SIASAH |
Isu rundingan PAS-Umno timbul lagi Posted: 21 May 2011 02:07 AM PDT Isu rundingan dengan Umno yang mencetuskan debat panas dan pergeseran dalam PAS muncul lagi apabila Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Dzulkifly Ahmad membuat kenyataan bersedia bertemu dengan Umno. Pertemuan dengan Umno selama ini dikait terus dengan usaha bergabung dengan Umno atau disebut "kerajaan perpaduan," cadangan presiden PAS pada 2009 yang merujuk penubuhan kerajaan semua parti berdasarkan peratus kerusi Parlimen dimenangi. Kenyataan Ahli Parlimen Hulu Selangor itu mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli-ahli PAS, yang membuat pelbagai spekulasi termasuk melibatkan urusan dengan Umno di Selangor yang dijangka menawan negeri terkaya itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Ada juga yang melihat kenyataan itu untuk mengundang respons pihak lain dalam PAS, terutama golongan ulama yang didakwa mahu bersama dengan Umno. Walau bagaimanapun, perkembangan melibatkan kemungkinan pengharaman Parti Keadilan Rakyat, sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang dalam memperkuatkan spekulasi kesediaan PAS bekerjasama dengan Umno. Di laman popular dalam kalangan ahli PAS, Tranungkite, timbul beberapa reaksi sinikal oleh pembaca. "AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad yang bercakap tentang pertemuan dengan pemimpin Umno tak apa, asalkan jangan Tuan Guru Haji (Abdul) Hadi Awang, Dr Hassan Ali, Ust Nasharudin Mat Isa, Datuk Mustafa Ali dan Tuan Guru Haron Din. Kalau 5 orang ni yang bercakap, memang teruk difitnah kononnya mahu membawa PAS masuk Umno oleh mereka yang didalam hatinya ada penyakit hati," komen seorang pembaca. Isu kerjasama PAS dengan Umno telah timbul sejak beberapa minggu lalu, menjelang muktamar yang sekali lagi akan menyaksikan persaingan sengit antara kumpulan yang dilabel ulama dengan Erdogan. Spekulasi penggabungan PAS dengan Umno pada mulanya ditimbulkan sebagai mengulas haluan PAS di bawah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang terus mengekalkan kedudukan sebagai presiden untuk penggal akan datang, yang akan melalui pilihan raya umum sekali lagi. Isu hubungan PAS dengan Umno ditimbul pada masa-masa tertentu sebahagian besarnya untuk meletakkan Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin sealirannya dalam kedudukan defensif. Sejak 2009, kerjasama atau gabungan dengan Umno disifatkan sebagai kerajaan perpaduan oleh pemimpin tertentu dalam PAS, penulis blog dan media terutama portal berita internet seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider. Kedua-dua portal ini dikait dengan kem Erdogan dan memperlihatkan kecondongan terhadap calon kem itu dalam pemilihan-pemilihan PAS sebelum ini. Tahun 2009 ialah kemuncak persaingan dan pertembungan kem ulama dengan Erdogan, dengan suasana panas dirasakan di muktamar di Shah Alam, Selangor. Isu rundingan atau kerjasama dengan pemerintah menyaksikan sikap berubah-ubah daripada pihak yang kuat menentangnya. Pada 2009, Dr Mujahid Yusuf menulis dalam Siasah - akhbar politik yang menjadi sasaran kempen negatif ekoran didakwa menyokong gabungan PAS dengan Umno - memuji dan menyokong gagasan kerajaan perpaduan. "Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..," tulis beliau pada masa itu. Kemudian ide itu dikecam hebat dan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Abdul Hadi, sehingga beliau kemudian menarik balik cadangan itu. Abdul Hadi walau bagaimanapun kemudian membina kempen "PAS ganti Umno" sebagai usaha parti Islam itu menggantikan Umno menjadi wakil dan suara utama orang Melayu-Muslim, yang tidak selari dengan cadangan kerjasama aau gabungan PAS dengan Umno. Pada awal 2010, berlaku satu lagi pertemuan melibatkan pemimpin utama PAS dengan pemerintah yang turut disertai Yang Dipertuan Agong, tetapi ditolak dengan keras oleh penentang kerjasama dengan Umno. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam satu kenyataan berkata kerjasama dengan Umno tidak akan berlaku walaupun dipelawa oleh Agong. Kenyataan terbaharu oleh Dzulkifly menimbulkan kembali debat panjang isu kerjasama dengan Umno, yang dijangka bakal menjadi satu isu yang memberi kesan kepada muktamar dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan