Ahad, 29 Mei 2011

SIASAH

SIASAH


Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah

Posted: 29 May 2011 10:13 AM PDT

Oleh ZOMBI KG PISANG

Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan berbunyi, "Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut.

Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini.

Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah.

Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak?

Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi?

Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan.

Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya.

Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan.

Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan.

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan."

Muktamar Ipoh dan permulaan persaingan Erdogan-ulama

Posted: 29 May 2011 04:40 AM PDT

Tahun 2008 ialah permulaan jelas persaingan dua kumpulan dalam PAS, yang menyaksikan satu haluan lain diambil dan ditegaskan lagi sebagai jalan masa depan bagi PAS.

Kumpulan yang kemudian digelar Erdogan itu memperlihatkan sikapnya dengan jelas pada muktamar PAS di Ipoh, Perak, pada 2008 selepas gabungan yang kemudian ditubuh sebagai Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun itu.

Artikel di bawah ini, yang ditulis selepas muktamar PAS di Ipoh pada Ogos 2008, merupakan satu catatan yang mendokumenkan permulaan persaingan ide dalam parti itu, yang kemudian menjadi isu utama dalam muktamar-muktamar selepas itu, termasuk yang akan datang awal Jun nanti.

PAS menghadapi cabaran politik baharu
Oleh HARIS ZALKAPLI

Muktamar PAS yang berakhir 17 Ogos lalu menunjukkan satu gambaran yang jelas, iaitu parti pembangkang terbesar Malaysia ini berdepan satu cabaran yang hebat ketika ia melangkah memasuki Malaysia yang lebih liberal dan politik baharu yang lebih mencabar.

Apa yang jelas dilihat dalam muktamar kali ini ialah dalam masa tiga dekad kebelakangan ini, PAS pertama kali berdepan ujian perbezaan pendapat terbesar, sehingga perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas sepanjang muktamar, melalui reaksi pemimpin-pemimpin.

Malah, satu-satunya perkara paling jelas dapat diperhatikan dalam muktamar kali ini ialah perbezaan pendapat dua kumpulan besar ini, iaitu kumpulan yang menentang rundingan dengan Umno, yang digelar kumpulan Erdogan (merujuk kepada perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan), dan yang menyokong diketuai Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama.

Perbezaan dan persaingan ini dapat diperhatikan ketika dua tokoh ulama PAS, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din dan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masing-masing mengemukakan hujah mewakili pandangan dua kumpulan ini. Sangat jelas reaksi pemimpin-pemimpin ketika tokoh mewakili dan tidak mewakili mereka berucap.

Kemudian, pada hari Sabtu ketika berlangsung penamaan calon untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, pentas pimpinan lengang seketika ekoran perginya pemimpin-pemimpin kumpulan Erdogan ke Permatang Pauh, memberikan petanda jelas sokongan mereka terhadap pengukuhan Pakatan Rakyat yang bercita-cita menubuhkan kerajaan pusat bermula 16 September nanti.

Kedua-dua kumpulan menegaskan bahawa haluan merekalah yang sepatutnya diambil, sekiranya PAS ingin meneruskan lagi perjuangan secara terhormat pada masa hadapan.

Persaingan kedua-dua kumpulan ini kelihatan seimbang, dan membawa PAS ke satu persimpangan yang menuntut parti ini memilih haluannya ke masa hadapan. Muktamar di Ipoh minggu lalu hanyalah satu permulaan persaingan yang boleh disifatkan sebagai untuk menguasai jiwa parti ini.

Dalam ucapan dasar yang bersifat agak defensif, presiden PAS menegaskan kekuatan parti itu, yang ditegaskan sebagai penyumbang kepada kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Ucapan ini, yang dibuat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang memerlukan sokongan dan kerja-kerja oleh ahli-ahli PAS, menegaskan sekali lagi kenyataan Abdul Hadi menuntut PR lebih menghormati PAS dalam menentukan hala tuju gabungan itu.

Kata Abdul Hadi, "Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat. Kita sama-sama bekerja dan menyedari bahawa kita menghadapi pilihan raya di medan yang tidak sama rata, disebabkan oleh amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan, penipuan, kezaliman dan lain-lain."

Jelasnya lagi, "Kejayaan kita mengerahkan himpunan rakyat di bawah payung organisasi yang dinamakan Bersih bagi menyuarakan desakan pemulihan demokrasi dengan pilihan raya yang adil, demokratik dan telus, sebelum pilihan raya umum, menunjukkan kepada kita bahawa PAS bukan sahaja boleh menyertai pilihan raya, bahkan PAS juga mampu mengerah rakyat turun ke jalan raya. Ini membuktikan bahawa PAS tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri, yang tidak boleh diperkecilkan."

Abdul Hadi juga menegaskan apa yang mendasari rancangan berbincang dengan Umno. Katanya, "Dalam pilihan raya yang lalu kita terus melaksanakan thahaluf siyasi, dengan parti-parti dan semua pihak yang bersahabat dengan kita. Keputusan ini tidak dibuat oleh mana-mana individu secara berseorangan dalam PAS."

Katanya lagi, "Perkara yang sebegini besar telah menempuh proses perbincangan, penghujahan dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Politik dan Jawatankuasa PAS Pusat, dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama."

Bagaimanapun, keputusan kumpulan ulama berhubung hal ini masih dipertikaikan, antaranya berhubung apa yang disifatkan sebagai kesan-kesan negatif daripadanya, seperti kehilangan sokongan penyokong bukan Muslim. Perselisihan ini menunjukkan perbezaan tafsiran - yang mendasari sikap dan tindakan dalam pelbagai perkara - masih satu isu sentral dalam PAS.

Respons kepada isu ini dapat didengari dalam ucapan pengerusi kelab penyokong PAS, Hu Pang Chaw yang menegaskan dengan cara agak diplomasi bahawa penyokong bukan Muslim PAS akan meninggalkan parti ini sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno.

Tetapi, presiden PAS sebelum itu turut menegaskan pentingnya kelab penyokong bukan Muslim kepada parti, dan menyarankan agar kelab itu diberi peranan lebih luas.

Katanya, "Penubuhan kelab ini sahaja tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak diisi dengan sesuatu program yang bersesuaian. Program kemasyarakatan bersama dengan ahli Kelab Penyokong PAS perlu dipergiatkan di seluruh negara. Kita juga amat mengharapkan agar mereka dapat diberikan peranan yang lebih besar di dalam PAS pada masa hadapan."

Menghadapi cabaran ini, PAS perlu menyedari kesilapannya tidak menyuburkan wacana dalam kalangan pimpinan teratasnya mengenai pelbagai isu kritikal yang kelihatan agak jauh dari medan permainan PAS, seperti falsafah dan pemikiran baharu yang berleluasa dalam masyarakat, dan isu global yang akhirnya akan turut tiba di Malaysia.

Dapat dilihat hari ini, PAS kelihatan tidak bersedia menghadapi cabaran-cabaran permainan baharu yang jauh lebih sofistikated berbanding cara PAS yang lebih lurus dan literal.

PAS wajar sekali mengaktifkan pemikirannya, memerhati semua perkembangan di semua lapangan aktiviti manusia, termasuk seni budaya, media, ekonomi dan sebagainya. PAS tidak boleh lagi menghadkan rujukan hanya kepada lingkungan biasanya yang kecil itu.

Dan sebagai gerakan Islam, PAS perlu merapatkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia yang mungkin mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi.

Muktamar yang baru lepas ini memberi pengajaran berguna bagi PAS, sekiranya parti pembangkang terkuat Malaysia ini bersedia mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut.

Politik baharu yang lebih mencabar ini menuntut pemikiran dan pendekatan yang lebih sofistikated, termasuk melibatkan penyampaian mesej dan jenama yang ingin dipersembahkan kepada masyarakat. - 20 Ogos, 2008

Tiada ulasan: