Kerabu Bersuara ® |
- Negara kebajikan: Taktik PAS hadapi PRU-13, dakwa Najib
- Pimpinan baru PAS menggerunkan Umno
- Najib bakal berbesan dengan pembesar Kazakhstan?
- Scorpene: Mahkamah Perancis temui bukti kukuh
- Bagaimana kempen kesihatan dijalankan?
- Melayu Lembah Kinrara tetap bersama DAP
- Nazri Aziz Gelabah Dengan Pimpinan Baru PAS
- Kemenangan Erdogan ‘untungkan’ Hadi, bukan Anwar
- SU Majlis Syura: Pengaruh ulama dalam PAS tidak terhakis
- Implikasi Pemilihan Golongan Liberal Terhadap Pas
- Ruang membina masa depan umat
- Buku Jingga Siswa dan kebudayaan–Kesusasteraan pelajar
- Kad pengenalan haram: Usaha menidakkan kuasa rakyat
- Pemilihan PAS teladan untuk Umno
- Ulama-Erdogan dan dualisme dalam PAS
Negara kebajikan: Taktik PAS hadapi PRU-13, dakwa Najib Posted: 06 Jun 2011 08:49 AM PDT ASTANA (Kazakhstan), 6 Jun — Datuk Seri Najib Razak berkata laungan terbaru oleh PAS yang kononnya hendak mewujudkan sebuah negara kebajikan bukanlah perkara baru bahkan itulah yang sudah diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini. Perdana Menteri berkata perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama. "Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja," katanya dipetik Bernama Online. Najib mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev dan akan menghadiri pula Forum Pembangunan Ekonomi Islam (WIEF) Ketujuh Rabu dan Khamis ini, di mana beliau akan turut menyampaikan ucapan bersama beberapa ketua negara lain. Najib mengulas mengenai keputusan pemilihan pada muktamar PAS yang berakhir semalam. Kata Najib, keputusan itu terhasil kerana pemilihan PAS banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya berbanding dengan untuk mencerminkan perjuangan membangunkan sebuah negara Islam atau untuk kepentingan Islam itu sendiri. Pengerusi BN ini berkata terbukti apabila mereka telah menguar-uarkan kononnya pilihan raya akan berlangsung pada bulan Julai sehingga mengakibatkan banyak perwakilan PAS melihat soal pilihan raya dan membuat pertimbangan berdasarkan hal itu, yang menguntungkan pihak yang ingin mengambil alih kuasa dalam PAS. Menjawab soalan lain, Najib berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya mengadakan mesyuarat dengan semua wakil komponen BN untuk mengenal pasti calon-calon yang layak dipertimbangkan untuk biasiswa daripada kumpulan yang memperoleh keputusan rendah sedikit daripada 8A+. "Keputusan mereka baik tetapi tak layak dapat biasiswa sama ada (bagi melanjutkan pelajaran di) luar negeri atau dalam negeri. Apabila saya balik nanti saya akan buat keputusan dalam hal ini," katanya. |
Pimpinan baru PAS menggerunkan Umno Posted: 06 Jun 2011 06:30 AM PDT Dr. Rosli Yaakop Sebagai seorang ahli PAS seumur hidup, saya tidak mahu sesiapa pun memimpin PAS kecuali orang-orang yang bertaqwa. Apabila ulama ("berpendidikan aliran agama") yang dipilih perwakilan memimpjn PAS, biarlah ulama itu ulama yang bertaqwa. Apabila insan bukan ulama ("bukan dari pendidikan aliran agama") dipilih perwakilan memimpin PAS, biarlah insan itu insan yang bertaqkwa, Insha Allah. Takdirnya, pada pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini, para perwakilan telah, buat kesekian kalinya, memilih insan yang bertaqwa untuk memimpin parti dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Kali ini, insan yang bukan dari aliran pendidikan agama (tidak semestinya mereka ini bukan ulama) telah dinobatkan sebagai Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Mereka memiliki kelebihan – dua orang dari mereka pernah melalui proses pentarbiyyahan Kem Kemunting dan kesemuanya adalah aktivis parti yang paling ketara (visible), terserlah dan berwibawa yang telah menjelajah seluruh pelusuk negara. Lebih dari itu, mereka telah menyertai pilihan raya dan menang dan mereka juga adalah jaguh demonstrasi di jalan raya. Kalau keadaan memaksa rakyat untuk turun ke jalan raya seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Mesir dan beberapa buah lagi Negara Arab, saya rasa inilah orangnya yang akan berada di barisan hadapan. Mereka adalah ahli PAS yang telah melalui proses pentarbiyyahan yang panjang, lalu mereka itu kenal dengan apa itu Islam dan perjuangan Islam. Dari segi ilmu Islam dan ketaqwaan yang dimiliki, mereka sebenarnya layak dipanggil ulama. Lidah mereka sentiasa basah dengan ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadith-hadith. Mereka kenal akan hukum hakam Islam. Di sana ada Majlis Syura Ulama yang memberi legitimasi kepada seluruh keputusan yang diambil parti. Sistem pembuatan keputusan yang wujud di dalam PAS memberi keanjalan yang luas bagi ahli-ahli memilih pemimpin. Sama ada yang dipilih itu "ulama" atau "bukan ulama," legitimasi perjuangan PAS dan segala tindak tanduknya tetap bersumber dan berpaksikan Al-Qur'an, Sunnah, Qias dan Ijma Ulama. Harus diperhatikan bahawa kebanyakan gerakan Islam di dunia hari ini – dari Negara-negara Arab, Turki dan lran hinggalah ke Asia (India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia) – dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional. Satu kejayaan besar dari sistem pentarbiyyahan PAS ialah ia telah berjaya "mengulamakan" golongan profesional dan yang bukan dari aliran pendidikan Islam dan ia telah berjaya pula "memprofesionalkan" golongan ulama dan yang dari aliran pendidikan Islam. Sesungguhnya, insan yang ada nilai di sisi Allah hanyalah insan yang bertaqwa. Inilah dia intisari daripada sistem pentarbiyyahan PAS – untuk mewujudkan insan yang bertaqwa, Insha Allah. PAS adalah parti bagi orang bertaqwa yang sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT. Di luar sana ramai insan yang berstatus ulama. Ada ramai ulama di dalam Biro Agama UMNO. Di Pusat Islam ada ramai ulama. Di Majlis Agama Islam negeri-negeri ada ramai ulama. Tetapi perjuangan mereka (harus ditekankan, tidak semua) itu berbeza dengan perjuangan para ulama yang berada di dalam PAS. Ulama dalam PAS, yang bertaraf pemimpin nasional mahu pun pemimpin negeri, kawasan dan cawangan atau ahli biasa, semuanya insan yang bertaqwa, Insha Allah. Kalau mereka tidak memiliki ketaqwaan yang tinggi, mana mungkin mereka berada di dalam sebuah jemaah Islamiah seperti PAS. Mana-mana jemaah yang perjuangannya bermatlamat menegakkan Al-Qur'an dan Sunnah, Qias dan Ijma Ulama sebagai perlembagaan dan undang-undang bagi ummah, maka itulah dia jemaah Islamiah dan sesiapa sahaja yang berada dan berjuang di dalam jemaah Islamiah, maka mereka adalah orang-orang bertaqwa, Insha Allah. Di dalam bahtera PAS hari ini terhimpun orang-orang bertaqwa dari setiap lapisan dan golongan masyarakat yang pada kalbu mereka sentiasa bersemarak kalimah "Lailaha Ilallah Muhammadur Rasulallah." Yang lebih menggerunkan musuh ialah sudah wujud pula golongan orang bukan Islam yang merestui perjuangan PAS dan mahu bersama-sama untuk melangsungkan perjuangan. Umno bukan satu jemaah Islamiah. Ianya jemaah kovensional yang dasarnya "agama suku dan politik suku." Pemimpin-pemimpinya selalu melaungkan kata-kata "jangan campur-adukan agama dan politik." Pemimpin UMNO tidak pernah tahu bahawa berpolitik itu adalah cara hidup para nabi. UMNO, kerana dasarnya konvensional, cukup serasi dengan pendekatan "matalamat menghalalkan cara." UMNO menggunakan fitnah seks untuk menjatuhkan lawan. Ia memainkan isu perkauman supaya bila tercetus rusuhan kaum seperti "Peristiwa 13 Mei," maka bolehlah ia terus berkuasa. Dalam tempoh lebih daripada 50 tahun UMNO berkuasa ia telah merosakkan lembaga-lembaga utama di dalam masyarakat dan Negara seperti badan kehakiman, polis, tentera, badan pencegah rasuah, suruhanjaya pilihan raya dan sistem pendidikan Negara. UMNO gagal mengagihkan kekayaan Negara secara adil. Kebokrokan ini berlaku kerana ulama yang ada di dalam UMNO semuanya bisu. Mereka melihat kemungkaran dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka tetapi mereka tidak berani melarang. Malah, mereka tergamak pula mencipta hujjah dan hukum untuk memberi legitimasi kepada kemungkaran yang dilakukan. Dengan menobatkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar ke barisan kedua dan ketiga di dalam hiraki kepimpinan PAS, bermakna para perwakilan terus memperkasakan gabungan kepimpinan ulama dan profesional di dalam parti. Sekali gus, para perwakilan menghantar isyarat-isyarat berikut kepada UMNO-BN: Revolusi rakyat yang dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional telah berjaya menumbangkan dua orang diktator paling liat dan "notorious" dalam zaman moden ini, iaitu,El Zine Abidine Ben Ali (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir), maka dengan memperkasakan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS, adalah diharapkan akan tercetus pula revolusi rakyat Malaysia yang kelak berkemampuan menumbangkan kerajaan zalim UMNO-BN dalam pilihan raya ke 13 ini. Personaliti yang dipilih memang terkenal sebagai "great mobilizer of people" (penggerak orang ramai yang berwibawa)." Mereka telah membuktikan kemampuan memobilisasikan puluhan malah ratusan ribu manusia untuk turun ke jalan raya memprotes kezaliman. Jika UMNO-BN mahu terus menodai sistem pilihan raya pada pilihan raya ke 13 ini, maka jangan dipersalahkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar, jika sekiranya rakyat turun ke jalan raya memprotes pilihan raya yang tidak adil. Dengan menambahkan golongan profesional di dalam hiraki kepimpinan PAS, pengundi bukan Melayu melihat bahawa PAS menjadi sebuah parti yang semakin mesra rakyat bukan Melayu. Pengundi-pungundi bukan Melayu, khasnya orang Cina dan India, telah lama menyuarakan bahawa mereka ingin melihat lebih ramai profesional menjadi pemimpin PAS kerana mereka berkeyakinan kejayaan pengurusan ekonomi Negara menuntut kehadiran golongan profesional yang bersih, berintegriti, bijaksana dan berilmu tinggi. Ulama memandu dan golongan profesional melaksana. Para perwakilan melihat bahawa jalan yang selesa untuk memenangi dan menambat hati orang bukan Melayu supaya bersama dengan PAS ialah dengan melakanakan apa jua perkara baik dan bermanfaat untuk semua yang mereka suarakan. Pemerkasaan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS menghantar angin dingin ke dalam sum-sum UMNO. Ia menambahkan lagi kegerunan mereka untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya ke 13 yang akan berlangsung bila-bila masa selepas Muktamar PAS ke 57 ini. Tahniah kepada semua calon yang menang. Kepada yang kalah jangan pula berbalasungkawa kerana ruang perjuangan itu amat luas. |
Najib bakal berbesan dengan pembesar Kazakhstan? Posted: 06 Jun 2011 06:00 AM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 6 Jun: Apakah tujuan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri ke Kazakhstan, atas urusan rasmi negara atau untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Nooryana Najwa? Inilah persoalan yang ditimbul oleh ramai wartawan termasuk yang menyertai rombongan Najib ke Kazakhstan. Ini kerana, menurut laporan portal Eurasia, Najib bakal mendapat menantu anak seorang pembesar Kazakhstan bernama Daniyar Nazarbayev. Menurut laporan portal itu, anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa telah ditawan hatinya oleh seorang bangsawan Kazakhstan ini. Nooryana Najwa, 22, pada 22 Mei lalu menerima ijazah Bachelor of Science in Foreign Science dari Universiti Georgetown, Washington, selepas empat tahun belajar di School of Foreign Service, universiti berusia 222 tahun itu. Nama akhir Daniyar iaitu Nazarbayev adalah sama dengan nama President Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev – namun, menurut laman portal Eurasia, mereka mungkin tidak mempunyai sebarang kaitan. "Seorang jejaka dengan nama Daniyar dengan nama akhir yang pelik, dilihat tidak kurang kontroversinya daripada ibunya dalam hal perkahwinan. Terdapat khabar bahawa beliau telah menawan hati Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri Malaysia, dan akan mengahwininya tidak lama lagi," tulis Leonid Komarovskiy, seorang "wartawan" daripada New York di bawah artikel bertajuk "Borat is out of competition." Keseluruhan artikel Leonid menyentuh tentang latar belakang Daniyar, yang didakwanya mempunyai kehidupan yang serba mewah dan penuh kontroversi kerana nama akhir "Nazarbayev" yang diberi ibunya selepas penceraiannya dengan suami terdahulu D. Kesikbayev sebelum berkahwin dengan Bolat Nazarbayev, seorang ahli kerabat Presiden Kazakhtan. "Pada Oktober 2006, New York Post telah melaporkan Daniyar Nazarbayer, yang dinamakan di dalam tulisan mereka sebagai 'anak kepada President Nursultan Nazarbayev', telah membeli beberapa apartment di 55 Wall Street. Salah satu apartment dengan dua bilik bernilai $2.9 juta dan satu lagi dengan satu bilik bernilai $2.1 juta. Saya tak tahu ia benar ataupun khabar angin, tapi akhbar melaporkan bahawa 'President Nazarbayev telah melawat rumah tersebut sendiri semasa menghadiri UN Summit (Persidangan PBB) dan memberikan kebenaran untuk pembelian tersebut. Ia nampaknya melibatkan banyak duit," tulis Leonid lagi. Dalam tulisannya lagi, Leonid berkata Daniyar patut berterima kasih kepada emaknya Mayra Kurmangaliyeva untuk nama akhir beliau dan segala transformasi yang berlaku kerana nama akhir tersebut. "Beliaulah yang dapat menawan Bolat Nazarbayev ke jaringannya – satu saudara tulen (ada yang mengatakan ialah adik-beradik) kepada President Kazakh – dan berkahwin dengannya, supaya dapat cepat-cepat melupakan suami dulu D. Kesikbayev, yang nama akhirnya dimiliki Daniyar sebelum menerima surat lahirnya yang kedua dengan nama akhir Nazarbayev," dakwa Leniod lagi. Disebabkan itu, Leonid dalam tulisannya turut menyuruh Najib untuk berhati-hati dan menyiasat latar belakang Daniyar sebelum apa-apa berlaku. "Mengapa tidak (untuk berkahwin dengan Daniyar)? Seorang jejaka terkenal, penuh adunan dan dengan nama akhirnya yang cukup menawan… tapi, jika saya ialah bapa Malaysia, saya akan semak dulu takut-takut: adakah Daniyar sudah berkahwin semasa zaman muda? Buah epal adalah dari pokok epal, seperti yang kita tahu… dan Alma-Ata (ibu kota Kazakhstan) ialah bandar buah epal dan pokok epal," nasihat Leonid. Najib kini dalam lawatan ke Kazakhstan yang dikatakan untuk lawatan rasmi selama dua hari ke negara bekas Soviet Union itu. Lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri ini adalah antara lain bagi memenuhi jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev. Ketika lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya, Karim Massimov. Lawatan rasmi Najib ke Kazakhstan dan penyertaan beliau dalam WIEF ke-7 akan mengukuhkan hubungan politik yang akrab selain merintis laluan ke arah kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan demi manfaat bersama. Jika benar laporan Eurasia, tahniah diucapkan kepada keluarga Perdana Menteri atas berita gembira perkahwinan anaknya. Sekiranya ini betul berlaku, sudah tentu pilihanraya umum ke 13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat. |
Scorpene: Mahkamah Perancis temui bukti kukuh Posted: 06 Jun 2011 05:30 AM PDT Aziz Muda KUALA LUMPUR, 6 Jun: Mahkamah Perancis menemui bukti kukuh bahawa syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membuat bayaran kepada syarikat Perimekar sebanyak RM493 juta, tetapi bayaran itu sebenarnya dilakukan oleh kerajaan Malaysia sendiri. Penemuan itu ternyata bertentangan dengan kenyataan Kabinet Najib yang sebelum ini mengklasifikasi bayaran itu sebagai koordinasi dan perkhidmatan sokongan serta Malaysia tidak terlibat dalam pembayaran berkenaan. Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gibrael berkata, dengan penemuan itu, dua lagi rasuah membabitkan pembelian kapal selam Scorpene terdedah hasil penyiasatan pihak berkuasa Perancis. Menurut beliau, pembongkaran itu pula berlaku ketika pendedahan 114 juta Euro bersama RM493 juta komisen kapal selam Scorpene belum dijawab oleh kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Katanya, dua rasuah tersebut bernilai masing-masing RM30 juta dan RM2.5 juta dan ia terbongkar setelah pihak berkuasa Perancis menjalan penyiasatan sejak lebih enam bulan lalu. "Bayaran itu, didapati memang ada dibuat tetapi tidak tahu kepada siapa dan besar kemungkinan ia dibiayai kerajaan Malaysia," katanya ketika diminta mengulas perkara itu. Suaram adalah pihak yang membuat representasi agar mahkamah Perancis menyiasat pembelian Scorpean dengan kebimbangan adanya rasuah berlaku dalam pembelian itu. Ekoran itu, Mahkamah Perancis sedang membicarakan kes ini yang dikaitkan juga dengan pembunuhan kejam wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu. Menurut Cynthia Gibrael, jika benar apa yang diperolehi dalam perbicaraan sekarang, bermakna dalam pembelian peralatan itu (kapal selam Scorpene), kerajaan Malaysia membayar dua kali rasuah kepada pihak yang belum dinamakan lagi. Katanya, dokumen itu diperolehi selepas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia, diserbu pihak berkuasa melalui Akta Kebebasan Maklumat. "Proses bayaran tidak dibuat secara terus, sebaliknya dilakukkan melalui sebuah syarikat iaitu Gifen yang berpangkalan di Malta. Tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan kerajaan Perancis mengesan pembayaran itu," jelasnya. Sebelum ini, laman web Rue89 mendedahkan, sebanyak 114 juta Euro yang menjadi komisen dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dibayar kerajaan Malaysia, bukannya Armaris, sebuah syarikat di Perancis. Baru-baru ini pula, Rue89 juga mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar kepada Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri. Laporan itu dibuat berdasarkan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berjalan di Perancis sekarang. Perimekar adalah syarikat kepada rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda, manakala pemegang saham majoriti syarikat itu pula ialah isteri Razak, Mazlinda. Razak Baginda terlepas dari sabitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang menjadi perantara pihak Malaysia dan Perancis. Altantuya dikatakan datang ke Malaysia untuk menuntut bahagiannya dalam perniagaan antara Malaysia dan Perancis sebagai perantara kerana dia adalah penterjemah yang dijanjikan bayaran untuk khidmatnya itu. Sebaliknya, wanita warga Mongolia itu mati dibunuh dan badannya diletupkan dengan peledak C4 di Puncak Alam yang bukan sahaja menggemparkan seluruh negara, tetapi juga Perancis dan seluruh dunia. Razak dan dua anggota polis pengiring yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat Perdana Menteri didakwa tetapi mahkamah membebaskan rakan karib Najib itu. Menurut Cynthia, kejadian tersebut tetap menjadi tanda tanya pelbagai pihak sejak mula tercetus sehingga sekarang, manakala kes itu juga masih terus dibicarakan di mahkamah Perancis hingga sekarang. Katanya, rakyat Malaysia yang turut mengikuti perbicaraan kes itu di Perancis menjadi bertamba hairan dengan penemuan demi penemuan membabitkan pembayaran-pembayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia berhubung pembelian kapal selam itu, memandangkan ia dinafikan keras oleh Kabinet Najib sebelum ini. |
Bagaimana kempen kesihatan dijalankan? Posted: 06 Jun 2011 05:00 AM PDT S M Idris Rakyat Malaysia tidak mengubah gaya hidup mereka dengan drastik walaupun berjuta ringgit dibelanjakan oleh kerajaan untuk menarik mereka dengan kempen kesihatan. Adakah rakyat Malaysia bersikap endah tak endah dan menyalahkan sepenuhnya ketidakberkesanan pelbagai usaha kempen kesihatan yang dilakukan serta wang pembayar cukai yang digunakan untuk kempen ini dibazirkan? Kerajaan dan rakyat tidak seharusnya terkejut dengan pendedahan baru-baru ini bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM500 juta untuk kempen kesihatan oleh Kementerian Kesihatan sejak 1980-an tidak menghasilkan perubahan gaya hidup yang diperlukan. Pendek kata, ini bermakna mesej itu sama ada tidak mencapai sasaran rakyat Malaysia atau tidak mempunyai kesan yang diperlukan untuk memotivasikan mereka untuk mengubah hidup mereka. Sebelum kita meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu rakyat, kita perlu meneliti setiap sudut berjuta ringgit yang dibelanjakan untuk kempen kesihatan terhadap pengiklanan dan naungan terhadap perbadanan multinasional yang menghasilkan produk yang disasarkan. Kempen kesihatan hanya berkesan jika terdapat usaha bersepadu kerajaan dan tidak 'disabotaj' oleh kementerian lain yang emberikan sokongan kepada pengiklanan, promosi, dan penanaman produk ini. Kita semua sedia maklum dengan kempen 'Tak Nak' dengan belanja RM100 juta yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada awal 2004 dengan aspirasi untuk menghasilkan persekitaran bebas merokok di pejabat dan premis kerajaan. Banyak perkara yang menjadi halangan kepada kejayaan kempen ini. Salah satu daripadanya ialah Malaysia menjadi tuan rumah pameran dan persidangan perdagangan tembakau terbesar pada tahun berikutnya (2005) selepas pelancaran, dengan saranan Kementerian Kesihatan supaya melarang acara itu ditolak oleh pengaruh politik. Wakil yang dilantik oleh kita dan peminpin serta pegawai kerajaan terus mempersendakan cadangan persekitaran bebas merokok di bangunan kerajaan dengan merokok dalam ruang pejabat berhawa dingin dan di lobi Parlimen serta bangunan dewan negeri. Golongan belia pula sentiasa terdedah kepada nama jenama rokok melalui syarikat tembakau yang menaja acara terkenal seperti bolasepak, badminton, dan konsert. Bagaimana orang ramai menerima langkah kerajaan dengan serius apabila pendirian antimerokok Kementerian Kesihatan tidak disokong, terang-terangan atau terbuka oleh pihak kementerian, agensi dan pemimpin lain. Mesej yang memihak kepada perokok lebih kuat dan jelas, memandangkan tembakau dipromosikan secara agresif melalui apa yang dikaitkan dengan kecemerlangan sukan dan penanamannya digalakkan secara aktif oleh kerajaan. Syarikat tembakau kekal sebagai pengiklan utama di Malaysia. Mereka mampu untuk bebas daripada peraturan pengiklanan dengan memperkenalkan aksesori, pakaian dan produk lain dengan nama jenama mereka. Syarikat tembakau berjaya menarik minat remaja dan belia dengan mengaitkan rokok dengan acara sukan utama, konsert dan produk yang mempunyai kepentingan kepada kumpulan sasaran ini. Kira-kira 50% lelaki Malaysia dan kira-kira 30% remaja lelaki (12 – 18 tahun) merokok. Wanita dan perempuan Malaysia juga semakin ramai yang mengamalkan tabiat merokok ini. Kemudian terdapat pula Kempen Hidup Sihat yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 1991, diikuti oleh kempen untuk mengurangkan gula pada lewat 1990-an serta Kempen "Kurangkan Gula" yang dilancarkan pada Mac 2010. Kempen ini adalah untuk memastikan orang ramai mengamalkan pemakanan yang sihat, mengurangkan pengambilan gula mereka, senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), makanan dan diet menyumbang kepada kesihatan individu. Di Malaysia, pengambilan gula jauh melebihi pengambilan harian yang disarankan iaitu tidak lebih daripada 50 gram atau bersamaan 10 sudu teh sehari – daripada WHO dan Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2010. Pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia sebenarnya semakin tinggi setiap tahun. Perangkaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan jumlah pengambilan gula oleh rakyat Malaysia 71.5 gram sehari pada 2002, meningkat kepada 75.6 gram sehari pada 2007. Pengedaran gula tempatan juga meningkat daripada 651,973.12 tan metrik pada 2004 kepada 806,381.88 tan metrik pada 2009. Pengambilan gula yang tinggi boleh membawa kepada karies gigi, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Pada 1996, 16% rakyat Malaysia yang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan 4% obes, dan ini meningkat kepada 29.1% berat berlebihan dan 14% obes pada 2006. Obesiti meningkatkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Kempen bagi mengurangkan gula dan pemakanan sihat kelihatan ditentukan pendekatannya hanya oleh sebuah agensi kerajaan, yang dibiarkan sendiri mengendalikan masalah obesiti yang semakin berkembang dalam kalangan kanak-kanak. Kita hanya melihat sokongan daripada Kementerian Pelajaran hanya baru-baru ini dengan cadangan garis panduan yang lebih tegas terhadap makanan yang tinggi kandungan gula atau snek yang dijual oleh pengendali kantin dan di luar kawasan sekolah. Oleh sebab itu, adalah tidak mengejutkan Malaysia menduduki tempat utama di Asia Tenggara, ke enam di Asia dan ke 39 di dunia bagi obesiti, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh WHO. Kita juga menduduki tempat ke tujuh di Asia dan ke 44 di dunia bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan. Obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa Malaysia juga semakin meningkat. Ia jelas menunjukkan kempen kesihatan kita tidak sejajar dengan promosi kos tinggi, agresif oleh syarikat minuman dan makanan yang kaya dengan gula serta syarikat makanan segera. Terdapat budaya makanan segera yang dicipta daripada kalangan anak-anak kecil kita, yang diburukkan lagi oleh makanan dan snek yang tidak sihat yang dijual di kantin sekolah. Kerajaan perlu bertindak sekarang, bertindak secara bersepadu dan bertindak dengan satu tujuan untuk membawa perubahan kepada minda rakyat Malaysia dan memastikan mereka melaksanakan gaya hidup sihat, dengan membuang tabiat merokok, mengambil alkohol serta pemakanan yang tidak seimbang. Semua agensi kerajaan mestilah bekerjasama untuk kepentingan rakyat sebagai ganti menutup mata, terus mendiamkan diri atau memberikan sokongan mereka kepada syarikat yang melakukan kesalahan dengan menghentikan penajaan korporat mereka. Kita perlu ingat bahawa "Kesihatan itu Kekayaan". Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak ementerian kerajaan persekutuan menunjukkan barisan bersatu dan melaksanakan kempen yang serius dan selaras serta disokong oleh kawalan dan peraturan yang lebih tegas. Jika tidak, tindakan kempen tidak akan membuahkan hasil dan akan hanya membazirkan wang memandangkan langkah Kementerian Kesihatan dipintas oleh kebanyakan, jika tidak semua, oleh kementerian lain. Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa terdapat bahaya sebenar dan mereka mestilah diyakinkan untuk mengubah tabiat dan gaya hidup mereka, oleh niat baik kerajaan. Mestilah terdapat dasar dan perundangan pencegahan yang tegas, bukannya separuh hati yang akan gagal dan akan tidak diendahkan. S. M. Mohamed Idris Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang |
Melayu Lembah Kinrara tetap bersama DAP Posted: 06 Jun 2011 04:35 AM PDT Harakahdaily PUCHONG, 6 Jun: Ahli DAP Lembah Kinrara yang disertai oleh orang Melayu menafikan mereka keluar parti itu dan menyertai Umno. Menurut pengerusi baru DAP cawangan itu, Azhar Shapawi , hanya beberapa orang sahaja iaitu keluarga dan rakan terdekat bekas pengerusi DAP cawangan Lembah Kinrara, Pak Harun bin Abdul Wahab yang menyertai Umno. "Saya bersama dengan rakan-rakan Melayu DAP di Lembah Kinrara ingin menegaskan bahawa kami langsung tidak pernah dimaklumkan tentang penyertaan kami ke dalam UMNO, dan kami merasa hairan kenapakah Pak Harun bin Abdul Wahab mengheret kami tanpa kebenaran dan pengetahuan kami," kata Azhar Shapawi dalam kenyataan medianya. Mengikut siasatan beliau, hanya beberapa ahli sahaja yang menjejaki Pak Harun untuk menyertai Umno, iaitu keluarga dan beberapa kawan terdekatnya, tetapi kami yang lain masih kekal keahlian kami di dalam DAP. Selepas berita tentang Pak Harun keluar daripada DAP disebarkan, ia sebaliknya telah menarik lebih ramai orang kampung di Lembah Kinrara untuk menyertai DAP, katanya. Ini menunjukkan ramai orang kampung memang tidak setuju dengan pendirian bekas pengerusi Cawangan Lembah Kinrara ini. Ramai orang Melayu di Kg Lembah Kinrara memang tidak ada masalah dengan YB Teresa Kok dan juga DAP, dakwa beliau. Mengikut laporan akhbar, Pak Harun berkata tidak ada sebarang peruntukan diberikan kepada Kampung Lembah Kinrara dan YB Teresa Kok tidak memberi bantuan kepada orang kampung. "Ini adalah kenyataan yang tidak benar kerana Teresa Kok memang pernah turun padang ke kampung kami dan prihatin dengan keadaan Kampung Lembah Kinrara," katanya. Menurut Azhar, Di antara program yang Teresa Kok pernah anjurkan untuk orang Kg Lembah Kinrara termasuk:- * 1. Majlis Berbuka puasa di Kg Lembah Kinrara * 2. Sambutan Hari Raya dan sumbangan kepada warga emas dan orang-orang miskin * 3. Sumbangan buku latihan sekolah(600 naskah buku) sempena program ' Back to School' * 4. Seminar Keusahawanan untuk orang Melayu dari Kg Lembah Kinrara dan Puchong di Bukit Jalil Golf Club * 5. Tuisyen Percuma kepada pelajar SPM di Lembah Kinrara * 6. Bantuan Skim Mikrokredit untuk peniaga kecilan (11 orang daripada Kg Lembah Kinrara mendapat bantuan ini termasuk Harun sendiri * 7. Sumbangan kepada ibu-ibu tunggal sempena Hari Ibu Selain daripada program di atas, katanya, Teresa Kok juga telah membaikpulih longkang yang telah roboh di Kg Lembah Kinrara demi mengelakkan banjir. |
Nazri Aziz Gelabah Dengan Pimpinan Baru PAS Posted: 06 Jun 2011 02:58 AM PDT Nazri: Dengan jadikan PAS kuat, impian Hadi maju jadi PM Oleh Clara Chooi KUALA LUMPUR, 6 Jun — Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberi PKR dan DAP peringatan mengenai imej liberal yang hendak dibawa PAS sambil menegaskan, presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercita-cita mahu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti dari Pakatan Rakyat. Berkongsi analisis beliau berhubung pemilihan PAS yang diadakan akhir minggu lalu, ahli Majlis Tertinggi itu berkata, trend baru muncul di parti Islam konservatif itu — nafsu baru untuk berkuasa. Kata Nazri, permainan politik baru kepimpinan PAS bertujuan mahu mengubahsuai imej Islamnya agar ia kelihatan dapat diterima oleh bukan Islam dan seterusnya menjadi parti yang kuat dalam Pakatan Rakyat, mengatasi kedudukan PKR dan DAP. Sehubungan itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, kebangkitan PAS akan membawa kepada pergolakan kuasa dalam Pakatan Rakyat semasa pilihan raya umum akan datang kerana mereka akan cuba untuk mengatasi satu sama lain untuk mendapatkan perwakilan besar dalam Parlimen. "Sudah pasti, mereka akan bertelagah. Saya fikir Hadi sedar bahawa ada peluang bagi beliau untuk menjadi pemimpin Pakatan Rakyat," katanya lagi. "Jika beliau berfikir bahawa beliau boleh menawan Putrajaya, maka beliau mahu menjadi perdana menteri. Itu sebabnya beliau memaksa parti itu mengubah imej sebab beliau tahu bahawa Anwar berada dalam masalah dan PAS mahu menjadi parti yang kukuh dalam Pakatan Rakyat," kata Nazri pada sidang media di sini hari ini. |
Kemenangan Erdogan ‘untungkan’ Hadi, bukan Anwar Posted: 06 Jun 2011 02:54 AM PDT Oleh Shannon Teoh KUALA LUMPUR, 6 Jun — Meskipun kumpulan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menguasai kepimpinan pusat PAS, kini barisan pimpinan sekular beliau dilihat berhadapan dengan ancaman daripada lapisan tengah yang akan menerajui parti Islam itu dalam pilihan raya umum akan datang. Pemimpin-pemimpin Erdogan - rujukan kepada Perdana Menteri Turki Recep Erdogan yang rapat dengan Anwar - menguasai kerusi timbalan presiden dan naib presiden serta 12 daripada 18 kerusi ahli jawatankuasa kerja yang dipilih. Dalam ucapan penggulungannya semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, barisan kepimpinan pusat PAS sesi 2011-2013 bukan kumpulan Erdogan sebagaimana dilabel musuh-musuh politiknya ketika setiap kali diadakan pemilihan. Sebaliknya Presiden PAS itu berkata, "ini adalah pasukan (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) dan Abdul Hadi Awang." "PAS adalah parti Islam, parti AKP bukan parti Islam. Ini Malaysia, bukan Turki," kata Presiden PAS itu yang dilihat merujuk kepada label-label bahawa PAS kini dikuasai oleh kumpulan profesional atau Erdogan ekoran keputusan pemilihan pusat parti yang berlangsung Jumaat lalu. Penganalisis-penganalisis dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menjangkakan peranan PAS yang lebih "bersifat dominan" dalam perikatan tiga komponen Pakatan Rakyat. PAS, rakan junior di Parlimen, kini disebut-sebut membuat persiapan untuk mengambil alih kedudukan PKR dalam menerajui ke arah Putrajaya. "Ia adalah kepimpinan yang sudah bersedia untuk peranan lebih dominan dalam Pakatan. "Sebuah PAS yang kuat dalam Pakatan adalah baik bagi Hadi, bukannya Anwar," kata ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad, antara pemimpin dilabel Erdogan, kepada The Malaysian Insider. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin berpengaruh, menyokong kepimpinan Anwar dalam Pakatan Rakyat. Nik Aziz sendiri menyifatkan Mohamad Sabu, timbalan presiden yang baru sebagai enjin, manakala Hadi pula sebagai pemandu dan "kami semua penumpang" dalam usaha menuju ke Putrajaya. Pakar strategi DAP Liew Chin Tong berkata, ucapan dasar Hadi yang menekankan pendekatan negara berkebajikan akan diterima baik oleh khalayak Melayu berbanding agenda negara Islam. "Sejak 12 tahun lalu, PAS bekerja keras untuk memperdanakan kedudukannya," kata Ahli Parlimen Bukit Bendera ini kepada The Malaysian Insider yang mengibaratkan tindakan PAS ke tengah sebagai pendekatan Parti Buruh Britain yang memperkenalkan pergerakan "Buruh Baru" pada 1997. Penganalisis politik Khoo Kay Peng juga bersetuju bahawa PAS kini lebih kredibel di kalangan orang Melayu berbanding PKR. "PKR perlu melakukan sesuatu. Bukan Melayu kini melihat ke arah DAP dan orang Melayu kepada PAS," katanya. Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengakui bahawa akan ada sahaja masalah "apabila kami berusaha melebarkan" kedudukan. "Tetapi ini adalah masa bagi kami untuk bertindak sebagai parti nasional perdana," katanya lagi. |
SU Majlis Syura: Pengaruh ulama dalam PAS tidak terhakis Posted: 06 Jun 2011 02:51 AM PDT Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 6 Jun — Dewan Ulama tidak sama sekali kecewa dengan keputusan pemilihan pusat PAS, yang disifatkan sebagai penguasaan besar oleh pemimpin kumpulan profesional, kata Ketua Penerangannya PAS Nik Zawawi Nik Salleh. "Tidak, tidak kecewa. Saya (juga) sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama melihat ulama ada peranan (dalam membuat keputusan akhir), ahli jawatankuasa kerja pusat, dia (mereka) ada peranan kepada parti," kata Nik Zawawi ketika ditemui The Malaysian Insider. "Pemilihan ini tidak (sama sekali) menggambarkan yang kepimpinan ulama diketepikan," katanya lagi. Sehubungan itu kata beliau, Dewan Ulama tidak menganggap bahawa peranan kumpulan ulama sudah terhakis ataupun disingkirkan. "Itu tidak benar. Sebab, ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih melalui suara ramai... ulama ada kelebihan sebab Dewan Ulama seratus peratus pemimpin (berlatarbelakangkan) agama dan begitu juga Majlis Syura Ulama, yang dilihat menentukan perjalanan parti, semuanya ulama," kata beliau yang turut dicalonkan bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak menerima pencalonan. Pemilihan pusat melibatkan persaingan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa kerja pusat. Presiden boleh melantik enam lagi ahli jawatankuasa kerja pusat. Daripada yang dipilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 12 ahli jawatankuasa kerja pusat dianggap sebagai pemimpin kumpulan profesional. Dewan Ulama menyaksikan juga pemilihan bagi ketua, timbalan dan naib ketua serta 12 ahli jawatankuasanya. Sementara sayap Dewan Pemuda PAS menyaksikan penguasaan kumpulan ulama di peringkat jawatan teratas, Dewan Muslimat pula dilihat dipimpin golongan profesional. Kata Nik Zawawi, bilangan enam orang dalam ahli jawatankuasa kerja pusat, dari latar belakang ulama, sebenarnya sudah cukup. Jelas beliau, barisan ahli jawatankuasa kerja pusat baru ini, yang akan membantu parti menghadapi pilihan raya umum ke-13, adalah "pasukan terbaik." "Kita rasa ini ahli jawatankuasa yang terbaik setakat ini, kerana sesuai dengan keadaan dan dalam kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat," katanya. "Ya, memang... boleh membantu Pakatan Rakyat," katanya. |
Implikasi Pemilihan Golongan Liberal Terhadap Pas Posted: 05 Jun 2011 09:00 PM PDT Oleh A kadir Jasin SEJAK dulu lagi, saya berpegang kepada pendapat bahawa Pas adalah parti phttp://media1-cdn.malaysiakini.com/369/952c06253282c57c41c7a417898789b3.jpgolitik. Dan hal ini saya nyatakan berulang kali dan tulisan dan kenyataan lisan saya. Berbeza daripada pergerakan Islam yang berkecuali dan non-partisan, Pas, awal dan akhir, adalah perjuangan politik partisan.Justeru itu, Presidennya, Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulamanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah ahli politik. Hakikat bahawa mereka ulama adalah kebetulan dan bukan hal pokok. Kerjaya harian mereka ada sebagai ahli politik. Di Malaysia, bukan mereka sahaja ulama. Ada ramai lagi ulama, tetapi mereka tidak terkenal dan tidak menjadi idola kontemporari kerana kegiatan harian mereka tidak banyak mendapat pendedahan media. Hari ini, ahli politik bukan sekadar pemimpin masyarakat, tetapi juga selebriti. Mereka sama naik dengan bintang filem dan dikenali bukan semata-mata kerana mereka berwibawa, tetapi tidak kurang pula kerana mereka popular. Kalau diikut pengertian lama dan semantik asal, seseorang atau sesuatu yang popular tidak semestinya berwibawa dan bermutu. Politik dulu kala membezakan antara pemimpin popular dengan yang berwibawa. Jadi saya tidak melihat keputusan pemilihan pucuk pimpinan Pas bagi tempoh 2011-2013 sebagai luar dugaan. Namun saya tidak menolak pemilihan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden sebagai perkembangan menarik. Hakikat beliau mengalahkan penyandang, Nasharuddin Md Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man adalah penting. " Dalam sistem pemberian nama (nomenclature) Pas, Nasharuddin dan Tuan Ibrahim adalah "ustaz" manakala Mohamad Sabu hanya "haji" biasa. Nasharuddin dan Tuan Ibrahim dilihat oleh kawan dan lawan sebagai berwibawa, tetapi Mohamad Sabu tidak syak lagi seorang yang popular. Dalam litar ceramah politik, beliau adalah selebriti – pemidato hebat yang boleh membuat khalayak gelak terbahak-bahak sampai senak perut dengan kelucuannya. Berikanlah apa pun tajuk, beliau boleh memintalnya menjadi parodi. Mungkin gabungan Abdul Hadi, seorang "tuan guru" mengikut "nomenclature" Pas, Mohamad Sabu seorang "haji" biasa dan Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang "tok guru" di tangga tertinggi kepemimpinan parti itu menjadinya lebih "lengkap" berbanding kepemimpinan di mana semua jawatan tertinggi dipegang oleh "ustaz". Mungkin benar kata Mohamad Sabu selepas kemenangannya bahawa kepemimpinan baru Pas berharap dapat membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menjinakkan lagi orang bukan Islam terhadap Pas. Namun begitu, adalah kurang tepat melabelkan golongan bukan ulama ini sebagai "Erdogan". Malah bercanggah langsung dengan Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyib Erdogan. Dalam politik sekular Turkey yang menyekat kebebasan Islam, Erdogan ada reformis Islam. Dia mencabar dasar sekular dan mahu Islam memainkan peranan lebih penting. Rasa-rasanya, pendirian Erdogan lebih mirip kepada para ulama Pas, sedangkan Mohamad Sabu dan tiga naib presidennya – Salahuddin Ayub, Husan Musa dan Mahfuz Omar – adalah "reformis" yang cuba menonjolkan imej moden, terbuka dan bertoleransi. Soalnya, sejauh manakah pemilihan Mohamad Sabu dan kekalahan Nasharuddin serta penyertaan lebih ramai pemuka muda aliran bukan agama akan mempengaruhi dasar dan pendekatan Pas? Dasar pokok Pas daripada aspek deklarasi seperti Islam, Syariah, Hudud dan Negara Islam tidak akan berubah. Ini adalah lambang yang memberikan legitimasi kepada kelangsungan Pas sebagai parti Islam. Tetapi pendekatannya telah dan akan terus berubah. Pas akan mengekalkan slogan Negara lslam tetapi akan berdolak-dalik mengenainya bergantung kepada suasana politik, tempat dan masa. Di permulaan muktamar yang baru berakhir, Abdul Hadi berkata masanya belum tiba bagi melaksanakan Negara Islam. Justeru itu, apa yang lebih menonjol daripada keputusan pemilihan Pas ialah bagaimana barisan baru itu melaksanakan rancangan dan pendekatan jangka pendek dan sederhana, khasnya bagi menghadapi pilihan raya umum. Imej liberal Pas boleh membantu parti itu berdialog dan seterusnya bekerjasama dengan DAP tanpa terlalu bergantung kepada peranan PKR sebagai orang tengah. Jika ini menjadi kenyataan, ia akan memberi kesan besar kepada bila PRU akan datang diadakan dan bagaimana parti-parti yang mengambil bahagian akan mengatur strategi masing-masing. Tiada siapa boleh menafikan yang "pembebasan" kepemimpinan Pas daripada monopoli golongan ulama telah dan akan terus mengubah persepsi umum terhadap parti itu. Malah sudah terdengar cakap-cakap bahawa Pas sudah hampir menyerupai Umno dan kaukus Melayu PKR. Ini akan memberi kesan langsung kepada parti-parti yang bergantung kepada undi Islam/Melayu dan kepada kerjasama antara parti dalam kerangka politik pelbagai kaum Malaysia. Kelebihan kepemimpinan bukan ulama Pas ialah mereka mempunyai sistem dan keupayaan "out-reach" yang lebih luas. Dengan itu, mesej mereka boleh sampai kepada audiens yang lebih besar dan pelbagai. Itulah peluang mereka dan itulah juga cabaran kepada lawan-lawan mereka. http://kadirjasin.blogspot.com |
Posted: 05 Jun 2011 08:00 PM PDT Oleh Wan Nik Wan Yusof Sudah acap kali dibicarakan persoalan masa depan PAS. Ia berlaku pada setiap kali ada agenda besar yang diketengahkan oleh parti Islam yang usianya melewati setengah abad ini. Namun, titik fokus popular ialah poin pilihan raya umum. Ia adalah kerana pilihan raya umum menjadi urusan rutin mengikut penggal yang dihitung berlaku setiap lima tahun sekali. Maka pilihan raya umum ke-13 nanti merupakan salah satu poin penting untuk dibina dan diolah dalam Muktamar PAS ke-57 ini. Mengiringi poin pilihan raya umum, semestinya pemilihan saf kepimpinan baru untuk penggal menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Ini berikutan ahun ini, pihak parti terpaksa memperbaharui semula urusan kepimpinan parti kerana ia adalah kehendak perlembagaan parti. Sesuai dengan kehendak perlembagaan jugalah, maka semua peringkat organisasi parti (cawangan, kawasan, dewan peringkat kawasan dan negeri) telah melakukan muhasabah dan pengukuhan kepimpinan masing-masing. Justeru, tugas pemilihan kepimpinan PAS di semua peringkat itu telah selesai serta berlaku pemilihan kepimpinan dewan peringkat pusat dan peringkat tertinggi, PAS Pusat. Kepimpinan mesra parti Apabila meletakkan titik fokus popular ialah pilihan raya umum sebagai wajah yang diharapkan dipilih menduduki saf kepimpinan PAS di peringkat Pusat, sudah tentu sifat kepemimpinan itu ada pada setiap individu pemimpin PAS. Terutama di kalangan pemimpin yang sudah menyatakan persetujuan menawar diri untuk dipilih oleh lebih daripada 1,000 perwakilan muktamar nanti. Apa pun, di sebalik penampilan lebih daripada 60 nama yang sudah bersifat kepemimpinan tersebut. Di sebaliknya perlu ada satu saringan dan pertimbangan pihak perwakilian agar individu yang bakal dipilih hendaklah mereka yang sebenarnya bertaraf kepimpinan mesra parti. Taraf kepimpinan mesra parti harus menjadi keutamaan kerana ia dikira lebih sesuai dengan misi titik fokus pilihan raya. Justeru, kepimpinan mesra parti dilihat dapat membawa dasar dan persetujuan parti merapati dan meraih sokongan rakyat ke arah mencapai kemenangan pilihan raya. Maka, apabila menghalusi misi tersebut sifat kepemimpinan yang relevan ialah individu pimpinan yang benar-benar menguasai dasar parti dan prinsip pilihan raya, memahami selera dan cita rasa semua lapisan rakyat dan sanggup serta berupaya menterjemahkan antara kehendak parti dengan cabaran politik pilihan raya bersama Pakatan Rakyat. Rangkuman sifat yang relevan inilah, ia memerlukan pandangan tuntas (rasional) para perwakilan. Pandangan tuntas itu seharusnya berpandukan kaedah saringan dan pertimbangan mana satu pemimpin yang sebenarnya membawa gaya pimpinan yang berkesan agar pada dirinya terjelma sifat seorang pemimpin 'al-amin.' Pemimpin al-amin Rujukan mutlak dan sempurna atas sifat pemimpin al-amin ialah apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda seorang yang bersifat Sidik(selalu benar), Amanah (dipercayai), Fatanah (bijaksana) dan Tablig (berani menyampaikan). Justeru itu Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya mengubah sistem masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat yang sejahtera berdasarkan ajaran Islam yang maha suci. Meskipun demikian, sifat al-amin pada Nabi s.a.w adalah mendapat pengiktirafan lebih awal sebelum baginda diangkat oleh Allah sebagai nabi dan rasul. Sebagaimana kisah masyhur, tatkala baginda terpilih menjadi hakim dalam menyelesaikan pertelingkahan pelbagai puak di Makkah dalam meletakkan batu hajarul aswad pada Kaabah. Sifat al-amin Nabi itu terserlah apabila baginda meletakkan batu itu di atas selembar kain lalu disuruh ketua bagi semua puak yang bertelingkah itu memegang setiap tepi kain, lalu diangkat bersama-sama batu itu dan diletakkan pada Kaabah. Di sebalik tindakan Nabi s.a.w yang al-amin (diterima baik) itu, terserlah sifat pimpinan yang sidik, amanah, fatanah dan tablig. Maka dalam konteks kepimpinan mesra parti, kandungan al-amin itu haruslah dijadikan panduan untuk diikuti dan diamalkan. Oleh itu, setiap pemimpin PAS sewajarnya tidak kekok, sebaliknya sentiasa segar dengan imej al-amin. Pimpinan pilihan raya Melengkapi sifat kepimpinan mesra parti ialah seseorang pimpinan PAS yang dipilih seharusnya layak memenuhi kehendak pimpinan pilihan raya. Ia bermaksud, selain ia seorang yang layak dipilih sebagai calon pilihan raya, semestinya juga mempunyai kredibiliti membawa dasar parti ke tengah gelanggang masyarakat dan kerajaan. Kemudian ia hendaklah mempunyai jiwa pengorbanan tinggi bagi meraih kemenangan dan sedia menjaga kemenangan sekiranya menang serta sentiasa segar sekiranya berdepan dengan keadaan belum mencapai kemenangan. Apa yang utama, kepimpinannya sentiasa menyerlahkan nilai-nilai kebaikan, kebajikan dan ketakwaan berterusan demi keutuhan perjuangan parti. Sedikit daripada pengalaman para pimpinan PAS di Kelantan adalah antara sedutan perjalanan kepimpinan yang harus dilihat. Tatkala menempah kekalahan teruk 1978, mereka membina dan mengolah kesepaduan. Berkatnya sumbangan kawan-kawan seperjuangan, mereka bangkit dan mencapai kemenangan 1990. Begitu pula, ketika berhadapan dengan kegetiran kuasa akibat menang tipis 2004, berapa ramai mereka yang bertaraf pimpinan pilihan raya terus gah mempertahan prinsip, meskipun diasak dengan pelbagai sogokan pihak Umno. Berkat daripadanya, mereka terus menang dan berupaya mempertahan kuasa pada pilihan raya umum 2008. Ia pastinya kejayaan PAS di Kelantan itu boleh dijadikan kaedah saringan dan pertimbangan untuk semua perwakilan membina dan mengolah masa depan PAS agar terus segar memnuhi harapan umat. Semoga Muktamar PAS ke-57 bakal merenjis titisan emas yang bakal menaikkan lagi sumbangan dan memenuhi harapan mengharungi arus kebangkitan rakyat. Maka, pilihan raya umum ke-13 terus bermaya dan mampu dipacu oleh saf pimpinan baru PAS selepas muktamar nanti. |
Buku Jingga Siswa dan kebudayaan–Kesusasteraan pelajar Posted: 05 Jun 2011 07:00 PM PDT Oleh H FANSURI Salam revolusi buat penyair dan pengarang muda. Tanggal 28 Mei lalu, beberapa mahasiswa berkumpul di sebuah dewan Petaling Jaya yang berdekatan Amcorp Mall. Pertemuan itu dibuat bertujuan merangka Buku Jingga Mahasiswa. Ia adalah rangkuman harapan baru siswa kepada Pakatan Rakyat kalau pakatan ini berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang. Mereka berbicara mengenai sudut kebajikan, kewangan, PTPTN, Auku, Autonomi Universiti dan lain-lain perkara yang bersangkutan. Semua ini sudah pun biasa didengari bagi mereka yang memang aktif dengan pergerakan mahasiswa ini. "Siswa itulah yang sepatutnya diangkat menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar," kata salah seorang daripada mereka ketika saya kendalikan majlis perbincangan yang dibuat secara berkumpulan itu. "Perlu juga ada wakil siswa di Parlimen, malah perlu dilantik wakil siswa di Dewan Negara." Dan, banyaklah lagi idea-idea termasuk bahan fikiran yang sangat tajam, bernas lagi radikal yang dikemukakan lewat perbincangan dalam setengah hari itu. Mereka juga berani membidas sikap MB Kedah yang tidak peka dan kurang peduli terhadap isu penggantungan para pelajar kolej Insaniyah, Alor Setar. Sikap berani itu sungguh terpuji. Bagaimanapun, saya menyedari ada suatu lompang yang boleh ditampung lagi. Iaitu, betapa perlunya siswa-siswa yang bergiat dalam lapangan kebudayaan dan kesusasteraan di IPT turut dilibatkan dalam perbincangan itu. Anda boleh kemukakan beberapa syor dan cadangan untuk memartabatkan kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan pelajar juga. Perbincangan tentang 'Buku Jingga Mahasiswa' itu akan dibuat dalam beberapa zon lagi - utara, selatan dan pergerakannya akan menghala kepada beberapa buah negeri yang terpilih nanti. Maka, semoga pihak penganjur dan mahasiswa yang terlibat dengan kebudayaan dan kesusasteraan dapat juga menghadirinya nanti. Kebetulan, keesokannya (29 Mei) adalah tarikh kematian seniman agung Tan Sri Dr P Ramlee. Maka, saya terbaca kenyataan P Ramlee tentang keperluan anak-anak muda diakrabkan dengan lagu-lagu Melayu tradisi supaya ianya menjadi penampan terhadap serangan kebudayaan lagu-lagu Barat dari luar. "Jika tak diperluaskan lagu-lagu Melayu tradisi ke atas anak-anak muda ini, maka saya bimbang dalam 10 ke 20 tahun lagi, anak-anak muda kita ini akan terpengaruh dengan kuatnya ke atas lagu-lagu Barat ini," kata-kata tokoh seniman agung itu dipetik daripada History Channel di Astro. Maka, bertolak daripada bahan pemikiran tokoh seniman agung ini, saya tertanya-tanya juga kepada para mahasiswa yang bergiat dalam lapangan seni dan kebudayaan IPT, adakah mereka akan berjuang memartabatkan lagu-lagu Melayu tradisi sebagaimana yang disentuh oleh tokoh itu? Mungkin siswa yang bergiat dalam lapangan kebudayaan di IPT ini boleh menaruh beberapa isi pemikiran mereka dalam buku jingga mahasiswa ini? Terhadap badan-badan mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan kesusasteraan pula, adakah mereka mahu menghidupkan tradisi bedah puisi di kampus seperti mana yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa Indonesia. Ini adalah suatu budaya baru yang boleh dikembangkan di IPT Malaysia jikalau mereka ada kesungguhan. Sudut-sudut pidato yang tersedia mungkin boleh dimanfaatkan dengan acara deklamasi sajak juga. Semua bahan perbincangan mahasiswa budaya dan mahasiswa sastera ini mungkin boleh dibawa ke dalam buku jingga mahasiswa itu dengan harapan ia boleh terlaksana dengan baiknya ketika Pakatan Rakyat berhasil memuziumkan Barisan Nasional kelak. Akhirul kalam. Biarlah dokumen buku jingga mahasiswa ini turut merakamkan juga keterlibatan dan kemahuan mahasiswa daripada seluruh bidang, tidak hanya mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan politik kepartian kampus sahaja. Sekian dengan itu, mahasiswa sekalian. Bersatulah kita mengguling BN! |
Kad pengenalan haram: Usaha menidakkan kuasa rakyat Posted: 05 Jun 2011 06:00 PM PDT Oleh MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH SAYA segera bersetuju dengan kenyataan Tuan Mohamad Sabu (Harakah 27- 29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanah air yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar. Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihan raya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu dengan menggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat. Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh di dalam sempadan negaranya. Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar. Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia: 1. warganegara Malaysia; 2. berumur tidak kurang dari 21 tahun pada kelayakan; 3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan 4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar. Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk mempastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendukung keutuhan agama. Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil daripada 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh). Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan "Bai'ah." Jika zaman Rasulullah, bai'ah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudian menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihan raya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya mengkehendaki sistem pilihan raya menggantikan undi bai'ah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah. Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru, Dr Yusof Al-Qaradhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih. Namun, hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perlaksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi "syok sendiri." Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari? Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980-an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian K/P kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek K/P segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir. Selepas kes K/P palsu dilaporkan sekitar 1990-an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir. Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru. Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk membantu kawasan BN. Kini, didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta "jasa baik" menteri supaya membawa masuk "bakal pengundi" terutamanya pemastautin tetap (PR - Permanent Resident) sebanyak 2,000 orang. Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu. Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN. Beri K/P kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri. Ketua Penerangan Pemuda PAS Gopeng 2011 |
Pemilihan PAS teladan untuk Umno Posted: 05 Jun 2011 05:00 PM PDT Oleh Ibnu Khalid Jurait Semua sudah maklum, Mohamad Sabu adalah timbalan presiden PAS sekarang. Adakah pimpinan ulama diketepikan? Tidak, sebab jumlah undi untuk calon ulama yang kalah melebihi undi Mat Sabu. Walaupun presiden PAS dan media arus perdana menggambarkan keputusan pemilihan ini cenderung kepada pasukan petugas pilihan raya umum, saya melihatnya daripada perspektif lain. Sejak sekian lama Mat Sabu ini bergelumang dengan rakyat marhaen, turun padang, ceramah di celah pokok pisang yang sejuk dan tidak seperti 'katak' yang melompat parti. Beliau setia dengan parti. Agaknya kalau ditoreh lengan beliau, darah yang menitis di lantai membentuk bulatan logo PAS! Beliau juga tidak kekok menyusuri ceruk kampung, padang berpacat dan sungguh profesional bersangka baik dengan polis. Bahkan boleh bermesra dan senda gurau dengan mereka jika bersua di mana-mana pun! Memang dia pemimpin sesuai untuk semua lapisan rakyat, cuma tidak bertopi ulama. Itu sahaja. Sejak kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12, terdapat kelompok marhaen pendokong setia dan pejuang tegar PAS akar umbi yang telah diabaikan. Ada, memang ada. Tapi statistiknya hanya diketahui oleh PAS cawangan barangkali. PAS kawasan kurang input rasanya. Kelompok marhaen inilah yang bekerja siang malam demi parti PAS sejak dulu kini dan selamanya. Mereka berkorban masa, meramaikan majlis, kempen ceramah, terkadang terabai keluarga dan juga disisihkan oleh Umno/BN dalam peluang ekonomi dan lain-lain insentif kerajaan. Kenderaan mereka pula cabuk, ekzos kereta hampir tercabut, pintu kereta bergegar, cermin pintu disendal kertas, motosikal signal rosak, mud-gard tayar diikat tali rafiaa, ketayap (kopiah) pun lusuh serta anak bini makan minum ala kadar. Tapi hati jiwa mereka mulia. Mereka reda dan mereka taat pada parti tanpa meminta-minta. Mereka memang naif. Golongan ini jugalah yang bergadai nyawa di malam hari memasang bendera PAS di hujung dahan pokok tinggi, di tiang-tiang letrik TNB, di puncak-puncak bangunan dan di bukit tinggi pinggir lebuhraya. Ini untuk majlis ceramah, kempen pilihan raya kecil dan besar. Mereka tiada insuran nyawa jika terkena renjatan elektrik atau mati jatuh bangunan mahu pun dari pokok tinggi. Allah memelihara mereka dan ahli keluarga. Namun siapa endah akan hal ehwal mereka? Sebagai aktivis masyarakat dalam NGO, saya perasan hal ini. Sejak kemenangan dalam pilihan raya umum 2008, muncul ada sedikit bunga-bunga pimpinan peringkat bawahan (atasan?) yang bersungguh-sungguh ingin maju ke hadapan semata-mata mencongak laba jika nama tersenarai sebagai calon wakil rakyat. Namun siapakah yang peduli akan kedaifan dan naifnya golongan marhaen yang disebutkan tadi? Adakah ada pihak pimpinan membuat perancangan supaya ada yang mendatangai mereka, memberi tawaran peluang niaga, lesen tapak gerai, bantuan zakat, insentif baiki rumah buruk yang hampir runtuh, ambil tahu kenderaan yang tersadai, perihal pendidikan anak-anak dan ahli keluarga mereka. Mungkin kecuaian ini menyedarkan dan menyentuh hati pimpinan akar umbi dan impaknya terzahir di muktamar PAS ke-57 ini. Ahli bawahan mahu pimpinan yang hatinya dekat dengan rakyat marhaen, mesra dengan rakyat bawahan dan menggauli ahli-ahli parti yang naif ini. Kemenangan Mat Sabu tidak bermakna mereka menolak ulama sebab walaupun ahli ini naif, pengetahuan asas agama mereka kukuh kerana sering hadir majlis ilmu dan ceramah agama anjuran PAS. Wala ketaatan mereka tetap kuat terhadap ulama. Tetapi mereka nampak Mat Sabu sebagai pemimpin yang sanggup menjengah rumah mereka, sanggup bertenggek di tangga kambing rumah ahli-ahli; dan sanggup tidur di dangau atau pondok buruk orang kampung. Ini satu muhasabah, ini peringatan untuk pimpinan PAS. Mereka bukan antipimpinan, bukan tidak taat pada PAS, tetapi mereka diabaikan. Begitu juga Umno. Bukan ahli-ahli marhaen yang taat itu tidak sayangkan Umno. Mereka dilatih dan didoktrinkan Umno sebagai pejuang bangsa dan negara merdeka. Mereka taat sungguh, macam ahli marhaen PAS juga. Bukan ahli bawahan Umno ini tidak hormat dan tidak menjulang Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya umum yang lalu. Adakah mereka ini hilang pertimbangan? Mereka memang setia dengan slogan Umno tonggak BN. Bila harga minyak petrol naik mendadak kepada RM2.70 seliter tidak lama dahulu, apa yang pimpinan BN buat? Hanya ceramah dan retorik ekonomi sama ada di rapat umum, majlis politik, media cetak atau pun media elektronik saban hari. Sejauh mana projek jutaan ringgit benar-benar memberi impak manafaat pada golongan marhaen Umno ini? Mereka tidak nampak keuntungan projek yang masuk ke kocek kroni, sebab mereka naif. Tetapi mereka merasa penderitaan dalam kehidupan saban waktu siang malam demi survival keluarga. Hari-hari yang berlalu, siaran media teori ekonomi yang baik dan mapan tidak menampakkan beras, roti, gula dan susu muncul tertonggok di pintu rumah mereka. Anak-anak terpaksa ke sekolah tanpa belanja, pakaian lusuh tidak berganti dan tertekan ke sekolah kerana guru asyik tanyakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Gutu (PIBG) yang belum langsai. Siapa ambil endah? Bukan rakyat dan pendokong tegar Umno tidak sayang Pak Lah 'Mr Clean' yang cool sebagai perdana menteri. Ahli Umno memang hebat taat pada pemimpin atasannya. Akan tetapi kalau pemimpin Umno cawangan pun merempat atau terpaksa hijrah balik kampung kerana tak mampu bayar ansuran rumah, kereta dan perbelanjaan harian; apatah lagi ahli Umno biasa. Bahkan ada juga anggota jawatankuasa Umno Bahagian pun tetap menunggu tanpa penghujung akan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpula Usaha Niaga (TEKUN) yang tak kunjung tiba. Justeru itu apalah yang boleh diharap oleh ahli Umno di peringkat bawahan? Begitu juga ketua Umno cawangan hanya ke hulu hilir dengan motosikal buruk Suzuki TRS, kerja tidak menentu dan terpaksa merayu ke sana sini untuk anak yang sakit demi kos perubatan hospital. Tiadakah peluang kerja lebih baik atau lesen tapak niaga dengan bantuan Umno bahagian atau negeri? Justeru itu, siapa ambil endah? Kenaikan harga barangan harian tanpa dapat dibendung pada tahun 2007 hingga 2008 menjadikan semua rakyat termasuklah ahli-ahli Umno sendiri hilang sabar. Ketika ini mereka lebih sayangkan anak bini dan ahli keluarga mereka. Ada juga anak-anak mereka yang dihalau turun bas oleh pengusaha bas sekolah kerana sudah empat bulan tidak membayar tambang. Kini, mereka sanggup mati demi anak isteri dan tidak lagi sanggup berkorban demi pemimpin Umno. Hasilnya, wujudlah undi protes pilihan raya kerana rakyat dan anggota sendiri hilang kepercayaan. Ini satu muhasabah, ini peringatan untuk pimpinan Umno. Mereka bukan antipimpinan, bukan tidak taat pada Umno, tetapi mereka diabaikan. Dengan tulisan ini semoga pimpinan Umn odan PAS mengambil iktibar dalam menjalankan amanah ini. Pemimpin kedua-dua parti ini tidak wajib mengetahui siapa penulis ini, tetapi wajib ambil tahu intipati coretan ini dan wajib memperbaiki kelemahan jika ianya benar. Pemimpin itu dihormati bukan kerana besar pangkat dan gelarannya, tetapi dijulang dan dihormati kerana besar jiwa dan hemahnya di mata rakyat marhaen. Penulis merupakan aktivis NGO, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan amal. |
Ulama-Erdogan dan dualisme dalam PAS Posted: 05 Jun 2011 04:00 PM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI Pemilihan kepimpinan PAS yang baru berlalu tidak dapat mengelak daripada dinilai daripada sudut pemisahan golongan agama dan bukan berpendidikan agama, walaupun simplistik dan cenderung untuk menyeleweng takrifnya. Satu pemisahan yang sering digunakan ialah "ulama dengan bukan ulama," "ulama dengan profesional," dan juga "konservatif-reformis." Dari sudut definisi yang mudah difahami, ulama boleh diterjemah sebagai sarjana ilmu Islam, yang sepatutnya tidak disamakan dengan "ustaz" yang merupakan mereka yang memperoleh pendidikan agama, tetapi tidak pada peringkat yang lebih tinggi sehingga dinilai sebagai ulama. Istilah yang meliputi kedua-dua ulama dan ustaz ialah agamawan, iaitu mereka yang menerima pendidikan agama Islam dalam pengkhususan. Dalam wacana popular tentang kumpulan-kumpulan dalam PAS di media negara ini, dapat diperhatikan istilah profesional digunakan dengan mudah terhadap sesiapa sahaja yang bukan ulama, termasuk Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu. Istilah profesional sering digunakan pada masa awal PAS menerima kemasukan ramai pakar-pakar dalam bidang profesional seperti guaman, kejuruteraan dan sebagainya. Ini digunakan secara mudah untuk beberapa tujuan, antaranya untuk menunjukkan PAS bukan lagi sebuah parti "lebai" atau "kampung" seperti yang dilihat dalam persepsi ramai. Tetapi penggunaan mudah ini kemudian diterima secara rigid, dan mewujudkan dualisme ulama dan profesional, pembahagian yang mungkin paling sering digunakan dalam wacana popular mengenai PAS. Secara umumnya, pembahagian ini dilakukan untuk membezakan mereka yang berpendidikan agama dengan yang bukan, sesuatu yang sebenarnya diterima secara agak meluas dalam parti itu sendiri, yang menilai sifatnya sebagai gerakan Islam sebagai penting dan perlu dipastikan berterusan. Dalam kalangan tertentu PAS, kelayakan pendidikan agama dinilai dengan sangat kritikal, sehinggi menjadi kriteria untuk dipilih sebagai pemimpin, bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi juga peringkat lebih rendah. Atas sebab ini, tidak boleh ditolak sepenuhnya pembahagian agamawan dengan bukan agamawan kerana sentimen ini wujud dalam PAS dan terus dijadikan kriteria pemilihan pemimpin. Tetapi kelayakan pendidikan agama masih tidak dapat menjawab pelbagai persoalan termasuk kemampuan dan melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan dalam parti, terutama apabila kelayakan itu dijadikan sebab mutlak pemilihan. Isu yang lebih penting ialah penghayatan nilai-nilai agama yang lebih luas, dan kemampuan memaknakan dan menterjemahkan agama dalam kehidupan, atau amalan kepada teori agama. Kedua-dua label "profesional" dan "ulama" tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan. Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan "profesional," sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan. Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif. Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang. Konotasi ini dapat diperhatikan pada sesetengah komentar mengenai hasil pemilihan kepimpinan PAS dalam muktamar yang berakhir hari ini. Satu lagi yang banyak digunakan ialah "Erdogan," yang diletakkan berseberangan dengan ulama atau agamawan. Satu asas utama pembahagian ini ialah pendirian berkait pelbagai isu, yang salah satu paling berprofil tinggi ialah usaha melakukan perubahan kerajaan pusat melalui lompat parti wakil pemerintah ke parti-parti pembangkang. Saya sendiri memilih untuk menggunakan istilah Erdogan (daripada nama Recep Tayyip Erdogan, perdana menteri Turki sekarang ini) kerana melihat ia mempunyai asas yang boleh diterima. Apapun yang mendasari pemilihan dan penggunaan istilah ini oleh pencetus asalnya, ia mempunyai satu kaitan jelas dengan pasca-Islamisme. Dalam wacana Islam politik, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) disifatkan sebagai sebuah parti pasca-Islamis atau model terbaik pasca-Islamisme, yang antara cirinya ialah wacana yang tidak lagi tertumpu pada isu ideologi dan dengan bahasa agama yang biasa dilihat pada gerakan Islam. Pasca-Islamisme dinilai sebagai penggunaan bahasa yang kontemporari, sifat yang dilihat lebih liberal dan inklusif berbanding Islamisme, istilah untuk menyifatkan sebahagian besar gerakan dan parti Islam. Dalam PAS, kumpulan yang disifatkan sebagai Erdogan mempunyai ciri-ciri pasca-Islamis, seperti bercakap dalam bahasa kontemporari dan tumpuan yang lebih kepada isu hak, pluralisme dan sebagainya yang berkaitan. Satu lagi ciri persamaan ialah hubungan baik dengan tokoh pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi isu yang agak sensitif pada sesetengah pihak. Pelabelan Erdogan ini digunakan untuk memberi gambaran umum satu aliran pemikiran dan faksi, dan tidak semestinya seragam semuanya. Label Erdogan dan ulama digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan utama yang bersaing, dengan pendirian berbeza kedua-duanya dalam beberapa isu, tanpa menafikan perbezaan-perbezaan dalam setiap kumpulan atau menyatakan hanya dua kumpulan itu yang wujud dalam PAS. Label seperti ini, tidak semestinya secara automatik terkait secara langsung dengan benar atau salah, positif atau negatif. Dalam politik kepartian, perbezaan-perbezaan tidak dapat dielakkan daripada wujud. Perbezaan ialah realiti mana-mana kumpulan yang menghimpunkan manusia. Pembahagian sewajarnya tidak digunakan secara simplistik, seperti ulama lawan progresif yang memberi konotasi negatif kepada satu pihak, dan definisi seharusnya dipilih dengan cermat. Tetapi, pembahagian juga perlu untuk memberi gambaran secara umum, untuk menyifatkan ciri-ciri tertentu yang dapat diperhatikan. http://siasahdaily.blogspot.com/ |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan