Kelab Greenboc |
- Majlis Peguam Pertikai Mahkamah Benarkan Tayangan Semula Video Seks
- Pasangan Pelajar Ponteng Dicekup Dalam Tandas Restoran
- Kebiadaban Melampau - Lagi Gambar Lucah Ditemui Dalam Surah Yasin
- Demo Aman Bantah Kebiadaban Utusan Seluruh Negara
- Kisah Menyayat Hati - Isteri Diabaikan Suami 13 Tahun
- WASPADA: Jangan Guna Handfon Ketika Petir
- [Video] BONGKAR: Pendedahan Dalang Video Fitnah
- Pelatih Bomba Wanita Pun Perlu Botakkan Kepala?
- Isu Bazar Tok Guru Selesai
- Biometrik, Muslihat SPR Untuk Halalkan PATI Mengundi
Majlis Peguam Pertikai Mahkamah Benarkan Tayangan Semula Video Seks Posted: 25 Jun 2011 12:30 AM PDT Kes Datuk T: Majlis Peguam terkejut tayang video seks di mahkamah KUALA LUMPUR, 25 Jun — Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) menegaskan Mahkamah Majistret tidak sepatutnya membenarkan tayangan semula rakaman video seks, yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana trio Datuk T telah pun mengaku bersalah. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Lim berkata tindakan mahkamah membenarkan tayangan rakaman video seks itu dalam perbicaraan pagi semalam adalah sesuatu "amat luar biasa." Ini kerana jelas beliau, sepatutnya sekiranya tertuduh mengaku bersalah mana-mana bahan bukti tidak perlu didedahkan. "Tidak perlu buat macam itu sebab mereka sudah mengaku bersalah, saya hairan kenapa rakaman video seks itu disiarkan dalam mahkamah. "Ini satu prosedur yang amat luar biasa, saya terkejut kenapa ia berlaku... kalau sudah mengaku bersalah sepatutnya tidak perlu (dedahkan bahan bukti)," kata beliau lagi. Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks dan dikenakan denda keseluruhan RM5,500. Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh. Ketiga-tiga tertuduh — ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan. Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu. Sementara, Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut. Mengulas lanjut, jelas Lim, tindakan mahkamah itu juga tidak selari dengan prosedur biasa yang dilakukan dalam kes sedemikian. "Dan, ini tidak selari dengan prosedur biasa, lagipun biasanya kalau mahu dedahkan bahan bukti ia dibuat ketika perbicaraan ketika pesalah tidak mengaku bersalah, sedangkan hari ini (semalam) mereka mengaku bersalah. "Kalau kita ikut prosedur biasa, pesalah akan didakwa, kemudian hakim akan tanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak dan jika mengaku bersalah hukuman akan terus dijatuhkan. "Hukuman pula berdasarkan dengan kesalahan yang mereka lakukan, jadi tidak perlu untuk mahkamah bawa bahan bukti," katanya. Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Datuk T, Lim berkata, keputusan tersebut relevan dengan kesalahan yang dilakukan. "Dalam kes ini, saya merasakan hukuman yang dikenakan kepada mereka bertiga relevan, tiada masalah dengan itu. "Cuma tindakan yang menayangkan video seks itu yang jadi persoalan," katanya. Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu. Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah "99.99 peratus" Anwar. Shafee memberitahu pakar video Amerika yang dirujuk Polis Diraja Malaysia telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras. "Ini bererti A and B adalah orang yang serupa," katanya sambil mendakwa mengikut laporan 4 Jun lalu, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu dengan bagi foto Anwar. Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat. Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl. -TMI |
Pasangan Pelajar Ponteng Dicekup Dalam Tandas Restoran Posted: 24 Jun 2011 11:35 PM PDT Rahsia kaki ponteng AMPANG: Akibat ketagih seks, dua pelajar sebuah sekolah di Ampang di sini sanggup ponteng bagi melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam tandas sebuah restoran di Taman Melawati sejak Mac sebelum rahsia mereka terbongkar, Selasa lalu. Gambar fail Difahamkan, pasangan terbabit masing-masing pelajar tingkatan tiga dan empat sering ponteng sekolah dan menjadikan restoran berkenaan sebagai tempat melepak bersama rakan lain sebelum bertukar kepada adegan panas dalam tandas. Kejadian itu hanya diketahui guru mereka apabila pelajar perempuan berusia 15 tahun itu menceritakan perbuatan terkutuk mereka kepada guru berkenaan selepas didesak beberapa kali. Malah, pelajar terbabit kini dalam ketakutan selepas diugut pasangannya untuk mendedahkan hubungan seks mereka kepada ibu bapanya dan rakan jika dia enggan menyerahkan wang sebanyak RM150 bagi menyimpan rahsia mereka. Sumber berkata, guru itu yang prihatin dengan masalah dihadapi pelajarnya mendekati pelajar perempuan berkenaan ketika kelas bengkel jahitan kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu untuk bertanya kenapa dia kerap ponteng. -HM |
Kebiadaban Melampau - Lagi Gambar Lucah Ditemui Dalam Surah Yasin Posted: 24 Jun 2011 09:45 PM PDT Yasin diselit 11 gambar lucah Imam Besar yakin perbuatan dilakukan individu beragama Islam GEORGETOWN: Sebanyak 11 keping gambar lucah diselitkan dalam 11 naskhah Yasin ditemui dalam Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini petang kelmarin, kejadian kedua di negeri ini selepas kes pertama dilaporkan di Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, dua minggu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, seorang pengawal keselamatan masjid terkejut apabila menemui sekeping gambar lucah dalam naskhah Yasin yang diambil dari rak ruang solat utama untuk dibaca sebelum solat Asar. Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Yusuff Ahmad, berkata pengawal berkenaan kemudian memeriksa beberapa naskhah lain di rak berkenaan dan mendapati ada lagi naskhah yang terselit gambar lucah yang semuanya berjumlah 11 keping. Setiap keping gambar berwarna yang dianggarkan bersaiz 10 sentimeter lebar itu, mempamerkan pelbagai aksi lucah diselitkan di halaman berlainan 11 naskhah surah terbabit. Kes berkenaan dilaporkan di Balai Polis Kampung Bharu, Air Itam, petang kelmarin. Yusuff berkata, beliau yakin individu yang melakukan perbuatan berkenaan beragama Islam kerana bukan Islam akan diperiksa oleh pengawal keselamatan di kaunter pelancong masjid berkenaan manakala naskhah Yasin berkulit hijau itu bukan milik masjid yang mempunyai naskhah dicetak sendiri. "Kami tidak tahu apa motif pihak terbabit tetapi bersyukur kerana dapat dikesan sebelum majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib," katanya sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai perkara serius. Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan meminta semua pihak supaya bertenang kerana siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama Islam. Dua minggu lalu, hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah yang bersiap untuk majlis bacaan Yasin bagaimanapun terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah dipercayai dimuat turun dari laman web sebelum dicetak dengan ukuran sama besar, kemudian digunting dan dilekatkan dalam naskhah berkenaan. Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan individu sama terbabit dalam kejadian menyelit gambar lucah dalam surah Yassin dan kedua-dua kes dipercayai membabitkan lebih daripada dua pelaku. -BH |
Demo Aman Bantah Kebiadaban Utusan Seluruh Negara Posted: 24 Jun 2011 07:30 PM PDT Peserta demonstrasi aman bakar Utusan KUALA LUMPUR, 24 Jun: Lebih 200 menyertai himpunan aman di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru bagi membantah kebiadaban akhbar milik Umno, Utusan Malaysia berhubung penerbitan karikatur "Kekeliruan Kes Rogol" yang didakwa menghina Islam. Ianya antara siri bantahan Dewan Pemuda PAS pusat yang berlangsung di seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat hari ini. Turut menyertai himpunan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ahmad Sabki Yusof, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abdul Aziz serta wakil pelajar. Ketika berucap, mereka masing-masing mengecam tindakan Utusan itu yang disifatkan melampau. Mereka juga menyeru rakyat agar memboikot akhbar itu. Bantahan itu dibuat ekoran sikap angkuh dan enggan memohon maaf, akhbar tersebut biarpun didesak pelbagai pihak. Sebelum ini, Utusan Malaysia diberi tempoh tujuh hari agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan pada 15 Jun lalu. Selain itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai "Miki." Sebagai tanda kecaman, mereka turut membakar akhbar itu di hadapan hadirin yang hadir. Di KUALA TERENGGANU, lebih 500 berhimpun bersama Mohd Nor Hamzah Adun Bukit Payung yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu di hadapan Masjid Pengadang Baru bagi menyatakan bantahan kepada Utusan yang memperlekehkan dan menghina Islam. Utusan, akhbar Umno tanpa rasa bersalah dan takut menghina Islam melalui satu lakaran kartunnya sehingga kini masih belum berganjak dan mempertahankan kartun itu dan enggan memohon maaf. Turut berucap Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu yang mendesak seluruh rakyat memboikot Utusan yang sentiasa membuat angkara tanpa rasa takut dan penuh bongkak. Kemuncak perhimpunan aman hari ini, Yahaya bersama orang ramai membakar akbar Utusan sebagai simbolik membantah tindakan Utusan yang tidak mahu memohon maaf kepada umat Islam. Di PULAU PINANG, Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang bersama Persatuan Ulamak Cawangan Pulau Pinang berkerjasama menjayakan piket aman membantah penyiaran kartoon di akhbar Utusan Malaysia yang nyata menghina Islam di tiga lokasi masjid iaitu Permatang Janggus, Permatang Pauh, Masjid Padang Lalang, Bukit Mertajam dan Masjid Hashim Yahya, Jelutong. Semua demontrasi aman di tiga lokasi berkenaan berlangsung dengan baik dan tiada provokasi pihak polis. Semasa berucap Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali mengajak Umat Islam bangkit segera daripada lena kerana Utusan Malaysia bersikap begitu melampau terhadap Islam. Utusan Malaysia tambahnya, tidak ubah seperti orientalis Barat, Salman Rushdi yang cukup berani mencerca hukum Islam. "Apa bezanya Utusan Malaysia dengan Salman Rushdi yang menghentam kesyumulan Islam. Mereka harus dikenakan tindakan yang sewajarnya," tegas beliau. Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan pula mengajak Umat Islam supaya lebih peka terhadap sebarang isu angkara agen Yahudi. "Ke mana perginya Ulamak dalam Umno kenapa mereka membisu seribu bahasa walhal Islam adalah agama suci yang tidak harus diperkecilkan begitu sahaja. "Kita kena peka dengan isu yang membabitkan Islam supaya mereka tidak berani mencabar kesucian tamadhun Islam," jelasnya. Sementara itu, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah pula menegaskan Utusan Malaysia yang menjadi tangan dan kaki Umno Barisan Nasional (BN) sanggup menentang kebenaran untuk menegakkan kebatilan. Isu ini jelas, agen Yahudi telah berjaya menyerap masuk dalam pemerintahan negara serta media arus perdana sehingga begitu berani dan agresif mempersendakan Islam yang sejati. Lebih kurang 200 orang berdiri di luar perkarangan masjid mengatakan tentangan penyiaran kartun yang sehingga kini tidak menyiarkan permohonan maaf. Banyak sepanduk dipegang peserta, antaranya berbunyi Utusan Malaysia kunco Umno, Utusan Malaysia perosak syariat Islam, wajib boikot Utusan Malaysia, Utusan Meloya hati dan jiwa rakyat dan sebagainya. Di akhir demo berkenaan kesemua yang terlibat membakar akhbar tersebut sebagai tanda bantahan kerana bersikap ego ketika mempersendakan kemuliaan hukum Islam. Di IPOH, bertempat di Masjid Sultan Idris Shah 11, Masjid Negeri Ipoh telah diadakan satu himpunan membantah akhbar Utusan Malaysia yang telah menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam pada minggu lepas. Oleh kerana Utusan Malaysia masih gagal memohon maaf berikutan penyiaran tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersama beberapa badan bukan kerajaan telah menganjurkan himpunan bagi membantah Utusan Malaysia selepas solat Jumaat tadi. Hampir 200 orang telah bersama membantah kebiadapan Utusan Malaysia dan kegagalan Kementerian Dalam Negeri bertindak terhadap Utusan Malaysia sehingga sekarang. Himpunan yang berjalan hampir 30 minit dengan pelbagai sepanduk mendesak agar Utusan Malaysia segera memohon maaf. Beberapa pimpinan PAS turut berucap dan telah diakhiri dengan bacaan doa setelah pihak polis mengarahkan agar himpunan tersebut dihentikan. Berikutan itu juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien yang turut hadir kesal kerana pihak Utusan Malaysia tidak sensitif kepada umat Islam. -HD
|
Kisah Menyayat Hati - Isteri Diabaikan Suami 13 Tahun Posted: 24 Jun 2011 06:20 PM PDT 13 Tahun Tahan Gelora KUALA LUMPUR: Bukan saja diabaikan sebagai isteri, malah wanita ini ibarat digantung tanpa tali oleh suaminya sejak 13 tahun dulu gara-gara disihir dan 'diikat' seorang wanita lain. Sejak itu juga, Zaimah, 53, sering tertekan dan terpaksa menguruskan segala keperluan rumah dan menjaga tujuh anaknya seorang diri. Malah, suaminya juga tidak mempedulikan keluarganya selain mengabaikan nafkah zahir dan batin. Menurut Zaimah, ketika mula berkahwin dengan suaminya 33 tahun dulu, lelaki itu seorang yang penyayang walaupun panas baran. Perubahan sikap suaminya dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang wanita yang menjalin hubungan dengan suaminya menggunakan ilmu sihir bagi 'mengikat' nafsu suaminya. "Sudah 13 tahun saya tidak dilayan seperti isteri. Macam-macam alasan diberi suami. Ketika berada di rumah, dia sering mengabaikan tanggungjawabnya dan tidak mahu bersama saya kerana alasan kononnya dia mati pucuk. "Alasan itu tidak munasabah. Selepas beberapa bulan saya diberitahu mengenai masalah itu, dia pernah kembali bersama saya dan tiada sebarang perubahan pada nafsu seksnya. "Saya yakin nafsunya diikat wanita itu selepas beberapa pengamal perubatan yang saya temui memberikan jawapan sama," katanya. Bukan setakat itu, suaminya juga dipercayai berkahwin dengan wanita terbabit di negara jiran tanpa pengetahuannya. "Seorang rakan memberitahu dia terserempak suami saya yang ketika itu membawa seorang wanita dan seorang anak kecil yang diperkenalkan sebagai keluarga barunya. "Hati isteri mana tidak terguris selepas mengetahui suaminya berkahwin tanpa pengetahuannya. Bagaimanapun, selepas didesak pelbagai soalan dia masih mengunci mulut dan tidak mengaku sudah berkahwin. "Saya tidak kisah jika dia mahu bermadu, tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab sebagai seorang suami. Ini tidak, sudahlah nafkah batin tidak diberi, dia turut melupakan nafkah zahir. "Akhirnya, saya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan demi menanggung keperluan seharian sambil membesarkan anak," katanya. Menurut Zaimah, pengamal perubatan yang ditemui memberitahu suaminya disihir seseorang sehingga menjadikannya lupa kepada isteri, keluarga dan anak. "Saya diberitahu suami mungkin diberi makanan seperti nasi kangkang dan kotoran wanita (haid) oleh perempuan itu. Sebab itu dia lupa tanggungjawabnya dan kini terikat dengan wanita tidak berhati perut terbabit. "Saya sedih. Jika benar wanita itu ingin memiliki suami saya, biar dengan cara betul. Jangan menyeksa saya dan keluarga dengan 'mainan' kotor. "Begitupun, kini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil. Saya yakin, dia (wanita) tidak akan bahagia dengan caranya. Saya bertekad tidak memaafkan mereka," katanya. Lebih malang, sejak bertahun hidup terseksa kerana ditinggalkan suami, Zaimah kini diceraikan ketika cuba meminta penjelasan mengenai perubahan sikap suaminya itu yang jarang pulang ke rumah. "Sejak 13 tahun dulu, dia jarang pulang ke rumah. Kebiasaannya, dia akan balik rumah seminggu sekali. Begitupun, dia hanya pulang dua minggu sekali dan kemudian sebulan sekali. "Kini, saya langsung tidak berjumpanya. Anak-anak juga mengalami nasib sama apabila tidak berjumpa ayah mereka. Kami seakan-akan sudah tawar hati. Selepas berjumpa puluhan pengamal perubatan, ustaz dan bomoh, sihir itu masih tidak terlerai dan sikapnya masih sama. "Pernah sekali saya bertanya mengenai masalah ini dengannya, namun dia naik angin dan melafazkan cerai kepada saya menerusi SMS pada Mei lalu. "Tidak cukup dengan itu, dia menelefon serta memaki-hamun saya sebelum melafazkan cerai buat kali kedua. Saya yakin suami berada di bawah pengaruh wanita itu dan saya tidak akan sesekali memaafkannya," katanya. Bertahun-tahun hidup merana, Zaimah sudah membawa perkara ini ke mahkamah syariah berikutan suaminya sudah melafazkan cerai selain tidak sanggup menerima pelbagai tekanan. "Sudah berkali-kali kes kami disebut di mahkamah, tetapi suami tetap tidak muncul ketika prosiding. Begitupun, jika dia tidak muncul untuk kali terakhir, saya akan mendapatkan tuntutan fasakh daripada mahkamah. "Selain itu, saya akan menyiasat sama ada benar dia sudah berkahwin dengan wanita terbabit ataupun hanya bersekedudukan dengannya. Selepas itu, saya akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya. -hm Ulasan GB Memang menyayatkan hati. Namun satu perkara yang perlu untuk kita berkan perhatian ialah, apa jua masalah yang berlaku, jangan terlalu cepat untuk menemui "pengamal perubatan" seperti bomoh, dukun, pawang dan sebagainya. Ia tidak akan dapat banyak membantu kerana "pengamal-pengamal perubatan" berkenaan tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mendatangkan menafaat atau mudharat. Lebih banyak keburukan yang timbul apabila pengamal perubatan berkenaan membuat "ramalan" sehingga menyebabkan minda kita terkepung dengan saranan-saranan dan terkaan-terkaannya yang mungkin berkebetulan dengan agakan kita dan seolah-olah begitu meyakinkan. Sebagai seorang beriman, kita telah menyatakan kepada Allah, "iyyaka naqbudu wa iyya qanasta'in - Engkau Kami sembah dan Engkaulah Kami mohonkan pertolongan. Justeru berharaplah kepada Tuhan dan yakin dengan pertolongannya. |
WASPADA: Jangan Guna Handfon Ketika Petir Posted: 24 Jun 2011 04:20 PM PDT Tegur mangsa usah guna telefon BESUT - Seramai 12 lelaki yang sedang berteduh dari hujan di sebuah wakaf di tepi sawah nyaris maut apabila mereka secara tiba-tiba disambar petir dalam kejadian di Kampung Durian Telur, Hulu Besut, kelmarin. Bagaimanapun hanya tiga daripada mereka mengalami kecederaan termasuk seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, yang parah dipanah petir ketika menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya. Pelajar terbabit, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, bersama dua lagi rakannya, Mohd Zailani Keria, 23 dan Muhammad Fariz Ismail, 15, yang berada di tempat kejadian rebah dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu. Menurut saksi, Mohd Syaiful Bahari Ramli, 15, ketika kejadian, terdapat 12 orang di bawah wakaf yang terletak di kawasan sawah itu, termasuk ada yang berhenti berteduh daripada hujan lebat ketika itu. Menurutnya, tiga mangsa terbabit dan beberapa rakannya berada di situ sejak jam 3 petang selepas pulang sekolah, dan hajat mereka untuk pulang lebih awal terkandas akibat hujan lebat berserta kilat. "Sebelum kejadian, Mohd Sahadam sedang menaip mesej (SMS) kepada seseorang dan salah seorang yang berada di situ mengingatkan dia supaya tidak menggunakan telefon ketika petir. "Beberapa saat kemudian, tiba-tiba kilauan cahaya dan petir menyambar sebatang pokok yang berada satu meter dari wakaf, sebelum mengenai tiang wakaf hingga terbelah menyebabkan tiga rakan saya rebah, manakala saya dan yang lain bertempiaran menyelamatkan diri," katanya yang ditemui di Bahagian Kecemasan Hospital Besut petang kelmarin. Kata Mohd Syaiful lagi, dia lari pulang ke rumah memberitahu keluarga mengenai kejadian itu, selain amat terkejut kerana ia berlaku amat pantas, malah berhampirannya. Menurutnya, mangsa dibawa penduduk kampung dan keluarga ke Pusat Kesihatan Pasir Akar terlebih dahulu sebelum dikejarkan ke Hospital Besut. "Syukur petir itu mengena pokok dan tiang terlebih, kalau tidak entah apa yang akan terjadi kepada kami," katanya. Mohd Sahadam yang pada mulanya tidak sedarkan diri dan mengadu sakit pada bahagian dalam badan bagaimanapun kini keadaan stabil dan dirawat di Hospital Besut, manakala dua rakannya sudah dibenarkan keluar wad pagi semalam. Kedua-duanya mengalami calar kecil dan lebam pada badan akibat kejadian itu. Dalam kejadian berasingan, rumah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah, Mohd Hanapiah Mustafa turut disambar petir menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian bumbung rumahnya pada masa sama. Ketika kejadian, isteri bersama tiga anaknya yang berada di dalam rumah tidak mengalami kecederaan dan menyedari kejadian sejurus kemudian. |
[Video] BONGKAR: Pendedahan Dalang Video Fitnah Posted: 24 Jun 2011 08:20 AM PDT Anggota parlimen Sungai Petani MP Johari Abdul hari ini mengeluarkan versi seks video yang disunting kepada media untuk menunjukkan keraguan sekitarnya. Ia sekali gus bagi membuktikan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah lelaki dalam video itu. Tindakan itu sebagai respons kepada laporan pakar Amerika Syarikat bahawa lelaki dalam video itu menyerupai Anwar. Johari, antara yang terawal menonton video itu pada 21 Mac lalu, berkata demikian dalam sidang media bagi menguatkan dakwaannya bahawa lelaki dalam video itu bukan Anwar. Dalam video itu, beliau bertindak sebagai pengulas yang membangkitkan keraguan demi keraguan. Lelaki X 'Versi video itu akan dimuatnaik ke Youtube selepas jam 4 petang ini. PKR juga akan menjual VCD dalam ceramahnya bermula hari ini. Versi yang ditayangkan di hadapan 15 wartawan itu menunjukkan perbandingan fizikal antara Anwar dan juga pelaku di dalam video seks tersebut. Johari mendakwa pelaku video itu - yang dirujuk sebagai lelaki X - berperut boroi, berhidung mancung dan berdada lusuh, manakala Anwar mempunyai hidung agak 'pesek' dan pendek. Semasa perbandingan hidung dibuat juga, kelihatan gambar Tan Sri Thambi Chik diletakkan di sebelah gambar Anwar, seolah-olah ingin mencadangkan bahawa bekas ketua menteri Melaka itu sebagai lelaki X. Ditanya pemberita, Johari bagaimanapun menafikan menuduh sesiapa dan sekadar menunjukkan hidung mancung Rahim. Shamsul: Tuduh Datuk T, ulas Anwar Menurut Johari, beliau turut membuat satu kajian di Thailand untuk membuktikan kewujudan teknologi yang mampu mengubah wajah individu. "Saya memilih untuk menjadi P Ramlee. Wajah saya dan allayarham P Ramlee amat berbeza. "Jurusolek mengambil masa 4 jam dan inilah hasilnya," katanya sambil menunjukkan wajahnya yang seiras seniman ulung itu. Johari juga berkata bertanggungjawab sepenuhnya atas penghasilan video itu. "Ini apa yang saya percaya. Ini bukti yang saya ada," katanya. Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang mempertikaikan perjalanan mahkamah pagi tadi ketika trio Datuk T didakwa. "Pertuduhan terhadap tiga orang ini (Datuk T) tetapi ulasan terhadap DSAI (Anwar)," katanya yang juga seorang peguam. "Saya juga pertikaikan mengapa mereka walaupun telah dijatuhi hukuman dan dikenakan denda tetapi sebelum membayar denda lagi mereka juga telah dilepaskan. "Itu bercanggah dengan prinsip perjalanan perbicaraan," katanya lagi.
|
Pelatih Bomba Wanita Pun Perlu Botakkan Kepala? Posted: 24 Jun 2011 06:30 AM PDT Pelatih bomba wanita kecewa kepala dibotakkan ALOR SETAR - Seorang bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, yang membotakkan kepala beliau serta 18 pelatih perempuan lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu 2 Mei lalu. Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini, berkata, dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan rambut pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu. "Peraturan dalam surat yang diterima saya hanya menyatakan rambut perlu digunting dengan ukuran enam milimeter sahaja dari rambut asal semasa hari pertama melaporkan diri dan perlu digunting kemas selepas dua bulan hingga tamat latihan. "Saya terkejut melihat pelatih wanita dibotakkan seperti pelatih lelaki dalam sebuah bilik gunting rambut dan saya terus lari mengadu kepada kakak saya, Hazliza, yang berada di tempat pelawat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini. Hizyati berkata, bahawa pada mulanya dia dan pelatih lain enggan berbuat demikian tetapi memandangkan ingin mendapatkan pekerjaan dan faktor umur yang semakin meningkat, beliau terpaksa berbuat demikian. Bapanya, Othman Long, 63, berkata, beliau hanya menyedari mengenai perkara itu setelah sampai di pekan Baling setelah diberitahu isterinya Hizan Abu Bakar, 56, dan anak keduanya, Hazliza, 30. "Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Sepanjang saya bertugas dalam badan beruniform, pelatih perempuan hanya digunting rambut hingga pendek dan bukannya sampai botak," kata pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu. Othman, yang kecewa dengan tindakan pihak terbabit, bertindak mengeluarkan anaknya daripada akademi itu keesokan hari. Beliau juga membuat di Balai Polis Kuala Perlis supaya pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap pegawai di akademi itu. Pengerusi Yayasan Prihatin Kebajikan, Pendidikan dan Kemiskinan Kedah, Zuraidi Rahim, yang mengunjungi Hizyaty, berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung. "Saya difahamkan beliau telah mengambil tindakan dengan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyediakan jawapan secara lisan dan bertulis kepada ibu bapa Hizyati. "Saya harap Datuk Chor akan tampil bertemu keluarga terbabit untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci dan sekaligus menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.- Bernama |
Posted: 24 Jun 2011 05:20 AM PDT Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf," demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad. Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya. Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri. Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya. "Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru. "Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya. "Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini," katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai 'kebajikan laluan' di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan. "Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini. Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai. "Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011," katanya.- Hrkh |
Biometrik, Muslihat SPR Untuk Halalkan PATI Mengundi Posted: 24 Jun 2011 03:25 AM PDT Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik dilihat lebih kepada kepentingan politik kerajaan pemerintah. Menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, cadangan itu seolah-olah satu tindakan susulan kerajaan menerusi SPR untuk menghalalkan pendatang tanpa izin mengundi mereka pada pilihan raya akan datang. "Itu (sistem biometrik) kami tidak minta, yang kami minta ialah penggunaan cap jari dengan dakwat hitam, pembersihan daftar pemilih tetapi cadangan biometrik ini adalah cara bagaimana untuk menghalalkan pendatang asing mengundi pada pilihan raya akan datang. "Sebab mereka dalam usaha memberikan taraf kerakyatan kepada sebabahagian besar pendatang asing dan akhirnya mereka memberi kad pengenalan dan borang akaun bersumpah kepada warga asing ini untuk menyokong BN dalam pilihan raya akan datang," tegas Mahfuz. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini mengulas mengenai lapan tuntutan Bersih 2.0. Lapan tuntutan Bersih 2.0 ialah menggesa SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, melanjutkan tempoh kempen kepada minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil,mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor. Mahfuz sebelum ini pernah melahirkan kegusarannya berhubung sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen. Berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan. Selain beliau, beberapa lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat mendedahkan di kawasan masing-masing berlakunya masalah seperti pendaftaran warga asing sebagai warganegara dan diberikan kad pengenalan. Isnin lalu, SPR mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing. Mengulas lanjut, Mahfuz mengesa SPR bertindak tegas dalam menjalankan tugasnya dengan memastikan warga asing tidak didaftarkan sebagai pemilih. -tvsnews |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan