Selasa, 21 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Media: MCA, Faham Dulu Undang-Undang Tanah Negeri

Posted: 21 Jun 2011 07:49 AM PDT

Tindakan MCA yang tiba-tiba bersuara lantang baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia merupakan tindakan biasa bagi parti politik yang telah hilang punca. Justeru, tindakan mereka dilihat semata-mata cuba menunjukkan parti itu masih relevan selepas menerima tamparan hebat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

Meskipun begitu, selaku parti yang pernah memerintah, sepatutnya MCA membuat kajian lebih teliti sebelum cuba menunjuk pandai. Mereka menuduh kononnya Kerajaan Negeri Selangor yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat cuba membeli undi dengan memperkenalkan dasar pemberi-milikan penuh tanah kepada para pemilik rumah dengan bayaran sebanyak RM1000.

Dalam kenyataan yang diberikan oleh Datuk Theng Book, Ketua Biro Aduan Awam MCA Selangor yang dilaporkan oleh akhbar The Star Online pada 9 Jun 2011 lalu, beliau memetik Seksyen 76 Kanun Tanah Negara yang menjelaskan bahawa "…semua premium mesti dibayar sepenuhnya sebelum milikan tanah diberikan kepada pemiliknya".

Dalam laporan yang sama juga beliau ada memberi cadangan, bahawa jika Kerajaan Negeri Selangor mahu membantu golongan miskin, premium boleh dikurangkan kepada RM1.

Kita berterima kasih dengan keperihatinan yang tiba-tiba ditunjukkan MCA namun saya ingin memberi nasihat agar mereka mencari peguam yang lebih baik untuk memahami Undang-Undang Tanah Negeri. MCA yang selama ini hanya menjadi rakan "yes man" kepada UMNO semasa diberi peluang memerintah negeri Selangor, nampaknya begitu kekok dan gagal memahami dasar pentadbiran negeri.

Saya ingin memaklumkan kepada mereka di samping kita mempunyai Kanun Tanah Negara, undang-undang tanah juga dilengkapi dengan Kaedah-kaedah dan Peraturan Tanah Negeri Selangor; Selangor Land Rule. Natijahnya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan kadar premium bagi tujuan pembaharuan, pertukaran atau pemanjangan tempoh pemilikan tanah.

Sebelum mengumumkan dasar tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat kajian, mendapatkan persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan meminta nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri. MCA sepatutnya menyokong dasar yang menguntungkan rakyat ini.

Setidak-tidaknya mereka bertanya kepada para penduduk yang diberikan geran tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008, "kenapa anda tidak memiliki tanah sebelum ini semasa Barisan Nasional memerintah?". Kita percaya para penerima geran tanah ini boleh memberitahu MCA apa perbezaan pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kita bersyukur, sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, MCA telah mula menggunakan perkataan pertanggungjawaban yang sebelum ini begitu terpinggir dari perbendaharaan kata mereka. Ketua Pemudanya, Dr. Kow Cheong Wei menuntut pertanggungjawaban peruntukan sebanyak RM15 juta untuk tujuan penyebaran maklumat.

"Bidalan Pukul Anak Sindir Menantu" amat bertepatan apabila beliau mengaitkannya dengan perbelanjaan RM1.8 juta oleh Menteri Pelancongan untuk sebuah laman Facebook yang barang pasti jumlah tersebut turut mengejutkan mereka.
Kita telah membuat pengiraan, RM15 juta yang diperuntukkan untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh rakyat Selangor membawa maksud setiap rakyat membelanjakan RM3 setahun. Berbeza dengan RM1.8 juta untuk satu projek Kementerian untuk membuat promosi melalui laman Facebook yang boleh dibuat secara percuma. Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada MCA kerana mengemukakan isu ini.

Selangor telah pun menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat malangnya para Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional, termasuk MCA sendiri telah menolaknya. Enakmen tersebut adalah komitmen tertinggi sebuah kerajaan dalam mewujudkan pertanggungjawaban.

Jika MCA benar-benar ikhlas mahu meningkatkan pertanggungjawaban dan pentadbiran negeri, MCA sepatutnya menyokong penggubalan enekmen ini atau sekurang-kurangnya menggesa kerajaan pusat agar bersifat professional di dalam mengembangkan maklumat di seluruh Negara termasuk di dalam negeri Selangor.

Sebaliknya apa yang berlaku, seluruh cerita mengenai Selangor, baik dari segi dasar mahupun program- program kemasyarakatan telah dipadamkan dari arus media perdana. Kalau adapun adalah cerita yang memburuk-burukkan pentadbiran negeri.

Kita tahu MCA tidak pernah bersuara tentang kepincangan kebebasan media di negara ini. Justeru, hipokrasi mereka menyerlah apabila mencanangkan persoalan pertanggungjawaban.

Kita cabar MCA, sebelum menyebut perkataan pertanggungjawaban- MCA wajib menjelaskan pemilikan tunai, aset dan hartanah mereka yang nilainya mencecah ratusan juta hingga billion ringgit.

Bagaimana mereka boleh memiliki semua kekayaan ini? Bagaimana dengan rakan politik mereka dalam Barisan Nasional boleh memiliki kekayaan masing-masing? Jangan sampai meludah ke langit kerana nanti ia akan tertimpa ke muka sendiri.

Sepanjang tiga tahun memperkenalkan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan pelbagai pakej bantuan, lebih sejuta rakyat dan keluarga telah mendapat manfaat daripadanya. Itu tidak termasuk pemberian tanah dan juga bantuan-bantuan lain di luar program terbabit.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan terus komited mendahulukan rakyat dalam persoalan dasar dan juga program yang mahu dilaksanakan. Terpulang kepada MCA dan Barisan Nasional untuk memperlekeh program yang kita lakukan, namun kita percaya, rakyat lebih bijak menilai. BN telah berpeluang sekian lama untuk berkhidmat dan ternyata gagal.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Bersih 2.0: Khairy juga perlu disiasat bawah ISA, kata Wira Perkasa

Posted: 21 Jun 2011 04:46 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Jun – Sayap pemuda Perkasa mengecam saranan Khairy Jamaluddin agar presiden pertubuhan membela hak Melayu Datuk Ibrahim Ali disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman Ahad lalu.

Sebaliknya tegas Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris, tindakan sama sepatutnya dikenakan terhadap Khairy, Ketua Pemuda Umno kerana turut melibatkan diri dalam perhimpunan membantah Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini.

Selain itu, tambah Irwan Fahmi, beliau bersetuju dengan pandangan Ibrahim yang mengatakan "apa sahaja boleh berlaku" pada 9 Julai kerana penganjur himpunan Bersih 2.0, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak boleh menjamin keamanan pada hari itu.

Selain Bersih, turut mengadakan perhimpunan Perkasa dan juga Pemuda Umno.

"Jika Khairy menyarankan agar presiden Perkasa perlu disiasat, sepatutnya beliau juga perlu disiasat di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana mahu melibatkan diri dalam Himpunan Bersih 2.0.

"Khairy bukan hakim atau ketua polis negara yang perlu mengajar polis dan pihak berkuasa kerana mereka tahu kerja mereka. Sama ada presiden Perkasa perlu disiasat oleh polis kerana dikatakan menghasut terserah kepada polis.

"Kenyataan presiden Perkasa 'pada 9 Julai apa boleh berlaku' itu juga ada kebenarannya kerana himpunan Bersih 2.0 juga tidak boleh menjamin tiada huru-hara yang berlaku," kata Irwan Fahmi dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Mas pada majlis pelancaran perhimpunan anti-Bersih pada Ahad lalu telah diputarbelitkan wartawan The Malaysian Insider.

"Kenyataan presiden Perkasa telah diputar belit dengan memberi makna berlainan dari apa yang dimaksudkan, wartawan Cina mana nak faham Melayu," katanya.

Pada pelancaran itu, Ibrahim melancarkan "perang" terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan "apa sahaja boleh berlaku."

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

Semalam Khairy berkata kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu tidak menggambarkan keseluruhan pendirian orang Melayu.

Justeru beliau menggesa agar tindakan dikenakan terhadap Ibrahim.

"Apa yang beliau kata sangat bahaya... sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan ialah adakan siasatan dari segi hasutan," kata Khairy.

Justeru tegas Irwan Fahmi, beliau mahu melihat berapa ramai ahli Pemuda Umno yang mampu dikumpulkan Khairy pada 9 Julai nanti.

"Khairy sepatutnya menjadi hero Melayu kerana Umno mempertahankan Melayu, parti yang memperjuangkan Melayu... sepatutnya isu Melayu Khairy perlu tampil ke hadapan, ini baru hero Melayu yang mempertahankan Melayu.

"Pemuda MCA pun tak hormat pada Khairy yang merupakan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), sebab itu Pemuda MCA menolak untuk turut serta pada 9 Julai. Sepatutnya sebagai Ketua Pemuda BN, Khairy perlu menunjukkan ketegasan dan pendirian kerana beliau menang pilihan raya atas tiket Umno-BN," katanya.

Tambah Irwan Fahmi, beliau menasihatkan Khary agar kembali ke landasan asal dan bukan mengambil kesempatan dalam isu-isu yang dibangkitkan.

"Wira Perkasa menyarankan supaya Khairy kembali ke landasan asal dan bukan mengambil kesempatan terhadap isu-isu semasa, saya dan kempimpinan Wira Perkasa berdiri teguh di belakang presiden Perkasa dan akan mempertahankan presiden walaupun apa yang berlaku kerana asas perjuangan adalah perjuangan orang Melayu.

"Mungkin Khairy terlupa asas perjuangan partinya," katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Najib Turun Demo Bersih?

Posted: 21 Jun 2011 02:56 AM PDT

Kit Siang ajak tadbiran Najib sokong Bersih 2.0

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini meminta pentadbiran Najib memberikan sokongan kepada Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan bulan depan.

Selain itu, Lim juga menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memudahkan penganjur Himpunan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan terbesar itu 9 Julai ini dengan aman.

"Saya mahu mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet dan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai untuk menyokong inisiatif yang dilakukan kumpulan hak sivil menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Mari jadikan 9 Julai sebagai hari bersejarah untuk meraikan sambutan 54 tahun demokrasi berparlimen yang melibatkan semua parti politik, kerajaan dan pembangkang bersama-sama dengan kumpulan hak sivil, mari semua bersama berkumpul demi perubahan dalam sistem demokrasi negara – terlalu banyak penyelewengan dalam sistem pilihan raya yang gagal membawa prinsip 'satu orang, saya undi, satu nilai'; bersih, bebas dan adil, yang tidak dilaksanan kerajaan yang dipilih yang mengeluarkan arahan, tidak dapat dipertikaikan demi kuasa," katanya pada sidang media di Parlimen.

Lim menambah bahawa penglibatan Najib dan menteri Kabinet akan membantu "mengusir" ancaman yang dilakukan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kepada komuniti Cina.

Pada Ahad lalu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas melancarkan "perang" terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan "apa sahaja boleh berlaku."

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

"Ini adalah satu ugutan yang mengerikan, oleh itu beliau harus dipenjarankan tanpa banyak soal," kata Lim.

Beliau turut menyalahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana gagal mengambil tindakan terhadap pemimpin membela hak Melayu itu dan menambah kegagalan parti komponen BN yang lain menggambarkan mereka menyokong apa yang dilakukan Ibrahim.

"Adakah mesyuarat Kabinet hari ini akan mengkritik Menteri Dalam Negeri yang gagal mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali yang mengeluarkan kenyataan begitu, menghasut dengan ancaman 13 Mei?" soalnya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju agar Himpunan Bersih 2.0 dibatalkan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan pilihan raya adil dan bersih, Lim menegaskan ia tidak mungkin akan berlaku.

"Kita akan lihat jika ia berlaku," katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Khairy: Ambiga degil, ada tujuan politik teruskan Bersih 2.0

Posted: 21 Jun 2011 02:53 AM PDT

Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Khairy Jamaluddin mengecam pendirian pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan yang enggan menemui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perhimpunan 9 Julai ini sambil menyifatkan bekas presiden Majlis Peguam itu "ingin menghangatkan pertimbangan politik."

Ketua Pemuda Umno berkata kumpulan yang menuntut sistem pilihan raya adil dan bersih "memperoleh kemenangan moral" apabila berjaya mendesak SPR untuk datang berbincang tetapi tetap berkeras kerana mempunyai tujuan politik.

"Beliau (Ambiga) begitu degil. Beliau boleh bekerjasama tetapi beliau mahu ia berlaku. Jika tidak beliau akan berbincang dengan SPR dan ini tidak jujur dengan mengatakan anda ingin melakukan perubahan," kata Ahli Parlimen Rembau ini kepada The Malaysian Insider.

Ambiga menolak tawaran SPR untuk berbincang mengenai perubahan sistem pilihan raya yang didakwa berlaku banyak penyelewengan dan penyalahgunaan supaya ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Khairy berkata keputusan itu menunjukkan Bersih tidak bebas kerana ia cuba memastikan Pakatan Rakyat membawa isu itu ke Parlimen.

"Mengapa tidak bertemu dengan SPR terlebih dahulu, masih ada dua minggu sebelum 9 Julai? Kemudian baru putuskan jika ada apa-apa kemajuan yang boleh dibuat. Tetapi beliau jelas tidak berminat dan mahu menjadikan ia sebagai isu politik.

"Semua rakyat Malaysia mahu mengelak daripada berlaku pertembungan tetapi beliau cuba menghangatkan suasana politik," katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan ratusan ribu peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Pada perhimpunan 2007, ia menyaksikan perubahan yang besar berlaku pada pilihan raya umum 2008 apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun akhbar Utusan Malaysia, milik Umno meneruskan serangan terhadap perhimpunan itu dengan mendesak rakyat membantah demonstrasi itu.

Pemimpin Umno menuduh penganjur menggunakan perhimpunan haram itu untuk mendapatkan sokongan politik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga memberi amaran bahawa "akan berlaku huru-hara dan membantah perhimpunan di jalanan."

Selain Pemuda Umno, pertubuhan hak Melayu, Perkasa akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Himpunan Bersih: PAS Selangor beri amaran Perkasa jangan buat provokasi

Posted: 21 Jun 2011 02:53 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

SHAH ALAM, 21 Jun — PAS Selangor memberi amaran kepada Perkasa agar tidak mewujudkan suasana provokasi pada tiga perhimpunan serentak 9 Julai ini yang turut disertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Selain Bersih dan Perkasa, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari itu.

"Perkasa jangan cuba buat provokasi, jangan anggap orang yang turun ke jalanan adalah orang tidak bertamadun.

"Berdasarkan sejarah, demonstrasi yang dianjurkan PAS tidak pernah berlaku kekecohan dan pada himpunan Bersih yang lalu ia berjalan dengan aman dan tidak ada satu pasu pun yang pecah," kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.

Beliau menegaskan Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali harus menjaga tingkah laku dan mendisiplinkan ahli pada perhimpunan itu.

"Perkasa ini tidak ramai, mereka hanya cakap... kita tunggu dan lihat nanti dan saya minta Perkasa jaga ahli dan disiplinkan ahli dulu," katanya.

Tambah Mohd Khairuddin, pihaknya akan menggerakkan seramai 50,000 ahli untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0.

"Kita ada 72,000 ahli di Selangor, kita telah arahkan 50,000 ahli daripada 72,000 untuk turun.

"Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) telah arahkan saya keluarkan arahan kepada ahli untuk sama-sama turun pada himpunan Bersih 2.0 nanti," katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Perkasa juga akan mengadakan perhimpunan balas bagi membantah penganjuran himpunan Bersih 2.0.

Tambah Mohd Khairuddin, ahli PAS yang turun menyertai himpunan Bersih 2.0 tidak perlu bimbang sekiranya ditahan kerana pihaknya akan menyediakan khidmat guaman.

"Mana-mana ahli kita yang ditahan, PAS pusat akan menyediakan khidmat guaman mereka dari hari ditahan sehingga dibawa ke Mahkamah Rayuan secara percuma," katanya.

Tambah beliau, mana-mana ahli yang akan menyertai himpunan Bersih 2.0 perlu menggunakan perkhidmatan masing-masing kerana pihaknya tidak menyediakan bas.

"Tak pernah jadi strategi kita naik bas. Ahli kita faham bagaimana.

"Nanti kalau ada sekatan jalan raya habis kita," katanya.

Bersih yang terdiri daripada gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut keadilan dan pilihan raya adil dan bersih

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Barisan PAS Selangor baru dibentuk hadapi Umno-BN, kata Dr Rani

Posted: 21 Jun 2011 02:50 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dilantik semula membarisi kepimpinan PAS Selangor selepas digugurkan daripada jawatan timbalan pesuruhjaya negeri pada era Datuk Dr Hasan Ali.

Selain Khalid, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shaari Sungib dilantik semula memegang jawatan ketua penerangan.

Pengumuman barisan kepimpinan baru dibuat Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman pada sidang media pagi ini.

Menurut Dr Rani, keputusan barisan baru itu dibuat secara bulat suara selain mengambil kira pandangan PAS kawasan.

Tambah beliau, barisan kepimpinan baru itu dibuat atas dasar "boleh bekerjasama" dengan semua pihak dalam menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum ke-13.

Pada 2009, Khalid, Yang Dipertua Shah Alam dan Saari digugurkan jawatan oleh Dr Hasan yang ketika itu pesuruhjaya PAS Selangor.

Tindakan itu dipercayai kerana Dr Hasan "kepanasan" dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

"Ini (barisan baru) kombinasi semua golongan, kita ada ulama, profesional, aktivis parti, muka lama dan muka baru... kalau dibenarkan kita akan tambah lagi (bilangan) tapi ini yang telah ditetapkan dalam perlembagaan parti.

"Barisan kepimpimpinan baru ini adalah untuk berhadapan Umno-BN dan pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan pada tahun ini," kata Dr Rani.

Tambah Adun Meru ini, beliau berharap kepimpinan baru akan memberikan kerjasama dengan semua pemimpin lain dan boleh menegurnya sekiranya melakukan kesalahan.

"Saya melihat yang penting (mereka yang dilantik) adalah orang yang boleh bekerjasama sebab kalau tidak ada kerjasama sukar untuk saya.

"Saya juga ikut gaya PAS Kelantan, yang mana yang saya hubungi semua yang dipertua untuk meminta pandangan dan apa yang mereka mahu, jadi pelantikan Khalid dan Saari ini dikira mendapat majoriti selain telah menunjukkan prestasi yang bagus," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tiada ulasan: