Ahad, 12 Jun 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Baru 18 Tahun, Gadis Ini Sudah Nikahi 11 Lelaki Arab

Posted: 12 Jun 2011 06:31 AM PDT


Usianya baru 18 tahun, namun seperti yang dinyatakan pada tajuk kiriman, gadis dalam gambar di atas  dilaporkan sudah berkahwin sebanyak 11 kali dalam tempoh 11 bulan, dengan 11 lelaki Arab yang berbeza-beza dalam satu-satu masa. Namun ketika ditanya sebab dia mempunyai rekod sedemikian, remaja terbabit hanya akan menjawab beliau terdesak berikutan masalah kemiskinan. 

Gadis yang dikenali Fitriasih adalah salah seorang daripada wanita yang terbabit dalam perkahwinan kontrak. Lelaki Islam akan membayar sejumlah wang untuk bernikah dengan wanita tempatan dalam tempoh singkat sebelum menceraikan mereka. Perkahwinan itu yang dikenal juga sebagai nikah siri itu didakwa diiktiraf di bawah hukum Islam tetapi tidak di bawah undang-undang negeri. Hal ini bermakna si isteri tidak boleh membuat tuntutan perundangan terhadap kekayaan atau harta suaminya selepas mereka mengakhiri perkahwinan berkenaan.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan itu sering kali disalahgunakan oleh lelaki yang hanya mahu menjalinkan hubungan seks selain perkahwinan pertama mereka tetapi tidak mahu bertanggungjawab penuh sebagai seorang suami, kata pakar.  Amalan berkenaan juga digunakan kebanyakan lelaki Indonesia yang mahu mengamalkan poligami tetapi gagal mendapatkan persetujuan isteri pertama, kata Maria Ulfa Anshori, ketua sayap wanita Nahdlatul Ulama, kumpulan Islam terbesar Indonesia kepada akhbar Indonesia, Jakarta Globe.
Sebelum beliau ditahan Rabu lalu dalam satu serbuan pelacuran oleh pihak berkuasa di Puncak, Fitriasih meraih pendapatan lumayan dengan berkahwin dan bercerai lelaki Asia barat dengan mendapat bantuan seorang orang tengah dipanggil Mami.  Perkahwinan terbabit biasanya bertahan antara seminggu hingga lima minggu dan Fitriasih menerima sejumlah Rp 5 juta (RM1,772) seminggu bagi 'tugas isteri' yang dipikulnya. Daripada jumlah itu, 20 peratus diserahkan kepada Mami yang mengendalikan tawaran dan rundingan.

"Saya mempunyai seorang 'orang tengah'. Beliau memberikan tunjuk ajar kepada saya," kata Fitriasih ketika ditahan di pejabat daerah Cisarua di Jawa Barat untuk soal siasat.

Tugasan terakhir Fitriasih katanya adalah menunggu seorang 'unta' - terma yang digunakan orang tengahnya bagi pelanggan Arab - di Tjokro Villas di kampung Ciburial berhampiran Bandung. Dia sepatutnya mengahwini seorang lelaki Arab dalam satu majlis diuruskan seorang guru agama dipilih oleh Mami.

"Saya sekadar mengulangi apa-apa yang dikatakan guru agama itu. Ia adalah ijab kabul," kata Fitriasih. "Saya tidak tahu dari mana beliau berasal. Saya hanya tiba di tempat yang dijanjikan Mami. Majlis itu biasanya diadakan di sebuah villa atau di sebuah apartmen - tempat - tetamu Arab itu akan tinggal.

"Perkahwinan ini biasanya dilakukan di Jakarta. Sebaik saja berkahwin kami akan terus ke Puncak. Untuk berkomunikasi dengan mereka, saya boleh bercakap sedikit bahasa Arab dan Inggeris," katanya. 


P/s: Orang-orang inilah yang menconteng maruah dan martabat agama Islam.




Budak 7 Tahun Terima Baucer Rawatan Besarkan Payudara Sebagai Hadiah Hari Jadi

Posted: 12 Jun 2011 05:00 AM PDT


Bunyinya memang tidak masuk akal, namun realitinya budak berusia 7 tahun menerima baucer rawatan membesarkan payudara sebagai hadiah hari jadinya. Sarah Burge, 50 tahun memberikan hadiah itu selepas anaknya Poppy "merayu" untuk membuat rawatan membesarkan payudara, lapor majalah Closer.

Selain baucer bernilai RM30 ribu, si ibu daripada golongan berada itu turut menghadiahi anaknya komputer, cincin kristal merah jambu dan pakej rawatan SPA bernila RM20 ribu.

Pada majlis hari jadinya, Poppy dan rakan-rakannya menikmati champagne tiruan dan kek bernilai RM1250. 

"Apabila saya mendapat semua hadiah itu, perasaannya seperti mimpi menjadi kenyataan. Semua kawan saya berasa cemburu," kata Poppy.

"Saya tidak sabar untuk memiliki payudara besar seperti ibu. Kedua-dua payudaranya cantik," kata Poppy lagi.

Menurut Sarah, " Saya beri baucer ini supaya Poppy boleh menjalani rawatan itu apabila dia berusia 16 tahun. Had umur sah untuk melakukan rawatan itu."

Kedua-dua kakak Poppy, berusia 25 dan 17 tahun begitu juga kakak tirinya yang berusia 17 tahun sudah menyuntik botox ke badan masing-masing.


P/s: Macam-macam!

Artis Ini Meluahkan Rasa Hati Lagi

Posted: 12 Jun 2011 04:00 AM PDT


Saya petik:
[HM] REMUK hati Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, apabila alam perkahwinan dilaluinya tidak pernah bahagia, malah hanya mengundang derita dan sengsara. Air matanya gugur setiap kali mengenangkan sikap isteri, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi, 25, terhadapnya.

Di manakah rasa hormat seorang isteri terhadap suami, dia ditinggalkan pergi begitu saja. Hilang tanpa bicara walaupun sepatah kata. Sehingga kini bekas pengacara Trek Selebriti itu hairan kenapa Suhaila sanggup memperjudikan mahligai yang baru mereka bina.

Andai kata dalam hati tiada rasa kasih, kenapa perlu bersetuju untuk berkongsi hidup dengannya dulu. Ada isteri, tetapi entah ke mana perginya. Apabila Jimmy enggan menceraikan isterinya, bukan bererti dia dayus tetapi dia tidak mahu berkahwin semata-mata untuk bercerai. Selagi terdaya, dia akan berusaha menyelamatkan rumah tangganya.

Kepingin sangat hatinya untuk mendampingi isteri tetapi itu hanya angan-angan kerana hubungan mereka kian jauh. Dalam pertemuan dengan wartawan Selebriti, NOR AKMAR SAMUDIN, Selasa lalu, Jimmy enggan berahsia lagi. Dia meluahkan segala yang terbuku di hati.

INAI masih merah di jari, isteri dah lari. Kami sempat duduk serumah selama 20 hari tetapi kalau diikutkan, saya hanya dapat bersamanya 10 hari. Bulan madu saya pun tidak seperti orang lain.

Mulanya rancangan diatur untuk pergi berbulan madu ke destinasi lebih jauh dan romantik tetapi kerana keadaan kami tidak seperti pasangan pengantin baru yang lain, kami rancang untuk pergi ke Koh Samui, Bangkok dan Bali saja. Itupun, apabila sampai di Koh Samui, dia dah 'lari'. Katanya, dia hendak ke Bangkok seorang diri.

Saya dah letih hendak memikirkan apa berlaku antara saya dan dia. Perasaan saya bercampur baur. Semakin lama dia pergi, semakin jauh. Dia ada anak angkat dan dia lebih suka tidur bersama anak angkatnya daripada melayan suaminya.

Saya dah tak kuasa hendak menyembunyikan perkara sebenar kerana semua orang dah tahu. Kalau ikutkan hati, hendak jadi apa pun jadilah, tetapi bila memikirkan anak kami yang sedang dikandungnya, hati saya jadi sebak, pilu dan sedih. Apa hendak jadi dengan saya, ada isteri macam tak ada isteri.

Dia sempat bermalam di rumah saya di Putra Heights, semalam saja. Apabila dia mahu duduk bersama saya, alangkah gembira rasa hati kerana dalam angan-angan saya dapatlah kami hidup bahagia seperti orang lain.

Di rumah itu semua saya sediakan, bahkan makan minum pun saya yang buatkan. Kain baju, saya hantar dobi. Dia tak perlu buat apa-apa dan saya tak kisah asalkan dia gembira. Bangun pagi, sarapan sudah terhidang. Namun, dia lari juga dari saya. Apa lagi perlu saya buat untuk menambat hatinya, bingung jadinya.

Sejak dia keluar rumah dan tak balik lagi, setiap hari saya menunggunya. Apabila terdengar kereta berhenti depan rumah, pantas tangan menyelak langsir, manalah tahu kalau dia yang balik. Berbulan saya menunggu tetapi hampa belaka. Dah kering air mata mengenangkan keadaan rumah tangga kami.

Saya tahu dia mengandung pun daripada orang lain dan wartawan yang bertanya kepada saya. Hancurnya hati, sebagai suami saya tak tahu apa-apa mengenai isteri. Orang lain lebih tahu daripada saya.

Sudah bermacam cara saya buat untuk mengambil hatinya, tetapi dia tetap tak mahu berjumpa saya. Kalau orang lain bahagia berkahwin, tetapi saya pula hanya mendapat malu dan sengsara. Saya tidak pernah berniat menumpang hartanya atau keluarganya, cuma mengharapkan sebuah rumah tangga yang bahagia.

Sebelum berkahwin, saya tidak pernah membenarkan mana-mana media mengambil gambar rumah, tetapi selepas berkahwin saya terpaksa melakukannya untuk membuktikan saya memang mampu menyara hidup kami berdua. Saya tidak mengambil sesen pun harta keluarganya.

Sebaik saja tahu dia mengandung, teringin benar hati ini untuk menjaganya, membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan melihat gambar imbasan bayi kami. Namun, saya tak merasa itu semua.

Saya ini bapanya, tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya boleh membayangkan saat-saat indah itu. Saya juga tak tahu bila dia hendak bersalin, khabarnya dalam sehari dua ini. Meronta hati ini untuk mengetahui jantina bayi itu.

Sebagai menyambut kehadiran orang baru itu, saya membeli peralatan bayi. Saya melihat dan membeleknya setiap hari, semakin saya memandangnya, terasa sangat sedih. Kasihan si kecil itu. Sebaik saja mendengar tangisannya nanti, saya mahu mengazankannya tetapi adakah saya akan dapat peluang itu. Saya mahu menjaganya kerana saya tahu, saya boleh menjadi bapa yang baik.

Pada awal kehamilannya, ibu mentua saya berjanji mahu menyerahkan bayi itu kepada saya tetapi sekarang rentak percakapannya sudah lain. Sudah terlalu banyak mereka menabur janji, saya tak tahu janji mana satu yang betul.

Saya serahkan segala-galanya pada Allah SWT. Bagaimana dan macam mana rupa bayi itu, saya mahu menjaganya dengan sepenuh kasih sayang.

Saya tak tahu dia ini macam mana orangnya, macam tak ada hati perut. Ke manakah pergi kewarasannya sebagai manusia. Dia lebih pentingkan kawannya daripada suami. Setiap orang ada kisah silam dan saya pun bukan orang yang sempurna.

Lupakanlah cerita lama dan bina hidup baru. Rupa-rupanya itu cuma harapan dan impian saya seorang, sedangkan ingatan dan fikirannya entah ke mana. Ingatkan selepas berkahwin, dapatlah lebih mengenali hati budi isteri tetapi kami semakin terpisah jauh.

Ketika mula mengandung dulu, alasan berjauhan dari saya kononnya tidak tahan bau badan suami. Alahan orang mengandung. Saya terima, tetapi sampai berapa lama. Orang lain mengandung juga, kalau tak tahan bau badan pun, setakat berpisah bilik namun masih tinggal sebumbung.

Dengan sekian banyak alasan, saya dah muak mendengarnya. Selepas bersalin nanti, entah apa pula alasan diciptanya. Ada juga saya dengar, selepas bersalin dia mahu membawa anak kami lari ke luar negara. Aduhai hati... sudah terlalu lama 'engkau' menderita. Bilakah akan berakhir.

Dalam kegelisahan dan kehampaan ini, tiada tempat hendak mengadu. Sejak kecil, emak dan ayah sudah pergi menghadap illahi. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan segala-galanya. Dia ke umrah bersama keluarganya pun tidak minta izin saya.

Apapun, saya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan dengan harapan tinggi menggunung moga kelahiran bayi itu nanti akan menyatukan kami semula.

Bersama sekeping hati yang duka, saya pergi mengerjakan umrah baru-baru ini. Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya memberi ketenangan dan kekuatan untuk menempuh hidup ini.

Alhamdulillah, sekembalinya dari Tanah Suci, saya rasa tenteram dan tidak lagi terikut-ikut kata hati. Saya akan lalui saja apa yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Untuk mendapatkan kekuatan, saya baca buku motivasi dan agama.

Sesungguhnya sebagai isteri, tidak sukar untuk mencari keredaan Allah. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Seorang perempuan yang menegakkan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan mematuhi suaminya akan memasuki syurga melalui pintu mana saja dia suka." Andai kata dia mahu kembali kepada saya, saya sedia memaafkannya dan menerimanya. Saya mahu bayi yang bakal lahir itu mempunyai keluarga sempurna.

Imbas kembali detik melalui tempoh pertunangan, pernikahan dan malam pertama, sebaknya hati tidak terkata. Sepanjang tempoh pertunangan pun, dia tak mahu rapat dengan saya. Ada saja yang tak kena.

Dua minggu sebelum berlangsungnya kenduri dan majlis persandingan, kami ambil gambar praperkahwinan di Cameron Highlands, itu pun dah kecoh.

Oleh kerana jodoh kami kuat, kami bernikah juga. Selepas itu pun, banyak benda yang merepek-repek dan huru-hara jadinya. Tiba malam hendak bersanding, dia tetap dengan perangainya.

Jika orang lain naik pelamin dengan wajah ceria, saya rasa biasa saja. Malam pertama, pasangan pengantin baru diulit bahagia, saya pula lain ceritanya.

Jika dia tak mahu juga berubah dan masih tidak dapat menerima saya sebagai suami, tunggulah kes di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu masalah kami dibawa ke mahkamah kerana akan mengundang aib, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana perlu pertahankan hak saya.

Peliknya, dia berkahwin dengan saya bukan kerana dipaksa keluarga tetapi atas kemahuannya sendiri. Pada hari jadinya tahun lalu, apabila ditanya ibu bapanya, dia mahu hadiah apa, katanya dia hendak berkahwin dan ciri lelaki yang diidamkannya adalah saya. Kami pernah berjumpa lima tahun lalu dan pernah mengambil gambar bersama.

Kebetulan ketika ibunya datang berjumpa saya, saya masih solo dan segala-galanya diatur untuk menjodohkan kami berdua. Entahlah, saya tak tahu hendak kata apa lagi. Agaknya kerana saya penyabar, Allah SWT berikan saya ujian ini.

Sesungguhnya Allah SWT berikan ujian itu mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Jika itulah ketentuan hidup saya, moga Allah SWT kuatkan iman dan hati ini untuk menghadapinya.

Saya tak suka hendak bercerai-berai, tambahan saya artis. Nanti masyarakat ingat, artis ini tak ada kerja lain, asyik bercerai saja. Apabila orang dah tahu kisah rumah tangga saya, hendak keluar rumah pun malu dengan jiran tetangga.

Apabila kawan datang ke rumah ajak keluar makan, baru saya keluar. Beratnya tanggungan ini. Hanya Allah SWT yang mengerti derita saya."

P/s:Kasihan!


Israel Didakwa Akan Cipta Gempa Bumi Palsu untuk Musnahkan Masjid al-Aqsa

Posted: 12 Jun 2011 03:30 AM PDT


Saya petik:
Aktivis Palestin dedah rancangan Yahudi gali terowong bawah masjid
[BH] TEHRAN: Kerajaan Israel sentiasa cuba menguasai semula masjid al-Aqsa yang didakwa dibina di tapak kuil Yahudi dan antara rancangannya untuk memiliki semula tempat itu ialah mencipta gempa bumi palsu, kata aktivis Palestin.

Sehubungan itu, Hasan Khater menggesa semua negara Islam menunjukkan bantahan terhadap rancangan Israel terhadap kiblat pertama umat Islam itu.

"Ada beberapa senario bagi mengenai rancangan Yahudi memusnahkan masjid al-Aqsa.

"Tetapi, semua negara Arab dan Islam selain masyarakat antarabangsa memegang hak menjaganya dan bukannya Zionis yang menentukan masa depan sesuai bagi masjid itu," kata Hasan yang juga Setiausaha Agung Barisan Islam Kristian al-Quds.

"Pihak berkuasa Zionis mencari jalan menguasai masjid al-Aqsa dan mengeluarkan arahan bagi kemusnahannya melalui gempa bumi palsu bagi membolehkan Zionis meneruskan operasi menggali dan mengorek di bawah masjid berkenaan," kata Khater.

Beliau kemudian membidas negara Islam kerana terus menutup mulut berhubung tindakan jahat Israel di bumi Palestin dan percaya tindakan berdiam diri umat Islam menggalakkan Tel Aviv meneruskan rancangan mereka itu.
April lalu, Yayasan Warisan dan Kebajikan Al Aqsa (Wakaf) Islam melaporkan Israel meneruskan penggalian di bawah masjid Al Aqsa untuk mewujudkan rangkaian terowong sekitar masjid itu.

Yayasan itu menyebut bahawa aktiviti menggali itu menjejaskan kawasan di bawah masjid dan sekitarnya melalui kerja yang ditingkatkan sejak beberapa bulan lalu.

Yayasan itu mendedahkan, kerja menggali dan mengorek berkenaan dijalankan di bawah Tembok Al Boraq (Tembok Ratapan bagi orang Yahudi) berhampiran Moghrabi Gate (Bab Al Magharba, Al Silsila Gate (Gate of the Chain), dan Al Mat-hara Gate.

Dalam kejadian terbaru yang bertujuan menaikkan kemarahan penduduk Palestin dan Islam, pelampau Yahudi sengaja memecahkan sebotol arak di pekarangan al-Aqsa, Khamis lalu.

Pegawai masjid berkata, satu kumpulan pelawat Yahudi dilihat minum wain dan didakwa memecahkan beberapa botol arak di pekarangan al-Aqsa ketika menyambut upacara agama diberi nama 'Shavout.' – Agensi

 P/s: Kiamat semakin dekat!


[Gambar] Keganasan Polis, Lelaki Ditembak Mati dari Jarak Dekat

Posted: 12 Jun 2011 02:02 AM PDT


Pihak polis tentera Pakistan menembak Sarfaraz Shah.
Mangsa rebah selepas ditembak beberapa kali.
Sarfaraz Shah berdarah sehingga mati.
Ratusan orang yang terdiri daripada kaum keluarga dan sahabar handai menghadiri pengebumian Sarfaraz Shah.

Hanya kerana dituduh merompak, seorang lelaki mati ditembak oleh polis tentera di Pakistan.

Menurut laporan di DM, lelaki yang dikenal dengan nama Sarfaraz Shah diheret oleh sekumpulan polis tentera di Karachi Pakistan. Dia telah dituduh merompak. Dalam klip video yang berjaya dirakamkan oleh jurukamera sebuah televisyen, Sarfaraz dilihat merayu kepada sekumpulan polis tentera tersebut. Namun, rayuannya tidak diendahkan, malah dia ditembak dua kali - di kaki dan di lengan- dari jarak dekat oleh seorang pegawai polis tentera. 

Selepas ditembak, Sarfaraz Shah rebah ke tanah dan menjerit kesakitan. Dia kemudian meninggal dunia kerana pendarahan teruk akibat tembakan. Kumpulan polis tentera yang terlibat dalam kes ini hanya melihat dan berbual-bual di tepi jalan.

Menurut sumber berita, kejadian kejam dan ngeri ini berlaku berhampiran dengan sebuah taman yang dinamakan sempena nama bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto- yang dilabel oleh dunia sebagai simbol demokrasi. Video ini telah mencetuskan kritikan hak asasi manusia di Pakistan terhadap kerajaan yang tidak popular dalam kalangan rakyat dan dikatakan telah gagal untuk mengawal kuasa polis dan tentera.


Jurukamera yang bertanggungjawab merakam video yang memaparkan keganasan pasukan beruniform Pakistan dan saat-saat kematian Sarfaraz ini telah menerima ancaman bunuh. Hal ini diakui oleh majikan di sebuah stesen TV tempatan.

Manakala Perdana Menteri Pakistan Yousuf Raza Gilani dalam suatu kenyataannya berkata siasatan akan dijalankan selepas insiden ngeri di Karachi ini dan pesalah akan dihukum.

Salah seorang saudara kepada Sarfaraz Shah memberitahu media, "Saudara saya tidak bersalah, dia sedang berjalan-jalan di taman. Seluruh dunia telah melihat apa yang telah terjadi."

P/s: Kejam dan sadis!!!


Selepas Produk Makanan Taiwan, Produk Makanan Korea Pula Dicemari Bahan Kimia

Posted: 12 Jun 2011 01:28 AM PDT


Selepas beberapa produk makanan dari Taiwan ditarik balik dari pasaran berikutan tercemar dengan di- (2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyi phthalate (DINP), semalam produk mi segera dari Korea, Shin Ramen turut disyaki mengandungi bahan tercemar yang sama, lapor BH.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengarahkan produk itu ditarik balik serta merta dari pasaran sehingga ujian mengesahkan produk itu selamat daripada bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik dan mereka yang sudah membeli produk itu, dinasihatkan supaya tidak memakannya sehingga produk itu disahkan selamat. 

P/s: Sila ambil perhatian.

Isu Negara Berkebajikan, PAS Tegaskan Tidak Ciplak BN

Posted: 12 Jun 2011 01:14 AM PDT


Saya petik:

[TMI] KUALA LUMPUR, 12 Jun — PAS menempelak pentadbiran Najib yang mendakwa parti Islam itu mencuri idea atau menciplak apabila menekankan konsep negara berkebajikan ketika muktamar awal bulan ini, kata pemimpinnya hari ini.

Malah pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari juga berkata PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.

"Soal curi idea atau ciplak, saya hairan dengan pandangan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak). Saya hairan dengan pandangan beliau, tapi saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan pemimpin-pemimpin Umno yang sudah bercakap mengenai soal kebajikan," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Mahfuz, sebahagian konsep negara berkebajikan telah pun dilaksanakan tetapi dengan keupayaan yang terhad.

"Apa yang dimaksudkan keupayaan terhad adalah bidang kuasa kita terhad dan kewangan terhad," katanya yang turut menekankan bahawa ucapan dasar lazimnya akan bertukar tema dan kali ini ucapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Ucapan dasar presiden biasanya bersandarkan isu-isu dan perkembangan semasa. Saya pasti begitu juga ucapan presiden Umno dan parti-parti politik lain.

"Jadi, ucapan Datuk Seri Hadi menyentuh konsep negara kebajikan, yang ada kaitan dengan manifesto pilihan raya umum 2008," katanya lagi.

Muktamar PAS kali ini dilihat yang terakhir sebelum negara menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Namun begitu, Mahfuz menegaskan, konsep negara berkebajikan perlu difahami bahawa ia tidak melibatkan harta benda semata-mata.

"Ini sudah disalah tafsir oleh masyarakat jika menganggap negara berkebajikan itu melibatkan kewangan semata-mata.

"Negara berkebajikan itu merupakan perkara baik yang bertujuan menyatupadukan rakyat. Konsep ini yang menekankan kepimpinan yang adil, telus dalam masyarakat, bebas dari rasuah.

"Sejak PAS mentadbir kerajaan Kelantan sejak 21 tahun lalu, mana ada lagi pemimpin kerajaan negeri yang diseret ke mahkamah atas sebab rasuah berbanding kepimpinan Umno," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

"Umno sekarang sudah terdesak dan tidak mampu lagi memberi jaminan kepada rakyat dalam konteks negara berkebajikan sedangkan rakyat ternanti-nantikan konsep ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Buku Jingga sebenarnya menjadi wadah kepada rakyat betapa pentingnya mereka membentuk negara berkebajikan dan kembali kepada kebajikan.

"Ia (buku itu) sudah memberi tawaran menyeluruh untuk ke arah negara berkebajikan," tambah Mahfuz.

Ahli Parlimen Kuala Selangor juga menekankan bahawa PAS sudah lama menggunakan konsep negara berkebajikan sejak era kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor yang mengetengahkan Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21 pada 2002.

"Malah, ia juga sudah dimasukkan dalam manifesto PAS pada 2008. Jadi, mengapa baru sekarang Umno mempertikaikan perkara ini dan jadikan isu," kata beliau lagi.

"Cuma PAS memberikan pengertian dan penghayatan semula kepada konsep ini," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Abdul Aziz pula berkata, pada penelitian beliau konsep kebajikan pernah dimasukkan ke dalam manifesto ketika pilihan raya umum 1978.

"Jadi, bagi saya ia bukan isu. Ini kerana ia sudah lama dibawa oleh PAS, cuma tidak diberikan penekanan.... hanya sekarang ia mendapat tempat secara terperinci," katanya ketika dihubungi.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menjelaskan konsep negara berkebajikan akan dimasukkan dalam manifesto PAS menghadapi pilihan raya umum ke-13 walaupun sudah ada dalam manifesto 2008.

Jelasnya, beliau akan menambah sedikit inti pati kandungannya seperti masalah pendapatan seisi rumah kerana harga barang meningkat.

Tambah beliau, sebenarnya negara berkebajikan sudah ada sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

"Pembangunan ekonomi dulu, lebih adil dan telus, pemimpinnya juga bersifat adil. Kini, walaupun mempunyai berjuta-juta pemimpin tetapi belum tentu mempunyai ciri-ciri ke arah negara berkebajikan," ujanya.

Mohamad menegaskan, sebenarnya Buku Jingga merupakan salah satu contoh konsep negara berkebajikan.

"Saya akan membawanya ke dalam manifesto akan datang. Jadi Pakatan Rakyat akan turut sama memperincikan negara berkebajikan ini," ulasnya lanjut.


Pelajar Lelaki Jadi Hamba Seks Jiran

Posted: 11 Jun 2011 11:31 PM PDT


Saya petik:
[HM] BUKIT MERTAJAM: Kerana tidak tahan menjadi pemuas nafsu lelaki gila seks, seorang pelajar menceritakan kejadian berkenaan kepada bapanya, Rabu lalu sebelum membuat laporan polis mengenainya.

Mangsa, pelajar lelaki berusia 15 tahun yang tinggal di sebuah flat di sini, mendakwa dipaksa melakukan seks oral oleh seorang lelaki juga jirannya setiap kali isteri lelaki berkenaan tiada di rumah.

Menurut sumber polis, mangsa mengenali lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit kira-kira sebulan lalu dan suspek dikatakan baru berpindah ke situ serta tinggal di tingkat bawah blok flat yang sama dengan pelajar berkenaan.

"Mangsa mengenali lelaki berkenaan selepas isterinya sering meminjam cakera padat digital (DVD) filem terbaru daripadanya.

"Daripada perkenalan itulah, mangsa yang tidak mengetahui lelaki terbabit mempunyai niat jahat terhadapnya pergi ke rumahnya dua minggu lalu sebelum dia dipaksa melakukan seks oral," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan ketika itu mengugut akan memukul mangsa jika dia menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa hingga membuatkan pelajar itu takut untuk mendedahkan perbuatan kejinya.
"Sejak kejadian pertama, mangsa dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh terbabit dan ia berulang dua kali lagi di rumah lelaki berkenaan.

"Lelaki itu dikatakan mengambil kesempatan memaksa mangsa melakukan perbuatan terbabit ketika isterinya tiada di rumah," katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak tahan lagi dengan perlakuan lelaki terbabit mengambil keputusan menceritakan kejadian itu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis.

Difahamkan, polis kini memburu suspek yang dikatakan menghilangkan diri apabila mengetahui mangsa membuat laporan polis.

 P/s: Aduhai!

Kepala Kena Pukul dengan Kemaluan, Pekerja Dapat Pampasan 58 juta Pound

Posted: 11 Jun 2011 09:00 PM PDT


Berdasarkan laporan The Sun, seorang pekerja stor sebuah pasar raya di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat (AS) diberikan pampasan £58 juta (RM175.1 juta) selepas ketuanya memukul kepalanya dengan menggunakan KEMALUAN di dalam bilik stor.

Pekerja berkenaan, Ashley Alford yang berusia dalam lingkungan 20-an, diberikan ganti rugi gangguan seksual terbesar di AS setelah dia dicabul oleh bekas ketuanya. Hakim sebuah mahkamah di sini memerintahkan pampasan itu dibayar oleh syarikat pasar raya Aaron.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, pampasan gangguan seksual ini adalah yang terbesar pernah diberikan kepada individu di AS," kata peguam wanita berkenaan, David Ratner.

Pengurus pasar raya Aaron, Richard Moore didakwa melakukan onani di depan Alford sambil menekan mangsa yang sedang duduk di dalam bilik stor. Moore didakwa kerap mengganggu bekas pekerjanya itu sebelum melakukan serangan seksual tersebut pada Oktober 2006.

Dia turut dituduh menyelinap di belakang Alford ketika wanita itu sedang duduk di lantai bilik stor dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan kemaluannya pada September 2006. Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pernah menelefon unit aduan pasar raya berkenaan pada Mei 2006 untuk mengadu tentang gangguan yang dilakukan oleh ketuanya tetapi tiada tindakan susulan diambil.

Mangsa kemudian membuat aduan kepada polis.

Pasar raya berkenaan yang dilaporkan bernilai £600 juta (RM1.8 bilion) dilapor akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah berkenaan.

P/s: Gila!

Kerana Mahu Pulih Masalah Rumah Tangga, Wanita Dirogol Bomoh

Posted: 11 Jun 2011 07:35 PM PDT


Saya petik:
[HM] MIRI: Malang bagi seorang wanita apabila niatnya menemui bomoh dengan harapan masalah rumah tangga dialami sejak beberapa bulan lalu berjaya dipulihkan bertukar mimpi ngeri apabila mendakwa dirogol lelaki terbabit, April lalu.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 30-an itu yang mengalami masalah rumah tangga, bertemu bomoh terbabit di sebuah perkampungan tidak jauh dari bandar raya ini dengan ditemani seorang rakan.

Difahamkan, episod hitam bermula apabila suspek berusia 50-an menjalankan upacara dengan mengarahkan mangsa mandi bunga terlebih dulu bagi membuang 'sial' dalam tubuh wanita itu sebelum membawanya ke bilik untuk rawatan seterusnya.

Menurut sumber, ketika di dalam bilik, bomoh terbabit menyuruh mangsa membayangkan dia sebagai 'suaminya' sebelum mengarahkan wanita terbabit memegang kemaluannya.

Kata sumber itu, mangsa tidak menyedari niat jahat bomoh terbabit kerana menganggap ia sebahagian rawatan yang perlu dilalui.

"Mangsa dikatakan menuruti semua arahan bomoh berkenaan sebelum lelaki itu merogolnya. Rakannya yang menunggu di luar tidak mengetahui kejadian menimpa mangsa ketika itu.


"Selepas kejadian itu, mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapapun, namun dia mula curiga terhadap 'kemujaraban' penangan bomoh terbabit sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa hanya membuat laporan petang semalam, iaitu dua bulan selepas kejadian.

P/s: Banyak sangat perempuan yang begitu mudah ditipu dengan bomoh. Kes ini bukan yang pertama dan sudah pasti bukan yang terakhir.

Wow, 1000 Nelayan "Berterima Kasih" dengan Kebajikan Kerajaan Najib!

Posted: 11 Jun 2011 07:00 PM PDT


KAH KAH KAH!!!!!


Artikel Utusan Persenda PAS dan Hukum Hudud

Posted: 11 Jun 2011 06:30 PM PDT

Artikel yang ditulis oleh Maulana Arif di atas disiarkan dalam Utusan 12/6.  Walaupun tidak menyebut nama PAS, namun artikel bertajuk "Mereka Hanyalah Pewaris Nabi Palsu" ini dilihat merujuk kepada parti itu berdasarkan isi kandungan dan isu yang dikupas dalam artikel itu. 

Saya tidak mahu mengulas panjang-panjang tulisan balaci UMCO yang mungkin berlindung dengan nama samaran. Yang jelas, artikel ini berbaur "dendam" mungkin ekoran ketegasan PAS tidak mahu berpadu dengan UMCO dan kemenangan pemimpin yang tidak mesra UMCO dalam Muktamar PAS yang lalu.

Lahanat!


P/s: Semoga Allah MELAKNATI orang yang menghina umat Islam yang berjuang demi agama-Nya dan  berjuang untuk melaksanakan hukum-Nya di bumi ini.



Mayat Remaja dengan Leher Hampir Putus Ditemukan di Apartment

Posted: 11 Jun 2011 05:10 PM PDT


Saya petik:
[HM] SERI ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dipercayai cuba melawan penyerangnya sebelum ditemui berlumuran darah dan lehernya hampir putus disyaki ditetak menggunakan parang di sebuah apartmen di Masai, di sini, petang kelmarin.

Kematian mangsa yang hanya dikenali sebagai Surendra disedari orang ramai selepas mengesyaki kejadian buruk berlaku di apartmen milik remaja berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan berhubung pembunuhan itu masih dijalankan.

Roslan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang ramai sebelum bergegas ke lokasi dan menemui mayat mangsa dalam keadaan mengerikan.

"Selain kesan tetakan pada belakang leher hingga menyebabkan kepalanya hampir putus, kami menemui kesan luka di tangan dan beberapa bahagian badan, disyaki disebabkan senjata tajam.

"Ketika diserang, mangsa dipercayai cuba menahan tetakan menyebabkan dia cedera di tangan, sebelum ditetak di tubuhnya hingga cedera parah dan meninggal dunia.

"Pemeriksaan menemui kesan pergelutan dipercayai antara mangsa dan suspek dan kami percaya kes ini dilakukan lebih daripada seorang," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu bagi memberi petunjuk menjejak suspek.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan pembunuhan kejam itu dilakukan individu dikenali mangsa yang tinggal seorang diri di apartmen berkenaan.

"Motif dan punca sebenar kejadian belum diketahui dan kita menjalankan siasatan mengikut pelbagai sudut, namun mendapati tiada barang berharga milik mangsa hilang," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi hotline Polis Johor di 07-2212999 atau balai polis berhampiran.

Kerana Cinta 3 Segi, Warga indonesia Mati Ditikam Bertubi-tubi

Posted: 11 Jun 2011 04:17 PM PDT

Saya petik:
[HM] KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam cinta tiga segi maut ditikam bertubi-tubi di Taman Melati Utama, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan kondominium, mangsa dikatakan bermain cinta dengan seorang wanita juga dari Indonesia.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat di rumah kongsi berkenaan sebelum sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian.
"Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui di dalam bilik dalam keadaan berlumuran darah.

"Sepasukan polis dari Unit Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKK) dan Unit Pengesan Anjing (D9) turut membantu siasatan di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui lapan kesan luka tikaman selain beberapa kesan kelar pada badan mangsa menggunakan senjata tajam.
Namun, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata, malah polis percaya mangsa diserang lebih daripada seorang suspek.

"Ketika polis tiba di tempat kejadian, semua pekerja melarikan diri dan semua rumah kongsi juga kosong.
"Motif pembunuhan dipercayai berkaitan perempuan berikutan penemuan pasport seorang wanita warga Indonesia dan kasut berhampiran mayat mangsa," katanya.

Zakaria berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: