted: 06 Jun 2011 10:42 PM PDT Oleh ABU IMAD AL-MAHSHARI Ia tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk sebuah parti tua, dengan ideologi yang utuh kukuh, yang mendokong ideologi liberal, demokratik sekular Malaysia melalui organ media baharu mereka berbahasa Melayu yang bertujuan meluaskan lebaran pengaruhnya kepada masyarakat Melayu untuk melangkau bicara, menjengah masuk kepada persoalan Islam dan syariat. Dalam komunikasi sms saya bersama editor SiasahDaily, saya berhasrat untuk menyuntik persoalan dan perbahasan minda selepas mengetahui pelancaran Roketkini sebelum tanggal 20 Mei, 2011. Saya diberitahui, SiasahDaily akan menyiarkan komentari pendek berkenaan hal ini. Jawapan sms saya, yang juga merupakan satu soalan adalah "Bagaimana agaknya Roketkini akan memberi liputan terhadap persoalan Islam, syariah, murtad dan sebagainya?" Liputan SiasahDaily berkenaan Roketkini pada 26 Mei 2011 cuba menjawab persoalan saya ini dengan kenyataannya: "Roketkini juga kelihatan masih berhati-hati dan memberi tumpuan pada isu-isu yang selamat - berbanding isu seperti penukaran agama dan undang-undang Islam - dan tidak mendedahkannya kepada kontroversi yang boleh menjejaskan misinya." Malangnya, ia tidak memerlukan masa yang lama; Roketkini tidak mampu untuk menyekat desakan dan suara hatinya yang membuak-buak, yang kukuh berpegang pada pemikiran dan ideologi liberal sekular demokratik dan terpaksa mula memberi pandangan berkenaan Islam, syariah dan prinsip perjuangan PAS. Melalui artikel bertajuk lunak 27 Mei 2011, Cara Sopan dan Beradab Membantah Konsert – Roketkini menyatakan pendirian dengan mengetengahkan pendirian tokoh lebih liberal dalam PAS, Khalid Samad yang sering mengambil pendekatan sangat toleran untuk dijadikan model kepimpinan di kalangan kepimpinan PAS oleh DAP yang pada pendapat mereka sepatutnya dicontohi oleh pemimpin lain PAS. Dalam kenyatan tersebut, bagi saya, ia adalah hal yang tidak terlalu keterlaluan kerana ia hanya sekadar pandangan dari organ media DAP berkenan sebuah parti lain, dalam kes ini PAS, tentang kepimpinan yang sebenarnya harus dimiliki oleh parti tersebut – yang lunak dan beradab bagi persepsi mereka. Mungkin ada penyokong tegar PAS yang akan marah; kerana kelancangan DAP untuk memberi rating baik "baik" dan "buruk" kepada mana-mana pemimpin mereka. Namun saya sedar sebahagian besar ahli PAS akan berdiam diri demi menjaga keutuhan Pakatan Rakyat. Namun malangnya, argumentasi dalam menaikkan kepimpinan ahli Parlimen Shah Alam itu, bagi saya diwarnai kenyataan pengadilan (judgemental statement) terhadap Islam dan syariah atau mungkin lebih tepat sekadar pendirian PAS terhadap Islam dan syariah. Roketkini menyatakan, "Apabila meneliti rasional bantahan ini, ianya agak berasas. Bagi saya, Khalid pada dasarnya tidak membantah penganjuran konsert, sebaliknya beliau mempersoalkan aspek lokasi dan infrastruktur." Roketkini meneruskan komentar dengan menyatakan "Bantahan Khalid ini saya sifatkan sebagai satu bantahan bermaruah dan rasional, terutama apabila datangnya PAS yang mana persepsi umum ialah akan sentiasa menolak sebarang konsert hiburan yang didakwa sebagai 'budaya Barat' dan 'budaya kuning.'" Secara jelasnya ini bermakna semua bantahan dari PAS atau mana-mana badan Islam lain terhadap konsert yang rata-ratanya dan sewajarnya dibantah atas hanya sanya alasan bertentangan dengan tuntutan Islam dan syariah dan konsert sebagai mekanisme atau alat kepada penyebaran budaya "kemunkaran" yang jika disebarkan akan merosakkan akhlak umat – bagi pandangan Roketkini atau DAP; bantahan tersebut adalah sesuatu yang tidak bermaruah dan tidak rasional. Di sini kita melihat perbezaan definisi ketika Roketkini membicarakan persoalan maruah, rasional, akhlak, mahupun amar maaruf dan nahi munkar. Ini, menjadi hujah yang lebih kukuh untuk mereka yang tidak meyakini makna dan dan tujuan prinsip-prinsip Islam atau "kenyataan-kenyataan umum" Islam, agar tidak menggunakannya sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan membicarakannya dalam maksud yang berbeza atau bertentangan atau menyesatkan. Roketkini, sekali lagi memberi kenyataan pengadilan, sekaligus kepada PAS secara khusus dan Islam secara umumnya dengan menyatakan, "Jika PAS mahu menjadi penjaga moral, adalah lebih baik jika ia berperang habis-habisan menentang rasuah dan salah guna kuasa." Tidak salah untuk menginterpretasi lanjut maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Roketkini bahawa: Persoalan akhlak, bagi mereka tidak harus dikawal selia kerana ia adalah kebebasan individu dan jika tindakan tersebut seolah-olah menjadikan PAS sebagai "polis moral." Sewajarnya PAS menjadi polis moral dalam hal-hal yang lain selain persoalan akhlak. Sememangnya dalam keadaan PAS amat bergantung kepada undi bukan Muslim dalam pilihan raya kecil dan nasional, persoalan sebegini tidak wajar diperdebatkan dan lebih baik sekali didiamkan. Namun harus menjadi persoalan kepada kepimpinan PAS tentang kelancangan Roketkini yang sewenang-wenangnya membahaskan perkara ini dalam medan terbuka khususnya kepada kelompok sasaran politik asasi PAS iaitu pengundi Melayu beragama Islam yang berbahasa Melayu. Tambah lagi, apabila ulama dan intelektual PAS sudah lama tidak membahas dan mencapai ijtimak dengan "nas dan dalil" tentang pelbagai pendirian PAS terhadap pelbagai persoalan moral, akhlak, syariah, pembangunan, ekonomi mahupun siasah. Dalam kebanyakan pendirian PAS mutakhir ini, PAS akan mengambil pendirian daripada mana-mana pemimpin politik kanan PAS apabila mendapat restu dari PR. Suasana musyawarah dan keperluan berpegang pada ijitimak sudah semakin suram dalam PAS. Bagi saya persoalan rasionalisasi politik adalah perkara kedua. Namun apabila Roketkini mula memberi pendirian tentang apa yang lebih rasional dan bermaruah dalam pandangan Islam maka ia adalah satu kelancangan yang harus diperbetulkan. Walaupun ia menyentuh lebih khusus terhadap PAS, namun malangnya roh, jasad, ideologi, akhlak dan maruah PAS secara seluruhnya adalah sepatutnya berkaitan Islam seperti tertulis dalam perlembagaan PAS. Saya percaya ini hanyalah permulaan baharu untuk Roketkini terus mendendangkan lagu-lagu berkait Islam, melalui lidah, pena dan "dewan ulama" mereka. Walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk PAS tidak berkata apa-apa berkenaan hal ini demi kepentingan kesepakatan dalam PR dan misi Putrajaya yang diidam-idamkan. Abu Imad al-Mahshari adalah seorang aktivis pembangunan dan masyarakat dari utara Semenanjung di Institut Abu Dzar. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan