Rabu, 8 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kewarasan Pemikiran Mahathir Sudah Tidak Stabil

Posted: 08 Jun 2011 08:55 AM PDT

Individu pertama halang hudud bukan Karpal tapi Mahathir, selar Nik Aziz
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
June 08, 2011

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bukan Karpal Singh seperti mana didakwa bekas perdana menteri itu.

Kata Nik Aziz, kemungkinan Dr Mahathir sudah lupa bahawa beliau telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.

Bagaimanapun hasrat untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

"Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.

"Barangkali orang yang bernama Mahathir Mohamad ini sudah lupa, untuk tujuan mengingatkannya saya boleh tunjukkan surat itu, ia masih ada dalam simpanan saya," kata Nik Aziz dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam Dr Mahathir mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal.

Dengan nada menyindir, beliau berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana "akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya."

Kata Dr Mahathir, yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.

Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak perlu mengambil berat akan kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir sambil menyifatkan pemimpin veteran itu "kewarasannya sudah tidak stabil."

"Kita tidak perlu nak ambil peduli, ini kenyataan yang sudah sampai ke tahap kewarasan yang sudah tidak stabil dan saya bersimpati kepada beliau (Dr Mahathir).

"Beliau sebenarnya tidak sedar apa yang beliau katakan itu sebab itu PAS tidak perlu nak ambil berat sangat, orang yang paling kuat menentang hudud adalah Dr Mahathir... orang pertama yang menghantar surat amaran kepada Kelantan adalah Dr Mahathir.

"Karpal tidak menentang seperti mana yang dilakukan Dr Mahathir, sejarah sudah membuktikan orang yang menentang negara Islam dan hudud adalah Dr Mahathir dan saya percaya beliau masih menentang sehingga sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas Mahfuz, bukan Karpal yang memperoleh kemenangan dalam pemilihan PAS tapi rakyat negara ini kerana parti Islam itu bersedia untuk menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

"Yang dapat kemenangan besar ialah rakyat negara kita... orang yang tidak hadir yang dimaksudkan itu adalah rakyat di mana mereka mendapat satu keyakinan kepada PAS yang akan membentuk negara berkebajikan.

"Bukan Karpal yang dapat kemenangan tapi rakyat," katanya.

Justeru Ahli Parlimen Pokok Sena ini percaya Umno berada dalam keadaan tertekan ekoran pendekatan baru yang ditonjolkan PAS.

"Saya percaya Umno dalam keadaan yang sangat menggelabah dengan kekuatan pendekatan yang ditunjukkan PAS melalui konsep negara berkebajikan dan ini bertepatan dengan situasi semasa yang mana rakyat mengalami pelbagai persoalan yang gagal diselesaikan kerajaan sedia ada.

"Oleh itu gandingan kepimpinan sedia ada dan dulu telah berjaya memberikan satu lontaran kepada rakyat bahawa mereka kini mempunyai landasan baru iaitu negara berkebajikan dan ini akan memberi satu kekecewaan kepada Umno yang telah menimbulkan pelbagai keraguan kepada rakyat termasuk dalam isu perkauman, video seks dan sebagainya," katanya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyifatkan individu yang menghentam pembentukan negara Islam adalah Dr Mahathir.

"Negara Islam Dr Mahathir yang hentam kuat sekali tapi dia juga yang mengumumkan Malaysia negara Islam, dia juga yang cadangkan agar PAS buang nama Islam yang mana kita tentang habis-habisan.

"Dr Mahathir ini sudah tidak stabil pemikiranya, bila kita kata negara kebajikan dia kata kita lari dari landasan... sebenarnya Umno sudah semakin gelisah dengan perubahan yang berlaku (dalam PAS)," katanya.

Jelas beliau, serangan demi serangan yang dibuat terhadap PAS kerana Umno bimbang akan tewas pada pilihan raya ke-13.

"Dulu PAS bagus tapi sekarang lagi bagus sebab orang bukan Melayu semakin yakin dengan PAS maknanya Umno kini semakin menuju ke jalan-jalan terakhir.

"Apa yang dilakukan Umno ini sebab takut untuk menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Scorpene, Altantuya, Inflasi: Tekanan untuk Najib

Posted: 08 Jun 2011 04:47 AM PDT

Dari Merdeka Review

Perbicaraan mahkamah berhubung kes pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia yang didakwa mempunyai gejala rasuah bakal berlangsung di Perancis. Sekali lagi, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Najib Razak dihantui kes pembunuhan Altantuya, yang didakwa berkait rapat dengan pembelian kapal selam dengan bayaran komisen yang tinggi.

Kini, arus inflasi semakin menderas. Model Ekonomi Baru pula sukar menampakkan keberkesanannya. Najib (gambar kiri) berdepan dengan perebutan sumber dalam UMNO. Sayap kanan dalam parti mungkin mengambil kesempatan untuk menekan agar Najib berundur – seandainya Najib gagal memulihkan keadaan, lebih-lebih lagi menjadi liabiliti dalam parti – berikutan skandal yang terpalit pada dirinya. Untuk Najib, beliau berdepan dengan pelbagai rintangan – dalam pertimbangannya untuk mengumumkan pilihan raya umum awal sebagai strateginya membalas serangan.

Kes pembunuhan Altantuya

Berkali-kali PKR mengaitkan kes pembelian kapal selam dengan kes pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu. Ketiga-tiga orang tertuduh, Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa mempunyai hubungan dengan Najib. Razak Baginda, adalah think tank untuk Najib; sementara Ketua Inspektor Azilah dan Koperal Sirul didakwa sebagai pengawal Najib.

Najib terpaksa menjawab isu ini setelah diserang bertalu-talu oleh Anwar Ibrahim dalam PRK Ijok pada tahun 2007. Najib mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya, dan Kementerian Pertahanan membuat kenyataan bahawa wang bernilai 114.96 juta Euro (kira-kira RM535.8 juta) yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd bukan "komisen", tetapi kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam tahun. Syarikat Perimekar dimiliki isteri Razak Baginda (gambar kanan).

Selepas empat tahun, kes ini hampir melabuh tirai, dengan Razak Baginda dibebaskan, sementara Azilah dan Sirul dijatuhkan hukuman mati. Kedua-dua tertuduh boleh membuat rayuan, namun perbicaraan belum berlangsung sebagaimana yang diketahui buat setakat ini.

Sebelum Najib mengorak langkahnya untuk menjadi PM, beliau dihujani tuduhan daripada Raja Petra Kamaruddin (RPK) dan penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal, yang membuat akuan bersumpah untuk membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes Altantuya (gambar kiri). RPK melarikan diri ke luar negeri, dan tampil di TV3 pada April 2011 – semasa pilihan raya negeri Sarawak – untuk menafikan bahawa dirinya yang membuat tuduhan terhadap Najib dan Rosmah, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat yang diterimanya dari sumber. Bagaimana sekalipun pertikaian selanjutnya tentang "pengakuan" RPK ini, yang penting adalah Najib telah mendakwa bahawa nama dirinya "dibersihkan" lantaran daripada wawancara TV3 tersebut.

Sejauh manakah impak isu ini, yang dibangkitkan semula selepas empat tahun berlalu?

Perbicaraan bakal bermula di Perancis

Pengarah SUARAM, Cynthia Gabriel berkata kepada MerdekaReview, perbicaraan kes pembelian kapal selam ini akan bermula dalam tempoh sebulan dua akan datang mengikut prosedur mahkamah Perancis. Lebih banyak maklumat dalaman yang terperinci bakal didedahkan pada ketika itu.

Cynthia (gambar kanan) menjelaskan bahawa buat masa kini rakyat gagal memperolehi dokumen-dokumen ini daripada kerajaan Malaysia lantaran daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun, dokumen berkenaan boleh diperolehi daripada Perancis setelah perbicaraan mahkamah bermula, malah hakim boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa dirinya sedia memberi keterangan di mahkamah Perancis seandainya dibenarkan kabinet. Bagaimanapun, Cynthia berkata mahkamah di Perancis tidak boleh mewajibkan kehadiran Menteri Malaysia di mahkamah kerana melibatkan isu kedaulatan negara.

Setakat ini belum diketahui apakah maklumat dalaman yang bakal didedahkan. Namun demikian, PKR baru-baru ini mendakwa bahawa ada "pihak ketiga" yang menemani Razak Baginda dan Altantuya dalam lawatan mereka ke Macau. Tanpa menamakan identiti "orang ketiga" itu, PKR mendesak Najib agar menunjukkan passportnya untuk membuktikan dirinya tidak terlibat.

Kita tidak lupa bahawa Najib pernah bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak kenal Altantuya – di depan kira-kira 900 orang pemimpin akar umbi UMNO, pada Julai 2008. Seandainya apa-apa bahan bukti dalam mahkamah Perancis menunjukkan bahawa Najib mengenali Altantuya, maka beliau bakal berdepan dengan krisis integritinya.

Najib mungkin menjadi liabiliti UMNO

Di samping itu, Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengahkan Najib mencungkil saraf golongan sayap kanan dalam UMNO, yang menentang hebat rancangan ekonomi tersebut. Najib perlu menjelaskan bahawa ia sekadar "cadangan", selepas bahagian pertama MEB dikemukakan – memperlihatkan rintangan yang dihadapinya dalam parti.

Najib kini tersepit dalam dilema. Politik naungan telah lama berakar umbi dalam UMNO. Najib tidak boleh kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan pendekatan perkauman yang ekstrem, pada masa yang sama "Najibnomics"-nya yang tidak meneliti masalah struktur juga gagal mentransformasikan ekonomi negara. Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 setakat sasaran – realitinya rakyat terus bergelut dalam suasana inflasi yang menekan.

Mereka yang menguasai sumber pada masa yang sama menggenggam kuasa. Perebutan sumber bertambah rancak apabila sumber semakin berkurang. Kenaikan tarif elektrik, pengurangan subsidi untuk bahan api, cukai perkhidmatan yang melonjak dari 5% hingga 6% – segala-gala ini membuat rakyat merasakan bahawa khazanah negara semakin kekosongan dipunggah, dan kerajaan kini perlu menyedut wang dari rakyat.

Zahid Hamidi berpaling tadah?

Kini, pergelutan dalam UMNO sendiri menjadi menarik. Kenyataan Zahid Hamidi yang mendakwa dirinya bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah – dengan syarat dibenarkan kabinet – juga menarik. Beliau meletakkan semua beban atas bahu Najib, sebagai Ketua Kabinet – untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak untuk tampil di mahkamah Perancis.

Zahid (gambar kiri, kanan) dilihat sebagai "orang Najib" dalam pemilihan UMNO pada tahun 2009. Menteri Pertahanan ini kelihatan telah meninggalkan kem Najib. Perlu diingatkan, skandal kapal selam gagal selam, kecurian enjin jet – pendedahan ini memperlihatkan bahawa "ada pihak yang melepaskan khabar" – tentang skandal yang berlaku ketika Najib merangkap jawatan Menteri Pertahanan.

Baru-baru ini Zahid dikatakan calon yang bakal memainkan peranan "Muhyiddin Yassin" dalam usaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi – seandainya usaha baru diperlukan untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini kerana Najib berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13, malah kuasa kerajaan negeri Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Cabaran buat Najib

Najib kini perlu berhati-hati untuk membuat percaturannya. Soal selidik yang diumumkan Merdeka Center pada 4 Disember 2010 menunjukkan bahawa sejumlah 59% rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi Najib membanteras rasuah. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga kaum menganggap kerajaan Najib perlu mendahulukan isu membanteras rasuah. Apa yang menarik, seandainya perbicaraan kes pembelian kapal selam ini menunjukkan bahawa Najib turut terlibat dalam amalan rasuah – maka beliau semestinya berdepan dengan tekanan rakyat dan UMNO agar beliau berundur.

Nampaknya Najib tidak mempunyai ruang yang lebih selesa. Meskipun Najib dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin memainkan peranan berasingan untuk menyasarkan undi dari komuniti berlainan – iaitu Najib dengan 1Malaysia-nya, dan Muhyiddin dengan "Kemelayuan"-nya, tapi jelas, Muhyiddin kelihatan lebih disenangi dalam UMNO.

Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah Najib mengambil langkah untuk mempercepatkan pilihan raya umum, menggunakan kuasa yang ada pada Presiden untuk melantik calon, lantas menyingkirkan orang yang tidak taat kepadanya? Dan seandainya beliau berbuat demikian, apakah keadaan seperti PRU ke-12 bakal berulang – iaitu sabotaj daripada peringkat akar umbi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden UMNO?

Saf pimpinan PAS yang baru lahir dari pemilihan mungkin menjadi faktor pertimbangan Najib. Seandainya PRU diadakan tahun ini, mungkin PAS belum sempat mengatur langkahnya untuk bersedia.

Jikalau dilihat tarikh yang ada, bulan puasa bermula pada akhir Julai, dan masyarakat muslim bakal menyambut Hari Raya pada awal September. Tempoh ini bukanlah tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Jikalau PRU diadakan pada awal Julai, maka Najib perlu mengambil kira kemungkinan rakyat melepaskan kemarahan melalui undi lantaran kenaikan tarif elektrik.

Justeru itu, tempoh antara September hingga Oktober mungkin masa yang sesuai, kerana pantai Timur sering dilanda banjir mulai November.

Menurut pemimpin di akar umbi UMNO, mereka telah bersiap sedia 24 jam untuk PRU sejak dua, tiga bulan yang lalu. Namun tarikh PRU ke-13 kekal menjadi teka-teki.

Untuk Najib, bukan senang untuk mencari satu tarikh yang menjamin kemenangan BN. Kenaikan harga barang, ketegangan hubungan antara sekta dalam UMNO, saf pimpinan baru PAS yang menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, cetusan isu perkauman dan agama yang mencungkil ketidakpuasan masyarakat… Sehingga bila "suasana baik" boleh dikekalkan dengan Program Transformasi yang direkacipta Najib?

Mujahid Yusof Rawa: Kepimpinan PAS dan prospek lanskap baru politik negara

Posted: 08 Jun 2011 02:28 AM PDT

8 JUN — Muktamar PAS ke 57 pada 3,4,5 Jun baru–baru ini mendapat perhatian orang ramai. Kalau dulu tidak ada siapa yang berminat mengikuti perkembangan PAS tetapi sejak pasca PRU ke 11, perkembangan PAS diberi tumpuan yang mendalam. Utusan Malaysia dan TV arus perdana yang sememangnya bersikap negatif dengan PAS menggunakan kesempatan Muktamar kali ini untuk 'membelasah' PAS tetapi dengan cara yang halus dan menyakitkan.

Apa yang pelik dalam liputan ini, pemimpin-pemimpin Umno dan para ahli akademik yang menjadi alat dan perkakas buruk Umno seolah-olah lebih hebat penghayatan mereka kterhadap perjuangan PAS, malah ada yang mengatakan PAS telah hilang ketulenan perjuangannya apabila sedia tunduk kepada desakan Dap dan PKR dan sanggup meninggalkan perjuangan Islam yng dibawa selama ini.

Kepada Utusan dan TV arus perdana saya ucapkan syabas kerana memberi tumpuan walaupun caranya tidaklah cerdik, tetapi yang penting kepada para penganalisa dari ahli akademik mereka telah menggadaikan nilai akademik mereka untuk kepentingan Umno saya ucapkan takziah kepada karier mereka. Kepada pemimpin Umno saya tak tahu nak ucapkan apa-apa tentang komen mereka tetapi yang pasti mereka 'lebih PAS dari PAS!'

Apa yang lebih penting dalam memahami isu muktamar PAS bukanlah apa yang mahu difahamkan oleh media massa perdana yang bertaraf 'longkang' dan 'parit' itu, tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang PAS mahu lakarkan untuk masa depan perjuangannya. Perjuangan selama 57 tahun ini bukanlah satu perjuangan yang melalui jalan yang mudah.

Telah beberapa kali PAS rebah dan bangkit, rebah dan bangkit sehinggalah ia mampu sampai kepada tahapnya yang ada hari ini. Tahapnya hari ini bolehlah dibanggakan berdasarkan kepada beberapa halangan yang berjaya diatasi oleh PAS sepanjang keberadaannya di pesada politik tanahair. Antaranya ialah, PAS bukan sahaja didokongi oleh segmen berlatarbelakangkan agama tetapi juga oleh segmen lain yang berperanan aktif. Kedua, PAS berjaya meroboh tembok yang memisahkannya dengan pengundi bukan Islam dengan pencapaiannya yang terbaik di kawasan-kawasan campuran. Ketiga, PAS mempunyai sayap bukan Islam (DHPP) dalam struktur partinya yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini dan akhirnya PAS berjaya melebarkan pengaruhnya di luar kawasan tradisinya di Pantai Timur dan Utara ke Tengah dan Selatan tanahair termasuk Sabah dan Sarawak. Pencapaian-pencapaian ini berlaku di tengah-tengah suasana permusuhan media perdana kepada PAS dan aturcara permainan demokrasi yang tidak adil. Bagi parti lain yang tidak mempunyai kekuatan ideologi dan organisasi parti sudah pasti akan berkubur untuk terus hidup dalam suasana sedemikian rupa, tetapi PAS mampu hidup malah terus segar bugar seperti rangkap akhir lagu PAS yang berbunyi: "Berpandukan Al Quran dan Sunnah, suburlah hidupnya dan pasti berbuah…" Inilah buah-buahnya yang dipetik oleh generasi PAS hari ini. Malangnya kita tidak akan mengharapkan para ahli akademik 'dungu' mampu melihat pencapain-pencapaian ini, janganlah mengharapkan Umno pula nak ingatkan pencapaian-pencapaian PAS!

Para perwakilan Muktamar ke 57 sebenarnya mengirimkan isyarat kepada orang ramai bahawa mereka telah membuat beberapa pertimbangan yang matang di mana asasnya ialah, ketokohan kepimpinan bukan sahaja keperluan dalaman tetapi ia perlu diambil kira keperluan persepsi awam di luar parti. Dengan kata lain ketika mereka mengundi mereka bukan 'bijaksini' sahaja tapi juga 'bijaksana' maksudnya mereka perlu mengambil kira orang lain dan bukannya syok sendiri. 'Syok sendiri' ialah apabila mereka melantik kepimpinan yang mereka kenal dalaman sahaja tetapi tidak mengambil kira populariti kepimpinan di kalangan awam. Barisan teratas yang baru dipilih memperlihatkan populariti kepimpinan yang diiktiraf oleh orang awam. Selain Presiden yang dikenali dalam dan luar negeri, Timbalan Presiden Mat Sabu sememangnya tokoh dikenali ramai kerana pidatonya dan komitmennya kepada reformasi demokrasi di negara ini. Ketiga-tiga Naib Presiden pula iaitu Salehudin, Husam dan Mahfuz mempunyai kekuatan akar umbi dan popular di kalangan massa. Undi tertinggi AJK Pusat pula iaialu Sdr Mazlan Aliman berjaya menggegarkan isu Felda sehingga menjadi isu nasional. Ini adalah sebagai contoh para perwakilan membuat pertimbangan impak kepopularan selain daripada komitmen mereka kepada dasar dan perjuangan parti.

Isyarat perwakilan juga mengharapkan beberapa pembaharuan dalam parti apabila mereka berani memecah tradisi mengundi calon 'bukan ustaz' untuk nombor 2 tertinggi parti. Ini bermakna, 'jika kami berani memecah tradisi, kami mengharapkan sesuatu daripada keberanian ini dengan usaha pembaharuan yang berupaya melonjakkan parti ke hadapan.' Ketegasan ini mudah difahami kerana perwakilan mengharapkan barisan ini mampu membawa hasrat persediaan PRU 13 dimana untuk PAS berjaya menambat hati pengundi, persediaan organsiasinya perlu di tahap yang meyakinkan pengundi dari sudut PAS seharusnya membawa aspirasi nasional. Mengolah parti dalam proses menasionalkannya memerlukan seni kepimpinan tahap tertinggi dalam mengimbangi prinsip Islam sebagai dasar parti dan keperluan nasional sebagai manifesto politik parti kepada orang ramai. Ini sebahagian daripada harapan yang dikalungkan kepada kepimpinan yang baru.

Satu fakta yang tidak dinafikan ialah kenyataan bahawa lanskap politik negara akan berubah dengan tumbangnya Umno dan BN. Impak tumbangnya regim lama ini akan mengubah cara pentadbiran politik di negara ini dimana satu wajah baru akan muncul dan satu waktu peralihan akan berlaku bagi mengurus 'after-shock' jatuhnya satu sistem lama. Kekosongan kejatuhan Umno/BN perlu diisi oleh PR dan PAS mesti memimpin usaha pengisian ini nanti. Retorik kepimpinan PAS perlu diterjemahkan dalam praktikaliti manifestonya di mana buku jingga sedia ada perlu dihadam oleh para pengundi nanti. Kesemua tawaran-tawaran ini akhirya akan berpijak kepada satu persoalan penting iaitu, apakah perubahan yang ditawarkan oleh PR akan menjejaskan asas-asas kenegaraan yang terbina selama ini? Kepimpinan baru mesti meyakinkan 27 juta rakyat Malaysia bahawa tanggungjawab mempertahankan asas-asas kenegaraan adalah komitmen PAS dan PR dan untuk berbuat demikian PAS perlu diyakin dan diterima sebagai pembawa obor aspirasi nasional. Komitmen kepada Perlembagaan Persekutuan dan simbol-simbol serta penghayatan patriotism perlu dilihat mengalir dalam seluruh organ parti dan terungkap dalam retorik ucapan-ucapan kepimpinan.

Makna Muktamar ke 57 ini penting untuk kita melihat satu perubahan lanskap politik yang bakal akan berlaku dan secara kebetulan PAS memberanikan diri untuk membuat pemilihan pada kali ini walaupun Umno dan DAP menangguhkan pemilihan parti masing-masing. Ini satu keberanian dari PAS untuk mengatakan kepada orang ramai bahawa ia tidak perlu bimbang perubahan pucuk kepimpinan mahupun kesan proses pemilihan bahkan barisan yang dipilih baru-baru ini adalah untuk menyediakan ruang yang akan ditinggalkan oleh regim lama dalam cita-cita PAS untuk memartabatkan maruah dan hak rakyat demi negara yang tercinta. Prospek kepimpinan baru dalam perubahan lanskap politik negara cerah dan meyakinkan.

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

Khairy pertahan lawatan Najib ke Kazakhstan

Posted: 08 Jun 2011 01:01 AM PDT

Oleh Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 8 Jun — Khairy Jamaluddin mempertahankan lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan sambil menafikan perdana menteri menyalahgunakan dana awam untuk menghadiri majlis pertunangan anak perempuannya di negara itu.

Dalam akaun Twitternya, Ketua Pemuda Umno dan BN berkata , Najib berada di negara bekas Kesatuan Soveit itu untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia Ketujuh (WIEF), di mana beliau akan menyampaikan ucapan hari ini, dan untuk membalas lawatan diplomatik presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev ketika Tun Abdullah Badawi merupakan perdana menteri.

"Lawatan PM ke Kazakh telah lama dirancang sebelum majlis pertunangan anak perempuannya.

"Malah, sebenarnya membalas lawatan Presiden Nazarbayev ke Malaysia ketika masa Pak Lah," katanya pagi ini.

Sebaran: Tentatif Sambutan Hari Anak Muda Kelate 2011

Posted: 07 Jun 2011 10:57 PM PDT

http://a4.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/254418_10150204235052592_358919387591_7651622_6984230_n.jpg

Sebaran: Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Posted: 07 Jun 2011 09:38 PM PDT

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 08 Jun 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat 'self regulatory'.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :

1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat 'self regulatory' , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat 'self regulatory' dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.

Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

Tiada ulasan: