Kerabu Bersuara ® |
- Tony Fernandes antara 10 Individu Paling Kreatif Di Twitter
- Dedah Perkara Sulit, Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul
- Astro First Untungkan Cetak Rompak
- Khutbah Jumaat Selangor kecam jenayah qazaf, sifatkan dosa besar
- Terima video lucah, Zuraida kecam tindakan melampau
- BN mahu banteras rasuah, rakyat senyum kambing
- PM risik kahwin anak di Kazakhstan, Dr Dzul pertahan pendirian
- Coretan Muktamar PAS ke-57
- Menolak pentadbiran Islam, Dr M lebih berjaya dari Karpal — Aspan Alias
- Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan
- Surat Mahathir tolak hudud yang dihantar kepada Tok Guru Nik Aziz
- Live suasana kuliah TG Nik Aziz
- Live kuliah tok guru nik aziz
| Tony Fernandes antara 10 Individu Paling Kreatif Di Twitter Posted: 10 Jun 2011 04:55 AM PDT KUALA LUMPUR, 10 Jun — Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes telah diiktiraf sebagai salah seorang daripada 10 Individu Paling Kreatif di Twitter oleh edisi dalam talian majalah perniagaan FastCompany, FastCompany.com yang berpangkalan di New York. Tony disenaraikan pada tangga ke enam dalam edisi Jun majalah itu. Mengungguli senarai adalah Hos American Idol dan personaliti radio, Ryan Seacrest, lapor Bernama Online hari ini. Dalam satu kenyataan hari ini, Tony, yang merupakan pengasas bersama Tune Group dan pengetua Team Lotus berkata: "Saya berbesar hati untuk berada dalam senarai 10 teratas, terutamanya untuk menjadi satu-satunya dari Malaysia dan Asia Tenggara untuk diberikan penghormatan ini." |
| Dedah Perkara Sulit, Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul Posted: 10 Jun 2011 03:00 AM PDT Oleh KEMALIA OTHMAN PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka. Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia. "Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida. "Kod rahsia berkenaan selalunya digunakan di antara ahli-ahli Pekida dan ia tiada kaitan dengan gengsterisme seperti mana yang dipaparkan dalam kedua-dua filem ini. Antara babak dalam filem Kongsi "Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis. Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut. Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster. "Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu. "Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal. Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut. "Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida. "Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya. Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula. Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang. |
| Posted: 10 Jun 2011 03:00 AM PDT Guan Eng: Soi Lek perlu henti bohong bajet Pulau Pinang deficit Oleh Syed Mu'az Syed Putra June 10, 2011 KUALA LUMPUR, 10 Jun — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai "pembohong" kerana mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu mengalami bajet defisit dan akan menjadi lebih teruk pada tahun depan. Tegas Lim, dakwaan itu tidak benar kerana kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya mencatat rekod lebihan bajet selama tiga tahun berturut-turut sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN). Tambah beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet, tertinggi dalam sejarah iaitu RM88 juta pada 2008, RM77 juta pada 2009 dan RM33 juta pada 2010. "MCA harus berhenti daripada terus melakukan pembohongan kepada diri sendiri apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengatakan bahawa Pulau Pinang telah membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus dan kini Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit, di mana akan menjadi lebih teruk menjelang tahun hadapan. "Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana kerajaan negeri Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan BN pada 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus)," katanya dalam satu kenyataan. Jelas beliau, kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu turut disahkan dalam laporan Ketua Audit Negara selain dipuji Transparency International Malaysia (TI-M) kerana berjaya memerangi rasuah dalam pentadbiran. Laporan media hari ini memetik Dr Chua mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit dan akan menjadi lebih teruk pada tahun depan. Selain itu, Dr Chua juga mengatakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu turut membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus. Tegas Lim, pengurusan kewangan yang baik itu juga berjaya menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) daripada muflis. "Prestasi kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang bukan hanya untuk pentadbiran negeri tetapi juga telah menyelamatkan MPSP daripada menjadi muflis. "Dari tahun 2000 hingg 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini dan MPSP berada dalam keadaan muflis secara praktikal semasa Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini. "Walau bagaimanapun, hanya dalam masa satu tahun, kita berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis," katanya. Beliau juga berkata dengan pengurusan wang dan pentadbiran yang telus menyebabkan rakyat negeri itu menerima matfaat sepatutnya yang tidak pernah diberikan BN. "Dengan pengurusan kewangan yang baik telah membolehkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Sikh. Adakah RM12 juta juga diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini? "Pulau Pinang juga tidak menaikkan tarif air untuk pengguna domestik, malah telah membiayai subsidi yang besar tetapi mengenakan surcaj pemuliharaan air kepada mereka yang membazirkan air. Dr Chua tidak jujur kerana memutarbelitkan perbezaan ini," katanya. Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kenaikan tarif hanya hanya dikenakan untuk perniagaan dan ia setara dengan kos pengeluaran yang digunakan dalam bidang itu. "Tarif air hanya dinaikkan untuk perniagaan setara dengan kos pengeluaran. Sekiranya Dr Chua tidak gembira dengan kenaikan ini, mengapa beliau tidak menentang kenaikan tarif air di Johor, yang mana tarif air di Johor adalah tiga hingga enam kali lebih tinggi daripada Pulau Pinang? Justeru beliau menasihatkan Dr Chua agar bercakap berdasarkan fakta bukan membuat pembohongan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. |
| Astro First Untungkan Cetak Rompak Posted: 10 Jun 2011 02:42 AM PDT KUCHING: Langkah stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan Astro First bagi pelanggannya menonton filem tempatan terkini tanpa perlu ke pawagam dilihat dimanfaatkan sepenuhnya industri cetak rompak. Tinjauan mendapati cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) filem tempatan terbaru seperti "Kongsi" dan "Seru" yang masih ditayangkan di pawagam dan Astro First sudah memenuhi pasaran. Dijual pada harga serendah RM5 hingga RM6 bergantung kepada pakej dan juga keupayaan pembeli berunding, 'lanun' cetak rompak ini tanpa silu mengaut keuntungan berkali ganda secara mudah. "Ini nilai untuk wang anda lah kawan, kerana kualiti audio dan visualnya bagus dan masih ditayangkan di pawagam," kata seorang penjual VCD dan DVD cetak rompak ketika ditanya sama ada filem itu dirakam menerusi Astro First. Diuar-uar sebagai "yang pertama seumpamanya", Astro First dilancarkan pada 13 Januari lepas dan mengenakan caj RM15 bagi sebuah filem yang disiarkan menerusi saluran 480 dalam tempoh dua minggu filem itu ditayangkan di pawagam. Astro First dikatakan dapat membantu pelanggannya berjimat memandangkan sekeping tiket untuk menonton wayang di pawagam boleh mencecah belasan ringgit. Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi berkata penjualan DVD dan VCD sedemikian melanggar Akta Hakcipta 1987. Bagaimanapun kata beliau, usaha mengesan dalang kegiatan itu memerlukan kerjasama semua pihak. "Terserah kepada penerbit filem, pengedar dan Astro untuk mengambil langkah seterusnya dan adalah lebih baik jika mereka membuat laporan rasmi bagi memudahkan kami mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA |
| Khutbah Jumaat Selangor kecam jenayah qazaf, sifatkan dosa besar Posted: 10 Jun 2011 02:00 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 10 Jun — Ketika isu rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum "sejuk", hari ini khutbah Jumaat rasmi negeri Selangor mengecam tindakan pihak yang menyebarkan fitnah tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh. Kandungan khutbah itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam. "Mimbar hari ini berasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. "Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain," kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor, yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, hari ini. Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, dipercayai merujuk kepada rakaman video seks yang didedahkan "Datuk T" pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara. Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang berakhir Ahad lalu juga meluluskan usul berkaitan tindakan fitnah itu. Kata khutbah itu, sekiranya fitnah dilakukan ia boleh mendatangkan pertuduhan qazaf terhadap seseorang melakukan perbuatan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi yang adil. "Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. "Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah," katanya. 'Datuk T' (dari kiri) — Rahim, Shazryl dan Shuib. Sebelum ini, beberapa pihak termasuk sayap pemuda PKR telah memfailkan aduan qazaf kepada ketiga-tiga "Datuk T" iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim. Selain itu, Shazryl juga telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan rakaman video seks itu adalah benar dan Anwar adalah pelakunya. Bagaimanapun tegas khutbah itu, pembuktian melalui cara bersumpah termasuk sumpah laknat adalah tidak relevan selain tidak menepati kehendak syarat. "Termasuk dalam kategori ini mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka dalam pelbagai bentuk dengan niat menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah qazaf. "Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa, boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikan mengikut ketetapan syarak," katanya. Jelas khutbah Jumaat itu, fitnah yang dilemparkan termasuk dipaparkan melalui media akan menjatuhkan imej tertuduh. "Lebih memburukkan keadaan apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki terhadap orang yang dituduh. "Pemfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan akidah umat Islam sehingga hari kiamat," katanya. Kata khutbah itu, sesiapa yang terlibat dalam jenayah qazaf telah melakukan perbuatan haram dan ia termasuk dalam tujuh jenis dosa besar. "Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu secara fizikal boleh dikenakan 80 sebatan, dari segi moral akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan. "Dan, dari segi agama mereka ini tergolong sebagai orang yang fasik (pendusta)," katanya. Justeru kata khutbah itu, umat Islam perlu mengetahui dan memahami peraturan-peraturan Islam yang menurut kehendak syarak. "Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. "Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini, kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak," katanya. |
| Terima video lucah, Zuraida kecam tindakan melampau Posted: 10 Jun 2011 01:30 AM PDT AMPANG: Video seks fitnah mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin disebar secara berleluasa termasuk dihantar kepada Ahli Parlimen KEADILAN. Terbaru, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita KEADILAN, turut memperoleh video berkenaan yang dihantar ke rumahnya semalam. Ia dikirim menerusi satu sampul surat menggunakan kepala surat Pas dengan video bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu'. Turut disertakan beberapa risalah yang mengandungi adegan VCD lucah berkenaan. Justeru, Zuraida membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Ampang pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi. Menurut Zuraida, beliau mengecam tindakan melampau pihak berkenaan dan kegagalan pihak polis menangkap dalang di sebalik penyebaran video tersebut, yang disebar secara meluas di Selangor dan turut dilapor sehingga ke Terengganu. "Sebaran VCD Lucah Fitnah Dato Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini. "Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. "Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan," tegasnya. Dalam masa yang sama, beliau menggesa Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar tidak terus berpeluk tubuh dan segera menjelaskan pendirian beliau berkenaan perkara ini. Ini kerana penyebaran melampau itu jelas telah mencemarkan nilai dan semangat keharmonian kekeluargaan di negara ini, tegas Zuraida. "Institusi keluarga yang dibina seharusnya suci dari anasir dan budaya lucah sebegini agar masyarakat yang dibina tidak terus cetek dek kerana budaya lucah ini. "Andai ini terus berterusan, sampai bila impian untuk membentuk masyarakat kelas pertama mahu tercapai, sedangkan Menteri sendiri belum lagi mencapai kelas pertama? "Walau siapa pun dalangnya, saya mahu peringatkan bahawa pengundi Ampang tidak sesekali akan terpedaya dengan budaya politik lucah sebegini. Saya percaya pengundi Ampang sudah cukup bertamadun untuk menilai definisi politik yang lebih bersih dan matang," tegas beliau. |
| BN mahu banteras rasuah, rakyat senyum kambing Posted: 10 Jun 2011 01:00 AM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 10 Jun: Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pakatan Rakyat komited melakukan reformasi seperti yang digaris dalam kerangka dan dasar yang terkandung dalam Buku Jingga. Berbeza dengan Umno-Barisan Nasional, parti pemerintah itu katanya, meskipun tampil dengan pelbagai slogan, namun dilihat tidak konsisten terutama dalam melaksanakan perubahan seperti membanteras rasuah dan salahguna kuasa, lapor Keadilandaily. "Saya fikir Pakatan sudah memaparkan idea mereka dalam buku jingga dan apa yang penting ialah hapuskan rasuah dan ketirisan supaya sumber yang ada sampai ke tangan yang disasarkan. "Masalah Umno-BN ialah masalah ketiadaan integriti. Contohnya apabila mereka bercakap tentang membanteras rasuah, rakyat senyum kambing kerana mereka ragu yang kerajaan ini mempunyai landasan moral untuk memperkatakan soal-soal seperti itu," katanya dalam satu temubual bersama wartawan Keadilandaily. Tambah beliau, isu pembangunan bukan lagi isu yang boleh menarik perhatian rakyat, terutama kaum Melayu seperti mana yang selalu dilakukan Umno setiap kali menjelang pilihan raya. "Siapa pun boleh buat pembangunan jika ada kuasa. Isu yang lebih dekat dengan hati orang Melayu ialah siapa yang boleh mengurus dengan baik; bukan soal kalau parti lain memerintah tidak ada pembangunan. "Seperti yang kita lihat Pakatan tidak memainkan isu itu; mereka lebih menekankan soal pengurusan, soal idea dan yang penting ada ketelusan dan pertanggungjawaban. "Isu-isu ini tidak dapat ditangani oleh Umno-BN kerana mereka anti pertanggungjawaban dan ketelusan. Sebab itu mereka tidak boleh buat tender terbuka umpamanya," kata pakar perlembagaan itu lagi. Ditanya mengenai sentimen di kalangan golongan muda pula katanya, ia menunjukkan perubahan apabila kelompok itu mula menerima politik baru. "Saya pasti ada perubahan; yang jelas kita ada ramai pengundi muda yang cara berfikir mereka tak sama dengan orang tua mereka. Selain itu mereka juga adalah generasi yang berbeza; isu kaum dan sensasi termasuk hantu 13 Mei 1969 tidak masuk akal bagi mereka. "Dalam pada itu mereka juga kurang tebal sentimen perkauman. Keutamaan mereka ialah masa depan dan kebajikan mereka. Mahasiswa contohnya tidak lagi takut seperti mahasiswa 10 atau 15 tahun dulu sebab mereka bukan generasi biasiswa kerajaan. "Tidak seperti dulu, kerja tidak lagi terjamin. Mereka juga tidak takut dibuang kolej kerana sekarang kolej ini yang terdesak mencari pelajar! Ini semua adalah perubahan dan anjakan yang kebanyakan kita tidak sedar. Dalam pada itu mereka terdedah kepada media alternatif," katanya. |
| PM risik kahwin anak di Kazakhstan, Dr Dzul pertahan pendirian Posted: 10 Jun 2011 12:13 AM PDT KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa mengatur majlis risikan pertunangan dan perkahwinan anak perempuannya di Kazakhstan dan dalam masa yang sama hadir di negara itu atas urusan rasmi negara. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad semalam mempertahankan dakwaannya bahawa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur menggunakan wang rakyat untuk urusan peribadi. Pasangan itu sebelum ini dilapor menyertai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) tetapi juga dikatakan hadir untuk membincangkan majlis pertunangan anak perempuan mereka dengan anak seorang pemimpin negara itu. "WIEF itu jadualnya telah disusun lebih awal, tetapi yang saya dimaklumkan oleh pihak yang boleh dipercayai, ialah pegawai-pegawai diminta menyusun program itu supaya jadual risikan pertunangan itu dibuat mengikut jadual WIEF," kata Dr Zulkifli kepada TVSelangor. "Jadi semua ini menimbulkan pertikaian dari segi ketelusan dan kebertanggungawaban" tambah beliau. Dr Zulkefly berkata semasa lawatan rasmi mereka ke Amerika Syarikat baru-baru ini, Najib dan Rosmah turut mengambil peluang untuk menghadiri majlis penerimaan ijazah university membabitkan anak mereka. "Hal seperti ini kalau dirujuk kepada prosedur mungkin betul, tetapi dari segi moralnya dipertikaikan kerana jelas berlaku percanggahan kepentingan awam dan individu', kata beliau. "Penyalahgunaan kuasa menyebabkan perkara sebegini berlaku, jadi kita tidak tahu dari segi perbelanjaan dalam semua kos-kos yang bersabitan, jadi susah kita mahu kenal pasti yang mana satu perbelanjaan rasmi dan yang mana peribadi," kata Dr Dzulkifli. Wisma Putra dalam kenyataan lewat petang semalam menafikan dakwaan itu, kononnya tidak berasas. Dalam sepucuk surat kepada Malaysiakini, Jabatan Penerangan dan Diplomasi awam, Kementerian Luar menegaskan lawatan itu untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat Presiden Kazakhtan, Nursultan Nazarbayev. Menurut surat itu, lawatan itu juga 'kebetulan' diadakan serentak dengan penganjuran WIEF ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun. Namun surat Wisma Putra itu tidak membuat sebarang penafian bahawa Najib dan keluarganya ada menziarahi bakal besannya semasa lawatan rasmi di negara itu. |
| Posted: 10 Jun 2011 12:00 AM PDT Khalid Samad Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 pada hujung minggu yang lalu. PROSES PEMILIHAN Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang disampaikan membentangkan konsep 'Negara Berkebajikan' dan ini didakwa sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah. Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil minit mesyuarat, laporan tahunan dan laporan kewangan dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin mengetahui keputusan. Amalan baru, 'bidaah hasanah', yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja meninggal dunia! AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya, perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri. Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban walaupun bukan dia yang menjadi calon, memberi suntikan semangat untuk kami terus berjuang. Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata ringkas akan kebaikan Allahyarham. Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21 dan sejurus itu berita melalui SMS diterima yang menyatakan keputusan pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu. Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang disediakan tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada. Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu. KEPUTUSAN PEMILIHAN Seperti yang telah dijangkakan, pada keesokan harinya Utusan Malaysia melalak, "PAS menolak kepimpinan Ulama". Apabila saya ditanya mengenai perkara ini, maka saya menjawab bahawa, "pemilihan merupakan pimpinan parti bukan pertandingan 'Anugerah Ulama' terbesar di dalam PAS'! Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama' atau bukan ulama' tidak relevan sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama', ianya telah diinstitusikan dalam PAS melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama'. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama' atau tidak diambil kira". PAS sentiasa dibawah kepimpinan ulama' dengan adanya Majlis Syura Ulama'. Inilah sebabnya perlembagaan PAS dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan 'Majlis Syura Ulama'. Sebelum itu badan ini dengan kuasa-kuasanya tidak wujud. Yang wujud hanyalah Dewan Ulama'. Sekarang adanya Dewan Ulama' dan Majlis Syura Ulama'. Oleh yang demikian, Majlis Syura inilah senenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam. UMNO yang sendiri menangguhkan pemilihan parti itu, riuh mengenai pemilihan dalam PAS dan bagaimana kononnya PAS mengenepikan ulama'. Hendak termuntah membaca tulisan Utusan Malaysia, lidah tidak rasmi UMNO. Dalam UMNO, ulama di mana? Hanya Biro agama, sepertimana Biro sukan! Tidak segagah Pemuda dan Wanitanya. Malahan tenggelam bila dibanding dengan Puteri dan Puteranya ('Puteri Putera' – maklumlah UMNO ni golongan yang perasan Bangsawan!). MUKA BARU! Ada pula yang mengatakan, "dengan naiknya muka-muka baru ini, maka jelaslah satu perubahan menyeluruh telah berlaku dalam PAS!". Hmmmmmm... Muka baru? Eh sudah lupakah kita semua bahawa pada tahun 2009, jawatan Timbalan Presiden turut ditandingi. Mat Sabu, Husham dan Nasharuddin bertanding. Pada ketika itu, Nasharuddin menang dengan memperolehi lebih kurang 42% dari undi. Yang selebihnya dikongsi di antara Mat Sabu dan Husham. Kali ini, Mat pula yang menang dengan mendapat lebih kurang 40% undi majoriti, manakala bakinya dikongsi pula di antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin. Husham pula bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan beliau merupakan mantan Naib Presiden 2007 – 2009. Maka, mana ada muka baru itu? Bagi saya, semua muka yang sama termasuklah Idris Ahmad, Nik Amar dan Nizar. Nizar pada pemilihan yang lepas telah mendapat undi terbanyak apabila bertanding AJK PAS Pusat sesi 2009 – 2011 dan agak wajar ada yang ingin melihat beliau ke jawatan Naib Presiden. Idris Ahmad pula sebagai mantan Ketua Penerangan. Maka adalah wajar ada yang mencalonkan beliau untuk jawatan Naib Presiden. Begitu juga Nik Amar, orang lama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan yang mencalonkan beliau mengambil-kira Kelantan Negeri yang telah lama diperintah PAS. Seperti yang saya katakan tadi, tiada 'muka baru' hanya apa yang dilakukan perwakilan ialah memilih siapa yang dianggap mereka mampu meneraju parti untuk menghadapi PRU yang menjelang tiba. Ada yang menganggap orang ini, ada yang menganggap orang itu. Namun akhirnya, setelah diketahui keputusan, PAS akan kembali bersatu seperti biasa dan berhadapan dengan UMNO/BN sebagai sebuah parti yang mantap dan gagah. Hakikat ini turut difahami oleh UMNO. Yang boleh dikatakan 'muka baru', seperti yang disebut DS Presiden, adalah saya dan Wahid Endut. Walaubagaimanapun, saya ini pun tidaklah baru sangat. Dari 1987 hingga 1993 saya pernah menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Selepas 1993, saya tidak bertanding dan menumpu kepada usaha diperingkat cawangan dan kawasan. 1997 saya menjadi YDP Shah Alam dan menumpukan usaha di peringkat Negeri Selangor. Pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan akhirnya Timbalan Pesuruhjaya 2 Negeri iaitu dari 2001 sehingga 2009. Saya kembali ke peringkat Pusat selepas hampir 20 tahun! Sudah pasti bukan 'muka baru', sebenarnya yang lama itu jugalah! Begitu juga YB Wahid Endut yang pernah bersama saya dahulu dalam Pemuda Pusat (1983 – 1989) dan seterusnya beliau menumpukan usaha beliau di peringkat Negeri. Menjadi ADUN dan MP Kuala Terengganu. Juga bukan 'muka baru', tetapi baru sahaja dipilih menjadi AJK PAS Pusat. Bagi saya, pemilihan ini menzahirkan betapa ramainya calon yang layak memimpin PAS dan betapa kayanya PAS dengan pemimpin-pemimpin yang berpotensi! Jauh, jauh sangat bezanya dengan UMNO. Bagi yang telah mengundi saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan tuan-tuan terhadap diri saya. Saya berharap tuan-tuan akan mendoakan saya supaya mampu melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin. NEGARA BERKEBAJIKAN DAN NEGARA ISLAM Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah 'Negara Berkebajikan' dan bukannya 'Negara Islam'. Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai. Istilah 'Negara Berkebajikan' bagi ahli PAS ialah 'sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah' (Perlembagaan PAS fasal 5). Istilah 'Negara Berkebajikan' digunapakai kerana ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang sedemikian rupa. Istilah 'Negara Islam' tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif 'berkebajikan' itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan. Dalam erti-kata yang lain, istilah 'Negara Berkebajikan' membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah 'Negara Islam' memperlihatkan mekanisma dan perundangannya. Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur' atau 'Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan'. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak. Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah 'Al-Hukmu yadurru 'alal musamma laa 'alal ismi' atau 'hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang dinamakan itu, bukan kepada namanya'. Dalam erti kata lain, 'apa ada pada nama, yang penting benda atau isinya!' SETERUSNYA... Saya yakin, semua yang kalah bertanding jawatan Timbalan dan Naib akan dilantik kembali. Tugas-tugasan akan diberi dan bahtera yang kita kenali sebagai PAS ini akan terus belayar dengan gagahnya. Tiada yang akan merajuk dan tiada yang akan kecewa kerana di dalam PAS, jawatan sesuatu yang tidak dicari. Ianya amanah dan ianya tanggungan yang berat, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Yang penting ialah untuk bersatu dan bersedia untuk menghadapi PRU. Rakyat mengharapkan kemenangan bagi PAS dan PR yang membawa kepada satu perubahan yang bersejarah. Saf pimpinan yang telah dipilih menggalas harapan ini. Hanya satu harapan saya di sini, semoga Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) digunakan seterusnya untuk seminar yang sering dianjurkan PAS. Dan juga untuk Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi tidak lagi untuk Muktamar Tahunan. Kerana ianya telah menjadi terlalu kecil dan PAS telah menjadi semakin besar. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
| Menolak pentadbiran Islam, Dr M lebih berjaya dari Karpal — Aspan Alias Posted: 09 Jun 2011 11:00 PM PDT The Malaysian Insider 9 JUN — Dr Mahathir Mohamad masih lagi hendak bercakap terlalu banyak dalam mempertahankan Umno. Niat beliau mungkin ikhlas untuk mempertahankan Umno kerana beliau adalah ahli Umno. Tetapi kata-kata beliau mungkin membantutkan usaha Umno untuk kembali mendapat penghormatan rakyat. Beliau sudah agak pelupa orangnya dan banyak kali apa yang beliau kata terhadap musuh politiknya, itulah yang beliau lazim lakukan. Dalam isu PAS dengan pembaharuannya selepas muktamar parti itu hujung minggu lepas Dr Mahathir telah mengatakan yang Karpal Singh-lah yang berjaya mempengaruhi PAS supaya menolak perjuangan Islam parti itu sedangkan parti itu hanya hendak memberikan tumpuan yang lebih kepada negara kebajikan jika diberi mandat untuk memerintah. Itu adalah sebahagain besar dari pimpinan ciri Islam. Tetapi semua rakyat ingat Dr Mahathirlah yang paling keras menentang perlaksanaan hukum hudud apabila Kelantan mahu melaksanakannya dahulu. Sekarang Nik Aziz Nik Mat telah mengingatkan Dr Mahathir sendiri yang beliaulah (Dr Mahathir) yang menentang keras terhadap perlaksanaan hukum hudud dahulu. Nik Aziz berkata beliau boleh menunjukan surat Dr Mahathir kepada beliau (Dr Mahathir) jika beliau telah terlupa atau sudah mengidapi penyakit pelupa seperti yang di alami oleh kita yang sudah berusia seperti beliau ini. Dalam surat beliau kepada MB Kelantan itu Dr Mahathir telah menolak cadangan untuk melaksanakan hukum hudud itu, bukannya Karpal Singh seperti yang dituduh oleh Dr Mahathir itu. Kelantan yang ditadbir oleh PAS selepas pilihanraya 1990 dahulu telah meminta Kerajaan Pusat untuk melaksanakan hukum hudud kerana bagi melaksanakannya ianya memerlukan kerjasama kerajaan pusat. Mahathir telah menolak cadangan itu dan di mana-mana beliau berucap Dr Mahathir telah mempermainkan isu hudud ini dengan berjenaka seperti mengatakan jika hudud dilaksanakan ramai rakyat kita tidak akan bertangan kerana tangan tangan mereka akan dipotong kerana kesalahan mencuri. Mungkin juga apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir semasa itu ada benarnya kerana beliau takut terlalu ramai rakyat yang di dapati mencuri akan dipotong tangan mereka termasuk di kalangan ahli-ahli jemaah Kabinet beliau. Kalaulah Karpal memberikan tentangan terhadap melaksanakan undang-undang Islam, ianya tidaklah menjadi isu kerana beliau bukan beragama Islam. Kita sebagai seorang yang beragama Islam pun memang tidak mahu melihat unsur-unsur agama lain berada di dalam kerajaan pemerintahan kita. Kita memahami kenyataan itu dan Karpal pun faham. Tetapi yang menolak undang-undang Islam ini datangnya dari Umno pimpinan beliau (Dr Mahathir) sendiri. Kalau Mahathir tak bersetuju pun tak apalah, tetapi janganlah hendak meletakan isu penolakan kerajaan berlandaskan Islam itu kepada pihak lain apatah lagi kepada Karpal yang bukan beragama Islam. Mungkin Nik Aziz patut menghantar surat yang beliau terima dari Dr Mahathir itu, setidak-tidaknya boleh mengingatkan beliau yang beliaulah yang secara formalnya telah menolak pentadbiran berunsurkan Islam itu. Tetapi saya hanya berminat untuk mengingatkan Dr Mahathir supaya elok berfikir sebelum berkata-kata kerana jika salah cakap ianya mungkin membantutkan usaha ahli parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya. Dr Mahathir perlu faham yang Umno masih belum lagi mendapat kemajuan dengan apa yang dikatakan program transformasi politik yang sedang kononnya dilakukan oleh pentadbiran Najib sekarang ini. Kita belum pun nampak transformasi yang digembar-gemburkan itu, bercakap pula Dr Mahathir yang akan memburukkan lagi keadaan itu. Tetapi kalau beliau masih hendak bercakap tidak berhenti-henti, itu terpulanglah kepada beliau. Itu hak beliau untuk bercakap. Samada betul atau salah itu pun hak beliau. Samada cakap-cakap beliau itu membantu Umno atau tidak itu pun hak masing-masing untuk menilainya. Ini negara demokrasi. Hanya kalau boleh kita memohon, beliau tidak bercakap perkara yang beliau sendiri lakukan semasa berkuasa dahulu. Takut-takut ramai yang masih ingat apa yang beliau katakan dahulu. Kalau rakyat tak ingat, tak mengapa. Masalahnya masih ramai yang ingat bagaimana beliau mempersendakan hukum-hukum pentadbiran Islam, jauh lagi kerap dari apa yang dilakukan oleh Karpal Singh. Sebenarnya bukan Karpal yang berjaya mempersendakan Islam itu. Ada orang lain yang lebih berjaya dari Karpal. Karpal tidak mungkin berjaya kerana beliau bukan Islam. Selalunya yang menggagalkan usaha Islam itu datangnya dari orang Islam sendiri. — aspanaliasnet.blogspot.com |
| Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan Posted: 09 Jun 2011 09:58 PM PDT Mohd Nasir Awang "Ambo rasa Kelantan akan menang, tapi ambo tetap sokong Terengganu. Kita orang Terengganu, mestilah sokong negeri kita," luah seorang peminat bolasepak dari Besut. Anak muda itu secara jujur menyatakan pendiriannya mengenai kemungkinan keputusan yang bakal berlaku di final Piala FA antara dua negeri Pantai Timur itu, Sabtu (11 Jun ) ini. Pertandingan dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara. Walau pun bolasepak kerap dianggap tidak lebih sekadar agenda sukan, bual bicara mengenainya di forum-forum rakyat sebenarnya tidak terbatas setakat itu. Di sana tersirat berbagai unsur lain, sama ada politik, agama, patriotisme dan seumpamanya. Komen peminat di atas adalah contoh terbaik bagaimana semangat wataniah (perasaan cintakan negeri sendiri) tersemai kukuh di hatinya kendati pun apa hakikat yang berlaku. Secara jujur beliau menilai kekuatan pasukan negerinya (Terengganu) tidak sehebat Kelantan. Apatah lagi selepas aksi hambar Skuad Penyu yang dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh The Red Warriors, Isnin lalu. Namun di atas rasa cintakan negeri sendiri, sokong tetap sokong. Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 6 Jun lalu, Terengganu tewas 3-0 kepada Kelantan. Tidak syak lagi aksi sedemikian di ketika kemuncak perhitungan kekuatan antara kedua pasukan itu berbaki hanya lima hari seolah-olah memberikan gambaran awal pertarungan akhir nanti. Perkembangan itu secara jelas tambah menghangatkan lagi bual bicara masyarakat mengenai final Piala FA. Forum-forum sembang popular, sama ada di warung dan kedai kopi ketika bersarapan, di pejabat sambil melayan pelanggan, di pasar sambil membeli-belah, di pagar jambatan ketika asyik memancing, bahkan di anjung surau dan masjid sementara menunggu bilal iqamat, seakan 'dikuasai' topik bola sejak kebelakangan ini. Mereka yang obses atau mesra dengan dunia siber pula memanfaatkan laman-laman sosial untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing. Banyak entri berkaitan isu bola dan perlawanan akhir itu menjadi pilihan untuk dipaparkan di 'wall' masing-masing. Agak rancak pertukaran pandangan antara mereka yang kekadang beralih menjadi perbahasan dan 'pertikaman' kata apabila masing-masing canggah-menyanggahi demi mempertahankan pasukan yang disokong. Setiap mereka ada hujah dan sandaran tersendiri. Semakin hampir kepada tarikh final Piala FA, perbahasan dan bual bicara mengenainya semakin rancak dan hangat. Apa yang pasti bolasepak bukan lagi sekadar isu sukan. Ia sudah memaut bersamanya unsur-unsur lain. Jika pendirian peminat dari Besut tadi dikaitkan dengan semangat wataniah, khalayak politik pula mengambil kesempatan keghairahan peminat bola ini untuk agenda politik mereka. Menyedari hakikat bahawa bolasepak adalah sukan nombor satu rakyat negara ini, ditambah lagi hakikat betapa sebahagian besar penyokong fanatik setiap pasukan bola adalah kalangan anak muda, maka meraikan minat dan kecenderungan kelompok ini dirasakan boleh memberikan keuntungan politik kepada mana-mana pihak. Sebab itu dapat dilihat kini bagaimana parti-parti politik seakan berlumba menyertai keghairahan peminat bolasepak menuju malam kemuncak itu. Mendahului persaingan menambat hati peminat bolasepak ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Sebaik negerinya mengesahkan tiket ke final Piala FA pertengahan Mei lalu, Ahmad terus sahaja mengarahkan setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu menyediakan bas bagi membawa penyokong Skuad Penyu. "Jumlah bas terpulang kepada wakil rakyat berdasarkan peruntukan bantuan am yang masih ada. Kita ingin melihat stadium dipenuhi penyokong Terengganu," tabloid harian edisi Terengganu, 20 Mei memetik katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal turut memaklumkan akan menyediakan 15 buah bas khusus untuk Dun itu sahaja. "Sudah pasti ada ganjaran yang akan menanti pemain, namun biarlah ia (Piala FA) berada di tangan kita dahulu," ujar Ahmad. Tidak dipastikan apakah pemimpin Kerajaan Kelantan turut menjanjikan sesuatu ganjaran untuk pemain The Red Warriors, atau turut menyediakan bas-bas sewa khas mengangkut ribuan peminat pasukan negeri itu ke ibu negara. Namun, apa yang pasti persaingan meraikan peminat bola bukan terhenti setakat itu. Kini sasaran parti-parti politik beralih pula kepada khalayak peminat di peringkat tempatan. Lagi pun jumlah yang mampu diangkut ke Bukit Jalil sudah tentu tidak seramai yang masih tinggal di kampung masing-masing. Lalu Bahagian, Kawasan atau Cabang parti-parti seakan berlumba mengajak anggota masyarakat menyaksikan perlawanan akhir itu dalam persekitaran dianjurkan masing-masing. Pemidang dan poster memaklumkan lokasi tayangan menerusi skrin besar dapat dilihat di merata ceruk tanahair. Ia turut diiklan menerusi laman sosial di dunia siber. Penganjurnya pula bukan lagi hanya syarikat gergasi, premis niaga atau pihak berkepentingan dalam perniagaan. Ia turut diambilalih parti-parti politik, khususnya sayap pemuda masing-masing. Politik telah menguasai suasana demam bola kini. Sebab untuk itu tidak sukar dimengertikan. Keghairahan anak-anak muda sememangnya elok disantuni kerana mereka adalah kelompok sasaran meraih undi pilihan raya. Apatah lagi demam pilihan raya semakin dirasai bahangnya kini. Suratan atau kebetulan, dua negeri bakal berentap di final Piala FA kali ini bukan sahaja berjiran. Pada nilaian politik, mereka sebenarnya mewakili dua bentuk pemerintahan berbeza diterajui dua parti yang sama sekali berlawanan halatuju – Umno/BN di Terengganu dan PAS di Kelantan. Justeru tidak menghairankan apabila persembahan memberangsangkan skuad The Red Warriors dikaitkan dengan keberkatan pemerintahan seorang ulama. Bagi mereka yang berfirasat sedemikian (sudah tentulah orang PAS!), kemenangan pasukan Kelantan ke atas Terengganu adalah ibarat kejayaan PAS menewaskan Umno. "Ini dah jadi macam Tok Guru (Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) lawan Mat (Ahmad) Said ni," latah seorang aktivis PAS berasal dari Kuala Berang, Terengganu. Beliau adalah antara sebilangan anak negeri itu yang meletakkan kecintaan kepada parti mengatasi kesetiaan kepada negeri. Maaf cakap, tidak sedikit di kalangan peminat bola di Terengganu yang berpendirian seperti itu. Baca pula coretan seorang rakan dari Rusila ini, sejurus sebelum sepak mula perlawanan antara Terengganu dan Kelantan, 6 Jun lalu: "... saya memohon maaf kepada peminat bolasepak Terengganu, kerana dalam perlawanan malam ini atau final Piala FA nanti saya telah tekad menyokong Kelantan.....Bendera hijau putih bro." Ya, itulah rahsianya. Bendera hijau-putih. Bagi mereka ini, parti lebih utama daripada negeri sendiri. Sepertimana disebutkan tadi, rakan ini juga menganggap Kelantan mewakili PAS, parti dicintainya. Manakala Terengganu mewakili Umno/BN. Setelah diasak rakan-rakan menerusi laman sembang itu, yang antara lain mempertikaikan kelunturan semangat kenegeriannya itu, rakan tadi menjelaskan: "Sebabnya, seronok kalau Piala FA juga dibawa balik ke negeri di bawah pimpinan ulama' (Kelantan). Ingat sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu boleh wat (bawa) balik Piala M'sia hanya ketika di zaman ulama' (Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) memimpin dan Kelantan juga boleh wat balik Piala Malaysia di zaman ulama' memimpin". Ya tak ya juga, bukan? Itulah fakta dan hakikat sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan sesiapa pun. Bahawa buat pertama kali Terengganu berjaya menjulang Piala Malaysia ialah pada 3 November 2001, ketika ulama menjadi Menteri Besar. Tentu sekali jika kepercayaan terhadap keberkatan pemerintahan Islam itu menjadi asas kepada sejumlah peminat bola di Terengganu beralih arah menyokong Kelantan, ia suatu hakikat yang amat tidak disenangi Umno, termasuk para pemimpin Umno Kelantan sendiri. Bahawa di sana sudah tersemat kesetiaan kepada parti politik yang mengatasi semangat kesukanan, sesuatu yang sudah tentu tidak berlaku di kalangan peminat bolasepak bermazhab Umno! Ataukah ada peminat bola (penyokong Umno) di Kelantan bersedia mengalih sokongan kepada Terengganu semata-mata di atas dasar parti? Nayyy... payah la sikit rasanya! |
| Surat Mahathir tolak hudud yang dihantar kepada Tok Guru Nik Aziz Posted: 09 Jun 2011 09:06 PM PDT PERDANA MENTERI MALAYSIA YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Menteri Besar Kelantan Y.A.B. Tuan Haji, PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26) Bertarikh 8 Jun 1994 Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah. 1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat. 2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu. 3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam. 4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut: (i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam. (ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan. Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas. Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat. 5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya . 6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya. 7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya. DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 15 Julai 1994 |
| Live suasana kuliah TG Nik Aziz Posted: 09 Jun 2011 06:55 PM PDT Penuh dengan orang ramai. |
| Posted: 09 Jun 2011 06:45 PM PDT Ni suasana kuliah tok guru nik aziz di dataran ilmu. |
| You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan