Ahad, 26 Jun 2011

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Ramai abai iktibar Israk Mikraj

Posted: 26 Jun 2011 12:11 AM PDT

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

JIKA disingkap sejarah awal mengenai berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian dari situ Nabi s.a.w. diangkat oleh Allah sebagai satu jemputan khas daripada-Nya dengan menggunakan kenderaan bernama 'Buraq' menuju Sidratulmuntaha bagi menerima kefarduan solat fardu lima waktu, sebenarnya menggemparkan banyak pihak.

Walaupun ia adalah peristiwa benar yang disebut oleh Allah dalam al-Quran, cara pelaksanaan itu menyebabkan golongan yang lemah imannya semakin goyang dan goyah untuk mempercayainya. Justeru berlakulah fenomena ramai di kalangan orang-orang Makkah pada zaman awal kecundang akidah mereka untuk mempertahankannya daripada terus percaya apa yang disampaikan oleh baginda.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. dipertontonkan Allah segala apa yang patut ditonton ketika menemui-Nya di langit yang teratas sekali. Ia bertujuan untuk memantapkan lagi keimanan yang sedia ada pada Nabi, di samping menjadi modal untuk diceritakan kepada mereka yang terus beriman atau menjadikan mereka yang longgar ikatan dengan akidah Islam mempertikai penjelasan baginda.

Seusai semalaman Nabi di langit teratas itu, baginda pada keesokan harinya menemui orang-orang Makkah, sama ada yang Islam atau bukan Islam, untuk menceritakan pengalamannya bermusafir ke Masjidil Aqsa hanya berlaku pada satu malam, dengan harapan pengalaman baginda dengan segala modal tontonan yang disaksikan itu dapat menarik mereka untuk terus bersama Islam dalam apa jua keadaan.

Namun andaian baginda meleset. Penjelasan baginda bukan sahaja tidak diterima, malah dikecam hebat oleh mereka yang dengar ucapan baginda itu, kerana bagi mereka adalah mustahil seseorang itu mampu sampai ke Masjidil Aqsa dari Masjidil Haram dalam satu malam, sedangkan menurut pengalaman mereka ia perlu sampai dalam tempoh satu bulan sekurang-kurangnya.

Mereka lupa, bahawa tidak ada yang mustahil bagi Allah, peristiwa Israk Mikraj adalah sekelumit sahaja daripada tanda-tanda kebesaran ciptaan Allah, sedangkan Adam a.s. dahulu pun dijadikan Allah daripada tiada, inikan pula yang sudah tersedia ada cuma diolah dalam suasana yang berkaitan dengan akidah Islam.

Mereka tetap tidak dapat menerima, walaupun baginda diminta untuk melakarkan kedudukan Masjidil Aqsa dan baginda berbuat demikian untuk membuktikan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku.

Maka terdapat desas-desus yang menyebut bahawa Nabi ke sana hanya dengan roh sahaja, tidak dengan jasad, sedangkan al-Quran membuktikan bahawa perjalanan Nabi pada malam Israk dan Mikraj beserta roh dan jasad sebagai bukti tanda kehebatan Allah memperjalankannya.

Ringkasnya, ramai di kalangan orang-orang Makkah dengan sebab peristiwa Israk dan Mikraj menjadikan mereka murtad, yang tidak Islam pula semakin jauh daripada Islam, kerana merasa curiga terhadap pengkisahan yang dikhabarkan oleh baginda s.a.w. Apa pun dalam keadaan haru ciptaan mereka, tampil Abu Bakar dan beliau ditanya mengenai kepercayaannya terhadap apa yang disampaikan baginda, lantas beliau menjawab: "Lebih daripada itu pun aku percaya." Nabi tidak menunggu lama untuk menggelarkan Abu Bakar sebagai as-Siddiq yang bermaksud – orang yang benar-benar percaya.

Tidak percaya Israk dan Mikraj?

Allah berfirman menerusi ayat 5–11 surah al-Lail (surah ke-92) yang bermaksud: "Adapun orang yang memberikan (segala hartanya untuk di jalan Allah iaitu Abu Bakar) dan membenarkan perkara yang baik iaitu pahala, Israk Mikraj, janji-janji Allah dan sebagainya, maka kelak nanti (di akhirat) Kami akan menyediakan jalan mudah baginya (ke syurga). Dan adapun orang yang bakhil dan merasakan dirinya sudah cukup serta mendustakan perkara baik, maka kelak Kami akan sediakan jalan yang sukar baginya (ke syurga). Dan hartanya yang banyak itu sama sekali tidak akan bermanfaat untuknya apabila berlakunya kebinasaan (pada hari kiamat)."

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Sayidina Abu Bakar yang mendapat gelaran as-Siddiq kerana membenarkan peristiwa Israk Mikraj adalah seorang manusia yang beroleh keuntungan yang besar pada hari kiamat, kerana sikapnya yang membenarkan itu membawa tuah untuknya dengan mendapat jalan mudah ke syurga Allah SWT.

Tetapi persoalannya sekarang, bagaimana dengan manusia yang hidup pada hari ini yang mengecapi banyak nikmat Allah hingga ada yang memperolehi pendapatan luar biasa hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, tidak kurang yang mendapat nikmat-nikmat yang lain pemberian daripada Allah SWT, namun ramai juga yang masih menentang perintah Allah SWT termasuk untuk tidak mempercayai berlakunya Israk dan Mikraj.

Kalau pada zaman Nabi s.a.w. mereka yang tidak mempercayai dengan mengatakannya melalui lidah-lidah mereka secara terbuka dan berterus terang, namun penolakan manusia pada hari ini melalui tindakan atau bahasa badan (body language). Ini kerana segan untuk berterus terang nanti dikatakan pula oleh orang ramai sebagai musuh agama.

Apa yang boleh kita saksikan secara 'live' penolakan manusia hari ini terhadap isi kandungan Israk Mikraj, antara lain:

1. Menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan umat Islam hari ini, sedangkan dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda mengetuai solat dua rakaat yang dimakmumkan oleh golongan para anbiya sebelum berangkat menuju Sidratulmuntaha, ia merupakan satu pengiktirafan Allah SWT Yang Maha Berkuasa.

2. Kedegilan ramai wanita Islam yang masih tidak mahu memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya termasuk seluruh anggota badan, sedangkan baginda telah dipertontonkan ramai golongan wanita yang akan menjadi penghuni neraka bersama suami atau ayah yang dayus. Penafian untuk memakai tudung kepala bagi wanita Islam mencakupi seluruhnya termasuk isteri-isteri pemimpin yang masih tidak mahu memakainya. Dan banyak lagi isu yang dikhabarkan oleh baginda dalam persoalan ini berkaitan dengan wanita.

3. Masih juga terdapat di kalangan orang-orang Islam yang meninggalkan solat fardu lima waktu dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, sedangkan Nabi bersama para sahabat tetap melaksanakannya walau dalam keadaan perang sekalipun. Tetapi manusia hari ini lalai untuk melakukannya kerana sibuk berhibur, menonton pertandingan bola sepak atau sukan-sukan kegemaran, mesyuarat, berniaga, berkarier dan sebagainya. Tidakkah semua itu menunjukkan bahawa mereka tidak percaya kepada Israk dan Mikraj baginda, kerana semuanya itu berlaku pada malam yang penuh dengan pengajaran dan pendidikan rohani. Sama-samalah kita perhatikan untuk keselamatan dunia dan akhirat kita selagi belum terlambat.

Tiada ulasan: