Isnin, 16 Mei 2011

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Liwat2, tindakan terdesak sekat politik Anwar?

Posted: 16 May 2011 02:07 AM PDT

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR 16 Mei : Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala lumpur memerintahkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam kes liwat kedua membuktikan politik terdesak Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Demikian dakwa Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaffar ketika diminta mengulas keputusan kes itu hari ini (16 Mei).

"Dari segi perundangan saya terkejut dengan keputusan kes itu kerana dalam keterangan perbicaraan sebelum ini, nampak begitu ketara percanggahan, kekeliruan dan kekaburan dalam bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

"Dari sudut politik pula, saya melihat ini satu keputusan yang saya telah jangkakan kerana ini sahaja jalan pintas untuk Umno-BN menyekat politik Anwar.Ini membuktikan Najib terdesak," katanya lagi.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat melihat, institusi kehakiman hari ini semakin parah kerana mudah dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan demi mempertahankan kuasa.

Malah lebih mengecewakan, keputusan hari ini sebenarnya mengulangi krisis yang berlaku pada tahun 1998, dalam kes liwat pertama, ujarnya.

Beliau yakin rakyat sudah matang dalam menilai kes ini, justeru beliau menyeru rakyat menolak politik jahat Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Hanya dengan menolak kerajaan yang ada hari ini, saya yakin demokrasi akan kembali," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi (16 Mei) lalu memerintahkan Anwar Ibrahim membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari.

Hakim Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau mendapati bahawa keterangan Mohd Saiful itu boleh dipercayai dan diterima sebagai kebenaran kerana saksi berkenaan seorang yang "berwibawa."

"Berdasarkan bukti, saya dapati ada kes prima facie terhadap tertuduh dan arahkannya untuk mempertahankan diri," katanya Mohamad Zabidin dalam penghakiman lebih dua jam.

Selain itu, beliau berkata kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa yang disoal ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan.

Mendengar penghakiman itu, Anwar mengeluh manakala isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata keputusan itu satu lagi hari yang sedih untuk keadilan.

Mohamad Zabidin kemudiannya menangguhkan perbicaraan seketika untuk menentukan tarikh bagi mendengar pembelaan Anwar.

Beliau kemudiannya menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.

Hakim Mohamad Zabidin membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan dan hujah daripada Peguamcara Negara II Dato' Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, dan peguam-peguam bela diketuai Karpal Singh di penghujung kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan menyimpulkan kes mereka pada 24 Mac, dengan 26 saksi memberi keterangan di perbicaraan yang bermula 3 Feb tahun lalu.

Mohd Saiful, 25, saksi utama pendakwaan yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan memberitahu mahkamah mengenai kejadian yang didakwa itu.

Butir-butir kejadian didengar secara tertutup walaupun beliau memberi keterangan di mahkamah terbuka mengenai persekitaran yang mendorong beliau membuat laporan polis terhadap Anwar.

Pada 7 Ogos 2008 Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan liwat bertentangan dengan peraturan alami di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10ptg dan 4.30ptg 26 Jun, 2008.

Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Tiada ulasan: