Kelab Greenboc |
- Isu Lynas Akan Dibawa Ke ICJ
- Ketua Puteri & Setiausaha UMNO Bahagian Jerlun Digugurkan Kerana Kes Khalwat
- Ini Dia - Tukang Pancung Paling Masyur Di Makkah
- SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0 - Dr Haron Din
- Polis Turut Panggil Sasterawan Negara, A.Samad Said
- Negara Demokrasi Jamin Hak Berhimpun Secara Aman-Senator Pattani
- Himpunan Bersih: Rakyat Tak Gentar Dengan Tekanan & Ugutan
- Kalau Najib Anak Jantan, Jangan Halang Himpunan Aman Bersih
- Lebih Ramai Ditangkap Lebih Banyak Kerusi UMNO BN Melayang Dalam PRU13!
- Frotilla II Gaza, PR Tidak Serta, Hanya NGO Pro-BN Yang Pergi
Posted: 27 Jun 2011 12:50 AM PDT Bawa usul isu Lynas ke ICJ KUANTAN- Save Malaysia akan mengusulkan isu Lynas ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),The Hague, di Belanda untuk penyelesaian jika segala ikhtiar untuk menghentikan operasi syarikat itu di kawasan perindustrian Gebeng di sini menemui jalan buntu. Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata usaha itu adalah langkah drastik yang diperlukan dan mengharapkan rakyat Australia memahami situasi dan tindakan itu. Menurutnya, tindakan itu perlu memandangkan tindakan syarikat itu seperti tindakan sebuah negara maju dari Negara Dunia Pertama membuli negara dari Dunia Ke-3 dan bukan sekadar warga Kuantan menentang Lynas semata-mata. "Malah seramai 12 ahli dari Save Malaysia termasuk saya akan membentangkan isu ini di Parlimen Australia bermula 3 hingga 9 Julai depan. "Selain itu, kita akan melakukan demonstrasi jalanan di sini jika operasi Lynas diteruskan walaupun dihalang pihak berkuasa," katanya selepas perjumpaan dan penerangan bersama 10 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Malaysia serta orang ramai di sebuah hotel di sini, semalam. Seminar bermula jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 5 petang itu berjaya menarik lebih 150 orang ramai dan mendapatkan penerangan daripada tiga ahli panel berkelayakan. Bun Tee berkata, seminar itu antara usaha pertubuhan itu untuk menyampaikan mesej bahawa isu tersebut bukan sekadar menjejaskan warga Kuantan namun ia turut berkaitan dengan rakyat dan menjadi isu nasional. Ditanya jika Save Malaysia mendapat jemputan untuk berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lynas, Nick Curtis, beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang jemputan namun tidak menolak berjumpa untuk menyelesaikan isu tersebut. Sementara itu, pada paginya, bermula jam 7.00 pagi, satu Perarakan Solidariti anjuran pertubuhan itu berjaya mengumpulkan kira-kira 3,000 orang ramai di Bukit Pelindung sebagai simbolik bantahan aman terhadap syarikat pemprosesan nadir bumi itu. Orang ramai mula berkumpul di kaki bukit itu sebelum memulakan pendakian kira-kira jam 8 pagi dam berjaya sampai ke puncaknya pada jam 9.30 pagi. -SH |
Ketua Puteri & Setiausaha UMNO Bahagian Jerlun Digugurkan Kerana Kes Khalwat Posted: 26 Jun 2011 11:50 PM PDT Ketua Puteri Umno Jerlun Yusmawati Yaacob dan Setiausaha Umno bahagian itu, Jasmi Mohd Ismail digugurkan daripada jawatan masing-masing ekoran kes berkhalwat yang sedang mereka hadapi di Mahkamah Syariah, lapor media hari ini. Gambar: Yusmawati kelihatan sedang meninggalkan Mahkamah Rendah Syariah Jitra, di Kedah, pada 22 Jun lalu di atas dakwaan berkhalwat, manakala Mohd Jasmi (gambar sisipan) turut didakwa dengan pertuduhan sama. -- Foto THE STAR Pengerusi Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, surat berkaitan pengguguran jawatan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, 24 Jun lalu. "Kes ini merupakan kes yang pertama di Kedah dan saya yakin mereka telah pun menerima surat pengguguran jawatan itu," katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini. Isnin lalu, Yusmawati dan Jasmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kubang Pasu atas tuduhan bersekedudukan di sebuah rumah pada bulan lalu. Mereka yang bukan mahram ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di sebuah rumah di Taman Tunku Sarina di sini pada pukul 1.20 pagi, 11 Mei lalu. Jasmi dan Yusmawati didakwa bersekediaman, bersekedudukan, berkurung atau bersembunyi tanpa ikatan sah mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988. Menurut Ahmad Bashah, ekoran perkembangan itu, Naib Ketua Puteri Umno Jerlun, Siti Hajar Ahmad Hayazi dilantik memangku jawatan Ketua Puteri sehingga pemilihan peringkat parti diadakan kelak. Kata beliau, pelantikan berkenaan selaras dengan Fasal 12.8 Peraturan Pergerakan Puteri Umno. Tambah beliau, bagi jawatan pengganti Jasmi pula akan diputuskan oleh Ketua Umno Jerlun, Datuk Abu Hasan Sharif. |
Ini Dia - Tukang Pancung Paling Masyur Di Makkah Posted: 26 Jun 2011 09:50 PM PDT Makkah: Encik Abdallah bin Said Al-Bishi mewarisi kerjaya ayahnya - tukang pancung bagi mereka yang dihukum mati di Arab Saudi. Gambar: TIADA RASA BELAS: Encik Abdallah, dengan pedang bernama 'Sultan' yang digunakan bagi memenggal kepala pesalah, berkata tukang pancung tidak boleh berasa belas terhadap orang yang akan dipancungnya. -- Foto tempointeraktif.com Beliau antara tukang pancung paling masyhur di negara itu. Stesen televisyen Lebanon, LBC TV, pernah menyiarkan wawancara khas dengan Encik Abdallah pada 4 November 2006. Tukang pancung seperti Encik Abdallah yang bertugas mencabut nyawa pesalah, termasuk warga Indonesia, Ruyati Satubi, yang dipancung baru-baru ini. Pelaksanaan hukuman mati itu dijalankan di kota Makkah dan mencetuskan bantahan di Indonesia. Ruyati, 54 tahun, disabit kesalahan membunuh majikan perempuannya dengan pisau potong daging. Encik Abdallah memulakan tugas pertamanya pada 1991, seminggu setelah ayahnya meninggal dunia. Beliau berusia 32 tahun waktu itu. Pada hari pertama bertugas, beliau memancung tiga orang. Pedang bernama 'Sultan' warisan ayahnya itu melengkung seperti bulan sabit dan panjang setengah meter. Encik Abdallah mengaku gugup saat pertama memenggal kepala orang. 'Setiap orang akan gugup ketika memulakan pekerjaan baru kerana takut gagal,' katanya. Beliau mengaku telah memancung lebih 100 kepala. Semasa kecil, Encik Abdallah pernah menyaksikan ayahnya memenggal kepala seorang pembunuh di depan gerbang Raja Abdul Aziz. Beliau mengikuti ayahnya menjalankan tugas kerana ingin melihat organ pencernaan, sebagaimana dipelajari di sekolah. 'Namun, yang saya lihat ialah kepala manusia melayang. Dari lehernya darah mengalir seperti telaga. Cukup dan saya tak tahan lagi,' ujarnya. Malamnya, beliau susah tidur dan bermimpi ngeri. Arab Saudi mengenakan hukuman pancung ke atas pesalah kes bunuh. Hukuman itu biasanya dibatalkan jika keluarga mangsa memaafkan pesalah, yang diharuskan membayar diyat (wang pengganti) yang ditetapkan keluarga mangsa. Menurut ahli psikologi daripada Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Dr Turki Al-Atyan, syariat Islam memerintahkan hukuman mati dilaksana dengan cara memenggal kepala, bukan gantung atau tembak. Bagi memuluskan tugasnya, Encik Abdallah memakai hanya pedang buatan Jowhar yang dibuat dari besi keras agar tidak mudah patah dan memang khusus bagi memancung kepala. Jowhar sebuah kota kecil di Somalia, sekitar 90 kilometer sebelah utara ibu kota Mogadishu. Ayah tiga anak itu berkata beliau tidak berasa apa-apa perbezaan ketika memancung pesalah lelaki atau perempuan. Bahkan, beliau mengaku pernah memenggal kepala temannya yang dikenakan hukuman mati. Selain memenggal kepala, Encik Abdallah melaksana hukuman potong tangan atau kaki. Pesalah potong tangan dibius dulu. Encik Abdallah berkata syarat utama menjadi tukang penggal ialah seseorang itu tidak boleh berasa belas terhadap orang yang akan dipancung. 'Jika saya kasihan akannya, dia akan menderita. Apabila hati ini berasa kasihan, tangan bakal gagal,' katanya. -- Agensi. |
SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0 - Dr Haron Din Posted: 26 Jun 2011 08:40 PM PDT Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini. Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka. Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak. "Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya. "Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin. Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam. Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini. Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini. Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu. Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau. Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat. "Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau. -tvsnews
|
Polis Turut Panggil Sasterawan Negara, A.Samad Said Posted: 26 Jun 2011 06:55 PM PDT Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini. The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu. Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul "Unggun Bersih". Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat "Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/". Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau. Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi. Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini. Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini. Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno. "Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini)," kata beliau dalam mesej Twitternya. Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis. "Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!," kata beliau dalam mesej Twitternya. Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa "murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini." "Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan," kata beliau. Beliau seterusnya berkata, "kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?" "Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela? "Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni," kata Samad lagi. -TMI
|
Negara Demokrasi Jamin Hak Berhimpun Secara Aman-Senator Pattani Posted: 26 Jun 2011 05:40 PM PDT Senator Dewan Negara Thailand bagi daerah Pattani, Dr Worawit Baru @ Ahmad Idris menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai satu kempen penting dan tidak perlu dihalang kerana ia biasa berlangsung di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi. Menurut beliau tuntutan terhadap pilihan raya yang adil dan bersih merupakan tuntutan semua warganegara. "Perhimpunan (ini) merupakan kempen untuk perhimpunan yang bersih, yang adil, yang terlepas daripada sebarang tuduhan. "Jadi saya ingat (ia) pentinglah kalau kerajaan atau mana-mana pihak tidak ada sesuatu (untuk disorokkan)," kata Dr Worawit. Himpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini mendapat tentangan teruk daripada kerajaan Malaysia dan pertubuhan berkaitan Umno seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan media arus perdana. Dr Worawit yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Buruh dan Kebajikan Sosial Pattani menyatakan itu perkara biasa memandangkan BN takut kehilangan hegemoni kuasa mereka. Beliau juga menyatakan keyakinannya dengan keupayaan pimpinan Pakatan Rakyat untuk mentadbir Malaysia jika memenangi pilihan raya umum akan datang. "Pakatan Rakyat beri gambaran baru (dalam politik Malaysia), melangkaui etnik, tetapi masih lagi menghormati kaum yang banyak," kata Dr Worawit. Beliau yang mengenali Anwar sejak 30 tahun lalu turut menyatakan beliau yakin Anwar boleh melakukan perubahan itu. Menurut beliau, Anwar ketika masih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah menyatakan hasrat untuk membaiki sistem politik Umno ketika itu. "Saya masih ingat dulu, Anwar pernah kata dia nak masuk Umno untuk mengubah Umno dari dalam," katanya. Pada masa yang sama, Dr Worawit sempat menyeru Pakatan Rakyat untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan momentum perubahan yang sedang melanda rakyat Malaysia. "Kalau kita nak lawan dalam politik berdepan BN, strategi kena tetapkan, kajian kena jalankan, dan kerja kena kuat. "Malaysia ini jadi susah nak tukar sebab rakyat Malaysia sudah biasa diperintah Barisan Nasional," kata Dr Worawit. -tvsnews |
Himpunan Bersih: Rakyat Tak Gentar Dengan Tekanan & Ugutan Posted: 26 Jun 2011 04:00 PM PDT Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih Pihak berkuasa akan menggunakan apa sahaja ruang dan segala bentuk undang-undang untuk menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0 termasuk menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong. Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, senario seperti itu memang berlaku di Malaysia apabila suara rakyat mengatasi suara kerajaan, Beliau yang juga Adun Kota Damasara berkata, penahanan 30 anggota parti itu yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, jelas membuktikan usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak mereka. "Dalam hal ini senang sahaja. Kalau kerajaan beri arahan, kita tidak ikut, dan Agong restu ikut Perlembagaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau apa sahaja. Jadi mereka boleh katakan begitu. Semua undang-undang, kalau anda pertikai, mereka boleh kata anda melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong,"katanya. Portal The Malaysian Insider melaporkan, 30 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Kesemuanya aktivis PSM ini ditahan semalam di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang. Selain itu beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PAS juga turut ditahan kerana memakai pakaian berwarna kuning di beberapa tempat seperti Kapar dan Ampang Roadshow Bersih 2.0 di Uptown Shah Alam turut dikepung polis dan Timbalan sayap pemuda parti itu ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran manakala satu lagi roadshow di Assam Jawa, Kuala Selangor turut diganggu Polis. Menurut Dr Nasir, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak mustahil provokasi polis akan menjadi lebih keras demi menakutkan rakyat dari menyertai himpunan aman ini. Walau bagaimanapun katanya kepada Tv Selangor, apa jua cara yang digunakan kerajaan, ia tidak akan mampu menghalang kuasa dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini. " Memang cukup terdesak mereka ini. Tak makan akal. Tapi ini yang mereka lakukan sekarang ini. " Kita jangkakan akan ada perkara yang lebih teruk akan berlaku tetapi rakyat mereka tidak dapat lawan,"katanya. -tvsnews
Ulasan GB Ketawa besar melihat telatah UMNO BN yang semakin semput. Semakin merapu dan meraban. BERSIH nak perangi Agonglah, nak hidupkan fahaman komunislah, nak gunakan ISA terhadap penganjurlah, nak gunakan tenteralah... Di zaman dimana kita berada di dalam era teknologi maklumat ini, masih ramai rupanya mentaliti lembu yang cuba nak mengugut dan memperbodohkan rakyat sedemikian rupa. |
Kalau Najib Anak Jantan, Jangan Halang Himpunan Aman Bersih Posted: 26 Jun 2011 06:45 AM PDT Siapa Perlu Tonjolkan Diri Sebagai Anak Jantan? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat kenyataan mengelirukan apabila mencabar Pakatan Rakyat supaya berdepan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai "anak jantan" dan bukan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Najib mendakwa matlamat utama Himpunan Bersih 2.0 adalah mahu menimbulkan huru-hara dalam negara. "Pada pembangkang (Pakatan Rakyat) bila mereka melihat kita terus bergerak ditambah pula kemenangan pada pilihan raya kecil yang lalu dan pilihan raya negeri Sarawak, jadi bagaimana mereka mahu merampas momentum ini sebab momentum ini ada pada kita. "Mereka buat kesimpulan untuk mendapatkan kuasa dengan mengadakan Himpunan Bersih 2.0, bukan untuk serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atau mahu sistem pilihan raya yang adil tapi nak buat huru-hara. "Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di sini. Kenyataan Perdana Menteri itu tersasar kerana Pakatan Rakyat sememangnya akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, malah itulah nadi utama segala aktiviti parti politik. Namun pada masa sama, Pakatan, sebagai sebuah gagasan "anak jantan", mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil, justeru, ia memberi sokongan bulat kepada Perhimpunan Bersih 2.0. Bersih 2.0 adalah anjuran pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk gabungan pelajar Islam dan Abim. Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan beberapa kali mengundang parti komponen BN untuk bersama-sama dalam gerakan bagi memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun ia mendapat sambutan dingin. Oleh kerana itu, amat mudah untuk pemimpin seperti Najib menyerang Bersih sebagai kononnya alat pembangkang untuk mencetuskan huru hara. Dalam ucapannya hari ini, Najib juga merujuk kepada kemenangan BN di Sarawak sebagai bukti "momentum" atau rentak memenangi pilihanraya ada ditangan BN. Sebenarnya Pakatan Rakyat melipatgandakan kemenangannya dari tujuh kerusi kepada 15 kerusi pada PRN Sarawak April lalu. Pilihan raya itu juga memaksa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud untuk mengumumkan tempoh persaraan beliau selepas pemerintahan 30 tahun yang dibelit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa. Jangan lupa kemenangan Pakatan itu diraih walaupun Barisan Nasional menguasai segala jentera kerajaan, media arus perdana dan menabur wang yang dikatakan berjumlah kira-kira RM500 juta ringgit untuk mengekalkan majoriti dua pertiganya. Walaupun menang, jumlah undi untuk BN di Sarawak merosot kepada 54.5 peratus berbanding 62.9 peratus pada pilihan raya negeri sebelumnya. Justeru, janganlah dibanggakan sangat kemenangan BN di Sarawak. Najib juga mendakwa BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya seperti mana yang didakwa Pakatan Rakyat. "Kalau kata pilihan raya ini tidak adil kenapa kita nak serah Selangor, kenapa nak serah Pulau Pinang, kenapa PAS boleh perintah 20 tahun di Kelantan. "Kalau kata kita manipulasi pilihan raya sudah tentu semua negeri akan jadi milik BN, kita tidak manipulasi pilihan raya tapi kita didokong rakyat," kata Najib. Alasan lapuk yang diguna pakai sejak zaman Tun Dr Mahathir ini mudah dijawab. Tsunami politik yang melanda Malaysia tahun 2008 menyebabkan segala undi pos, pengundi hantu dan amalan-amalan lain tidak cukup untuk menongkah arus sokongan luar biasa rakyat terhadap PR. Kotak-kotak undi pos dan pengundi hantu hanya memadai untuk mengurangkan jurang sokongan yang diperolehi oleh calon-calon PR di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan namun tidak cukup untuk menafikan mereka kemenangan. Namun begitu, di Perak, majoriti tipis Pakatan Rakyat membolehkan Umno cepat-cepat merampas semula negeri itu kerana tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP sanggup lompat keluar diselubungi dakwaan mereka menerima ganjaran lumayan. Oleh itu penguasaan PR di beberapa negeri tidak harus dijadikan contoh untuk menghalalkan SPR sebagai sebuah badan yang bersih dan berkecuali atau pun BN tidak memanipulasi proses pilihanraya. Hakikat ialah pilihanraya di negara ini sentiasa dibayangi oleh masalah ketelusan undi pos dan pengundi hantu. Pada zaman Mahathir, fenomena itu diburukkan lagi dengan pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN di Sabah. Kini projek IC Sabah dikatakan menular di Semenanjung selain masalah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain. Berlatarbelakangkan semua ini, tidak harus timbul keraguan dalam tekad pembangkang mahukan sebuah SPR yang berwibawa. Pada masa sama "kejantanan" Pakatan untuk menghadapi Umno-BN pada PRU akan datang tidak juga perlu diragukan. Persoalannya adakah Najib dan Umno anak jantan yang sanggup bertanding secara adil, tanpa menguasai media arus perdana, dan tanpa menggunakan kemudahan awam serta dana rakyat untuk menyogok pengundi. Jika jawapan adalah YA, saya yakin penganjur Bersih tidak akan keberatan untuk membatal gerakan mereka. -wira arjuna
Ulasan GB Jika Najib boleh mencabar jika anak jantan, bertanding dalam pilihanraya, maka kita juga boleh mencabar Najib anak jantan, jangan sekat perhimpunan aman Bersih 2.0 yang menuntut sistem pilihanraya di negara ini dijalankan dengan bersih,telus dan adil! Jika yakin SPR sudah jalankan secara bersih, telus dan adil, kenapa takut dengan perhimpunan walaupun berjuta rakyat menyertainya? Tetapi apabila kamu sendiri tahu bahawa pilihanraya itu telah dilaksanakan dengan kotor dan penuh penipuan, itu sebab perhimpunan walaupun 5 orang dirasakan semacam 5 juta orang. Ia umpama mimpi ngeri buat UMNO BN. Kerana sejarah telah membuktikan, BN gagal memnguasai majoriti 2/3 parlimen sehingga begitu ramai menteri kabinet kecundang dan terkangkang untuk mempertahankan parlimen masing-masing selepas perhimpunan Bersih I pada tahun 2007. GB ingin menyatakan bahawa UMNO BN boleh halang rakyat berhimpun, boleh gagalkan BERSIH 2.0, boleh memperkudakan SPR sepuas hati, TETAPI hukuman rakyat dan hukuman Allah tetap berjalan. Jika kuasa rakyat dihalang, maka kuasa Tuhan akan mengambil tempat menggantikan kuasa rakyat. Rakyat akan mengangkat dan menadah tangan mereka ke hadhrat Ilahi agar Dia segera campurtangan demi kebenaran dan keadilan di dalam negara ini. Agaknya mampukah Najib dan polis menghalang kuasa Tuhan? Dan sekali lagi GB nyatakan, jika perhimpunan Bersih 2.0 dihalang, PRU13 bakal menyaksikan UMNO BN kecundang lebih teruk dari yang dijangkakan! |
Lebih Ramai Ditangkap Lebih Banyak Kerusi UMNO BN Melayang Dalam PRU13! Posted: 26 Jun 2011 04:55 AM PDT Hisham pertahan polis, dakwa 30 aktivis Bersih ada agenda HULU SELANGOR, 26 Jun — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini mempertahankan polis menahan 30 aktivis Bersih 2.0 di Pulau Pinang di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan sambil berkata ada alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Polis Pulau Pinang pagi tadi mengumumkan bahawa perintah reman akan dibuat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana mereka berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong. Hishammuddin berkata beliau belum lagi diberi butiran mengenai tahanan mereka tetapi laporan awal menunjukkan aktivis berkenaan ada agenda lain tersembunyi. "Saya belum menerima satu laporan lengkap. Tetapi laporan awal menunjukkan pergerakan yang dikatakan sebagai demonstrasi aman, ada agenda lain," katanya di sini hari ini. -TMI
Ulasan GB Menteri KDN mempertahankan tindakan polis yang menahan aktivis Bersih 2.0 dengan menuduh mereka mempunyai "agenda lain"(?). Tak dinyatakan apa "agenda lain" itu selain dari spekulasi liar, namun yang ia ia adalah luahan keresahan dan ketakutan UMNO BN terhadap permintaan dan tuntutan rakyat agar pilihanraya yang bersih dan adil dilaksanakan. Tangkap seberapa ramai yang anda mahu. Saya yakin kesan daripada tindakan polis ini akan mendapat tentangan hebat daripada majoriti rakyat. Ianya akan dimanifestasikan melalui kertas undi di dalam pilihanraya nanti. FULL STOP! |
Frotilla II Gaza, PR Tidak Serta, Hanya NGO Pro-BN Yang Pergi Posted: 26 Jun 2011 03:00 AM PDT Misi Gaza: Grup Malaysia pergi tanpa MP Pakatan, tidak hirau amaran Amerika KUALA LUMPUR, 25 Jun – Rombongan Malaysia yang menyertai Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza, selama seminggu bermula minggu depan, akan meneruskan programnya meskipun tidak disertai wakil Pakatan Rakyat, malah Amerika Syarikat beri amaran agar tidak mengadakan misi seumpama itu. Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad membuat keputusan muktamad menarik diri daripada pasukan Malaysia misi ke Gaza kali ini atas alasan ia telah dicemari oleh politik BN dan penganjurnya. "Saya dah buat keputusan untuk tarik diri. Misi Gaza telah dicemari politiking oleh (Datuk Seri) Najib (Razak) dan penganjurnya. Saya dimaklumkan NGO yang tinggal pun hanya NGO yang pro-BN iaitu Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Muslimcare, Yayasan Amal semua dah tarik diri. "Selebihnya saya akan kemas kini blog selepas kembali dari Mekah ke Jazan," kata Khalid semalam. Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, "kami akan meneruskan misi kami sebagaimana telah dijadualkan, esok." Sambil mempertahankan bahawa misi kali ini tidak dipengaruhi atau dimonopoli oleh Umno-BN, Dr Noorazman berkata, pihaknya hendak menaiki kapal misi kemanusiaan atas solidariti rakyat Malaysia tetapi "nampaknya ia tidak tercapai kali ini." "Apa yang dikatakan (dimonopoli) tidak betul sepenuhnya," kata Dr Noorazman lagi sambil menambah, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan wakil rakyat itu mahu menarik diri daripada menyertai misi kali ini. "Dia (Khalid) tidak beritahu (kami) secara rasmi, cuma dengar dari jauh," katanya. Menurut Dr Noorazman, kali terakhir Khalid, wakil Pakatan Rakyat, menghubunginya adalah pada Isnin lalu untuk bertanya tentang butiran perjalanan. "Kami berharap Pakatan Rakyat juga ada wakil untuk menunjukkan solidariti dalam misi ini, tetapi beliau menarik diri... itu hak dia (jika mahu menarik diri)," tambah beliau. Tempat Khalid akan digantikan oleh orang lain tetapi bukan wakil rakyat, kata Noorazman sambil menambah, "jika hendak digantikan dengan ahli Parlimen sangat sukar pada saat-saat akhir." Pengganti itu juga bukan wakil Pakatan Rakyat. Mengulas lanjut semalam, Khalid juga berkata, beliau langsung tidak tahu-menahu mengenai 10 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi ini akan berlepas ke Athens esok. "Saya tidak menerima sebarang maklumat daripada penganjur berkenaan perkara terbaru ini. Kali terakhir saya menelefon penganjur pada 20 Jun lepas tetapi tiada kata putus berkenaan sukarelawan yang akan terlibat. "Ini yang buat saya lebih yakin ada agenda lain... bukan untuk menolong rakyat Palestin di Gaza tetapi bermotifkan politik semata-mata," ujarnya lagi. Dr Noorazman pula menjawab pihaknya sangat berharap Khalid akan menyertai misi kemanusiaan kali ini tetapi tiada respons sehinggalah "kami membaca laporan The Malaysian Insider." "Tiada respons (daripada Khalid), sepatutnya tidak ada kepincangan dalam perpaduan rakyat dalam hal ini, sebab parti-parti politik, kita ada wakil dia, oleh kerana tiada respons, kami anggap beliau tarik diri," katanya. Khalid akan kembali ke tanah air Selasa ini. Flotilla kali ini bukan hanya disertai sukarelawan negara Islam, malah dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara Barat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam. Semalam, media asing juga melaporkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menegaskan pihaknya menentang rancangan aktivis pro-Palestin termasuk 10 orang dari Malaysia yang mahu mengadakan misi kemanusiaan kedua ke Gaza minggu depan sambil menyifatkan ia satu tindakan yang hanya akan memprovokasi Israel. "Kami tidak percaya misi kemanusiaan ini perlu atau satu usaha yang berguna dalam membantu penduduk Gaza," kata beliau di Washington. Pada 31 Mei 2010, komando Israel membunuh sembilan aktivis Turki termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat, yang menaiki kapal Turki misi kemanusiaan ke Gaza. Menjawab perkembangan itu, Dr Noorazman berkata pihaknya sedar tentang perkara tersebut termasuk pelbagai tekanan yang dikenakan sejak baru-baru ini. Justeru katanya, rancangan pihaknya tidak mengalami sebarang perubahan setakat ini. "Ya, kami sedar. Memang ada tekanan, dikenakan peraturan baru dan yang ketat termasuk ke atas kapal-kapal yang hendak digunakan. Tekanan dikenakan di Greek dan di negara-negara Eropah yang lain. "Pun begitu, setakat ini tiada perubahan dalam perjalanan kami," katanya lagi. -TMI |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan