SIASAH |
- Potong subsidi, Khairy cakap bernada pembangkang
- PRU 13 sengit, Muhyiddin kritik Najib?
- Mat Sabu bakal terkorban lagi?
Potong subsidi, Khairy cakap bernada pembangkang Posted: 20 May 2011 09:53 AM PDT Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan agak mengejutkan apabila menuntu kerajaan terlebih dahulu berjimat sebelum mengambil langkah kurangkan subsidi untuk rakyat. Kenyataannya itu senada dengan apa yang sering ditimbulkan oleh pembangkang dan mengejutkan daripada seorang yang terpinggir dalam parti pemerintah. Khairy mengemukakan satu senarai projek-projek kerajaan yang dianggap membazir dan tidak membawa hasil yang sewajarnya, seperti khidmat negara yang menelan belanja RM560 juta tahun ini. "Jangan meminta rakyat mengikat perut sebelum (kerajaan sendiri) memendekkan senarai perbelanjaan sendiri," katanya kepada Malaysian Insider, portal berita dikuasai tokoh yang rapat dengan beliau. Kenyataan Khairy itu dibuat tidak lama selepas harga gula dan petro RON 97 meningkat dan di tengah-tengah jangkaan kenaikan harga RON 95 dan tarif elektrik. Pemerintah menyatakan peningkatan harga minyak mentah di pasaran global menyebabkan perbelanjaan subsidi meningkat, dan telah memulakan tindakan mengurangkan subsidi, menyebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan. Kenyataan Khairy meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang berdepan cabaran mengukuhkan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Isu kenaikan harga barang keperluan mudah menjadi isu yang menjejaskan sokongan kepada pemerintah dalam pilihan raya, seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu pada 2008. Pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kenaikan mendadak yang tinggi harga bahan bakar semasa pemerintahannya, sehingga mengundang kritikan pemimpin Umno sendiri dan juga bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad. Dalam perkembangan sama, orang kuat pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencetuskan kembali ingatan kepada kenaikan harga menjelang 2008 yang menyumbang kepada kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya. Tegas Anwar, undi untuk BN bermakna undi untuk salah urus ekonomi dan kenaikan harga makanan. |
PRU 13 sengit, Muhyiddin kritik Najib? Posted: 20 May 2011 03:19 AM PDT Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 bakal menyaksikan persaingan paling sengit bakal dilalui Barisan Nasional. Pilihan raya umum akan datang akan menjadi yang pertama dilalui Perdana Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang mengambil alih kepimpinan kerajaan dan BN pada April 2009. Najib mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dipersalahkan atas kekalahan besar dan kegagalan mengekalkan majoriti dua pertiga untuk BN di Parlimen. Tekanan terhadap pemerintah meningkat selepas pilihan raya pada Mac 2008 dan kerajaan BN berdepan risiko kehilangan kerajaan pusat ekoran tekanan pakatan pembangkang melalui satu rancangan lompat parti. Najib dilihat bakal diukur berdasarkan hal yang sama, iaitu memenangi kembali majoriti dua pertiga di Parlimen untuk BN, dan bakal berdepan tekanan sekiranya gagal. "Kita kena tanya selepas (Pilihan Raya Umum ke-13) masihkah kita berkuasa... ia sangat perit sekiranya tidak dapat menguasai dua pertiga dari kerusi dalam dewan," Muhyiddin dilaporkan berkata. Selain untuk mengejutkan Umno dan mendesak parti itu supaya lebih bersedia, kenyataan itu juga mempunyai sisi yang ditujukan kepada Najib. Sesetengah pihak berpendapat sekiranya gagal mencapai kemenangan dua pertiga, Najib turut akan dipersalahkan, termasuk berhubung gagasan 1 Malaysia yang dinilai sebagai bermasalah kepada orang Melayu. Muhyiddin pernah dilihat kritikal terhadap gagasan 1 Malaysia dan merupakan pemimpin yang banyak bercakap isu Melayu, ketika isu tersebut semakin tidak popular ekoran kemunculan gagasan 1 Malaysia. Muhyiddin menerima sokongan kumpulan lebih cenderung menangani isu Melayu dengan lebih agresif dalam Umno. |
Mat Sabu bakal terkorban lagi? Posted: 19 May 2011 06:29 PM PDT Penyandang jawatan timbalan presiden PAS kini meningkatkan lagi kempen untuk mengukuhkan sokongan dan mengekalkan kedudukan, dan pada masa sama, sesetengah pihak dalam parti itu semakin kuat mendesak Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden. Penyandang, Nasharudin Mat Isa yang dipandang rendah sejak sebelum pencalonan pertama dibuat semakin menunjukkan kesediaan dan kemampuan untuk bersaing. Nasharudin yang dilihat tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan dikaitkan dengan hubungan baik dengan Umno walau bagaimanapun masih menerima sokongan ramai - walaupun merosot - dan dianggap calon selamat, sebahagiannya disebabkan kedudukan sebagai penyandang. Nasharudin sebelum ini mendapat sokongan terbuka daripada Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama. Pihak yang melobi Tuan Ibrahim bertanding menilai pemimpin dari Pahang itu sebagai calon kompromi dalam usaha menghalang calon popular Mohamad Sabu dan penyandang yang semakin tidak popular. Tuan Ibrahim walau bagaimanapun masih dilihat baharu kerana baru sepenggal menjadi naib presiden, dan beliau telah beberapa kali menyatakan tidak mahu bertanding timbalan. Tetapi, faktor yang dilihat pihak dalaman sebagai paling berpotensi menjejaskan peluang Mohamad ialah sokongan kuat kem Erdogan terhadap beliau, yang dikait dengan liputan media tertentu yang positif dan kebimbangan terhadap kedudukan nombor dua yang bukan agamawan. Ada portal berita walau bagaimanapun kelihatan telah mengubah nada dengan melaporkan pertikaian terhadap angka pencalonan tidak rasmi yang dilaporkan sebelum itu. Mohamad juga dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak ekoran hubungan baiknya dengan seorang penulis blog kontroversi yang pernah menyerang Nasharudin di Parlimen. Mohamad juga dikatakan hanya menerima pencalonan kawasan-kawasan tertentu ekoran keperluan politik supaya kawasan tersebut dilihat tidak menentang beliau, dan Mohamad akan bersedia berceramah di kawasan tersebut. Kritikan lantang juru kempen beliau terhadap ulama juga dilihat pihak dalaman sebagai berpotensi untuk memberi kesan negatif. Mohamad walau bagaimanapun mempunyai kekuatan sokongan ahli-ahli akar umbi, yang selesa dengan beliau yang mudah mesra dan tidak dikaitkan dengan imej elit. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan