Khamis, 16 Jun 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


FOMCA Minta Kerajaan Siasat Segera, Ramai Yang Kecewa Menteri Pelajaran Meremehkan Soal Logo Halal Jakim Yang Tiada Pada Susu UHT 1Malaysia

Posted: 15 Jun 2011 09:03 PM PDT

SHAH ALAM 16 Jun - Satu siasatan terperinci berhubung dakwaan susu UHT 1Malaysia tidak mempunyai logo halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dijalankan oleh kerajaan Malaysia, kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Katanya, selain meragui status halal susu berkenaan pihaknya juga khuatir produk yang dikeluarkan sebuah syarikat dari Korea Selatan itu mengandungi bahan terlarang seperti Melamine. Jelasnya, ini kerana berdasarkan maklumat kandungan khasiat yang terdapat pada produk terbabit ianya hanya mengandungi 40 peratus susu manakala selebihnya sebanyak 60 peratus adalah bahan-bahan lain. "Satu siasatan perlu dilakukan bagi merungkaikan keraguan masyarakat berhubung susu berkenaan.Ini kerana, pertama dari segi kandungan dan kedua dari segi status halal. Selepas dapat dipastikan bahawa kandungan susu itu selamat atau pun berkhasiat untuk kanak-kanak sekolah dan status halalnya diperakui barulah ia diluluskan (diagihkan kepada kanak-kanak)." tegasnya kepada. "Perkara itu mesti diselidiki dengan lebih mendalam oleh pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum ia diedarkan." ujarnya lagi. Mohd Yusof berkata demkikian ketika diminta mengulas dakwaan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Pendang, Shaharol Niza Omar baru-baru ini mengenai susu berkenaan, yang didakwa tidak mempunyai logo halal JAKIM. Menurut Mohd Yusof lagi, pihaknya juga kecewa dengan tindakan Kementerian Kesihatan yang seolah-olah memandang ringan berhubung khasiat kandungan susu yang ingin diedarkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. "Memang kita tahu bahawa susu 1Malaysia ini akan diedarkan di sekolah-sekolah, jadi kita mengharapkan ia adalah makanan yang sihat. Jadi kalau dari segi kandungan khasiatnya saja sudah meragukan, apalah kebaikkannya kepada pelajar-pelajar. Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan perlu pastikan bahawa susu itu benar berkhasiat untuk para pelajar sekolah." katanya.

Menteri Pelajaran Remehkan Isu Logo Halal Jakim

Mengulas lanjut berhubung penggunaan logo halal, Mohd Yusof menegaskan bahawa pihak bertanggungjawab perlu mengambil serius kepentingaan pemilikkan sijil halal ini bagi mengelak penggunaan bahan terlarang dalam setiap produk yang dipasarkan di negara ini. "Kalau pihak Jakim sendiri meragui tentang status halal ataupun logo halal tersebut, saya rasa kerajaan juga kena memberi perhatian yang teperinci terhadap perkara ini. Kerana ada badan-badan tertentu sahaja yang diperakui oleh Jakim. Jadi jika badan itu tidak diperakui Jakim, kita khuatir kemungkinan kandungan susu tersebut juga mungkin mengandungi bahan-bahan yang diragui." soalnya. Pada 20 Mei lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan pengeluar produk makanan dari Korea tidak termasuk dalam senarai pensijilan halal yang diiktiraf jabatannya. Bagaimanapun, sebaik sahaja kenyataan JAKIM itu dikeluarkan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (foto) yang juga Menteri Pelajaran muncul dengan gesaan supaya orang ramai tidak perlu meragui status halal susu UHT 1Malaysia kerana ia mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan JAKIM, selain sijil negara pengeksport. Soalnya sekarang, kenapakah Muhyiddin mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, sedangkan semua pihak mengakui akan kelemahan yang berlaku dalam isu susu UHT 1Malaysia itu sebenarnya. Apakah dek kerana beliau gusar, perniagaan yang dimonopoli oleh proksinya itu bakal terjejas jika kerajaan menarik balik projek susu tersebut nanti. Lantaran itulah beliau terpaksa keluarkan kenyataan yang nampaknya lebih berpihak kepada susu UHT 1Malaysia tersebut daripada memikirkan nasib rakyat terbanyak yang mengalami masalah berkenaan. Terbukti, ada unsur penyelewengan dalam projek itu.

[Difahamkan, syarikat yang membekalkan susu terbabit diberikan peruntukan sehingga mencecah RM700 juta ringgit oleh kerajaan untuk melaksanakan projek susu 1Malaysia ini. Bukankah jumlahnya itu sungguh besar dan tidak sewajarnya pembaziran wang rakyat dibuat sebegitu rupa. Malah, terdapat sumber mengatakan projek tersebut sebenarnya dimonopoli oleh kroni pemimpin tertinggi UMNO sendiri iaitu bagi wilayah selatan kroni TPM Muhyiddin Yassin, bagi negeri Pahang dan wilayah tengah pula diberikan kepada kroni PM Najib Razak. Sementara itu bagi wilayah Trengganu dan Kelantan ianya diberikan kepada sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu sendiri. Maknanya pembekalan susu di Kelantan dan Trengganu dilihat agak telus kerana ia bukan tender yang diberikan kepada individu. Soalnya, jika benar dakwaan itu maka wajarlah ia ditamatkan serta merta kerana jelas sekali mereka sanggup menipu rakyat dalam hal ini. Lebih mengejutkan susu tersebut juga tidak punyai tanda halal JAKIM yang telah disahkan, Info Klik SINI]

Isu Lynas Panas Di Parlimen, Mukhriz MITI Mahu Rakyat 'Menerima Kenyataan', Fuziah Pula Dedah Wujudnya Amalan Songsang Terhadap Projek Itu!

Posted: 15 Jun 2011 08:04 PM PDT

Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mukhriz Mahathir (foto) yang menyatakan semua pihak tidak perlu terus berdebat mengenai isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation sehingga panel pakar selesai mengkaji aspek keselamatan bagi projek itu, akhir bulan ini amatlah tidak wajar sama sekali. Mukhriz menyifatkan tidak perlu lagi untuk membincangkan isu tersebut secara panjang lebar kerana mereka "bukannya pakar". "Sebab itu kita panggil pakar yang dilantik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya kerajaan boleh membuat keputusan yang tepat (berhubung projek berkenaan). Apapun nasihat yang diberikan oleh IAEA ini akan kita terima. Sekiranya projek ini benar-benar membahayakan rakyat sudah tentu kita yang ke hadapan sekali untuk membatalkan projek ini. "Sekiranya IAEA menyatakan secara jelas dan terang bahawa projek ini tidak langsung menjejaskan kesihatan, maka saya rasa setiap seorang daripada kita terpaksa menerima kenyataan ini dan melakukan yang sebaiknya," kata Mukriz dalam satu kenyataannya di parlimen semalam. Mukhriz yang menggulung perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2011 sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai projek itu sehingga laporan kajian keselamatan tersebut diperoleh. Alasannya IAEA telah melantik sepasukan lapan pakar yang diketuai Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Kitaran Bahan Api Nuklear di Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Dr Tero Varjoranta dari Finland untuk menjalankan kajian semula aspek keselamatan dan kesihatan loji pemprosesan loji Lynas yang melawat tapak itu mulai 29 Mei hingga 3 Jun lalu. Laporan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan pada 30 Jun 2011 ini.

Fuziah Tegaskan 'Amalan Songsang' Projek Lynas

Isu Lynas mendominasi sesi perbahasan rang undang-undang itu sehingga menjurus berlakunya perang mulut antara penyokong kerajaan dan pembangkang. Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) ketika membahaskan isu itu mendakwa proses membuat keputusan berhubung projek itu "songsang" kerana lesen untuk pembinaan loji tersebut dikeluarkan sebelum konsultasi awam dilakukan dengan para penduduk kawasan berkenaan. "Kilang sudah hampir siap, selepas kita buat tekanan begini, baru hendak panggil panel, hendak bincang dengan masyarakat awam. Seharusnya ditanya dari awal lagi...ini yang saya kata cara membuat keputusan ini songsang," katanya. Beliau juga bertalu-talu membantah projek loji itu yang dikhuatiri akan menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan awam selain penilaian impak alam sekitar bagi projek bernilai RM700 juta itu yang disifatkan boleh dipertikaikan. Ekoran itu beberapa kali berlaku perang mulut antara Fuziah dan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) termasuk ketika Ahli Parlimen pembangkang itu mempertikaikan kredibiliti pakar yang dilantik IAEA kerana mendakwa panel tersebut tidak mengandungi pakar kesihatan awam. "Inilah dia, semua orang dia tidak percaya, sampai besipun dia tidak percaya, dia mahu percaya apa dia cakap sahaja," kata Abdul Rahman yang menyebabkan Fuziah bangkit membantah dan meminta beliau agar menarik balik segala kenyataannya.

[Kenyataan Mukhriz anak Mahathir itu jelas sekali bakal mengesahkan yang IAEA akan membuat kenyataan berpihak kepada Lynas sebenarnya. Beliau harus sedar, dalam apa jua keadaan sekali pun rakyat Kuantan dan Malaysia tetap menolak projek yang berisiko seperti ini. Beliau harus sedar akan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat, bukannya mempertahankan kelompok yang akan menikmati hasil apabila projek itu beroperasi kelak. Malah, rakyat Kuantan sebenarnya sejak dari awal lagi tidak yakin dengan keputusan kajian yang akan dibuat oleh pakar-pakar dari IAEA itu. Tambahan pula dengan pendedahan yang adik MB Pahang sendiri pernah terlibat sebagai orang kuat IAEA ketika awal-awal kemasukan projek tersebut ke negeri ini. Malah, pakar-pakar itu sendiri dibayar kos kehadiran mereka ke negara ini oleh Lynas dan sudah semestinya mereka tidak akan menbuat satu keputusan yang membelakangkan pihak yang membiayaai mereka. Malah, ketiadaan pakar dalam bidang kesihatan dan yang berkaitan juga amat tidak adil sebenarnya. Mana mungkin pakar-pakar IAEA yang hanya hanya pakar dalam bidang itu boleh mengeluarkan pandangan yang mempertikaikan satu projek jutaan ringgit yang telah mendapat khidmat nasihat daripada IAEA itu sendiri. Makanya rakyat kini sedang dipermainkan dengan satu "silap mata" oleh pihak yang mempunyai kepentingan dalam projek Lynas itu sebenarnya. Jalan terbaik ialah mereka terus bantah serta tolak Lynas. Save Malaysia Stop Lynas!].

IKLAN BERBARIS (RM2 SEHARI @ RM50 SEBULAN)
1. Ubat Kuat Lelaki, Menambah Tenaga & Merawat Mati Pucuk
2. Pakej Dua Rahsia Kepuasan Istimewa Suami & Isteri Hebat
3. Memekatkan Air Mani Suami & Yang Belum Mendapat Zuriat

Tiada ulasan: