Sabtu, 21 Mei 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


[Gambar] Tragedi Tanah Runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa

Posted: 21 May 2011 07:38 AM PDT



Saya petik:

24 orang tertimbus tanah runtuh di Hulu Langat

[Bernama]KUALA LUMPUR: Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, dekat sini, hari ini.

Setakat 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian 2.30 petang, semua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat, berkata sehingga 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat. 

P/s: Saya di DCM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini. Semoga roh mereka dirahmati Allah - Tayadih Maysia


[Video] Keinsafan Sham Kamikaze

Posted: 21 May 2011 01:00 AM PDT



P/s: Alhamdullilah!

[GEMPAR] Iklan ARAK Masuk Sekolah

Posted: 20 May 2011 11:00 PM PDT

Cuba tengok kain rentang di belakang.
Saya petik:

Lindungi pelajar daripada alkohol di sekolah
Oleh SM Mohamed Idris

Kanak-kanak dan golongan muda terdedah kepada iklan alkohol memandangkan syarikat minuman alkohol berjaya menutup atau menyembunyikan mesej ini sebagai promosi pendidikan atau pembangunan sukan.

Fakta sebenar yang menyedihkan ialah syarikat alkohol diberikan laluan utama dalam mempengaruhi sikap kanak-kanak sekolah terhadap tabiat meminum minuman keras.

Dengan mewujudkan keadaan yang biasa melalui keadaan yang dilihat dan didengar, pihak syarikat akan mempengaruhi kanak-kanak dan remaja untuk menerima nama jenama secara positif, dan dengan itu melanjutkan lagi pengambilan produk mereka.

Contoh bagaimana syarikat alkohol diterima tanpa dikawal dengan kelulusan tanpa bertulis daripada pihak berkuasa untuk mengganggu ke sekolah dan menjejaskan minda anak-anak kita adalah bukti jelas dalam strategi yang digunakan oleh pihak Carlsberg Malaysia dan Guinness Anchor Bhd (GAB).

Melayari laman sesawang Carlsberg Malaysia mendedahkan gambar kanak-kanak yang tersenyum memegang beg hijau Carlsberg berisi barangan dengan nama jenama yang terpampang, sewaktu kegiatan luar bagi pelajar sekolah yang ditaja oleh syarikat itu pada Disember lalu.

Mesej pengambilan minuman keras sebagai diterima ditanam ke dalam pemikiran anak-anak muda dengan promosi sebegini.

Carlsberg Malaysia juga menyerbu masuk ke dalam pendidikan melalui cara mengatur kerjasama dengan media berbahasa Inggeris arus perdana.


Dinyatakan bahawa Carlsberg Malaysia "menaja akhbar harian tempatan untuk 40 sekolah rendah Tamil di wilayah utara" untuk memperbaiki mutu bahasa Inggeris di sekolah ini.

Dakwaan oleh syarikat alkohol bahawa mereka membantu untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat India boleh dipersoalkan apabila realitinya mereka memusnahkan keluarga mereka dengan memupuk peminum alkohol di masa depan.

Kenyataan mereka bahawa mereka "tidak menggalakkan pengambilan minuman alkohol oleh mereka yang di bawah umur" adalah tidak benar sama sekali.

Satu lagi syarikat alkohol utama, Guinness Anchor Berhad (GAB), terus tanpa halangan untuk bekerjasama dengan sekolah Tamil di Malaysia dengan alasan mempromosikan pembelajaran walaupun pada hakikat sebenarnya mempromosikan nama jenama kepada mereka yang di bawah umur.

Melalui Program GAB Foundation SMILES (Supporting Malaysian Indian Learning, Education and Sports), syarikat minuman keras itu 'menjual' jenama dengan menawarkan kelas pemulihan bahasa Inggeris secara percuma dan mewujudkan sudut membaca di sekolah Tamil.

Program Pengayaan Bahasa Inggeris ini mensasarkan beratus kanak-kanak sekolah setiap tahun, dengan rancangan untuk meliputi semua kumpulan usia yang berbeza di sekolah rendah dalam fasa masa depan.

Anak-anak muda terutama sekali daripada awal hingga lewat remaja adalah sasaran yang sesuai memandangkan mereka merupakan pasaran masa depan untuk peminum alkohol.

Tidak kira bagaimana mendesaknya syarikat itu untuk menafikan hubungan antara pengiklanan dan pengambilan alkohol yang tinggi, pengiklanan mereka memang menggalakkan pengambilan alkohol.


Kita perlu menghentikan mitos yang disebarkan oleh syarikat itu bahawa iklan hanya menyebabkan orang ramai bertukar jenama.

Tambahan pula pengiklanan jenama tertentu oleh pengeluar alkohol adalah khusus disasarkan kepada golongan muda daripada etnik tertentu. Pergantungan alkohol berkembang dalam kalangan orang ramai apabila mereka memasuki usia 20-an.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pelajaran bertindak sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap pelajar sekolah, dan menjauhkan mereka daripada pengaruh syarikat alkohol di sekolah.

Apabila kanak-kanak melihat syarikat alkohol diiktiraf, dipuji dan diterima dari segi sosial dalam kalangan pendidik dan kerajaan, mereka akan memikirkan bahawa alkohol tidaklah buruk sepenuhnya.


Ini membolehkan syarikat alkohol mempengaruhi dan meningkatkan pengambilan dan penjualan minuman alkohol dengan mengambil peminum baru.

CAP juga menggesa kerajaan dan badan sukan di negara ini menilai sama ada kecenderungan semasa penajaan sukan oleh syarikat alkohol mencabuli Piagam Alkohol WHO yang menyatakan bahawa "semua kanak-kanak dan remaja mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang dilindungi daripada kesan negatif pengambilan alkohol dan daripada promosi minuman alkohol".

Kini sudah pun terdapat kebimbangan di seluruh dunia terhadap bahaya yang disebabkan oleh alkohol. Lebih daripada dua juta orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat yang berkaitan dengan alkohol.

Bahaya penggunaan alkohol merupakan faktor risiko utama bagi kematian pramatang dan kecacatan di seluruh dunia.

Majlis Keselamatan Jalan Raya menganggarkan bahawa 30 peratus kemalangan jalan raya di seluruh negara disebabkan oleh memandu dalam pengaruh alkohol.

Pengambilan alkohol menjejaskan penilaian dan mencetuskan tingkah laku agresif dan ganas, membawa kepada keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, pergaduhan dan jenayah lain.

Penyelidikan saintifik dan agensi kesihatan boleh menunjukkan pengiklanan alkohol boleh meningkatkan pengambilan alkohol.

Pengambilan alkohol juga turut menyumbangkan kos kepada negara dari segi ketidakhadiran ke tempat kerja, kehilangan kemahiran kerja, dan kehilangan produktiviti yang menjejaskan pekerja.


CAP menggesa kerajaan melarang dengan tegas syarikat alkohol daripada menaja sebarang projek atau program di sekolah atau terlibat di sekolah dalam sebarang cara.

Kerajaan juga perlu menaikkan cukai duti eksais produk alkohol dan memantau industri terhadap pencabulan undang-undang dan menggunakan cukai dan denda yang dikumpul daripada industri untuk membiayai pendidikan dan aktiviti berkaitan komuniti yang lain.

* Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Harga Ayam Mencecah RM12 Sekilogram!

Posted: 20 May 2011 09:30 PM PDT

 
Saya petik:
 
Peniaga dijangka terus naikkan harga bekalan menjelang cuti sekolah

[BH] GEORGETOWN: Harga runcit ayam di beberapa pasar di negeri ini melambung ke paras tertinggi hingga mencecah RM12 sekilogram dan dijangka terus meningkat menjelang cuti sekolah, tidak lama lagi.

Kenaikan harga pada peringkat runcit yang dianggap tidak masuk akal, tidak dapat dielak berikutan peniaga memperoleh bekalan pada harga tinggi iaitu sekitar RM8 sekilogram.

Tinjauan di beberapa pasar awam di sekitar bandar ini mendapati kenaikan harga ayam bukan saja membebankan pengguna, malah menimbulkan masalah kepada peniaga ayam berikutan kurangnya permintaan.

Peniaga ayam di Pasar Awam Jalan Patani di sini, mendakwa mereka tidak mengetahui punca kenaikan mendadak harga ayam di pasaran, malah pembekal sudah tiga kali menaikkan harga, minggu ini.

Bermula dengan RM6.70 sekilogram, harga meningkat kepada RM6.90 dan melonjak RM8.

Yusof Jailani, 58, berkata harga ayam yang tidak stabil dan meningkat mendadak menyebabkan penjualan ayam merosot.

"Kebanyakan peniaga meramalkan harga ayam terus naik. Sekarang, ayam dijual pada harga RM12 sekilogram dan jika kenaikan harga ayam terus berlaku. Tidak mustahil, ia akan mencapai harga RM20," katanya ketika ditemui di sini, semalam.  
Yusof yang sudah 30 tahun menjual ayam, juga kesal kerana peniaga sering dipersalahkan setiap kali kenaikan harga ayam.

"Jika pembekal meletakkan harga tinggi, kami tidak boleh berbuat apa-apa dan perlu menaikkan harga. Jika keadaan ini berlarutan, peniaga ayam terpaksa gulung tikar dan lebih baik kerajaan import ayam kerana lebih murah," katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Azizul Rahman, 34, berkata perniagaannya merosot sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan harga ayam.

"Dulu saya jual 100 ekor ayam sehari dan kini hanya mampu jual 40 atau 50 ekor. Jika ada pelanggan meminta dikurangkan harga, saya terpaksa kurangkan sehingga RM10 sekilogram. Saya terpaksa jual, jika tidak mereka tidak mahu beli," katanya.

P/s: Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, M Gunaselan, berkata kementerian hanya dapat mengawal harga ayam apabila tiba musim perayaan. Aduhai!




Syarikat Insurans Hadiahkan Pelacur kepada Pekerja Cemerlang

Posted: 20 May 2011 08:35 PM PDT


Saya petik:

[HM] BUDAPEST: Sebuah firma insurans utama menghargai kakitangannya yang cemerlang dengan menghadiahkan mereka pelacur, lapor media semalam.

Menurut laporan akhbar, syarikat Munich Re melanggan 20 pelacur untuk menghiburkan kira-kira 100 jurujualnya yang mencatat kejayaan terbaik.

Munich Re adalah syarikat penanggung insurans bagi syarikat insurans lain dan berpangkalan di Munich, Jerman.

Media melaporkan, pelacur terbabit turut memakai gelang tangan berwarna sebagai kod bagi menyatakan sama ada mereka boleh dilanggan atau tidak dalam parti pada 2007 itu.

Selepas melayan mana-mana jurujual, lengan pelacur itu akan dicop bagi membolehkan tetamu mengetahui kekerapan mereka dilanggan.

Sumber berkata, pelacur terbabit rela melakukan "apa saja yang diminta" sepanjang pesta berkenaan berlangsung.

"Bagi ahli lembaga pengarah dan jurujual terbaik, mereka disediakan pelacur khas," katanya. - TS

P/s: GIla!

Isteri Curang Hantar 600 SMS Lucah kepada Isteri Kekasih Gelapnya

Posted: 20 May 2011 07:30 PM PDT

Sekadar hiasan.

Saya petik:

[HM] KOTA KINABALU: Seorang isteri pegawai kanan kerajaan di sini, bukan saja curang kepada suaminya, malah tanpa segan silu menghantar lebih 600 khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah kepada isteri 'kekasih gelapnya' bertujuan menyakitkan hati wanita terbabit supaya meninggalkan suaminya.

Selain SMS, isteri curang itu turut menghantar mesej bergambar membabitkan aksi ghairah dia bersama kekasih gelapnya itu kepada wanita terbabit sejak awal tahun ini.

Kegiatan isteri itu dengan kekasih gelapnya berusia 30-an itu terbongkar selepas pasangan terbabit dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di ibu negara, April lalu.

Pembongkaran itu bermula selepas pegawai kanan itu curiga apabila isterinya mahu ke Kuala Lumpur kononnya atas urusan kerja dan pada masa sama mendapat maklumat kekasih gelap isterinya itu turut mahu ke ibu kota.

Pegawai kanan kerajaan yang mahu dikenali Rahim, 30-an, berkata, SMS berbaur lucah dihantar isterinya itu dihantar kepada kekasih gelapnya yang sudah mempunyai dua anak sejak mereka berkenalan selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Semporna, Disember tahun lalu....

P/s: Satu lagi kes perempuan gila berahi dengan suami orang!

Maut Kejar Peragut

Posted: 20 May 2011 06:48 PM PDT




Saya petik:

[Bernama] KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di KM10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam Khamis.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.

"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantas leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.

Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.

Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.

"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa," katanya.

Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan.

Padah Kahwin Anak Dara Orang di Thailand

Posted: 20 May 2011 05:52 PM PDT


Saya petik:
[HM] SUNGAI PETANI: "Saya bukan saja dibelasah dengan tangan diikat pada tiang, malah hanya tinggal seluar dalam selepas pakaian saya ditanggalkan," kata seorang peniaga, Mohd Azhar Aziz, 31, yang mendakwa dipukul lebih sejam oleh sekumpulan 40 lelaki di Kampung Simpor Tambang, Kota Kuala Muda di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati anggota keluarga isteri Mohd Azhar yang baru dikahwininya seminggu lalu di Thailand.

Mohd Azhar yang juga seorang peniaga berkata, dalam kejadian itu sekumpulan enam lelaki menaiki kereta dan motosikal datang ke rumahnya di Taman Orkid, Sungai Layar di sini, sebelum memecah masuk pagar dan pintu rumah.

Ketika itu, Mohd Azahar dan isterinya yang berusia 23 tahun berada di rumah dan kumpulan lelaki terbabit memaksanya memandu kereta dengan diiringi dua lelaki manakala isterinya dibawa dengan sebuah kereta lain.

Dia kemudian diarah berhenti dan turun dari kereta sebaik tiba di sebuah stesen minyak di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda...

P/s: Fasal apa larikan anak dara orang? Keluarga mana yang tidak marah apabila anak gadis mereka dilarikan orang?



Tiada ulasan: