Ahad, 5 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Laluan PAS: Cabaran buat Umno, peluang bagi Pakatan?

Posted: 05 Jun 2011 08:04 AM PDT

Oleh G Manimaran




Semangat diperlihatkan perwakilan PAS ketika ceramah perdana malam tadi, kira-kira 10 jam selepas keputusan pemilihan pusat diumumkan. — Foto oleh Choo Choy May
ANALISIS, 5 Jun — Berdasarkan laporan Harakah hari ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik berkata saf kepimpinan baru parti itu menjadikan jalan menuju ke Putrajaya "makin jelas."

"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi, insya-Allah. Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," kata Menteri Besar yang mengetuai Kelantan sejak 1990.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam reaksinya berkata, muktamar PAS sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak satu persepakatan politik berbaur rasuah dan penyelewengan kuasa pimpinan Umno-BN.

Seperti pemilihan sebelumnya, kata Anwar, ahli PAS memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh permuafakatan Pakatan Rakyat - satu kerjasama yang zahir daripada hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya, malah terkesan dengan ucapan dasar Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang tegas menyatakan iltizam untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat. Tuan Guru Abdul Hadi turut mengungkapkan betapa pentingnya Pakatan Rakyat tuntas mengungkapkan kepada rakyat rancangan seumpama yang terkandung dalam Buku Jingga," kata Anwar yang dilihat sebagai pengikat kerjasama DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang itu, yang berhadapan dengan kes mahkamah sodomi dan dakwaan video seks juga berpendapat bahawa kini PAS yang dipimpin Nik Aziz dan Hadi, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tentangan serta cabaran, terutamanya berhadapan pilihan raya umum ke-13.

Selain saf kepimpinan baru yang menyaksikan pemilihan Mohamad dan kembalinya Datuk Paduka Husam Musa sebagai naib presiden, muktamar tahunan kali ini, kali ke-57, menarik perhatian banyak pihak ke arah ucapan dasar Hadi sendiri.

Dalam ucapan dasarnya, Hadi nampak telah menekankan tiga mesej penting — menolak pelawaan kerjasama politik Umno-BN, menekankan keperluan negara berkebajikan dengan mengatakan negara Islam tidak disebutkan dalam al-Quran dan mahu PAS memainkan peranan utama dalam tindakan "membersihkan politik" negara ini daripada perilaku dan gejala politik jijik fitnah dan perkauman sempit dibawa Umno-BN.

"Marilah kita memurni dan membersihkan siyasah atau politik sebagai satu bidang dan juzu penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan Umno-BN di waktu ini.

"PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik matlamat menghalalkan cara seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah," kata Hadi.

Melihat perkembangan terbaru ini, pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat "adalah jelas Erdogan berpengaruh dalam PAS atau lebih tepat mereka yang komited dengan Pakatan Rakyat." Kata Aziz lagi, kemenangan itu menunjukkan gagasan kerajaan perpaduan yang dibawa sejak tiga tahun lalu ditolak.

"Kemenangan 'Mat Sabu & Co' adalah berita baik untuk Pakatan Rakyat dan berita buruk untuk Umno-BN," kata Aziz lagi.

Justeru, kata pakar perlembangan ini, Hadi perlu lebih komited kerana meskipun telah mengatakan kerjasama dengan Umno telah dikuburkan, beliau dan kumpulannya sering mungkir janji.

"Contohnya pada muktamar 2008 di Ipoh parti membuat resolusi menolak kerjasama dengan Umno. Tetapi, Hadi meneruskan rundingan dengan Umno di belakang tabir, terbaru sebelum Krismas 2010 yang lalu," kata Aziz sambil menambah, ucapan Hadi dengan itu tidak meyakinkan.

"Tetapi dengan kemenangan kumpulan Erdogan, maka Hadi terkepung. Beliau perlu mendengar nasihat kumpulan ini. Dan, Hadi perlu bersedia untuk berundur," katanya.

Pemimpin muda DAP Zairil Khir Johari menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai "kepimpinan dinamik" yang akan memanfaatkan Pakatan Rakyat.

"Tak, saya tidak kata saya sudah menjangkakan keputusan ini (yang diumumkan semalam), tetapi saya melihat sebagai barisan pemimpin individu yang dinamik, yang bagus untuk PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Keputusan ini satu langkah ke depan bagi Pakatan Rakyat," kata anak bekas menteri Kabinet Umno ini ketika ditemui di lokasi berlangsungnya muktamar petang semalam.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai satu "peluang" kepada Pakatan Rakyat ketika ramai melihatnya sebagai cabaran dan peringatan kepada Umno dan parti-parti rakannya dalam BN.

"Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat, itu yang mereka (kepimpinan komponen Pakatan Rakyat) mengharapkan sebab PAS merupakan rakan yang penting selaku parti yang terbesar dan tertua dalam Pakatan, sudah tentu PAS akan memainkan peranan lebih penting berbanding dulu," kata Ahli Parlimen Tumpat ini kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian pula melihat saf kepimpinan ini sebagai lapisan yang menonjol selepas gerakan reformasi akhir 1990-an.

"Mereka memperoleh amanat daripada perwakilan PAS untuk membawa PAS ke arena politik tengah negara ini. Dengan ini, Umno pula berhadapan dengan cabaran dua serampang," katanya.

Pertamnya, kata Ibrahim, ialah soal mengisi jurang kepimpinan yang diharapkan oleh komuniti Melayu dan satu lagi keperluan mengisi harapan pengundi Melayu luar bandar.

"PAS tiada masalah berkenaan sokongan Cina dan India, tetapi bagaimana ia boleh mengisi harapan pengundi Melayu khususnya kawasan luar Bandar . . . ini cabaran bagi PAS, malah cabaran kepada Umno akhirnya," kata beliau yang melihat keputusan kali ini sebagai "perkembangan signifikan."

Utusan cuba lagakan 3 dewan PAS - Zailah

Posted: 05 Jun 2011 07:00 AM PDT

Hazayani Zakaria



KUALA LUMPUR, 5 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang mengandaikan mereka tidak mengiktiraf kepimpinan Dewan Ulama.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sebaliknya berkata, DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama yang merupakan pemantau segala dasar dan perancangan dalaman parti.

Beliau berkata, Utusan Malaysia hanya berniat melaga-lagakan keakraban ketiga-tiga dewan dalam PAS.

"DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama dan kesal dengan laporan media yang kata muslimat tidak mengiktiraf Dewan Ulama.

"Ini satu propaganda yang dibuat media untuk melaga-lagakan dalaman parti dan menampakkan tiada kesepakatan di antara dewan-dewan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan pengangguhan di Muktamar PAS kali ke- 57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan DMPP mendakwa kepimpinan ulama yang tidak agresif menjadi punca utama golongan tersebut diganti dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berharap persepsi tersebut diperbetul segera.

Sementara itu, beliau mengemukakan gagasan untuk memartabatkan kemuliaan golongan wanita di negara ini.

"DMPP kemukakan gagasan sebagai tawaran kepada wanita di negara kita iaitu gagasan untuk memartabatkan kemuliaan wanita di Malaysia.

"Kita ingin lahirkan muslimat yang bukan sahaja berperanan dalam rumahtangga, dalam kerjaya tapi nak melahirkan wanita yang menjadi pemimpin yang bertakwa seharusnya berbeza dengan wanita Umno yang hanya nak memperkasa dari sudut wanita tanpa tekankan ketinggian moral," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Selain itu beliau turut menyeru semua ahli menjalinkan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat.

"Saya menyeru semua ahli parti untuk mengadakan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat dan supaya perancangan dan strategi bersesuaian dengan lokaliti dan muafakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan parti," katanya.

Kesian Tengok Muhyiddin

Posted: 05 Jun 2011 06:30 AM PDT

Muhyiddin: Meskipun PAS terus tolak, pintu Umno masih terbuka

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Meskipun PAS terus menolak kerjasama dengan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi bahawa pintu komponen BN itu masih terbuka kepada parti Islam tersebut untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, idea berkenaan adalah demi Islam, bukan kerana kepentingan politik.

"Demi kepentingan rakyat, kita tidak pernah menutup pintu (kepada PAS). Sama ada menerima atau tidak, itu soal lain.

"Pelawaan kami bukan kerana politik, tetapi demi kepentingan politik. Dan, itu yang membezakan Umno daripada PAS, Umno melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan manakala PAS hanya fokus pada kepentingan parti," kata beliaus selepas mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi di ibu negara petang ini.

Dalam ucapan dasarnya kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

"PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS," kata beliau.

Kata Hadi, ia melibatkan satu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.

"Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat," katanya.

Sejak pilihan raya umum 2008, PAS menerima pelawaan demi pelawaan sama ada secara langsung daripada Umno sendiri ataupun daripada pihak-pihak yang pro-Umno termasuk beberapa tokoh agama agar ia meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama BN atau berganding dengan Umno.

Idea itu termasuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Pelawaan itu sendiri pernah dipanjangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN dan presiden Umno dan juga Muhyiddin sendiri.

Awal tahun ini, The Malaysian Insider pernah membawa laporan bahawa empat pemimpin dari PAS dan Umno bertemu di Istana Terengganu di sini dan dilaporkan ada menyentuh soal kerjasama kedua-dua parti.

Hadi menambah, "kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan Umno-BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila."

"Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan," katanya.

Presiden PAS: ‘Bukan Erdogan, tapi pasukan Nik Aziz-Hadi Awang’

Posted: 05 Jun 2011 06:00 AM PDT

Oleh G Manimaran, Latifah Kasmuri dan Zukaikha Zulkifli


GOMBAK, 5 Jun — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, barisan kepimpinan pusat PAS sesi 2011-2013, yang diumumkan semalam, bukan kumpulan Erdogan sebagaimana dilabel musuh-musuh politiknya ketika setiap kali diadakan pemilihan.

Sebaliknya Presiden PAS itu berkata, "ini adalah pasukan (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) dan Abdul Hadi Awang."

"PAS adalah parti Islam, parti AKP bukan parti Islam. Ini Malaysia, bukan Turki," kata beliau yang dilihat merujuk kepada label-label bahawa PAS kini dikuasai oleh kumpulan profesional atau Erdogan ekoran keputusan pemilihan pusat parti yang berlangsung kelmarin.

"Ada macam-macam mengatakan tentang kepimpinan PAS yang baru, kali ini adalah kumpulan Erdogan. Saya katakan, ini bukan Erdogan tetapi pimpinan Nik Aziz dan Abdul Hadi Awang. Ini PAS, ini bukan Turki tetapi ini Malaysia. Turki haramkan parti Islam. Pemimpin mengisytiharkan mereka bukan parti Islam . . . mereka terpaksa terpaksa ikut cara pimpinan Barat," kata beliau ketika berucapn menggulung perbahasan pada muktamar tahunan 2011.

Istilah Erdogan dikaitkan dengan parti politik dari Turki dan kepimpinan mereka.

Baru-baru ini, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan juga menafikan wujudnya kumpulan ulama dan profesional dalam parti itu.

Sebaliknya kata beliau, label itu sengaja diadakan oleh Umno-BN menjelang pemilihan parti.

Beberapa media melaporkan bahawa pemilihan kali ini menyaksikan kumpulan ulama disingkirkan dan PAS dikuasai oleh kumpulan profesional atau Erdogan.

Label itu jelas merujuk ke atas persaingan timbalan presiden di mana Mohamad Sabu menewaskan Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang kedua-duanya dianggap sebagai ulama.

Jawatan naib presiden dimenangi Salahuddin Ayub, Datuk Pasukan Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Dua pertiga daripada 18 ahli jawatankuasa kerja pusat dianggap sebagai kumpulan profesional berbanding sesi 2009-2011.

Merujuk perkara itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, "saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada perwakilan dan rakan-rakan yang terpilih walaupun media massa telah melaporkan macam-macam mengenai mereka."

"Kenyataan yang tidak menyenangkan, kita maafkan sahaja kerana mereka tidak sedar kejahilan mereka," katanya lagi.

"Wartawan hanya melaporkan yang benar, apa yang diucap dalam ucapan dasar tetapi disiarkan oleh mereka yang bukan berada di sini. Wartawan hanya dikongkong oleh peraturan yang sangat kuno dalam negara kita," tambah Hadi.

Mengulas lanjut isu komposisi ulama dan profesional, Hadi berkata, "kalau dilihat, perwakilan telah melakukan pemilihan sangat bijak."

"Saya telah membuat kiraan tetapi bukan kiraan undi pemilihan, tapi kiraan tentang mereka yang terpilih," katanya.

Kata Hadi seramai lapan orang yang terpilih mempunyai latar belakang jurusan agama, dua doktor, dua jurutera, seorang peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat.

Katanya, perlembagaan parti membolehkan pelantikan seramai enam ahli jawatankuasa kerja pusat, empat anggota Dewan Harian dan 14 pesuruhjaya PAS negeri yang turut akan menghadiri mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat.

"Walaupun pihak luar menganggap yang tidak dipilh sebagai tercorot tetapi bukan tercorot, mereka akan memainlan peranan dalam parti. Kalau dilihat nama-nama (ahli jawatankuasa kerja pusat), dua nama dianggap baru . . . Khalid Samad, Wahid Endut," kata Hadi, merujuk kepada Ahli Parlimen Shah Alam dan Kuala Terengganu.

Hadi berkata, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam kembali menduduki ahli jawatankuasa kerja pusat selepas hampir dua dekad tidak berpeluang dipilih.

Muhyiddin Jadi 'Gila' Dengar Keputusan Pemilihan PAS

Posted: 05 Jun 2011 05:30 AM PDT

Muhyiddin selar PAS korban prinsip Islam kerana politik
TERKINI @ 07:29:47 PM 05-06-2011
Oleh Clara Chooi
June 05, 2011

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PAS mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan presiden Umno itu juga mengecam PAS bimbang kebenaran di sebalik video seks itu, yang didedahkan "Datuk T" Mac lalu, akan mencemar imej agama yang dibawa parti itu.

"Kemungkinan mereka sudah tahu latar belakang isu video itu . . . atau siapa orang dalam video," kata Muhyiddin di sini hari ini.

"Tetapi ia (seharusnya) telah dibawa ke muktamar mereka . . . sebagai parti politik yang diasaskan atas prinsip-prinsip Islam, mereka seharusnya mencari kebenaran," kata timbalan perdana menteri ini selepas melawat ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.

Pagi tadi muktamar 2011 PAS membincangkan usul dibawa Dewan Ulamanya, yang antara lain mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan, yang didakwa tidak tegas dalam mengutuk tindakan penayangan video seks oleh "Datuk T".

"Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.

"Mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka," kata usul itu.

Usul itu merujuk kepada penayangan video seks pada 21 Mac lalu kepada media-media terpilih, yang pelakonnya didakwa mirip Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Anwar sudah pun menafikan dakwaan itu.

Menurut usul itu, fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seseorang.

Umno dan media miliknya Kumpulan Utusan Malaysia menyerang PAS atas alasan mempertahankan Anwar dalam video seks itu.

Muhyiddin berkata PAS tidak seharusnya mempersalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung isu video seks memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu telah pun menafikan sebarang pembabitannya sejak awal lagi.

Kata beliau, sekurang-kurangnya PAS sepatutnya telah membahaskan ketulenan video pada muktamarnya untuk mendapatkan pandangan ahli sebelum membuat sebarang rumusan.

"Bahas sumber (video)... bagaimana ia datang, siapa lakukan, bagaimana ia melibatkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan sama ada ia benar atau tidak.

"Jika pada akhirnya mereka memutuskan bahawa mereka tidak tahu kebenaran, mereka boleh meminta polis mendedahkan identiti lelaki dalam video agar rakyat tidak berada dalam gelap," kata beliau sambil menambah, itu yang seharusnya telah dilakukan oleh muktamar tahunan PAS, bukannya menolak segala-galanya ke arah BN.

Muhyiddin juga berkata, BN tidak akan membenarkan ia digunakan sebagai kambing hitam dalam skandal video dan akan berpegang pada pendirian untuk mendapatkan kebenaran menerusi lunas perundangan.

"Kami telus. Dasar kami ialah untuk menyiasatnya, ikut saluran betul untuk menentukan dalang dan sebab-sebab di sebalik (kejadian itu)," katanya lagi.

"Malangnya bagi PAS, mereka mendakwa Islam tetapi mereka menjauhkan diri daripada jalan Islam. Mereka hanya ambil berat soal kepentingan politik dan bukannya mengenai soal mendapatkan restu Allah," kata beliau.

Mat Sabu mahu Majlis Syura dinaik martabat, diberi kuasa audit

Posted: 05 Jun 2011 05:00 AM PDT

Oleh G Manimaran dan Latifah Kasmuri


GOMBAK, 5 Jun — Mohamad Sabu hari ini mengesyorkan agar Majlis Syura yang dianggotai golongan ulama dinaikkan martabatnya supaya sayap itu mempunyai kuasa audit dan pengawasan mendalam terhadap prestasi barisan kepimpinan pusat yang dipilih perwakilan.

Timbalan presiden baru PAS itu melahirkan pandangan ini ketika timbul tanggapan bahawa perwakilan kumpulan ulama sudah terhakis di peringkat eksekutif parti susulan proses pemilihan kali ini.

"... kita menaikkan martabat Majlis Syura Ulama pada masa sekarang dan masa-masa akan datang supaya Majlis Syura boleh ada kuasa audit ke atas ahli jawatankuasa kerja PAS pusat supaya ada elemen urus tadbir dapat diadakan dalam parti," kata Mohamad ketika menggulung perbahasan sebelum berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Ke-57 petang ini.

Pada pemilihan kali ini Mohamad menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad dilihat sebagai wakil kumpulan profesional. Begitu juga peratusa perwakilan kumpulan profesional di peringkat ahli jawatankuasa kerja pusat di mana hanya satu pertiga merupakan kumpulan ulama.

Calon yang menang kerusi naib presiden iaitu Salahuddin Ayub, Datuk Paduka Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar juga dilihat sebagai golongan profesional.

Mat Sabu: ‘PAS beri aktivis mandat, jangan salah tafsir peranan ulama’

Posted: 05 Jun 2011 04:42 AM PDT

GOMBAK, 5 Jun — Mohamad Sabu sambil menyifatkan perwakilan kali ini memilih saf kepimpinan lebih cenderung kepada aktivis menegaskan, beliau tidak mahu kepimpinan ulama dalam PAS disalahtafsirkan kedudukan dan peranan mereka.

"Aktivis ini adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan masyarakat sama ada timbalan presiden dan naib-naib presiden yang dipilih.

"Namun pada saya, bukanlah yang tidak cukup undi itu tak bersifat aktivis, tetapi pemilihan dibuat perwakilan cenderung ke arah itu (mengangkat aktivis)," kata timbalan presiden baru PAS ini dalam temu bual kepada Harakah Daily.

Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai "Mat Sabu" berkata, "signalnya ialah apabila kita lihat Mazlan Aliman mendapat undi yang tertinggi (804 undi), antaranya yang memberi kekuatan kepada sokongannya ialah kerana penglibatan beliau dalam Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) untuk merobah minda pengundi masyarakat Felda (Peneroka)."

Mazlan mengekalkan kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat PAS dengan memperoleh undi tertinggi pada pemilihan kepimpinan 2011-2013.

Kata Mohamad, walaupun secara umumnya Anak belum berjaya secara menyeluruh, tetapi usaha dipelopori Mazlan dan rakan-rakannya mendapat penghargaan daripada perwakilan seluruh negara.

"Begitu juga kemenangan pimpinan yang lain-lain seperti naib presiden Datuk (Paduak) Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, trend ini berlaku kerana muktamar kali ini tempohnya sangat dekat dengan pilihan raya umum ke-13... sehubungan itu, ahli dan penyokong mahu mereka yang terlibat sepenuhnya dengan masyarakat dan aktiviti kemasyarakatan," katanya yang dilihat sebagai antara pihak mencetuskan kepimpinan ulama sekitar tahun 1982.

Salahuddin, Husam dan Mahfuz menang saingan pemilihan naib presiden.

Menyentuh soal kumpulan ulama dan profesional, Mohamad berkata, beliau tidak mahu kepimpinan ulama disalah tafsir dan beliau menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Sheikh Omar Muktar, Sheik Ahmad Yassin, Abu Bakar Al-baqir, Yusof Rawa dan Datuk Fadhil Noor.

"Semua ulama ini saya penuh hormat dan menyebut nama perjuangan mereka dalam ceramah dan penulisan saya. Yang kita tidak mahu orang bertenggek di atas nama kepimpinan ulama, yang berkelulusan agama tetapi bertenggek atas nama kepimpinan ulama.

"Tetapi ulama sejati yang berilmu, yang membina masyarakat, yang beri ulmu, berjuang dan berjihad inilah yang kita sanjung yang kita sokong dan sepanjang zaman ulama inilah yang meniupkan kebangkitan," katanya lagi.

Katanya, "ini termasuklah mereka yang meniupkan semangat kebangkitan kemerdekaan iaitu Sheikh Jamaludin Al Afghani ialah seorang ulama yang bertaraf Hujjatul Islam."

"Ulama seperti ini harus diketengahkan, bukan kelulusan sijil agama sahaja dipanggil ulama. Bahkah kalau yang ulama kontemporari seperti Hassan Nasralllah, saya amat kagum di atas kehebatan beliau kumpul sokongan Muslim dan bukan Islam di Lebanon dengan meniup semangat jihad menentang Israel.

"Sheikh Ahmad Yassin, daripada di atas kerusi rodanya dia mampu untuk meniupkan semangat jihad melawan Israel. Ulama seperti ini yang saya sanjung, bukan yang berkelulusan yang belajar dari sekolah agama kemudian pergi ke Mesir, dan bila balik ke Malaysia kita gelar dia ulama.

"Sedangkan ia tidak menonjol dirinya sebagai seorang waris kepada Nabi Muhammad iaitu buat kerja-kerja yang dibuat oleh Nabi Muhammad, jadi saya tetap berpegang teguh dan menyanjung kepimpinan ulama ini," katanya lagi.

Berhubung soalan sama ada akan berlaku sebarang perubahan dalam lajnah-lajnah dalam PAS, Mohamad berkata, secara menyeluruh tidak, tetapi mungkin perubahan yang berlaku adalah dalam konteks siapa yang mengepalai sesuatu lajnah menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

"Dari segi Pakatan Rakyat pula, kedudukan PAS cukup teguh dan ia akan diperteguhkan lagi. Saya mahu hubungan dengan NGO kita mantapkan, dan arah tuju parti telah kita gariskan dalam ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar begitu baik menuju kepada negara kebajikan yang diterima semua kaum dalam negara kita ini, saya tak nampak berubah hala tuju," katanya.

Dalam temu bual itu, Mohamad berkata, beliau hairan kerana akhbar-akhbar milik Umno secara tiba-tiba sahaja "cukup sayang kepada kepimpinan ulama" sedangkan mereka yang mencerca kepimpinan ulama khasnya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"... menjelang muktamar mereka seolah-olah membuat laporan dengan menimbulkan sayang kepada kepimpinan ulama sedangkan tauke kepada Utusan Malaysia (Umno) hanya ada biro untuk ulama ini, yang hanya kelasnya seperti lajnah dalam PAS.

"Kita di peringkat PAS, kita sayangkan ulama, kita hormatkan ulama kita letak ulama di peringkat Majlis Syura Ulama, dan kita ada Dewan Ulama PAS Pusat yang meletakkan ulama ini di tempat yang tinggi, kuat teguh dan berwibawa," kata beliau lagi.

Mohamad juga berkata perana Utusan Malaysia boleh dianalisis oleh sesiapa apa niat mereka yang sebenarnya.

"Barangkali pada mereka peralihan kepimpinan ini boleh mengubah persepsi umum kepada PAS dengan kita tidak lari teras kita jaga parti di bawah Majlis Syura Ulama," katanya.

Usul-Usul Muktamar PAS 57

Posted: 05 Jun 2011 12:30 AM PDT

Harakahdaily



1. Himpunan BERSIH 2 (PAS Pusat)

• Menyedari ruang demokrasi semakin terhimpit oleh kerajaan BN, walaupun negara hampir mencapai kemerdekaan negara 54 tahun.

• Menyedari BN takut bertarung secara anak jantan di gelanggang yang sama rata dengan memperalatkan SPR.

• Menyedari tuntutan BERSIH 1 belum dilaksanakan,

1. Akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik
2.Melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.
3.Memansuhkan sistem undi pos
4.Umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Menggesa seluruh rakyat Malaysia daripada berbagai peringkat menyertai BERSIH 2 pada 9 Julai 2011 di Bandaraya Kuala Lumpur.

• Menggerak semua organ parti dan semua lapisan pimpinan parti Pas, PR dan NGO untuk menjayakan himpunan tersebut.



2. Usul Mengutuk Fitnah Menggunakan Video (Dewan Ulamak)

• Menyedari bahawa fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seorang.

• Menyedari bahawa tindakan ini adalah tindakan yang tidak bermoral setelah tidak mampu berhadapan dengan hujah fakta dan data.

• Menginsafi bahawa tindakan. menggunakan video dan media baru sebagai saluran untuk menyebarkan fitnah untuk kepentingan politik adalah lambang keruntuhan tamaddun sebuah negara dan bangsa.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah di dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.

• Mengutuk sikap membisu di kalangan ulamak rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka.



3. Usul Pemalsuan Kad Pengenalan (Dewan Pemuda)

• Menyedari bahawa Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bakal menjadi medan pertarungan paling sengit dalam sejarah politik Malaysia di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

• Menyedari bahawa UMNO/BN sepertimana track record yang lalu, akan sanggup menggunakan apa jua cara by hook or by crook, untuk mengekalkan kuasa di tangan mereka terutama selepas mereka dilanggar tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008.

• Menyedari bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini, sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutamanya kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari ianya bukan satu rahsia lagi bahawa komplot dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui 'Projek I.C' pada tahun 1980 an dan 1990 an bagi menumbangkan Kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pada ketika itu di mana ratusan ribu pendatang tanpa izin dan penduduk tetap diberikan hak kerakyatan dan kad pengenalan dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi.

• Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil unholly alliance antara UMNO/Barisan Nasional dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa.

• Menyedari bahawa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

• Menyedari bahawa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara ini.

• Menginsafi bahawa jika perkara ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan tegas diambil, ianya bakal menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat tewas teruk termasuk terlepas negeri-negeri yang dikuasai dalam Pilihanraya akan datang.

• Menginsafi bahawa keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai ini akan juga terancam jika pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran untuk tujuan politik ini tidak dihentikan,

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011


Mengambil ketetapan bahawa:
a. Mendesak supaya satu Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat perkara ini ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di mana ahli-ahli suruhanjaya tersebut dilantik dari kalangan mereka yang berwibawa, bebas dan berkecuali.

b. Menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga Jabatan Pendaftaran Negara khususnya mendedahkan secara terperinci statistik berapakah jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

c. Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku.

d. Sekiranya keadaan mendesak, PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil satu tindakan undang-undang diambil terhadap JPN dan/atau SPR dan pada masa yang sama memohon satu perintaah injunksi sementara diambil bagi menggantung segala proses pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

e. Memasukkan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini sebagai salah satu tuntutan di dalam agenda Bersih 2.0 yang akan mengadakan perhimpunan Bersih 2 pada 9hb Julai 2011.



4. Usul Dewan Muslimat PAS Pusat (Usul Pendidikan)

• Menyedari hampir keseluruhan umat lslam hari ini keliru dan terpedaya dengan kemilau sinar pendidikan yang berbentuk sekularisme hasilnya kita sedang menyaksikan insan yang berperibadi terpisah (split personality) , separa sedar (sub-conscious) hilang daya tahan dan daya juang

• Menyedari senario keruntuhan akhlak yang amat parah di setiap peringkat umur, malah yang lebih menakutkan ialah mereka yang terpelajar tetapi berani melawan perintah Allah SWT dan tidak yakin dengan balasan akhirat.

• Menyedari Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1989 dengan meletakan TAUHID sebagai asas terulung kepada falsafah dan struktur pendidikan Negara. Konsep Bersepadu di antara aqidah, ilmu, kemahiran, akhlak, nilai-nilai murni, aspek local dan global serta dunia dan akhirat menjadi wasilah dalam pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara.

• Menyedari Subjek Pendidikan Islam dan Moral telah menjadi subjek teras di setiap peringkat persekolahan kerana subjek Pendidikan Islam adalah satu-satunya subjek yang mampu membangunkan diri manusia secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.

• Menyedari Sistem Pendidikan Negara berorientasikan peperiksaan, maka matapelajaran Pendidikan Islam sekadar matapelajaran teras untuk dipelajari sahaja dan dijawab oleh pelajar di dewan peperiksan semata-mata, maka pengajaran dan pembelajarannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia tidak dianggap penting sama sekali terutama dalam menentukan syarat pensijilan bagi setiap tahap peperiksaan (UPSR, PMR dan SPM), malah ia dianggap subjek yang tidak langsung mempunyai nilai ekonomi dan keperluan pasaraan kerja. Hasilannya tidak seorang pun boleh menafikan kegagalan Sistem Pendidikan Negara dalam melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada 1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011 mengusulkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan

1. Meminda syarat pensijilan di peringkat UPSR, PMR dan SPM dengan menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai syarat asas pensijilan bagi pelajar-pelajar beragama Islam.

2. Meneruskan matapelajaran j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.

3. Mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran kepada semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR, dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.



5. Usul Mengenai Membantah Pengurangan Subsidi (Pandan Selangor)


• Menyedari tanggungjawab kerajaan ialah khadam rakyat yang dipertanggungjawab untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

• Menyedari bahawa tugas kerajaan perlu memikirkan untuk kebajikan rakyat, bukan menekan rakyat.

• Menyedari bahawa hasil negara yang begitu banyak yang Allah anugerahkan kepada negara ini, malangnya telah berlaku penyelewingan dan rasuah sehingga pemimpin BN mengambil jalan pintas mengurangkan subsidi untuk rakyat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011

• Membantah tindakan kerajaan BN yang mengurangkan subsidi sehingga memberi kesan kepada rakyat. Apabila kerajaan menaikkan harga petrol dan letrik ia akan memberi kesan kepada rakyat walaupun kerajaan cuba bermain silap mata kononnya 75% rakyat tidak terjejas dengan kenaikan tarif letrik seolah-olah rakyat tidak membeli barang keperluan dapur yang menggunakan pengangkutan dan industri yang menggunakan letrik. Semua bebanan ini akan ditanggung oleh rakyat melalui "kesan berantai".

• Mengutuk tindakan kerajaan BN menarik subsidi gula RM116.6 juta sehingga berlaku kenaikan harga sebanyak 20 sen. Untuk 27 juta rakyat ditarik subsidi, sedangkan untuk PERMATA yang bukan sebuah kementerian diberi sebanyak RM111 juta.



6. Usul Kebajikan Bekas Anggota Tentera (Tenggara Johor)

• Menginsafi anggota tentera yang banyak menyumbang bakti kepada negara sehingga anasir surversif tidak boleh bermaharajalela di negara ini.

• Menginsafi banyak kebajikan bekas anggota terabai, sedangkan mereka pernah menyabung nyawa untuk keamanan negara samaada ketika aman atau dharurat.

Maka Muktamar Parti Islam Semalaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan 3 hingga 5 Jun 2011 mengusulkan,

• Supaya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menubuhkan Sekretariat Kebajikan Tentera Dan Veteran Malaysia (KERABAT) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri untuk memastikan kebajikan bekas pasukan tentera terjamin.

Pemilih: Pakatan tak boleh kekal jika gagal sekat BN, kata Mat Sabu

Posted: 05 Jun 2011 12:00 AM PDT

Oleh Zulaikha Zulkifli


GOMBAK, 5 Jun — Timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu memberi amaran negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor, yang menjadi idaman pentadbiran Najib, sukar boleh dipertahankan jika perikatan itu gagal menangani pendaftaran pemilih baru dalam satu jumlah yang besar.

"Tumpuan utama mereka sekarang ini adalah untuk tawan Selangor. Tapi adakah kita boleh kekal Selangor jika program daftar ini giat dibuat oleh BN?" kata beliau ketika membentangkan usul berkaitan Himpunan Bersih 2.0 pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di sini hari ini.

Usul itu mendakwa empat tuntutan utama Himpunan Bersih 2007 belum dilaksanakan.

Tuntutan itu ialah akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik, melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, memansuhkan sistem undi pos dan umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.

Tahun lalu, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta BN mempertahankan Selangor dengan apa cara sekalipun.

Dua minggu lalu, Najib menggesa hadirin Himpunan Sejuta Belia agar mempertahankan Putrajaya daripada dikuasai pembangkang.

Ketika membentangkan usulnya, Mohamad berkata, pendaftaran pemilih kini giat dijalankan oleh Umno-BN lebih-lebih lagi di Selangor.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, pada pilihan raya tahun 2004, pendaftaran pemilih mengalami peningkatan antara empat hingga tujuh peratus.

Katanya, "tujuh peratus itu berlaku apabila pendaftaran itu berlaku secara aktif."

"Di Terengganu, pada tahun 1999 hingga 2004, pertambahan daftar pemilih meningkat sehingga 17 peratus. Tak ada parti politik lain yang mampu buat semua ini, lebih-lebih lagi dapat pertolongan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis," katanya lagi.

Usul dibawa Mohamad disokong oleh perwakilan dari Hulu Selangor, Mohd Khairudin Osman.

Beliau berkata, pertumbuhan undi pada tahun 2010 melonjak sehingga 4,807 pengundi.

"Selain itu, jumlah keseluruhan pertambahan undi pada suku pertama tahun 2011 pula ialah sebanyak 80,000 dan peningkatan ini mengalahkan 17 peratus di Terengganu yang dicakap oleh timbalan presiden," katanya.

Mohamad turut menyifatkan kemenangan Umno pada setiap pilihan raya adalah disebabkan adanya undi pos sebagai penyelamat.

Kata beliau, undi pos merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh Umno semasa pilihan raya.

"Sebagai contoh semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, PAS sudah mendahului dengan 1,000 undi. Tetapi bila sampai sahaja undi pos, kita kalah dengan 58 undi sahaja dari Umno," katanya.

Oleh itu, dalam ucapan usul itu, Mohamad menyeru agar semua ahli PAS akan turut serta dalam Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2 (Bersih 2) pada 9 Julai di Kuala Lumpur.

"Saya menyeru, agar pada perhimpunan itu, ahli PAS sahaja melebihi 300,000. Kita akan bekerjasama dengan parti politik lain, NGO untuk membuat tuntutan dan berusaha agar pilihan raya umum ke-13 nanti akan diadakan secara adil," katanya.

PRU-13: PAS gesa Pakatan fail injunksi halang JPN

Posted: 04 Jun 2011 11:45 PM PDT

Oleh G Manimaran, Latifah Kasmuri dan Zulaikha Zulkifli

GOMBAK, 5 Jun — Pakatan Rakyat perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk perintah injunksi sementara terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menggantung pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, yang dikaitkan pembangkang sebagai komplot Umno-BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu terkandung dalam usul berkaitan pemalsuan kad pengenalan dibawa Dewan Ulama pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 hari ini.

Pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, sekali gus didakwa membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi menjadi isu yang dibawa oleh pembangkang sejak tahun lalu.

Usul itu menekankan bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutama kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

Malah usul itu juga berkata, pengeluaran kad-kad pengenalan bukan satu rahsia bagi dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui "projek IC" pada 1980 dan 1990 bagi menumbangkan kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah ketika itu.

"Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil 'unholly alliance' antara Umno-BN dengan JPN, yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa," kata usul itu.

Usul itu juga mendakwa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

Usul itu juga mendakwa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara tersebut.

Sehubungan itu, usul tersebut mendesak supaya satu suruhanjaya diraja siasatan diadakan bagi menyiasat pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

Usul itu juga mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga JPN khususnya mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak 10 tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

"Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku," katanya lagi.

Di samping itu, usul tersebut juga mendesak agar Pakatan Rakyat dan PAS memasukkan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebagai salah satu tuntutan dalam agenda Bersih 2.0 yang akan diadakan di ibu negara, 9 Julai ini.

Selain usul itu, muktamar kali ini juga membincang dan meluluskan usul berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Usul itu menggesa seluruh rakyat negara ini menyertai himpunan itu.

Himpunan Bersih pertama diadakan pada akhir 2007 menjelang pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.



Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS pusat menuntut agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang kini dilihat berleluasa.

Exconya Mohd Sany Hamzan berkata suruhanjaya itu perlu bagi mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu semasa pilihan raya.

"Saya dukacita dengan apa yang Umno lakukan. Mereka terpaksa lakukan pelbagai helah untuk memenangi pilihan raya. Sepatutnya Umno menjadi anak jantan dengan lawan satu dengan satu, bukan dengan melakukan pelbagai helah," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider selepas membahaskan usul itu. Selain itu, beliau juga berkata, isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing merupakan isu besar dan melibatkan keselamatan dan kesejahteraan negara.

"Isu ini besar. Ia melibatkan isu keselamatan dan kesejahteraan negara, jadi saya minta agar diadakan satu suruhanjaya untuk melihat soal pemberian kad pengenalan ini," katanya.

Beliau turut berharap agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat masuk campur menangani isu ini

Tambahnya, puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah. Kami juga ingin menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan JPN mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutama sejak sepuluh tahun kebelakangan ini.

Kami juga ingin mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku," katanya.

Ulasan Muktamar PAS: Berani pilih sedia berjuang

Posted: 04 Jun 2011 11:25 PM PDT

Ulama tidak kalah, profesional tidak menang dalam pemilihan PAS. Yang membentuk wajah PAS sekarang ialah gabungan kedua-dua kumpulan di samping mereka yang bukan ulama dan bukan profesional — guru, pegawai perkhidmatan awam, peniaga dan aktivis.

Pemisahan antara kumpulan-kumpulan itu yang wujud lebih sedekad lalu tidak lagi menjadi isu dalam PAS kerana latar belakang mereka disatukan atas kesetiaan perjuangan mereka berlandaskan perlembagaan parti.

Yang menang adalah para perwakilan yang dilihat kecewa dengan kelembapan kepimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat yang selama ini terganggu dek pujuk rayu Umno yang kononnya mahu mewujudkan perpaduan Melayu.

Yang kalah adalah mereka yang ditolak oleh para perwakilan kerana dianggap:

Tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, termasuk gagal memastikan kemenangan PAS dalam semua pilihan raya kecil sepanjang 2010 dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini;
Tidak mampu menggerakkan PAS dengan lebih cergas untuk sama-sama aktif dengan komponen-komponen Pakatan Rakyat; dan
Di segi teknikal, terlalu ramai calon dari pelbagai latar belakang merebut jumlah jawatan yang terhad — 6 calon untuk 3 jawatan naib presiden dan 53 calon untuk 18 jawatan ahli jawatankuasa pusat.

Kepimpinan PAS yang baru dipilih pada muktamat parti ke-57 ini adalah lebih seimbang berbanding dengan yang sebelumnya.

Dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kekal sebagai presiden, sokongan daripada timbalan yang baru dipilih Mohamad Sabu akan diperkukuhkan dengan tiga naib presiden — Datuk Husam Musa yang kembali menjawat (beliau adalah naib presiden 2005—09) bersama dua penyandang Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Walau pun media massa menggambarkan kumpulan profesional kini menguasai PAS, ia lebih menjurus kepada latar belakang para pemenang dan tidak dilihat di segi komitmen mereka kepada perjuangan PAS dalam era abad ke-21.

Dalam sidang akhbar selepas perasmian muktamar, Hadi apabila ditanya wartawan, menjelaskan: "Perpecahan dalam PAS tidak berlaku…Dr Haji Abas adalah Yang Dipertua PAS, Aminudin Baki (tokoh pendidikan Malaysia) dan juga Datuk Asri Muda (bekas Presiden PAS) semuanya bukan ulama, namun PAS kukuh kerana kepimpinannya secara kolektif untuk laksanakan Islam yang luas, bukan fahaman barat yang sempit".

Semalam presiden PAS itu menambah bahawa jawatankuasa pusat parti kini diwakili oleh lapan ulamak, dua doktor, dan selebihnya jurutera serta pemimpin masyarakat.

Lagi pula, jika benar pun profesional dikatakan mendominasi parti, mereka tidak mempunyai agenda lain kecuali tekad dengan perjuangan PAS yang selaras dengan dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat.

Pendirian itu juga telah banyak kali diulangi oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang bukan sahaja komited kepada Islam tetapi juga teguh pendirian beliau dengan dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang dilihatnya selaras dengan usaha Islam mebanteras gejala-gejala buruk yang dibawakan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Lebih dari itu, sayap ulama yang — kekal dipimpin oleh Datuk Harun Taib — dilihat lebih konservatif, dan walau pun mungkin ada antara mereka yang bernostalgia "perpaduan Melayu", akan memastikan usaha kepimpinan baru tidak lari dari landasan asas PAS.

Begitu juga kepimpinan sayap pemuda — kekal diterajui oleh Nasrudin Hassan — yang dilihat pro-ulama; mereka akan memastikan para pemimpin "dewasa" tidak terlampau ghairah untuk menang sehingga melupakan asas-asas perjuangan parti. Dalam masa yang sama, sayap pemuda juga mempunyai para pemimpin yang komited kepada dasar-dasar bersama Pakatan.

Sayap muslimat yang kini dipimpin oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof juga dilihat menjadi seimbang dan mahu penglibatan wanita yang lebih serius dan penting dalam parti.

Keseimbangan ini yang amat diharapkan oleh PKR dan DAP serta rakyat prihatin yang mahu melihat Umno dan BN diberi cabaran paling hebat dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini bukan soal Pas kemaruk mahu menang tetapi perlu bersama dengan rakan-rakan Pakatan untuk memulihkan pemerintahan negara yang terlalu lama dikuasai oleh Umno dan BN yang melahirkan budaya buruk seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, perkauman dan keagamaan yang sempit.

Adu domba Umno terutamanya melalui lidah rasminya Utusan Malaysia yang berkempen untuk "golongan ulama" termasuk secara terang-terang menyokong timbalan presiden yang kalah, Nasharudin Mat Isa, ternyata gagal mempengaruhi para perwakilan PAS dalam muktamar tahun ini.

Para perwakilan tidak terperangkap dengan dakyah Umno, sebaliknya tekad dengan perjuangan parti mereka walau sentiasa ditekan oleh pemerintah sejak zaman Merdeka lagi (kecuali sewaktu PAS berada dalam BN pada 1973-78).

Ucapan dasar presiden PAS juga menyusuri naluri perwakilan dan para ahli PAS yang mahu parti itu bergerak cergas setelah agak malap dirundung gangguan minda Umno sejak 2008.

Mereka menerima ketegasan ucapan Hadi yang menolak pakatan dengan Umno, yang mengulangi pendirian parti tentang negara Islam-negara berkebajikan dan yang mengingatkan semua tentang pentingnya pelaksanaan, dan bukannya cakap-cakap sahaja.

Hadi apabila yang ditanya wartawan mengenai negara Islam telah menjelaskan bahawa PAS lebih mementingkan isinya.

"Tema kita negara berkebajikan, ia sememangnya dah ada dalam Islam. Dalam al-Quran tak sebut negara Islam, dia sebut negara kebajikan, jadi kita laksanakan iaitu kita dahulukan yang ada persamaan," katanya.

Walau pun tidak diharapkan sebarang perubahan radikal dari PAS, sekurang-kurangnya rakan-rakan dalam Pakatan serta rakyat prihatin kini lebih yakin dengan komitmen PAS yang sebelum ini sentiasa dihujani kata-kata manis dan godaan Umno.

Pakatan Rakyat juga lebih selesa sekarang apabila PAS, sebagai parti yang terbesar dalam gabungan itu, akan mula menggerakkan jentera penerangan dan pilihan raya parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Wan Hamidi is a veteran journalist who has a penchant for rock music.

Mengapa perlu bimbang dengan perubahan

Posted: 04 Jun 2011 08:00 PM PDT

Oleh Abd Shukur Harun

Tidak syak lagi para penyokong perjuangan PAS meletakkan harapan tinggi kepada para perwakilan PAS dalam Muktamar

parti itu yang ke-57 .Harapan mereka ialah supaya para perwakilan yang akan berucap dan seterusnya memilih pucuk pimpinan menghantar isyarat jelas bahawa PAS memerlukan perubahan untuk menghadapi cabaran, terutama menjelang PRU ke-13 nanti

Dalam masa yang sama, rakyat prihatin juga memberikan perhatian sangat serius akan perjalanan, ucapan dan resolusi yang diambil PAS dalam muktamaranya kali ini. Justeru kerana begitu ramai yang menaruh harapan bahawa PAS akan menyerlahkan peranannya yang penting dalam mencorakkan strategi dan keupayaannya dalam Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan dalam PRU ke-13 nanti. DAP sudahpun berusaha memperkukuh pengaruhnya di kalangan rakyat, khususnya di kalangan bukan Islam, sementara PKR juga sudahpun berjaya melepasi krisis dalamannya dan sekarang ini sedang memperkukuh kedudukannya.

Dengan disaksikan oleh ribuan pemerhati dan ratusan wartawan dalam dan luar negeri, Muktamar kali ini sangat penting untuk dilihat apakah PAS yang sudah berumur lebih setengah abad itu mempunyai kemampuan melakukan perubahan sesuai dengan masa dan keadaan bagi menghadapi cabaran yang demikian sengit.

Tidak perlu ada sebarang ketakutan atau kebimbangan dengan apa yang dimaksudkan tuntutan perubahan dengan segala konotasinya, justeru semua perkara berubah kerana ia sunnahtullah. Demikian juga PAS yang telah berusia lebih setengah abad dengan sejarahnya yang panjang – dari pimpinan dahulu hingga kepimpinan sekarang - ditandai oleh pelbagai perubahan – sesuai dengan keadaan dan zamannya.

Bukankah Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menegaskan dalam Ucapan Dasarnya dulu, "bahawa PAS memerlukan perubahan dan mempastikan sentiasa dalam proses perubahan, seperti air yang mengalir dari gunung ke bukit dan seterusnya ke sungai, ia mengalir dan bersih serta boleh dimanfaatkan."

Tetapi air yang bertakung, tidak mengalir dan tidak berubah, katanya, adalah kotor dan tidak boleh digunakan kerana ia memudaratkan.

Analogi ini wajar difahami oleh warga PAS, khususnya para perwakilan yang akan menentukan arus perjalanan PAS, sama ada ia menghantar isyarat yang jelas untuk melakukan perubahan atau sebaliknya.

Perubahan yang dimaksudkan di sini bukan sekedar melihat kepada tokoh yang menang atau yang kalah dalam pertandingan pucuk pimpinan nanti, tetapi lebih kepada isyarat yang dipancarkan dalam Muktamar itu sendiri, seperti nada ucapan para pimpinan, ucapan perbahasan, usul-usul dan seterusnya resolusi yang diputuskan. Ini semua menjadi perhatian banyak pihak yang melihat dari pelbagai sudut.

Oleh itu tidak ada apa yang dikhuatirkan terhadap tuntutan perubahan, justeru mereka yang menghendaki perubahan itu, saya yakin, datang dari mereka yang ikhlas dan benar-benar ingin melihat PAS gagah perkasa sesuai dengan usia, pengalaman dan falsafah perjuangannya.

Tidak ada pihak yang rugi atau ditinggalkan dalam proses perubahan ini, kecuali mereka yang memang tidak mahu atau tidak mampu berubah serta mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam menjalankan tugas dalam parti.

Bayangkan, Ikhwaniul Muslimin Mesir telah melakukan perubahan terutama selepas Revolusi Medan Tahrir, Mesir baru-baru ini, demikian juga perubahan kepada strategi Gerakan Islam An-Nahdah pimpinan Rashad Ghanouchi selepas Revolusi Jasmin di Tunisia. Parti AK pimpinan Recep Tayyeb Erdogan, Turki juga telah melakukan perubahan.

Bekas Presiden Amerika, John F Kennedy pernah berkata, "Perubahan akan terus berlaku dan mereka yang enggan berubah akan ditinggalkan." Oleh itu, perubahan tetap berlaku, sama ada kita bersedia atau sebaliknya.

Sementara itu, pelbagai pihak ingin melihat PAS meningkatkan lagi interaksi dengan pelbagai golongan rakyat – Islam dan bukan Islam - serta concern kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat pelbagai kaum. Ini supaya PAS dilihat benar-benar mengisikan konsep dan falsafah PAS For All.

Dengan itu ucapan para pemimpin di atas pentas dan perwakailan yang berucap di bawah mestilah menghantar isyarat jelas bahawa PAS For All itu bukan sekadar retorik, tetapi dilaksanakan sepenuhnya. Ini harapan pelbagai pihak terhadap Muktamar ke-57 ini.

Sementara itu, dari pengamatan saya terhadap beberapa Muktamar PAS yang lalu, ada kedapatan sesetengah perwakilan berucap mengulang-ngulang 'membelasah' Umno-BN dan pemimpin mereka tidak habis-habisnya, sehingga memakan masa yang panjang. Seolah-olah Muktamar adalah pentas Ceramah Perdana. Sepatutnya dibahaskan hal-hal yang lebih penting, umpamanya hala tuju PAS di masa depan, persiapan menghadapi cabaran dan sebagainya.

Bagaimanapun, memang ada pembahas yang menyampaikan hujah bernas dalam perbahasan mereka. Biasanya mereka ini membuat home work dan merujuk kepada teman-teman yang lain untuk meminta pandangan ketika menyediakan ucapan. Ini sewajarnya dilakukan oleh pembahas yang lain. Sementara itu, sepanjang ingatan saya, untuk pertama kalinya begitu banyak tokoh yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan dalam Muktamar ini - daripada Timbalan Presiden membawalah kepada AJK PAS Pusat. Ini sangat positif kerana membuka peluang luas kepada para perwakilan memilih tokoh terbaik dari yang terbaik secara demokrasi.

Inilah masanya perwakilan meneliti semasak-masaknya prestasi para tokoh itu dimasa lalu, keterampilan mereka, ilmu dan wawasan serta akhlak mereka. Semua ini untuk dinilai dan akhirnya dipilih. Inilah ukuran mutlak dalam pemilihan, bukan berdasarkan dari golongan mana mereka datang.

Tidak syak lagi, Muktamar PAS ke-57 ini sangat penting dan menjadi tumpuan perhatian pelbagai pihak, di tengah-tengah gelora politik dan cabaran yang kelihatannya sangat luar biasa. Taman Melewar, tempat Muktamar itu berlangsung akan segar kembali dengan pelbagai nostalgia, riwayatnya yang agung dan nama-nama besar yang terukir di sana. Ia juga sedang menyaksikan perubahan politik dan masyarakat sekeliling yang begitu pantas.

Ia menjadi sebuah monument gerakan Islam yang akan diingati sepanjang hayat. Namun, setiap yang berkunjung ke Taman Melewar itu akan segera terkenangkan Almarhum Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ustaz Hasan Shukri. Semua mereka ini – bersama rakan seperjuangan yang lain - telah melakar sejarah PAS yang hebat.

Generasi masa kini PAS menjadi pewaris meneruskan perjuangan mereka. Selamat bermuktamar.

Pasukan terbaik hadapi PRU-13

Posted: 04 Jun 2011 07:00 PM PDT

Oleh Abd Shukur Harun

Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasharudin 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.


Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat (753) undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.

Saya sendiri yakin, team ini boleh membantu Presiden memperkukuh parti, terutama dalam mendepani PRU Ke-13.

Tidak timbul soal golongan ulama atau professional yang menang, justru semua yang menang itu telah dipilih oleh perwakilan dengan penuh pertimbangan dan kewarasan.

Bagi para pemerhati, jika team ini memperlihatkan prestasi yang baik, mereka akan menjadi pewaris kepimpinan PAS masa depan.

Pada pendapat saya, para perwakilan membuat pilihan ini berdasarkan:

1) Prestasi kerja mereka selama ini.

2) Tidak mengambil kira dari golongan mana mereka datang.

3) Keterampilan mereka.

4) Pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka.

5) Rapatnya hubungan mereka dengan rakyat pelbagai kaum dan agama.

6) Sudah berjaya menempuh pelbagai ujian pahit dalam sepanjang perjuangan mereka.

7) Istiqamah mereka kepada dasar perjungan PAS selama ini.

Pemilihan pucuk pimpinan dalam Muktamar ini sangat demokratik dan ini menunjukkan PAS telah membuktikan bahawa demokrasi benar-benar berjalan dan hidup dalam PAS.

Tidak ada politik wang, tidak ada kempen besar-besaran, tidak ada kempen buruk-memburukkan seseorang tokoh.

Suruhanjaya Pilihanraya Pimpinan PAS ini yang diketuai oleh Datuk Abdul Hakim Abd Rahman kelihatannya sangat tenang dan selesa menjalankan tugasnya tanpa sebarang gangguan.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani Shamsuddin (579)
10) Datuk Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Datuk Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)

Muktamar PAS Ke-57 ini memperlihatkan tingginya disiplin warga PAS, dari pucuk pimpinan di atas pentas, para perwakilan hingga kepada para pemerhati yang ribuan banyaknya.

Para wartawan dari pelbagai media mendapat layanan mesra dari semua pimpinan, bukan saja dari pemimpin yang menang, mahupun yang kalah.
Ini memancarkan mesej keterbukaan pimpinan PAS walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Kesimpulannya, PAS semakih kukuh dan saya yakin pemilihan kali ini akan memperkukuh lagi Pakatan Rakyat.

Perkukuh PAS hadapi Umno-BN dan PRU-13

Posted: 04 Jun 2011 06:00 PM PDT

Oleh SAFAR JUMAAT

APA pun niat perwakilan datang ke Muktamar Tahunan PAS ke-57 kali ini, satu perkara yang perlu fokus ialah persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang boleh diadakan bila-bila masa, mungkin Julai dan mungkin November, atau mungkin tahun depan.

Masa sudah tidak ada untuk memikirkan soal pertandingan dalam PAS, kerana pertandingan dalam parti sebenarnya tidak memberi apa-apa makna kepada parti, jika PRU-13 nanti, PAS tidak dapat menambah kecemerlangan yang dicipta dalam PRU- 12, tiga tahun yang lalu.

PAS kini menjadi rebutan. Bukan sahaja PAS perlu terus bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) tetapi Umno kini berhempas pulas mengharapkan PAS meninggalkan DAP – sekali gus menjauhkan diri dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) – untuk bersama-sama Barisan Nasional (BN), menghadapi PRU-13.

Jika PAS hanya mempunyai satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dun, tiada siapa memperdulikan PAS. Tetapi, melihat kepada kekuatan dan pengaruh PAS yang semakin kukuh, PAS mula menjadi rebutan.

Para perwakilan kena ingat dan mengingatkan! Terus berada dalam situasi sekarang, kerana tiada siapa yang mahukan PAS, jika PAS lemah dan tiada siapa yang memperdulikan PAS, jika PAS tidak kuat, seperti dulu.
Hari ini, ketika PAS mahu bermuktamar, Utusan Malaysia yang selama ini tidak pernah simpati kepada PAS, tidak pernah mahu memberi ruang kepada parti ini, tiba-tiba sibuk menulis artikel, kononnya perwakilan perlu berhati-hati dengan dua golongan dalam parti.

Pertama, tulis mereka, dari kalangan profesional dan kedua, dari kalangan ulama. Penulisnya cukup risau jika calon yang Umno minati tidak menang dan Utusan Malaysia juga seolah-olah mahu menasihatkan perwakilan supaya berhati-hati membuat pilihan.
Bimbang benar Utusan Malaysia. Apakah mereka bimbang kerana mereka memang mahukan PAS terus kukuh atau mereka bimbang kerana mereka takut PAS akan terus memusuhi Utusan Malaysia, yang selama ini terlalu Umno pendiriannya.

PAS sebenarnya tidak perlu memusuhi Utusan Malaysia tetapi Utusan Malaysia memerlukan PAS memusuhi mereka, untuk mudah mereka menarik simpati dari golongan berada di dalam Umno, bertujuan mencari penajaan dan laba bagi menyambung hayat Utusan Malaysia yang didakwa beberapa pihak, cukup merosot edarannya.
Bayangkan, ketika Utusan Malaysia mahu dicebik oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), berhimpunlah 70 orang dari Perkasa dan 70 orang dari Pergerakan Pemuda Umno.

Pun, ada yang mendakwa, Kimma juga menghantar wakilnya, tetapi tidak menambah jumlah anggota Perkasa dan Pergerakan Pemuda, yang dilapor oleh Berita Harian, sekitar 150 orang.

Nasib baik tiada akhbar melaporkan, di mana 150 orang dari Perkasa dan Pergerakan Pemuda Umno ini bersolat Jumaat? Bimbang juga, jika mereka terlalu ghairah mahu menghadirkan diri untuk tujuan membela Utusan Malaysia, mereka tidak terjumpa masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Oleh itu, para perwakilan PAS yang datang dari seluruh pelosok tanah air, usah membuang masa dengan cerita remeh-temeh. Tumpukan kepada kekuatan jemaah dan rapatkan lagi saf.

Pastikan persiapan untuk menghadapi halangan dan rintangan yang akan dibuat oleh BN dapat dihadapi dengan penuh kematangan. Jangan terperangkap dengan perangkap yang dipasang BN. Jangan terpesona dengan tawaran yang mungkin mengabui mata.

Perjuangan PAS, macam dulu-dulu juga. Jika perlu berhimpun untuk menyatakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti ura-ura Perhimpunan Bersih 2 yang akan diadakan, mereka kena bersama-sama.

Tunjukkan kepada SPR bahawa ada rasa curiga di kalangan pengundi di negara ini terhadap suruhanjaya itu. Jangan ada rasa gentar dan jangan ada rasa selesa dengan kedudukan sekarang.

Betul, PAS menang banyak kerusi dalam PRU-12 yang lalu. PAS sudah boleh rasa selesa sekarang ini dan berpuashati dengan apa yang ada. Tetapi, selagi tidak berjaya ke Putrajaya, apalah makna kemenangan yang dikecapi itu.

Para perwakilan kena berbahas dengan mutu perbahasan yang terbaik. Jangan londeh-melondeh sama-sama sendiri. Jangan bergaduh dengan kawan-kawan dalam satu parti, melebihi bergaduh dengan musuh di luar parti.

Kerja bergaduh ini perwakilan serahkan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Mereka suka bergaduh sama-sama sendiri. Mereka suka londeh-melondeh sama-sama sendiri.

Misalannya, siapa yang menyerang Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Perdana Menteri? Jawapannya Tun Dr Mahathir Mohamad. Jadi, bila Dr Mahathir bertindak keluar Umno, bukan kerana PAS desak, tetapi kerana dia marahkan Abdullah.

Perangai hodoh puak-puak Umno bila berbalah, jangan dibuat oleh ahli-ahli PAS. PAS lahir ke bumi ini, bukan untuk merebut kuasa sesiapa tetapi untuk memperbetulkan keadaan politik yang tidak menentu.

Macam-macam Umno sudah buat di Kelantan untuk menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tetapi selagi ahli-ahli parti bersatu, pengundi faham situasi politik dan rakyat tidak memberontak, PAS akan terus berkuasa di Kelantan seperti sekarang.

Yang Umno risau, orang Melayu kini sudah tidak percaya Umno. Inilah juga sebab mengapa Utusan Malaysia risau. Mereka cuba laga-lagakan calon-calon yang bertanding dalam PAS. Mereka bubuh label, kononnya ada golongan profesional dan ada golongan ulama.
Mereka bimbang PAS semakin kuat, sebaik sahaja selesai pemilihan. Mereka risau, Utusan Malaysia akan jatuh merudum sebaik sahaja selesai muktamar ini.

Itulah sebabnya, sedaya-upaya mereka mahu melibatkan diri dalam pemilihan ini. Mereka takut ketinggalan kerana mesej yang hendak mereka sampaikan, tidak ke mana-mana, jika orang Melayu dan perwakilan PAS tidak membaca apa yang mereka tulis dan apa yang mereka siarkan.

Kasihan Utusan Malaysia. Walaupun mereka terbit setiap hari dengan saiz yang cukup besar, mereka macam tak terlawan pengaruh Harakah yang hanya terbit seminggu dua kali.

Mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS tentang Negara Islam

Posted: 04 Jun 2011 05:00 PM PDT

By Dr Mohd Asri Zainul Abidin


4 JUN — Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.

Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: "Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan".

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.

Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization). Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu.

Apabila perkataan 'daulah Islamiyyah' atau Islamic state muncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah islamiyyah atau Islamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik.

Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan 'negara Islam' itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.

Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan.

Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan 'negara islam' atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.

Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam.

Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang condusive yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.

Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud 'negara kebajikan' yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.

Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran.

Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain.

Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah pensyarah di Universiti Sains Malaysia dan bekas Mufti Perlis.

Tiada ulasan: