Isnin, 20 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Mohd Sabu: Himpunan Bersih Adalah Aman Jika Polis Bertindak Adil

Posted: 20 Jun 2011 12:25 AM PDT

Himpunan Bersih 2.0 aman, polis patut kerjasama

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap memberi jaminan bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan berjalan dalam keadaan aman jika pihak polis memberikan sepenuh kerjasama.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keselamatan peserta himpunan dan memastikan tiada sebarang kekecohan.

"Saya merayu sekali lagi kepada Polis Diraja Malaysia, ketua polis negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad yakin polis mampu memantau mana-mana pihak yang berniat melakukan kekacauan dan rakyat akan berasa gembira sekiranya memorandum tersebut pada diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dalam keadaan aman.

"Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar…kita juga akan bersurai dengan baik.

"Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid.

"Kalau perkara ini tidak berlaku naka saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,"
katanya.

Jangan peduli "gendang" Perkasa

Sementara itu, naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, penganjur Bersih 2.0 tidak perlu tunduk kepada amaran polis kerana matlamatnya jelas untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Beliau berkata, pihak penganjur harus mencontohi Mesir yang menyediakan buku panduan ringkas kepada peserta demonstrasi mereka.

"Revolusi di Mesir mereka ada buku panduan. Kalau pergi demonstrasi macammana tak nak berlaku huru hara.

"Kita pergi demo memang nak secara aman tpi kalau FRU datang sembur kita, orang jadi panik, mata tak nampak, tak boleh bernafas macammana nak buat?

"Dalam tips ini sebut kena bawak air lemon, atau cuka epal untuk lindungi kita. Ini satu cadangan yang baik.

"Mata kena pakai cermin mata yang boleh lindungi mata, pakai baju banyak lapis supaya orang tak nampak kita nak pergi Bersih tapi nampak kita macam nak pergi shopping," katanya sewaktu bercakap dalam satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam semalam.

Beliau juga berkata, tindakan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang juga mahu mengadakan perhimpunan membantah Bersih pada hari yang sama tidak harus dihiraukan.

"Perkasa kata mereka nak pergi saya rasa adalah dalam 30 orang.

"Kalau kita berhimpun 1,000 hingga 2,000 orang, Perkasa jadi sangat kecil dan kita tak perasan pun ada Perkasa di situ.

"jadi jangan takut. Bila gendang bunyi kuat, biasanya isinya kosong. kalau Perkasa bunyi kuat, mesti tak ramai datang,"
katanya disambut ketawa hadirin.

Sementara itu,BERSIH akan mengadakan pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 di Dewan Utama, KLSCAH pada jam 8.30 malam ini.

Pemimpin Bersih, NGO dan masyarakat awam akan memberikan ceramah dan taklimat berhubung perkembangan dan tuntutan Bersih. -HD


Himpunan aman kecoh bila FRU tembak gas

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegaskan, perhimpunan aman ialah hak asasi manusia, jikalau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) masih berhimpun secara aman, tanggungjawab kerajaan dan polis ialah membantu pihak penganjur mengatur perhimpunan dan mengawal lalulintas.

"Kami berharap kerajaan bertolerasi terhadap aktiviti perhimpunan aman, bukannya menyekat saluran rakyat meluahkan perasaan," kata presidennya, Datuk Dr Toh Kin Woon.

Katanya, sesiapa yang mempunyai pengetahunan tentang aktiviti perhimpunan aman di Malaysia akan tahu, pasukan FRU yang menembak gas pemedih mata dan meriam air adalah penyebab utama yang mengakibatkan kekecohan.

Jelasnya, perhimpunan aman tidak akan membawa sedikit pun ketidakselesaan kepada penghuni atau peniaga bandar sekiranya FRU tidak berbbuat begitu dan menyuraikan para peserta secara paksa.


Pada 26 Mac lalu, ujarnya pertubuhan-pertubuhan wanita menganjurkan perarakan "Jalan untuk Berubah", pihak polis memberi kerjasama dengan pihak penganjur, mereka hadir dan mengawal lalulintas.

Begitu juga perarakan Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan oleh Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh beberapa tahun dahulu, pihak polis juga tidak mengganggu perarakan.

"Kedua-dua perhimpunan dan perarakan ini telah berjalan secara lancar dan aman, tidak mengakibatkan kekecohan dan kesesakan lalulintas," ujarnya.

Ini, katanya membuktikan tuduhan pihak polis terhadap himpunan aman Bersh 2.0 pada 9 Julai ini adalah tidak berasas.

Oleh sebab itu, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyokong sepenuhnya perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih.

Pihaknya juga setuju dengan tujuh permintaan reformasi sistem pilihanraya yang dikemukakan Bersih iaitu pendaftaran pengundi secara automatik, sistem undi pos untuk para pengundi luar negara, penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan, capaian media aliran utama secara saksama untuk semua parti, tempoh kempen minimum 21 hari, kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya dan menghapuskan rasuah pilihan raya.


Tambahnya, tujuh permintaan yang dikemukakan oleh BERSIH adalah indeks penting bagi mencapai pilihanraya adil dan politik berdemokrasi, parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tidak wajar membantah.

Pihaknya turut kesal serangan pemimpin politik dan Perkasa terhadap Bersih.

Perkasa mengumumkan bersama 30 pertubuhan Melayu akan turut sama berhimpun dengan Bersih pada hari yang sama bagi menghalang demonstrasi Bersih.

Katanya, tindakan Perkasa itu yang bertujuaan menggagalkan perhimpunan Bersih telah mencabul hak kebebasan perhimpunan penyokong Bersih.

Pemuda Umno pula tiba-tiba mengumumkan satu perarakan "bagi menyokong sistem demokrasi" pada hari yang sama, ini merupakan satu lagi kerja untuk bertembung dengan Bersih.

"Kami menyeru Perkasa dan Pemuda Umno memilih tempat lain atau tarikh lain menganjurkan perhimpunan membantah reformasi sistem pilihanraya, jangan membuat kekecohan secara terancang dan menggagalkan perhimpunan aman Bersih," katanya.

Justeru, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru semua rakyat menyertai perhimpunan aman Bersh 2.0 bagi membaiki kelemahan sistem pilihan raya kini dan menyumbang kepada proses demokrasi negara kita. -HD






Ulasan GB

Semalam GB telah nyatakan:

GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku:

1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini.

2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata.

Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional!




Felda Hutang RM6 Billion: Jawab Segera

Posted: 19 Jun 2011 11:15 PM PDT

Hutang RM6 bilion: Anak masih tunggu penjelasan Felda

Tidak cukup sekadar mendakwa kedudukan kewangan Felda adalah stabil dan para peneroka tidak perlu bimbang, kata Mazlan Aliman.

PETALING JAYA: Para peneroka Felda di seluruh negara masih menunggu penjelasan yang lengkap daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung hutang agensi kerajaan itu yang berjumlah RM6 bilion dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, tidak cukup sekadar mendakwa kedudukan kewangan Felda adalah stabil dan para peneroka tidak perlu bimbang.

Beliau berkata demikian kepada FMT berhubung kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang mengakui Felda ada membuat pinjaman RM6 bilion dari KWSP dan menyatakan bahawa kedudukan kewangan agensi itu adalah stabil dan para peneroka tidak perlu risau.

Tegas Mazlan, "sehingga hari ini kita masih menunggu penjelasan yang lengkap dari Ahmad Maslan mengenai butiran pinjaman dan untuk apa pinjaman RM6 bilion itu dibuat.

Kalau dulu, Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab Felda mengalami susut rezab tunai lebih RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun adalah disebabkan perbelanjaan tanaman semula.

"Baru-baru ini, Ahmad Maslan mendakwa sebahagian pinjaman RM6 bilion itu juga digunakan untuk membiayai kos penanaman semula pokok kelapa sawit," terang beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti itu.

Mazlan menjelaskan, sekiranya Felda membelanjakan sebanyak RM4 bilion untuk menjalankan kerja-kerja penanaman semula maka ini bermakna kos seekar menelan belanja sebanyak RM100,000.

Tidak masuk akal

"Ini suatu jumlah yang tidak masuk akal kerana sekiranya para peneroka sendiri yang mengerjakan tanaman semula, ia hanya menelan belanja sebanyak RM10,000 sahaja untuk seekar," jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa banyak keraguan yang timbul di mana Ahmad Maslan perlu memberi penjelasan yang memuaskan kerana pengurusan kewangan Felda tidak dijalankan dengan telus.

"Keadaan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan yang langsung tidak peduli akan nasib para peneroka dan kerajaan dilihat seolah- oleh lebih cenderong untuk menutup segala kelemahan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi itu
.

Oleh sebab itu katanya, Anak menggesa satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan kewangan Felda yang didakwa mengalami kerugian yang teruk.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelaburan luar negara yang dibuat oleh Kumpulan Felda dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada KWSP itu semuanya mengalami kerugian.

"Kami percaya bahawa semua pelaburan luar negara yang dibuat oleh Felda Global dengan menggunakan pinjaman wang KWSP itu mengalami kerugian terkumpul hampir RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010," ujar beliau.

Menurut Ketua Pembangkang itu, pelaburan luar tersebut meliputi dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia. -FMT

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini di SINI. Petikan:

Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh.

Yang nyata selama ini, rakyat melihat, FELDA dijadikan "penyedia dana" untuk UMNO-BN.

Cukup menghairankan KWSP boleh membenarkan pinjaman sebegitu besar kepada FELDA yang berada di ambang kebangkrapan sedangkan wang KWSP adalah milik rakyat.

Kita tidak tahu asas penilaian pelaburan yang digunapakai oleh KWSP meluluskan pinjaman kepada FELDA sedangkan sudah dimaklumkan bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing dan pelaburan itu, telah menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu.

KWSP perlu jawab dan bertanggungjawab kepada rakyat selepas ini.


Mengejutkan: Bapa, Anak Bersekedudukan Hingga Lahir Tiga Zuriat

Posted: 19 Jun 2011 09:45 PM PDT

Dalam rayuan, tertuduh pertama (ayah) nak bertaubat, tetapi taubat kerana ditangkap, dikira 'taubat terpaksa' dan mahkamah tidak dapat terima taubat itu. Jika kamu nak bertaubat, taubat betul-betul (taubat nasuha).

"Bagi tertuduh kedua (anak), sebagai pelajar, kamu perlu menjaga diri dan jika ada situasi mencurigakan, kamu boleh keluar rumah atau memberitahu ibu kamu, tetapi kamu gagal dalam situasi itu," kata Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap ayah dan anak selepas mengaku salah berkelakuan sumbang dan bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak masing-masing berusia enam, lima dan tiga tahun bermula dari 2004 sehingga ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam bulan serta denda RM2,500, terhadap tertuduh pertama berusia 45 tahun, yang juga seorang mekanik dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh kedua, berusia 25 tahun yang juga anak tertuduh pertama bernasib baik kerana dikenakan hukuman denda RM2,000 dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh juga dilarang tinggal serumah untuk selama-lamanya.

Hukuman berkenaan tidak diduga anak dan ayah itu kerana kedua-duanya tinggal bersama (bersekedudukan) sejak 2004 sehingga ditahan pada pagi semalam oleh anggota penguat kuasa agama Tumpat dalam operasi di rumah mereka di Jalan Palekbang, Wakaf Bharu, Tumpat.

Dengan tangan bergari, anak-beranak terbabit ditahan di lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini, kira-kira jam 3 petang, semalam, untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan.

Sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, kedua-dua tertuduh mengaku salah bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak serta mengaku salah di atas sebab dan akibat daripada pengakuan salah berkenaan.

Pengakuan kedua-dua tertuduh, menyebabkan Abu Bakar yang mendengar kes berkenaan memberi peluang kepada anak beranak terbabit mengemukakan rayuan sebelum hukuman mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan diputuskan mahkamah.

"Saya minta hukuman denda dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak, selain mahu memberi didikan sempurna kepada mereka. Kalau boleh tidak terjadi macam saya kerana saya bertaubat dan tidak akan melakukan zina dan dosa besar.

"Saya sudah berkahwin dengan dua isteri dan bercerai dengan mempunyai lima anak termasuk tertuduh kedua yang juga anak kedua dari isteri pertama. Saya sudah bercerai dengan isteri sejak tujuh tahun lalu," kata si bapa ketika mengemukakan rayuan.

Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Zaini Sulaiman dalam hujahan pemberatan hukuman sempat menyifatkan perbuatan dilakukan mereka keji kerana ketika anak-anak menyambut hari bapa, tiga anak pasangan berkenaan tidak kenal ayah mereka.

Zaini yang mencadangkan pasangan berkenaan dipisahkan dan tidak tinggal bersama turut memohon supaya mahkamah tidak memberi belas kasihan kepada pasangan berkenaan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat. -hm

Pelancaran BERSIH 2.0 : Perhimpunan Tetap Diadakan, Jangan Takut

Posted: 19 Jun 2011 07:25 PM PDT

Bersih 2.0 Berdiri Sendiri Dengan Dokongan Rakyat

Bersih 2.0 tidak didukung atau dimonopoli oleh mana-mana bangsa atau kaum tertentu dalam menentukan agendanya demi memberi nafas pada pergerakan itu.

Gambar: Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said turut hadir di majlis pelancaran BERSIH 2.0 malam tadi.

Sebaliknya pada pelancaran Bersih 2.0 malam ini bukan sahaja dapat dilihat melalui sokongan dan perancangan tidak berbelah bagi dari pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang teguh dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil di bawah kepimpinan Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan.

Malah kedatangan lebih 30 NGO yang menyokong gerakan ini semasa pelancaran malam ini jelas memperlihatkan kepelbagaian dan kesatuan harimoni gerakan ini.

Hampir 2500 hadirin terharu mendengar ucapan ringkas Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang memberi analogi 'Pesta Teh Boston' pada 1773 yang membawa kepada kemerdekaan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, ucapan Samuel Adams yang membawa peristiwa tersebut bahawa kejayaan sesuatu perkara tidak bergantung kepada jumlah besar sesuatu organisasi sebaliknya idea yang membakar semangat orang lain.

"200 tahun lalu, tokoh Amerika Samuel Adams dan kelompok kecil telah menumpahkan teh di pelabuhan Boston. Samuel berkata, ia tidak memerlukan majoriti untuk berjaya, tetapi minoriti yang bekerja terus dan tanpa penat untuk menyalakan unggun semanga.

"Kita nyalakan unggun api itu malam ini," tegas beliau disambut dengan laungan semangat para hadirin.

Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin pula dengan tegas menyatakan Bersih 2.0 akan terus berjalan walaupun mendapat tekanan pelbagai pihak.

"Bukit Aman kata nak tangkap dulu. Kita takut atau tidak? Bersih tidak boleh dihalang, kita akan tetap turun," katanya yang mempunyai pengaruh tinggi di kalangan belia.

Wakil NGO Lawyers For Liberty Fadiah Nadwa Fikri pula menyatakan LFL akan membantu dalam perkara yang melibatkan perguaman dalam himpunan raksaksa ini.

"LFL menyokong penuh perhimpunan Bersih 2.0 supaya ia telus dan adil dan kami akan turut bersama turun pada 9 Julai nanti," tegas beliau.

NGO lain yang tegas memberi sokongan dan berjanji akan mengikuti himpunan ini ialah Aliran Kesedaran Rakyat (ALIRAN) All-Women's Action Society (AWAM) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Centre for Independent Journalism (CIJ) Civil Rights Committee, KLSCAH Community Action Network Democratic Action Party ERA Consumer Malaysia (ERACON) Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Group of Concerned Citizens (GCC) Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Labour Resource Centre (LRC) Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA) Malaysian Trade Union Congress Malaysian Voters Union (MALVU) National Human Rights Society (HAKAM) Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) Research for Social Advancement (REFSA) Save Ourselves (SOS Penang) Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)dan pelbagai lagi.

Dijangkakan lebih ramai lagi yang akan menyertai perhimpunan ini sekali gus mampu mengumpulkan lebih 50 ribu orang jika sokongan NGO ini dimeteraikan.


Ambiga: Perhimpunan BERSIH tetap diteruskan

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan akan diteruskan.

Beliau menolak cadangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan akan meminta perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan jika perdana menteri berjanji pilihan raya umum diadakan secara bersih dan adil.

"Keputusan (membatalkannya) bukan di tangan kamu, tetapi ia ditangan kami," katanya sambil menegaskan perhimpunan itu tetap diteruskan.

Menurutnya, perhimpunan pada 9 Julai depan adalah untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan dirinya.

"Saya menolak untuk memberi sebarang komen terhadap perkara menyerang peribadi saya.

"Perhimpunan ini bukan untuk saya, ia adalah untuk kamu, untuk rakyat. Ia tentang rakyat Malaysia," katanya.

Oleh itu, katanya, perhimpunan 9 Julai di tiga lokasi akan diteruskan.

Tiga lokasi yang ditetapkan oleh gabungan itu adalah pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ambiga yang juga seorang peguam menegaskan demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran perhimpunan BERSIH di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di ibunegara malam ini.

Beberapa jam sebelum pelancaran itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan lebih 57 NGO gabungan di bawahnya turut melancarkan perhimpunan Gerak Aman pada tarikh yang sama.

Penyokong PERKASA juga bertindak membakar dan memijak gambar Ambiga sejurus selepas perhimpunan tersebut.

Dalam risalah yang diedarkan kepada hadirin yang hadir dalam perhimpunan petang tadi, mereka mengingatkan bahawa Ambiga merupakan "Wanita Hindu Yang Merbahaya" susulan tindakannya yang didakwa boleh menggugat Melayu dan Islam.

Malah dalam ucapan beberapa pemimpin petang tadi, ada di antara mereka membuat kecaman peribadi terhadap Ambiga.

Amiga juga menegaskan bahawa masyarakat sivil akan mengetuai perhimpunan tersebut, dan bukannya diketuai oleh parti politik seperti mana dilaporkan.

Ambiga juga turut memberi jaminan kepada polis bahawa perhimpunan mereka adalah aman sepertimana yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan BERSIH pertama pada November 2007.

Beliau sekali lagi mengajak semua pihak termasuk BN supaya menyertai perhimpunan tersebut bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Katanya dengan demikian, ia juga memberi kebaikan terhadap kredibiliti kepada BN.

Beliau turut membacakan lapan tuntutan mereka dalam perhimpunan itu iaitu membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berjanji akan mengerahkan 100,000 anggotanya menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya mewakili kepimpinan PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi memberi sokongan 100 peratus terhadap perhimpunan BERSIH," katanya disambut dengan laungan takbir.

Manakala wakil daripada parti politik yang lain termasuk NGO gabungan turut berucap dan menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Selepas perasmian tersebut, lebih 700 hadirin dihiburkan dengan paluan gendang rancak yang mengasyikan bagi menaikkan semangat penyokong perhimpunan itu. -mk


Seorang Amah Indonesia Telah Dipancung Di Arab Saudi

Posted: 19 Jun 2011 06:00 PM PDT

Seorang perempuan Indonesia telah dipancung dengan pedang, pada hari Sabtu (18/6/2011). Perempuan itu dihukum kerana membunuh seorang perempuan Arab Saudi, kata Kementerian dalam Negeri Arab Saudi.

Perempuan bernama Ruyati binti Sapubi (gambar) terbukti bersalah membunuh perempuan Saudi Khairiya binti Hamid Mijlid dengan menyerangnya berulang kali di kepala dengan pemotong daging dan menikamnya di leher, kata kementerian itu dalam sebuah pernyataan yang dipetik oleh pejabat berita rasmi SPA.

Pejabat berita itu tidak menyatakan motif kejadian itu, ataupun menyatakan hubungan antara kedua perempuan itu. Tapi beberapa pejabat di Indonesia menyatakan bahawa sekitar 70 peratus dari 1.2 juta warga Indonesia yang bekerja di Arab Saudi adalah sebagai pembantu rumah (amah).

Pemancungan di wilayah Mekah di Saudi barat itu membuat jumlah yang dihukum di kerajaan tahun ini menjadi 28 orang, menurut hitungan AFP berdasarkan pada laporan-laporan pejabat dan kumpulan hak asasi manusia.

Kes-kes rogol, pembunuhan, kemurtadan, rompakan bersenjata semuanya boleh dihukum dengan hukuman mati menurut interpretasi keras hukum syariah Islam Arab Saudi.


Indonesia kritik Arab Saudi pancung amah

JAKARTA: Indonesia semalam menyelar tindakan Arab Saudi memancung seorang pembantu rumah negara itu yang didapati bersalah membunuh isteri majikannya.

Pembantu rumah berkenaan, Ruyati binti Sapubi, didakwa membunuh warga Saudi, Khairiya binti Hamid Mijlid dengan menetaknya berulang kali dengan pisau pemotong daging dan menikamnya di leher.

Warga Indonesia itu menjalani hukumannya di barat Makkah, Sabtu lalu.

"Tanpa berprasangka terhadap sistem perundangan Arab Saudi, kerajaan Indonesia mengkritik pelaksanaan hukuman itu yang dilakukan tanpa meneliti amalan antarabangsa," kata jurucakap Kementerian Luar, Michael Tene, kepada AFP.

"Kami menyedari kes itu dan Ruyati mengaku melakukan pembunuhan berkenaan.

"Tetapi kami tidak dimaklumkan mengenai waktu pelaksanaan hukuman berkenaan," katanya.

Tene berkata, kerajaan Indonesia akan memanggil duta Saudi di Jakarta untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta warga Indonesia di Arab Saudi bekerja sebagai pembantu rumah.

Seramai 28 orang menjalani hukuman pancung di Arab Saudi tahun ini. - AFP

BERSIH 2.0 Dilancarkan, Ambiga Tak Layan Serangan Peribadi Perkasa

Posted: 19 Jun 2011 04:40 PM PDT

Pelancaran BERSIH 2.0 Dapat Sambutan Hebat

KUALA LUMPUR 19 JUN : Chinese Assemble Hall Kuala Lumpur tiba- tiba bergegar dengan laungan semangat para NGO untuk mempertahankan himpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan 9 Julai nanti.

Laungan yang dilontarkan para NGO mendapat sambutan hampir 2500 penyokong yang hadir pada majlis Pelancaran BERSIH 2.0 malam ini.

Mereka hadir dengan memakai lilitan kain kuning dikepala bertulis perkataan BERSIH 2.

Rata- rata mereka kelihatan bersemangat dan memberikan respon yang memberangsangkan.

Sebaik sahaja majlis pelancaran bermula, sebuah rakaman video dipertontonkan kepada hadirin yang hadir bersabit kegiatan politik wang oleh parti Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu untuk membeli undi masyarakat bumiputera negeri itu.

Antara sedutan memaparkan klip sejumlah wang disusun di rumah panjang untuk diedarkan kepada pengundi selain borang 14 yang enggan diserahkan kepada wakil parti gabungan pembangkang.

Antara NGO yang hadir adalah, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Jaringan Rakyat Tertindas(JERIT), Lawyers for Libelity, Kelab Menteri Besar Selangor, IKRAM, GAMIS, CIJ, TENAGANITA, Mahasiswa UNISEL dan banyak lagi.

Himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan berikutan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pemerintah mengadakan pilihan raya secara telus dan adil.

Antara empat tuntutan yang masih belum dipertimbangkan adalah bersihkan senarai pengundi, merefomasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media yang bebas dan adil.

Sempena himpunan BERSIH kali kedua ini, dua lagi tuntutan ditambah iaitu, tempoh pilihan raya 21 hari dan memulihkan kreadibiliti agensi kerajaan.

Gabungan BERSIH 2.0 berpendapat demokrasi yang telus seharusnya melalui pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

BERSIH 2.0 juga akan mengadakan siri jelajah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai isu- isu pengubahan sempadan pilihan raya dan lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Siri jelajah itu kan diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai, dan Perak.

Satu sesi telah pun diadakan di Kelantan pada Sabtu lepas.

BERSIH 2.0 juga menyambut baik tindakan Pemuda UMNO yang turut berhasrat mahu mengadakan perhimpunan aman dan menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya.

BERSIH 2.0 juga menganggap tindakan Pemuda UMNO itu sebagai tanda bahawa himpunan BERSIH 2.0 efektif dalam mempromosikan demokrasi yang dinamik dan membawa tekanan yang kuat kepada SPR untuk reformasi pilihan raya.

Penganjur himpunan ini juga cuba meyakinkan pihak polis dan pihak- pihak lain bahawa BERSIH 2.0 adalah satu gerakan rakyat yang aman dan sentiasa akan berkerjasama dengan polis. -tvsnews



Ambiga: Saya tak peduli serangan peribadi Perkasa, Bersih bukan soal individu

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan beliau tidak kisah serangan peribadi yang dilakukan oleh Perkasa berhubung usaha pihaknya mengadakan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Sambil menyifatkan serangan peribadi Perkasa agak keterlaluan, Ambiga juga berkata tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Apa saya boleh buat? Saya tidak akan mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan terhadap saya kerana Bersih bukan soal satu individu.

"Bersih adalah satu gerakan kemanusiaan, kita ada 14 ahli jawatankuasa pemandu dalam Bersih dan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan bersama Bersih,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkasa ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih petang tadi bertindak membakar gambar Ambiga dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

"Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

"Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak," katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Ibrahim juga mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

Selain mengecam penganjuran Himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan "Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.


Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Tambah Ambiga, tuntutan-tuntutan yang dibuat Bersih adalah benar dan ia tidak boleh dinafikan SPR.

"Malah tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa tuntutan yang kami buat ini adalah tidak sah dan perhimpunan kita secara aman, kami juga akan gerakkan himpunan ini dengan bertanggungjawab.

"Dan, jika ada keganasan yang berlaku ia bukan daripada pihak kita," katanya.

Ditanya sekali lagi mengenai serangan peribadi itu, Ambiga menegaskan beliau tidak akan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya tidak akan memberikan apa-apa komen soal serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, saya percaya polis akan jalankan tugas mereka.

"Saya percaya polis akan ambil tindakan yang mereka fikirkan sepatutnya buat. Pada saya serangan yang dilemparkan agak keterlaluan," katanya. -TMI




PERKASA Sudah Rancang Untuk Timbulkan Huru-Hara, Polis Diam Diri!

Posted: 19 Jun 2011 07:55 AM PDT

Ibrahim: Kalau nak tangkap, tangkap semua...

Perhimpunan 'Gerak Aman' pada 9 Julai dilancarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali petang ini yang didakwanya untuk mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH daripada mengadakan demonstrasi jalanan.

Sekumpulan penyokong PERKASA pula bertindak membakar dan memijak gambar pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum sidang akhbar bermula selepas majlis pelancaran tersebut.

Ibrahim turut membayangkan jika perhimpunan itu tidak dibatalkan, maka akan berlaku huru-hara.

"Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

"Apa sahaja akan berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis bertindak apa cara sekalipun untuk menjaga keamanan

"Kalau (perhimpunan BERSIH) tak dibatalkan, kita teruskan... Kalau nak tangkap, tangkap semua, asalkan negara kita aman. Jangan buat kekacauan," kata Ibrahim yang mendapat tepukan dan sorakan gemuruh penyokong PERKASA dan NGO Melayu yang berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman.

Mengulas mengenai perhimpunan Gerak Aman pada 9 Julai ini, Ibrahim berkata beliau akan bermalam di Jalan Bellamy pada tengah malam 8 Julai sebelum berarak ke Istana Negara pada keesokan paginya.

"Jangan balik, selepas subuh kita akan menuju ke Istana Negara, untuk mempertahankan negara," katanya.

Beliau menjangkakan ramai penyokong Gerak Aman akan terlibat dengan perhimpunan itu, bahkan barisan yang dipertua negeri-negeri telah berjanji akan membawa penyokong dengan 20 buah bas bagi setiap negeri.

Menurutnya lagi, pihaknya juga telah menyediakan peguam untuk membela penyokongnya yang ditahan dan tidak bertanggungjawab sekiranya mereka melakukan perbuatan jenayah pada hari tersebut.

Beliau juga menyarankan agar para hadirin yang hadir agar mengedarkan risalah yang dibekalkan dan wakil NGO menggantungkan kain rentang yang dibekalkan sebagai usaha menguar-uarkan perhimpunan 'Gerak Aman'.

Berdasarkan risalah - "Menolak perhimpunan BERSIH 2.0 yang sebenarnya kotor - terdapat empat lokasi utama untuk para penyokong 'Gerak Aman' berkumpul pada tarikh tersebut seawal jam 7 pagi.

Lokasi terbabit adalah perkarangan Masjid Negara, Dataran Merdeka, Perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara.

Risalah yang diedarkan itu juga, turut memaparkan gambar Ambiga dan tertulis "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya" yang didakwa membela kes murtad Lina Joy dan mengusaha menggugat Melayu dan Islam, antaranya menganjur forum menyerang perlembagaan negara dan menuntut pelaksanaan suruhanjaya antara agama (IFC).

"Demi keamanan negara dan rakyat Malaysia, kalau saya berkayuh dengan lidi, saya akan pertahankan keamanan... Membujur lalu melintang patah.

"Kita bukan golongan pengacau, kalau mereka berhenti (untuk berarak) kita berhenti. Kita mahu menghalang tindakan melanggar undang-undang," kata Ibrahim lagi.

Ibrahim - yang akan mengetuai kumpulan Gerak Aman - mendakwa BERSIH 2.0 mempunyai "agenda lain" dengan mengambil aspirasi yang berlaku di Tunisia, Mesir dan di negara Timur Tengah yang didakwanya untuk menumbangkan kerajaan melalui jalan raya.

Ibrahim menegaskan tindakan BERSIH untuk berarak ke Istana Negara tidak mendapat restu secara majoriti di kalangan rakyat Malaysia.

"Sebab itu kita buat penentangan bagi seluruh dunia tahu. Jangan bimbang, jangan takut dengan Ambiga.

"Saya sudah dua kali ditahan ISA, saya kenal Mat Sabu, saya kenal pemimpin DAP,"katanya.

Beliau menggesa penyokong PERKASA agar tidak berasa takut kerana tindakan mereka menghalang sebagai tindakan mencegah dan tidak agenda politik tertentu.

"Pemuda Umno nak herhimpun, kita tidak campur dengan Pemuda Umno... Kita rakyat, satu batalion," katanya sambil bertanyakan kepada hadirin siapa yang ingin ditahan ISA.

Kelihatan segelintir penyokong mengangkat tangan dan ada juga yang berkata "saya" bagi menyahut cabaran Ibrahim.

"Jangan jadi seperti di Asia Barat, kita mahu membantu Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) kerana kita buat kerja baik supaya rakyat mengikuti undang-undang," tegasnya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan, Ibrahim menggesa Kementerian dalan negeri dan Ketua Polis negara agar bertindak sekarang dan tidak hanya sekadar memberi amaran.

Beliau juga menggesa polis mengguna segala peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi menegakkan keamanan di negara ini.

Ditanya mengenai permit, Ibrahim berkata tidak mempunyai permit, bahkan akan berdepan dengan kumpulan BERSIH.

Katanya, beliau akur sekiranya perhimpunan gabungan itu membatalkan hasrat mereka, pihaknya juga akan berbuat demikian.

Turut hadir wakil NGO Pekida, pemimpin politik seperti Datuk Khalid Yunus dan Zulkifli Nordin dan wakil penjaja dan persatuan teksi, untuk memberi sokongan membantah perhimpunan BERSIH 2.0.

Khalid dan Zulkifli turut berucap menyokong Gerak Aman dan membantah BERSIH 2.0.

Ulasan GB

TERNYATA bahawa yang akan melakukan provokasi dan huru hara ialah PERKASA.

Ia terserlah dengan ugutan beliau

Ibrahim turut membayangkan jika perhimpunan itu tidak dibatalkan, maka akan berlaku huru-hara.

"Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

"Apa sahaja akan berlaku
," katanya.

Dan beliau menggunakan taktik menghina kaum/agama lain sama seperti insiden kepala lembu. Perhatikan ayat ini:

"Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya"

Anehnya, orang sebegini masih tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh KDN.

GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku:

1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini.

2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata.

Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional!



Oleh itu jangan pandang rendah kepada kuasa rakyat.

Gempa Di Sumatera Utama, Malaysia Turut Rasa Gegarannya

Posted: 19 Jun 2011 06:35 AM PDT

Lima negeri terasa gegaran

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima negeri di Pantai Barat Semenanjung mengalami gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 310 kilometer dari barat daya Klang di Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.58 malam, gegaran itu dirasai di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Zaki Mohammad, berkata pusat gempa bumi adalah pada kedalaman 10 kilometer di 1.5 latitud utara dan 99.1 longitud timur.

"Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan selepas gegaran itu," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa lokasi di sekitar ibu negara, Putrajaya, Shah Alam dan Seremban merasai kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 300 kilometer dari Pelabuhan Klang pada 14 Jun lalu. -BH

Marang Dilanda Ribut

Posted: 19 Jun 2011 04:40 AM PDT

Marang - Penduduk dan peniaga tepi jalan sepanjang lima kilometer bermula di Kilometer 30 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga di sini, gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan itu.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7 malam kelmarin, ia dianggap penduduk setempat sebagai luar biasa dan terburuk sejak 60 tahun lalu, apabila sebuah rumah, sebuah surau, dan deretan gerai buah-buahan rosak teruk dihempap pokok manakala atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang lima kilometer jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu turut merosakkan pagar Penjara Marang, selain menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik dan gangguan lalu lintas.

Seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, berkata, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin semasa berada di luar rumahnya.

"Saya bergegas berlari memasuki kedai tidak jauh dari rumah, sementara isteri yang berada dalam rumah mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam. -SH

Polis Ditahan Kerana Edar Dadah

Posted: 19 Jun 2011 03:00 AM PDT

Dua belas Pegawai Polis Ditahan Kerana Edar Dadah

KUALA LUMPUR – Seramai 12 anggota polis termasuk seorang pegawai ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di ibu negara, dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Anggota polis berpangkat inspektor, pegawai dan konstabel, berusia lingku-ngan 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemantauan berdasarkan maklumat diperoleh.

"Mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman mati mandatori dan dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama, enam anggota polis dari cawa-ngan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu ditahan minggu lalu.

Menurutnya, biarpun polis tidak menemui dadah, namun siasatan menujukan suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

"Ini adalah kes pertama tangkapan narkotik membabitkan anggota polis pada tahun ini.

"Keputusan sama ada mereka akan digantung kerja dijangka diketahui selepas selesai siasatan nanti," katanya pada sidang akhbar semasa mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar merasmikan Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) Kali Ke-12 di Masjid Bukit Aman, semalam.

Kelmarin, enam anggota dipercayai bertugas di Balai Polis Petaling dan Balai Polis Sri Petaling ditahan.

Sumber berkata, terdahulu, dua suspek diberkas sebelum polis membuat serbuan di sebuah rumah di Apartmen Mutiara di Jalan Klang Lama, kira-kira jam 3 petang.

Difahamkan, polis menemui sebahagian ketulan mampat dadah dan turut menyita beberapa kenderaan milik suspek.

Noor Rashid berkata, tangkapan pegawai dan anggota terbabit membuktikan polis tidak melindungi sesiapa daripada undang-undang.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap PDRM kerana penglibatan pegawai dan anggota polis dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan jenayah adalah kecil berbanding lebih 100,000 keanggotaan dalam pasukan itu. -SH


Ulasan GB

Itu baru kes pengedaran dadah yang rakyat percaya masih ramai lagi yang masih lepas bebas di kalangan anggota polis.

Dan kita berharap pembersihan bukan sekadar kes dadah tetapi juga kes jenayah lain seperti melepaskan tembakan kepada orang awam, mengugut dan merompak, rasuah dan lain-lain.

Tiada ulasan: