Blog-list Malaysia |
- Nazri: Tayangan video seks budibicara hakim
- Bersih nafi NGO asing biaya himpunan 9 Julai
- Wardina tambah senarai selebriti sokong Pakatan Rakyat
- Tubuh boleh dipenjara - pemikiran tetap bebas
- Kos lawatan Najib, Rosmah RM17 juta
Nazri: Tayangan video seks budibicara hakim Posted: 27 Jun 2011 06:31 AM PDT Menteri Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa keputusan untuk menayangkan video seks lelaki yang didakwa menyerupai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim "adalah terserah kepada budibicara hakim". Katanya, ia adalah budi bicara majistret sama ada untuk menayangkannya atau tidak. Isu itu timbul hari ini apabila ahli parlimen veteran pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), ketika membahaskan satu rang undang-undang di Dewan Rakyat, bertanya sama ada ianya wajar bagi Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan tayangan video seks ketika orang awam sedang mengikuti prosiding di mahkamah. Minggu lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik didakwa bersubahat dengan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah kerana secara menayangkan video bahan lucah kepada sekumpulan wartawan pada 21 Mac. Ketiga-tiganya, yang dikenali sebagai trio 'Datuk T', berkata mereka menayangkan video seks itu bagi mendedahkan "kebenaran" bahawa pelaku dalam video tersebut tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin. Untuk menentukan sama ada video itu yang terkandung bahan pornografi, ia ditayangkan di mahkamah, walaupun bahagian adegan seks dipercepatkan. |
Bersih nafi NGO asing biaya himpunan 9 Julai Posted: 27 Jun 2011 06:21 AM PDT Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini kononnya perhimpunan anjuran mereka pada 9 Julai ini dibiayai oleh pertubuhan-pertubuhan Kristian luar negara. Sebaliknya kata beliau, sumber kewangan bagi membiayai Himpunan Bersih 2.0 datang daripada rakyat Malaysia di dalam dan luar negara. "Dana bagi perhimpunan datang daripada derma awam dan hasil jualan kemeja-T Bersih... saya tidak pernah mendengar kumpulan (asing) itu," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi selepas disoal siasat oleh polis berhubung Himpunan Bersih 2.0 anjuran mereka, yang turut mencetuskan perhimpunan balas yang akan diadakan oleh Perkasa dan Pemuda Umno pada tarikh yang sama. Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor juga menjanjikan sumber kewangan bagi Himpunan Bersih 2.0. Utusan Malaysia mendakwa gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian, yang berpangkalan di luar negara, dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada Bersih. Laporan itu mendakwa gerakan tersebut yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa minggu lalu dikesan aktif menyalurkan bantuan kepada Bersih melalui NGO tempatan. Kata Utusan Malaysia, antara NGO terbabit ialah Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman yang mempunyai hubungan erat dengan Parti Kesatuan Kristian Demokratik di negara itu dan Yayasan Canadian Allied dari Kanada. Kedua-dua NGO tersebut, menurut Utusan Malaysia, kini dikesan berada di carta 'tiga teratas' selaku penyumbang berbanding beberapa lagi pertubuhan asing lain, yang mewakili sembilan negara berlainan. Bagaimanapun Ambiga mengakui bahawa Bersih menerima sejumlah kecil sumbangan daripada dua organisasi Amerika Syarikat iaitu National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) bagi projek-projek lain, yang tiada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan. NDI menggambarkan pihaknya sebuah pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan dan berkecuali, yang bekerja untuk menyokong dan memperkukuhkan institusi demokratik di seluruh dunia menerusi penyertaan rakyat, keterbukaan dan akauntabiliti dalam kerajaan. Dalam pada itu, seorang ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah menjelaskan bahawa dana bagi NDI dan OSI adalah khusus untuk kerja-kerja pemantau pilihan raya berkaitan projek persempadanan bahagian pilihan raya. "Ia tidak kaitan dengan perarakan. Dana datang daripada sumbangan awam. Kebanyakan adalah dari rakyat Malaysia di luar negara. Ramai yang memberi sumbangan tanpa memaklumkan identiti mereka ke dalam akaun bank kami," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi. Menurut Chin Abdullah, dana Himpunan Bersih 2.0 setakat ini telah mencecah RM30,000 tetapi menambah kumpulan itu perlu menambah angka itu bagi membayar kos kempennya, termasuk program jelajah di seluruh negara dan setiap kemeja-T berharga RM15. Katanya, kerajaan negeri Selangor hanya membuat janji lisan dan setakat ini belum menerima sebarang duit daripada mereka. |
Wardina tambah senarai selebriti sokong Pakatan Rakyat Posted: 27 Jun 2011 03:46 AM PDT Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot, pengacara terkenal di TV3 menambahkan lagi senarai selebriti yang menyertai atau menunjukkan sokongan terbuka kepada parti-parti Pakatan Rakyat. Selepas Bob Lokman, Wardina yang mula popular selepas kemunculan dalam rancangan sitkom Spanar Jaya akan menjadi satu lagi wajah popular yang bakal memeriahkan dunia politik Malaysia. Parti-parti pembangkang dan Barisan Nasional kini dilihat berlumba-lumba untuk menarik selebriti menyertai parti mereka secara terbuka untuk membina imej popular dan menarik pengundi. Beberapa tahun lalu, peserta rancangan realiti, Mawi menjadi rebutan Umno dan PAS untuk ditonjolkan sebagai penyokong parti terbabit. Perkembangan melibatkan Wardina ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sedia diketahui mempunyai pandangan-pandangan politik yang jelas dan mempunyai hubungan rapat dengan individu-individu dari PKR. Wardina telah disebut-sebut bakal menyertai parti pembangkang secara terbuka bersama beberapa orang lagi selebriti, termasuk bekas peserta program realiti. Wardina telah menunjukkan kecenderungan politiknya melalui mesej-mesej di Facebook dan Twitter sekurang-kurangnya sejak beberapa bulan lalu, walaupun mengacarai sebuah rancangan popular di stesen televisyen paling pro-Umno, TV3. Beberapa bulan lalu, ekoran satu balasan mesej Twitter kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau dispekulasi akan bertanding di kerusi Lembah Pantai menentang menteri wanita itu. Wardina baru-baru ini muncul dalam program kerajaan negeri Selangor, yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai program mempromosi perhimpunan Bersih kedua 9 Julai nanti. Beberapa blog pro-Umno telah mula menerbitkan tulisan-tulisan berbentuk serangan peribadi terhadap beliau melibatkan gaya hidupnya sebelum bertudung dan pada masa sama menggesa Media Prima mengambil tindakan terhadap pengacara itu. Bob turut menerima nasib yang sama apabila beberapa kenyataannya dilihat sebagai penghinaan kepada dunia hiburan tempatan dan dikecam di ruangan seni akhbar tempatan, terutama halaman hiburan Mingguan Malaysia. Sesetengah blog pro-Umno ketika Bob baru menyertai PAS secara terbuka cuba membalas dengan memperbesarkan laporan pelakon dan pengacara AC Mizal bersama Umno. AC walau bagaimanapun berdepan imej agak negatif berhubung beberapa isu termasuk perniagaannya. Perkembangan ini bakal menyumbang imej lebih positif kepada pembangkang ekoran populariti selebriti terbabit yang rata-rata dilihat mempunyai imej yang baik. |
Tubuh boleh dipenjara - pemikiran tetap bebas Posted: 27 Jun 2011 03:12 AM PDT Saya sudah kurang keyakinan yang UMNO akan kembali seperti sediakala. Di dalam isu Bersih dan rally nya, saya bertambah kurang yakin yang UMNO mampu untuk menahan kemaraan bangkangan dari rakyat ramai. UMNO hanya mampu untuk berkumpul sesama penyokongnya dan berucap berapi-api dikalangan mereka sendiri. Retorik dan ucapan berapi-api oleh Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid dan lebih-lebih lagi dari Hishamudin hanya memberikan keyakinan kepada penyokong-penyokong yang sedia ada sahaja. Orang ramai menerima teguran dan ucapan pemimpin kita ibarat angin lalu sahaja….masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dalam isu Bersih yang dipersoalkan secara keterlaluan oleh pihak yang berkuasa bukan sahaja tidak dapat menambah keyakinan rakyat tetapi yang jelas pihak yng duduk di atas pagar lebih mirip dan cenderung untuk memberikan sokongan kepada Bersih. Menyokong perjuangan Bersih bukan salah dari segi undang-undang dan moral serta politiknya. Bersih adalah badan NGO yang memperjuangkan pengendalian pilihanraya dengan bersih dan adil dan Bersih tidak mewakili mana-mana parti politik. Bersih juga meminta UMNO menyokong mereka untuk mempastikan pelaksanaan pilihanraya itu berjalan dengan baik dan UMNO juga akan mendapat kebaikan jika pilihanraya berjalan secara adil. Tetapi oleh kerana parti-parti pembangkang selama ini menjadi mangsa permainan kotor di dalam pilihanraya maka mereka tentulah secara natural menyokong tindakan Bersih atau mana-mana pertubuhan yang mahu berjuang untuk keadilan dan kesaksamaan di dalam mana-mana pilihanraya. Untuk bersuara bukan hanya hak kita orang UMNO, tetapi juga hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan serta agama. Media masa perdana yang hampir dengan rakyat bukan hanya untuk kita dari UMNO untuk menggunakan salurannya tetapi juga untuk pemimpin-pemimpin dan ahli pembangkang yang bersama-sama membayar cukai kepada kerajaan. Kenapa cukai mesti dibayar oleh semua termasuk parti-parti pembangkang tetapi kemudahan yang dihasilkan dari cukai rakyat ini tidak boleh digunakan oleh pihak lain dari parti yang memerintah? Inilah salah satu dari kemahuan dan perjuangan Bersih dan perjuangan Bersih ini bukannya perjuangan yang baru bagi negara-negara maju. Kenapa kita bercita-cita untuk menjadi negara maju tetapi kita tidak mahu menerima 'attribute' negara maju? Bagi saya Bersih sedang melakukan satu transformasi yang asas untuk sebuah negara yang mengaku sebagai negara yang demokratik. Kalau saya diturunkan sebagai calun BN (walaupun mustahil) saya mahukan rakyat menyokong saya secara 'legitimate" dan memenanginya secara 'legitimate' juga. Saya tidak rela untuk memenangi pilihanraya secara kotor sebab naluri saya akan merasa sengsara kerana saya memenangi pilihanraya secara tidak sihat. Saya sendiri tahu yang kemenangan saya itu bukan oleh kerana sokongan natural pengundi tetapi oleh permainan politik yang tidak betul mengikut tata-cara demokrasi salah yang kita amalkan. Inilah sebenarnya masalah yang kita hadapi sekarang ini. Ramai di antara pemimpin kita tahu yang mereka berada di tempat mereka secara 'illegitimate'. Jika mereka sekarang merasakan yang mereka berada di atas itu secara 'legitimate' tidak mungkin mereka merasakan ketakutan dan mempunyai jiwa yang fakir. Apa sahaja yang pihak lain lakukan kita akan menuduh mereka dipergunakan oleh pihak pembangkang. Apabila kita dalam UMNO mempunyai sikap dan perangai ini kesabaran rakyat tidak akan kekal. Sebagaimana yang saya katakan di dalam posting yang lepas perasaan manusia, lebih-lebih lagi manusia yang berfikir kita tidak boleh menambat perasaan mereka seperti kita menambat kerbau di sawah. Sedangkan haiwan seperti kerbau pun ada kalanya mereka tidak mahu mengikut kehendak kita masakan manusia yang mempunyai akal fikiran boleh ditambat dan di tambangkan (diikat) dimana-mana yang kita suka? Oleh itu di dalam isu Bersih dan rally nya sekarang ini jelas kita nampak yang rakyat sudah ramai yang mengalihkan sokongan kepada pihak lain secara senyap-senyap. Mereka mengambil sikap berdiam diri seperti yang kita kehendaki, tetapi mereka tetap mempunyai pendirian sendiri…iaitu memilih pihak yang mempunyai sifat 'confident' dan mendekati rakyat sentiasa. Mendekati rakyat bukannya dengan melakukan 'walkabout' di mana-mana tetapi mereka mahukan dasar dan sikap adil itu yang mendekati mereka. Perjuangan UMNO bukan untuk melakukan 'walkabout' tetapi perjuangan di mana dasarnya yang sentiasa 'walkabout' dengan mereka. Malahan ada yang berkata menyertai 'walkabout' pemimpin kita hanya membazir masa mereka dan hanya menghabiskan karipap (semasa refreshment) sahaja. Habis sahaja 'walkabout' keadaan kembali seperti sediakala. Dulu semasa Dr Mahathir pemimpin mendekati rakyat dengan Semarak nya. Sekarang dengan Juara Rakyatnya. Semuanya tidak membuahkan apa-apa. Rakyat tetap tidak berpuas hati kerana mereka mahukan keadilan dan perlaksanaan demokrasi yang baik. Yang terbaru pula ialah 'walkabout' pemimpin-pemimpin. Jika Semarak dan Juara Rakyat tidak membawa hasil apa-apa 'walkabout' juga pastinya akan menghasilkan perkara yang sama. Yang rakyat dapat hanyalah bersalaman dengan pemimpin. Itu sahaja dan masih tiada apa-apa hasilnya. Rakyat memerhati dengan dekat apa yang pemimpin lakukan. Dalam isu Bersih ini pemimpin-pemimpin kita hanya berjaya menyakinkan rakyat yang mereka dalam ketakutan. Dari psikologinya jika pemimpin menunjukan ketakutan rakyat akan hilang keyakinan. Itu adalah 'consequence' yang natural dan semula jadi. Perhimpunan Bersih pada 2007 dahulu telah terbukti membantu PR memenangi banyak kerusi dan menyebabkan BN tersungkur di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan. Sekarang ini dengan kempen yang bertalu-talu membidas pembangkang melalui media perdana membuatkan orang ramai sudah mempunyai persepsi negatif terhadap media perdana sebagai alat propaganda pihak kita untuk mendapatkan sokongan ramai. Yang akan menerima nasib buruknya ialah pihak kita sendiri. Apa sahaja yang dikatakan oleh media perdana tidak akan membantu kita lagi kerana anggapan orang ramai ianya semata-mata tindakan politik. Jika kita mengatakan tindakan Bersih sebagai 'politically motivated' pihak lawan juga akan menuduh kita yang media perdana yang melakukan pukulan terbuka terhadap pihak lawan itu juga bermotifkan politik. Contohnya media perdana membawa isu seorang dua rakyat yang miskin di Kedah dan menuduh kerajaan PAS Kedah tidak melakukan sesuatu untuk meringankan kesusahan yang dihadap oleh simiskin itu. Persoalan ramai sekarang adakah mereka ini miskin sejak PAS memerintah? Bukankah orang yang dikatakan miskin memang miskin sejak puluhan tahun dahulu dan semasa BN memerintah negeri itu. Kedah juga dikatakan miskin dibawah pemerintahan PAS tetapi negeri itu memang pun sebuah negeri yang miskin sejak BN memerintah berdekad-dekad yang lalu. Pendeknya kitalah yang paling lazim berbuat sesuatu dengan bermotifkan politik. Apabila pihak lain hendak melakukan sesuatu yang disambut ramai pemimpin kita pula yang bertalu-talu menuduh perlakuan pihak lain itu yang bermotifkan politik. Oleh kerana motif itu menjadi lazim kepada kita, maka apa jua yang dilakukan oleh pihak lain itu sama seperti motif yang kita lakukan. Kita tidak boleh menuduh pihak lain mencuri semata-mata pihak kita selalu mencuri. Kita juga tidak boleh menuduh orang lain berbohong semata-mata kita selalu berbohong. Kita tidak wajar menganggap orang lain rasuah semata-mata rasuah itu sudah menjadi budaya kepada cara hidup kita. Saya dikritik dengan hebat oleh setengah pihak sambil menuduh yang saya menggalakan orang ramai menyertai Bersih. Apa yang saya lakukan tidak lebih dari tujuan mengelakan rakyat dari memusuhi pihak kita terutamanya di luar-luar bandar di mana kita masih berkubu. Pihak kita telah memberikan 'estimate' yang begitu rendah terhadap mereka yang menentang kita dari isu Bersih ini. Kita hanya disokong oleh penyokong fanatik semata-mata tetapi pihak pembangkang telah berjaya menjinakan pemikiran mereka yang di atas pagar yang kebanyakannya adalah dari mereka yang masih muda dan akan mengundi buat kali pertama. Pemimpin kita masih terlekat kepada keyakinan yang kita boleh melakukan apa-apa yang berbentuk membendung kegiatan fisikal mereka tetapi tidak berusaha sepenuhnya untuk membendung pemikiran mereka untuk memihak atau mengekalkan sokongan mereka terhadap kita. Kita masih sombong dan masih cenderung untuk menggunakan otot kita yang tidak seberapa kuat lagi itu untuk memaksa rakyat berfikir secara kita. Bagi saya saya hanya melakukan apa yang baik untuk pihak kita. pandangan saya tidak semestinya betul tetapi yang penting bagi saya, ialah untuk membuktikan kepada yang mengkritik saya dengan kuat itu supaya bersedia untuk melihat apa yang saya telah ini….kita akan menghadapi jalan sukar di hadapan. Kalau dahulu kita boleh mengawal rakyat seperti mengawal lembu sekandang, zaman itu sudah berlalu. Yang penting kita wajar memulakan usaha untuk mengawal pandangan dan pemikiran rakyat dengan memperkayakan jiwa pemimpin dan mengelak dari memaparkan jiwa yang terlalu fakir untuk mentadbir rakyat yang kian berkembang pemikiran mereka. Pergerakan mereka mungkin boleh dilokap, tetapi apa yang ada di dalam naluri mereka tidak mungkin mampu di lokap oleh Hishamudin atau sesiapa. Aspan Alias |
Kos lawatan Najib, Rosmah RM17 juta Posted: 27 Jun 2011 02:25 AM PDT Perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari 2008 hingga 2011 berjumlah RM17,118,650.58. Perkara itu dimaklumkan kerajaan dalam jawapan bertulis terhadap soalan Tian Chua (PKR-Batu). Tian Chua dalam soalannya menanyakan Perdana Menteri berapakah jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri serta Timbalan Perdana Menteri dan isteri mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari tahun 2008 hingga 2011. Beliau juga mahu Dewan Rakyat diberitahu berapakah jumlah perbelanjaan mengurus kepada isteri perdana menteri bagi tempoh sama. Dalam jawapannya, Najib dan Rosmah membelanjakan RM1,739,332.85 pada tahun 2008, RM4,811,837.48 (2009), RM5,140,307.99 (2010) dan RM5,427,172.26 untuk tempoh sehingga Jun 2011. Tiada perbelanjaan khusus untuk isteri PM. Bagi peruntukan khas kepada Rosmah pula, Jabatan Perdana Menteri tidak menyediakan peruntukan khas bagi perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan hanya diberi terhadap perkara yang melibatkan Pejabat Perdana Menteri sahaja. Dalam pada itu, bagi lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri pula, kerajaan telah membelanjakan RM8,020,328.07 untuk tempoh sama. Sebelum ini, Pakatan Rakyat mempersoal belanja yang ditanggung kerajaan terhadap lawatan Rosmah ke Turki atas kapasitinya sebagai First Lady Of Malaysia (Flom). Ia termasuk lawatan Rosmah ke Turki selama tiga hari dengan ditemani isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Bagaimanapun pada 14 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan bahawa tiada peruntukan khusus oleh kerajaan kepada aktiviti First Lady. Sebelum ini juga, Dewan Rakyat turut dimaklumkan kos keseluruhan lawatan rasmi isteri Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76. Malah, Rosmah didakwa turut berbelanja hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah, Atlantis di Dubai hanya untuk satu malam. - Harakah Daily |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan