SIASAH |
| Endorsement SiasahDaily, Mohamad Sabu untuk timbalan presiden PAS Posted: 01 Jun 2011 07:15 PM PDT Kempen untuk jawatan-jawatan tertinggi kini memasuki tempoh penghujungnya.Pelbagai bentuk komentar dan sokongan telah disuarakan oleh mereka yang berkepentingan dalam parti, dan tidak kurang juga dari luar. SiasahDaily, berdasarkan penilaian pemimpin-pemimpin yang bertanding, kini bersedia melakukan perakuan atau sokongan untuk jawatan-jawatan timbalan presiden, naib presiden, timbalan dan naib ketua Dewan Pemuda PAS. TIMBALAN PRESIDEN Mohamad Sabu Mohamad mempunyai beberapa kelebihan mengatasi dua calon lain, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; populariti, pengalaman dalam parti dan politik nasional, dan rekod prestasi yang baik. Mohamad disenangi dalam parti dan dalam kalangan massa, pernah ditahan di bawah ISA, konsisten dalam pendirian dan jarang sekali, sekiranya ada, dilihat sebagai gagal. Beliau turut aktif dalam isu pekerja dan mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan. Kemampuannya boleh dimanfaatkan pada masa PAS akan menempuhi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi. Mohamad memenuhi kelayakan dan kemampuan sebagai pemimpin gerakan Islam, termasuk hubungan yang baik dengan gerakan-gerakan Islam global, ciri yang setara dengan penyandang, Nasharudin dan tidak dilihat pada Tuan Ibrahim. NAIB PRESIDEN 1. Salahuddin Ayub Ketiga-tiga calon mempunyai kelebihan pengalaman, populariti dan prestasi yang agak baik. Salahuddin Ayub, walaupun banyak terlibat dengan politik kenyataan akhbar dan bermain selamat, mempunyai kelebihan pengalaman dan hubungan baik dengan rakan Pakatan Rakyat, ciri yang penting dalam menghadapi pilihan raya. Beliau juga pemimpin yang selesa bergerak di peringkat nasional. Sebahagian besar kelebihan beliau ialah kualiti relatif berbanding beberapa calon lain dalam senarai. 2. Husam Musa Datuk Husam Musa terpalit dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang orang kuat kem Erdogan, dan pernah menunjukkan bercita-cita tinggi untuk menduduki kedudukan tinggi dalam parti. Tetapi, beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai naib presiden sebelum bertanding sebagai timbalan presiden. Kenyataan-kenyataan beliau merupakan antara yang terbaik, mengulas dan menangani isu-isu termasuk kewangan dan ekonomi, yang jarang sekali ditangani pemimpin lain dalam parti. Husam mempunyai wajah yang mampu meningkatkan imej parti di peringkat nasional dan boleh diberikan peluang sekali lagi. 3. Idris Ahmad Selain kedudukan sebagai tokoh berpendidikan agama yang popular dalam kalangan ahli parti dan aktivis, Idris Ahmad juga mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengimbangi komposisi naib presiden. Mempunyai kebolehan ceramah yang masih diperlukan untuk menyampaikan mesej parti. Mempunyai pengalaman peringkat nasional dan mendaki dalam organisasi PAS bermula dari bawah, termasuk pernah aktif dalam Pemuda. Merupakan pekerja parti yang setia dan berkemampuan serta mempunyai hubungan baik dengan akar umbi. TIMBALAN KETUA PEMUDA Suhaizan Kayat Suhaizan Kayat telah membuktikan kemampuan dan mempunyai kualiti kepimpinan di peringkat nasional dalam Dewan Pemuda. Beliau malah mendapat sokongan ramai untuk bersaing merebut jawatan ketua Pemuda. Gandingan Suhaizan yang berciri aktivis dengan ketua Pemuda kini memberi harapan untuk membuat lonjakan kepada Pemuda PAS. Kualiti beliau mengatasi calon-calon lain dan sesuai berada di kerusi timbalan ketua Pemuda yang tidak menunjukkan keberadaan dalam politik Pemuda dan parti sejak sepenggal lalu. NAIB KETUA PEMUDA Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob Mempunyai pengalaman panjang dalam Pemuda PAS, yang disertai secara aktif sejak menamatkan pengajian pada 1999. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob memegang jawatan ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS sejak kembali dari pengajian di United Kingdom setahun lalu, dan berjaya menjadikan lajnah tersebut antara yang paling aktif dalam Pemuda, walaupun dengan sumber yang terhad. Mempunyai kualiti populariti dan kemampuan akademik dan aktivisme untuk berperanan sebagai salah seorang penggerak Pemuda PAS. ------------------------------------------------------------------------------------------------- IKLAN TEKS Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL) 7 hingga 11 Jun, 2011, Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun. Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa. Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang. Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165 |
| You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan