SharpShooter |
- Kak Min saman 6 juta terhadap Ketua Wanita PKR P.Pinang termasuk PAS
- Mengapa SPR minta RM48 ribu untuk dapatkan senarai pengundi?
- Rahmat lega akan dapat rumah baru RM33 ribu
Kak Min saman 6 juta terhadap Ketua Wanita PKR P.Pinang termasuk PAS Posted: 15 Jun 2011 02:36 AM PDT GEORGE TOWN: Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Aminah Abdullah pada Rabu memfailkan saman fitnah berjumlah RM6 juta terhadap lima individu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011. Beliau memfailkan saman itu melalui firma guaman Ambar & Azah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini pada kira-kira pukul 11.20 pagi Rabu. Beliau menamakan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Norhayati Jaafar sebagai defendan pertama, Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutung Jab Samad (defendan kedua), Setiausaha PKR Cabang Jelutong Anuar Kamaruddin (defendan ketiga), wartawan Harakah Mohd Sabri Said (defendan keempat), Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman (defendan kelima) dan PAS (defendan keenam). Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada sekitar 20-21 Mei lepas defendan pertama, kedua dan ketiga telah bersama-sama melalui sidang media di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk peribadi serta tuduhan tidak berasas bertujuan mengaib, menjatuh maruah, nama baik dan reputasinya. Defendan keempat kemudiannya dengan niat jahat melaporkan kenyataan berkenaan dalam artikel bertajuk "Kenyataan Aminah Bertentangan Syariat" yang disiarkan dalam akhbar Harakah ruangan Fokus di muka surat N18, Koridor Pakatan Rakyat Edisi 20-22 Mei 2011. Defendan kelima selaku Ketua Pengarang akhbar Harakah telah membenarkan defendan keempat untuk melaporkan kenyataan itu dan defendan keenam selaku pemilik akhbar berkenaan telah menyiarkan keseluruhan kenyataan berkenaan. Aminah dalam pernyataan tuntutan itu mendakwa laporan akhbar itu antara lain memberi maksud bahawa plaintif adalah seorang yang jahil agama dan tiada sebarang pengetahuan syariat Islam, menerima umpan kebendaan daripada Umno termasuk dituduh menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Plaintif menuntut ganti rugi am untuk fitnah slander (pernyataan fitnah dengan kata-kata atau gerak isyarat, bukan dalam bentuk kekal) sebanyak RM1 juta setiap seorang daripada defendan pertama, kedua dan ketiga. Plaintif turut menuntut ganti rugi am untuk fitnah libel (pernyatan fitnah dalam bentuk kekal seperti tulisan, gambar ataupun filem) sebanyak RM1 juta setiap seorang daripada defendan keempat, kelima dan keenam. - BERNAMA• |
Mengapa SPR minta RM48 ribu untuk dapatkan senarai pengundi? Posted: 14 Jun 2011 06:17 PM PDT Azmin Ali mendedahkan taktik terbaru Umno memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan meminta RM48,000 daripada KEADILAN jika mahu mendapatkan butiran penuh daftar pemilih. Menurutnya, tindakan SPR itu dilihat sengaja memburukkan proses Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang walaupun tarikhnya masih menjadi teka-teki. "Amat mengejutkan apabila KEADILAN diminta membayar RM48,000 untuk alamat daftar pemilih induk 2010 yang diwartakan 19 Mei lalu. "Persoalannya, kenapa SPR menjalankan perniagaan bagi mendapatkan alamat daftar pemilih. Ia adalah tanggungjawab SPR membekalkan maklumat yang lengkap. Kita dapat hidu ini adalah usaha Umno untuk memasukkan pengundi-pengundi hantu dalam daftar pemilih yang tidak menetap dan tinggal di kawasan berkenaan," kata Azmin pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN. Katanya, perkara itu terbongkar apabila beliau sendiri bertemu Ketua Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria bagi mendapatkan penjelasan perkembangan terakhir pilihan raya akan datang. "Lebih kurang tiga minggu lalu, saya bertemu dengan Ketua Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria untuk dapatkan penjelasan tentang perkembangan terakhir PRU tetapi menunjukkan SPR tidak lagi mampu menjalankan pilihan raya yang adil dan bersih. "Saya dapat pengesahan daripada pihak SPR bahawa ada arahan baru berkenaan daftar pemilih yang dibekalkan kepada ahli-ahli politik dan saya percaya ahli politik Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi diberikan alamat pemilih-pemilih berkenaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak. Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan SPR yang sengaja tidak menyediakan alamat pemilih kepada ahli politik Pakatan sedangkan beliau mendapat maklumat perkara sebaliknya berlaku kepada Barisan Nasional (BN). "Saya dapat maklumat ahli-ahli politik BN disediakan alamat penuh berkenaan pemilih di kawasan mereka yang disertakan nombor telefon. Mengapa boleh berlaku dwistandard terhadap PR? Ini tindakan tidak adil dan di mana sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini? "Saya memberi contoh di sini daftar pemilih yang terkini yang diwartakan pada 19 Mei lalu sehingga suku tahun keempat 2010, di lokasi Rumah Pangsa AU3 (Blok 1-15) Dun Ulu Klang, Parlimen Gombak (P.098), dapat dilihat hampir kesemua nama-nama yang dibekalkan oleh SPR hampir semuanya hanya ada nombor rumah sahaja, tidak ada alamat yang penuh. "Bagaimana mungkin kita dapat sahkan sama ada pemilih ini benar-benar pemilih yang duduk di kawasan berkenaan sekiranya alamat tidak diberikan. Ia ada beberapa nama pemilih yang ada alamat tetapi lebih 90 peratus pemilih tiada alamat di dalam daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR yang perlu diberikan kepada parti politik," ujarnya sambil menunjukkan bukti senarai nama tanpa alamat kepada pemberita. Sharpshooter - SPR sejak dulu kini dan selamanya alat umporno..kita hanya boleh menang dengan jentera yang kuat yang mampu banteras pengundi hantu dan penyelewengan SPR terutamanya borang 14. Jom turun BERSIH 9 Julai..jumpa di sana.. |
Rahmat lega akan dapat rumah baru RM33 ribu Posted: 14 Jun 2011 04:29 AM PDT JURU – Sebuah keluarga yang tinggal dalam serba kekurangan dekat Kampung Bukit Kechil, dekat sini, boleh menarik nafas lega selepas permohonan mereka untuk membina rumah baru diluluskan kerajaan negeri. Rahmat Eusoff,47, yang menghidap penyakit jantung berkata, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib yang dialami mereka sekeluarga. Menurutnya, mereka tidak perlu lagi hidup dalam keadaan bersesak di dalam sebuah rumah kecil lagi selepas ini apabila rumah mereka siap nanti. "Sebelum ini, kami berlapan terpaksa berkongsi tempat tidur memandangkan rumah ini hanya mempunyai satu bilik tidur. "Tetapi, selepas ini kami semua tidak perlu lagi berbuat demikian kerana rumah kami akan berwajah baru. Terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Seberang Perai Tengah (SPT), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah YB Ong Chin Wen dan semua pihak terlibat di atas bantuan yang diberikan ini," katanya dalam nada sebak. Rahmat ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di rumahnya, baru-baru ini bagi meraikan hari penuh bermakna dalam hidup mereka. Majlis turut dihadiri ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Ketua Penolong Pegawai Daerah bahagian (Pembagunan), Masirah Che Ani. Dalam pada itu, ADUN berkata, peruntukan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (UPEN) yang diberikan melalui PDT SPT diluluskan bagi membina rumah baru untuk keluarga berkenaan. Menurutnya, rumah baru yang akan dibina itu nanti merangkumi kerja-kerja menaik taraf serta menambah bilik itu melibatkan kos sejumlah RM33 ribu. "Kita telah mengemukakan permohonan kepada PDT pada Februari lalu, namun ia memakan masa yang lama untuk diproses. Tetapi, akhirnya pada hari ini ia diluluskan. "Justeru, saya meminta kepada semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memaklumkan kepada saya jika ada keluarga susah di kampung mereka yang perlukan bantuan. Ia perlu agar bantuan sewajarnya dapat diberikan," katanya. Beliau berkata, pembinaan rumah baru Rahmat itu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi. Terdahulu, Sinar Harian dalam laporannya bertarikh 18 Januari lalu menyiarkan tentang kisah Rahmat Eusoff dan keluarganya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan selepas dia ditimpa penyakit dua tahun lalu. Bebanan tugas keluarga pula terpaksa ditanggung isteri, Normah Muhamad,42, yang mencari rezeki sebagai pembantu di sebuah pusat penanaman cendawan di Kampung Telok, Bukit Minyak. |
You are subscribed to email updates from SharpShooter To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan