Isnin, 6 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Jangan Hanya Pandai "Menternak" Anak

Posted: 06 Jun 2011 12:30 AM PDT

Jangan 'ternak' anak semata-mata

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak 'menternak' anak hingga mengabaikan pendidikan rohani, sekali gus mengakibatkan generasi muda terjerumus ke kancah perzinaan, kata perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam, mengenai pengakuan dua remaja perempuan berasal dari pantai timur yang menganggap aktiviti seks luar nikah sebagai hobi masa lapang selain menjadikan rumah keluarga lokasi terbaik bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.

Katanya, konsep ternak digunakan bagi menggambarkan tindakan ibu bapa yang hanya bertanggungjawab menyediakan makanan, tempat tinggal, kewangan dan memenuhi kehendak anak tanpa memberi 'makanan' untuk jiwa remaja.

Katanya, tindakan sedemikian akan menghasilkan jurang antara hubungan ibu bapa dan anak, selain memberi ruang kepada remaja mencari keseronokan di luar rumah.

Menurutnya, ketiadaan ibu bapa di rumah kerana kesibukan mencari rezeki digunakan sepenuhnya oleh anak yang meningkat dewasa sebagai lokasi paling sesuai untuk melakukan kegiatan tidak bermoral iaitu alternatif kepada hotel bajet.

Katanya, hal ini berikutan ketegasan pihak berkuasa membuat serbuan terutama di hotel bajet dalam menangani gejala maksiat dan ia memaksa anak muda menjadikan rumah sebagai pilihan kedua.

"Rumah yang sebelum ini dianggap tempat paling bahaya dan tidak selamat bagi melakukan perbuatan maksiat kerana dibimbangi diketahui ibu bapa, sudah menjadi lokasi pilihan utama mereka.

"Ini membuktikan gejala maksiat negara kita berada di tahap membimbangkan kerana rumah disifatkan sebagai 'benteng' terakhir bagi penanda aras keruntuhan akhlak remaja berjaya dirobohkan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, perbuatan zina berpunca daripada nafsu seseorang individu dan ditambah pula dengan kebanjiran bahan lucah secara terbuka hingga mewujudkan perasaan ingin mencuba di kalangan remaja biarpun masih di bangku sekolah.

Katanya, bagi menangani masalah berkenaan, ibu bapa disaran membimbing anak masing-masing dengan ajaran agama dan menitikberatkan kewajipan bersolat dalam usaha membentuk peribadi mulia. -hm


Kes remaja terlanjur menakutkan

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar remaja kini didapati bukan saja menjadikan hubungan seks terlarang sebagai percubaan, malah hobi mengisi masa lapang.

Fenomena menakutkan itu didedahkan penceramah bebas juvana, Mohd Yunus Mohd Ali, selepas sebilangan besar remaja bermasalah mengaku melakukannya untuk berseronok pada masa lapang.

Beliau berkata, golongan itu biasanya mendapat maklumat berkaitan seks, termasuk bahan lucah, melalui Internet atau video di rumah, selain telefon bimbit rakan.

"Selesai berceramah, saya buka peluang untuk mereka meluahkan isi hati dan saya sebenarnya terkejut dengan pengakuan diluahkan.

"Selepas melakukan seks sekadar suka-suka, mereka kini menjadikannya sebagai kegemaran dan ia perkembangan menakutkan," katanya.

Situasi berkenaan turut diakui Pengasas Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim selepas melihat jumlah kes remaja terlanjur semakin serius.

Menurutnya, banyak kes diterimanya kini membabitkan remaja di bangku sekolah yang terlanjur dengan teman lelaki, selain menjadikan seks bersama rakan sebagai hobi.

"Berbanding lima tahun lalu, kebanyakan kes membabitkan remaja lepasan sekolah berusia antara 20 hingga 26 tahun, tetapi kebelakangan ini seawal 13 tahun.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan, kita melihatnya sebagai masalah utama yang sangat membimbangkan. Jika tidak ditangani dengan segera dan betul, kita khuatir ia terus membarah hingga sukar ditangani," katanya.

Dalam kebanyakan kes diterimanya, hampir 90 peratus mengaku melakukan seks dengan teman lelaki dan mengulanginya dengan teman baru.

Malah, kebanyakannya mengakui mempelajari perlakuan itu daripada sumber yang mudah dicapai seperti di laman Internet atau filem lucah.

"Mereka sebenarnya bermula melalui pengalaman sendiri. Mereka mempelajarinya daripada Internet atau video lucah dan kemudian diterjemahkan dalam bentuk sembang, sama ada antara teman lelaki atau dengan rakan rapat masing-masing.

"Selepas itu perbualan bertukar kepada cuba-cuba seperti bercium, berpelukan, seterusnya adegan seks ringan. Bila seronok dengan apa dilakukan, mereka cuba pula melakukan seks lebih berat hinggalah seks luar nikah," katanya.

Haliza berkata, kebanyakannya mengaku bebas melakukan seks berikutan tiada pemantauan ibu bapa, malah ibu bapa membenarkan anak mereka keluar rumah tanpa mengetahui aktiviti dilakukan.

Ada ibu bapa yang tidak tahu anak mereka membawa teman lelaki balik ke rumah dan melakukan seks secara sembunyi.

"Bukan mahu menyalahkan ibu bapa. Namun, memang ada ibu bapa tidak tahu pergerakan anak apabila ditanya, termasuk apa dilakukan dalam rumah sendiri.

"Ada kes di mana remaja mengaku pergi ke negeri lain untuk berjumpa teman lelaki dan bermalam di sana tanpa pengetahuan ibu bapa," katanya.

Katanya, sebagai NGO yang bertanggungjawab melindungi remaja hamil luar nikah, tugas mereka adalah memastikan mereka selamat melahirkan anak.

"Ini yang kita ingin tegaskan. Apabila menjaga mereka, kita terapkan dengan pengetahuan agama serta latihan kemahiran bagi mengelak mereka terjebak dan mengulangi perbuatan zina yang terkutuk itu.

"Namun, setakat itu tugas kami. Apabila remaja terbabit keluar, ibu bapa serta keluarga perlu memainkan peranan mereka. "Jika tidak mahu anak bergelumang dengan kegiatan lama, mereka hendaklah memantau pergerakan mereka," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap semua pihak, khususnya ibu bapa, memberi lebih perhatian terhadap aktiviti anak.

Katanya, ibu bapa atau penjaga perlu ada perasaan curiga terhadap anak kerana itu antara cara mengawal pergerakan mereka.

"Curiga bukan bermaksud menjadi cerewet dalam semua hal, sebaliknya bagi memastikan keselamatan anak.

"Jika terlalu mempercayai anak dan mengiyakan perbuatan mereka tanpa perasaan curiga, ia mungkin digunakan remaja untuk melakukan perkara tidak bermoral," katanya. -HM


Anwar Gagal Lagi, Bakal Dipenjara, Percepatkan Lagi PR Rampas Putrajaya

Posted: 06 Jun 2011 12:00 AM PDT

Liwat II: Anwar gagal kali ketiga lucutkan hakim

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd daripada membicarakan kes pertuduhan liwat terhadapnya.

"Mahkamah dapati tiada merit dalam permohonan ini. Dan mahkamah ini menolak permohonan yang dibuat," kata Zabidin.

Selepas selama tiga minggu ditangguhkan, perbicaraan kes berprofil tinggi itu bermula hari ini dengan pihak pembelaan membuat permohonan melucutkan Zabidin daripada membicarakan kes berkenaan dan memulakan semula perbicaraan.

Sebelum ini, hari ini ditetapkan bagi Anwar membela diri selepas Zabidin pada 16 Mei lalu memerintahkannya kerana terdapat prima facie dalam kes tersebut.

Ia berikutan mahkamah memutuskan bahawa pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi yang boleh dipercayai dan kenyataannya diterima sebagai kebenaran kerana berkenaan seorang yang "berwibawa.".

Selain itu, Zabidin juga berkata kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan.

Percubaan melucutkan Zabidin daripada mendengar perbicaraan itu, adalah buat kali ketiga.

Permohonan pertama dibuat pada Februari tahun lalu apabila Zabidin tidak memberikan amaran kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan menghina mahkamah.

Satu lagi difailkan pada November lalu berikutan amaran hakim itu yang cuba mengugut peguam utama Karpal Singh dengan tindakan menghina mahkamah.

Kedua-dua permohonan itu ditolak.

Anwar didakwa meliwat Saiful di kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Ini perbicaraan kedua kes liwatnya sejak 1998. Pada kes pertama itu beliau dibebas dan dilepaskan selepas rayuan. -mk

Ulasan GB

Lain yang dipohon oleh DSAI, lain alasan yang diberikan oleh hakim.

Anwar memohon hakim berkenaan dilucutkan. Hakim Zabidin MENEGASKAN pula bahawa

"Zabidin juga berkata kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan".

Ia seolah-olah SUDAH membuat keputusan bahawa Anwar didapati bersalah dan justeru itu ia hanya menunggu keputusan hukuman. Rakyat melihat seolah-olah sudah berskrip untuk berbuat demikian.

Apa-apa yang lain termasuk perbicaraan itu sendiri hanya sebagai penglipur lara dan lain-lain hal sudah dikategorikan tidak relevan.

Anwar bakal ke penjara juga nampak gayanya tetapi Pakatan Rakyat akan lebih cepat mara ke Putrajaya. Tak percaya? Tunggu, bahawa perancangan Allah itu lebih hebat dari perancangan manusia. Keputusan pilihanraya 1999 adalah bukti teramat nyata bagi UMNO BN yang pelupa.

[Bergambar] Presiden Yaman Cedera Dibom, Rakyat Raikan Pemergiannya Ke Luar Yaman

Posted: 05 Jun 2011 10:00 PM PDT

Riyadh: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh diterbangkan ke Arab Saudi semalam bagi mendapat rawatan akibat cedera di dada dan leher terkena bom pemberontak di istana presiden di Sanaa, Jumaat lalu.

Pemergian Salleh itu selepas didesak hebat rakyatnya sejak Januari lalu supaya berundur, mencetuskan spekulasi beliau bakal menjadi pemimpin negara Arab terbaru digulingkan selepas dunia melihat kejatuhan Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali dan Hosni Mubarak dari Mesir. Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan Presiden Syria juga menghadapi tekanan rakyat dan Barat supaya berundur.

Saleh yang tiba di Riyadh menaiki kapal terbang perubatan Arab Saudi, dilaporkan keluar sendiri dari pesawat dan jelas cedera di muka, kepala dan leher.

Sumber berkata, ada serpihan peluru di bawah jantung Saleh selain kebakaran pada dada dan muka akibat serangan berkenaan.

Presiden Yaman yang memerintah sejak 33 tahun lalu itu cedera selepas serangan roket mengenai masjid di pekarangan istana Presiden di ibu negara Yaman, Jumaat lalu.

Ali dirawat di sebuah hospital tentera di Riyadh.

Bedilan yang memusnahkan mimbar masjid itu turut mengorbankan 11 pengawal peribadinya.

Keganasan terbaru itu tercetus selepas tentera kerajaan bertempur dengan puak berpengaruh sejak Mac lalu yang menyokong bantahan rakyat terhadap Saleh.

Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri Sanaa bagi meraikan pemergian Saleh, semalam.

"Negara ini lebih cantik (aman) tanpa anda," kata mesej satu sepanduk dibawa oleh seorang penunjuk perasaan.

Kebangkitan menentang kepimpinan Ali Abdullah bermula Februari lalu di Sanaa yang kemudiannya dilabel sebagai "Dataran Perubahan".

Mereka turun ke jalan-jalan untuk menari selepas mendengar Ali Abdullah meninggalkan negara itu lewat tengah malam kelmarin ke negara jiran Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan serpihan peluru dari bahagian dadanya.

Di bandar selatan Taiz, beribu-ribu orang meraikan tindakan Ali Abdullah dengan bunga api.

Sehingga Jumaat lalu, Ali Abdullah enggan tunduk kepada tekanan antarabangsa agar berundur di sebalik kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh pergolakan di Mesir dan Tunisia.

"Akhirnya, kami menang. Revolusi ini berjaya. (Ali Abdullah) Saleh tidak akan pulang!" kata seorang aktivis meskipun ada yang tidak yakin tindakan beliau keluar negara adalah muktamad.

Sanaa. yang berhadapan dengan pertempuran maut selepas Ali Abdullah dengan enggan menandatangani inisiatif damai Teluk bulan lalu, kelihatan lebih tenang semalam.

Pertempuran antara pasukan keselamatan pro-Ali Abdullah dan puak suku dan unit-unit tentera yang memihak penunjuk perasaan telah mengorbankan lebih 200 orang sejak awal tahun ini.

Kerajaan Yaman mengumumkan semalam, Naib Presiden, Abd-Rabbu Mansour Hadi mengambil alih sebagai pemangku Presiden dan panglima tertinggi angkatan tentera, namun penganalisis ragu sama ada beliau dapat bertahan.

"Permainan sudah tamat, Riyadh tidak mungkin bertolak ansur dengan Saleh," kata penganalisis politik Arab Saudi, Khalid al-Dakhil. – AFP/Reuters/Agensi








Ulasan GB

Apabila pemerintah bertindak zalim ke atas rakyat ia pasti akan mengundang kemarahan rakyat, Presiden sendiri cedera dibom pun disambut dengan meriah.

Pengajaran untuk semua khususnya pemimpin-pemimpin negara.

Itu royalti minyak Kelantan bila mahu bayar?

Bukan itu juga faktor yang menimbulkan kemarahan rakyat?

Sabu & Mahfuz Di Barat & Utara, Husam Di Timur, Salahuddin Di Selatan

Posted: 05 Jun 2011 08:50 PM PDT

Husam: PAS akan lakar pelan kemenangan jelang pilihan raya

KUALA LUMPUR: Naib Presiden baru Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Husam Musa, semalam berkata pihaknya akan merangka satu pelan kemenangan ke arah mempersiapkan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13.

Ia adalah antara beberapa rangka merealisasikan tema muktamar PAS, 'Membangun Negara Berkebajikan', yang baru tamat, lapor laman berita rasmi PAS, semalam.

Ketika ditemui sejurus selepas diumumkan menang jawatan naib presiden itu, Datuk Husam dipetik oleh laporan laman berita Harakah Daily sebagai berkata bahawa perkara tersebut akan diperincikan di peringkat semua dewan yang sesuai dengan peranan masing-masing.

'Kita akan adakan pelan kemenangan, iaitu setiap dewan akan diberikan peranan dan tugas masing-masing seperti Dewan Pemuda, yang dicadangkan agar lebih fokus kepada daftar pemilih pengundi muda secara berstrategi,' katanya di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, Gombak, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas kemenangannya pada pemilihan pemimpin PAS kali ini, beliau menganggap ia sebagai satu kemenangan yang bersifat kolektif.

'Kemenangan ini turut memperlihatkan bahawa tidak timbul isu ulama terhakis kerana dalam PAS tidak berlaku perbezaan dan kami tidak merasakan ada keganjilan. Isu ini sengaja diada-adakan pihak luar yang ada agenda,' jelasnya.

Datuk Husam, yang juga exco kanan kerajaan Negeri Kelantan, menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai satu pasukan yang baru muncul untuk membantu Presiden PAS.

'Kami semua adalah satu pasukan yang mahu bersama Presiden kerana kelebihan dan kekuatan pasukan ini adalah performance atau prestasi mereka sebelum ini. Mahfuz (Omar) dari Utara, Salehudin (Ayub) dari Selatan dan saya dari Timur.

'Kami perlukan pembetulan kerana PAS mempunyai tanggung jawab yang besar dan ia satu pasukan yang boleh diterima - saya berharap kami mempunyai kesempatan berbincang di semua peringkat bagi membantu kemenangan,' katanya lagi.

Beliau turut menekankan peranan dan kemampuan media dalam memastikan pelan kemenangan itu terlaksana. -BHS

Pasca Muktamar: Kemenangan Mat Sabu Percepatkan PR Ke Putrajaya

Posted: 05 Jun 2011 07:15 PM PDT

Laluan PAS: Cabaran buat Umno, peluang bagi Pakatan?

Semangat diperlihatkan perwakilan PAS ketika ceramah perdana malam tadi, kira-kira 10 jam selepas keputusan pemilihan pusat diumumkan. — Foto oleh Choo Choy May
ANALISIS, 5 Jun — Berdasarkan laporan Harakah hari ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik berkata saf kepimpinan baru parti itu menjadikan jalan menuju ke Putrajaya "makin jelas."

"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi, insya-Allah. Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," kata Menteri Besar yang mengetuai Kelantan sejak 1990.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam reaksinya berkata, muktamar PAS sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak satu persepakatan politik berbaur rasuah dan penyelewengan kuasa pimpinan Umno-BN.

Seperti pemilihan sebelumnya, kata Anwar, ahli PAS memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh permuafakatan Pakatan Rakyat - satu kerjasama yang zahir daripada hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya, malah terkesan dengan ucapan dasar Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang tegas menyatakan iltizam untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat. Tuan Guru Abdul Hadi turut mengungkapkan betapa pentingnya Pakatan Rakyat tuntas mengungkapkan kepada rakyat rancangan seumpama yang terkandung dalam Buku Jingga," kata Anwar yang dilihat sebagai pengikat kerjasama DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang itu, yang berhadapan dengan kes mahkamah sodomi dan dakwaan video seks juga berpendapat bahawa kini PAS yang dipimpin Nik Aziz dan Hadi, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tentangan serta cabaran, terutamanya berhadapan pilihan raya umum ke-13.

Selain saf kepimpinan baru yang menyaksikan pemilihan Mohamad dan kembalinya Datuk Paduka Husam Musa sebagai naib presiden, muktamar tahunan kali ini, kali ke-57, menarik perhatian banyak pihak ke arah ucapan dasar Hadi sendiri.

Dalam ucapan dasarnya, Hadi nampak telah menekankan tiga mesej penting — menolak pelawaan kerjasama politik Umno-BN, menekankan keperluan negara berkebajikan dengan mengatakan negara Islam tidak disebutkan dalam al-Quran dan mahu PAS memainkan peranan utama dalam tindakan "membersihkan politik" negara ini daripada perilaku dan gejala politik jijik fitnah dan perkauman sempit dibawa Umno-BN.

"Marilah kita memurni dan membersihkan siyasah atau politik sebagai satu bidang dan juzu penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan Umno-BN di waktu ini.

"PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik matlamat menghalalkan cara seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah," kata Hadi.

Melihat perkembangan terbaru ini, pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat "adalah jelas Erdogan berpengaruh dalam PAS atau lebih tepat mereka yang komited dengan Pakatan Rakyat." Kata Aziz lagi, kemenangan itu menunjukkan gagasan kerajaan perpaduan yang dibawa sejak tiga tahun lalu ditolak.

"Kemenangan 'Mat Sabu & Co' adalah berita baik untuk Pakatan Rakyat dan berita buruk untuk Umno-BN," kata Aziz lagi.

Justeru, kata pakar perlembangan ini, Hadi perlu lebih komited kerana meskipun telah mengatakan kerjasama dengan Umno telah dikuburkan, beliau dan kumpulannya sering mungkir janji.

"Contohnya pada muktamar 2008 di Ipoh parti membuat resolusi menolak kerjasama dengan Umno. Tetapi, Hadi meneruskan rundingan dengan Umno di belakang tabir, terbaru sebelum Krismas 2010 yang lalu," kata Aziz sambil menambah, ucapan Hadi dengan itu tidak meyakinkan.

"Tetapi dengan kemenangan kumpulan Erdogan, maka Hadi terkepung. Beliau perlu mendengar nasihat kumpulan ini. Dan, Hadi perlu bersedia untuk berundur," katanya.

Pemimpin muda DAP Zairil Khir Johari menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai "kepimpinan dinamik" yang akan memanfaatkan Pakatan Rakyat.

"Tak, saya tidak kata saya sudah menjangkakan keputusan ini (yang diumumkan semalam), tetapi saya melihat sebagai barisan pemimpin individu yang dinamik, yang bagus untuk PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Keputusan ini satu langkah ke depan bagi Pakatan Rakyat," kata anak bekas menteri Kabinet Umno ini ketika ditemui di lokasi berlangsungnya muktamar petang semalam.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai satu "peluang" kepada Pakatan Rakyat ketika ramai melihatnya sebagai cabaran dan peringatan kepada Umno dan parti-parti rakannya dalam BN.

"Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat, itu yang mereka (kepimpinan komponen Pakatan Rakyat) mengharapkan sebab PAS merupakan rakan yang penting selaku parti yang terbesar dan tertua dalam Pakatan, sudah tentu PAS akan memainkan peranan lebih penting berbanding dulu," kata Ahli Parlimen Tumpat ini kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian pula melihat saf kepimpinan ini sebagai lapisan yang menonjol selepas gerakan reformasi akhir 1990-an.

"Mereka memperoleh amanat daripada perwakilan PAS untuk membawa PAS ke arena politik tengah negara ini. Dengan ini, Umno pula berhadapan dengan cabaran dua serampang," katanya.

Pertamnya, kata Ibrahim, ialah soal mengisi jurang kepimpinan yang diharapkan oleh komuniti Melayu dan satu lagi keperluan mengisi harapan pengundi Melayu luar bandar.

"PAS tiada masalah berkenaan sokongan Cina dan India, tetapi bagaimana ia boleh mengisi harapan pengundi Melayu khususnya kawasan luar Bandar . . . ini cabaran bagi PAS, malah cabaran kepada Umno akhirnya," kata beliau yang melihat keputusan kali ini sebagai "perkembangan signifikan." -TMI

Ulasan GB

Kemenangan Mat Sabu dan rakan-rakan memperkuatkan dan memperkukohkan Pakatan Rakyat. Ia jelas. Dan siren ke Putrajaya semakin nyata.

Dan sememangnya UMNO BN ada sebab untuk merasa cemas.

Apa-apa pun yang nyata juga, grand design Ilahi sentiasa menakluki kesemua perancangan manusia. Walau penipuan di dalam apa kaedah sekalipun demi nak pertahankan Putrajaya oleh UMNO BN, Tuhan Maha Tahu dan Maha Melihat, perancangan UMNO BN itu hanyalah sia-sia.

Malah sekalipun UMNO BN cuba pertahankan Putrajaya dengan darah sekalipun seperti digambarkan dengan ucapan retorik Najib sebelum ini, persiapan mereka untuk ayuh angkat kaki untuk keluar dari Piutrajaya semacam sudah tidak boleh dielak lagi.

Tunang Batal Nikah Melalui SMS Gara-gara Telagah Hantaran

Posted: 05 Jun 2011 05:40 PM PDT

Bertelagah baki wang hantaran

KANGAR: "Maafkan sayang abang, abang sayang yang nak jadi wali itu tidak boleh terima abang lagi atas apa yang abang cakap keluarga sayang zalim."

Begitu antara kandungan SMS diterima jurujual kenderaan dikenali sebagai Aizat 37, daripada bakal isterinya menyebabkan majlis ijab kabul pasangan berkenaan yang sepatutnya diadakan kira-kira jam 10 pagi semalam, dibatalkan.

Semuanya berpunca daripada pertelagahan baki wang hantaran yang sepatutnya dipersetujui kedua-dua pihak dilangsaikan ketika majlis akad nikah semalam.

Justeru, Aizat yang berasa dirinya dipermainkan dan ditipu keluarga gadis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 10 pagi.

Aizat berkata, dia menerima SMS terbabit daripada bakal isterinya berusia 20 tahun yang dikenali sejak tiga bulan lalu jam 11.44 malam kelmarin iaitu 11 jam sebelum majlis akad nikah dijadual berlangsung di sebuah masjid di Simpang Empat, dekat sini. -HM


Tunang batal nikah melalui SMS

AIZAT merenung barang-barang hantaran untuk majlis pernikahan yang dibatalkan oleh tunangnya melalui SMS di Kangar semalam.

KANGAR - Impian seorang jurujual kereta di sini untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

Lebih melukakan hati lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, kiriman SMS oleh gadis tersebut dibuat kira-kira 11 jam sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi semalam.

Ekoran terkejut dan terkilan dengan keputusan pasangannya itu, Aizat tidak dapat tidur semalaman dan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di sini semalam.

"Saya buat laporan ekoran rasa ditipu dan teraniaya oleh tindakan tunang saya dan keluarga perempuan yang membatalkan majlis akad nikah secara tiba-tiba.

"Saya sepatutnya bernikah dan bersanding hari ini (semalam) di rumah pengantin perempuan, namun impian saya musnah tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Aizat, pasangannya yang dikenali sebagai Amira, 20, membatalkan pernikahan mereka atas alasan abang gadis itu yang merupakan wali perempuan berubah fikiran pada saat-saat akhir.

"Dalam SMS itu, Amira kata dia tidak boleh meneruskan perkahwinan kerana abangnya yang patut menjadi wali perkahwinan marah kerana saya pernah menuduh keluarga Amira sebagai zalim," ujarnya.

Menurut Aizat, sebelum itu dia ada terlepas cakap perkataan zalim itu ekoran tertekan dengan keluarga tunangnya itu yang berkeras mahu wang hantaran sebanyak RM8,860 diserahkan sebelum majlis pernikahan diadakan.-kosmo


BN Cemas : Realiti PAS Ganti Umno Kini Di Ambang Mata

Posted: 05 Jun 2011 04:15 PM PDT

Apakah bahayanya jika golongan profesional menguasai PAS? MengapaUtusan Malaysia dan akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan pemilihan perwakilan Muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka jangka akan berlaku ekoran keputusan ini?

Benarkah dalam Muktamar PAS kali ini golongan ulama tewas? Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh media arus perdana yang memang selama ini tidak pernah bersimpati kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu?

Yang jelas, tafsiran dan analisis media arus perdana yang diketuai oleh Utusan Malaysia ini memang salah. Mungkin kesalahan ini berlaku kerana kejahilan atau niat sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya ialah, PAS memang sebuah parti yang bergerak berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya secara langsung atau tidak harus melalui proses tarbiyah untuk bukan sahaja mengenali erti halal haram tetapi bagaimana menentukan keadilan kepada semua dalam tata-kelola negara dan masyarakat.

Sebab itu, apabila Utusan dan Berita Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini, ia menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan dan juga konsep politik yang diperjuangkan parti itu.

Menurut Husam Musa, seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional yang dipilih menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS sendiri.

Oleh itu, tidak timbul soal ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya, ulama yang menang. Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya
. Anak-anak muda yang dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam iklim politik Malaysia.

Lantas apa yang dapat disimpulkan daripada laporan media arus perdana akan pemikiran pemimpin Umno, ahli-politik yang tercicir dalam sayembara siasah Malaysia dan media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan sedih.

Nada cemas dan membuahkan reaksi kalut ini dapat diukur di segi betapa bercelarunya komen yang dikutip oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di kalangan pemimpin UImno yang meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan konsep Negara Islam dan memilih moto Negara Berkebajikan.

Jika benar mereka ikhlas dalam memberi komen, maka kini barulah kita tahu bahawa mereka selama ini adalah pengkagum PAS yang mahu menegakkan Negara Islam. Dan, kini mereka amat bersedih kerana PAS beranjak mahu Negara Berkebajikan. Salah seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rupa-rupanya Utusan dan pemimpin Umno berkenaan cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang Islam mengambil alih pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti Umno di Malaysia, mereka cuba melekatkan persepsi bahawa golongan ini di bawah payung pemikiran Anwar ibrahim mahu mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno yang sekular. Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.

Baiknya sudut pandangan ini ialah, Utusan dan pemimpin Umno berkenaan mengaku bahawa golongan sekular memang boleh ditundukkan seperti yang berlaku di Turki dan dalam iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno. Cuma cop kumpulan Erdogan ini digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan sejarah, betapa Umno yang sekular akan tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Ada juga yang tiba-tiba menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP menyempurnakan penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan Melayu itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik, Zulkifli Noordin yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas diceraikan oleh Parti Keadilan Rakyat.

Entah ilmu mantik apa yang digunakannya, kesimpulan beliau bahawa DAP kini sudah menguasai PAS ternyata ucapan seorang yang "meroyan" . PAS dengan DAP kini merintis jalan mencari lebih banyak titik persamaan – menumbangkan Umno-BN – dan tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak sukar difahami pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup bersendirian sebagai seorang "janda politik".

Mungkin dengan bercakap betapa PAS terlepas peluang pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang menaruh belas kasihan dan melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali yang tidak berparti tetapi diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan disokong bertanding pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun bila golongan profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup sama sekali. Kasihan Zulkifli si-janda politik.

Apa jua logik yang digunakan untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan menghasilkan komen yang kalut dan dangkal.

Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul Aziz yang menggunakan nama samaran Kickdefella dalam blognya, menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia beragama Islam, pertembungan PAS dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk memilih syurga dan neraka di akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia mereka.

Jelas betapa sempitnya kefahaman Islam Kickdefella ini. Mungkin beliau tidak faham bahawa kebaikan dan keadilan yang dilaksanakan di dunia ini akan menentukan ganjaran apa yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu menegakkan Negara Berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat ganjaran syurga di akhirat!


Sukar hendak pastikan pandangan insan sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu hati sudah tertutup daripada mengenali kebenaran.

Pandangan yang meragu-ragukan seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan pengertian Negara Berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat tertanya-tanya apakah pengertian Negara Islam yang sebelum ini hendak diperjuangkan oleh PAS.

Jika benar itu yang dikatakan oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh daripada kelompok Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka dia sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti seharusnya turut mengimarahkan konsep Negara Berkebajikan ke cuping telinga pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam kesangsian di kalangan rakyat mengenai konsep Negara Berkebajikan it
u.

Namun Awang Selamat, jaguh Utusan, seperti biasa cuba melontarkan sudut pandang yang negatif terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencabar Umno. Kini apabila PAS melangkah untuk membuktikan dinamisme politiknya, Utusan meratapi kekurangan bilangan kepemimpinan ulama dalam PAS.

Memang sikap hipokrit. Ini kerana apabila PAS dipimpin ulama, mudah bagi Utusan menggambarkan betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan Pas dalam banyak hal tatakelola kerajaan dan isu antarabangsa.

Ini memang alur pemikiran umno. Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi, ia beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung harap kepada umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan ekonomi mereka.

Maka Utusan dan media pro-Umno menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa yang berlaku dalam PAS. Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah, zalim. Malah ia satu penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang membuat dalam keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS. Sebenarnya, apa yang ditakuti ialah golongan profesional Islam ini akan berhasil meneraju PAS diterima setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan Umno! -Wira Arjuna

Salahuddin Beri Amaran Pihak Yang Cuba Pecahbelahkan PAS

Posted: 05 Jun 2011 08:20 AM PDT

Jangan cuba suntik racun dalam PAS'

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menegaskan walaupun barisan kepimpinan PAS dianggotai ulama dan bukan ulama, beliau bersama-sama rakan yang lain tetap akan mempertahankan parti itu.

Ahli parlimen Kubang kerian itu memberi amaran kepada BN bahawa beliau akan "memerangi" musuh PAS itu "sehingga menyembah bumi" sekiranya cuba memecahbelahkan parti itu.

"Tak mungkin orang macam saya di sini untuk menjahanamkan PAS. Niat jahat mereka untuk pecah belahkan (kita)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di muktamar PAS di Taman Melawar.

Salahudin berkata semua kepimpinan yang menang dan tewas adalah pilihan perwakilan adalah hasil daripada proses tarbiyah yang dibuat oleh PAS.

Walaupun menyifatkan pertandingan itu dinggap sengit tetapi barisan itu kini merupakan barisan terbaik parti itu.

"Calon naib seperti (Datuk) Nik Mohd Amar, Idris Ahmad dan (Datuk Seri Mohamad) Nizar, bukan kepalang ketokohan mereka.

"Bagi saya, jangan cuba untuk usik PAS, jangan cuba suntik racun. Kami hormat ulama dan akan tentang kamu hingga kamu kecundang," katanya sambil menyifatkan mereka sakit hati lihat perpaduan kita.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan perwakilan Perak Dr Muhaimin Sulam yang mengingatkan PAS agar berhati-hati tentang dikotomi ulama dan bukan ulama yang didakwa cuba ditabur fitnah oleh akhbar arus perdana.

Kerana sekeping kaset

Mengimbau sejarah hidupnya, Salahudin berkata, beliau yang tidak mengetahui apa-apa tentang Islam kerana diasuh di sekolah aliran Inggeris, berubah setelah mendengar ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Satu hari saya diberi kaset ucapan presiden (Abdul Hadi). Selepas saya dengar kaset itu terbuka pintu hati saya untuk berjuang untuk Islam, menapak sedikit demi sedikit ditarbiah PAS dan ulama,"katanya.

Sementara itu, naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mencadangkan supaya seluruh kepimpinan PAS mengadakan pelan cadangan kemenangan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menyeru semua pihak "memobilisasi semua sudut" kekuatan termasuk menyediakan "model kemenangan" termasuk model ekonomi berkebajikan untuk berdepan pilihan raya umum ke-13.

"Media arus perdana memberi satu gambaran yang negatif, dan secara tepat ia telah menepati sasaran (mengenai negara berkebajikan).

"Membangun negara berkebajikan telah terbina daripada (dengan) cara berkongsi dan mengambil berat (antara satu sama lain)," katanya sambil memberi contoh kisah Nabi Yusuf.

Menurutnya, utusan Allah itu mengamalkan cara 'berkongsi dan mengambil berat' terhadap sesuatu perkara dalam keaadaan susah atau senang sehingga berkongsi ilmunya ketika mentafsir mimpi seorang raja.

Husam berkata konsep tersebut itu juga turut menggesa perwakilan agar mengambil iktibar terhadap sejarah kisah nabi dan pahlawan terdahulu sebagai model dalam menuju kemenangan dalam pilihan raya.

Calon: Pemuda perlu yakinkan

Exco kanan kerajaan Kelantan itu turut mencabar Pemuda PAS yang menuntut 40 kerusi kepada dewan tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Pemuda perlu menyediakan daftar pemilih pemuda yang meyakinkan sebelum tuntutan itu dipenuhi di peringkat pusat.

"Kalau berjaya kita beri calon. Kalau tidak kita beri kepada calon tua, janji tetap menang.

"Kalau mahu menghapuskan BN, kita kena menyiapkan pelan setiap segi sebelum datangnya pilihan raya,"katanya sambil beliau menggesa Pemuda "wajib" menyiapkan daftar pemilih itu dari semua peringkat.

Sebelum itu, dalam ucapan penggulungannya, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula berkata hasrat Pakatan untuk sampai ke Putrajaya mestilah dengan cara menguasai hati dan pemikiran rakyat.

Ini kerana katanya, hanya dengan kuasa rakyat mampu untuk PAS dan Pakatan menguasai pusat pentadbiran kerajaan dengan mengetengahkan "politik jujur" dalam masyarakat.

"Kita bercakap menguasai Putrajaya, buat seminar PAS ganti Umno. Kita tidak boleh kuasai Putrajaya dalam konteks kuasa politik (semata-mata).

"Tetapi untuk menguasai Putrajaya, kita tidak mampu selagi tidak mengetuai hati dan pemikiran rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena. -mk

Majlis Syura Ulama Akan Diperkasakan, UMNO Sedang Hadapi Sakaratul Maut - Mohd Sabu

Posted: 05 Jun 2011 06:55 AM PDT

Mohamad Sabu syor perkasa Majlis Syura Ulama

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesyorkan supaya Majlis Syura Ulama diperkasakan dengan 'mengaudit' kepimpinan PAS termasuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar displin parti.

"Majlis perlu diperkasakan dengan membuat audit termasuklah (mengambil berat) akhlak dan mengambil tindakan displin kepada ahli. (Peranan) majlis syura kita perkasakan.

"Kita perkasakan Majlis Syura sampai mengangkat mereka buat 'audit' kepada ahli jawatankuasa yang ada," katanya.

Sewaktu menyampaikan ucapan penggulangan, Mohamad turut menanyakan meminta persetujuan atas cadangan beliau itu, yang kemudiannya disambut oleh kira-kira 700 dengan berkata: "Setuju".

Pemidato terkenal itu turut menegaskan bahawa beliau amat menghormati ulama dari dalam dan luar negara termasuk kedua-dua bekas presiden PAS Yusof Rawa dan Fadzil Mohd Noor.

Bercakap di Taman Melawar, Gombak sempena muktamar agung ke-57, beliau turut menempelak Umno dengan mendakwa parti itu kini sedang menghadapi 'kematian'.

"Saya teringat dengan pesanan Musrsyidul Am Datuk Nik Aziz yang berkata bahawa Umno ini tidak kuat. Kekuatan Umno bertongkatkan kepada MCA dan MIC. Patahkan tongkat itu.

"Sekarang mereka mulai rebah, India dan kaum Tionghua sudah semakin (meninggalkan mereka). Umno sedang menghadapi sakaratul maut," katanya.

Haron Din: Audit kerja auditor

Beliau berkata demikian bagi mengulas barisan kepimpinan baru yang dilaporkan menggusarkan Umno dan BN selepas dinobatkan sebagai timbalan presiden selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru.

Dalam ucapannya juga, Mohamad turut menegurkan orang Melayu kerana "tidak ambil berat" dalam menanggapi sesuatu isu menyentuh kaum, berbanding kaum Cina dan India.

Walaupun kurang gemar bercakap soal perkauman, Mohamad Sabu memberi contoh berhubung dua kes kematian yang hampir sama - kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed - tetapi tanggapan isu berbeza mengikut kaum.

"Kaum Tiong Hua mengambil sikap, isu Teoh Beng Hock diratapi... Tetapi kejadian yang berlaku kepada (Ahmad) Sarbani ditemui mati, kita (orang Melayu) kata, apa boleh buat...

"Jadi menanggapi isu-isu ini berlainan berbanding kaum Tiong Hua atau India...Ada berita tunjuk perasaan, (ada orang Melayu) ditangkap, (kemudian) ditinggalkan. Jadi kita tidak ambil berat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Mohamad berhubung keperluan memperkasakan Majlis Syura Ulama sambil juga mengharapkan cadangan dan syor daripada ahli akar umbi.

"Jarang kita dengan pengesyoran daripada ahli (akar umbi), apa lagi untuk dibuat selain selain yang baru kita dengar kita buat proses audit.

"Audit kerja auditor, (tetapi) kalau nak buat cadangan kita boleh pertimbangkan. Selain itu hanya pengharapan tapi itu (dari) suara murni yang ikhlas, dan (Majlis) Syura Ulama menerima," katanya. -mk

Jutawan Ini Buta Huruf

Posted: 05 Jun 2011 05:00 AM PDT

London: Seorang jutawan yang tersenarai selaku antara orang paling kaya di Britain semalam membuat pengakuan mengejut - dia tidak tahu membaca.

Andreas Panayiotou, 45, tidak boleh mengisi sendiri borang pasport paling mudah.

Dia juga terpaksa memberi tumpuan untuk mentafsirkan tanda jalan apabila memandu.

Bapa lima anak itu yang mempunyai kekayaan mencecah £400 juta (RM2 bilion) dan menduduki tangga ke-200 orang paling kaya di Britain mengaku: "Ketika kanak-kanak, saya berusaha sedaya upaya untuk membaca.

"Tetapi otak saya tidak dapat mentafsirkan huruf yang membentuk perkataan itu."

Selepas meninggalkan sekolah pada usia 14 tahun tanpa sijil, dia belajar mengatasi masalah disleksia yang dihadapinya itu dengan menghafal bentuk perkataan penting.

Bekas peninju itu yang dilahirkan di London dari keluarga keturunan Greek Cyprot bagaimanapun berkata: "Saya menghadapi masalah besar apabila menemui perkataan yang saya tidak pernah jumpa.

"Di jalan raya, saya tyerpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya untuk membaca tanda jalan. Ia sentiasa merisaukan saya.

"Mengisi borang seperti kawalan kastam juga menjadi masalah."

Meskipun buta huruf, Panayiotou kini memiliki tiga pesawat, satu daripadanya jet Gulfstream berharga £40 juta (RM200 juta), dan sebuah kapal layar berharga £12 juta (RM60 juta).

Dia tinggal di rumah di Epping Forest, Essex, yang kawasan tanahnya seluas 20 ekar.

Panayiotou yang menyuarakan hasrat untuk membantu mereka yang mengalami disleksia sepertinya berkata: "Ketika kanak-kanak, saya tidak suka membaca. Apabila dewasa, saya mengatur kehidupan seharian saya supaya dapat mengelak daripada membaca." - Agensi

Gambar Lucah Dalam Yasin, Angkara Siapa?

Posted: 05 Jun 2011 04:00 AM PDT

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

"Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

"Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan," katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

"Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

"Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan," katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

"Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

"Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing," katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

"Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati menjaga masjid dan meletakkan pengawal untuk mengelak pencerobohan. -SH

Mat Sabu, Pemimpin PAS Yang Berbisa

Posted: 05 Jun 2011 02:45 AM PDT

Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden baru merupakan keuntungan besar kepada PAS sekali gus membuatkan tidur malam pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) tidak akan lena kerana bimbangkan kekuatan parti Islam itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri.

Menurut Nik Aziz, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS.

Nik Aziz berkata, ia terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk ditahan sebanyak dua kali di bawah ISA.

"Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya kepada Harakah Daily ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, semalam.

Katanya lagi, selain mempunyai sikap-sikap tersebut Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa.

"Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini.

"Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah,"
katanya.

Sebelum ini, media kawalan Umno-BN Utusan Malaysia turut melaporkan para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar kerana memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57.

Malah katanya, dengan pemilihan itu ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam parti Islam itu.

Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini.

"Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya.

Justeru, beliau tidak hairan akan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri terhadap pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.

"Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS.

"Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya.

Nik Aziz berkata, Mohamad Sabu juga diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India.

Maka dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti ia akan memudahkan beliau mendekati golongan bukan Islam.

"Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau. -tvsnews



Tiada ulasan: