Kerabu Bersuara ® |
- YB Elizabeth: Gangguan Bekalan Air Akibat Penyelenggaraan Syabas, Tiada Kekurangan Air
- Khalid Samad: Flotilla 2, LL4G dan saya
- Wang zakat biayai yuran guaman menteri? Habis macam tu jer duit rakyat!
- Pemuda Kelantan kerah 30,000 peserta
- Bersih 2.0: Tiga pihak dipanggil hadap Bukit Aman, tiada permit
- Himpunan Bersih 2.0 tidak salah dari segi tujuan, kata Dr Asri
- 99% setuju Bersih harus diteruskan
| YB Elizabeth: Gangguan Bekalan Air Akibat Penyelenggaraan Syabas, Tiada Kekurangan Air Posted: 22 Jun 2011 09:11 AM PDT Kerajaan Negeri amat kesal dengan gangguan bekalan air yang kini berlaku di beberapa daerah di Selangor. Gangguan yang diumumkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) ini dilaporkan akan berlanjutan selama tiga hari dan menjejaskan seramai sejuta penduduk di daerah Petaling, Hulu Selangor, Gombak dan juga Kuala Lumpur. Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas. Simpanan air empangan masih berada pada tahap yang tinggi. Mengikut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kedudukan tahap simpanan air empangan pada 21 Jun 2011 adalah seperti yang berikut : * Empangan Sungai Selangor pada tahap 98.81% dan Sungai Tinggi pada tahap 99.17%. Kedua-dua empangan ini menjadi sumber air 60% bekalan air minum ke Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya). * Empangan Sungai Batu pada tahap 100%. * Empangan Klang Gate pada tahap 100%. * Empangan Sungai Semenyih pada tahap 100% * Empangan Sungai Langat pada tahap 100%. * Empangan Tasik Subang pada tahap 96.88% Kenyataan pihak Syabas hari ini menyalahkan perundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat. Penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya. Pada hari ini pula, perundingan dengan Kerajaan Negeri senang-senang digunakan sebagai alasan menghalang syarikat swasta tersebut dari menaiktaraf infrastrukturnya. Sepatutnya kerja-kerja ini dibuat sebelum ini. Kerajaan Negeri Selangor menyeru Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas ini dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk negeri yang paling maju di Malaysia. Kerajaan Negeri Selangor akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua. Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor. Tambahan itu, Kerajaan Negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia. Air merupakan sumber asas yang penting. Oleh itu, Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai untuk menggunakannya dengan cermat dan bijak. Pemasangan sistem pemanenan air hujan (rainwater harvesting) di tempat kediaman ataupun komersil merupakan satu langkah yang dapat menjimatkan penggunaan air. YB ELIZABETH WONG Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar ![]() |
| Khalid Samad: Flotilla 2, LL4G dan saya Posted: 22 Jun 2011 05:11 AM PDT Khalid Samad Saya dihubungi oleh beberapa sahabat dari NGO Islam pada sekitar bulan Mei dan ditanya samada saya berminat untuk menyertai misi Life Line for Gaza ke-2. Saya diberitahu ianya akan seperti misi yang pertama dan kapal Mavi Marmara akan turut digunakan sepertimana sebelum ini. Ahli Parlimen dan NGO 'Islamist' dari seluruh dunia akan turut menyertainya. Tarikh yang dianggarkan adalah pada bulan Jun. Saya turut dimaklumkan bahawa penyertaan Ahli Parlimen PAS amat dialu-alukan. Program ini, seperti yang dahulu, dianjurkan LL4G, satu pakatan atau gabungan (coalition) NGO Islam yang telah lama istiqamah dengan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Palestine seperti Haluan Palestine, Muslim Care, Yayasan Amal dan Aqsa Syarif. Pada masa yang sama, saya turut dimaklumkan bahawa NGO Turkey, IHH, akan memainkan peranan utama, sepertimana dahulu. Berdasarkan maklumat ini, maka saya telah menyatakan persetujuan saya untuk bersama. Penderitaan rakyat Palestine diketahui umum. Oleh itu tidak perlu saya ceritakan di sini. Mereka mengharapkan dunia, khususnya dunia Islam dan pencinta keadilan untuk membela nasib mereka. Kita tidak boleh membenarkan dunia lupa kezaliman yang sedang dialami rakyat Palestine. Misi yang seperti ini mampu menjadikan kezaliman Zionis berita muka depan akhbar seluruh dunia. Dengan itu, penyelesaian yang adil bagi rakyat Palestine akan diusahakan, termasuk membatalkan sekatan ke atas Gaza. Tergambar dalam pemikiran saya suasana yang diceritakan kumpulan sahabat yang telah bersama dengan misi LL4G pertama. Saya dimaklumkan bahawa siang dan malam semasa mereka berada di atas kapal Mavi Marmara telah dipenuhi dengan program-program tazkirah, dzikir serta solat sunnat, termasuk Tahajjud. Suasana sebegitu memberikan mereka kekuatan untuk menghadapi cabaran yang bakal dihadapi mereka dengan penuh keyakinan akan pertolongan Allah. Sehingga, apabila berlaku apa yang telah berlaku, mereka langsung tidak gentar, walaupun berhadapan dengan tentera Israel yang bengis dan lengkap bersenjata. Ini adalah berkat dari keikhlasan mereka itu. Pada 12 Jun, saya telah memohon restu pimpinan tertinggi PAS untuk saya mewakili parti dalam misi ini. Saya turut memaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah dijemput berucap bersama Perdana Menteri dalam program pelancaran misi ini. Berdasarkan maklumat tersebut, permohonan saya itu telah dipersetujui dan saya merasa gembira di atas restu serta sokongan yang diberikan. Sehari selepas itu, saya diberitahu sahabat yang bergiat dalam sebuah NGO bahawa kapal Mavi Marmara dan dua lagi kapal besar telah menarik diri. Oleh itu, jumlah peserta dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, terpaksa dikurangkan dari 20 (saya difahamkan pada asalnya) kepada 10 orang sahaja. Seterusnya saya juga dimaklumkan bahawa misi kali ini tidak akan seperti yang pertama. Beberapa NGO yang telah memainkan peranan utama sebelum ini tidak akan menyertainya. Saya mula kedengaran ketidak terlibatan Haluan Palestine, Yayasan Amal, Aqsa Syarif dan lain-lain. NGO Turkey yang ke depan dalam misi pertama, iaitu IHH juga tidak akan lagi memainkan peranan utama sepertimana dulu. Ini dikatakan ada kena-mengena dengan suasana pelarian dari Syria yang memasuki Turkey. Walaupun dalam suasana seperti itu, saya tetap meletakkan harapan misi ini akan dapat diteruskan dengan semangat yang sama seperti dulu. Pada masa itu, saya mengharapkan program pelancaran yang akan dilakukan pada 18 Jun akan meletakkan misi ini atas satu asas yang kukuh dari sudut keikhlasan perjuangan membela nasib rakyat Palestine. Hakikat bahawa program itu akan dilancarkan oleh PM dan Timbalan Presiden PAS akan turut berucap mewakili PR serta Khairy Jamaluddin mewakili BN adalah, bagi saya, bukti bahawa perkiraan politik diketepikan sama sekali dalam usaha ini. Pada 17 Jun, sehari sebelum pelancaran misi LL4G (2), saya dimaklumkan secara peribadi oleh pihak LL4G bahawa mereka dihubungi pihak PM dan diberitahu bahawa Timbalan Presiden PAS tidak dibenarkan berucap! Sekiranya terus ingin membenarkan beliau berucap, maka PM tidak akan hadir dan Aman Malaysia akan menarik diri dari menyertai misi tersebut. Pihak LL4G memaklumkan kepada saya, "sebagai NGO, kita amat memerlukan penglibatan PM dan Aman Malaysia serta kerjasama Wisma Putra dan sebagainya. Apa harus saya lakukan?" Saya hanya mampu menyebut bahawa ianya terpulang kepada dirinya untuk memutuskannya. Sebagai NGO, maka beliau harus berkecuali dan ucapan dari kedua-dua pihak akan membuktikan bahawa LL4G tiada affiliasi politik. Itulah sebabnya mengapa beliau menjemput kedua pihak pada asalnya. Saya seterusnya bertolak ke Perak pada petang itu kerana mempunyai program di Batu Kurau pada malam 17 dan di Bukit Gantang pada 18 Jun. Pada 18 Jun, semasa saya di Bukit Gantang, saya telah dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah tidak hadir kerana telah diberitahu bahawa dia tidak akan dibenarkan berucap. Malahan, sepanduk-sepanduk di tempat program pelancaran turut diubah-suai dengan meletakkan pita bagi menutup nama Tuan Haji Mohd. Sabu dan Khairy. Lencana NGO-NGO tertentu turut ditutup kecuali lencana LL4G dan Aman Malaysia. Kawan-kawan saya yang hadir ke program tersebut memaklumkan ianya berjalan bagaikan program UMNO. Ketidak-ikhlasan pihak PM dengan menuntut supaya Timbalan Presiden PAS tidak berucap amat menduka-citakan. Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai motif politik dan ini mencemarkan niat disebalik misi ini. Tindakan mereka untuk mendapatkan keuntungan politik dari penderitaan rakyat Palestine dengan percubaan menenggelamkan keterlibatan PAS dan hanya menonjolkan peranan mereka dianggap keterlaluan. Sejurus itu saya telah dihubungi beberapa rakan NGO dan ahli parti untuk menarik diri. Saya hanya mendiamkan diri. Namun ianya jelas bahawa UMNO ingin membersihkan nama mereka melalui misi ini setelah dipalitkan dengan Israel melalui perlantikan APCO sebagai penasihat kerajaan BN. Hakikatnya, UMNO TIDAK PERNAH menyokong perjuangan Hamas, parti politik pilihan rakyat Palestine. Sebaliknya, mereka bersama Fatah, parti Yasser Arafat. Sedangkan Gaza dikenakan sekatan kerana ianya dibawah Hamas. Sehingga hari ini kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Hamas. Pada 20 Jun saya telah bertolak ke Saudi. Pada ketika itu, tarikh bertolaknya misi LL4G (2) masih tidak disahkan. Menurut sumber yang tertentu, mungkin 23 atau 26 Jun, tetapi mungkin ditangguh seminggu. Pada 21, setibanya saya di Saudi, saya telah dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah menafikan bahawa dia telah diberikan tekanan untuk menggugurkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohd. Sabu sebagai penceramah pada malam pelancaran misi. Saya terkejut dengan kenyataan beliau kerana beliau sendiri yang telah bercakap dengan saya mengenai tekanan tersebut! Kenapa dia perlu menipu? Tidak cukupkah dengan pengguguran tersebut, adakah perlu dirosakkan lagi suasana dengan penipuan demi membela Najib? Maka jelas, pada mulanya ditekan supaya menggugurkan Tuan Haji Mohd. Sabu dan kemudiannya ditekan sekali lagi untuk menafikan berlakunya ugutan serta tekanan! Dalam masa yang saman, penafian beliau menjadikan kenyataan Tuan Haji Mohd. Sabu seolah-olah tidak benar dan bermotifkan politik. Sedangkan merekalah yang berniat jahat dan mengugut penganjur demi kepentingan politik mereka dengan menipu membenarkan Najib serta menjadikan orang lain sebagai mangsa. UMNO membuktikan sekali lagi bahawa ianya parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran dari terserlah. Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini walaupun ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidak ikhlasan. iAllah saya akan ke Mekah pada petang ini (22 Jun) dan di hadapan Kaabah saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini. Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik UMNO dan untuk dijadikan hujjah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestine sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM 147 Juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel. Misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar-belit politik serta penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku. Belum apa-apa lagi, ianya sudah jelas, misi LL4G (2) tidak akan seperti yang pertama. Sebenarnya, Flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku. Sekembalinya mereka, maka mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ianya bermula dari awal lagi. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD ![]() |
| Wang zakat biayai yuran guaman menteri? Habis macam tu jer duit rakyat! Posted: 22 Jun 2011 05:05 AM PDT Hazayani Zakaria KUALA LUMPUR, 22 Jun: Saifuddin Nasution (PKR-Machang) menuntut kerajaan menjelaskan mengenai salah guna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32,000. Jumlah itu didakwa dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali. "Yang saya bangkitkan ialah penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bernilai RM32 ribu yang digunakan untuk membayar khidmat peguam yang mewakili menteri dan pengarah Jawi Datuk Che Mat Ali," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Kedua individu itu sebelum ini diambil tindakan mahkamah kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Fitnah II ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah sendiri mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan. Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR turut mempersoal tindakan Che Mat yang meluluskan sendiri peruntukan itu memandangkan beliau juga merupakan setiausaha MAIWP. "Saya timbulkan semalam, yang disaman ialah pengarah Jawi Che Mat Ali, yang meluluskan wang zakat ini setiuasaha Majlis Agama Islam Wilayah Che mat Ali juga orang yang sama. "Jadi setiausaha MAIWP Che Mat Ali memohon peruntukan daripada Che Mat Ali. Beliau meluluskan permohonan kepada beliau sendiri. Ini salah," katanya. Menurutnya lagi, dari segi hukum agama juga, kedua individu berkenaan tidak tergolong dalam kategori mereka yang layak menerima wang zakat. "Apakah Menteri dan Pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang lapan, yang layak menerima zakat? Sudah tentulah jawapannya sangat terang, tidak," tegas Saifuddin. Justeru beliau akan menulis surat kepada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC)menuntut tindakan segera diambil. "Kita perlukan penjelasan sebab melibatkan pengkhianatan pengagihan wang zakat yang tidak tepat," katanya. Semalam, Saifuddin membangkitkan perkara tersebut sewaktu perbahasan perbekalan tambahan 2011 di peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri. ![]() |
| Pemuda Kelantan kerah 30,000 peserta Posted: 22 Jun 2011 05:02 AM PDT Aslani KOTA BHARU, 22 Jun: Biar pun hampir 800 laporan polis dibuat terhadap penganjuran perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil (Bersih) 9 Julai ini, namun ia tidak mematah semangat anak muda yang prihatin. Mereka tetap bersemangat meneruskan agenda memastikan pilihan raya umum akan datang lebih telus dan benar-benar bersih. Sehubungan itu pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menghantar kira-kira 30,000 peserta pada program berkenaan. Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, setiap kawasan di Kelantan dijangka menghantar 1,000 peserta pada perhimpunan tersebut. "Ini bermakna Pemuda PAS Kelantan menyumbang seramai 14,000 peserta bagi mencapai matlamat menghimpunkan ratusan ribu rakyat pada perhimpunan aman tersebut. "Perhimpunan itu diyakini tidak berlaku masalah sekiranya tidak ada sebarang provoksi dibuat pihak lain. "Pemuda kita lebih berdisiplin kerana Islam melarang sebarang tindakan kekerasan. Jadi pihak kerajaan tidak perlu bimbang dengan perhimpunan aman itu," katanya di sini. Sehingga kini dilaporkan sebanyak 790 laporan polis dibuat terhadap penganjuran Bersih 2.0 dilakukan badan bukan kerajaan yang baru muncul. Dipercayai NGO berkenaan ada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) memandangkan sebelum ini mereka langsung tidak dikenali. Abdul Latif berkata, NGO-NGO terbabit tidak lebih sebagai nyamuk kerana wujud semata-mata untuk membuat laporan polis terhadap Bersih 2.0. "Kita percaya mereka membuat laporan polis atas arahan politik kerana kerajaan BN begitu bimbang kebangkitan menyeluruh rakyat sekarang," ujarnya. Dalam perkembangan berkaitan pemuda PAS Tumpat dan Kuala Krai pula masing-masing akan menghantar peserta menggunakan perkhidmatan kereta api. Sebahagian mereka dijangka memenuhi sehingga lapan gerabak. Difahamkan juga Bersih 2.0 akan mengadakan 'road show' di Pasir Mas pada 2 Julai ini bertempat di Mini Stadium, dijangka dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Manakala pada 4 Julai pula road show Bersih 2.0 akan diadakan di Dun Manek Urai, Kuala Krai membabitkan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan. Sementara itu Ketua Penerangan AMK Kelantan, Rosdi Mat Zin berkata, AMK Kelantan bersedia menghantar 30,000 peserta ke perhimpunan Bersih 9 Julai ini. "Kami menyahut cabaran ini atas dasar kesedaran ingin mengubah lanskap politik tanah air yang dicengkam pemimpin rakus dan zalim. "Ayuh bersama menuntut agar SPR menghapuskan undi pos, menggunakan dakwat kekal, membersih daftar pemilih dan memberi peluang akses media kepada semua pihak ketika kempen pilihan raya," ujarnya. ![]() |
| Bersih 2.0: Tiga pihak dipanggil hadap Bukit Aman, tiada permit Posted: 22 Jun 2011 02:39 AM PDT Oleh Clara Chooi KUALA LUMPUR, 22 Jun — Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas sambil berkata kesemua pihak — Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno akan dipanggil ke Bukit Aman hari ini. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengesahkan ketiga-tiga pihak berkenaan tidak akan diberi permit untuk berhimpun 9 Julai ini. "Kenyataan saya hari ini ialah kesemua tiga pihak tidak akan diberi permit untuk berhimpun pada hari yang sama. "Saya mengatakan dengan tegas bahawa kesemua mereka tidak akan diberikan permit. "Kedua, saya sudah pun mengatakan bahawa tindaka segera akan diambil dalam hal ini," katanya. Ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini, kata beliau, Perkasa, Pemuda Umno dan Bersih menujukkan bahawa mereka mahu meneruskan perhimpunan mereka. ![]() |
| Himpunan Bersih 2.0 tidak salah dari segi tujuan, kata Dr Asri Posted: 22 Jun 2011 02:31 AM PDT KUALA LUMPUR, 22 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak salah dari segi tujuan. Ini kerana jelas Dr Asri, matlamat dan tujuan utama Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil yang sepatutnya tidak dinafikan oleh kerajaan. "Jika tujuannya baik dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik... jika tujuannya baik, caranya salah maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. "Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal. "Setelah saya mendengar taklimat Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan menilainya saya dapati tujuannya baik iaitu menuntut hak yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Justeru jelas beliau, Himpunan Bersih 2.0 perlu diadakan demi masa depan politik yang lebih baik tanpa mengira mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat. "Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. "Maka, saya tidak mempertikaikan Himpunan Bersih 2.0 di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum kerana tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihan raya," katanya. Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza. Menurut Asri, beliau tidak menolak demonstrasi yang akan diadakan itu akan mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa. Beliau juga menegaskan demonstrasi sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah tuntutan yang dibuat tidak ditunaikan. Justeru, Asri menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan tuntutan yang dibuat Bersih bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil. "Namun oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. "Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan, saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan...dan pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai," katanya. Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007. "Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. "Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi Bersih 2.0 hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati," tegas Asri. Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyertai demonstrasi itu agar tidak mencetuskan provokasi yang boleh membawa berlakunya rusuhan. "Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. "Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa," katanya. Tambah Asri, hasrat rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan semua pihak termasuk kerajaan. "Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak termasuk polis, rakyat dan golongan atasan. "Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai perhimpunan Bersih 2.0 merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu dan memastikan perhimpunan itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat," katanya. ![]() |
| 99% setuju Bersih harus diteruskan Posted: 21 Jun 2011 04:23 PM PDT KUALA LUMPUR, 21 JUN – Mengikut kaji selidik oleh The Star Online, lebih 1.3 juta rakyat Malaysia mahu perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan diteruskan. Daripada gambar paparan skrin yang sempat diambil oleh seorang pengguna Facebook, seramai 1,312,917 telah memilih 'perhimpunan itu harus dibenarkan' berbanding hanya 14 ribu sahaja yang tidak mahu perhimpunan tersebut dijalankan. Bagaimana pun, bilangan sebenar tidak dapat diketahui memandangkan The Star Online telah menutup kaji selidik itu sejak awal petang tadi. Pengguna Facebook tersebut telah memuat naik paparan skrin gambar kaji selidik tersebut pada jam 12.25 petang tadi di laman Facebook Curi-Curi Wang Malaysia. Laman Facebook berkenaan ditubuhkan sebagai memperli usaha Kementerian Pelancongan yang mahu menghabiskan wang rakyat sebanyak RM1.8 juta untuk mempromosikan enam laman facebook kementerian tersebut. Keputusan kaji selidik itu, menurut Malaysiakini, telah naik dengan mendadak sejak jam 6 pagi tadi yang hanya sekitar 500 ribu sahaja yang menyertai kaji selidik tersebut. Bersih 2.0 dilihat sebagai satu usaha positif oleh rakyat Malaysia yang menutut pembaharuan sistem pilihan raya. Sejak dilancarkan pada 2006, Bersih telah mengharungi pelbagai onak duri oleh kerajaan Malaysia kerana ketegasannya menentang sistem pilihan raya yang jijik selain lantang menyuarakan pendapat yang tidak sekepala dengan kerajaan. Selain itu, perhimpunan Bersih pada 2007 adalah punca kepada tsunami politik Malaysia tahun kemudiannya, yang berakhir dengan Pakatan Rakyat mengambil alih lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Berhubung itu, selepas majlis perasmian Bersih 2.0 19 Jun lalu, pertubuhan yang dianggotai badan bukan kerajaan ini dilihat sebagai satu ancaman kepada pemerintah, sehingga sebuah kumpulan ultra Melayu, Perkasa telah mengeluarkan ancaman kepada kaum Cina supaya "bersiap sedia simpan bekalan makanan, tidak keluar rumah pada 9 Julai depan." ![]() |
| You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan