Sabtu, 11 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Waspada: Pengguna Kena Caj Hingga RM4 SMS Iklan

Posted: 11 Jun 2011 01:00 AM PDT

Pengguna telefon bimbit di negara ini terpaksa menanggung bayaran antara 20 sen hingga RM4 bagi setiap khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk iklan diterima mereka walaupun tidak pernah mempersetujui untuk memuat turun dan melanggannya.

Antara jenis SMS sering diterima ialah tawaran khidmat seks, pornografi, tilik nasib, pertandingan, permainan serta tawaran hadiah dan cabutan bertuah berdasarkan nombor telefon bimbit atau kad SIM.

Kebanyakan penerima tidak menyedari mereka dikenakan caj dan hanya tahu mengenai perkara itu apabila menerima bil yang merujuk caj berkenaan menggunakan kod ringkas lima angka seperti 33333, sekali gus terpaksa membayar bil tinggi walaupun tidak pernah memohon menerima SMS seperti itu.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan satu garis panduan yang ketat bagi menyekat penghantaran SMS berbayar seperti itu.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata SMS terbabit dihantar terus ke telefon bimbit oleh penyedia kandungan menggunakan sistem lima digit, lazimnya untuk pengiklanan dengan paling kerap diterima adalah tawaran hadiah wang tunai yang meminta butiran peribadi termasuk akaun bank penerima.

"Ada yang terpedaya dengan mendedahkan semua butiran peribadi mereka. CAP menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak gembira dan berasa ditipu malah ia boleh dianggap gangguan kerana mereka terpaksa membuka, membaca dan memadamkan pesanan terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

SM Mohamed berkata, CAP juga mendapati ada SMS dihantar melalui kaedah berangkai termasuk menggunakan nombor telefon bimbit yang berdaftar di negara jiran.

"SKMM dan polis perlu menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dalang penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian besar sekiranya ramai pengguna terpedaya. Kami akan membantu pengguna antaranya dengan menghantar surat rasmi kepada SKMM bagi menangani masalah yang sudah lama berlarutan ini," katanya. -BH

Pembebasan Peguam Negara Dari Sebarang Tuduhan Salahlaku - Rakyat Bosan Dengan SPRM

Posted: 10 Jun 2011 11:07 PM PDT

Mat Zain: Panel SPRM tiada kuasa bebas AG

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim membidas panel Semakan Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana membebaskan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail daripada sebarang salah laku ketika menunaikan ibadah haji dengan seorang lelaki yang mencurigakan bernama Shahidan Shafie.

Dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertarikh hari ini, Mat Zain berkata tindakan melepaskan Gani memang sudah dijangkakan dan rakyat kini mulai bosan melihat SPRM yang sanggup berbohong demi menyelamatkan peguam negara daripada didakwa.

Tindakan sedemikian, katanya akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan dengan SPRM dan menyebabkan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh agensi berkenaan dianggap hanya sebagai sandiwara sahaja.

"Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta ahli-ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya, berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul, memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati...

"Saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais "white-washing" yang tidak teratur dan sia-sia, bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang saya berikan," katanya dalam surat itu yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini, hari ini.

Mat Zain mengulas pengumumkan jawatankuasa itu yang membebaskan Gani berkaitan isu pemergiannya ke Mekah.

"Beliau didapati bersekongkol dengan seorang Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai seorang proksi kepada Tan Sri Tajuddin Ramli yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS. Hubungan erat antara Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Tajuddin," katanya. -mk

Kes Sarbani: Kit Siang Mahu Kes Itu Dibahas Di Parlimen

Posted: 10 Jun 2011 09:56 PM PDT

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mahu sidang parlimen yang bermula minggu depan membahaskan isu kematian penolong pengarah Kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur April lalu.

Menurut Kit Siang, beliau telah menghantar notis kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak parlimen membahaskan membahaskan kematian kedua yang belaku di premis berkenaan.

Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dalam laporannya sebelum ini mendedahkan polis telah menyiasat aset Sarbani dan mendapati Allahyarham tidak memiliki "kekayaan luar biasa" seperti yang didakwa.

Menurutnya SPRM sengaja mahu memburukkan nama Ahmad Sarbani.

"Isu ini penting untuk dibahaskan di Parlimen dengan menumpukan kepada pendedahan dibuat Raja Petra Kamaruddin yang mana polis telah melakukan siasatan ke atas aset Ahmad Sarbani tapi mendapati beliau tidak memiliki kekayaan luar biasa," ujar Kit Siang.

Justeru, wakil rakyat DAP itu menggesa polis memenuhi hasrat keluarga Ahmad Sarbani supaya hasil siasatan didedahkan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk inkues atau suruhanjaya diraja.

"Polis sepatutnya dedahkan hasil siasatan kepada keluarga Ahmad Sarbaini dan membenarkan keluarga itu membuat keputusan sama ada mahu diadakan inkues atau suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian," katanya.

Parti Keadilan Rakyat sebelum ini menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara menuntut jawapan berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Naib presiden parti itu, N Surendran yang menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat polis Bukit Aman mempersoalkan mengapa tiada tangkapa atau pendakwaan berhubung kes tersebut.

Malah ahli parlimen Lembah Pantai yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menggesa siasatan segera dilakukan.

Ahmad Sarbani, 56 tahun dijumpai mati di tingkat satu ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April selepas secara sukarela ke pejabat berkenaan bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau adalah penolong pengarah di Jabatan Kastam Selangor dan adalah antara 62 orang yang ditahan pada 1 April dalam satu operasi membanteras gejala rasuah yang dijalankan ke atas pejabat Kastam seluruh negara.

Namun balunya, Masiah @ Maziah Manap yang membuat laporan polis pada 2 Mei lalu mendakwa seorang pegawai kastam secara tidak langsung memberitahunya bahawa Sarbani dibunuh oleh seorang pegawai SPRM. -tvsnews




Ulasan GB

Jangan harap BN berani untuk berbuat demikian. Speaker akan menyatakan kes ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 kes tersebut adalah tertentu, berkepentingan ramai namun menolak usul tersebut dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

Itu sudah menjadi jawapan standard speaker bagi apa-apa usul yang dibawa oleh ahli parlimen pembangkang.

Insiden Glenmarie: Polis Perlu Jalankan Keadilan, Heret Anggotanya Ke Pengadilan, Bukan Inkues

Posted: 10 Jun 2011 07:55 PM PDT

Insiden Glenmarie: Keluarga mangsa tolak inkues, gesa anggota polis didakwa

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Pemimpin PKR dan aktivis peguam yang mewakili keluarga mangsa hari ini menolak langkah polis Selangor yang mahu mengesyorkan agar diadakan inkues berhubung kematian tiga remaja di Glenmarie dekat Shah Alam Disember lalu, yang mereka dakwa mati akibat 'tembakan membunuh' pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya mereka mahu anggota polis yang terlibat dihadapkan di mahkamah.

"Merujuk kepada pengumuman Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah (semalam) bahawa polis telah memutuskan untuk memanggil satu inkues berhubung kejadian menembak mati Mohd Shamil Hafiz, Hairul Nizam Tuah dan Mohd Hanafi Omar, bagi pihak keluarga mangsa, kami menolak keputusan memanggil pembunuhan ini," kata dua naib presiden PKR N Surendran dan Nurul Izzah Anwar serta seorang lagi peguam dari Lawyers for Liberty, Fadia Nadwa Fikri dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Surendran juga merapakan anggota Lawyers for Liberty.

Kata mereka, inkues tidak perlu diadakan kerana ada bukti yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa ketiga-tiga mangsa ditembak mati oleh polis.

"Semalam, kami mendedahkan laporan bedah siasat yang secara total bertentangan dengan versi polis,"
katanya lagi.

Kata mereka, laporan bedah siasat itu ditandatangani oleh pakar patologi forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan penemuan tersebut sudah cukup dari segi perundangan untuk membawa tuduhan pembunuhan ke atas anggota polis yang terlibat dalam insiden Disember lalu itu.

"Kami melihat permintaan untuk diadakan satu inkues oleh polis sebagai satu lagi taktik melengahkan (kes) bagi mereda kemarahan orang ramai ekoran pendedahan laporan bedah siasat semalam.

"Kami juga terkejut dan hairan dengan dakwaan polis bahawa siasatan masih belum lengkap lagi," kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam kenyataan bersama mereka.

Kata mereka, memandangkan tujuh bulan sudah berlalu sejak kejadian menembak itu, maka jelas ia satu lagi alasan dan usaha untuk melengahkan tindakan ke atas anggota polis terbabit.

"Kami mengulangi permintaan keluarga mangsa bahawa kesemua anggota polis yang terlibat dalam kes tembakan dicaj di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata mereka lagi.

Tegas beliau, Peguam Negara seharusnya memastikan tindakan itu diambil tanpa sebarang kelewatan lagi.

Terdahulu laporan media menyebut polis Selangor akan mengesyorkan agar diadakan satu inkues apabila mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Pada pandangan kami, kami telah berlaku adil dalam mengendalikan kes ini meskipun sesetengah pihak mengatakan sebaliknya.

"Jadi, kami akan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan," kata Tun Hisan.

Bagaimanapun Tun Hisan menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka 'dibunuh' oleh polis.

"Biar saya jelaskan perkara ini, polis tidak pernah tembak untuk membunuh (sesiapa)," katanya lagi.

Semalam, Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty mendedahkan dua daripada tiga remaja yang ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam tahun lalu disebabkan tembakan dari arah dekat.

Surendran berkata, berdasarkan laporan bedah yang diterima beliau dua hari lepas membuktikan kedua-dua remaja itu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah ditembak ketika berada dalam keadaan melutut.

Bagaimanapun laporan bedah siasatan seorang lagi mangsa Muhamad Hanafi Omar,22, masih belum diterima.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Kejadian ini berlaku di Glenmarie dan Timbalan Ketua Polis Selangor (Datuk A Thaiveegan) mengatakan ketiga-tiga remaja ini adalah penjenayah dengan parang dan ditembak ketika cuba menyerang polis.

"Namun berdasarkan kepada keterangan saintifik dan laporan bedah siasat versi yang dikatakan polis itu adalah palsu dan saya ada bukti mengatakan ketiga-tiga remaja ini telah dibunuh oleh pihak polis dengan sengaja.

"Polis kata mereka ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang tapi kalau benar mereka menyerang polis tapi kenapa luka tembakan Mohd Shamil dan Mohd Khairul Nizam berada di dahi dan sisi dahi... kalau mereka menyerang sudah tentu luka tembakan itu dari depan bukan dari tepi kecuali kalau peluru itu boleh melencong," kata Surendran. -TMI


Tembak mati remaja: Polis cadang tubuh inkues

Polis mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya mengadakan inkues bagi menyiasat kejadian tembakan di Glenmarie pada November tahun lalu yang dikatakan dalam keadaan yang mencurigakansehingga mengakibatkan tiga pemuda ditembak mati.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis masih belum menyelesaikan siasatan mereka berhubung perkara itu, meskipun kejadian berlaku lebih enam bulan lalu.

"Tidak wajar bagi polis mengulas lanjut berhubung kes itu kerana kami akan mencadangkan supaya inkues diadakan," kata Tun Hisan.

"Namun, tindakan polis adalah semata-mata untuk menahan suspek. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia mungkin menjejaskan inkues yang dicadangkan itu," katanya.

Ditanya mengapa siasatan yang dijalankan sebegitu lama tidak siap, Tun Hisan berkata anggotanya terpaksa mengumpulkan laporan daripada pelbagai jabatan.

Semalam, perwakilan Lawyers for Liberty N Surendran, yang juga naib presiden PKR mendakwa berdasarkan laporan bedah siasat ke atas tiga-tiga mangsa itu menunjukkan mereka dibunuh dari jarak dekat oleh polis semasa sedang berlutut.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, ditembak mati setelah polis mengejar mereka dengan kereta di Glenmarie, Shah Alam, pada awal pagi 13 November.

Sebelum ini, polis mendakwa pemuda berkenaan cuba menyerbu dan menyerang mereka dengan parang dan tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri.

"Laporan bedah siasat bercanggah dengan versi polis bahawa dalam kejadian itu mereka bertindak mempertahankan diri dan menembak - yang bermakna tembakan mesti dilepaskan dari hadapan," kata peguam N Surendran.

"Bagaimanapun, menurut laporan bedah siasat sudut peluru menembusi kepala depan adalah dari 45 darjah dan keluar melalui belakang leher dan bagi tembakan di bahagian dada, (peluru) juga melalui 45 darjah di badan.

"Ini menunjukkan mangsa sedang melutut ataupun berada pada kedudukan lebih rendah daripada orang yang melepaskan tembakan," kata Surendran. -mk


Video Lucah: Pemandu Bas Dipenjara 3 Tahun, Datuk T Bila Lagi?

Posted: 10 Jun 2011 05:30 PM PDT

Ayer Keroh: Pemandu bas ekspres yang menayangkan video lucah kepada seorang penumpang wanita ketika bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Isnin lalu, semalam dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan akan sekali lagi dibawa ke mahkamah 13 Julai depan untuk perbicaraan kes cuba merogol wanita sama.

P Kanapathy, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaharah Hussain sambil menyatakan tahu perbuatannya itu salah, sekali gus merayu hukuman ringan kerana terpaksa menanggung isteri dan empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dengan sengaja melakukan perbuatan itu bertujuan menawar atau cuba melakukan perbuatan yang menjadi kesalahan terhadap wanita berkenaan, Ni Ketut Remi, 32, pada jam 8.15 malam, 6 Jun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan, cuba merogol mangsa dalam bas dan hari sama kira-kira jam 10.45 malam. Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki berkenaan ditahan dua anggota polis yang terdengar jeritan seorang wanita dari dalam sebuah bas yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan di tepi jalan berhampiran kawasan ladang di Jalan Bukit Kajang, Jasin, Isnin lalu.

Mengikut fakta kes, Kanapathy pada awalnya mengambil tiga penumpang termasuk dua lelaki lain menaiki bas ekspres dipandunya dari Terminal Bersepadu Tasik Selatan, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.45 malam, tetapi selepas 30 minit perjalanan, dia mengarahkan dua lelaki itu turun dengan alasan mereka tersilap bas.

Dia kemudian mengarahkan penumpang wanita berkenaan duduk di kerusi sebelah pemandu tetapi mangsa enggan sebelum tertuduh memasang VCD dalam bas tanpa menghiraukan teguran mangsa. -BH

Ulasan GB

Kini precedent sudah terbentuk. Bahawa penayangan video lucah dikenakan penjara maksimum tiga tahun.

Ia hanya mengambil masa dua hari untuk suspek ditahan, ditangkap, di dakwa dan dijatuhkan hukuman.

Sekarang, bila lagi polis mahu tahan dan tangkap Datuk T yang menayang video lucah kepada wartawan di Hotel Sri Carcosa pada 21 Mac 2011? Para wartawan telah dijemput untuk menonton video selama 20 minit itu secara bergilir mengikut kumpulan.

Trio "Datuk T", yang merupakan gandingan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mendalangi penayangan video lucah tersebut yang sehingga kini belum lagi menghadapi apa-apa tindakan, malah video seks tersebut tersebar luas ke seluruh negara tanpa apa-apa halangan dan sekatan oleh pihak polis.

Mengapa ada double standard di dalam hal ini?

Tiada Sebab PAS Perlu Minta Maaf Kepada UMNO

Posted: 10 Jun 2011 04:20 PM PDT

Kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menegaskan bahawa tiada keperluan untuk pihaknya memohon maaf kepada Umno berhubung prinsip perjuangan parti itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam menuntut PAS meminta maaf kepada Umno kerana melemparkan pelbagai tuduhan, gelaran, termasuk melabelkan parti itu sebagai kafir kerana tidak memperjuangkan negara Islam.

Naib Presiden PAS, Sallahuddin Ayub berkata PAS akan terus memperjuangkan Negara Berkebajikan walaupun ia menimbulkan keresahan Umno yang khuathir pengaruhnya di kalangan pengundi Melayu akan terhakis lagi.

"Tidak ada isu mengapa PAS perlu minta maaf atas kenyataan itu dan kita akan terus dengan konsep ini dan kita akan jadikannya sebagai manifesto kami pada pilihan raya akan datang," tegasnya kepada Tv Selangor.

"PAS tiada sebab untuk minta maaf dengan UMNO kerana Pas tidak pernah lari daripada dasar perjuangan dan konsep gagasan negara berkebajikan ialah intipati daripada sebuah negara yang diidamkan oleh rakyat dan mengandungi prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan yang kita perjuangkan." tambah beliau.

Sallahuddin berkata tuntutan maaf oleh Khaled Nordin mencerminkan Umno semakin terdesak dan tidak memahami konsep negara berkebajikan yang di perjuangkan PAS serta Pakatan Rakyat.

"Saya rasa Umno terdesak, amat gentar, amat risau dengan kepimpinan baru PAS yang baru sahaja dipilih dalam muktamar minggu lepas dan mereka juga sangat tertekan dengan keupayaan PAS dalam menjayakan Negara Berkebajikan," kata beliau.

" Saya rasa isu itu adalah isu yang dah ketinggalan zaman dan apa yang dihujahkan oleh Datuk Khaled Nordin itu saya ibaratkan sebagai musim kemarau yang panjang bagi Umno," tambah beliau.

Sallahuddin berkata komen-komen pemimpin Umno menunjukkan mereka tidak dapat menerima keputusan pemilihan PAS sehingga sanggup menabur fitnah.

"Mereka sebenarnya sangat kecewa dengan kepimpinan baru PAS, mereka seperti orang yang hilang pemikiran serta panik dengan pemillihan itu dan sebab itu mereka membuat pelbagai tuduhan-tuduhan tidak berasas dengan kepimpinan barui yang ada pada hari ini.

Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan UMNO-BN sepatutnya yang meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menindas rakyat Malaysia dan mengabaikan kebajikan mereka sekian lama.

Jelasnya lagi, apa juga dasar yang dibawa dan diperjuangkan PAS tiada kaitan dengan UMNO-BN dan apa yang lebih penting ketika ini PAS mesti mengambil alih peranan UMNO untuk menjaga Islam dan rakyat di negara ini.

"Dasar Pas dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan UMNO dan UMNO tidak perlu campur tangan dalam urusan parti PAS." tambahnya lagi. -tvsnews


PAS tidak layan Khaled Nordin

"Tiada sebab untuk PAS minta maaf. Tuduhan itu sudah ketinggalan zaman," kata Salahuddin Ayub.

PETALING JAYA: PAS tidak akan meminta maaf kepada Umno seperti yang diminta oleh seorang pemimpin parti itu, tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Tiada sebab untuk PAS minta maaf. Tuduhan itu sudah ketinggalan zaman," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau menjawab desakan ketua Umno bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa PAS telah membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Umno.

PAS, menurut menteri pengajian tinggi itu melabelkan Umno parti haram kerana tidak membentuk negara Islam.

"PAS seharusnya meminta maaf kepada Umno kerana semasa memperjuangkan negara Islam menuduh Umno membuat pelbagai kesalahan tetapi ketika ini mereka tidak lagi berjuang membentuk negara Islam kerana tidak ada dalam al Quran tetapi negara berkebajikan," kata Mohamed Khaled di Kuantan hari ini.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Syed Azman Ahmad Nawawi tuduhan atau kenyataan Mohamed Khaled itu tidak perlu dilayan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam itu, negara kebajikan yang ditawarkan PAS bertujuan untuk menyelamatkan rakyat yang kini dibebani kos hidup yang tinggi, krisis ekonomi dan kenaikan harga barangan.

"Tawaran ini bukan hanya untuk ahli PAS tetapi kepada keseluruhan rakyat Malaysia," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang , dalam ucapan di muktamar parti minggu lalu berkata, PAS memfokuskan kepada negara berkebajikan selaras dengan perjuangan pakatan pembangkang.

Hadi juga berkata, negara Islam tidak disebut dalam al Quran. -FMT




Pemimpin Gerakan Akan Turut Serta "Perhimpunan BERSIH" 9 Julai

Posted: 10 Jun 2011 03:00 PM PDT

Pemimpin Gerakan akan hadir perhimpunan BERSIH

Walaupun pengerusi Gerakan Kedah Cheah Soon Hai, semalam, melabelkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebagai 'lawak bodoh yang tidak bermanfaat', namun rakannya di Pulau Pinang akan menyertai acara itu bersama sekumpulan peguam.

Menurut ketua biro hak asasi dan undang-undang Gerakan Pulau Pinang Baljit Singh, beliau bersama 10 peguam lain dari negeri itu akan menyertai Majlis Peguam memantau perhimpunan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.


Baljit berkata keputusan menyertai perhimpunan itu bukan kerana beliau menyokong BERSIH dan tuntutannya tetapi kerana perlembagaan persekutuan menjamin demonstrasi aman.

Kumpulan itu akan menyerahkan nama-nama peguam yang akan terbabit dan mereka juga akan membekalkan perkhidmatan perundangan kepada peserta BERSIH sekiranya tangkapan dibuat.

"Setiap orang mesti hormat perlembagaan persekutuan yang membenarkan demonstarsi aman bagi rakyat meluahkan suara mereka," kata Baljit kepada Malaysiakini.

Perhimpunan besar-besaran itu akan diketuai oleh beberapa NGO dengan tujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campurtangan Seri Paduka dalam memulakan reformasi sistem pilihan raya negara. -mk

Ulasan GB

Baljit berkata keputusan menyertai perhimpunan itu bukan kerana beliau menyokong BERSIH dan tuntutannya tetapi kerana perlembagaan persekutuan menjamin demonstrasi aman.

Pemimpin Gerakan Pulau Pinang itu perlu sekolahkan rakan-rakannya dari Pemuda UMNO Malaysia yang sudah sibuk dan bising-bising buat laporan polis mengenai Himpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan 9 Julai ini.

Jururawat Diculik Nyaris Dijual

Posted: 10 Jun 2011 08:50 AM PDT

Seorang jururawat berusia 22 tahun kini trauma selepas diculik sebelum dipukul sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali ketika berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Difahamkan, selepas menculik wanita itu, kumpulan terbabit membawa mangsa ke lokasi tidak diketahui dan mahu menjualnya kepada individu lain yang sedia menunggu.

Namun, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, urusan tiga suspek terkubur apabila mangsa berjaya melarikan diri.

Biarpun jururawat itu dikejar ketiga-tiga penjenayah terbabit, dia menyembunyikan diri di dalam stor sebuah kedai makan di kawasan berkenaan selama tiga jam dan sebaik merasakan selamat, dia keluar dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira jam 4.30 petang.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang berjalan sendirian di kawasan LRT berkenaan mendakwa dihampiri sebuah kereta BMW biru gelap dinaiki tiga lelaki sebelum pemandu kenderaan itu menegur mangsa. -hm

Ulasan GB

Negara sudah menjadi semacam sudah tidak selamat.. simbahan asid, culik menjadi-jadi, polis rembak remaja dan lain-lain.

Tetapi kita dikejutkan dnegan statistik palsu menyatakan kadar jenayah menurun, semata-mata untuk mewangikan NKRA.

Allah Maha Berkuasa, kebenaran itu di tanganNya dan Dia akan menyerlahkan samada kadar jenayah itu sebenarnya turunkah atau naikkah.

Rakytat tak perlu ditipu.


[Video] Mat Sabu Siap Sedia Hadapi Sasaran UMNO

Posted: 10 Jun 2011 07:30 AM PDT

Mat Sabu Sedia Jadi Sasaran Fitnah Umno

SHAH ALAM 10 JUN : Mohamad Sabu berkata beliau tidak gusar jika menjadi sasaran terbaru kecaman dan fitnah Umno, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Presiden baru PAS minggu lalu.

"Saya tidak mahulah diuji kerana umur pun sudah semakin meningkat, tetapi sekirannya datang ujian saya akan sabar menghadapi," kata Mohamad Sabu kepadaTVselangor.

Mohamad Sabu kerap dipandang oleh Umno sebagai penceramah utama parti Islam itu yang berupaya mempengaruhi pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan sikap kesederhanaan beliau.

Ucapan-ucapan Mohamad Sabu mengenai rasuah dan penyelewengan kuasa dan kepemimpinan talam dua muka yang penuh sinis bukan sahaja mencuit hati hadirin diceramah tetapi turut menghantar mesej yang tajam kepada pemimpin-pemimpin Umno.

Pelantikan beliau sebagai orang kedua tertinggi dalam Jawatankuasa Pusat Parti awal bulan ini menjadikan Mohamad Sabu sebagai tonggak utama PAS, sekaligus menjadikan beliau sasaran utama Umno.

Mohamad Sabu berkata beliau sudah lali dengan budaya fitnah yang diamalkan pemimpin-pemimpin Umno demi kelangsungan jangkahayat politik mereka.

Ditanya kemungkinan beliau diserang oleh Umno secara lebih hebat, seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu berkata Umno akan membuat kesilapan besar jika Anwar diheret ke penjara sekali lagi.

"Saya yakin mereka tidak mampu mengulangi perkara seperti itu, sebab pilihanraya yang bakal berlangsung ini. Mungkin mereka akan kehilangan kuasa kerana rakyat akan membuat perhitungan,"kata beliau.

Anwar dipenjarakan enam tahun setelah dipecat dari kerajaan dan Umno dan dibebaskan pada tahun 2005 setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau telah disabit di atas tuduhan liwat dengan keterangan-keterangan rapuh dan dipaksa.

Kini beliau sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat dengan keterangan-keterangan mencurigakan daripada saksi dan pengadu sendiri.

Anwar juga diaibkan dengan pengedaran video lucah dengan dakwaan-dakwaan Umno kononnya Ketua Pembangkang itu adalah pelaku dalam rakaman berkenaan.

Mengenai pemilihan PAS yang lalu, Mohamad Sabu berkata dakwaan Utusan Malaysia dan juak-juak Umno kononnya wujud perbalahan dalaman di PAS bersabit perjuangan Negara Berkebajikan menyerlahkan budaya fitnah Umno.

Mohamad Sabu berkata dakwaan itu tidak logik dan hanya cubaan berterusan Umno untuk memburukkan PAS tanpa sebarang bukti atau hujah bernas.

"Macam mana mahu berbalah, bermesyuarat pun belum, selepas bermuktamar ada yang balik ke kampung masing-masing, ada yang mengambil cuti kerana letih, macam saya tiap-tiap hari dihubungi pihak wartawan, jadi bila masa kami berjumpa dan berbalah, bertemu pun belum," kata Mohamad Sabu kepada TvSelangor.

Beliau mengulas laporan-laporan Utusan Malaysia yang cuba memberi gambaran kononnya PAS diambang perpecahan berikutan perjuangan parti itu menegakkan Negara
Berkebajikan yang turut didokong oleh parti komponen Pakatan Rakyat.

Utusan dan pemimpin Umno mendakwa langkah itu menunjukkan PAS mengabaikan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan parti itu tidak lagi didokong oleh pimpinan ulama.

"Media kawalan Umno ini kami cukup pelik, tiba-tiba mereka menunjukkan mereka begitu sayang kepada kepimpinan ulama, sedangkan mereka menyerang hebat dan mencerca para ulama PAS dan kenapa mereka tiba-tiba sayang, ini semua rakyat boleh baca iaitu mereka hanya mahu melaga-lagakan sahaja bukan mereka sayangkepada ulama," kata Mohamad Sabu.

Semalam Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan konsep Negara Berkebajikan adalah selari dengan Islam dan tidak timbul soal parti itu luntur dalam
perjuangan demi Islam.

Mohamad Sabu juga berkata Umno semakin terdesak dalam reaksinya terhadap pemilihan barisan kepimpinan Pusat PAS. Barisan depan parti Islam itu dilihat akan memberi kesan kepada peluang Umno untuk menawan semula kerusi-kerusi yang hilang kepada PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Utusan semalam mencadangkan Umno mewujudkan sayap Ulama dan menjemput ulama-ulama yang tewas pada pemilihan PAS menyertai Umno.

"Kalau Umno tergerak mahu mencadangkan untuk adakan majlis ulama sendiri, kami akan melihatlah bagaimana mereka mahu laksanakan dan peranannya serta termasuk dasar parti mereka, jangan hanya bercakap di peringkat cadangan sahaja," kata Mohamad Sabu.

Tambah Mohamed Sabu lagi, kenyataan sedemikian diada-adakan Utusan solah-olah menggambarkan parti kerajaan itu semakin akur bahawa riwayat hidupnya bakal beralih kepada menjadi pembangkang selepas pilihanraya umum ke 13.

"Dan barang kali mereka tahu yang mereka bakal menjadi pembangkang maka mereka bersedia seperti apa yang ada dalam pembangkang hari ini." katanya. -tvsnews



Jadi Loya Dengar Najib Kata PAS Mahu Ciplak Negara Kebajikan UMNO BN!

Posted: 10 Jun 2011 06:30 AM PDT

Najib minta PAS jangan 'ciplak' model negara kebajikan BN

PUTRAJAYA, 10 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa PAS "menciplak" model kejayaan Barisan Nasional (BN) sambil berkata Malaysia sentiasa berperanan sebagai negara berkebajikan.

Najib berkata konsep negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS minggu lalu bukan sesuatu yang baru dan sentiasa menjadi matlamat pentadbiran semasa.

"Kerajaan sentiasa berjuang ke arah negara berkebajikan.

"Oleh itu, saya merasakan sesuatu janggal dan ganjil, mereka mahu mengadakan negara kebajikan," kata Najib (gambar) sambil menambah, apa yang diketengahkan oleh PAS sebagai baru sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

"Tidak perlu bagi mereka mengambil model kerajaan semasa," kata beliau pada Konvensyen Wasatiyah di sini hari ini.

Najib juga menekankan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi bersatu seperti dulu kerana sesetengah pihak mahu mempolitikkan agama demi kepentingan mereka.

Katanya, dalam negara pelbagai kaum, debat agama seharusnya diurus dengan cermat sebab perbincangan sedemikian boleh membawa kepada persekitaran benci-membenci di kalangan semua kaum.

Kata Najib, institusi-institusi seperti Felda, Felcra, Bank Islam dan Bank Rakyat menunjukkan bahawa negara mempertahankan konsep kebajikan awam.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar yang bertemakan "Membangun Negaar Berkebajikan" -TMI

Ulasan GB

Bagus sangat ker negara kebajikan UMNO BN sampai dihalang untuk menciplak? Dan PAS pun rasa geli dan loya untuk meniru negara kebajikan UMNO BN - lihat sahaja kes-kes terbaru di negara kita, kesemuanya dijumpai di dalam "negara kebajikan" tajaan UMNO BN seperti kes rasuah Khir Toyo, kes pembunuhan rakyat seperti Ahmad Sarbani dan Teoh Beng Hock di pejabat SPRM, kes polis bertindak berat sebelah, kes penipuan dan ketidak-telusan SPR menjalankan pilihanraya, kes video seks fitnah semata-mata untuk menjatuhkan musuh politik, kes hakim yang durjana dan ikut telunjuk Peguam Negara dan pelbagai lagi...

Sedangkan negara kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS adalah berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah bagi memenuhi tuntutan baldatun taybatun wa rabbun ghaffur.

Ia seperti apa yang disuarakan oleh Mursyidul Am PAS iaitu konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Jadi usahlah UMNO BN terutama Najib rasa perasan sangat yang PAS nak ciplak konsep negara kebajikan mereka. Jauh bezanya umpama langit dan bumi.


Video Seks Mat Sabu Pula Diedarkan?

Posted: 10 Jun 2011 05:50 AM PDT

Ketua Wanita PKR terima rakaman video seks didedah 'Datuk T'

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menerima rakaman video seks, yang didedahkan "Datuk T" mendakwa si pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi pos semalam.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata satu salinan DVD dihantar ke rumahnya semalam.

Sehubungan itu kata beliau, DVD rakaman video seks yang memfitnah Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, diedarkan di seluruh negara.

"Polis seharusnya boleh mengesan dalang (melakukan perkara ini). Tetapi sehingga kini tiada hasil siasatan terhadap laporan polis mengenai pengedaran VCD lucah ini," kata Zuraida dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Lebih buruk, saya sendiri menerima DVD dan risalah berbaur fitnah yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang mengandungi surat yang menggunakan kepala surat PAS yang palsu, dan satu VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah-risalah yang menggambarkan beberapa sedutan DVD lucah, yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau sambil menegaskan, budaya politik kotor sudah muncul di bahagian yang diwakilinya.

Rakaman video itu buat pertama kali dipertontonkan kepada umum pada 21 Mac lalu oleh "Datuk T" di hotel Carcosa Seri Negara di sini.

Dua hari kemudian tiga "Datuk T" iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim muncul di khalayak sambil mengaku mereka yang bertanggungjawab atas pengedarannya.

Beberapa hari kemudian mereka menyerahkan salinan asal rakaman video itu kepada polis.

"Susulan laporan polis saya hari ini, saya meminta polis segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku sekarang adalah jelas bermotifkan politik dan mungkin disebabkan arahan dan pembabitan penguruasan atasan," kata wakil rakyat penggal pertama itu. -TMI


Kes video seks: Tiada perkembangan, tangkapan

Polis masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran VCD lucah yang memaparkan aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang seperti yang dipertontonkan oleh trio 'Datuk' kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

"Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

"Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah," katanya.

Sejak bulan lalu, semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks berkenaan.

Antara mereka termasuk ketua kampung di kebanyakan tempat di Selangor sebelum menular ke negeri-negeri lain.

Selain kampung-kampung Melayu, turut menjadi sasaran adalah kampung Cina dan India.

VCD lucah yang diposkan ke rumah mereka dikatakan berasal dari Shah Alam dan ada yang dari Melaka. Ini berdasarkan setem dan cop pos di sampul surat yang dihantar itu.

Awal hari ini, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis di ibu pejabat daerah polis Ampang Jaya setelah menerima VCD di peti suratnya bersama surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu, dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Skandal Seks Mat Sabu

"Sebaran VCD lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini.

"Lebih melampau, saya sendiri telah menerima VCD dan risalah fitnah ini yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang dihantar mengandungi surat palsu yang menggunakan kepala surat PAS, VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah yang memaparkan beberapa adegan dari VCD lucah...mula dicemarkan sehingga ke Ampang pula," katanya.

Zuraida mendakwa penyebaran rakaman seks itu kerja Umno sebagai usaha mereka bagi memecah-belakan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

"Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan," kata Zuraida. -mk



'Skandal' seks: Tak apa, kisah lama, kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih enggan mengulas berhubung penyebaran video seks sekitar kawasan Ampang yang dikaitkan dengan dirinya.

Ini kerana, katanya, beliau masih tidak tahu menahu dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang membuat laporan polis berhubung perkara itu terlebih dahulu.

"Bagi saya tanya Zuraida dulu. Nanti baru saya boleh komen," katanya ketika ketika diminta mengulas berhubung penyebaran VCD itu.

Ditanya sama ada beliau selesa kontroversi kisah silamnya diungkit semula, Mohamad menjawab: "Bagi saya tidak mengapa, (ia) kisah lama."

Awal pagi ini, Zuraida membuat aduan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya setelah menemui VCD bersama surat palsu dalam peti surat rumahnya yang kononnya dikeluarkan PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej Mohamad - yang baru dipilih sebagai timbalan presiden PAS yang baru - dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Zuraida mendakwa terdapat penglibatan Umno dalam kerja itu dalam rangka untuk memecah-belahkan kerjasama parti gabungan Pakatan Rakyat.

'Bagi saya tanya dulu'

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mohamad bagaimanapun memberitahu beliau bersedia mengulas perkara itu selepas menghubungi Zuraida yang juga ketua wanita PKR.

"Boleh, boleh (minta komen). Bagi saya tanya Zuraida dulu," katanya ringkas.

Sementara itu, Zuraida (kanan, tuduh cerah) dalam kenyataannya berkata, "tindakan melampau" itu membuktikan bahawa "budaya politik kotor sudah mula dicemarkan sehingga ke Ampang".

Sambil mengaitkan dengan penyebaran video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Zuraida mempertikaikan tindakan polis yang masih belum berjaya mengesan dalangnya.

"Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini," katanya.

Beliau juga menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak terus berpeluk tubuh dan segera menjelaskan pendiriannya berkenaan perkara itu.

Menurut Zuraida, "penyebaran melampau" VCD sebegitu mencemarkan nilai dan semangat keharmonian kekeluargaan di negara ini.

"Institusi keluarga yang dibina seharusnya suci dari anasir dan budaya lucah sebegini agar masyarakat yang dibina tidak terus cetek dek kerana budaya lucah ini," katanya. -mk


Ulasan GB

Rupa-rupanya tajuk saja menggunakan nama Mat Sabu, isi dalamnya orang lain.

Kita jadi hairan dimana yang dikatakan polis Malaysia ini cekap sehingga kini banyak kes jenayah tidak berjaya diselesaikan?

Sehinggakan pengedaran video lucah itu pun tak tahu siapa yang mengedarkannya. Susah sangat ke nak kesan atau, memang sengaja tak mahu tangkap di atas sebab-sebab yang hanya polis sahaja mengetahuinya?

Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis

Posted: 10 Jun 2011 04:40 AM PDT

Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.

"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.

Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi. -tvsnews




[Bergambar] Mamat, Si Monyet Yang Pakai Pampers

Posted: 10 Jun 2011 03:30 AM PDT

George Town - PENYAYANG.....Mamat cuba merasai "Teh Tarik"..., begitulah reaksi yang ditunjukkan oleh seekor monyet peliharaan Mazlan Abdullah, 52.

Monyet yang berusia empat bulan itu cuba menyedok "Teh Tarik" yang diminum oleh Mazlan di sebuah kedai makanan di Jalan Perak.

Menurut Mazlan, beliau mula memelihara monyet berkenaan sejak usianya seminggu.

Tambahnya lagi, monyet berkenaan mula dipelihara apabila ibu monyet itu mati dilanggar oleh sekumpulan mat rempit di Jalan Kebun Bunga.

"Saya belanja sebanyak RM4 setiap hari untuk membeli makanan dan pampers bagi Mamat", kata Mazlan.

Setiap kali beliau keluar minum, monyet kesayangan akan menemaninya. - foto BERNAMA




Ulasan GB

Sikap penyayang terhadap binatang yang ditunjukkan oleh Mazlan amat dipuji.

Definisi Arak & Bir Kabur Dan Mengelirukan

Posted: 10 Jun 2011 02:05 AM PDT

Definisi arak kabur

KUALA LUMPUR: Penetapan definisi arak di negara ini perlu dibuat selari mengikut hukum syarak supaya tidak mengelirukan umat Islam, kata Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Beliau berkata, terdapat perbezaan penetapan peratusan alkohol untuk diklasifikasikan sebagai arak antara agensi penguat kuasa dengan hukum syarak hingga menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Dari segi syariah, ditetapkan minuman melebihi 0.01 peratus kandungan alkohol sebagai arak, sebaliknya di bawah Akta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pula menetapkan minuman itu sebagai arak jika melebihi dua peratus kandungan alkohol.

"Justeru, tindakan penguatkuasaan seperti rampasan tidak boleh dilakukan bagi minuman kurang daripada dua peratus kandungan alkohol di pasaran sedangkan jumlah itu sudah melebihi apa yang ditetapkan dalam syarak dan kita bimbang ia mengelirukan umat Islam," katanya pada sidang media selepas sesi Persidangan Meja Bulat 'Arak dan Pencegahannya : Pengalaman Agensi Berkaitan' di Ikim di sini, semalam.

Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan pendedahan Harian Metro mengenai ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai 'bir halal' di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri 'bir halal' untuk dianalisis bagi mendapatkan kepastian.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman dibenarkan syariat Islam tidak melebihi 0.01 peratus.

Persidangan itu dihadiri empat panel jemputan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia bagi mengenal pasti langkah pencegahan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan agensi berkaitan selain mengenal pasti cadangan berkesan bagi mengemas kini langkah pencegahan sedia ada serta membantu merangka dasar kerajaan berkaitan kesihatan mental dan penyelesaian isu arak.

Hasil perbincangan dan penyelidikan berkaitan isu terbabit akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan selanjutnya.

Zaleha berkata, definisi arak di negara ini dilihat masih samar dan perlu dibincangkan lebih terperinci selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengelak umat Islam terjebak dengan pengambilan arak yang semakin berleluasa.

"Selain itu, sudah sampai masanya kerajaan memberikan tumpuan lebih terhadap pencegahan arak kerana ia memberi kesan lebih buruk daripada dadah dan rokok terhadap rakyat negara ini.


"Kita juga akan berbincang Jabatan Peguam Negara mengenai penetapan undang-undang berkaitan arak supaya memenuhi kehendak syariah," katanya.

Tiada ulasan: