Rabu, 22 Jun 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Peserta Bersih perlu tahu hak anda bila berdepan dengan Polis

Posted: 22 Jun 2011 10:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL) menganjurkan bengkel terbuka berhubung hak peserta ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Peguam, Fadiah Nadwa Fikri berkata, bengkel tersebut diadakan bagi memberi pendedahan tentang hak peserta perhimpunan sekiranya mereka berdepan salahgunakuasa atau ditangkap polis.

"Persediaan awal sangat penting dan mereka menyertai perhimpunan ini tidak perlu takut kerana dengan pendedahan yang diberikan pastinya mereka akan mendapat perlindungan dari segi undang-undang"

"Ramai masih lagi keliru dan tidak tahu tentang hak asasi mereka. Anda berhak untuk mendapatkan khidmat peguam sebelum memberi apa-apa kenyataan (ketika ditahan)," kata Fadiah ketika dihubungi Keadilandaily.


Menurut Fadiah, Peguam LFL dan Pusat Bantuan Guaman sedaya upaya memberikan bantuan kepada mereka yang ditahan pada hari perhimpunan tersebut.

Namun beliau percaya pihak berkuasa itu akan menggunakan pelbagai cara bagi menyukarkan peserta untuk mendapatkan khidmat peguam mereka.

Katanya, antara perkara yang akan dilakukan polis ketika penangkapan adalah seperti merampas telefon bimbit peserta bagi menyukarkan mereka berkomunikasi dan berjumpa peguam.

Justeru itu katanya, adalah penting peserta perhimpunan sendiri mengetahui tentang hak mereka sekiranya mereka ditahan sebelum dan semasa perhimpunan itu.

"Oleh itu, saya nasihatkan agar orang ramai tegas dan bangun melawan. Jadi penting untuk mereka hadir pada bengkel 30 Jun ini bagi mengetahui lebih jelas tentang hak mereka dan sebagai persediaan ketika berdepan polis," katanya.

Bengkel bertajuk Bersih 2.0: LFL "Right To March!"-Hak Anda Berhadapan Dengan Polis ini akan dikendalikan sepenuhnya peguam hak asasi N. Surendran bersama dengan peguam-peguam LFL yang lain.

Bengkel tersebut dijadual diadakan pada tarikh 30 Jun bertempat di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Banduan Didakwa Merogol

Posted: 22 Jun 2011 08:51 PM PDT

Oleh SALWA SHA'ARI
SHAH ALAM: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun dan sebatan 10 kali, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan merogol dan meliwat yang dilakukannya sebelum dia dihukum.

G. Thiyagaran, 35, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Taiping, sejak 24 September 2010 hadir di mahkamah dengan memakai pakaian seragam penjara warna hijau dan dikawal oleh empat kakitangan penjara.

Lelaki bertubuh sederhana itu sedang menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas pelbagai kesalahan seperti merogol, mencabul dan mengurung dan mencuri motosikal.

Dia didakwa merogol dan meliwat remaja berusia 19 tahun selepas memperdayakan mangsa yang sedang menunggu bas untuk ke sekolah untuk mengikutnya selepas memperdayakan mangsa bahawa dia mempunyai pistol.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7 pagi, 8 Oktober 2009 di kawasan perkuburan cina Kerling, Hulu Selangor, dekat sini.

Bagi kesalahan merogol, dia yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, dekat sini didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala pendakwaan bagi kesalahan meliwat dibuat mengikut Seksyen 377C kanun sama.

Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Thiyagaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mohammed Mokhzani menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Apa yang takut sangat dengan BERSIH?

Posted: 22 Jun 2011 08:32 PM PDT

Wira Arjuna

Apakah dia tuntutan penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) yang dipandang oleh polis, Umno (termasuk Pemuda Umno) serta PERKASA sebagai keterlaluan dan memudaratkan keselamatan negara?

Apakah salahnya membenarkan orang ramai, aktivis masyarakat, pemimpin pelajar dan pemimpin politik berkumpul sebelum berarak di dua tiga batang jalan utama Kuala Lumpur dan menyampaikan memorandum secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong?

Jalan-jalan Kuala Lumpur pun kerap ditutup untuk acara marathon, lumba basikal, dan pelbagai perarakan lain. Tidak pula ada laporan polis atau aduan dibuat kononnya peniaga dan pemandu teksi hilang pendapatan. Kenapa Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dianggap begitu berlainan sekali?

Jangan lupa, jalan-jalan Putrajaya ditutup baru-baru ini untuk menghimpunkan sejuta belia yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menggunakannya bagi "mempertahankan" singgahsana kuasa politik negara daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat.

Kenapa Umno dan juak-juaknya begitu negatif terhadap BERSIH 2.0? Apakah perlunya polis memberikan amaran untuk "bertindak tegas' terhadap mereka yang menyertai perhimpunan ini?

Apakah bezanya perhimpunan ini dengan puluhan himpunan-himpunan yang dianjur oleh PAS, Umno, PERKASA dan pertubuhan lain di kedutaan Amerika Syarikat, Britain setiap kali isu Palestin diperjuangkan.

Gulingkan kerajaan

BERSIH 2.0 bukanlah tunjuk perasaan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dan ia jauh sekali untuk mengalih pandangan rakyat daripada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim.

BERSIH 2.0 adalah insiatif pertubuhan bukan kerajaan yang dipimpin oleh peguam Datuk Ambiga Srinevasam, seorang aktivis yang mendokong keluhuran pelembagaan dan hak asasi manusia.

Benar, BERSIH disokong oleh parti-parti pembangkang. Namun adalah satu hakikat juga bahawa Ambiga telah beberapa kali menggesa parti-parti BN untuk turut serta menyokong perhimpunan ini kerana:

•Perhimpunan adalah secara aman
•Seluruh rakyat mahukan pilhanraya yang telus dan adil, dan parti politik harus memberi sokongan kepada tuntutan ini
•Semua pihak mahu melihat SPR lebih professional dalam isu-isu seperti tempoh kempen minimum 21 hari, penggunaan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih dan pendaftaran automatik pengundi mencapai umur 18 tahun.
Tidak ada satu pun dalam tuntutan ini yang boleh dikatakan memihak kepada pembangkang mahu pun pemerintah.

Tidak ada satu pun dalam desakan pada perhimpunan BERSIH 2.0 akan memberikan sebarang kelebihan kepada Umno mahupun PAS dalam mempengaruhi citarasa pengundi Melayu.

Malaysia jauh daripada ambang kebangkitan rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mobarak di Mesir dan lebih jauh lagi daripada sebarang serangan NATO seperti yang berlaku di Libya.

Banyak rungutan

Namun secara jujur, apakah BN beranggapan rakyat tidak mempunyai sebarang rungutan tentang cara Suruhanjaya Pilihanraya mengendalikan pemilihan di negara ini?

Selepas 12 pilihan raya umum, rasanya tidaklah keterlaluan untuk berharap rakyat tidak lagi diselubungi dengan undi pos yang mencurigakan, atau pengundi hantu dalam daftar pemilih. Begitu juga dengan perpindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Namun ini semua berlaku dan kadar amalan-amalan ini berleluasa menjelang pilihan raya umum ke-13 amat membimbangkan pihak-pihak di sebalik penganjuran BERSIH 2.0.

Selepas lima dekad kita mengurus negara sendiri, masih berlaku kes 'bekalan elektrik boleh terputus tiba-tiba apabila calon Pakatan Rakyat mendahului pengiraan dengan lebih 1,000 undi. Bekalan elektrik pulih sejam kemudian dan calon BN menang dengan 58 undi, dibantu oleh undi pos.

Lebih mengejutkan Pegawai Pilihanraya mengambil keputusan tidak perlu diadakan pengiraan semula walaupun undang-undang memperuntukkan keperluan itu. Ini berlaku di Senadin, Miri pada pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Undi pos dikatakan membantu Umno-BN menang di sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen dalam PRU yang lalu dan menjadi kebimbangan paling besar gagasan pembangkang untuk PRU ke-13.

Amat mencurigakan

Penambahan mendadak jumlah undi pos amat mencurigakan – hampir enam ribu di Pulau Pangkor, 10 ribu di Setiawangsa.

Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri prajurit didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.

Mereka tidak mengisi Borang A iaitu borang perpindahan daripada pengundi biasa kepada pengundi Pos, namun pendaftaran itu diterima oleh SPR.

Nama mereka hanya dikeluarkan daripada senarai pengundi pos setelah PAS membuat bantahan dan menuntut SPR menjalankan siasatan.

Hujah yang dilazim diberikan oleh Umno-BN adalah jika SPR tidak adil dan cenderong kepada pemerintah, mana mungkin pembangkang boleh menang besar pada PRU yang lalu.

Hujah balas ialah, jika SPR memang adil dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawabnya, maka negara sudah pun ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon-calon Pakatan tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan mereka mendapat sekurang-kurangnya 55 peratus daripada jumlah undi untuk memastikan pengiraan undi tidak dimanipulasi.

Ini satu tanggungjawab yang amat berat kerana lawan Pakatan Rakyat dalam PRU bukan parti Umno-BN semata-mata.

Pakatan Rakyat sebenarnya berdepan dengan parti Umno-BN yang disokong dengan segala wang rakyat, kemudahan awam, institusi kerajaan dan jentera media arus perdana.

Bagi Umno-BN, tidak ada batas untuk menggunakan segala kelebihan kerajaan pemerintah untuk agenda politiknya, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya.

Apakah SPR mahu sekali lagi tergolong sebagai sebahagian daripada aparatus BN untuk memenangi PRU yang akan datang?

Biarlah Himpunan BERSIH 2.0 menzahirkan harapan rakyat yang mahu SPR melaksanakan amanahnya secara adil, telus, dan berkecuali dalam mengendalikan pilihanraya demi masa depan negara tercinta ini.

Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Negara berkebajikan ialah pelaksanaan politik Islam

Posted: 22 Jun 2011 07:10 AM PDT

Oleh ZAKARIA ISMAIL

Ramai yang suka menjadi pemerhati yang tidak PAS dan tidak Umno, tidak Barisan Nasional dan tidak Pakatan Rakyat. Tengah-tengah kata mereka.

Kemudian mereka mengeluarkan pendapat yang pada anggapannya sangat bernas, PAS tak boleh begitu, Umno mesti begini, PR sepatutnya begini dan BN sepatutnya begitu.

Tetapi dalam kebanyakan keadaan, mereka sahaja yang selamat daripada kritikan. Menjayakan sesuatu agenda dan memperjuangkannya dalam wadah yang kita pilih seribu kali lebih sukar daripada mengkritik daripada jauh.

Tidak pernah mudah kepada PAS untuk memperjuangkan agenda perlaksanaan syariat Islam yang tulus, adil dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan tempat dalam kerangka sebuah negara Islam yang dicita-citakan.

Ada orang yang menghentam dasarnya. Ada yang menyindir kedaifan cawangannya. Ada yang memperlekehkan segala cadangannya untuk kemajuan dan kesejahteraan negara.

Ada yang mencabar perdebatan falsafah dan hala tujunya seperti perbahasan akademik di pusat pengajian tinggi. Ada yang menyerangnya kerana segelintir tindak tanduk ahlinya. Bahkan ada yang mempertikaikan keislamannya.

Walaupun penulis artikel Abu Imad al-Mahshari menggambarkan beliau begitu telti, adil dan berhati-hati membuat ulasan, tetapi artikel beliau terlalu jelas dangkal dan cepat ingin sampai kepada kesimpulan.

Beliau hanya menggambarkan PAS parti yang berjuang semberono, syok berjuang tanpa tahu ke mana hala tuju yang dicita-citakan.

Contoh kedangkalan boleh dilihat daripada ulasan beliau tentang Islam Hadhari dan cadangan masyarakat Islam Hadhari. Walhal buku Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membahaskan penyelewengan Islam Hadhari daripada aspek terma, perlaksanaan yang dimaksudkan daripada konsep, Islam Hadhari yang tidak mahu tunduk kepada nas syarak, Islam Hadhari yang mirip kepada Islam liberal dan merbahaya kepada akidah dan boleh menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat Muslim.

Contoh ingin cepat sampai kepada kesimpulan, negara kebajikan PAS dianggapnya sebagai plagiat daripada welfare state mengikut kaca mata Eropah. Walhal PAS berjuang untuk penubuhan negara Islam dan salah satu daripada ciri negara Islam ialah negara berkebajikan.

Untuk melaksanakan keseluruhan ciri negara Islam sekaligus, adalah amat sukar. Jadi satu ciri dipilih untuk diserlahkan untuk mendekatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap konsep negara Islam secara praktikal.

PAS menimbulkan tema negara berkebajikan kerana mengambil kira tindakan kerajaan Malaysia yang membelakangkan kebajikan rakyat dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi, mendahulukan kebajikan kroni, menaikkan tarif keperluan asas rakyat pada tahap yang amat membebankan rakyat.

Kerajaan BN secara semberono telah membebankan rakyat untuk menanggung pelbagai perbelanjaan kerajaan an dengan meningkatkan beban cukai dan tarif dalam perbelanjaan isi rumah.

Khazanah kekayaan negara melalui hasil minyak, cukai, keuntungan GLC dan lain-lain yang tidak diurus dengan baik menjadikan Malaysia tidak berupaya meningkatan keupayaan ekonominya, walaupun kerajaan BN mendakwa mereka begitu arif dan pakar dalam pengurusan ekonomi.

Dakwaan mereka hanya dibuktikan dengan inflasi sebenar yang semakin perit dirasai oleh setiap peringkat rakyat jelata.

Negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS ialah kerajaan yang bebas rasuah, kreatif menjana ekonomi, mengagihkan harta negara secara adil dan memberikan keutamaan kepada faedah yang akan diperolehi oleh rakyat menurut neraca Islam.

Bermakna perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang membebankan rakyat akan dikaji semula dan digantikan dengan dasar yang lebih baik dan bermanfaat.

Langkah-langkah ke arah memberikan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada rakyat akan diberikan keutamaan walaupun langkah tersebut tidak menghasilkan keuntungan secara langsung kepada kerajaan.

Bukan senang untuk menjana sokongan rakyat pelbagai lapisan peringkat, walaupun kerajaan BN jelas gagal dalam menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kenaikan harga barang.

Akan sentiasa ada golongan penentang, golongan yang dahagakan penjelasan, golongan yang inginkan perhatian dan golongan skeptikal sentiasa cuba melemahkan semangat.

Tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya. Semoga istiqamah atas perjuangan. - SiasahDaily

Penulis ialah setiausaha Pemuda PAS Marang

Selangor saman balas Alam Flora

Posted: 22 Jun 2011 06:22 AM PDT

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Selangor akan memfailkan saman balas terhadap syarikat pelupusan sisa pepejal, Alam Flora ekoran tindakan syarikat itu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih kerja-kerja pembersihan di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri berpendapat tindakan Alam Flora itu berniat jahat serta sengaja mahu menggagalkan usaha-usaha kerajaan negeri dan PBT dalam meningkatkan usaha serta mutu perkhidmatan yang lebih baik.

"Kami sedang mempertimbangkan usaha untuk memfailkan saman balas terhadap Alam Flora. Kerajaan Negeri telah mendapat nasihat guaman dan Alam Flora tidak mempunyai alasan untuk mendapatkan semakan kehakiman tersebut.

"Kita akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi mengetepikan permohoan yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak lama lagi serta membatalkan perintah penangguhan pelaksanaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Excco Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Alam Flora telah memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri dan semua PBT di Selangor bagi mencabar keputusan yang meminta semua PBT mengambil alih kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh Alam Flora.

Dalam semakan kehakiman tersebut, Alam Flora telah mendapat perintah mahkamah untuk menghalang kerajaan negeri dan PBT daripada meneruskan proses tender bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri telah melantik pasukan peguam terdiri daripada Tetuan Fernandez & Selvarajah bagi mewakili kerajaan negeri dan Datuk Dr Cyrus dari Tetuan Shook Lin & Bok mewakili kesemua PBT.

"Kerajaan negeri komited untuk memberi perkhidmatan yang telus, adil dan bertanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada pembayar cukai," katanya.

Marsha 'kahwin' hanya untuk video klip

Posted: 22 Jun 2011 05:00 AM PDT

PETALING JAYA: Kontroversi penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, 26, (gambar) yang dilaporkan sudah berkahwin pada Ahad lalu secara senyap hanyalah sekadar gimik yang dilakonkan dalam klip videonya.

Pengurus penyanyi itu, Syada Fiza berkata adegan perkahwinan tersebut dilakonkan dalam klip video terbaru Marsha berjudul Bila.

"Marsha memang berkahwin tapi hanya dalam lakonan sahaja untuk klip video terbarunya yang berkisar tentang perkahwinan.

"Adegan itu dilakonkan dalam suasana majlis dalam taman yang dibuat sama seperti perkahwinan sebenar," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Sebuah akhbar harian tabloid, Rabu, melaporkan bahawa penyanyi tersebut mengaku sudah berkahwin secara sembunyi pada Ahad lalu.

Laporan tersebut juga menyebut bahawa pelakon drama Kum Kum The Series itu telah melangsungkan perkahwinan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Syada berkata, klip video tersebut sedang dalam proses pembikinan dan dijangka akan dikeluarkan di YouTube pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, pihaknya juga berasa terkejut dan geli hati apabila isu berkenaan dijadikan sebagai kontroversi muka hadapan akhbar berkenaan.

Katanya, perkara itu timbul apabila Marsha secara bergurau menceritakan hal "perkahwinan" tersebut menerusi laman sosial Twitter miliknya baru-baru ini.

"Penggambaran untuk klip video tersebut sudah siap sepenuhnya hanya tinggal proses suntingan terakhir sahaja.

"Kami tak sangka ia menjadi persoalan banyak pihak mengenai kebenaran perkahwinan yang dilaporkan tapi ia sedikit sebanyak membantu kami untuk mempromosikan video klip tersebut," katanya sambil memberitahu penyanyi itu sedang sibuk di lokasi penggambaran dan tidak dapat menjawab panggilan telefon.- mStar

Apa beza Pekida dengan Perkasa?

Posted: 22 Jun 2011 03:35 AM PDT

Pekida bukan Perkasa, kami takkan turun Bersih 2.0

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) bertegas tidak akan turun menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai depan.

Walau bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi Pekida Malaysia Datuk Roslan Dahaman berkata ini tidak bermakna pihaknya menyokong perhimpunan
mendesak satu sistem pilihan raya yang adil dan bebas itu.

Berbeza dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno yang mahu turun menghalang perhimpunan tersebut, Roslan berkata pihaknya tidak mahu terlibat dengan sebarang agenda politik yang jelas bertentangan dengan perjuangan mereka.

Soalan: Apa beza Pekida dan Perkasa?

Roslan: Saya pun tak faham mengapa Perkasa ditubuhkan. Semasa perasmian Perkasa di Dewan Tenaga Nasional Bangsar yang dihadiri oleh semua menteri termasuk Tun (Dr Mahathir Mohammad) berucap dari pagi sampai petang, petang sampai (kerusi) kosong. Tetapi saya masih tak nampak hala tuju apa yang diucapkan.

Mereka ada duit boleh bina empayar begitu saja. Kami Pekida bergerak daripada bawah keatas, bermula daripada bawah, daripada ahli biasa bergerak individu, tiada satu menteri pun yang tolong.

Hala tuju Perkasa ni apa? Politik atau menegakkan orang Melayu. Penubuhan Perkasa ini terlalu awal…..hanya perhimpunan, perhimpunan, perhimpunan, apa hala tuju perhimpunan? Kalau nak kata bantu orang, kami pun bantu orang, takkan nak cakap pada seluruh media Pekida bantu orang.

Tangan kanan memberi, tangan kiri diam. Kami ada asrama anak yatim, asrama tahfiz sendiri di Bentong, Pahang tanpa bantuan kerajaan tapi tak dipandang masyarakat, tak dipandang kerajaan.

Mungkin Pekida boleh bekerjasama dengan Perkasa?

Kami tak minat bekerjasama dengan Perkasa. Kita tak mahu tonjolkan muka dengan Perkasa. Kami berbeza atas dasar. Perkasa politik, kami atas dakwah Islamiyah.

Kami mungkin boleh bersatu dalam mempertahankan sesuatu hal tetapi kerana sifat kekitaan yang tinggi itu yang jadi masalah. Perkasa selalu keluar dikaca televisyen dan akhbar, kita bukan begitu.

Mungkin kerana pendirian sedemikian orang fitnah Pekida dan mengambil kesempatan mengkomersilkan perjuangan kita.

Pekida akan turun Bersih 2.0?

Tak minat, kalau boleh jangan. Kami telah membuat laporan polis dan mengambil pendirian kerana mereka ada agenda spekulatif sendiri. Bersih kalau nak dakwa mereka ini tak adil, sudah enam negeri mereka tawan semasa pilihan raya (PRU 2008) dulu.

Kalau dengar bersih nak berarak, Perkasa nak berarak, Pemuda Umno nak berarak, sampai bila isu ini akan selesai? Nasib kita dihujung tanduk, jangan jaja masa depan negara demi agenda dan kepentingan sendiri.

Tetapi bagi kami jika berlakunya sebarang pertelingkahan kita akan menjadi barisan paling hadapan dalam mempertahankan hak kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam. Kami akan menjadi orang yang paling kehadapan berjuang mempertahankannya, bangsa dan hak kedaulatan raja-raja Melayu

3 Boroi tayang video lucah akan didakwa Jumaat ini

Posted: 22 Jun 2011 12:17 AM PDT

2011/06/22

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, berkata trio "Datuk T" diminta hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi Jumaat ini untuk pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada wartawan sebentar tadi. Difahamkan pendakwaan terhadap mereka adalah berkaitan penayangan rakaman video yang didakwa menunjukkan aksi seks individu mirip seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita.

Selain Eskay, dua lagi anggota trio "Datuk T" iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Agung PERKASA, Datuk Shuib Lazim. - BH

Tiada ulasan: