Kelab Greenboc |
- Fatwa Tegah Bina Tugu 1Malaysia
- Muktamar Dewan Muslimat - Lebih Ramai Muslimat Akan Diberi Peluang Sebagai Calon Pilihanraya
- Kadar Inflasi 0.27%? BN Tipu Diri Sendiri - Guan Eng
- Lagi Kes Buang Bayi: Dicampak Dari Tingkat 5 Pangsapuri Sentul
- No:2, Ustadz Nasharuddin Tidak Tarik Diri
- Keterlaluan! Pihak Berkuasa Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Gambit
- Waspada: Badan Dunia Dakwa Telefon Bimbit Penyebab Kanser
- Al-Kisah, Mereka Berkempen Di dalam Perasmian Muktamar
- Tragedi Bot Karam & Ribut Yang Melanda - Ia Sudah Dijangka
- PRU13 Patut Diadakan Pada Tahun Ini Untuk Selamatkan Malaysia
- [Video] Kes Kematian Ahmad Sarbani: PKR Serah Memo Kepada KPN Tuntut Jawapan
- Benarkah "Geng Terengganu" Tonjol Datuk T Gantikan Nasha?
- Mangsa Sempat Mengucap, Sampan Tenggelam Setelah Dipukul Ombak
Fatwa Tegah Bina Tugu 1Malaysia Posted: 02 Jun 2011 01:20 AM PDT Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tindakan kerajaan membina tugu "1Malaysia" adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala). Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah. Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul. "Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam," kata Mufti Perlis Dr Juanda Jaya. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, keputusan itu dibuat setelah jawatankuasa yang dipengerusikannya itu bermuzarakah pada 18 dan 19 April lalu. Keputusan itu, tambahnya, telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) dan disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis sehari selepas itu. Bagaimanapun, menurutnya lagi, fatwa itu tidak diwartakan dan hanya berperanan sebagai nasihat kepada umat Islam. Ekoran keputusan itu, fatwa tersebut dihebahkan di pelbagai penerbitan kerajaan negeri, termasuk majalah bulanannya Irsyad Hukum, jelas Dr Juanda. Selepas Najib memperkenalkan gagasan itu, tugu sedemikian yang kebanyakannya dibina daripada batu dan kayu dilihat diletakkan di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. -mk Ulasan GB Blog GB pernah menyiarkan mengenai pembinaan Tugu 1Malaysia di negeri Perak. Menanti fatwa dari Mufti Perak pula dan dari negeri-negeri lain. |
Muktamar Dewan Muslimat - Lebih Ramai Muslimat Akan Diberi Peluang Sebagai Calon Pilihanraya Posted: 02 Jun 2011 12:30 AM PDT Muktamar Tahunan PAS: Lebih Ramai Calon Wanita Bakal Bertanding PRU-13 SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan lebih ramai calon wanita akan diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu bergantung pada keputusan mesyuarat jawatankuasa pemilihan apabila tiba masanya nanti. "Saya tidak boleh komen. Insya-Allah, muslimat akan diberi lebih banyak peluang tapi keputusan itu terletak pada parti," katanya pada sidang media di sini Khamis. Sebelum itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan merasmikan Muktamar Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak di sini, Khamis. Seramai 622 perwakilan muslimat hadir pada muktamar kali ini yang turut akan memilih kepimpinan baru sayap parti itu. Menurut Nik Abdul Aziz , pemilihan calon akan dinilai dari segi bakat, keaktifan dan penampilan diri yang boleh menarik perhatian pengundi untuk meilih mereka selain mampu berkhidmat kepada rakyat. "Kalau dia (calon) tak ada bakat, macam mana orang nak undi dia. Jadi calon perlu memenuhi kriteria itu," jelasnya. Pada PRU-12, kata beliau, PAS menurunkan tiga wanita sebagai calon tetapi seorang daripadanya menolak untuk bertanding. Sementara itu, beliau menepis dakwaan Barisan Nasional (BN) yang mendakwa PAS sudah mengubah dasar parti itu dengan menurunkan calon wanita pada pilihan raya kecil DUN Tenang. "Mereka kata dulu kita tak boleh turunkan calon wanita tapi sekarang boleh. Semua itu mengarut. Mereka terpaksa berbohong semata-mata ingin buat kacau. "Kita tidak pernah halang muslimat untuk bertanding. Malah muslimat PAS sudah ada yang jadi calon pada 1959," jelasnya. Beliau turut mengakui mempunyai calon pilihan pada pemilihan parti itu. Bagaimanapun beliau tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut -mstar Kekalahan PAS Dalam Beberapa Pilihan Raya Kecil Satu Pengajaran - Dewan Muslimat |
Kadar Inflasi 0.27%? BN Tipu Diri Sendiri - Guan Eng Posted: 01 Jun 2011 11:00 PM PDT Barisan Nasional menipu diri sendiri dan menipu rakyat sekiranya mereka memberitahu bahawa kadar inflasi hanya 0.27% berikutan kenaikan tarif elektrik, kadar percuma kepada 900,000 pengguna yang menggunakan elektrik kurang dari RM20 setiap bulan menjelang akhir 2011 serta penarikan balik subsidi minyak. Bagaimana Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa inflasi hanya akan naik sebanyak 0.27% apabila semua pihak merasakan bahawa kenaikan harga komoditi asas meningkat melebihi 0.27%? Penarikan balik subsidi minyak telah menyebabkan pengusaha pengangkutan awam menaikkan kos pengangkutan dan harga ikan melambung kerana para nelayan berpandangan bahawa ia terlalu mahal untuk menggerakkan bot mereka ke laut. Bagi BN, dengan menyatakan kenaikan inflasi sebanyak 0.27% bukanlah menggambarkan situasi sebenar dan merupakan ciri-ciri individu yang membenarkan dasar-dasar yang salah yang boleh merugikan Malaysia. Perdana Menteri, Najib Abdul Razak telah menggariskan tiga kriteria di mana ia perlu dipraktikkan oleh agensi kerajaan agar lebih berinovasi: * Ia boleh memberi impak yang hebat terhadap bangsa * Penjimatkan kos dan pemendekan kitaran masa; dan * Penambahbaikan sistem penyampaian. Sementara penarikan balik subsidi terhadap rakyat miskin akan membawa impak yang besar terhadap bangsa, penolakan untuk meminta "Independent Power Producers" (IPPs) untuk berkongsi bebanan tidak akan membawa kepada penjimatan kos, pemendekan kitaran masa ataupun penambahbaikan dalam sistem penyampaian. Walaupun pakar ekonomi menyatakan persetujuan bahawa pengurangan subsidi akan meningkatkan tahap kecekapan, setiap pengurangan tidak setara yang akan memberi implikasi kepada golongan berpendapatan rendah tetapi bagi syarikat korporat ia hanya akan menjadi lebih kaya dan menyebabkan distorsi yang menafikan keberkesanan keuntungan. Sehingga akhir 2010, Petronas telah menambah sejumlah RM131.3 bilion subsidi bagi kedua-dua sektor janakuasa dan bukan janakuasa, dengan hampir RM19 bilion subsidi gas tahunan kepada IPPs dan sektor elektrik komersil. Sementara kerajaan boleh mendakwa bahawa IPP harus menanggung sejumlah bayaran untuk gas, penjimatan subsidi oleh Kerajaan Persekutuan boleh dilakukan dengan menamatkan pembelian janakuasa oleh IPP. Malaysia menikmati jidaran penggunaan tenaga tertinggi di dunia 52.6%, tidak perlu untuk TNB membeli janakuasa dari IPP yang mana TNB tidak memerlukannya. Sekiranya TNB tidak diperlukan untuk membeli janakuasa yang tidak perlu, maka subsidi gas dapat dijimatkan. Kini, Petronas menjual gas kurang dari 30% harga pasaran. Jadi bagaimana Perdana Menteri mahu mengembangkan budaya inovasi di Malaysia jika kroni-kroni dan amalan-amalan kapitalis serta anti persaingan dibenarkan di negara ini? -MR *Kenyataan media oleh Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP. |
Lagi Kes Buang Bayi: Dicampak Dari Tingkat 5 Pangsapuri Sentul Posted: 01 Jun 2011 10:30 PM PDT Angkara 'binatang' KUALA LUMPUR: Kekejaman jenayah buang bayi ibarat mencapai tahap kemuncak apabila seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui mati dengan kepala berkecai dipercayai akibat dicampak dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, jam 12 tengah malam kelmarin. Bayi berkenaan dipercayai masih hidup sebelum dicampak. Dipercayai bayi itu dibawa seseorang ke tingkat lima pangsapuri berkenaan berdasarkan kesan darah yang ditemui di tangga bangunan itu. Penduduk yang menemui mangsa, Ahmad Azhari, 34, berkata ketika itu dia baru meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di bawah pangsapuri berkenaan. Menurutnya, ketika berjalan menuju rumahnya, dia melihat benda seakan-akan bayi terbaring di tepi tong sampah di atas jalan. "Saya pada mulanya menyangka benda itu anak patung, namun pelik apabila melihat ada kesan darah. Saya kemudian berjumpa jiran yang berada berdekatan dan menyuruhnya memeriksa objek itu dan terkejut apabila mendapati ia mayat bayi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Jirannya, Mokhtar Ahmad berkata, ketika melihat mayat bayi itu dari dekat, hatinya amat tersentuh kerana terdapat kecederaan teruk pada kepala bayi itu. Tak sangka ada manusia tergamak melakukan perbuatan kejam ini," katanya yang melaporkan kejadian itu kepada polis. Pengerusi Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Ramli Abd Aziz, 43, berkata selama 17 tahun menetap di situ, ini kali pertama kejadian pembuangan bayi secara kejam berlaku. "Geram apabila difikirkan mereka melakukan perbuatan kejam itu dan sayu rasanya ketika saya melihat darah bayi itu yang keluar dari kepalanya. "Perasaan sedih kuat menyelubungi diri saya, tapi hendak menangis pun tidak berguna kerana kejadian sudah berlaku," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dicampak dari tempat tinggi iaitu pangsapuri berhampiran berdasarkan kecederaan parah pada kepalanya. Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu pada kira-kira jam 12.30 tengah malam dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati bayi yang cukup sifat itu besar kemungkinan baru dilahirkan berikutan masih bertali pusat. "Di sebelah mayat bayi itu turut ditemui beg plastik yang mengandungi uri," katanya yang merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu segera menghubungi polis. Kes pembunuhan dan pembuangan bayi ini yang ketiga berlaku di Lembah Klang dalam seminggu. Harian Metro semalam melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi tersangkut di celah batu di Sungai Gombak, berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, jam 9 pagi, kelmarin. Bayi perempuan itu dibawa arus sungai berkenaan ke kawasan itu berikutan maklumat orang awam menyatakan ternampak kelibat 'anak patung' terapung di kawasan berdekatan Stesen LRT Titiwangsa. Pada 27 Mei lalu pula seorang penuntut kolej swasta berusia awal 20-an nekad menyimpan mayat bayi lelaki cukup sifat dilahirkannya dalam almari di bilik sebuah rumah di Cheras di sini, selama dua hari. Penuntut terbabit melahirkan bayinya sendirian dan bayi itu dipercayai mati sejurus dilahirkan sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, selepas berasa bersalah dengan tindakannya. Penuntut itu hadir ke balai polis sambil mendukung mayat bayinya yang dibalut tuala. -hm
|
No:2, Ustadz Nasharuddin Tidak Tarik Diri Posted: 01 Jun 2011 09:20 PM PDT No 2 PAS: Saya tidak tarik diri, kata Nasharudin SHAH ALAM, 2 Jun — Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tetap akan mempertahankan kerusi timbalan presiden pada pemilihan sempena muktamar PAS pusat yang bermula esok meskipun ada khabar angin kononnya beliau telah pun memutuskan untuk menarik diri. "Saya tetap bertanding. Khabar angin kata saya tarik diri, tidak benar. Apa-apa keputusan terserah kepada perwakilan," kata timbalan presiden itu pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS pusat di sini malam tadi. Khabar angin bertiup kencang sejak awal minggu ini mengatakan kononnya beliau sudah pun mengambil pendirian mahu menarik diri daripada persaingan dan ia akan diumumkan esok secara rasmi. Lebih 1,000 perwakilan menghadiri muktamar kali ini. Ketika dihubungi The Malaysian Insider kelmarin, desas-desus itu juga dinafikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang hanya sebahagian daripada kempen pemilihan. Pada pemilihan kali ini selain Nasharudin, jawatan nombor dua parti Islam itu turut ditandingi oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Nasharudin yang memegang jawatan itu sejak 2005 juga enggan mengulas lanjut mengenai isu pemilihan kali ini. Ahli Parlimen Bachok ini berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan. "Pemilihan akan berlaku (diadakan) pada hari Jumaat, jadi kita tunggu perwakilan membuat keputusan," katanya. Difahamkan ada usaha bagi memujuk beliau berkompromi bagi mengelakkan undi berpecah antara calon kumpulan agama dan profesional. Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden yang disandang sejak 2002 tanpa saingan. -TMI
Ulasan GB Dah alang-alang seluk pekasam, biar saja ke pangkal lengan. p/s Jika satu ketika Ustadz Nasha dikatakan terlibat di dalam menyelinap ke dalam kelambu musuh, pada hari ini, Ustadz Nasha menerima "tikaman" dari rakan dalam kelambu sendiri pula. |
Keterlaluan! Pihak Berkuasa Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Gambit Posted: 01 Jun 2011 08:18 PM PDT Gambit Perjelas Arah Klip Video Unsur Lucah PETALING JAYA: Pengarah klip video Marilah, nyanyian Prema Yin iaitu Gambit Saifullah (gambar) menganggap video klip tersebut tidak berunsur lucah dan keterlaluan seperti mana yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak. Malah menurutnya, klip video yang menggandingkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle tidak seharusnya dijadikan kontroversi kerana hanya memaparkan adegan yang dianggap 'biasa'. "Saya tidak rasa ia menjadi kontroversi kerana saya hanya menampilkan adegan pasangan suami isteri yang sudah kehilangan cinta dan mempunyai ego masing-masing. "Saya rasa ia tidaklah terlalu teruk, mungkin ia menjadi kontroversi disebabkan saya dan Shahz Jaszle terlibat dalam klip video ini," ujarnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Gambit (gambar) diminta memberi penjelasan berikutan klip video Marilah yang merupakan single terbaru Prema Yin dikatakan memaparkan aksi bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini. Dalam klip terbabit, Shahz Jazle dan Prema Yin dilihat melakukan aksi hampir-hampir bercium, berpeluk serta melakukan adegan seperti sedang berada dalam keadaan berahi. Mereka juga dikatakan cuba membuat publisiti murahan bagi meraih perhatian masyarakat khususnya peminat industri hiburan tanah air. Kata Gambit, klip video tersebut dihasilkan mengikut perbincangan daripada pihak produksi dan klien yang mahukan ia mengikut standard klip video artis luar negara. Menurutnya, niat utama penghasilan klip video itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat. "Memanglah kalau boleh saya ingin ia turut diterima oleh peminat hiburan tanah air. Tapi kalau ia tidak diluluskan, saya tidak ada bantahan kerana hasrat utama menghantarkannya ke Amerika Syarikat," katanya. Dalam pada itu, Gambit turut mempersoalkan mengapa sesetengah pihak mengatakan karyanya itu keterlaluan dan lucah sedangkan banyak filem tempatan yang menampilkan aksi lebih daripada itu. "Kenapa orang ingin mempertikaikan klip video ini sedangkan filem ...Dalam Botol yang jelas memaparkan hubungan songsang dan terdapat aksi lebih teruk tetapi ia diluluskan. "Apa salah saya, bagi saya video klip tersebut tiada adegan cium ataupun meraba," ujarnya. Bagaimanapun, dia menerima teguran yang dibuat secara positif dan akan cuba yang terbaik untuk masa akan datang. "Saya tidak kisah apa orang nak cakap tentang klip video tersebut, saya terima teguran mereka dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," katanya. Sementara itu, Prema Yin yang dihubungi kini berada di Amerika Syarikat manakala Shahz Jaszle pula tidak menjawab panggilan untuk mengulas tentang klip video tersebut. -mstar |
Waspada: Badan Dunia Dakwa Telefon Bimbit Penyebab Kanser Posted: 01 Jun 2011 06:20 PM PDT Paris – Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit. Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia," kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin. Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak," kata Presiden IARC, Jonathan Samet. Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon. Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun. "Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka," kata Samet. Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan. – AFP |
Al-Kisah, Mereka Berkempen Di dalam Perasmian Muktamar Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT Perasmian Muktamar Pemuda berbau kempen? Tayangan video pendek berhubung program Pemuda PAS dalam muktamarnya pada Selasa malam menimbulkan cakap-cakap sama ada ia berbau kempen. Ini kerana video kira-kira 10 minit itu dilihat hanya memaparkan sedutan rakaman acara melibatkan beberapa pemimpinnya sahaja. Selepas ketua dewan itu Nasrudin Hassan menyampaikan ucapan dasar, muktamar dipertontonkan dengan tayangan mengenai program yang dianjurkan mereka, termasuk penyertaan dalam demonstrasi di ibu negara. Antara dipaparkan dalam itu, sedutan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasrudin sendiri yang memberi ucapan penuh semangat. Mereka dipaparkan dalam satu sedutan video yang berasingan. Susulan penayangannya, timbul cakap-cakap, termasuk di kalangan wartawan yang mempersoalkan sama ada suatu kempen kepada Tuan Ibrahim. Dalam perebutan kerusi nombor dua PAS, Tuan Ibrahim menghadapi persaingan tiga penjuru dengan penyandang Nasharudin Mat Isa dan pemidato terkenal Mohamad Sabu. 'Jangan nilai kepetahan pidato saja' Kira-kira hampir 700 perwakilan termasuk hadirin bagaimanapun menonton dengan penuh khusyuk tayangan tersebut. Manakala, dalam buku ucapan dasar yang diedarkan kepada wartawan, Nasrudin juga turut menyentuh berhubung pemilihan kepimpinan parti di pelbagai peringkat. Beliau berkata Islam mengajar supaya dipilih pemimpin yang "layak, mampu dan beramanah". "Bukan populariti, bukan juga title yang ada pada nama dan tidak hanya dinilai pada kepetahan berpidato semata-mata. "Sebaliknya memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang ikhlas, benar, berilmu, mampu melaksanakan tugas dengan baik, berakhlak dan bertakwa," katanya. Tegasnya, pemilihan tersebut usah dijadikan kesempatan untuk bersengketa tetapi dijadikan sebagai peluang "untuk merapatkan jurang, mengimpal retak, menjalin ukhwah, membina persefahaman dan menyatukan fikrah". "Kita bentuk saf perjuangan yang satu dan padu laksanakan ikatan batu-bata, membangun menara kukuh gah di persada juang,"katanya. -mk Ulasan GB Memang jelas ternyata ia berbau kempen. Dan kita percaya, ini adalah siri perancangan yang teratur lanjutan dari pendedahan mengenai "geng Terengganu" yang telah menziarahi Tuan Ibrahim dan Nasruddin Tantawi sendiri. Percubaan untuk menaikkan Tuan Ibrahim dan memburukkan Mohd Sabu sebagai calon Timbalan Presiden terlalu jelas dan nyata:
Apa ertinya kamu menyatakan "SUDAH SAMPAI MASANYA BN DITUMBANGKAN" sedangkan ciri-ciri mereka masih ada di kalangan kamu! Paling memalu dan menjijikkan di dalam hidup berjemaah masih ada rupanya yang masih bersikap tahi kucing apa tah lagi di kalangan yang memakai serban pula. Berlagak seperti ulamak tersohor sedangkan nilai tapak kaki seorang pemuda di kampung yang tidak dapat menyertai muktamar tetapi ikhlas berjuang kerana Allah mungkin jauh lebih mulia dari muka-muka mereka yang pepat di luar rencong di dalam ini. Astaghfirullah! Kita hanya mampu berserah kepada Allah s.w.t. untuk menghukum & memancung setiap mereka yang terlibat di dalam perancangan jahat yang dilakukan oleh tangan-tangan dan hati-hati yang tidak senonoh itu. Allah Maha Berkuasa, Maha Tahu dan Maha Melihat! |
Tragedi Bot Karam & Ribut Yang Melanda - Ia Sudah Dijangka Posted: 01 Jun 2011 02:10 PM PDT Mangsa Bot Karam Berpaut Pada Tong, Serpihan Bot Sebelum Diselamatkan KOTA TINGGI: Kesemua 17 pendatang asing tanpa izin rakyat Indonesia yang selamat dalam kejadian bot pancung karam di perairan Pengerang, di sini, awal Rabu, terpaksa berpaut pada tong dan serpihan kayu bot hampir lima jam sebelum diselamatkan pasukan keselamatan. Menyifatkan kejadian itu sebagai 'mati hidup semula', Ilham Abdul Muid, 32, berkata dia bersama rakannya, Selamat Mustar, 36, berkongsi berpaut pada satu tong minuman bersaiz tiga liter sebelum diselamatkan sebuah kapal dagang kira-kira 10 pagi. "Kejadian itu berlaku sekelip mata. Semuanya bermula apabila bot kami dilambung ombak besar sebelum air memasuki bot. "Dalam keadaan kelam kabut, kami semua sempat mencedok air keluar dari bot sebelum bot tenggelam kira-kira 10 minit kemudian," katanya kepada pemberita di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih, Pengerang, dekat sini Rabu. Ilham berkata ketika berada di dalam bot dia turut terdengar kebanyakan mangsa melaungkan 'Allahu Akhbar' dan tidak putus-putus menjerit meminta pertolongan. Dia yang mencari rezeki dengan menjadi buruh di negara ini sejak tiga tahun lepas, menegaskan tidak menyangka kejadian seumpama itu menimpa dirinya yang mahu pulang ke Medan, Indonesia untuk melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini. Detik cemas kejadian itu turut dikongsi bersama seorang lagi mangsa, Agus Umuan, 46, yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak diduga, membuatkan seluruh mangsa yang berada di dalam bot berkenaan menjadi panik. "Dalam keadaan gelap, saya nampak ombak bergelora besar yang membuatkan bot kami dimasuki air. Kami semua terus mencapai apa sahaja peralatan yang dijumpai untuk membantu mengeluarkan air dari bot sebelum bot kemudian tenggelam," katanya yang berpaut pada satu tong minyak sebelum diselamatkan. Sardi Rosni, 25, dari Lombok pula tidak menyangka dia selamat dalam kejadian itu selepas terapung selama lebih lima jam. "Semasa terapung saya tidak putus-putus berdoa dan berharap dapat diselamatkan. Ini adalah kepulangan pertama saya ke Lombok setelah lebih empat tahun bekerja di sebuah ladang di Jerantut, Pahang," katanya. - BERNAMA Ulasan GB Beberapa kejadian malatepaka menimpa hari ini. Blog GB pada hari ini sahaja sudah memaparkan beberapa peristiwa malang yang menimpa: 1) Di Pasir Mas, Mangsa Sempat Mengucap, Sampan Tenggelam Setelah Dipukul Ombak 2) Ribut Melanda Muar, Lebih 30 Kediaman, Warung Rosak dan yang tak sempat dilaporkan: 3) Ribut ombak cemaskan penduduk di Seberang Temerloh Ini bererti sekurang-kurangnya ada empat bencana yang berlaku yang dilaporkan pada hari ini. Pada dua hari lepas iaitu pada 29 Mei 2011, GB menyatakan terdapat satu peristiwa aneh: Waspada! Ribuan Ikan Mati Di Manila, Ada Pengajaran Disebaliknya Dan ia benar-benar memberikan pengajaran seperti yang GB duga: Peristiwa ikan mati nampaknya semacam tidak signifikan semasa kejadiannya, tetapi ia adalah impak dari satu malapetaka yang telah berlaku lebih awal di dasar laut sebelum ia benar-benar muncul sebagai satu bencana di permukaannya. Sekarang berlaku pula di Manila, sebuah negara yang berjiran dengan Malaysia, petunjuk apakah itu ....? |
PRU13 Patut Diadakan Pada Tahun Ini Untuk Selamatkan Malaysia Posted: 01 Jun 2011 07:50 AM PDT Adakah kenaikan tarif elektrik dan kemungkinan peningkatan harga bahan api akibat harga minyak global yang terus melambung akan melewatkan pilihan raya umum ke-13 (PRU Ke-13)? Jangkaan pelbagai pihak termasuk penganalisa politik popular Bridget Welsh nampaknya tidak yakin dengan kemungkinan PRU Ke-13 diadakan pada tahun ini. Pelbagai faktor dilontarkan dalam teka-teki sedemikian. Namun saya berpendapat, tidak kira sebesar mana kesan kenaikan tarif elektrik kepada rakyat jelata, Perdana Menteri Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengumumkan pembubaran Parlimen ke-12 dalam masa singkat - seawal bulan Jun tahun ini - ya, seawal bulan ini! Malahan saya menjangkakan dan berharap, PRU Ke-13 diadakan seawal bulan Julai tahun ini dan selewat-lewatnya akhir tahun ini juga. Saya masih ingat, semasa teka-teki tarikh PRU Ke-12 mula menjadi hangat, pendapat sesetengah pihak adalah bahawa Parlimen ke-11 hanya akan dibubarkan selepas "projek koridor Pak Lah" menampakkan hasil pada peringkat awal yang dapat meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Pak Lah berkemampuan mentadbir urus ekonomi negara dengan baik dan berkesan. Maka PRU Ke-12 tidak akan diadakan seawal Mac 2008 seperti yang umum sedia maklum. Sebagai imbasan ingatan, apa yang berlaku pada ketika itu adalah Parlimen ke-11 dibubarkan sejurus selepas pelancaran Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) di Bintulu Waterfront Prominade oleh Pak Lah. Dengan kata lain, Parlimen ke-11 dibubarkan pada 13 Februari 2008, dua hari selepas Pak Lah "menyempurnakan" pusingan pelancaran projek koridor selama dua tahun bermula dengan pengumuman Koridor Iskandar Malaysia pada 30 Julai 2006. Bukan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan. Hari ini, kita telah menyaksikan pengumuman satu per satu pelan transformasi yang kononnya dapat mentransformasi ekonomi negara khususnya menaik-taraf Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Adakah Parlimen ke-12 hanya akan dibubarkan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan? Saya rasa tidak. Meskipun laporan satu per satu terus dipaparkan melalui akhbar harian mengenai apa yang bergelar "pencapaian KPI" pelan transformasi, kemajuan sebenar yang bermakna masih tidak kelihatan. Laporan akhbar sedemikian lebih merupakan propaganda daripada menonjolkan transformasi. Rintangan transformasi datang dari UMNO-Putra Semenjak krisis kewangan 1997/98, masalah struktur ekonomi negara terus diabaikan dan kitaran ekonomi sering dibangkitkan sebagai sesuatu yang semula jadi dalam arena ekonomi. Maka tiada kaitan langsung dengan rejim pemerintah yang korup. Setelah "khayalan wawasan 2020" berkecai dan rakyat jelata bangun dari "mimpi 2020" atau lebih tepat "jampi 2020", kedua-dua Perdana Menteri yakni Pak Lah dan Najib sedar bahawa transformasi ekonomi negara hanya akan terjadi apabila perubahan besar dilakukan. Namun, rintangan besar yang menghalang perubahan atau transformasi datang dari dalaman UMNO itu sendiri, khususnya golongan UMNO-putra dan kroni mereka. Hari ini, apa yang menjadi rebutan golongan UMNO-putra ialah keterlibatan mereka dalam proses bergelar transformasi supaya projek-projek dan kontrak-kontrak diberikan kepada mereka, bukan pelaksanaan dasar ekonomi berdasarkan saranan awal Model Ekonomi Baru (MEB). Respons Pengerusi UDA Holdings Bhd Nur Jazlan Mohamed terhadap dakwaan berhubung projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) jelas memperlihatkan betapa ghairah dan tidak sabarnya golongan UMNO-putra dalam mengumpul kekayaan sebelum ketibaan PRU Ke-13. Nur Jazlan mempersoalkan mengapa pemimpin PERKASA dan UMNO menuduh UDA Holdings mengetepikan keperluan syarikat Bumiputera dalam membangunkan projek bernilai RM6.7 bilion itu walaupun keputusan rasmi masih belum dibuat. Antara ungkapan Nur Jazlan seperti "saya juga ahli UMNO, ini bukan pembangkang yang serang kita, tapi ahli UMNO sendiri" dan "agenda Bumi ada kosnya dan UDA tidak boleh lagi untuk menanggung kos-kos ini", jelas membuktikan betapa tidak yakinnya golongan UMNO-putra dalam soal kemenangan PRU Ke-13 oleh UMNO-Barisan Nasional, khususnya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011. Dalam konteks ini, Najib berhadapan dengan dilema yang sama dengan Pak Lah. Meskipun Pak Lah berjaya melancarkan senarai projek koridor dan Najib berjaya mengumumkan senarai pelan transformasi satu per satu, mustahil mereka yang merupakan pemimpin UMNO tidak tahu bahawa kelemahan struktur ekonomi negara tidak akan dapat ditangani selagi mentaliti golongan UMNO-putra masih memegang kuat kepada kuota Bumiputra demi kepentingan peribadi. Dengan kata lain, jikalau PRU Ke13 tidak diadakan dalam tahun ini, apa yang akan dipertikaikan tahun depan bukan lagi sekadar soal inflasi tetapi termasuk kemajuan sebenar ekonomi dan pembangunan negara yang tidak dapat dijawab oleh Perdana Menteri melainkan jika politik talam dua muka diteruskan. Bayangkan perasaan dan tekanan hidup golongan berpendapatan kurang daripada RM2,300 khususnya orang Melayu pada tahun depan apabila harga barangan utama dan harian semakin tidak terkawal sementara golongan UMNO-putra teruskan gaya hidup mewah selagi kuota Bumiputra dikekalkan untuk mengayakan mereka dan saranan asal MEB diketepikan. Tarif elektrik di negara ini bakal dinaikkan setiap enam bulan. Ketidaktentuan harga minyak di pasaran dunia lebih besar pada tahun depan. Kerajaan Najib bukan sahaja berdepan dengan tekanan kenaikan harga minyak dan inflasi, tetapi juga berdepan dengan hutang negara dan defisit fisikal yang semakin tidak terkawal akibat keghairahan golongan UMNO-putra yang tidak terhingga dan tata kelola yang lemah. Pengiraan kasar MerdekaReview pada akhir tahun 2010, mendapati bahawa "Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya." UMNO-putra ada masa untuk kaut kekayaan Lantaran itu, jika sekiranya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada tahun depan, golongan UMNO-putra mempunyai masa yang lebih untuk mengumpul kekayaan yang lebih sementara lubang hutang negara akan menjadi lebih besar. Kemarahan rakyat tidak akan diredakan biarpun PRU Ke-13 dilewatkan kepada tahun depan. Jangan lagi Najib mimpikan perubahan pola pengundian bandar! Undi akan kekal diberi kepada Pakatan Rakyat. Jangan juga Pakatan Rakyat sekadar mimpikan perubahan pola pengundian desa tanpa gerak kerja seluas-luasnya dalam kawasan kampung Melayu, rumah panjang Iban dan Kadazan. Sesungguhnya, persoalan "Bilakah PRU Ke-13 akan diadakan?" patut ditukar kepada "Bilakah PRU Ke-13 wajar diadakan?" Sebab satu sahaja: jangan kita biarkan kekayaan negara dikaut habis-habisan baharu didesak diadakan PRU Ke-13! Ekonomi negara lemah kerana golongan UMNO-putra dan dasar UMNO yang mementingkan kepentingan peribadi. Golongan sedemikian juga mahukan PRU Ke-13 dilewatkan. Ayuh kita bangkit mendesak agar PRU Ke-13 dijalankan tahun ini! Biar kita selamatkan negara yang berada di ambang bahaya! Demi rakyat, demi generasi akan datang dan demi masa depan yang lebih cerah. Segera kita bangun dari "jampi 2020"! Tanpa perubahan dan pembaharuan besar, Malaysia tidak akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Perubahan dan pembaharuan besar bermula dengan pertukaran rejim di peringkat Persekutuan. -MR *Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview. |
[Video] Kes Kematian Ahmad Sarbani: PKR Serah Memo Kepada KPN Tuntut Jawapan Posted: 01 Jun 2011 06:00 AM PDT Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terbuka mengenai siasatan keatas kematian seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed yang kelihatan dipinggirkan. Ini berikutan sehingga kini tiada maklumat atau tangkapan dibuat pihak polis walaupun laporan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dikenali sebagai Ghani mengakui bahawa pihaknya terlibat dalam kes kematian itu. "Kita tidak nampak mengapa IGP tidak boleh memberi maklumbalas. (Sebentar tadi) kita hanya dapat nama pegawai yang kita akan hubungi dalam masa beberapa hari lagi untuk mendapatkan sedikit maklumat. "Tapi saya juga desak pihak wartawan memberi tekanan untuk mendapat respon daripada pihak polis," kata Naib Presiden PKR, Tian Chua. Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditemui media turut berpendirian persepsi umum terhadap polis semakin menipis apabila siasatan polis diperhatikan menjurus kearah pendakwaan terpilih. "Maka dalam isu penyiasatan sekalipun, kita perlu ada keutamaan. Kes kematian, bersabit dengan kerajaan sebegini, SPRM perlu mendapat keutamaan daripada PDRM," ujar beliau. Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM, Jalan Cochrane pada 6 April lalu. Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April. Allahyarham kemudian datang semula ke pejabat SPRM untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, namun menemui mayat pegawai kastam itu di tingkat bawah bangunan tersebut pada jam 10.15 pagi. Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang. Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara. Turut hadir menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR, N Surendren dan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip. -tvsnews
|
Benarkah "Geng Terengganu" Tonjol Datuk T Gantikan Nasha? Posted: 01 Jun 2011 05:08 AM PDT Ulama bakal singkir Nasha Setelah berkhidmat selama tiga penggal, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dijangka dihumban keluar daripada kepimpinan tertinggi parti Islam itu oleh tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Tuan Ibrahim juga diramal bakal melangkah bergaya ke kerusi nombor dua PAS dengan sokongan ulama yang kini beralih arah kepadanya, sekali gus turut mengetepikan pemimpin popular di peringkat akar umbi Mohamad Sabu. Hasrat golongan ulama mahu mengangkat Tuan Ibrahim sebagai 'ayam tambatan' baru bagi menggantikan Nasharudin tidak dapat dibendung lagi apabila dikatakan beberapa kali memujuk Tuan Ibrahim yang pada mulanya enggan bertanding. Menurut pemerhati politik PAS Mohd Sayuti Omar, penyertaan Tuan Ibrahim -- kini naib presiden -- dilihat seakan-akan "firman" yang mampu memenangkannya. "Penyertaan Tuan Ibrahim ini seperti firman, tidak kiralah daripada atas atau bawah (hierarki parti)," katanya kepada Malaysiakini semalam. "Bagaimanapun kelemahannya, (apabila) perwakilan melihatnya sebagai oportunis kerana mengumumkan kesediaan di saat-saat akhir (sebelum tarikh akhir penerimaan). Oleh kerana dapat pencalonan banyak, beliau pun masuk." Mohd Sayuti yang juga ketua pengarang Siasah -- akhbar yang banyak melaporkan kegiatan PAS -- bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas dari mana datangnya "firman" itu secara terperinci. Sementara menurut sumber yang dekat dengan golongan ulama, usaha mengetengahkan Tuan Ibrahim dijalankan oleh beberapa "pemikir" di belakang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebanyakannya terdiri daripada beberapa "ilmuan" dan ahli akademik. Pujuk, ziarah rumah Menurutnya, bagi menjayakan agenda ini, beberapa pemimpin penting PAS, antaranya Ketua Dewan Ulama Dato Harun Taib diutuskan menemui dan memujuk Tuan Ibrahim secara berterusan sehingga didakwa memberikan tekanan kepadanya untuk bertanding. "Peranan ini dimainkan oleh Dewan Ulama dan apa yang disebut sebagai 'Geng Terengganu'. Usaha mereka ini termasuklah mengadakan ziarah ke rumah Tuan Ibrahim. Usaha yang sama juga dijalankan pada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hasssan," jelasnya. Menurut sumber lagi, golongan ulama dalam PAS terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada Nasharudin untuk menjalankan agenda kumpulan itu. "Imejnya sudah terjejas," katanya merujuk kepada prestasi anggota parlimen Bachok itu yang menjadi sudah menjadi cakap-cakap di kalangan pemimpin PAS. Kemasukan Tuan Ibrahim sebelum ini dilihat ekoran kebimbangan golongan ulama terhadap asakan kuat Mohamad yang bertanding untuk jawatan itu buat kali kedua dan menjadi yang paling awal mengumumkan hasratnya itu. Ia juga dikatakan mengambil perkiraan jumlah pencalonan Tuan Ibrahim yang memberangkang. Menurut sumber, pesuruhajaya PAS Pahang itu mendapat 39 pencalonan di belakang Mohamad (47) dan Nasharudin (43). Bagaimanapun, terdapat difahamkan sekurang-kurangang 15 kawasan yang menyokong Tuan Ibrahim gagal menghantar pencalonan pada masanya untuk diterima. Sementara itu, ramai penganalisis politik rata-rata melihat pertembungan tiga penjuru untuk merebut kerusi nombor dua itu bakal berlangsung sengit dan tiada kemenangan mudah akan berlaku. Tapi dia 'nobody' Ramai daripada mereka sepakat bahawa pertembungan sebenar masih antara Tuan Ibrahim dam Mohamad Sabu. Nasharudin pula dilihat agak terkebelakang dan masih bergelut mempertahankan sokongan sedia ada, di samping memenangi hati golongan profesional PAS. Felo Kanan Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusoff mengakui bahawa kali ini Nasharudin masih menghadapai protes terhadap kepimpinannya yang besar. "Cuma persoalannnya, ke mana undi itu akan pergi? Sama ada pada Mat Sabu atau Tuan Ibrahim. Tetapi saya dok jangka, kemungkinan besar Tuan Ibrahim akan memang. Kemungkinan ada kompromi dengan Mat Sabu (di saat akhir)," katanya. Bagaimanapun, menurut Dr Kamaruzaman, cabaran bagi kumpulan ulama apabila berlakunya perpecahan undi di antara Nasharudin dan Tuan Ibrahim dan populariti Mohamad sebagai pemidato terkenal yang didakwa kukuh menguasa beberapa negeri seperti Sabah, Johor, se sebahagian Selangor dan Kelantan. Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan pula berpendapat sebaliknya. Baginya, walaupun Mohamad masih memikul beban pemikirannya yang berbeza, pendekatan kempennya setakat ini "bagus" dan tidak berlebih-lebihan. "Ia berjalan dengan betul," katanya sambil memberita dalam PAS, calon yang lebih berkempen boleh mengundang kekalahan. Walaupun Tuan Ibrahim dianggap cabaran itu, tetapi bekas 'selebriti agama' itu dilihat "nobody" (bukan sesiapa) dalam sepak terajang poitik tanah air dan hanya berpengaruh dalam lingkarannya sendiri sahaja, dakwa Wan Saiful. Ulasan GB Tulisan yang tersiar di malaysiakini di atas samada ia benar atau pun tidak telah mendedahkan beberapa perkara: iaitu adanya kumpulan dari Terengganu yang mendesak Datuk T (Datuk Tuan Ibrahim) masuk bertanding bagi jawatan nombor dua dalam parti. Ia dikatakan diantara usaha terdesak "geng Terengganu" bagi melaksanakan agenda mereka. "Peranan ini dimainkan oleh Dewan Ulama dan apa yang disebut sebagai 'Geng Terengganu'. Usaha mereka ini termasuklah mengadakan ziarah ke rumah Tuan Ibrahim. Usaha yang sama juga dijalankan pada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hasssan," golongan ulama dalam PAS terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada Nasharudin untuk menjalankan agenda kumpulan itu. Jika benar seperti yang dilaporkan, bererti telah wujud parti di dalam parti, jemaah di dalam jemaah dan ia amatlah keterlaluan dan mendukacitakan. Kerana itulah punca kepada apa yang dinamakan "perpecahan" di dalam parti. Kita yakin pemilihan di dalam PAS sepatutnya berlansung di dalam suasana yang harmonis dan jujur, tidak berlaku adegan untuk "agenda-agenda" tersembunyi kerana seperti yang kita telah nyatakan sebelum ini, kemenangan jawatan di dalam parti adalah taklif (amanah dan tanggungjawab), bukan tasyrif (kemegahan dan kemuliaan). Namun GB sejak daripada awal merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, itu sebab mengapa ada kes yang pelik-pelik berlaku seperti nama calon AJK tercicir, jumlah pencalonan setiap calon tidak diumumkan, campurtangan Setiausaha Agong PAS di dalam J/K Pemilihan, serangan ke atas Mohd Sabu secara berlebihan (malah telah wujud blog antimohdsabu seperti mana wujud blog anti-husam di dalam pemilihan yang lalu), peranan harakahdaily yang hanya melaporkan aktiviti beberapa pemimpin terpilih sebelum penamaan calon dan mengatur nama calon seperti ada usaha menonjolkan calon tertentu dan bermacam-macam lagi. Jika dahulunya "geng Terengganu" ini menonjolkan Ustadz Nasha, kali ini mereka mengenepikan Ustadz Nasha sesuka hati dengan menaikkan pula Datuk Tuan Ibrahim. Dan apa pula terjadi nanti jika Tuan Ibrahim tidak memenuhi hasrat mereka? Mereka jugakah yang akan menjatuhkan Datuk T dan kemudian mengangkat orang lain pula? "Sama sahaja dengan perangai UMNO. Patutlah Terengganu terlepas ke tangan UMNO!" - kata seorang pengkomen di blog GB. Kita berharap jika benar "geng Terengganu" itu wujud, maka bubarkanlah dan hentikan segala perlakuan yang tidak baik di dalam jemaah sebelum Allah s.w.t. menurunkan kaffarah secara merata kepada kita semua. Muga Allah selamatkan jemaah ini dari hancur binasa dan mempertautkan ukhwah Islamiah di antara kita semua menjelang muktamar ini adanya. |
Mangsa Sempat Mengucap, Sampan Tenggelam Setelah Dipukul Ombak Posted: 01 Jun 2011 03:10 AM PDT Pasir Mas – Jeritan seorang bilal menenggelamkan suasana sunyi di Sungai Kelantan, Kampung Galok Chetok apabila perahu yang dinaiki tenggelam dipukul air sungai, jam 12 malam kelmarin. Bilal, Aziz Husin, 63, keluar bersama rakannya, Hasan Addul Ghani (foto kecil), 25, pada jam 10.30 malam, untuk menjala ikan, namun pukulan air sungai yang kuat menyebabkan air memenuhi ruang sampan dan menenggelami sampan mereka. Aziz berkata, dia menjerit sekuat hari menyuruh rakannya, untuk mengucap apabila mangsa kelihatan tenggelam timbul dipukul ombak sungai. "Saya sempat bertaut pada sebatang buluh berdekatan perahu dan menyuruhnya mengucap. Dia sempat mengucap, namun selepas itu, dia terus tenggelam," katanya. Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Ghani Saad, 63, terkedu apabila kepulangannya dari Pahang mengundang berita mengenai kehilangan anak lelakinya yang dikhuatiri lemas. Abdul Ghani berkata, dia yang tiba di rumah jam 11.45 malam terkejut apabila penduduk kampung memberitahu mengenai anak ketujuh dari 10 beradik itu, lemas di sungai berdekatan. "Saya tidak menyangka perubahan anak saya, yang sebelum ini agak pendiam, berubah dan banyak bercakap, lebih-lebih lagi mengenai kematian. "Sebelum ini juga dia jarang menghadiri majlis keraian di kampung, namun kelmarin, dia begitu bersemangat untuk bertemu penduduk kampung dan saudara-mara di sana," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Abdul Ghani berkata, sudah menjadi kebiasaan jika ada masa terluang, dia pasti keluar menjala bersama rakan atau penduduk kampung ini. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamed Adenan Said berkata, seramai 12 anggota skuba jabatan bomba dan penyelamat Kelantan bersama lima anggotanya bergegas ke tempat kejadian. "Kita sudah menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejauh satu kilometer dari tempat kejadian, bermula jam 9 pagi namun tidak menemui mangsa," katanya. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan