Isnin, 13 Jun 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Blogger Pro-UMNO, Tak Menyalak Tak Makan?

Posted: 13 Jun 2011 05:20 AM PDT



Biarpun teguran dari Zahid Hamidi kepada blogger Pro-UMNO yang mengatakan bahawa unit media baru UMNO telah gagal menjalankan "tanggungjawab" mereka dalam berhadapan dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh unit media baru pembangkang telah menimbulkan rasa tidak puas hati terhadapnya oleh Blogger Pro-UMNO.. bagi aku Zahid menunjukkan kepada kita beliau mengakui akan pentingnya peranan yang dimainkan oleh para Blogger baik dari UMNO mahupun Pakatan Rakyat..


Zahid sedar bahawa keujudan para Blogger itu penting dan sikapnya tidak seperti seorang pemimpin Pakatan Raykat yang telah memperkecilkan kemampuan media baru yang dikendalikan oleh penyokong Pakatan Rakyat..

Pemimpin tersebut pernah berkata " Alaaa… sorang blogger saja…" bila masaalah yang melanda seorang blogger Pro-PR dikemukakan kepadanya..

Oleh kerana kesemua bloger Pro-PR tidak dijemput untuk berjuang tetapi menawarkan diri untuk berjuang.. perjuangan tetap diteruskan..

Berbalik pada kisah kritikan Zahid itu..Blogger Pro-UMNO dalam menzahirkan rasa tidak puashati mereka terhadap kenyataan Zahid, ada antara mereka telah secara tidak sengaja mendedahkan bahawa mereka memang dibayar untuk menghadapi Blogger Pro-PR..

Di dalam UMNO hanya yang menyalak mendapat habuan

Umno perlu mewujudkan "unit tempur siber" yang lebih bersistematik dan mantap bagi menghadapi pembangkang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, unit tempur siber UMNO gagal dan tidak sistematik menangani isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam alam siber.

Kebiasaan amalan di dalam UMNO semua kerja mesti dibayar tidak ada lagi perjuangan yang ikhlas tanpa habuan. Ada duit semua jadi.

Begitu juga amalan di dalam UMNO mereka yang betul-betul ikhlas buat kerja tanpa habuan tidak pernah dikenang dan diganjarkan.

Mereka-mereka ini seringkali menjadi mangsa makanan jerung besar yang hanya mengambil kesempatan seperti memerah tebu sampai tinggal hampas akhirnya habuk pun taraaaaak.

Ganjaran diberi kepada amereka yang pandai menyalak dan 'demand' yang bukan-bukan tetapi hasil kerja hanya ciput.

UMNO harus melihat betul-betul mereka yang 'deliver' supaya mereka ini kelak tidak disambar pembangkang.

Posted by MUMMY ROKIAH

http://mummyrokiah.blogspot.com/

Bukan RM100Juta tapi RM97,800 saja dihabiskan sehari..

Posted: 13 Jun 2011 04:05 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) hanya membelanjakan RM97,800 untuk sambutan Hari Seniman 2011 pada 29 Mei lepas, kata Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara Majlis Sepetang Bersama Seniman Modzaki Din, hari ini.

Beliau menjelaskan laporan media yang mengatakan bahawa perbelanjaan RM100 juta digunakan bagi sambutan itu merupakan salah faham.

"Ini kerana jumlah RM100 juta itu sebenarnya merujuk kepada wang yang telah disalurkan sehingga kini kepada para penggiat seni di bawah Dana Industri Kreatif," katanya kepada Bernama hari ini.


Di bawah Bajet 2011 kerajaan memperuntukkan RM200 juta di bawah Dana Industri Kreatif dalam usaha membantu menyemarakkan lagi industri kreatif negara.

Pada program Sepetang Bersama Seniman sempena sambutan Hari Seniman 2011 di Kompleks Kraf di sini pada 29 Mei lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menegur pengamal dan penggiat seni yang tidak menghargai usaha kerajaan mengiktiraf penglibatan mereka melalui sambutan Hari Seniman yang diadakan itu.

Modzaki berkata pihak kementerian telah membantu pembangunan para penggiat seni melalui pinjaman dana industri kreatif yang diuruskan bersama oleh kementerian dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain itu, katanya terdapat dana geran pembangunan industri kreatif yang diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di samping bantuan kebudayaan yang diberi kepada badan bukan kerajaan yang bergiat dalam bidang seni, budaya dan warisan yang lain.

- Bernama

Harga Ikan Naik 30%.. bukan salah Kerajaan?

Posted: 13 Jun 2011 03:39 AM PDT



Dakwa Nga Kor Ming.. Harga ikan dan makanan laut naik kira-kira 30 peratus sejak nelayan laut dalam dan pengusaha bot pukat tunda C2 mogok dua hari lalu.

Salah siapa sekarang? Nelayan yang melancarkan mogok atau Kerajaan UMNO/BN yang menghapuskan subsidi diesel buat mereka tetapi dalam masa yang sama mengekalkan Subsidi buat IPP yang dikuasai oleh kroni mereka..


30 peratus kenaikkan itu adalah 30 Peratus yang selama datangnya dari subsidi diesel buat mereka.. setelah subsidi diesel dimansuhkan mereka terpaksa membayar RM1.80 bagi satu liter diesel berbanding RM1.40 sebelum ini..


Nelayan mogok: Harga ikan didakwa naik 30 peratus

Harga ikan dan makanan laut naik kira-kira 30 peratus sejak nelayan laut dalam dan pengusaha bot pukat tunda C2 mogok dua hari lalu, dakwa ahli parlimen DAP Nga Kor Ming, yang juga membidas kerajaan kerana gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Nga (DAP-Taiping) berkata kerajaan sepatutnya membantu pihak yang terjejas itu dan bukannya mengeluarkan amaran dan ancaman terhadap mereka yang mogok itu.

Kira-kira 500 nelayan dan pengusaha bot tunda engan turun ke laut dan berkumpul di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuantan bagi menuntut kerajaan mengembalikan sunsidi super yang dinikmati mereka sebelum ini.

Nga tidak ada sebab bagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengugut untuk menarik balik lesen nelayan di zon A, B dan C berkenaan.

"Pendirian Pakatan adalah jumpa dan bincang segera dengan nelayan kelas C2 berhubung mogok itu," kata Nga.

"Sejak mogok bermula, terdapat pengurangan kira-kira 30 peratus bekalan ikan dan tambahan 30 peartus harga ikan," dakwanya.

Pemegang lesen C2 adalah mereka yang dibenarkan menangkap ikan di kawasan 30 batu nautika dari pantai manakala bagi pemegang lesen B dan C merupakan nelayan yang hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan 20 batu nautika dari pantai.

Hanya pengusaha bot pukat tunda terbabit dengan keputusan pemotongan subsidi.

Kerajaan telah memansuhkan pemberian diesel subsidi super kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin berkuatkuasa 1 Jun lalu.


Malaysiakini

Pilihanraya Masjid : Taklimat akan diberikan oleh PAS

Posted: 12 Jun 2011 11:32 PM PDT

PERMATANG PAUH, 13 Jun: PAS Pulau Pinang akan membantu kerajaan negeri memastikan taklimat yang tepat dan betul kepada akar umbi mengikut semangat yang ada dalam Tatacara Pemilihan Qariah sebelum tarikh pemilihan pada 18 Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusof Rawa pada sidang media khas berhubung perkara itu berkata, PAS sedaya upaya menggerakkan aktiviti penerangan itu kepada 200 masjid yang ada di Pulau Pinang supaya anak qariah lebih memahami kaedah baru yang menjurus kepada matlamat menyelamatkan institusi masjid daripada kongkongan politik pihak tertentu.


"PAS Pulau Pinang kesal terhadap Umno yang secara tidak bertanggungjawab menimbulkan berbagai provokasi dan sekaligus menggugat proses kerajaan negeri untuk menyatukan umat Islam melalui pemilihan jawatankuasa masjid yang lebih telus. Kami akan membantu memberikan taklimat ke akar umbi supaya umat Islam tidak keliru dengan dakyah jahat," jelasnya.

Katanya, bagi menghilangkan pengaruh politik kepartian, maka Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengikuti pendekatan yang dipakai sebelumnya kerana ia tidak telus, banyak masjid tidak mengadakan mesyuarat agung, tiada laporan aktiviti, kunci kira-kira dan tiada notis pemberitahuan kepada anak qariah tentang pemilihan jawatankuasa qariah baru.

Akibatnya, kata beliau masjid menjadi lesu dan tidak bermaya maka Kerajaan Pakatan Rakyat berhasrat melibatkan ahli qariah dalam menentukan perjalanan dan pengurusan masjid di Pulau Pinang.

Beliau berkata, ia dibuat dengan telus apabila notis dibuat awal dan pengisytiharan calon untuk jawatan pengerusi sehingga pemeriksa kira-kira seramai 15 orang.

Walaupun baru mendapat peluang menentukan jawatankuasa qariah, Kerajaan Pakatan Rakyat cuba untuk membuat perubaan sedikit demi sedikit untuk mengimbangi keperluan mengikut peruntukan Jawatankuasa Qariah dan Pegawai Masjid Negeri pindaan 2003.

"Kenapa Umno cuba kaitkan perkara yang tidak releven seperti mengatakan DAP campurtangan terhadap pemilihan Jawatankuasa sedangkan ia mengikut saluran betul mengikut kaedah Jawatankuasa qariah dan Pegawai Masjid Masjid Negeri Pindaan 2003.

"Lagipun semuanya melalui peruntukan yang ada dalam enakmen pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Seksyen 104 (10)(b), " katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.


Harakahdaily

Demi Rakyat : Pulangkan Subsidi Kami!

Posted: 12 Jun 2011 09:25 PM PDT

Suatu masa lalu ketika Kempen PRK Bagan Pinang sedang hangat, untuk menunjukkan prihatinnya terhadap nasib para nelayan seorang pemimpin UMNO/BN telah bersama-sama turun kelaut dengan nelayan tempatan.

Kononnya bagi membuktikan UMNO/BN tidak melupakan susah payah para nelayan serta pengusaha tempatan yang bersama-sama berjuang memertabatkan agama, bangsa serta negara.

Kini segalanya telah berlalu dan Calon yang pernah disabitkan atas kesalahan mengamal politik wang telah dipilih.. berita dibawah memberikan gambaran sebenar tentang sikap Pemimpin UMNO/BN..






Bertindak bagi menghadapi ancaman mogok para nelayan laut dalam yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap penghapusan diesel super subsidi kepada mereka Kerajaan UMNO/BN mengarahkan permit import (AP) bagi ikan dari Negara jiran ditambah kepada 2,000 pemegang lesen import sedia ada..

Bagaimana agaknya seterusnya nasib mereka ini?

Sudahlah sekarang hidup mereka perit kerana terpaksa membayar RM1.80 seliter berbanding RM1.40 seliter harga subsidi… kini mereka juga terpaksa menghadapi saingan dari Nelayan Negara jiran pula…

Dan Pembangkang pula dituduh menjadi dalang kepada mogok yang dirancangkan oleh para nelayan itu.. sedangkan sudah menjadi rahsia umum selain dari peneroka, kebanyakkan nelayan sendiri adalah penyokong tegar UMNO






Kerajaan tidak tunduk desakan nelayan laut dalam

TANJONG KARANG 12 Jun - Kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan kumpulan nelayan laut dalam yang mengancam mengadakan mogok sekiranya kerajaan terus mengekalkan keputusan mengurangkan subsidi diesel kepada golongan tersebut.

Dua kementerian berkaitan industri tersebut akan mempertahankan keputusan berkenaan seperti dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka berpendapat langkah itu terpaksa dilakukan demi kepentingan negara, ekoran banyak berlaku transaksi penjualan bahan api bersubsidi itu cara haram di tengah laut.

Noh menegaskan, kementeriannya sudah mempunyai pelan alternatif iaitu mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membawa masuk ikan import tambahan sebanyak 110 tan metrik sebulan bagi menampung keperluan pengguna, sekiranya nelayan laut dalam mengadakan mogok.

"Sekarang pun bila mereka ancam mahu mogok harga ikan mengalami kenaikan, jadi sebab itu kita akan membawa masuk ikan import tambahan dari negara jiran, tetapi dalam masa sama kita tetap menjaga kepentingan nelayan tempatan.

"Kita sudah arahkan permit import (AP) ditambah kepada 2,000 pemegang lesen import sedia ada," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ismail Sabri selaku Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Akhbar hari ini melaporkan kira-kira 700 nelayan dan pengusaha bot melancarkan tunjuk perasaan di Perlis, Pahang dan Johor semalam kerana membantah kenaikan harga diesel untuk bot nelayan laut dalam berkuat kuasa bulan ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang khuatir ancaman mogok itu didalangi oleh parti pembangkang kerana jumlah nelayan laut dalam yang terlibat hanya sekitar 1,019 pemegang lesen iaitu mereka yang terlibat di kawasan penangkapan C2.

Katanya, lebih 40,000 nelayan pantai yang rata-ratanya miskin adalah golongan yang lebih layak dibantu, berbanding nelayan laut dalam yang hampir 70 peratus tekong dan awak-awaknya terdiri daripada rakyat asing yang menggunakan lesen tempatan.

"Pengurangan subsidi tidak melibatkan nelayan-nelayan di zon penangkapan A, B dan C, sebaliknya hanya zon C2 iaitu laut dalam. Mereka sebenarnya telah banyak mendapat bantuan daripada kerajaan termasuk insentif tangkapan dan pembinaan jeti bernilai RM100 juta," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci isu berkenaan di Dewan Rakyat pada Selasa ini dengan lebih enam ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan soalan mengenai pengurangan subsidi diesel nelayan laut dalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menganggap pemberian subsidi kepada nelayan laut dalam adalah menyalahi konsep sebenar iaitu membantu nelayan yang susah sedangkan penangkapan ikan di laut dalam sudah dianggap sebagai satu industri.

"Namun, kerajaan masih lagi bertimbang rasa apabila tidak menarik terus subsidi tetapi hanya mengurangkannya iaitu kepada harga RM1.80 seliter. Mereka masih mendapat subsidi sebanyak RM1 seliter, sepatutnya kita tarik terus kerana ia adalah industri.

"Jadi, kita tidak peduli ancaman (mogok). Jangan cuba ancam dan ugut kerajaan, kita akan pertahankan kerana kita tahu apa yang kita buat adalah untuk kepentingan negara," tegasnya.

Tambah beliau, pengurangan subsidi nelayan laut dalam dapat menjimatkan RM187 juta yang boleh digunakan untuk membantu golongan nelayan pantai dan sekiranya dicampur dengan pengurangan subsidi diesel membabitkan pengusaha lori, ia boleh membawa penjimatan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan.

Lidah Rasmi UMNO

Rais perhabis RM100 Juta dalam sehari?

Posted: 12 Jun 2011 08:28 PM PDT

Ketua Menteri Pulau Pinang mengecam Datuk Rais Yatim kerana habiskan RM100 juta, atau separuh bajet tahunan untuk projek kreatif untuk sambutan Hari Seniman 2011 yang...

Hari Seniman 2011 yang disifatkan oleh penggiat seni tempatan sebagai "projek mee segera".

Lim berkata, secebis daripada jumlah itu, atau RM2 juta, boleh digunakan untuk membiayai festival warisan George Town selama sebulan di Pulau Pinang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Rais Yatim (kanan) mesti menjelaskan rasional pembaziran RM100 juta untuk Hari Seniman 2011 pada 29 Mei yang mendapat sambutan hambar penggiat seni.


"DAP dikejutkan oleh suatu laporan Bernama bahawa RM100 juta diperuntukkan untuk acara yang telah dikritik oleh penggiat seni itu," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bernama, pada tahun lepas, kerajaan membantu industri seni maju selangkah lagi dengan memperuntukkan RM200 juta sewaktu pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pembentangan tersebut, Najib menerangkan bahawa peruntukan tersebut adalah untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

Lim mempersoalkan sama ada laporan Bernama itu tepat dalam memetik jumlah sebesar itu yang dibelanjakan untuk acara berkenaan.

"DAP mengesyaki laporan Bernama itu palsu dan Rais harus menjelaskan jumlah sebenar yang dibelanjakan.

"Adalah sukar untuk mempercayai kerajaan boleh memperuntukkan RM100 juta untuk Hari seniman 2011 apabila 27 juta rakyat biasa Malaysia menanggung kenaikan harga kerana potongan subsidi kerajaan BN," katanya.- Malaysiakini


Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang

Jika Datuk Seri Rais Yatim Ingin Mempromosikan Seni Kemudian Ia Perlu Tidak Menghabiskan RM100 Juta Tapi Hanya RM2 Juta On The Heritage Festival George Town Bulan-Long Dengan Malaysia Dan Pelaku Antarabangsa.

Maklumat, Komunikasi dan Menteri Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim perlu menjelaskan alasan membuang-buang RM100 juta untuk 2011 Artistes Day pada tarikh 29 Mei yang mendapat respon yang hangat dari aktivis seni. DAP terkejut dengan laporan Bernama bahawa RM100 juta diperuntukkan untuk acara yang dikritik oleh aktivis seni.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim harus menerangkan rasionalnya pembaziran wang sebanyak RM100 juta untuk sambutan Hari Seniman pada 29 Mei yang telah menerima maklum balas yang hangat di kalangan penggiat seni. DAP begitu terkejut dengan laporan Bernama bahawa RM100 juta telah diperuntukkan untuk acara tersebut sehingga menimbulkan kritikan daripada para penggiat seni.

DAP menyangkakan bahawa laporan Bernama tersebut adalah tidak benar dan harap Datuk Seri Rais boleh menjelaskan jumlah sebenar yang telah dibelanjakan. Sukar untuk mempercayai bahawa kerajaan begitu cuai ketika memberikan peruntukan RM100 juta untuk sambutan Hari Seniman 2011 ketika 27 juta rakyat Malaysia biasa menderita dengan kenaikan harga barang disebabkan oleh pemotongan subsidi oleh BN.

Tahun lepas ketika pembentangan Belanjawan 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk pembelian produk kreatif seperti drama, filem dan dokumentari yang bermutu tinggi.

Sekiranya Datuk Seri Dr Rais Yatim ikhlas untuk mempromosikan kesenian, beliau hanya perlu memperuntukan RM2 juta, bukan untuk acara satu hari seperti Hari Seniman tetapi sambutan Festival George Town selama satu bulan bermula bulan Julai yang melibatkan seniman tempatan dan antarabangsa. Festival George Town ini diadakan sempena pemilihan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 yang lalu.

Pengarah festival, Joe Sidek telah membawa Festival George Town heritage menjadi sebagai salah satu festival antarabangsa yang akan menyaksikan bukan hanya persembahan kebudayaan di Malaysia tetapi juga di kalangan bakat asing yang terbaik. Di harap Datuk Seri Dr Rais membenarkan kecintaan beliau terhadap kesenian dan kebudayaan mengatasi fahaman politik dan sekaligus mempromosikan festival ini.

LIM GUAN ENG

Video Mat Sabu : Akan memakan diri UMNO/BN..

Posted: 12 Jun 2011 08:01 PM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.

Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin "panas" di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat.

"Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.


"Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan.

"Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya," kata beliau.

Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata "Skandal Seks Mat Sabu", dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.

Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.

Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun "penat" dengan taktik sedemikian.

"Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat," katanya.

Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.

Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

". . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka," katanya.

Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.

"Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu," katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.

"Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa," kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar.


The Malaysian Insider

Tiada ulasan: