WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Kristian Agama Persekutuan, UMNO Terdesak Tagih Sokongan Rakyat - Anwar
- Kristian-Islam: Gereja timbang saman Utusan siar laporan palsu
- PAS : Utusan Makin Melampau
- Pakatan Rakyat: Islam Agama Rasmi Malaysia
- Apabila Utusan Menggugah Keharmonian Negara
- Putar Belit Isu Agama, Utusan Melampau
- GAPS Rendahkan Martabat Diri, Kata Khalid
- Kekalutan Najib Melucukan
- Rampas Selangor : Anwar Nasihat Najib Jangan Bongkak
| Kristian Agama Persekutuan, UMNO Terdesak Tagih Sokongan Rakyat - Anwar Posted: 07 May 2011 08:38 PM PDT ![]() ![]() KLANG 8 MEI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tindakan akhbar milik UMNO menyiarkan mengenai ada usaha untuk menjadikan Krisitian sebagai agama rasmi Malaysia dengan mengaitkan dengan Pakatan Rakyat sebagai langkah 'terdesak' dari parti perkauman itu. Menurut Anwar, UMNO jelas cuba memainkan sentimen perkauman dan meracuni pemikiran orang Melayu dalam mengekalkan kuasa mereka. "Tetapi UMNO cuba racun pemikiran orang Melayu. Maknanya, bila kita lawan dalam keadaan parti itu (UMNO) terdesak, mereka akan lakukan tindakan- tindakan terdesak. Mula- mula video, sekarang ini isu agama pula," tegas Anwar ketika berucap di majlis Himpunan India Malaysia di Dewan Hamzah dekat sini semalam. Laporan muka hadapan Utusan Malaysia 7 Mei itu antara lain menyindir ahli parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi sebagai penganjur sidang paderi yang dikatakan mengatur konspirasi memartabatkan Kristian sebagai agama rasmi Negara. Laporan itu diambil dari halaman dua blog dan bukan dibongkar oleh wartawan Utusan. Bagaimanapun Jeff menafikan dakwaan itu. Beberapa pemimpin DAP juga akan membuat laporan polis esok berkenaan hal ini. Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat sentiasa menjunjung perlembagaan persekutuan dan mempunyai pendirian jelas menjunjung Islam sebagai agama rasmi. "Bohong punya UMNO. Tak siapa nak begitu. Hari ini pemimpin PKR, PAS dan DAP ada. Apa pendirian kita? Kita terima Islam sebagai agama Persekutuan tapi kita perlu pertahankan hak semua kaum dan agama. Itu mesti dipertahankan ikut perlembagaan negara kita," kata Anwar. Menurut Anwar lagi,pemimpin UMNO khususnya Presidennya Datuk Seri Najib Razak harus tidak berpeluk tubuh dan cuba mengelak daripada menyelesaikan kontroversi ini. "Kita kena ingat UMNO makin terdesak. Hari ini, ada orang marah utusan Malaysia. Jangan lupa Utusan adalah akhbar UMNO. Presiden UMNO Najib. Kenapa nak tunjuk diri sebagai bapa 1 Mlaysia? Hipokrasi jelas," kata Anwar. |
| Kristian-Islam: Gereja timbang saman Utusan siar laporan palsu Posted: 07 May 2011 08:37 PM PDT Kristian-Islam: Gereja timbang saman Utusan siar laporan palsu May 08, 2011 GEORGE TOWN, 8 Mei — Bishop Antony Selvanayagam mendakwa Utusan Malaysia berbohong kononnya Gereja Katolik Pulau Pinang berperanan dalam konspirasi, didakwa mahu menjadikan individu beragama Kristian sebagai perdana menteri sambil menegaskan, ia akan berunding dengan peguamnya mengenai bakal tindakan perundangan ke atas akhbar tersebut. Katanya, beliau dan pertubuhan itu tiada tahu-menahu mengenai pertemuan yang Utusan Malaysia dakwa telah diadakan untuk menjadikan perdana menteri daripada kalangan komuniti Kristian dan mengubah status agama rasmi negara ini. "Laporan itu tidak benar. Tiada pertemuan sedemikian di mana-mana gereja Katolik atau kemudahan di sini. Sebaga biskop, saya pastinya tahu," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi. "Ini laporan palsu," kata Selvanayagam. Katanya, tiada mana-mana pihak kecuali The Malaysian Insider yangmenghubungi beliau untuk mendapatkan kesahihan maklumat sebelum menerbitkan laporan tersebut. Justeru ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengambil tindakan ke atas Utusan Malaysia, katanya: "Dengan segera, buat masa sekarang, saya tidak dapat memberitahu apa-apa. Saya perlu berunding dengan Gereja Katolik dan penasihat undang-undang saya." Selvanayagam, yang menjadi biskop sejak 1980 juga menolak dakwaan mengaitkan Gereja Katolik dengan konspirasi politik untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini. "Setahu Gereja Katolik, kami tidak terlibat," katanya sambil menafikan keras tindakan kumpulan-kumpulan Islam untuk membawa gereja ke dalam kontroversi ini dengan menimbulkan isu pertikaian kalimah "Allah". Utusan Malaysia edisi semalam membawa laporan muka depan bertajuk "Kristian agama rasmi", berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno. Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu. Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri. Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan malam kelmarin. Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu. Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut sebagai tetamu. Petang semalam, DAP menolak laporan Utusan Malaysia yang mendakwa parti itu berkonspirasi dengan pemimpin-pemimpin Kristian untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara ini. Parti komponen Pakatan Rakyat itu juga mendakwa laporan akhbar milik Umno itu satu pembohongan yang bahaya kepada negara. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, pembohongan sedemikian bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno. |
| Posted: 07 May 2011 08:22 PM PDT
SHAH ALAM 8 MEI : PAS menggesa tindakan tegas dikenakan ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang dalam laporannya mendakwa pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara kerana laporan tersebut langsung tiada logik dan tidak berasas, lapor Harkahdaily. "Dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut. "Sehubungan itu, pihak keselamatan harus bertindak ke atas laporan yang diberi berdasarkan makluman tidak benar dan tidak logik ini," kata naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya. Laporan muka depan Utusan Malaysia semalam bertajuk "Kristian agama rasmi?" ditulis berdasarkan dakwaan oleh dua blogger pro-Umno yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara agar golongan beragama Kristian boleh menjadi perdana menteri. Dalilnya mereka cuma sekeping gambar kabur yang didakwa sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi Kristian di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu. Mengulas taktik kotor Utusan Malaysia, Tuan Ibrahim menyifatkan laporan berkenaan tidak logik kerana sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang sebahagian besar mereka beragama Islam. "Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut? "Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Lantaran itu, Tuan Ibrahim mengingatkan akhbar-akhbar dan media supaya lebih bertanggungjawab dan jangan memainkan sentimen rakyat yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan negara semata-mata untuk kepentingan politik. PAS, katanya kini melihat Utusan Malaysia menjadi semakin melampau dalam pemberitaan mereka kerana 'kebebasan suara' dwi-standard kerajaan yang memberikannya kebebasan untuk membuat apa sahaja kerana ia milik Umno. "Bayangkan kalau akhbar Harakah ataupun Roket yang menyiarkan berita sensitif seperti itu, tentu mereka dikenakan denda dan ditarik permit segera. "Tindakan double standard inilah yang menyebabkan media milik parti pemerintah semakin biadab dan semakin berani secara terang-terangan menyiarkan pelbagai perkara yang bercanggah dengan peraturan seperti klip seks video dan perkara-perkara perkaumanan," bidas Tuan Ibrahim. Jikalau diikutkan peraturan tegas yang dikenakan terhadap media alternatif, Tuan Ibrahim berkata sepatutnya permit akhbar Utusan Malaysia sudah ditarik balik oleh Kementerian Dalam Negeri kerana seringkali memainkan sentimen perkauman dan agama yang mencetuskan amarah rakyat berbilang kaum. "Sebelum ini, akhbar inilah yang memainkan isu 1Melayu, 1Bumi, isu kritikan kepada raja-raja Melayu satu masa dahulu dan pelbagai isu yang bertentangan dengan kebenaran permit yg dikeluarkan. Sehubungan itu, PAS menggesa agar kerajaan menarik balik permit akhbar Utusan Malaysia.
"Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) seharusnya merasa malu sekiranya gagal bertindak dan fenomena ini seandainya tidak dibendung, ia tidak mustahil menyemarakkan api permusuhan antrara agama dan kaum," tegas Tuan Ibrahim. |
| Pakatan Rakyat: Islam Agama Rasmi Malaysia Posted: 07 May 2011 03:21 AM PDT Utusan Malaysia sekali lagi bertindak melampui batas, mereka kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa. Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan.
Jelaslah bahawa Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ianya hanya layak menyandang gelaran "Tabloid UMNO" sesuai dengan kenyataan bahawa Parti tersebut merupakan pemegang saham sekaligus merupakan majikan mereka. Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanahair dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini. Berikut merupakan pernyataan bersama yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan turut dimuatkan didalam Buku Jingga:- KENYATAAN AKHBAR PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.
Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini. Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Sekian, terima kasih. ANWAR IBRAHIM LIM KIT SIANG HJ. ABDUL HADI AWANG *Kenyataan ini dipetik dari blog Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen. |
| Apabila Utusan Menggugah Keharmonian Negara Posted: 07 May 2011 03:18 AM PDT ![]()
KOMENTAR : Bagaimana agaknya persepsi pelabur asing, terutama yang datang dari barat dan beragama Kristian bila memahami kandungan laporan Utusan Malaysia pada Sabtu, 7 Mei 2011? Laporan itu mendedahkan ada usaha untuk menjadikan Krisitian agama rasmi Malaysia dan perdana menteri negara ini mungkin seseorang yang beragama Kristian. Mungkin ada di kalangan mereka yang teruja untuk terus melabur di Malaysia dengan harapan apabila Malaysia menjadi sebuah Negara Kristian akan mudah mereka berurusniaga. Sudah tentu ada yang berkira bahawa pegangan agama mereka akan memberi kelebihan dalam iklim niaga yang dikendalikan oleh pemerintah Kristian yang seagama dengan mereka. Sudah pasti juga ada sebilangan pelabur yang waras dan bijaksana membaca laporan Utusan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan. Pelaburan mereka mungkin dalam bahaya. Sudah pasti sebagai pengusaha skala besar-besaran mereka dapat mencongak bahawa tidak mudah Kristian menggantikan Islam di Malaysia. Majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu dan Bumiputera. Hampir semua Melayu di Malaysia adalah penganut Islam. Sudah tentu pelabur kategori ini dapat merumuskan betapa gempita reaksi orang Melayu dan Islam tehadap komplot Kristian ini. Mereka juga pasti akur bahawa majoriti anggota polis adalah Melayu-Islam. Begitu juga dengan tentera. Maka adakah institusi ini akan membiarkan perubahan tunggak agama ini dengan mudah berlaku di Negara ini? Natijahnya tentu mudah ditelah. Lebih baik jangan melabur di Malaysia. Peniaga yang bijak tentu tidak mahu melabur di bumi yang akan bergolak. Benar atau tidak laporan Utusan itu bukan persoalan di sini. Itu harus dipulangkan kepada pihak berkuasa untuk menilainya. Jika benar, tindakan perlu diambil bagi menjamin kedamaian dan ketenangan sosio-politik negara. Jika tidak benar, maka makin lebih perlu lagi tindakan diambil ke atas jenis kewartawanan sensasi yang memperjudikan keharmonian Negara. Namun kesannya amat mengerikan. Yang pertama akan merasa bahana perang agama ini adalah pelabur. Ia juga akan mencengkam rasa damai dan tenteram rakyat beragama Kristian. Bagaimana mereka dapat merenung mata jiran dan sahabat handai Islam mereka jika orang Islam mula curiga akan keikhlasan mereka bermaustatin di bawah naungan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan? Orang Melayu Islam pun juga bimbang. Jika pelabur asing mulai meninggalkan negara ini tentu ramai yang menganggur. Namun tidak kurang juga yang akan "berdiri tocang" kerana marah akan niat buruk Kristian mahu merampas kuasa di negara ini. Orang Melayu memang berdarah pahlawan. Tentu ramai yang sedia syahid untuk mempertahankan agama dan bangsa mereka. Akibatnya tentu lebih parah daripada 13 Mei 1969. Secara ringkasnya, ini adalah di antara pelbagai kesan negative daripada laporan media arus perdana perihal perkara sensitif dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Sebab itu, para pemimpin yang berfirasat tinggi memutuskan untuk meluluskan perundangan menghalang prasangka begini menular di kalangan rakyat. Akta Hasutan adalah penawarnya. Sedihnya, ini bukan kali pertama Utusan bersikap begini. Akta Hasutan langsung tidak menggerunkannya. Mungkin ini kerana Utusan yakin ia berada di luar lingkungan kuasa apa jua Akta di Negara ini. Mungkin di atas lessen memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, ia wajib mendedahkan sebarang ancaman yang mungkin menggugat kepentingan khalayak yang menjadi pendokong parti pemerintah -Umno. Menteri Dalam Negeri ahli Umno. Mungkin sebab itu, Utusan merasakan mustahil Umno akan bertindak ke atasnya kerana menjadi jurucakap Umno. Bicara ini bukan soal kesahihan sumber atau landasan laporan Utusan itu. Ia bersabit soal tanggungjawab sosial dan politik Utusan disuluh dari sudut kewartawanan. Apakah Utusan berharap dengan laporan sensasi ini ia akan membantu pulihkan jumlah akhbarnya yang kian merosot? Atau, agendanya ialah menggertak orang Melayu supaya terus berpayung di bawah parti pemerintah, Umno? Jika itu niatnya, amat malang bagi Malaysia. Utusan mungkin mendabik dada ia berbuat demikian kerana sayangkan bangsa Melayu dan agama mereka. Namun dalam pada itu, ia jelas tidak menunjukkan kecintaan kepada negara apatah lagi cita-cita 1Malaysia perdana menteri. Laporan Utusan itu menyindir ahli parlimen Jelutong dari DAP sebagai penganjur sidang paderi yang dikatakan mengatur konspirasi memartabatkan Kristian sebagai agama rasmi Negara. Ini mengingatkan kita pada tuduhan beberapa tahun lalu bahawa gerakan pelampau Tamil Eelam bergerak di Malaysia dan beberapa pemimpin Hindraf turut terbabit dengan gerakan itu.Hingga hari ini tiada pendakwaan atau bukti kukuh diketengahkan. Apa yang patut dilakukan oleh Utusan ialah serahkan pada pihak berkuasa menyiasast dahulu perkara sensitif ini sebelum menggemparkan rakyat. Menyakat rakyat dengan kemiskinan, prasangka kaum dan prejudis agama adalah jelas bertentangan dengan semangat perpaduan 1Malaysia. Apa yang perlu ditanyakan Utusan bagi pihak rakyat apa sudah jadi dengan Badan Pemuafakatan Antara Agama yang ditaja oleh kerajaan? Hormati institusi kerajaan. Usahlah bertindak secara unilateral. Jika tiada tindakan diambil ke atas laporan sebegini, maka rakyat haruslah maklum bahawa memang benar ada amalan siasatan terpilih berlaku dan dilakukan dengan sedar dan sengaja di negara ini. |
| Putar Belit Isu Agama, Utusan Melampau Posted: 07 May 2011 12:13 AM PDT
SHAH ALAM 7 MEI : Pakatan Rakyat (PR) tetap berpendirian Islam kekal sebagai agama rasmi negara ini dan tidak timbul persoalan gagasan itu akan mengambil langkah untuk mengubah statusnya jika berjaya menawan Putrajaya sekali gus menyangkal dakwaan Utusan Malaysia bahawa " Malaysia Negara Kristian". Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi nota admin blog hari ini, Utusan Malaysia bertindak melampaui batas dengan menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan apabila memainkan isu agama rasmi di Malaysia. Malah katanya, Utusan juga telah mengetepi tanggungjawab sebagai pengamal media apabila tunduk kepada adikuasa atau pemerintah, tanpa rasa malu dengan menidakkan fakta apabila berterusan memutar belit fakta sehingga mengelirukan rakyat. Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk "Kristian agama rasmi? Laporan itu juga memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu. Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu. Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog. "Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan. "Jelas, Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ia hanya layak menyandang gelaran 'Tabloid Umno' sesuai dengan kenyataan bahawa parti itu merupakan pemegang saham sekaligus majikan mereka. "Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan pejuang pembebasan tanah air dahulu, dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini," tulis nota itu lagi. Tulisan itu menambah, isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru "aparatus pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat." "Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan," katanya. Selain itu, nota berkenaan juga memuatkan penyataan bersama yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 September yang turut terkandung dalam Buku Jingga yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. "Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum yang dijamin Perlembagaan," kata penyataan itu. Penyataan itu ditandatangani Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. |
| GAPS Rendahkan Martabat Diri, Kata Khalid Posted: 07 May 2011 12:04 AM PDT ![]() KAJANG 6 MEI : Gagasan Anti Penyelewengan Selangor yang disokong oleh Umno, hanya merendahkan martabat diri dengan menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. |
| Posted: 07 May 2011 12:00 AM PDT ![]()
SHAH ALAM 7 MEI : Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata Pakatan Rakyat kini bertekad mempertahankan Selangor dan negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 lalu serta akan berusaha keras untuk memerintah pada peringkat kerajaan pusat. Idris Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hendak merampas semula Selangor dengan alasan untuk membela kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang amat melucukan bagi mereka yang waras. "PAS hendak bertanya kepada Datuk Najib yang juga pengerusi Perhubungan Umno Selangor, apakah amalan zalim apabila rakyat diberi air percuma? "Apakah amalan zalim (jika) warga emas yang meninggal diberi wang kifalah RM2,500?" soalnya. Najib ketika berucap pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, Khamis lalu menggesa anggota Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu. Beliau yang juga presiden Umno juga berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka. "Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas... Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," kata perdana menteri. Sehubungan itu, Idris juga meminta BN menjelaskan apakah amalan zalim yang dilakukan di Selangor sedangkan setiap bayi yang dilahirkan, keluarga mereka mendapat RM100. Katanya PAS menasihatkan Najib supaya berterus terang kepada rakyat Selangor bahawa memberi kembali Umno BN mandat untuk memerintah Selangor semula adalah supaya pemimpin Umno dapat membaham khazanah negeri. Ini kerana pemimpin Umno sudah tidak bermaya dan kebuluran projek. "Beri tahu kepada rakyat Selangor jika Umno perintah Selangor, kami (pemimpin Umno) akan pastikan masjid surau mati supaya rakyat tidak memahami Islam yang syumul," katanya. |
| Rampas Selangor : Anwar Nasihat Najib Jangan Bongkak Posted: 06 May 2011 11:59 PM PDT KUALA TERENGGANU 7 MEI : Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Datuk Seri Najib Razak supaya jangan terlalu yakin dan angkuh untuk merampas kembali Selangor daripada pimpinan Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Anwar memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak agar tidak mengamalkan "politik rampas" semata-mata untuk memerintah negara. "Ini politik rampas tidak boleh (diamalkan), bini (isteri) orang nak rampas... Perak rampas... Selangor nak rampas... mana boleh macam ini. "Najib jangan bongkak... insya-Allah kami akan tawan Putrajaya, kamu akan jadi ketua pembangkang yang baru," katanya pada ceramah perdana isu-isu semasa di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini malam tadi. Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 4,000 orang itu turut menggesa supaya rakyat melakukan perubahan dan memilih Pakatan Rakyat bagi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13. Laporan media semalam menyebut, Najib mahu Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13, yang disifatkannya "sudah hampir tiba." Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka. Pada pilihan raya umum 2008, selain Selangor, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan mengekalkan Kelantan di bawah pentadbiran PAS. Namun Perak dirampas semula BN setahun kemudian. "Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas. "Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah," kata Najib yang juga pengerusi Umno Selangor. Jelas Anwar, Pakatan Rakyat akan mempertahankan setiap kerusi yang dimenanginya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai strategi kotor Umno-BN. "Kita perlu pertahankan kerusi-kerusi ini, saya percaya Umno akan gunakan apa sahaja cara untuk melemahkan kita. "Mereka (Umno-BN) kata kita bermimpi (untuk tawan Putrajaya) tapi jangan lupa kita pernah menang di Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, malah di Wilayah Persekutuan juga kita menang... cukuplah dengan sistem sedia ada (sekarang), kita perlukan perubahan," katanya. Dalam masa yang sama, Anwar berkata, janji-janji yang terkandung dalam dasar bersama tiga parti gagasan itu yang termaktub dalam Buku Jingga akan dilaksanakan sebaik sahaja berjaya menawan Putrajaya. Tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, setiap yang dijanjikan itu bukan janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan. Buku Jingga yang terdiri daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan 10 inisiatif 100 hari pertama pemerintahan diperkenalkan pada konvensyen keduanya di Pulau Pinang Disember lalu. |
| You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Isu agama rasmi bagi Negara ini menjadi sasaran terbaru aparat pemerintah, manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat. Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ianya merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.
Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan