SOKONG PAKATAN RAKYAT |
WAWANCARA HJ MOHAMAD SABU DENGAN MERDEKA REVIEW Posted: 17 May 2011 10:25 AM PDT "Sebagai seorang muslim, saya mesti percaya bahawa ia sebagai undang-undang tertinggi yang perlu dilaksanakan. Tetapi, sebelum pelaksanaan Hukum Hudud ini, banyak lagi perkara yang boleh ditonjolkan, kebaikan Islam itu. Misalnya good governance (urus-tadbir yang baik), akauntibiliti, tidak rasuah, tolak nepotisme. Dan sekarang ini saya nampak, kalau PAS slow (perlahan) dalam bidang ini, for the future, DAP will take over." Demikianlah kegusaran yang menyelubungi seorang pemimpin politik veteran, Mohamad Sabu (gambar kanan) yang menyertai PAS sejak tahun 1977. 34 tahun daripada pemimpin yang berusia 56 tahun ini dicurahkan untuk perjuangan PAS. Kesetiaannya bersama parti sukar dipertikai, pada masa yang sama beliau juga sahabat akrab kepada pemimpin DAP yang menerajui tampuk pimpinan sekarang. Lanskap politik tanahair berubah dilanda "tsunami" pada 8 Mac 2008. PAS dan DAP yang sering bertentangan pendirian dalam isu "Hukum Hudud" dipaksa untuk duduk semeja berikutan sentimen rakyat untuk menentang Barisan Nasional. Namun demikian, "Hukum Hudud" kekal sebagai isu kontroversi, khususnya apabila berdepan dengan masyarakat bukan muslim. Mohamad Sabu mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud bukannya sesuatu yang senang, melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, dan hasrat ini perlu dirunding bersama dan direstui rakan-rakan partinya. Tetapi, beliau lebih mengambil berat bagaimana Islam diterjemahkan kepada "urus-tadbir yang baik", untuk peringkat ini. "Boleh capai atau tidak (pelaksanaan hukum hudud), itu soal cita-cita," Mat Sabu sekali lagi berjenaka, "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!" Anak muda Melayu teruja nak sertai DAP Calon Timbalan Presiden PAS ini berkongsi pengamatan dan pengalamannya dalam senario politik pasca 8 Mac 2008. "Ramai anak muda Melayu berjumpa saya sekarang. Dia kata Pak Mat, bila Pak Mat nak join DAP? Kalau Pak Mat join DAP, kami akan bersama..." Ketika ditanya mengapa pendirian DAP yang jelas menentang pembentukan Negara Islam itu tidak menghalang anak muda Melayu daripada menyokong parti itu, Mat Sabu menjelaskan bahawa kecenderungan ini disebabkan dasar-dasar yang ditawarkan DAP, misalnya urus-tadbir yang baik, dengan konsep "CAT" (Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan sebagainya. Secara terus-terang Mat Sabu berkata, pembangkang tidak boleh hanya mendakwa dirinya menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan sesuatu apabila menguasai kerajaan negeri. Mat Sabu menganggap ini adalah kehendak orang ramai, dan beliau amat bimbang seandainya PAS tidak merobah konsep ini. Beliau enggan mengulas secara terperinci, walaupun wartawan MerdekaReview membangkitkan kerajaan negeri Kedah yang dikuasai PAS, yang kelihatan tidak mendahulukan agenda reformasi sebagaimana yang disebut di atas. Cuma, Mat Sabu mengingatkan, bahawa rata-rata wakil rakyat DAP mampu mempersembahkan "kehidupan yang tidak mewah", sebagaimana yang diamalkan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat. Meskipun diserang bertubi-tubi dengan media kawalan UMNO, namun Mat Sabu berkata pemerintahan DAP di negeri Pulau Pinang berjaya menonjolkan ciri-ciri atau nilai Islam, jika dilihat dari substance (intipati) dan bukan form-nya (bentuk luaran). Malah beliau memberi peringatan bahawa jangan terperanjat seandainya terdapat anak tokoh PAS peringkat negeri bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya umum yang akan datang! Mat Sabu ingin berkongsi idea-idea ini dengan PAS, kerana beliau menganggap seandainya PAS berjaya menjelmakan Islam kepada urus-tadbir yang baik, maka mungkin komuniti bukan Islam tidak bermasalah untuk menyokong PAS. "Kalau keadilan ini tak dapat dipamerkan dahulu, macam mana mereka lihat keadilan yang lain?" "Kalau ditonjolkan Melayu sebagai Islam, orang Cina melihat apa yang ada pada Melayu? Ini yang saya nak fikirkan," kata Mat Sabu dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di Hotel Armada Petaling Jaya, semalam. Enggan telan bulat-bulat pemikiran yang disogokkan Mat Sabu terkenal sebagai pemidato di peringkat akar umbi. Namun, untuk polis cawangan khas (special branch), keupayaan beliau mengatur demonstrasi jalanan mungkin lebih digeruni. Malah bukan rahsia jikalau dikatakan Mat Sabu lebih cenderung kepada "haluan kiri" dari segi pemikiran politiknya, berbanding dengan pemikiran arus perdana dalam masyarakat Melayu-Islam, malah dalam PAS sendiri. "Saya dalam memahami politik ini, saya membaca, termasuklah buku-buku Lenin, Mao Ze Dong, dan dalam Islam, Ikhwan Muslimin dan sebagainya," katanya. Mat Sabu mungkin pemimpin PAS yang paling rapat dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sehingga ada yang berjenaka bahawa hubungan PAS dengan DAP dan PSM akan bertambah baik seandainya Mat Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden. Mat Sabu menolak untuk menelan sesuatu konsep secara bulat-bulat, misalnya Komunis dikaitkan dengan jijik, bunuh orang dan sebagainya - yang ditanamkan oleh penjajah British dan pemerintah selepas merdeka kemudiannya. "Selepas perjanjian Damai, saya melawat ke Betong di Thailand. Saya juga melawat kem Rejimen 10 Komunis Malaya, (berjumpa dengan pemimpin seperti) Rashid Maidin, dan juga Abdullah CD. Saya dialog, bercakap dengan mereka, sesetengah-setengah mereka ini, yang orang Melayu, yang beragama Islam dalam Rejimen ke-10 itu, mempertahankan amalan Islam jauh lebih baik daripada orang Melayu "so-called" (kononnya), yang ada di luar, dan termasuk yang ada dalam UMNO." Mat Sabu pernah mengutarakan pandangan-pandangan yang "menggemparkan", untuk masyarakat Melayu-Muslim, misalnya berkata orang Melayu seharusnya berterima kasih kepada Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). "Saya tidak suka disogok begitu, tanpa kita buat sedikit kaji selidik (research). Saya rapat dengan, dari awal dulu, dengan Syed Husin Ali (bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia), Dr.Nasir Hashim (Pengerusi PSM)..." secara terus-terang Mat Sabu berkata, pertukaran regim pemerintahan bergantung kepada kuasa rakyat. Mat Sabu mengakui bahawa dalam isu-isu seperti fahaman komunis, institusi Raja, malah agama, PAS kadang-kala terikut-ikut dengan rentak UMNO, malah termakan dengan retorik itu. Beliau menganggap masalah yang paling besar didepani masyarakat Melayu sekarang adalah "pemikiran". "Masalah pemikiran yang susah nak sebut... Pergi kepada Islam yang ditafsirkan dalam satu aliran. Tidak terbuka untuk berbincang dengan aliran lain," katanya yang mencadangkan agar setiap aliran dan fahaman dikaji dan bukan ditolak begitu sahaja. "Saya amat tidak bersetuju, di Malaysia ini, dia letakkan Islam itu seolah-olah agama Melayu. Melayu itu Islam. Melayu berugama Islam saya amat bersyukur. Tapi nilai Islam ini, jauh lebih berada dalam kalangan orang Cina berbanding dengan orang Melayu." Mat Sabu menjelaskan selanjutnya, bahawa sikap seperti kerja kuat, tidak bergantung kepada pertolongan subisidi, berdikari dan sebagainya dalam kalangan Cina ini adalah penjelmaan nilai Islam, cuma masyarakat bukan Islam ini tidak menerima Allah sebagai Tuhan mereka. Malah, beliau menyifatkan warga Jepun sebagai "umat Islam sejati", kerana tidak merampas makanan, beratur untuk dapatkan bantuan, menghormati hak orang lain dan sebagainya selepas masyarakat itu dilanda tsunami. Beliau menolak "semangat asabiyah", misalnya kaum Islam dan Melayu tetap dibela walaupun telah melakukan kesilapan. (Bahagian pertama, bersambung) |
Posted: 17 May 2011 04:19 AM PDT Ramai sekali nama yang dicalunkan untuk pemilihan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat peringkat pusat. Biasanya jika banyak sangat nama pilihan, maknanya pemegang jawatan sudah kurang popular dan dilihat tidak berkesan dalam memegang jawatan tersebut. Eloklah mahasabah diri sendiri dan jika perlu beri peluang kepada orang lain pula. Kita pegang jawatan ketika tiada orang lain yang layak. Ha ha. Jika ramai terasa layak, eloklah kita lepaskan kepada mereka itu. Baru mereka tau langit tinggi atau rendah. Opps, zaman sekarang - "analah yang layak". Wooo. |
You are subscribed to email updates from SOKONG PAKATAN RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan